You are on page 1of 8

PENDAHULUAN

Negara kita Malaysia terkenal di mata dunia sebagai sebuah negara yang sedang pesat
membangun. Kejayaannya bukan sekadar menangani isu-isu tempatan, bahkan ia turut terlibat
dalam menangani permasalahan yang menimpa dan dialami oleh masyarakat antarabangsa.
Malaysia turut dikenali sebagai sebuah Negara Islam yang unik. Penduduknya berbilang
bangsa dan kaum serta mempunyai kepercayaan dan pegangan agama yang berbeza. Majoriti
terbesar warganya terdiri dari kaum Melayu beragama Islam. Bumi Malaysia adalah tanah asal
tempat tumpah darah mereka.

Dahulu, negara ini dikenali sebagai Tanah Melayu. Tanah Melayu mendapat kemerdekaan
pada tahun 1957. Pada tahun 1966, namanya ditukar kepada Malaysia. Beberapa jenis flora
dan fauna di bumi subur beriklim tropika ini sukar ditemui di tempat lain. Hasil komoditinya
menjadi idaman banyak pihak. Malaysia terkenal sebagai negara pengeluar bahan-bahan
mentah yang bernilai tinggi. Kedudukannya juga sangat strategik dalam lingkaran laluan
dagangan antarabangsa.

Walaupun rakyatnya berbilang etnik dan bangsa, tetapi mereka dapat hidup rukun dan damai,
tidak seperti penduduk di negara-negara lain yang tidak sunyi dengan perbalahan, pertikaian
dan permusuhan sedangkan mereka terdiri dari bangsa, keturunan dan kepercayaan yang
sama.

Kehidupan rakyat negara ini pernah diuji. Keharmonian hidup mereka tidak bertahan lama
kerana dicemburui banyak pihak. Beberapa kawasannya telah diserang dan dijajah oleh
pelbagai kuasa seperti Portugis, Belanda, Siam, Jepun, dan Inggeris. Segala bentuk, rupa dan
rasa keperitan dan kesukaran telah dilalui oleh ramai pemastautin tempatan apabila mereka
cuba menentang penjajahan asing demi memelihara tanah air tercinta. Begitu juga semasa
mereka berada di bawah cengkaman kuasa asing.

Banyak usaha dilakukan untuk mengembalikan semula kehidupan tanpa tekanan pihak luar
yang rakus kuasa dan benda lantaran tamak haloba untuk mengaut kekayaan dan mengikis
hasil negara. Beberapa kemudahan disediakan oleh kuasa asing yang kononnya untuk
membangunkan negara agar boleh dinikmati oleh anak-anak pribumi, tetapi sebenarnya
hanyalah helah penjajah. Penjajah sanggup membawa biji-biji benih pokok getah untuk ditanam
di sini kerana buminya subur dan sesuai. Pelbagai alat dan kelengkapan canggih ketika itu
dibawa masuk untuk memudahkan kerja-kerja mencari dan menggali khazanah galian seperti
bijih timah, besi, arang batu, emas dan sebagainya. Mereka meredah segala ceruk negara
untuk mencari dan mengaut kekayaan yang sangat tinggi nilainya. Mereka membina lingkaran
pengangkutan darat, laut dan udara untuk memindah dan memunggah kekayaan perut negara
ini ke tempat mereka. Kilang-kilang dibina untuk mengumpul, memproses, memilih dan
membawa keluar hasil komoditi terbaik, sementara yang tinggal hanyalah sisa-sisanya sahaja.
Mereka membawa masuk buruh-buruh asing dari pelbagai negara terutama dari China dan
India untuk mendapatkan hasil dengan lebih cepat tanpa mementingkan bermacam masalah
yang akan memberi kesan kepada kehidupan, perpaduan dan keharmonian penduduk
tempatan.

Semangat untuk mendapatkan kemerdekaan tidak luntur dalam jiwa bangsa Melayu walaupun
terpaksa menghadapi rintangan pihak penjajah dan orang tempatan sendiri. Orang-orang
Melayu yang dipimpin oleh Yang Mulia Tunku Abd. Rahman Putra Al Haj tidak jemu-jemu
mencari jalan terbaik dan rela bekerjasama dengan kaum-kaum lain untuk mencapai
kemerdekaan. Hasilnya pada tanggal 31 Ogos 1957, Bapa Kemerdekaan kita telah
melaungkan kalimah keramat MERDEKA dan diulang suara oleh rakyat dari pelbagai bangsa
dan keturunan dengan penuh kesyukuran. Bendera Union Jack diturunkan dan berkibar
megah Jalur Gemilang kemegahan rakyat jelata. Tanah Melayu mula diiktiraf sebagai sebuah
negara yang merdeka dan mempunyai sistem pemerintahan dan perlembagaannya yang
tersendiri.

Banyak perkara telah difikir dan pelbagai usaha dilaksanakan untuk mengisi kemerdekaan dan
memajukan bumi tercinta setelah sekian lama ditadbir oleh penjajah. Bermacam-macam
rintangan dan gerakan untuk menggugat keharmonian, keamanan dan perpaduan antara kaum
dapat ditangani oleh barisan pimpinan negara. Namun begitu terjadi beberapa peristiwa yang
tidak diingini kerana masih ada niat dan usaha jahat pihak tertentu yang enggan memberi
kerjasama untuk membendungnya. Jesteru, maka perpaduan kaum dan integrasi nasional
adalah isu dan agenda utama pemimpin dan seluruh warga negara Malaysia.

DEFINISI:

Perpaduan dapat diertikan sebagai hubungan erat bersifat toleransi yang diwujudkan secara
sengaja dalam kalangan kaum dan etnik yang berbeza untuk mencapai matlamat bersama
secara jujur dan ikhlas. Dalam kata lain perpaduan adalah proses menyatupadukan seluruh
masyarakat untuk membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan
banggakan negara.

Integrasi dirujuk kepada proses penyatuan masyarakat berbilang kaum, daerah dan wilayah
tempat tinggal, budaya, adat resam, cara hidup, latar belakang, kepercayaan dan pegangan
agama yang berlainan untuk menjadi satu entiti yang terikat oleh norma dan nilai murni
masyarakat sejagat demi mencapai tujuan dan kepentingan bersama secara adil dan saksama.

MASALAH PERPADUAN DAN INTEGRASI NASIONAL.

Perpaduan rakyat menjadi satu cabaran utama yang dihadapi oleh Kerajaan Malaysia. Isu
perpaduan adalah utama dari sembilan cabaran untuk mencapai matlamat Wawasan 2020
yang berbunyi Mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu padu yang mempunyai matlamat
yang serupa dan boleh dikongsi bersama, berintegrasi di peringkat Wilayah dan antara kaum,
berasaskan persamaan hak dan keadilan

Cabaran ini berkait dengan cabaran ke lima yang berbunyi Mewujudkan masyarakat liberal dan
bertolak ansur dengan rakyat pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan
kepercayaan agama masing-masing dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka
kepada negara. Cabaran ini berkait pula dengan cabaran ke tujuh iaitu untuk Mewujudkan
masyarakat berbudi dan berbudaya penyayang iaitu sistem sosial yang lebih mementingkan
masyarakat daripada diri sendiri dan kebajikan insan tidak berkisar kepada individu tertentu
sahaja.

HALANGAN DAN KESUKARAN UNTUK PERPADUAN DAN INTEGRASI.

Terdapat beberapa faktor sejarah yang menyulitkan proses pencapaian perpaduan di Malaysia.
Di antaranya ialah;
Agama dan kebudayaan: Setiap kumpulan etnik mempunyai agama dan kebudayaan
yang berlainan. Setiap kaum pula mempunyai adat resam, bahasa, kesenian, budaya
dan sistem nilai yang berbeza. Masing-masing kurang mengenali dan memahami dan
seringkali menganggap mereka sahaja yang terbaik. Sikap ini menguatkan perasaan
buruk sangka yang menghalang pergaulan baik antara pelbagai kaum.
Dasar Penjajah British: Penjajah British mengamalkan dasar pecah dan perintah yang
menjarakkan kumpulan-kumpulan etnik demi kepentingan dan keselamatan mereka
sendiri.. Penjajah sengaja menentukan status dan peranan yang berlainan bagi kaum
yang tertentu. Interaksi antara kaum menjadi terbatas dan lahirlah sikap prasangka
negatif yang kukuh antara rakyat tempatan yang berbilang etnik.
Sistem pendidikan, persekolahan dan bahasa yang berlainan: Laporan Razak
menyebut bahawa tiada satu sistem pendidikan nasional di Tanah Melayu di mana
setiap etnik lebih gemar menghantar anak mereka ke sekolah yang menggunakan
bahasa ibunda masingmasing. Kurikulum yang digunakan juga tidak sama. Ada pula
yang berpusat ke negara nenek moyang mereka, tidak terdapat bahasa pengantar yang
sama. Keadaan ini melebarluaskan lagi jurang pergaulan, menghasilkan pandangan
yang berlainan dan menjejaskan persefahaman dan perhubungan sesama rakyat di
samping mewujudkan keperibadian dan perwatakan yang berbeza tanpa mempedulikan
pembentukan warga negara yang beridentitikan satu negara.
Amalan ekonomi yang berlainan: Setiap etnik menjalankan aktiviti ekonomi yang
tertentu dan mendiami kawasan yang berlainan. Keadaan ini mewujudkan jurang
pendapatan yang tidak seimbang dan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan
etnik yang berlainan jenis dan ras serta mengakibatkan perpaduan negara terancam.
Perbezaan politik mengikut bangsa, kaum dan etnik: Kewujudan persatuan politik,
sosial dan ekonomi berdasarkan bangsa, kaum dan etnik tertentu telah
memmperkuatkan identiti sesuatu kumpulan dan menimbulkan perasaan syak
wasangka kerana setiap kumpulan hanya memperjuangkan hak dan kepentingan
kumpulan tertentu sahaja. Parti-parti politik yang berasaskan kepada suku kaum juga
memainkan pelbagai isu sensitif seperti bahasa, budaya, ekonomi dan hak
keistimewaan sehingga memburukkan lagi masalah perpaduan.
Pendudukan Jepun: Kemasukan tentera Jepun ke Tanah Melayu menambah jurang
permusuhan antara orang Melayu dan orang Cina. Sebilangan besar tentera anti Jepun
terdiri dari orang-orang Cina, sementara ramai pula orang Melayu yang diambil oleh
tentera Jepun untuk menjadi askar dan polis. Keadaan ini menjadikan menjejaskan
persefahaman dan menimbulkan perasaan kurang senang antara masyarakat Melayu
dan Cina.

KAEDAH DAN LANGKAH YANG TELAH DIAMBIL OLEH PIHAK KERAJAAN DALAM
MENYUBURKAN INTEGRASI DAN PERPADUAN DI MALAYSIA

PERISTIWA BERDARAH 13 MEI 1969

Penjajahan British melalui dasar pecah dan perintah serta mementingkan kuasa dan ekonomi
menyebabkan terjadi jurang perbezaan dan pengenalan ekonomi berbentuk etnik antara kaum
dan wilayah. Pelbagai kaum terasa seperti tidak mendapat pembelaan dan peluang yang
sewajarnya. Dalam kempen pilihanraya 1969 pula, terdapat parti-parti politik yang telah
menimbulkan isu-isu sensitif yang menyentuh kaum tertentu. Kehilangan dua pertiga majoriti
parti Perikatan dalam pilihanraya umum tersebut, diikuti kelantangan beberapa pemimpin parti
pembangkang dan penyokong mereka yang menimbulkan perasaan saling membenci dalam
kalangan rakyat berbilang kaum. Kemuncak manifestasi perkauman ini ialah peristiwa berdarah
13 Mei 1969.

Kerajaan bertindak pantas dengan menubuhkan sebuah badan khas yang dikenali sebagai
Majlis Gerakan Negara (MAGERAN). Majlis ini dipertanggungjawabkan untuk mengembalikan
keamanan dan undang-undang negara, menentukan pentadbiran yang licin, adil dan sempurna
serta mengembalikan suasana keharmonian dan kepercayaan antara kaum.

Peristiwa ini menunjukkan bahawa perpaduan nasional sukar dicapai jika terdapat jurang
perbezaan yang terlalu besar terutama dari segi ekonomi, politik dan sosial antara rakyat
pelbagai kaum. Pada bulan Januari 1970, Majlis Perundingan Negara (MPN) ditubuhkan.
Fungsi utama majlis ini ialah meneliti isu-isu perpaduan negara serta mencari jalan untuk
menyelesaikannya. Antara hasil utama Majlis ini ialah Rukun Negara dan Dasar Ekonomi
Baru.

Perisytiharan Rukun Negara pada 31 Ogos 1970 sebagai ideologi kebangsaan negara adalah
bertujuan agar fikiran, pendapat dan perasaan rakyat pelbagai kaum dapat dipersatukan secara
pemuwafakatan dan bijaksana tanpa membangkitkan isu-isu sensitif yang boleh mencetuskan
keadaan yang tidak diingini.

Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Perpaduan Negara

Pendidikan menjadi tunjang kepada perpaduan negara. Tidak dapat dinafikan bahawa sekolah
dan pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam pembinaan dan pembentukan
warga negara dan rakyat yang bersatu padu. Sememangnya telah dicatatkan dalam Falsafah
Pendidikan Kebangsaan bahawa Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke
arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk
mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani
berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan
rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan
berkemampuan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian
dan kemakmuran masyarakat dan negara

Secara tidak langsung dasar ini dapat melahirkan satu masyarakat Malaysia yang bersatu padu
dan berintegrasi seperti yang dihasratkan dalam Rukun Negara melalui penggunaan dan
penghayatan kurikulum yang bersepadu, penggunaan bahasa pengantar dan sistem
peperiksaan yang sama serta penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum yang
dirancang dan dilaksanakan sepanjang persekolahan pelajar.

Kurikulum yang dibina bukan saja bertujuan untuk memberi ilmu pengetahuan dan maklumat
berbentuk akademik sahaja, bahkan ia juga dapat membentuk sahsiah, keperibadian dan
perwatakan murid yang diingini bagi memupuk perpaduan. Kurikulum ini berorientasikan
suasana Malaysia dan dilaksanakan melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR)
dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) mulai tahun 1983. Mata pelajaran
Pendidikan Islam, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al Quran Dan Assunnah dan
Pendidikan Moral yang diperkenalkan dapat mengukuhkan pegangan agama, menanam
sifatsifat mulia serta membentuk tingkahlaku yang bersopan santun dan saling menghormati
sesama manusia.

Penubuhan Kelab Rukun Negara Di Sekolah


Semasa merasmikan sambutan Hari Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2000 di Melaka, Yang
Amat Berhormat Dato Seri Abdullah Bin Haj Ahmad Badawi selaku Timbalan Perdana Menteri
pada ketika itu, telah menyarankan supaya Kelab Rukun Negara ditubuhkan di sekolah.

Sebelum itu, dalam perasmian Hari Perpaduan Peringkat Kebangsaan 1999 di Pahang, beliau
menyeru seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Rukun
Negara untuk menjamin perpaduan dan kemakmuran negara agar terus berkekalan. Dengan
tertubuhnya Kelab Rukun Negara di sekolah melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 17/2000
yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia berkaitan Penubuhan Kelab Rukun
Negara Di Sekolah, maka pengetahuan, pemahaman, penghayatan warga sekolah terutamanya
golongan relajar terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara ke arah menjana semangat perpaduan
yang lebih jitu dapat dipertingkat dan diperkukuhkan..

USAHA YANG BOLEH DIJALANKAN DI PERINGKAT MASYARAKAT SETEMPAT Program


Pemuafakatan Masyarakat

Program pemuwafakatan antara masyarakat setempat boleh diadakan melalui program-


program ilmiah seperti ceramah motivasi, aktiviti keagamaan, Makan Beradab, gotong royong,
majlis perkahwinan dan sebagainya.

Hari Keluarga dan Sukan Rakyat

Program yang melibatkan seluruh ahli masyarakat boleh diadakan. Pelbagai acara dijalankan
melibatkan semua peserta. Selain dapat menghilangkan perasaan tertekan dengan bebanan
tugas, program ini dapat membina persefahaman, keteguhan perpaduan dan perasaan kasih
sayang dalam kalangan seluruh warga masyarakat.

Acara kebudayaan dan kesenian-

Pelbagai acara berbentuk kebudayaan dan kesenian rakyat boleh diadakan seperti permainan
tradisi, boria, dikir barat, persembahan kebudayaan setiap kaum di Malaysia dan lain-lain lagi
yang disertai oleh anggota masyarakat. Selain dapat berhibur, semua yang terlibat dapat
memahami dan mematuhi peraturan yang digariskan.

Majlis Sambutan Hari Raya, Ucapan Tahun Baru Cina dan Hari Deepavali-

Setiap kali menjelang hari perayaan, masyarakat melalui pertubuhan atau organisasi seperti
JKKK atau NGO mengatur program yang melibatkan seluruh warga masyarakat. Beraneka jenis
makanan yang dihidang dinikmati bersama. Sumbangan yang diperolehi dari pelbagai pihak
disampaikan kepada mereka yang kurang berkemampuan. Ucapan selamat yang diberikan,
disambut dengan penuh kemesraan dan dapat membentuk perasaan kasih sayang dan
perpaduan rakyat berbilang kaum dalam komuniti tempatan.

Aktiviti Riadah -

Seterusnya, kerajaan perlu menggalakkan setiap ahli masyarakat mengambil bahagian dalam
pelbagai program yang dianjur pelbagai pihak seperti Pihak Berkuasa Tempatan, Majlis Belia
Malaysia, Jabatan Agama Islam, Rakan Muda, INMIND dan sebagainya. Antara aktiviti yang
boleh dijalankan ialah senamrobik, mencari harta karun, larian, Perarakan Sambutan Maulidur
Rasul dan Maal Hijrah, Larian Merdeka dan sebagainya. Setiap ahli masyarakat dapat
berinteraksi dengan peserta dari pelbagai kaum dan lapisan masyarakat. Mereka dapat
memahami dengan lebih mendalam erti perpaduan dan perasaan hormat menghormati sesama
masyarakat.

KAEDAH DAN LANGKAH YANG BOLEH DI AMBIL DI PERINGKAT SEKOLAH Sekolah


Penyayang

Satu program yang dilaksanakan di sekolah dengan menekankan konsep Sekolahku


Syurgaku dan Yang Tua Dihormati, Yang Muda Disayangi dengan penyertaan bersama
ibubapa pelajar melalui Persatuan Ibubapa dan Guru. Amalan ini dapat mewujudkan golongan
pelajar yang cinta kepada sekolah, membentuk peribadi pelajar yang suka menolong dan
menghormati orang lain, berbudi pekerti mulia, serta menimbulkan perasaan kasih sayang dan
hubungan mesra antara warga sekolah dan sesama ibubapa para pelajar.

Pelaksanaan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP)

Sebagai sebuah sekolah berasrama penuh yang majoriti pelajarnya terdiri dari pelajar Melayu,
namun mereka berasal dari daerah dan negeri yang berlainan termasuk dari Sabah dan
Sarawak. Program RIMUP secara kelompok turut diadakan di mana pelajar-pelajar dari sekolah
ini terlibat dengan program yang dirancang bersama dengan sekolahsekolah lain yang,
mempunyai pelajar berbilang kaum. Jawatankuasa RIMUP peringkat sekolah dan kelompok
dianggotai kaum yang pelbagai. Kesan penglibatan pelajar dan warga sekolah dalam program
ini adalah sangat baik. Ia membolehkan mereka berinteraksi dan bergaul secara lebih erat dan
mesra seterusnya menyumbang kepada perpaduan dan integrasi rakyat yang lebih erat.

Penyertaan Dalam Kokurikulum

Semua pelajar diwajibkan mengambil bahagian dalam persatuan, permainan dan pakaian
seragam. Penyertaan aktif dalam kokurikulum dan pembabitan mereka dalam perkhemahan,
persembahan dan pertandingan di pelbagai peringkat akan mendedahkan mereka kepada
situasi yang berlainan dan beragam. Terdapat peraturan dan disiplin tetrtentu semasa mengikuti
program-program yang dijalankan. Pemilihan ahli jawatankuasa dilakukan secara demokrasi
dengan bimbingan guru penasihat dan jurulatih dari pelbagai agensi. Mereka dapat berinteraksi
secara sihat serta mematuhi peraturan dan disiplin yang ditentukan. Hasil dari penglibatan
pelajar secara aktif dalam aktiviti yang dilaksanakan adalah sangat memuaskan terutama dalam
usaha untuk membentuk dan membina kehidupan masa depan pelajar dan sebuah masyarakat
yang berdisiplin, berharmoni bersatu padu dan berintegrasi.

Sambutan Bulan Patriotisme dan Kemerdekaan

Setiap tahun sekolah mengadakan pelbagai program sempena memperingati hari ulangtahun
kemerdekaan negara. Jawatankuasa sambutan peringkat sekolah ditubuhkan dengan
kerjasama Kelab Rukun Negara, Unit Bimbingan Dan Kaunseling, Kelab Guru dan Kakitangan,
Persatuan Sejarah dan Persatuan-persatuan pelajar. Sekolah juga turut melibatkan penyertaan
PIBG, Alumni, tokoh-tokoh dan sejarawan, Agensi dan Badan Kerajaan dan Bukan Kerajaan
dalam aktiviti yang dilaksanakan. Acara yang dilaksanakan ialah seperti ceramah kemerdekaan,
tayangan gambar berbentuk patriotik, pembacaan sajak, sketsa, pentomen, kibaran Jalur
Gemilang, hiasan bilik darjah dan asrama, pidato, forum, penulisan esei, derma darah,
pameran, melukis potret tokoh negara, perbarisan dan perarakan serta sambutan detik
kemerdekaan. Pelajar juga terlibat dengan program sambutan yang dianjurkan oleh pihak lain di
peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Penyertaan pelbagai pihak dalam menjayakan
program ini dapat membina keyakinan semua warga sekolah berkaitan pembinaan bangsa
Malaysia yang merdeka dan bertanggungjawab, bersifat patriotisme yang tinggi dan cintakan
kehidupan bersatupadu dan kestabilan negara.

Lawatan dan ziarah di peringkat sekolah

Sekolah menggalakan para pelajar membuat program lawatan ke tempat-tempat bersejarah,


Parlimen, Putrajaya, Bandaraya Melaka, Memorial, Tugu Negara, Muzium Negara,
Rumahrumah kebajikan, asrama anak-anak Yatim dan miskin, Penjara, Rumah perlindungan
kanakkanak, asrama orang kurang upaya, sekolah, universiti dan sebagainya. Pelbagai acara
diadakan semasa lawatan dan ziarah tersebut diadakan seperti perbincangan, gotong royong,
persembahan kesenian dan kebudayaan, pertukaran maklumat dan sebagainya. Kesan dari
program lawatan dan ziarah ini sangat bermakna dan memberi kesedaran kepada pelajar peri
pentingnya berbudi bahasa, mengamalkan toleransi dan perhubungan baik sesama rakyat
berbilang kaum dan keturunan.

Perkhemahan Bina Insan bagi pelajar sekolah

Program ini melibatkan semua pelajar dan guru-guru serta sebahagian kakitangan sokongan
sekolah. Kerjasama diperolehi dari pelbagai pihak seperti Kerajaan Negeri, Bomba, Polis dan
sebagainya. Acara-acara yang dijalankan ialah seperti ceramah motivasi, pembinaan jati diri,
kerohanian, kembara, ikhtiar hidup, kewarganegaraan dan riadah. Suasana perkhemahan yang
dijalankan di luar kawasan sekolah sangat menyeronokkan para pelajar. Selain dari mendapat
maklumat dan kemahiran baru, mereka dapat merasai keindahan alam Malaysia, nikmat
kehidupan dalam sebuah negara yang aman dan damai.

PENUTUP:

Kejelekitan perpaduan dan integrasi rakyat dalam sebuah negara berbilang kaum sukar dicapai
tanpa pendedahan awal yang berstrategik, keintiman, persefahaman semua pihak,
kepercayaan dan pegangan kukuh terhadap ajaran agama, di samping menghayati dengan
penuh keinsafan intipati dan kandungan tersurat dan yang tersirat dalam kesemua prinsip rukun
negara.

Penghayatan Rukun Negara untuk mencapai perpaduan dan integrasi nasional yang padu lagi
jitu dilaksanakan di negara ini melalui proses pendidikan dan pembelajaran berdasarkan
kurikulum Kebangsaan, pembabitan dalam kokurikulum yang teratur dan terancang,
penghayatan keagamaan dalam kehidupan seharian, penyertaan semua warga organisasi
dalaman sekolah dan di luar sekolah mahupun seluruh anggota masyarakat yang juga warga
negara Malaysia dalam pelbagai aktiviti yang menjurus kepada pembentukan kehidupan rakyat
yang bersatu padu secara kolektif serta jalinan perhubungan yang baik dan mesra yang
diamalkan secara ikhlas dan penuh keinsafan oleh semua pihak berdasarkan prinsip-prinsip
Rukun Negara Malaysia.

Kini kita berada dalam era globalisasi dan liberalisasi. Pelbagai usaha dijalankan adalah demi
menuju ke arah membentuk sebuah masyarakat majmuk yang bersatu padu. Walaupun
terdapat beberapa cabaran, tetapi dengan adanya perancangan yang teliti, usaha yang gigih
dan strategi yang lebih berkesan dan dilaksanakan pula dengan penuh tanggungjawab dan
bersifat pro aktif oleh semua pihak sudah pasti keharmonian, perpaduan dan integrasi nasional
akan tercapai dengan restu dan perkenan Tuhan Yang Maha Berkuasa.

SENARAI RUJUKAN;

1. Sejarah Malaysia, Fajar Bakti Sdn. Bhd


2. Malaysia Kita, Institut Tadbiran Awam Negara, JPN, 1991
3. Malaysia Kita, International law book Services, 2007.
4. Buku Panduan Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan, KPM, 2005.
5. Pengajian Am Kenegaraan Malaysia, Mohd. Thajudin Abd. Muthalib, East View, 1997.
6. Pengajian Am Kertas 900/1, Prof Madya Dr. Cheu Hock Tong, Pustaka Sarjana, 2001.
7. Negara Kita, INTAN, Kuala Lumpur, 1986.
8. Perlembagaan Persekutuan, Pindaan 1987, Jabatan Percetakan Kerajaan, Kuala
Lumpur, 1988.
9. Mengenal Perlembagaan Malaysia, Tun Mohammad Suffian Hashim, DBP, 1984.

You might also like