You are on page 1of 3

PT3 adalah satu daripada komponen di bawah Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) di mana murid ditaksir

untuk menilai pencapaian akademik mereka di peringkat menengah rendah iaitu di Tingkatan 3.
Soalan PT3 disediakan berasaskan sukatan pelajaran Tingkatan 1, 2 dan 3.
Bilakah pelaksanaan PT3 ini bermula?
Pelaksanaan PT3 dijalankan secara berperingkat seperti Jadual 2 berikut:
Apa kelebihan PT3 berbanding PMR sehingga sistem peperiksaan berpusat yang telah dilaksanakan 20 tahun lalu
dimansuhkan?
JOHARA: PT3 yang dilaksanakan adalah satu komponen pentaksiran berasaskan sekolah, manakala PMR adalah
peperiksaan berpusat yang dijalankan serentak di semua sekolah di seluruh negara.
PMR dikendalikan sepenuhnya oleh Lembaga Peperiksaan dari segi penyediaan kertas soalan, pentadbiran
peperiksaan, pemeriksaan skrip jawapan dan pengeluaran keputusan.
Bagi PT3 Lembaga Peperiksaan menyediakan instrumen pentaksiran (soalan), panduan penskoran dan
menetapkan tempoh pelaksanaan tetapi pentadbiran, pemeriksaan skrip jawapan dan pengeluaran keputusan
dilakukan oleh pentadbiran sekolah.
Bukankah sistem peperiksaan berpusat selama ini telah berjaya melahirkan ramai pelajar cemerlang?
JOHARA: Memang benar sistem peperiksaan terbukti melahirkan pelajar yang cemerlang dari segi intelek atau
pencapaian akademik.
Tetapi hasrat sistem pentaksiran kini adalah lebih dari hanya memberi penekanan dan melaporkan pencapaian
akademik murid .
Tujuan pentaksiran adalah lebih meluas lagi, kita harus mewujudkan pentaksiran yang dapat merubah teknik
pengajaran dan pembelajaran di sekolah bagi melahirkan modal insan yang berketerampilan dan lebih yakin
dengan potensi diri.
Perubahan ini perlu bagi menjayakan program transformasi pendidikan dan Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia 2013-2025.

Sejak PT3 diperkenalkan, antara kerisauan ibu bapa adalah anak mereka tidak lagi berpeluang memasuki
tingkatan empat di sekolah berasrama penuh (SBP), sekolah sukan, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kerana
tiada lagi Pernyataan Keputusan seperti Penilaian Menengah Rendah (PMR). Berasaskah kebimbangan ini?
JOHARA: Ia tidak benar. Biarpun tanpa Pernyataan Keputusan PMR, murid masih boleh menggunakan
pelaporan PT3 untuk memasuki mana-mana sekolah termasuk SBP, sekolah menengah kebangsaan agama atau
MRSM.
Malah melalui PBS, pelaporan peringkat menengah rendah memberi gambaran tentang kebolehan dan
perkembangan potensi murid yang lebih menyeluruh kerana merangkumi empat pelaporan iaitu Pelaporan
Perkembangan Pembelajaran Murid, Pelaporan PT3, Pelaporan PAJSK dan Pelaporan Pentaksiran Psikometrik.
Pelaporan ini juga dapat membantu murid membuat keputusan yang lebih tepat dalam pemilihan aliran
pendidikan di peringkat menengah atas sama ada mahu memilih Aliran Sains, Sastera, Teknikal, Perakaunan dan
sebagainya.
Melalui Ujian Psikometrik, akan dapat mengenal pasti kebolehan semula jadi dan kebolehan yang diperoleh
murid daripada pengalaman dan persekitaran.
Maklumat tentang kecenderungan kerjaya murid pula boleh diperolehi melalui Inventori Minat Kerjaya dan
maklumat tentang kecerdasan serta minat atau kecenderungan murid diperolehi melalui Ujian Aptitud Khusus.
Sejauh mana relevan PT3 dengan pembangunan pendidikan ketika ini?
JOHARA: Biarpun PT3 tidak berasaskan peperiksaan berpusat, namun pelaporan PT3 akan digunakan sebagai
salah satu pelaporan untuk menentukan kemasukan pelajar Tingkatan 4 sama ada di SBP, sekolah menengah
kebangsaan agama, MRSM termasuk sekolah menengah teknik dan kolej vokasional.
Kemasukan ke sekolah-sekolah tersebut juga akan menggunakan pelaporan PAJSK dan Ujian Psikometrik bagi
memastikan pemilihan dan penempatan pelajar bersesuaian dengan kemampuan, minat dan potensi diri.
Jelaskan operasi PT3 yang berasaskan sekolah?
JOHARA: Melalui PT3, pihak sekolah akan menyediakan jadual pentadbiran, menguruskan pentadbiran
pentaksiran, memeriksa skrip jawapan murid berpandukan panduan penskoran yang disediakan Lembaga
Peperiksaan dan mencetak pelaporan PT3.
Jika PT3 berasaskan sekolah, apa pula fungsi Lembaga Peperiksaan (LP) dalam perkara membabitkan
operasinya?
JOHARA: Dari segi pengoperasian, LP menyediakan jadual kerja, peraturan pentadbiran serta panduan
penjaminan kualiti. LP serta personel pentaksiran yang dilantik akan menjalankan penjaminan kualiti bagi
memastikan pentadbiran PT3 dan pemeriksaan skrip jawapan dilaksanakan mengikut peraturan pentadbiran,
garis panduan dan panduan penskoran yang disediakan oleh LP. Pelaksanaan penjaminan kualiti adalah penting
bagi memastikan kesahan dan kebolehpercayaan gred yang diterima murid.
Bagaimana Pelaporan Pentaksiran Psikometrik berfungsi membantu pelajar membuat pilihan aliran di tingkatan
empat?
JOHARA: Laporan ujian psikometrik boleh digunakan dalam penempatan murid ke aliran yang sesuai dengan
minat, bakat, potensi diri dan perancangan masa hadapan mereka.
Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) pula melaporkan aktiviti jasmani, sukan,
kokurikulum dan ekstra kurikulum seseorang murid. Laporan ini dapat memberi input tentang penyertaan,
penglibatan dan pencapaian murid dalam sukan, permainan, kelab, persatuan, badan beruniform.
Tahap fizikal murid juga dilaporkan melalui Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan (SEGAK) dan Body Mass
Index (BMI).
Laporan terperinci ini dapat memberi maklumat awal tentang bakat dan kebolehan pelajar dari aspek
kepemimpinan, keupayaan fizikal dan keunggulan sahsiah.
Memandangkan penilaian PT3 dibuat oleh sekolah masing-masing dan tidak lagi oleh Lembaga Peperiksaan,
timbul kesangsian terhadap integriti guru yang membuat taksiran. Apa komen puan?
JOHARA: Bagi memastikan pengurusan PT3 ditadbir dengan berkesan, LP akan sentiasa memantau dan menilai
pelaksanaannya.
LP telah menyediakan Panduan Penjaminan Kualiti bagi memastikan pentadbiran PT3 dan pemeriksaan skrip
jawapan mematuhi garis panduan yang telah disediakan.
Lagipun kita akan pentaksir kawasan yang akan membuat semakan ke atas skor atau pemarkahan yang dibuat
oleh guru-guru pentaksir sekolah.
Jadi tidak timbul soal guru pentaksir terlalu tegas atau terlalu lenient sebab mereka membuat taksiran mengikut
garis panduan.
Oleh itu semua pihak tidak perlu bimbang atau sangsi dari segi kesahihan dan kebolehpercayaan pentaksiran itu
kerana akan sentiasa dipantau dari semasa ke semasa.
Adakah pelaksanaan PT3 akan dapat mengurangkan kritikan sesetengah pihak yang mengatakan sistem
pendidikan negara terlalu berorientasikan peperiksaan?
JOHARA: Sudah tentu. Hal ini kerana dengan PT3, penekanan tidak lagi terhadap keputusan peperiksaan
cemerlang semata-mata sebaliknya penglibatan pelajar menjawab soalan di dalam kelas, menyiapkan kerja
rumah selain penglibatan mereka dalam aktiviti kokurikulum.
Matlamat pendidikan seharusnya seperti yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu untuk
melahirkan modal insan yang berketerampilan dan pada masa sama, dapat mengembangkan bakat dan potensi
diri.
Penambahbaikan sistem pentaksiran ini dapat menyediakan warga negara yang akan berbakti dan memberi
sumbangan bererti kepada agama, bangsa dan pembangunan negara.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20140629/pe_01/PT3-bukan-sekadar-


peperiksaan#ixzz51hqEQ3ZK
© Utusan Melayu (M) Bhd