You are on page 1of 4

Faedah/ Kepentingan/ Kelebihan Melancong Dalam Negara

Kata orang, Jauh berjalan, luas pandangan yang bermaksud semakin banyak kita
mengembara, maka semakin banyaklah pengalaman yang ditimba. Oleh itu, ada orang
yang suka melancong ke luar negara untuk melihat budaya dan rupa bentuk bumi
negara orang. Namun begitu, yang menjadi tanda tanya, wajarkah kita mengenepikan
destinasi pelancongan di negara sendiri apabila berhajat untuk berdarmawisata? Oleh
yang demikian, kita harus sedar bahawa banyak kemaslahatannya jika kita sebagai
warga Malaysia melancong dalam negara.

Sedar atau tidak, apabila kita melancong dalam negara, kita sebenarnya berpeluang
untuk mengenali dengan lebih dekat akan destinasi pelancongan, kebudayaan, dan
warisan negara. Tamsilannya, negara kita kaya dengan pelbagai keindahan khazanah
alam semula jadi seperti Taman Negara Mulu, Taman Negara Kinabalu, Melaka Bandar
raya Bersejarah, dan Georgetown yang telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia
oleh UNESCO. Sementelahan pula, masyarakat majmuk di negara kita telah
mewujudkan kepelbagaian budaya dari segi kesenian, perayaan, dan makanan.
Dengan kata lain, kita akan lebih memahami budaya dan adat resam pelbagai kaum
rakyat Malaysia jika melancong dalam negara. Oleh yang demikian, akan timbullah
perasaan bangga dan cinta akan tanah air. Pendek kata, usahlah kita bersikap seperti
lembu yang sentiasa melihat rumput di seberang lebih hijau daripada rumput-rumput
yang sedang diragut.

Di samping itu, pertambahan bilangan pelancong domestik mampu menjana


pertumbuhan ekonomi negara. Hal ini, secara tidak langsung akan menambah peluang
pekerjaan dan perniagaan. Misalnya, industri perhotelan, taman tema, restoran, dan
pusat beli-belah yang sinonim dengan industri pelancongan akan menawarkan banyak
peluang pekerjaan dan perniagaan jika sektor ini berkembang. Pelbagai bidang kerjaya
boleh dicipta daripada bahagian pengurusan hinggalah ke bahagian khidmat
pelanggan. Buktinya, sektor pelancongan telah berjaya menjana pendapatan sebanyak
RM40 bilion keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada tahun 2011. Izharnya, bagi
menjamin sektor ini terus menyumbang kepada KDNK, kita tidak boleh terlalu
bergantung kepada kemasukan pelancong asing yang dipengaruhi oleh banyak faktor
seperti wabak penyakit dan keselamatan global. Tuntasnya, pelancong tempatan
memberikan impak yang besar kepada kemajuan industri pelancongan domestik.

Jika kita renungkan sejenak, kita akan mendapati bahawa apabila kita melancong
dalam negara kita dapat menjimatkan kos. Realitinya, jika berhajat untuk melancong ke
luar negara, kita memerlukan bajet yang besar untuk tambang pengangkutan, tempat
penginapan, dan makan minum. Hal ini, akan lebih membebankan jika melibatkan
kadar tukaran wang kerana kadang kala negara yang ingin kita lawati, kadar tukaran
wangnya lebih tinggi daripada mata wang kita misalnya, Jepun, Korea, Singapura dan
Britian. Kelebihan yang kita peroleh apabila melancong dalam negara ialah ghalibnya
kita diberikan potongan harga atau diskaun oleh pihak hotel atau pihak pengurusan
taman tema. Malahan, kita boleh memandu kenderaan sendiri untuk bergerak dari
suatu destinasi ke suatu destinasi, bukankah itu akan menyelamatkan bajet kita.
Deduksinya, jika hendak melancong ukurlah baju di badan sendiri kerana jika kita
melancong dalam negara, kita tidak perlu berbelanja besar.

Tambahan pula, aktiviti melancong dalam negara mampu menjadi wadah untuk
merapatkan hubungan kekeluargaan. Hal ini disebabkan kos melancong dalam negara
yang secara relatifnya lebih murah daripada melancong ke luar negara. Oleh itu, ibu
bapa boleh membawa ahli keluarga dalam bilangan yang lebih besar, terutamanya
anak-anak. Pada kesempatan ini, sambil berseronok mengunjungi pelbagai destinasi
pelancongan pilihan, ibu bapa dapat meluangkan masa dengan anak-anak dan sekali
gus akan memperkukuh ikatan kekeluargaan ibarat sambil menyelam minum air.
Ringkasnya, ketika musim cuti sekolah, ibu bapa ambillah peluang yang ada untuk
membawa anak-anak melancong untuk menyuburkan ikatan ukhuwah antara ahli
keluarga kerana kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

Konklusinya, pelancong domestik mampu memacu kepada iklim ekonomi yang


memberangsangkan. Pada masa yang sama dapat menyemai semangat patriotik yang
seterusnya memperkukuh jati diri rakyat tempatan. Oleh itu, pelbagai prakarsa untuk
memajukan industri pelancongan domestik hendaklah disokong oleh warga tempatan
demi kelestarian industri berkenan. Janganlah kita menjadi sokong yang membawa
rebah. Akhirul kalam, melanconglah agar kita tidak menjadi seperti katak di bawah
tempurung.

Faedah-faedah Melancong dalam Negara Sendiri

Dewasa ini halwa telinga dan mata kita sering dihidangkan dengan pelbagai inisiatif
oleh pihak kerajaan untuk menggalakkan lebih ramai rakyat untuk melancong dalam
dan luar negara. Persoalannya, apakah faedah melancong dalam negara sendiri?

Pelbagai maslahat melancong dalam negara telah dikenal pasti. Salah satu
daripadanya ialah semangat patriotisme dapat ditanam dalam sanubari setiap individu.
Hal ini adalah kerana, apabila melawat tempat-tempat dan bangunan bersejarah seperti
Chimney Labuan, bandar Melaka, Stadium Merdeka, Memorial Pengisytiharan
Kemerdekaan, secara tidak langsung semangat biar putih tulang jangan putih mata
dapat dibangkitkan.Tambahan pula, lokasi sedemikian turut memaparkan penderitaan
dan kepayahan hidup pada zaman penjajah. Tegasnya, semangat patriotisme pasti
dapat disemai dengan melancong dalam negara sendiri.
Selain itu, melancong dalam negara juga dapat merapatkan hubungan kekeluargaan
antara anggota keluarga terutamanya mereka yang jauh di mata tetapi dekat di hati.
Secara logiknya, apabila melancong ke daerah atau negeri lain, kita pasti akan terus
melawat ahli keluarga kita yang kebetulan menetap disana. Sambil menyelam minum
air, jurang pemisah antara ahli keluarga pasti akan terhapus lantas memapankan lagi
hubungan silaturahim yang sedia ada. Jadi, terbuktilah bahawa melancong dalam
negara sendiri dapat merapatkan lagi hubungan kekeluargaan seperti isi dengan kuku.

Disamping itu, tidak dapat dinafikan bahawa melancong dalam negara juga dapat
meningkatkan ekonomi negara khususnya dalam sektor pelancongan. Dalam era
modenisasi ini, negara acap kali berdepan dengan masalah kewangan. Oleh itu,
dengan melancong dan seterusnya berbelanja dalam negara, secara tidak langsung
perihal tersebut akan menyuntik pendapatan negara seterunya menambah aliran wang
masuk negara. Pendek kata, sudah terang lagi bersuluh, dengan melancong dalam
negara sahaja, kita turut menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara.

Intihanya, melancong dalam negara mendatangkan pelbagai maslahat yang berguna


untuk individu, komuniti waima bumi watan ini. Seruan kerajaan untuk menggalakkan
kita melancong dalam negara tidak harus dipandang enteng agar kemajuan dan
kemakmuran negara terus terjamin pada masa hadapan.