You are on page 1of 4

1/8/2018 Mat Lela - Pahlawan Pahang

MAT LELA - PAHLAWAN PAHANG


Mat Lela - Pahlawan Pahang
BESI BERAT DIKUIS DENGAN KAKI

“Kalau awak nak, awak alihlah sendiri! Awak buat susahkan saya saja!” Tercalar dengan kata-kata biadap kontraktor itu, Hj. Mat Lela
lantas menguis besi penghentak itu dengan kaki kanannya, ”Boooom!!!burrrrr……” besi penghentak itu terus terjunam ke dalam sungai.

DALAM lipatan sejarah, Mat Lela memainkan peranan yang amat besar dalam menentang campurtangan Inggeris di negeri Pahang.
Mat Lela adalah anak kepada Datuk Bahaman Orang Kaya Setia Perkasa Pahlawan Semantan. Mat Lela turut berjuang bersama Datuk
Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, Awang Nong, Teh Ibrahim, Mamat Kelubi, Panglima Hitam Hj Othman @ Radin Damabulan dan
sahabat-sahabat seperjuangan yang lain dari tahun 1891 hingga 1895. Nama beliau turut terpahat dalam Sejarah Pahang sebagai
pahlawan Melayu terbilang.

Nama Mat Lela banyak digunakan oleh masyarakat Melayu dahulu. Di negeri Pahang hanya ada dua orang yang mempunyai nama
serupa yang memiliki ilmu kepahlawanan yang cukup tinggi. Sudah semestinya salah seorang itu adalah Mat Lela anak Datuk Bahaman
sendiri dan seorang lagi yang ramai belum mengenalinya ialah Hj. Mat Lela bin Buang.

Hj. Mat Lela bin Buang yang ingin penulis kisahkan kali ini merupakan sahabat baik kepada Mat Kilau Pahlawan Pahang. Beliau
mempunyai ilmu setanding dengan ilmu kepahlawanan Mat Kilau. Jika Mat Kilau memiliki buntat embun, gagah dan boleh
menghilangkan diri, Hj. Mat Lela pun begitu juga. Mungkin mereka sama-sama berguru tetapi disebabkan Mat Kilau menjadi buruan
pihak Inggeris maka sahabat-sahabat beliau terpaksa merahsiakan perhubungan antara mereka.

Hj. Mat Lela


Hj. Mat Lela atau dikenali dengan panggilan Tok Janggut berasal dari Kg. Luit, Maran, Pahang. Ketika Sultan Ahmad Al Muazzam Shah
(Sultan Pahang pertama) bersemayam di Pekan, Hj Mat Lela sudah tinggal di Kg. Merchong, Nenasi, Pekan. Beliau hidup dalam zaman
pemerintahan lima orang Sultan iaitu daripada Sultan Ahmad Al Muazzam Shah, Sultan Mahmud, Sultan Abdullah Al Mu’tasim Bi’llah,
Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al Muazzam Shah dan Sultan Hj. Ahmad Shah.

Tidak diketahui sama ada Hj. Mat Lela pernah mengangkat senjata menentang Inggeris di Pahang. Beliau terlalu banyak menyimpan
rahsia. Para pemberita pernah datang untuk mengcungkil rahsia tentang hubungan baik beliau dengan Mat Kilau. Apabila diajukan
http://imamazhari.blogspot.my/2017/02/mat-lela-pahlawan-pahang.html 1/4
1/8/2018 Mat Lela - Pahlawan Pahang

soalan, beliau hanya berkata pernah mendengar nama Mat Kilau sahaja. Sedangkan Mat Kilau kerap datang bertandang ke rumah
beliau. Itulah akrabnya seorang sahabat, rahsia sekali-kali tidak akan dibocorkan kerana sumpah telah dilafazkan bagi merahsiakan
identiti masing-masing.

Sewaktu Mat Kilau tinggal di Kg. Aur, Rompin beliau seringkali menziarahi Hj. Mat Lela. Pak Andak Aman (allahyarham) anak kepada
Hj. Mat Lela pernah melihat seorang tua seringkali datang bertemu ayahnya. Melihatkan kemesraan mereka, beliau ingin mendapatkan
kepastian siapakah gerangan sahabat ayahnya itu. Pada peringkat awal, ayahnya tidak mendedahkan identiti sahabatnya itu. Tetapi
akhirnya beliau mengakui sahabatnya itu adalah Mat Kilau. Tetapi ayahnya tidak mahu rahsia itu dipecahkan kerana Mat Kilau sendiri
menyamar dengan memakai gelaran Mat Din dan Mat Dahan.

Mat Kilau juga pernah menyarankan kepada kaum keluarganya untuk menziarahi Hj. Mat Lela. Jika tiada apa- apa ikatan, masakan Mat
Kilau begitu menghormati Hj. Mat Lela. Hj. Abu Bakar bin Awang (allahyarham), anak murid dan menantu kesayangan Mat Kilau juga
tidak melepaskan peluang bertemu Hj. Mat Lela.

Mat Kilau pernah bercerita kepada anak muridnya Ishak bin Awang (allahyarham), abang kepada Hj. Abu Bakar bahawa di daerah
Pekan terdapat seorang tua yang gagah bernama Hj. Mat Lela. Ketika itu sebuah jambatan besar sedang dibina bagi kemudahan
penduduk kampung. Setelah kerja-kerja hampir siap, besi penghentak bagi kerja- kerja tersebut dibiarkan berada di atas jambatan. Ia
menjadi penghalang laluan penduduk kampung. Apabila disuarakan kepada kontraktor, kontraktor itu tidak menghiraukannya dan
menyuruh penduduk kampung mengalihkannya sendiri. Masakan boleh diangkat begitu saja kerana beratnya hanya layak diangkat
dengan kren sahaja.

Penduduk kampung sudah tidak dapat bersabar lagi. Itulah saja jalan penghubung buat mereka mencari rezeki. Macam mana
kenderaan hendak lalu jika laluannya terhalang. Akhirnya mereka menemui Hj. Mat Lela bagi meminta bantuan. Hj. Mat Lela mencari
kontraktor itu dan akhirnya bertemu di atas jambatan tersebut. Beliau meminta jasa baik kontraktor itu untuk mengalih halangan di atas
jambatan itu.

Kontraktor itu dengan angkuhnya berkata, “Kalau awak nak, awak alihlah sendiri! Awak buat susahkan saya saja!”

Tercalar dengan kata-kata biadap kontraktor itu, Hj. Mat Lela lantas menguis besi penghentak itu dengan kaki
kanannya,”Boooom!!!burrrrr……” besi penghentak itu terus terjunam ke dalam sungai. Kontraktor cina itu terpinga- pinga. Beliau dalam
keadaan terketar- ketar terus menghulurkan tangan untuk memohon maaf daripada Hj. Mat Lela.

Guru Zol Hj. Mat Lela

Guru Zol, guru utama Perguruan Seni Silat Gayang Lian juga adalah anak kepada Hj. Mat Lela. Beliau masih mengingati saat-saat
manis ketika bersama ayah beliau. Beliau juga adalah Dewan Pendekar Persatuan Silat Negeri Pahang dan Dewan Perguruan
Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia.

Beliau bukannya hendak menceritakan kehebatan ayah beliau, hanya sekadar ingin berkongsi pengalaman. Orang- orang Melayu
dahulu penuh ilmu di dada. Ilmu-ilmu yang tuntut digunakan untuk membebaskan tanahair dari cengkaman penjajah. Tok Gajah, Datuk
Bahaman, Mat Kilau, Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong, Datuk Maharaja Lela, Dol Said dan beberapa nama lagi menggunakan
kehebatan ilmu mereka untuk kepentingan masyarakat Melayu itu sendiri.

“Semasa kecil saya sering mengikut ayah ke dalam hutan mencari akar-akar kayu. Saya diajar mengenal berbagai jenis akar kayu
seperti rempah gunung, sekecut, tongkat ali hitam, serapat, jenjulung, akar meroyan, kacip fatimah dan sebagainya lagi. Ada tumbuhan
boleh dijadikan penawar dan ada yang beracun. Ayah sentiasa mengamal meminum akar-akar kayu untuk kekal sihat hingga ke usia
tua,” cerita Guru Zol.

Hj. Mat Lela memakai buntat embun. Pemakai buntat embun jarang tidur pada waktu subuh. Sewaktu embun turun mereka bertambah
segar dan tidak merasa mengantuk. Di waktu inilah mereka melakukan kerja-kerja ringan di dalam rumah.

“Setiap pagi ayah tadah air embun dalam satu bekas. Dia beritahu air embun banyak khasiatnya. Ia diminum untuk menyihatkan badan
dan dititis bagi mencerahkan mata. Di usia tua pun ayah masih boleh membaca Al-Quran tanpa memakai cermin mata, ” jelas Guru Zol.

http://imamazhari.blogspot.my/2017/02/mat-lela-pahlawan-pahang.html 2/4
1/8/2018 Mat Lela - Pahlawan Pahang

Hj. Mat Lela juga boleh mengubati orang sakit. Rumah beliau sentiasa dikunjungi orang bertujuan untuk berubat dan mendapatkan air
penawar. Beliau juga boleh mengetahui siapa yang akan bertandang ke rumahnya walaupun tidak membuat temujanji terlebih dahulu.

“Kalau ada orang nak datang, ayah akan berpesan kepada anak-anak supaya jaga tingkah laku. Dia beritahu sekejap lagi akan sampai
tiga orang lelaki, seorang Melayu, seorang Cina dan seorang India untuk berubat. Betul! Tidak beberapa lama tibalah orang-orang yang
beliau maksudkan. Memang hairan kerana orang itu tidak pernah buat temujanji sebelum ini,” ujar Guru Zol.

Hj. Mat Lela turut menurunkan ilmu- ilmu perubatan kepada anak-anaknya. Dengan izin Allah, Guru Zol boleh berikhtiar untuk merawat
demam campak, kembung, gatal kulit, kayap, sawan, sakit raja, bisul, lekat uri, lekat tulang, selusuh, mengesan punca penyakit sama
ada sakit dalam badan sendiri atau angkara sihir dan mengesan orang-orang yang hilang. Khidmat beliau sentiasa diperlukan bagi
menangani masalah ini.

Pada 8 Disember 1941, kerajaan Jepun telah mengisytiharkan perang terhadap kerajaan British dan Amerika Syarikat. Pada hari yang
sama, mereka telah mendarat di Kota Bharu, Kelantan dan Patani lalu menyerang tentera pihak British dan sekutu-sekutunya di sana.
Dua hari selepas peristiwa itu tentera Jepun telah dapat menenggelamkan dua buah armada besar angkatan perang tentera British
bernama Prince Of Wales dan Repulse yang dalam pelayaran di Laut Cina Selatan menuju ke Teluk Siam.

Sewaktu pendudukan Jepun, kehidupan aman damai yang dikecapi bertukar menjadi porak peranda. Tentera Jepun mula memasuki
daerah Pekan dan seterusnya menuju ke Kg. Merchong. Orang-orang kampung lari ke hutan belantara bagi menyelamatkan diri
masing-masing. Tinggallah Hj. Mat Lela keseorangan bagi menjaga kampung tersebut. Kemasukan tentera Jepun tidak sekali-kali
menggentarkan beliau.

Tentera Jepun tidak dapat menyelongkar rumah-rumah dan kedai-kedai yang ditinggalkan kerana pergerakan mereka sentiasa dihalang
oleh Hj. Mat Lela. Hendak ditangkap, Hj. Mat Lela tidak nampak oleh pandangan mata kasar sehinggakan ramai askar Jepun
dicederakan oleh beliau. Tentera Jepun merasa cukup ganjil dan akhirnya meninggalkan kampung tersebut.

Anak-anak Hj. Mat Lela dididik sepenuhnya dengan ilmu agama. Solat lima waktu wajib ditunaikan, jika tidak, rotan sudah tersedia di
tangan untuk menghukum.

“Sebelum masuk waktu maghrib, tugas saya membakar sabut kelapa di bawah rumah. Asapnya boleh menghalau nyamuk. Ayah tidak
mahu seekor nyamuk pun menganggu ketika dia sedang bersolat.

Kami juga dididik dengan sifat berani. Untuk ke sekolah kami terpaksa melalui hutan tebal. Di situ terdapat kesan-kesan tapak kaki
harimau dan beruang. Bila kami beritahu ayah, dia kata binatang pun nak makan dan nak hidup macam kita juga. Kalau belum sampai
ajal kita tak akan mati disebabkan haiwan-haiwan itu,” beritahu Guru Zol.

Di hutan yang sama Hj. Mat Lela pernah diterkam dari belakang oleh seekor beruang yang amat besar. Beruang itu mencakar dan
mengigit tetapi ilmu orang dahulu, kulit sedikit pun tidak terjejas. Akhirnya beruang itu dapat beliau tewaskan dan diserahkan kepada
pihak mergastua.

Batang nibung adalah sumber rezeki Hj. Mat Lela. Permintaannya amat tinggi untuk dijadikan kelong di laut. Pokok nibung yang
ditebang diikat dengan tali, dipintal dan ditarik sedikit demi sedikit oleh beliau untuk dikumpul pada satu tempat. Memang kerja itu
merumitkan kerana batang nibung itu panjang dan berduri. Pernah orang-orang kampung mengintai, apabila tiada orang berhampiran,
Hj. Mat Lela memikul batang-batang nibung itu. Mereka berasa amat terkejut. Memang betullah cakap- cakap orang bahawa Hj. Mat
Lela itu memiliki ilmu gagah.

Seorang tauke cina di kampung itu pernah menempah kepala payang untuk perahu besar beliau daripada Hj. Mat Lela. Setelah
menunggu beberapa bulan, kepala payang itu masih belum disiapkan. Beliau menemui Hj. Mat Lela dan mahukan kepala payang itu
disiapkan segera. Sedangkan perjanjian untuk disiapkan masih ada beberapa minggu lagi.

Keesokkan paginya tauke itu membuka pintu rumahnya. Aiyaaa…..! Beliau amat terkejut. Kepala payang berada di depan mata.
Bagaimana ia boleh berada di situ? Untuk mengangkatnya saja memerlukan tenaga sepuluh orang perkasa. Ini memang kerja Hj. Mat

http://imamazhari.blogspot.my/2017/02/mat-lela-pahlawan-pahang.html 3/4
1/8/2018 Mat Lela - Pahlawan Pahang

Lela. Kepala payang itu diangkatnya seorang pada waktu malam. Tauke itu mencari Hj. Mat Lela untuk memohon maaf. Beliau tahu
orang tua ini tidak boleh buat sembarangan.

Sewaktu majlis perkahwinan anaknya, Hj. Mat Lela sendiri bersilat pulut berpasangan dengan Tok Putih. Tok Putih juga adalah pawang
besar di kampung itu. Tari pulut yang dipersembahkan amat cantik dan menarik sekali.

“Saya tanya ayah silat apa yang dibawanya. Dia kata itu Silat Laksamana. Bila saya kata nak belajar dia kata tak pandai. Memang saya
tak percaya. Dia suruh saya cari guru silat lain kalau nak belajar,” jelas Guru Zol.

Di atas saranan ayahnya, Guru Zol mencari guru dan belajar daripada Pak Atan Hussin dari Perguruan Silat Lian Buah Pukul dan
Anjang Adam dari Perguruan Seni Pencak Silat Sangkar Rewana.

Pada 26 Disember 1969, Mat Siam telah mengisytiharkan dirinya bahawa beliau adalah Mat Kilau anak Tok Gajah yang menentang
campurtangan Inggeris di Pahang dahulu. Daripada perisytiharan itu, orang ramai datang dari merata tempat menziarahi Mat Kilau di
Pulau Tawar, Jerantut dan di rumahnya di Batu 5, Jalan Gambang, Kuantan.

Hj. Mat Lela hanya mengeleng kepala. Beliau berkata, “Mat Kilau nak matilah tu. Sebab itulah dia mengaku diri dia.”

Hj. Mat Lela sebenarnya adalah seorang tokoh yang tidak mahu ditonjolkan. Beliau berpegang kepada sumpah dan janji. Beliau
meninggal dunia pada tahun 1995 diusia 118 tahun akibat sakit tua dan dikebumikan di pusara Kg. Merchong, Nenasi, Pekan. Alfatihah
buat tokoh-tokoh yang pernah berjasa.

http://imamazhari.blogspot.my/2017/02/mat-lela-pahlawan-pahang.html 4/4