You are on page 1of 6

BAB 1

TEORI DAN KONSEP


KERAJAAN TEMPATAN

1. Nyatakan beberapa definisi kerajaan tempatan?

JAWAPAN
 Sebenarnya tidak ada satu pentakrifan yang tepat mengenainya. Walau bagaimanapun, definisi-definisi yang telah
diberikan oleh kebanyakan sarjana sudah cukup untuk menggambarkan apa sebenarnya kerajaan tempatan. Orang
yang pertama sekali menggunakan istilah kerajaan tempatan (local government) ialah Jeremy Bentham (di England).
Kerajaan tempatan adalah satu cara pentadbiran sesebuah negara di peringkat bawahan iaitu melalui pentadbiran
daerah menerusi pegawai daerah, jabatan, agensi dan perbadanan kerajaan yang tertentu. Sedangkan Penguasa
Tempatan pula ialah unit-unit dalam sistem pentadbiran kerajaan tempatan.

Dilys M. Hill telah mendefinisikan kerajaan tempatan sebagai;

"Kerajaan tempatan pada umumnya bermaksud sebagai satu unit sistem wilayah yang ditentukan oleh sempadan-sempadan,
identiti yang sah, struktur institusi, tugas dan kuasa yang ditentukan secara am dan kedudukan khas, dan darjah kewangan
serta lain-lain autonomi."

(Hill, 1974:23).
Bagi Emil J. Sady pula;

"Kerajaan tempatan merujuk kepada bahagian kecil politik bagi sebuah negara atau (dalam sistem persekutuan) negeri yang
tertakluk oleh undang-undang dan mempunyai kawalan yang besar terhadap hal-ehwal tempatan, termasuk kuasa-kuasa
mengadakan cukai atau buruh tetap untuk tujuan yang dinyatakan. Badan yang mentadbirsebagai satu entiti
adalah dilantik atau dipilih."
(Sady, 1962:135).

Sementara itu Georrey pula mentakrifkan kerajaan tempatan sebagai;

"Satu proses yang mana fungsi dan perkhidmatan awam tertentu ditanggung oleh satu set unit-unit wilayah dalam negeri."

(Robert, 1971:116).

Menurut Abdullah Ayub pula kerajaan tempatan ialah;

"Pemerintahan yang dijalankan oleh sesuatu lembaga atau majlis dalam sesuatu kawasan tertentu untuk kebajikan dan
kesentosaan penduduk yang tinggal dalam kawasan itu."
(Abdullah Ayub, 178:128).
2. Nyatakan apakah yang dimaksudkan dengan kebebasan tempatan (Local Liberty)?

JAWAPAN
 Kebebasan tempatan boleh dikesan dengan kemunculan wilayah negara moden (modern state), apabila muncul satu
teori politik klasik yang memikirkan apakah badan tempatan itu sebagai kedaulatan kawasan para pengundi di
negeri yang berbentuk separuh berdaulat (quasi sovereign constituent of the state) atau sebagai badan perantaraan
peringkat bawah antara kedaulatan dan subjeknya. Daripada pendekatan inilah membolehkan manusia melahirkan
perasaan atau keinginan mereka di tempat sendiri, yang seterusnya menjadi titik permulaan kepada pembentukan
teori kerajaan tempatan dan seterusnya berkembang hingga ke hari ini. Perkembangan teori tradisional ini boleh
dilihat daripada aspek ‘local liberty’ atau kebebasan tempatan. Dua konsep 'borough' dan 'communes' telah muncul
serentak dalam ‘Western Christendom’ antara tahun 1050 dan 1250. Kemunculan konsep ini disebabkan oleh adanya
keinginan penduduk di beberapa tempat kepada berbagai-bagai kebebasan yang akan memberikan mereka
kemudahan yang lebih besar daripada apa yang telah diberikan oleh golongan feudal. Ringkasnya, keadaan ini
menunjukkan kesedaran di kalangan penduduk tempatan terhadap hak-hak kebebasan mereka yang sepatutnya
diberikan oleh pemerintah feudal pada masa itu. Hak-hak kebebasan yang dituntut termasuklah hak pemilikan
harta peribadi (tanah), hak penentuan bayaran hasil tanaman, hak mempertahankan diri dan sebagainya. Daripada
masalah-masalah inilah telah muncul pemikiran baru tentang kebebasan tempatan di Eropah dan di negara negara
yang dijajah oleh mereka.

3. Nyatakan apakah yang dimaksudkan dengan Perbadanan Berpiagam ?

JAWAPAN
 Konsep ini membezakan antara korporat berpiagam yang merupakan satu keseluruhan dengan badan persatuan
yang merupakan satu bentuk persendirian. Teori perbadanan berpiagam ini dipengaruhi oleh yayasan yang
merupakan satu badan naungan yang diperbadankan supaya mereka boleh menggunakan kebajikan yang kekal
untuk kepentingan pelanggan tertentu. Dengan kata lain, piagam bererti satu 'grant' bukan satu kontrak.
Perkembangan ini menunjukkan adanya satu badan berpiagam (charted corporation) yang diwujudkan untuk
menjaga kepentingan ahli-ahlinya

4. Nyatakan apakah yang dimaksudkan dengan Pendekatan Badan Perantaraan (Intermediary Body) ?

JAWAPAN
 Konsep/teori badan perantaraan ini telah dipopularkan oleh Jean Bodin hingga ke zaman Mountesqueiu selama
200 tahun. Jean Bodin mengiktiraf kewujudan antara. negeri dan keluarga sebagai tuan rumah kepada perbadanan
dan maktab, estet dan komuniti, dan mengkaji apakah keuntungan atau kesukaran yang diperolehi dengan konsep
'commonweale'. Bodin juga menekankan bahawa sesebuah 'municipality' itu ternyata mempunyai beberapa kategori
seperti ia diberi kuasa atau dibenarkan oleh kedaulatan melaksanakan autoriti terhadap beberapa perkara dalam
bidang kuasanya dan di dalam kawasannya. Sekiranya ia melebihi kuasa yang diberikan kepadanya maka ketua
atau pemimpinnya boleh dihadkan atau dilarang daripada menjalankan autoriti itu atau kemudahan-kemudahan
yang diberikan akan ditarik balik. Montesquieu juga mengakui bahawa pihak berkuasa tempatan sebagai satu
status yang beperlembagaan dalam negara itu, dengan satu peranan yang menentukan satu daripada gerak kuasa
yang menyeimbangkan kuasa kedaulatan negara itu, manakala dalam masa yang sama menikmati beberapa kuasa
kedaulatan yang diturunkan kepada pihak tempatan tersebut.
5. Nyatakan apakah yang dimaksudkan dengan Badan Pengundi (Constituent Bodies) ?

JAWAPAN
 Satu pendekatan alternatif dan bersifat evolusi telah diperkenalkan oleh beberapa ahli falsafah seperti Johannes
Althusius, Nassau dan East Friesland. Mereka banyak mendasarkan kepada pemikiran lojik seperti yang
diutarakan oleh Calvin dan Bodin, yang antara lain bertitik tolak daripada perkara-perkara yang dianggap runcing
atau kritikal. Pokok persoalan ialah bertitik-tolak daripada sifat semula, jadi manusia yang stika hidup bersama
dan berkelompok, yang semuanya mempunyai kepentingan bersama, memerlukan perkhidmatan dan peraturan-
peraturan tertentu. Mereka juga mengklasifikasikan manusia dalam bentuk kelompok piramid. Sebahagian
daripada manusia dikelaskan sebagai orang biasa, sebahagiannya pula dikelaskan kepada negara kota, (city state)
dan ada juga yang tinggal di luar bandar atau wilayah-wilayah yang tertentu.. Daripada konsep negara kota inilah
munculnya 'municipal cooporation' yang mengandungi keseluruhan badan persendirian bagi ahli-ahli kumpulan
tersebut, iaitu kuasa utama terletak secara kolektif. Daripada sini bermulanya satu pernyataan klasik dengan
pendapat minoriti mulai didengar dalarn abad yang kemudiannya, apabila ada usaha-usaha dibuat untuk
menjadikan badan tempatan sebagai unit kuasi separuh kedaulatan kerajaan sendiri (quasi-sovereign units of self
government) atau antara lain boleh dianggap sebagai kawasan pengundi yang mempunyai kuasa yang diberikan oleh
pihak yang lebih tinggi.

1.4 PENDEKATAN MODEN

6. Bandingkan secara ringkas Teori Utilitariniasm Turgot dan Jeremy Bentham?

JAWAPAN
 Teori Utilitarianisme Turgot dikatakan menjadi persoalan yang penting dan sering mendapat perhatian
daripada ahli falsafah. Turgot menganggap pentadbiran tempatan patut diberi pertimbangan dan tidak diasingkan.
Beliau sendiri telah mengambilnya sebagai satu fasal utama dalam perancangan pemulihan sistem kewangan di
jabatannya. Beliau mahukan rakyat membiasakan diri dalam membaharui dan memberi nafas baru di peringkat
tempatan sebelum membawa sesuatu perkara itu ke peringkat yang lebih tinggi.

Untuk memahami hak-hak dan kepentingan manusia, perlu dilihat kepada keadaan semula jadi manusia itu sendiri,
iaitu setiap peringkat terdapat satu kepentingan bersama ke arah menggabungkan tenaga dan sumber-sumber
untuk memberi khidmat kepada mereka sendiri. Daripada fahaman inilah munculnya pembahagian kepentingan
mengikut susunan piramid yang dinamakan 'four levels of municipality' (empat tingkat badan tempatan).

Asas pembahagiannya adalah seperti berikut:


(i) Grande municipalite generale du royaume (Grand Municipality General)
(ii) Municipalite de province (Municipality Province)
(iii) Municipalite d'election (Municipality Election)
(iv) Municipalites de village (Municipality Village)
Badan tempatan atau 'municipality' ini diberikan kuasa mengendalikan kerja pembaikan jalan untuk kegunaan orang
ramai dan tugas ini juga terdapat di semua peringkat badan tempatan. Tanggungjawab badan tempatan yang
dicadangkan untuk memperuntukkan cukai itu menunjukkan bahawa reformasi Turgot mempunyai unsur
ekonomi dan fiskal yang penting, dan cadangan beliau ini merupakan intipati kepada pentadbiran tempatan
sendiri. Dengan adanya kuasa di kalangan penduduk yang mempunyai tanah dan kewajipan membayar cukai, maka
penduduk itu mempunyai kebebasan dalam menentukan hal-hal yang berkaitan dengan kawasan mereka dan
seterusnya memberikan undi mereka untuk memilih pegawai yang boleh menjalankan tanggungjawab sosial di
kawasan mereka (Wickwar, 1970:16).
 Manakala Teori Bentham pula telah mengemukakan dua prinsip
utama iaitu,
(i) The greatest happiness for the greatest number, dan (ii) The pleasure-pain principle.

Konsep-konsep ini menganggap 'kesejahteraan' adalah untuk seluruh rakyat walaupun pembahagian
'kesejahteraan' itu agak terhad. Pada pihak yang lain pula, menggambarkan aktiviti manusia untuk mencapai
'keseronokan' dan menghindarkan 'kesakitan'. Penekanan yang dibuat di sini memperlihatkan bahawa
kesejahteraan dan keseronokan itu merupakan sesuatu yang wajib dimiliki oleh setiap manusia. Bentham juga
berpendapat bahawa "undang-undang, pendidikan, pelajaran, pentadbiran dan perniagaan dibentuk semata-mata
untuk mengurangkan keseksaan dan menambahkan kebahagiaan, dan pencapaian ini adalah wajar". Bentham juga
meletakkan beberapa prinsip universal yang sesuai dengan keadaan, masa dan tempat yang tertentu. Antaranya
ialah:
(i) Keperluan satu susunan hierarki yang sistematik dalarn bidang-bidang kuasa mengikut wilayah.
(ii) Perbezaan fungsi antara peringkat yang lebih tinggi dengan peringkat yang lebih rendah, iaitu prinsip
peringkat lebih tinggi tertumpu kepada sidang dengar rayuan dalam perkhidmatan kehakiman.
(iii) Sesuatu kes itu biasanya didakwa atau diambil daripada peringkat yang paling rendah sekali atau diserahkan
kepada tribunal atau pihak-pihak tertentu. Bentham telah membahagikan wilayah dalam sesebuah negara
ke dalam bentuk daerah-daerah mengikut 'mathematical sub-division',
iaitu ‘sub-district’, ‘bis-subdistricts’, dan ‘tris-subdistricts’. Tiap-tiap subbahagian tersebut mempunyai 20 unit-
unit yang lebih rendah lagi. Bentham mencadangkan tiap-tiap unit diketuai oleh seorang ketua tempatan
dan mempunyai sebuah badan perundangan kecil tempatan yang dipilih. Sub-perundangan ini
menjalankan semua peraturan kerajaan atau menjalankan peraturan yang diarahkan oleh perundangan yang
lebih tinggi daripadanya.
1.5 DEMOKRASI KERAJAAN BERPERWAKILAN

7. Huraikan secara ringkas Teori Demokrasi Perwakilan yang dianjurkan oleh John Stuart Mills?

JAWAPAN
 Demokrasi Kerajaan Berperwakilan yang disarankan oleh John Stuart Mill pada 1822, telah menubuhkan
'Utilitarian Society' yang pada akhirnya menjadi suatu inspirasi kepada beliau ke arah untuk menyarankan prinsip-
prinsip 'Utilitarian Society’ ke dalam demokrasi tempatan. 'Utilitarian Society' ini bermaksud satu pertubuhan yang
ditubuhkan dalam masyarakat yang mempunyai objektif untuk mencapai kesejahteraan bagi seluruh ahli-ahlinya
dalam semua bidang. Mill menekankan sesebuah sistem kerajaan berperwakilan atau demokrasi, konsep
kebebasan dan penyertaan rakyat merupakan dua perkara yang penting untuk mencapai matlamat
mengurangkan keseksaan dan menambahkan kebahagiaan rakyat. Mill menyatakan bahawa peringkat kerajaan
tempatan merupakan sebuah komuniti yang kecil yang patut dijadikan asas atau anak tangga kepada pencapaian
matlamat seperti disebut di atas.

1.6 KONSEP KERAJAAN TEMPATAN KINI

8. Huraikan secara ringkas empat konsep desentralisasi di dalam sistem kerajaan tempatan?

JAWAPAN
Terdapat empat bentuk desentralisasi iaitu:
(i) Devolution (pengagihan/penyerahan kuasa)
(ii) Deconcentration (pecahan tumpuan)
(iii) Delegation (penurunan)
(iv) Transfer of function (perpindahan fungsi)

Walau bagaimanapun, hanya konsep Devolution dan Deconcentration sahaja yang akan dibincangkan kerana kedua-duanya
banyak diamalkan di kebanyakan negara.

(i) Devolution (Pengagihan/Penyerahan Kuasa)

Devolution ialah salah satu bentuk yang bertujuan untuk memberikan kebebasan yang luas melalui penurunan kuasa atau
tugas dan autoriti. Melalui prinsip ini, kerajaan pusat akan menyerahkan tugas-tugas tertentu atau menubuhkan unit-unit
baru kerajaan yang berada di luar kawalan terus daripadanya. Bentuk ini terdapat di Malaysia, Britain, Amerika Syarikat
dan banyak lagi.

Devolution juga merupakan kuasa membuat sesuatu keputusan dalam sesuatu daerah atau wilayah yang diturunkan kepada
badan yang mentadbir daerah itu, seperti pihak berkuasa tempatan (local authority). Di Malaysia, pihak berkuasa tempatan
atau kerajaan tempatan adalah bercorak pentadbiran devolution manakala pentadbiran daerah adalah bercorak deconcentration.

Devolution dalam bentuk tulen mempunyai beberapa ciri dan dasar tertentu, iaitu:
(i) Kerajaan tempatan mempunyai sempadan geografi yang jelas dan sah dalam menjalankan tugas dan kuasanya.
(ii) Kawalan kerajaan pusat terhadapnya adalah kecil dan tidak secara langsung, kerana ia bersifat autonomous, bebas
dan disatukan pada peringkat yang terasing daripada kerajaan pusat.
(iii) Devolution juga mempunyai kuasa mendapat sumber-sumber seperti kewangan untuk menjalankan tugas atau
dikenali sebagai autonomi kewangan.
(iv) Devolution juga menunjukkan keperluan untuk membina kerajaan tempatan sebagai satu institusi. Mereka diterima
oleh warganegara sebagai organisasi yang memberi khidmat dan menunaikan hak dan seterusnya sebagai salah satu
unit kerajaan yang mereka sendiri berpengaruh.
(ii) Deconcentration (Pecahan Tumpuan)

Konsep ini ditakrifkan sebagai sesuatu birokrasi memberikan kuasa membuat sesuatu keputusan berkaitan dengan
pentadbiran kepada sesuatu unit atau organisasi pentadbiran luar dengan nama pentadbiran tempatan. Proses ini
akan melibatkan pembahagian semula tanggungjawab pentadbiran hanya antara kerajaan pusat. Disebabkan
pentadbiran melalui deconcentration ini dikawal terus oleh kerajaan pusat, maka pegawai yang tetap mestilah
diperolehi dan mereka mempunyai kebolehan mengambil keputusan yang sempurna dan bertanggungjawab.
Sempadan tanggungjawab mereka juga mesti ditentukan agar mereka dapat mengetahui perkara yang patut dirujuk
ke ibu pejabat dan ibu pejabat pula haruslah menentukan supaya pentadbiran wilayah dan tempatan mengikuti
arahan kementerian atau ibu pejabat. Seseorang pegawai kawasan juga perlu menghubungi pegawai kawasan
daripada kementerian lain dengan mudah dan terus-menerus jika mereka bertugas dalam satu wilayah yang sama
dan mempunyai hubungan dengan masalah yang berkaitan.

1.7 PENGGUNAAN TEORI DAN KONSEP KERAJAAN TEMPATAN

9. Pada pendapat anda, apakah sistem kerajaan tempatan yang diguna pakai di Malaysia?

JAWAPAN
 Pentadbiran awam dan tempatan di Malaysia adalah warisan daripada penjajah British. Kerajaan tempatan yang
telah diamalkan di Malaysia boleh dilihat dalam sistem pentadbiran di Malaysia iaitu pihak berkuasa tempatan
adalah bercorak devolution manakala pentadbiran daerah bercorak deconcentration. Walau bagaimanapun, terdapat
sedikit perbezaan dalam penggunaan teori ini di Malaysia berbanding dengan Britain. Malaysia mengamalkan
sistem Federal (Persekutuan) sedangkan Britain mengamalkan sistem Unitary (Kesatuan). Pentadbiran tempatan di
Malaysia tertakluk kepada kerajaan negeri yang tertakluk pula kepada kerajaan pusat. Jadi, segala masalah di
peringkat tempatan akan dibawa ke peringkat negeri dan apabila negeri tidak dapat menyelesaikannya, barulah
dibawa ke peringkat pusat. Sedangkan di Britain, pentadbiran tempatan adalah tertakluk terus kepada kerajaan
pusat. Ini menunjukkan dengan jelas bahawa teori yang diutarakan dulunya, kini menjadi asas pentadbiran
tempatan.

10. Mengapa kita perlu mengkaji teori-teori kerajaan tempatan?

JAWAPAN
 Kajian mengenai teori kerajaan tempatan perlu untuk tujuan mengenal pasti sama ada sistem kerajaan tempatan
yang wujud di sesebuah negara itu menepati kehendak konsep dan falsafah kerajaan tempatan terutamanya dari
segi tujuan, pelaksanaannya serta tuntutan rakyat di sesebuah kawasan. Konsep pentadbiran daerah (tempatan)
termasuk di bawah istilah “field administration” (pentadbiran luar) misalnya merupakan satu cara kebanyakan negara
di dunia mentadbir wilayah yang jauh daripada pusat bandar. Istilah atau konsep “field administration” ini menjadi
satu struktur yang digemari oleh pemerintah kerana sesetengah negara itu saiznya amat luas dan tidak dapat
ditadbir secara berkesan dari ibu negara atau pusat pentadbiran. Satu lagi sebab ialah di negara-negara yang
mengamalkan demokrasi, terdapat tuntutan daripada rakyat supaya mereka yang jauh daripada pusat pemerintahan
tersebut dapat menentukan corak pentadbiran yang mereka kehendaki sendiri, dalam erti kata memberi sedikit
autonomi dalam pemerintahan wilayah mereka sendiri. Dalam pengertian organisasi pula, kerajaan tempatan boleh
juga dianggap sebagai salah satu unsur daripada konsep “decentralization” atau pemencaran kuasa.