You are on page 1of 5

SOALAN-SOALAN LAZIM MENGENAI MQA

1. Apakah itu MQA?


Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency, MQA) merupakan agensi di bawah
Kementerian Pengajian Tinggi yang telah ditubuhkan pada 1 November 2007 dengan
berkuatkuasanya Akta Agensi Kelayakan Malaysia (Akta 679).

MQA merupakan agensi baru yang ditubuhkan dengan penggabungan Lembaga Akreditasi Negara
(LAN) yang mengawal kualiti kursus pengajian di IPTS dengan Bahagian Jaminan Kualiti,
Kementerian Pengajian Tinggi yang mengendalikan penilaian jaminan kualiti program di IPTA
sebelum ini. Penubuhan MQA menjadikan sistem jaminan kualiti pengajian tinggi Malaysia terletak di
bawah satu agensi tunggal yang tidak membezakan semua IPT. MQA juga adalah pemegang
amanah Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Framework, MQF) yang
merupakan ’perlembagaan’ pengajian tinggi negara.

2. Mengapakah MQA menggantikan LAN?


Penubuhan MQA menjadikan sistem jaminan kualiti pengajian tinggi Malaysia terletak di bawah satu
agensi tunggal yang tidak membezakan semua IPT yang terdiri daripada IPTA, IPTS, Politeknik, Kolej
Komuniti, dan IPT di bawah kementerian lain. Di bawah LAN dahulu, skop penilaian jaminan kualiti
hanya tertumpu kepada IPTS sahaja.

Penubuhan MQA juga adalah atas rasional untuk mewujudkan dan melaksanakan perkara utama
yang menjadi ciri penting menjadikan Malaysia sebagai negara yang mempunyai reputasi baik
dalam pendidikan tinggi iaitu :
1. Menubuhkan sebuah badan jaminan kualiti yang seragam, adil dan telus (MQA)
2. Membangunkan Kerangka Kelayakan Kebangsaan sebagai rujukan semua kelayakan (MQF)
3. Mewujudkan pusat maklumat yang sahih dan dipercayai (MQR).

3. Adakah fungsi MQA sama dengan LAN?


Secara amnya, MQA masih menjalankan fungsi LAN sebelum ini khususnya dalam menjamin kualiti
pengajian tinggi. Walau bagaimanapun, MQA juga menjalankan pelbagai fungsi lain seperti berikut
:
1. Melaksanakan MQF sebagai titik rujukan Kelayakan di Malaysia;
2. Membangunkan kriteria dan standard sebagai rujukan kebangsaan bagi penganugerahan
kelayakan dengan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan;
3. Menjamin kualiti institusi-institusi pengajian tinggi dan program-program;
4. Memberi perakuan akreditasi kepada program-program yang memenuhi kriteria dan
standard yang ditetapkan;
5. Memudah cara pengiktirafan dan penyetaraan kelayakan; dan
6. Mengendalikan Daftar Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Register, MQR)

4. Dengan adanya MQA, bagaimana status kursus pengajian yang telah diakredit oleh LAN?
Kursus yang telah mendapat Akreditasi LAN yang masih dalam tempoh sah laku akan didaftarkan di
dalam MQR. Tetapi apabila kursus tersebut telah tamat tempoh sah laku, ia perlu melalui penilaian
MQA bagi tujuan Akreditasi.

1
5. Apa yang dimaksudkan dengan Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications
Framework, MQF)?
MQF adalah deklarasi Malaysia tentang kelayakan-kelayakan tempatan dan kualiti yang dimiliki
oleh kelayakan-kelayakan tersebut. MQF merupakan alat yang membangun dan mengklasifikasikan
kelayakan berdasarkan satu set kriteria yang dipersetujui kebangsaan dan ditanda aras amalan
antarabangsa yang menjelaskan tahap-tahap pembelajaran yang dicapai, hasil pembelajaran
bidang pengajian dan sistem kredit yang berasaskan beban pembelajaran pelajar. Kriteria ini
diguna pakai bagi semua kelayakan yang dianugerah pemberi pendidikan tinggi yang diiktiraf.
MQF menyatupadukan semua kelayakan negara.

MQF juga menyediakan laluan-laluan pendidikan yang menghubung kait kelayakan-kelayakan di


dalamnya secara sistematik, yang membolehkan individu memajukan diri melalui pemindahan kredit
dan pengakreditan pengalaman-pengalaman terkumpul (accreditation of prior experiential
learning) dalam konteks pembelajaran sepanjang hayat.

Dalam konteks jaminan kualiti negara, MQF merupakan ’perlembagaan’ pengajian tinggi yang
mana prinsip-prinsip umumnya harus dipatuhi oleh setiap program dan kelayakan yang ditawar dan
dianugerah oleh pemberi pendidikan tinggi. Prinsip-prinsip umum MQF meliputi definisi kelayakan,
sektor penganugerahan kelayakan, tahap kelayakan, hasil pembelajaran, kredit dan beban
pembelajaran, profil dan laluan pendidikan tinggi bagi kemajuan indidvidu.

6. Apakah yang dimaksudkan dengan tahap kelayakan dan laluan pendidikan di dalam MQF?
MQF menyediakan tahap kelayakan dan laluan pendidikan yang menghubungkaitkan kelayakan-
kelayakan secara sistematik. Ini membolehkan individu memajukan diri dalam pendidikan tinggi
melalui pemindahan kredit dan pengiktirafan pengalaman-pembelajaran terkumpul (accreditation of
prior experiental learning) yang diperoleh daripada pembelajaran formal, tidak formal dan
informal tanpa mengira masa dan tempat, dalam konteks pembelajaran sepanjang hayat.

Terdapat lapan tahap kelayakan di dalam MQF yang mewakili tiga sektor pendidikan tinggi
negara dan disokong oleh laluan pendidikan sepanjang hayat. Sektor tersebut adalah (a) Sektor
Kemahiran; (b) Sektor Vokasional dan Teknikal; dan (c) Sektor Pengajian Tinggi.

Sijil Kemahiran yang dianugerahkan dalam Sektor Kemahiran berada di Tahap 1 hingga 3. Sijil
Pengajian Tinggi dan Vokasional dan Teknikal berada di Tahap 3. Manakala Diploma dan Diploma
Lanjutan berada di Tahap 4 dan 5. Ijazah Sarjana Muda berada pada Tahap 6 diikuti dengan
Ijazah Sarjana (Tahap 7) dan Ijazah Kedoktoran (Tahap 8).

Setiap tahap adalah dibezakan oleh hasil pembelajaran dan jam kredit berasaskan kepada beban
belajar pelajar.

7. Apakah yang dimaksudkan dengan hasil pembelajaran (learning outcome)?


Pencapaian pelajar diukur oleh hasil pembelajaran. Hasil pembelajaran ini menetapkan kompetensi
yang patut diperoleh oleh pelajar apabila selesai mengikuti satu-satu program pengajian. Ciri-ciri
ini terkandung dalam lapan domain hasil pembelajaran iaitu;
1. Pengetahuan ilmu bidang;
2. Kemahiran praktikal;
3. Kemahiran dan tanggungjawab sosial;
4. Nilai, sikap dan profesionalisme;
5. Kemahiran komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan;
6. Kemahiran penyelesaian masalah dan kemahiran saintifik;
7. Kemahiran pengurusan maklumat dan pembelajaran sepanjang hayat; dan
8. Kemahiran mengurus dan keusahawanan.

Pencapaian hasil pembelajaran ini pula akan diukur menggunakan pengiraan sistem kredit yang
berasaskan kepada beban sebenar jam pembelajaran pelajar (student learning time) dan tidak lagi
berasaskan jam kontak antara pensyarah dan pelajar.

2
8. Apakah yang dimaksudkan dengan sistem kredit berasaskan Student Learning Time (SLT)?
Student Learning Time (SLT) bermaksud beban sebenar jam pembelajaran pelajar yang mengambil
kira semua aktiviti pembelajaran termasuk persediaan material di perpustakaan dan pencarian
sumber maklumat di internet. SLT diambil kira bukannya berasaskan kepada jam kontak antara
pensyarah dan pelajar semata-mata.

9. Apakah kriteria yang digunakan MQA dalam menilai kursus pengajian di IPT?
Selain berpandukan kepada MQF, MQA juga telah membangunkan Kod Amalan Program Akreditasi
dan Kod Amalan Audit Institusi. Kod-kod amalan ini menetapkan sembilan aspek utama yang dijamin
oleh MQA iaitu :
1. Visi, misi dan hasil pembelajaran
2. Rekabentuk program dan penyampaian
3. Kepilihan dan sistem sokongan pelajar
4. Penilaian pelajar
5. Staf akademik
6. Sumber pendidikan/kemudahan pengajaran dan pembelajaran
7. Penilaian program
8. Kepimpinan, governan dan pentadbiran
9. Penambahbaikan kualiti berterusan

10. Apakah yang dimaksudkan dengan Kelulusan?


Kebenaran bertulis yang dikeluarkan oleh Menteri Pengajian Tinggi bagi membolehkan IPT
mengendalikan sesuatu kursus pengajian. Kelulusan wajib diperoleh sebelum IPT dibenarkan
mengendalikan kursus pengajian. Walau bagaimanapun, kelulusan ini tidak bermaksud satu-satu
program itu telah diakredit oleh MQA atau telah diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

11. Apakah yang dimaksudkan dengan Akreditasi Provisional?


Akreditasi Provisional bermaksud fasa awal penilaian sesuatu program yang menuju kepada
Akreditasi (Penuh). Ia bertujuan untuk membantu dan mempermudahkan IPT mendapat Akreditasi
bagi program yang telah diluluskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dengan syarat ia
meningkatkan kualiti dan standard yang dinyatakan.

12. Apakah yang dimaksudkan dengan Akreditasi?


Akreditasi merupakan satu pengiktirafan rasmi kepada IPT bahawa sijil, diploma atau ijazah yang
akan dianugerahkan kepada graduan adalah selaras dengan standard yang ditetapkan oleh MQA.

13. Apakah perbezaan antara Akreditasi dan Pengiktirafan?


Akreditasi merupakan pengesahan pencapaian kualiti dalam penilaian jaminan kualiti yang
dilaksanakan oleh MQA. Ia merupakan jaminan MQA kepada pelbagai pihak berkepentingan
dalam bidang pendidikan tinggi termasuk para pelajar, ibu bapa, majikan dan lain-lain bahawa
program pengajian yang diakredit oleh MQA merupakan program berkualiti. Ia juga merupakan
platform atau asas kepada pihak-pihak lain untuk mengiktiraf program dan kelayakan tersebut
bagi tujuan-tujuan yang berlainan.

Pengikitirafan pula bermaksud penerimaan satu-satu kelayakan oleh pihak-pihak tertentu bagi
tujuan tertentu. Sebagai contoh, pengiktirafan kerajaan melalui JPA adalah syarat untuk
dipertimbangkan berkhidmat di sektor awam. Sebagai makluman, JPA hanya akan mengiktiraf
program pengajian yang telah mendapat akreditasi MQA bagi maksud berkhidmat dengan
kerajaan.

14. Adakah program IPTA turut diakredit oleh MQA?


Program pengajian IPTA, Politeknik dan Kolej Komuniti turut diakredit oleh MQA. Walau
bagaimanapun, semua program berkenaan yang telah mendapat pengiktirafan JPA sebelum MQA
ditubuhkan akan didaftarkan terus ke dalam MQR. (Pengemaskinian maklumat kursus IPTA sentiasa
dibuat dari semasa ke semasa). Manakala bagi program baru yang hendak dikendalikan, ia akan
tertakluk kepada proses jaminan kualiti yang ditetapkan oleh MQA.

3
15. Adakah pihak MQA menjalankan penilaian Akreditasi dan memberi pengiktirafan kepada IPT di
luar negara?
Tidak. Pengiktirafan kerajaan Malaysia ke atas IPT luar negara adalah di bawah bidang kuasa
JPA.

Buat masa ini MQA hanya melaksanakan jaminan kualiti ke atas program dari institusi tempatan.
Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat permohonan dari institusi luar negara untuk
mendapatkan akreditasi MQA, ia akan dipertimbangkan.

Namun dalam soal bidang kuasa JPA.


16. Berapa lamakah tempoh sah laku Akreditasi MQA?
Akreditasi program di bawah MQA tiada tempoh sah laku tetapi pihak MQA akan menjalankan
proses pemantauan di institusi berkenaan untuk memastikan kualiti kursus-kursus tersebut terus
dipertingkat.

17. Bagaimana hendak menyemak senarai kursus pengajian yang telah diakredit MQA?
Semakan senarai kursus yang telah diakredit MQA boleh dibuat dengan melayari portal MQR.
Terdapat pelbagai cara untuk mencari maklumat yang dikehendaki seperti panduan berikut:
1. Layari Laman Web MQA di alamat http://www.mqa.gov.my --> klik pada butang MQR di
bahagian Sistem On-line.
2. Layari http://www.mqa.gov.my/mqr/index.htm. Kemudian rujuk kepada tajuk Panduan
dalam portal MQR.

Semakan boleh dibuat melalui pelbagai kata kunci (keyword) contohnya nama kelayakan, nama IPT,
bidang pengajian dan sebagainya.

18. Apakah yang dimaksudkan dengan Malaysian Qualifications Register (MQR)?


Malaysian Qualifications Register (MQR) merupakan sumber rujukan dan panduan berkaitan
program pendidikan tinggi yang menyenaraikan semua kelayakan yang telah diakreditkan dan
dianugerahkan oleh Pemberi Pendidikan Tinggi sama ada dari dalam dalam dan luar negara.
Program atau kelayakan ini hendaklah selaras dengan Kerangka Kelayakan Malaysia.

19. MQR diwujudkan bertujuan :


1. Menyediakan maklumat mengenai semua kelayakan berdasarkan program yang telah
diakredit;
2. Membolehkan semua pihak berkepentingan mengetahui, memahami serta membuat
perbandingan mengenai ciri-ciri sesuatu kelayakan dan hubungkaitnya dengan kelayakan
yang lain; dan
3. Memudahkan proses pemindahan kredit.
4. Maklumat yang terkandung dalam MQR adalah seperti berikut:
5. Nama dan alamat IPT;
6. Nombor rujukan kelayakan;
7. Nama kelayakan;
8. Bidang kelayakan;
9. Tempoh sahlaku;
10. Tahap kelayakan;
11. Tempoh pengajian; dan
12. Jam kredit bergraduat.

Maklumat tambahan seperti penyataan hasil pembelajaran program, syarat kelayakan masuk dan
sebagainya akan dimasukkan dari semasa ke semasa.

Maklumat dalam MQR juga boleh digunakan untuk mengeluarkan perakuan atau pernyataan yang
jelas tentang sesuatu kelayakan yang telah didaftarkan. Pihak yang berkepentingan termasuk
masyarakat umum boleh merujuk kepada MQR untuk mendapatkan pengesahan mengenai status
sesuatu kelayakan. Cabutan daripada Daftar Kelayakan ini boleh dikeluarkan tertakluk kepada
permintaan pihak berkenaan.

4
20. Apakah kelebihan program yang diakredit dan didaftar dalam MQR?
Antara kelebihan program atau kursus yang didaftar dalam MQR adalah seperti berikut:
1. Program telah melalui proses jaminan kualiti iaitu ia selaras dengan standard dan kriteria
yang ditetapkan dan mematuhi Kerangka Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications
Framework, MQF). Sila rujuk kepada maklumat mengenai Sistem Jaminan Kualiti di laman
web MQA http://www.mqa.gov.my/sjk.cfm
2. Memudahkan pemindahan kredit
3. Membolehkan pelajar melanjutkan pengajian di institusi tempatan atau luar negara
4. Membolehkan pelajar dipertimbangkan untuk pelantikan ke perkhidmatan awam
5. Memudahkan pelajar mendapat bantuan kewangan

21. Adakah pihak IPT boleh menggunakan logo MQA untuk tujuan pengiklanan atau masih
menggunakan logo LAN?
Pihak IPT boleh menggunakan logo MQA bagi kursus pengajian yang telah mendapat akreditasi
dengan mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.

You might also like