You are on page 1of 10

PENGENALAN

Kecekapan pengurusan bilik darjah mesra budaya oleh seseorang guru berkait rapat
dengan keberkesanan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan boleh diterima
dan sesuai dengan murid yang terdiri daripada kepelbagaian bangsa dan etnik. Pengurusan
bilik darjah mesra budaya merupakan sebahagian daripada proses pengajaran dan
pembelajaran yang bertujuan untuk membina dan memupuk tingkah laku murid dalam bilik
darjah supaya proses pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan akan berjalan dengan
lancar dan tidak menyebabkan pergaduhan dan persengketaan antara murid. Suasana
pembelajaran yang berkesan tidak mungkin terbentuk hanya dengan memberi tumpuan
kepada proses penyampaian isi pengajaran guru sahaja tanpa melibatkan aspek pengurusan
bilik darjah mesra budaya serta tingkah laku murid.

Pengurusan bilik darjah mesra budaya bukan sekadar melibatkan pengurusan tingkah
laku murid sahaja tetapi merangkumi juga tindakan guru untuk mewujudkan dan mengekalkan
persekitaran pembelajaran yang kondusif di dalam bilik darjah. Keberkesanan dan kecekapan
kemahiran guru dalam menguruskan bilik darjah mesra budaya dapat merangsang
pembentukan iklim pengajaran dan pembelajaran yang selesa di dalam bilik darjah. Bahkan
kecekapan guru dalam mewujudkan iklim bilik darjah mesra budaya ini akan merangsang dan
mendorong kepada pembentukan murid yang bersatu hati dan harmoni. Oleh hal yang
demikian, bidang pendidikan memainkan peranan penting sebagai agen sosialisasi dan agen
perubahan kepada pembentukan masyakarat Malaysia yang harmoni dan menerima antara
satu sama lain. Tambahan, era globalisasi kini memperlihatkan bahawa masalah budaya dan
etnik menjadi punca kepada masalah perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sehubungan dengan itu, para guru perlu memahami dan menghayati konteks
kepelbagaian budaya di Malaysia khususnya dan dunia amnya. Para guru juga digesa untuk
mendalami Pembelajaran Abad Ke 21 (PA21) dan melasanakannya di peringkat sekolah. Hal
ini kerana, Pembelajaran Abad Ke 21 adalah bertujuan mewujudkan perpaduan antara
pelbagai kaum dan etnik di dalam usaha memupuk sikap positif dan timbul rasa hormat
terhadap perbezaan etnik, bangsa, dan budaya. Oleh itu, kemampuan guru dalam
melaksanakan Pembelajaran Abad Ke 21 akan mendorong kepada pembentukan
persekitaran bilik darjah mesra budaya yang diterima oleh semua kelompok murid.

1
1.0 LANGKAH – LANGKAH DALAM MEWUJUDKAN BILIK DARJAH MESRA BUDAYA
DENGAN MENGAMBIL KIRA ASPEK KEPELBAGAIAN SOSIOBUDAYA MURID

Bilik darjah merupakan unsur wajib kepada pelaksanaan proses pengajaran dan
pembelajaran. Oleh itu, pembentukan bilik darjah yang kondusif merupakan elemen utama
yang mendorong kepada keberkesanan dan keberhasilan proses pengajaran dan
pembelajaran. Walau bagaimanapun, persekitaran bilik darjah bukan sekadar melibatkan
unsur – unsur fizikal yang dapat dilihat dengan pancaindera semata – mata seperti ruang bilik
darjah serta peralatan di dalamnya, sebaliknya persekitaran bilik darjah turut melibatkan unsur
– unsur emosi dan hubungan kemanusiaan. Tambahan bagi bilik darjah yang menempatkan
murid – murid dari latar belakang etnik, adat dan budaya yang berbeza. Dalam situasi ini,
kedua – dua unsur tersebut sangat perlu digabungkan serta diserasikan untuk mewujudkan
persekitaran bilik darjah mesra budaya.

Perkataan mesra menggambarkan keselesaan, keceriaan dan kegembiraan.


Kemesraan wujud dan terjalin apabila manusia berhubungan dengan baik tanpa
persengketaan. Oleh itu, guru memainkan peranan penting dalam memahamkan murid –
murid dengan nilai pelbagai budaya yang terdapat di Malaysia dan dalam konteks ini nilai –
nilai murni menjadi pegangan yang mendorong kepada persefahaman, toleransi dan hormat
menghormati. Sehubungan itu, perkara utama yang perlu dilakukan oleh Cikgu Hashim
adalah mewujudkan kefahaman murid terhadap nilai dan budaya yang terdapat di Malaysia.
Murid perlu difahamkan bahawa kepelbagaian yang wujud di Malaysia perlu dilihat sebagai
satu set keunikan yang perlu diraikan dan dihormati. Guru juga perlu memastikan semua
murid yang berbeza dari aspek etnik, keturunan, bahasa, adat resam dan budaya perlu
dilayan dan mendapatkan pendidikan yang adil dan sama – rata. Hal ini dapat mengelakkan
jurang dan perasaan tersisih dalam kalangan murid. (Marimuthu, 1994)

Dalam konteks bilik darjah mesra budaya, keselesaan dan kegembiraan itu
diwujudkan oleh guru dan murid melalui perlakuan dan amalan yang positif sewaktu
berlangsungnya proses pengajaran dan pembelajaran. Lantaran itu, para guru perlu
menyedari bahawa pengurusan bilik darjah yang baik bukan semata – mata untuk mengawal
disiplin murid dan menghasilkan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan sahaja.
Bahkan para guru perlu berusaha mewujudkan satu persekitaran pengajaran dan
pembelajaran mesra budaya yang boleh diterima oleh semua murid yang mempunyai latar
belakang yang berbeza. Persekitaran bilik darjah mesra budaya yang berkesan adalah satu
persekitaran yang mampu mendorong kepada keberhasilan pengajaran dan pembelajaran
dalam memupuk minat dan kencederungan murid untuk bergiat aktif dalam membina
perhubungan yang positif antara mereka. (Alsagoff, 1985)

2
Sehubungan dengan itu, antara perkara yang perlu dititik beratkan oleh Cikgu Hashim
ialah pembinaan persekitaran bilik darjah mesra budaya yang mencakupi ruang fizikal dan
peralatan serta kemudahan pengajaran dan pembelajaran yang baik. Merujuk kepada kes
Cikgu Hashim seorang guru baru dari semenanjung yang ditempatkan di Sarawak telah
menghadapi masalah untuk menguruskan murid – muridnya yang terdiri daripada pelbagai
etnik. Keadaan kelas yang haru – biru dan kucar – kacir itu adalah disebabkan oleh
persekitaran bilik darjah yang tidak kondusif, panas dan tidak teratur. Susun atur di dalam bilik
darjah merupakan salah satu elemen yang mempengaruhi keberkesanan proses pengajaran
dan pembelajaran yang efektif. Oleh itu, Cikgu Hashim perlu mewujudkan persekitaran
pembelajaran kondusif dengan mengetengahkan aspek susun atur kedudukan di dalam kelas
dan mewujudkan ruang – ruang aktiviti yang boleh memberi keselesaan kepada murid. Aspek
pencahayaan dan pengudaraan juga perlu dititikberatkan. Sekiranya persekitaran pengajaran
dan pembelajaran diabaikan, besar kemungkinan masalah ini akan terus berterusan kerana
murid tidak berasa selesa untuk berada di dalam kelas tersebut. (Haliza Hamzah, Joy
Nesamalar Samuel, 2009)

3
Cikgu Hashim juga boleh mengawal masalah di atas dengan mengubah suasana
kedudukan dalam bilik darjah supaya kelihatan lebih fleksibal dan memudahkan urusan guru
dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Menurut Marland (1975), suasana fizikal bilik
darjah mungkin merupakan kawan atau musuh dalam proses pembelajaran. Persekitaran
fizikal bilik darjah sangat penting kerana ianya boleh menggalakkan atau menghalang
pembelajaran. Bahkan susun atur bilik darjah menjadi salah satu aspek yang ditekankan dan
diletak di dalam modul pembelajaran abad ke – 21. Guru boleh mewujudkan kedudukan bilik
darjah secara berkumpulan dan murid – murid digabungkan dan dicampurkan dari etnik dan
budaya yang pelbagai. Selain itu, Cikgu Hashim juga boleh mewujudkan sudut aktiviti untuk
menggalakkan murid – murid berinteraksi sesama mereka dalam menyelesaikan sesuatu
aktiviti. Hal ini kerana, kedudukan secara berkumpulan akan menggalakkan proses
perbincangan dalam mewujudkan interaksi positif antara murid – murid yang berbeza etnik
dan budaya. (Sua, 2010)
Aspek psikososial merujuk kepada hubungan antara keperluan emosi individu dengan
persekitaran sosialnya yang melibatkan hubungan interaksi antara murid dan guru. (Mee,
1993) Walau bagaimanapun, kajian kes yang diberikan menunjukkan psikososial yang positif
dalam bilik darjah tersebut gagal diwujudkan. Hal ini kerana, murid bertelingkah dan bergaduh
sesama mereka. Ini menunjukkan kegagalan dalam mewujudkan suasana selesa dan mesra
budaya dalam kalangan murid yang berbeza etnik dan mereka gagal untuk meraikan
perbezaan yang wujud, tidak sensetif dan peka kepada perbezaan individu, tiada suasana
yang merangsang pembelajaran, gagal mewujudkan komunikasi terbuka dan tidak
menggalakkan perkongsian idea serta tidak menggalakkan pembelajaran koperatif.
Permasalahan yang berlaku di dalam kelas tersebut juga keberangkalian dipengaruhi
oleh masalah komunikasi yang wujud antara guru dan murid yang datang dari kepelbagaian
etnik. Keunikan Malaysia mempunyai kepelbagaian budaya, bangsa dan etnik
memperlihatkan wujudnya bahasa yang divariasikan bukan sahaja mengikut bangsa bahkan
setiap etnik mempunyai loghat mereka tertentu yang melambangkan identiti sesebuah
masyarakat tersebut. Lantaran itu, untuk menarik minat murid – murid tersebut Cikgu Hashim
boleh menggunakan kata – kata sapaan mengikut loghat mereka yang pelbagai. Cikgu
Hashim juga boleh menggunakan loghat mereka untuk menegur mereka dan mengajarkan
loghat – loghat tersebut di dalam kelas supaya semua murid dapat memahaminya.
Kemampuan Cikgu Hashim dalam mempraktikkan loghat mereka akan membina hubungan
yang mesra dan positif antara guru dan murid serta dapat membina kejelekitan antara mereka.
Walau bagaimanapun, Cikgu Hashim perlu berusaha untuk menarik minat mereka
menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa standard dalam berkomunikasi semasa
proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. (Sua, 2010)

4
Hal ini kerana, komunikasi dan corak interaksi merupakan asas kepada pengurusan
bilik darjah yang baik. Kemahiran berkomunikasi berkesan memberikan peluang kepada
murid dan guru untuk berinteraksi secara mesra dan harmonis. Kefahaman dalam komunikasi
diperlukan bagi memastikan suasana pembelajaran yang aktif dalam melahirkan rasa
kekitaan. Sama ada komunikasi antara murid dan guru atau sesama murid itu sendiri.
(Norhashim Abu Samah, Mazenah Youp, Rose Alinda Alias, 1996) Kemahiran dalam
komunikasi di dalam bilik darjah boleh dibahagikan kepada dua iaitu kemahiran menghantar
maklumat dan kemahiran menerima maklumat di mana ianya merangkumi pertuturan yang
jelas dengan penggunaan bahasa yang boleh difahami oleh semua pihak. Lantaran itu,
menjadi cabaran kepada guru dan murid untuk berkomunikasi apabila murid di dalam kelas
tersebut mempunyai loghat yang pelbagai. (Hanafi, 2008)
Walau pun Cikgu Hashim berdepan dengan masalah untuk mengawal muridnya,
beliau tidak boleh membezakan antara murid semenanjung dan murid – murid Sabah dan
Sarawah. Setiap orang di Malaysia ini berhak mendapat pendidikan yang sama. Oleh itu,
Cikgu Hashim perlu bijak dalam mengatur strategi bagi melaksanakan proses pengajaran dan
pembelajaran yang mampu mengubah minat mereka kepada beliau. UNESCO telah
melancarkan perjuangannya iaitu ‘Education For All’ dalam memastikan hak pendidikan anak
– anak dijaga dan tidak ditindas. Untuk itu, guru - guru perlu mempunyai pengetahuan dan
kemahiran yang sesuai dan berkesan untuk melaksanakan proses pengajaran dan
pembelajaran berasaskan perbezaan latar belakang murid. Pedagogi relevan budaya
merupakan satu pendekatan yang paling sesuai untuk memenuhi matlamat akademik dan
tuntutan sosial murid – murid yang berlainan budaya. (Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying,
Sharifah Fakhriah Syed Ahmad, Zuraidh A. Majid, 2011)
Pedagogi relevan budaya ialah pedagogi yang mengupayakan kekuatan intelek, sosial,
emosi dan politik murid dengan merujuk budaya dalam menguasai kemahiran, pengetahuan
dan sikap. (Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying, Sharifah Fakhriah Syed Ahmad, Zuraidh A.
Majid, 2011) Cikgu Hashim perlu memahami dan mempraktikkan pedagogi relevan budaya di
dalam kelas supaya pendekatan yang di bawa ini mampu membantu beliau mengubah sikap
murid terhadap kepentingan pelajaran dalam kehidupan mereka. Pedagogi relevan budaya
ini menekankan kepada aspek pembelajaran yang mampu menghubungkan pengalaman
murid di rumah dengan pengalaman di sekolah serta memenuhi tuntutan dan keperluan
kurikulum. Cikgu Hashim boleh membawa contoh berkaitan dengan adat dan budaya mereka
di dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan budaya sebagai sumber
pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja akan menjadikan pembelajaran lebih berkesan
bahkan akan mewujudkan interaksi positif antara murid dan guru.

5
Selain daripada pelaksanaan pedagogi relevan budaya, Cikgu Hashim juga boleh
mempraktikkan penggunaan kemudahan dan peralatan pengajaran yang boleh
mempengaruhi proses pengajaran dan pembelajaran. Misalnya, Cikgu Hashim
mendatangkan peralatan – peralatan mesra budaya seperti permainan gendang “pampat”
yang boleh dimainkan sebelum aktiviti pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan.
Penggunaan alat – alat seperti ini akan menarik minat murid untuk belajar dan mereka akan
berasa seronok dan bangga kerana budaya mereka diketengahkan dan digunakan. Bahkan,
Cikgu Hashim juga perlu bijak mengurus dan memilih sumber pengajaran dan pembelajaran
yang mesra budaya. Pemilihan bahan sumber untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran
memainkan peranan yang penting dalam menarik minat murid yang pelbagai etnik dan budaya
untuk belajar dalam suasana yang menyeronokkan. Contohnya dalam menjalan aktiviti soal
jawab, Cikgu Hashim boleh menyuruh murid yang ingin menjawab soalan untuk
mempersembahkan dahulu tarian tradisional mereka. Aktiviti - aktiviti seperti ini akan
menggalakkan murid untuk terlibat aktif dalam aktiviti pembelajaran.

Di samping itu, Cikgu Hashim juga perlu memupuk nilai dan budaya Malaysia dalam
diri murid – murid. Murid perlu sentiasa diingatkan untuk mengamalkan nilai – nilai murni dan
adab kesopanan yang menjadi identiti masyarakat Melayu. Mereka perlu diingatkan bahawa
semua agama menyuruh penganutnya hidup secara harmoni tanpa persengketaan dan
permusuhan. Justeru itu, untuk mengawal murid yang bergaduh di dalam kelas itu Cikgu
Hashim perlu sentiasa menceritakan kepada mereka bagaimana nilai kesopanan dan
kesusilaan yang dianjurkan oleh adat dan budaya mereka. Aspirasi “Lima Prinsip Rukun
Negara” perlu diterapkan ke dalam diri para murid dalam membentuk mereka sebagai individu
yang cintakan negara. Hal ini kerana, guru dan sekolah sangat memainkan peranan sebagai
agen sosialisasi dalam memahamkan murid kelompok masyarakat berbilang kaum, budaya
dan etnik yang terdapat di Malaysia. (Banks, 1987) Cikgu Hashim juga perlu mewujudkan satu
hubungan kekeluargaan dengan murid supaya mereka sentiasa rasa disokong, saling
menyokong dan saling membantu dalam mencapai kehidupan yang berjaya dan berkualiti.

6
PENUTUP

Tuntasnya, Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai masyarakat


majmuk yang kaya dengan kepelbagaian etnik, budaya dan nilai. Oleh sebab itu, cabaran
guru menjadi lebih besar dalam menghasilkan proses pengajaran dan pembelajaran mesra
budaya yang relevan untuk semua bangsa, etnik dan budaya. Pembinaan persekitaran bilik
darjah mesra budaya perlu diberi satu penekanan oleh guru untuk mewujudkan satu proses
pengajaran dan pembelajaran yang berkesan terutamanya di sekolah – sekolah di Sabah dan
Sarawak. Guru – guru yang bertugas di sana bukan sahaha perlu menguasai kandungan
pengajaran mereka bahkan perlu diisi dengan kemahiran mengawal kelas yang jitu. Murid –
murid di Sabah – Sarawak kebiasannya menggunakan loghat mereka dalam berkomunikasi
antara satu sama lain. Oleh itu, menjadi tanggungjawab guru untuk memecahkan temboh
perbezaaan dengan melazimi mereka menggunakan bahasa Melayu dalam pertuturan harian.

Dalam era globalisasi ini, pengurusan jurang generasi perlu diuruskan dengan baik
oleh para guru supaya ia berupaya memberikan kesan positif terhadap cara komunikasi guru
yang berkesan malah dapat memupuk motivasi dalam kalangan murid untuk belajar dalam
suasana yang aman dan harmoni. Selain itu, Pembelajaran Abad Ke 21 juga perlu
diperkasakan kerana PA21 merupakan sebahagian daripada strategi untuk memahami variasi
murid dari masyarakat yang berbilang kaum dan berbilang budaya. PA 21 juga bertujuan
untuk membina identiti nasional iaitu rakyat Malaysia perlu mempunyai perasaan tidak
berbelah bahagi tentang identiti nasional dan berpegang teguh dengan prinsip Rukun Negara.

Untuk itu, tanggungjawab guru dalam membentuk satu keperibadian seseorang murid
dalam bilik darjah mesra budaya tidak boleh di ambil enteng kerana tugas seorang guru inilah
yang akan membentuk masa depan seorang anak bangsa sebagai pemuda dan pemudi
harapan negara ataupun keruntuhan perpaduan akan berlaku kembali. Sejarah peristiwa
rusuhan kaum 13 Mei 1969 perlu dijadikan pengajaran supaya episod hitam dan duka itu
takkan berulang kembali. Oleh itu, seorang guru itu hendaklah berusaha untuk menguasai
kemahiran dalam pengurusan disiplin bilik darjah mesra budaya supaya masyarakat yang
bersatu hati dapat dipupuk sejak dari peringkat sekolah lagi. Para guru perlu sentiasa
bersemangat dalam membentuk masa depan yang cerah terhadap nusa dan bangsa.

7
REFLEKSI

Saya telah diberikan tugas untuk menyiapkan tugasan yang berkod EDUP 3073 iaitu
BUDAYA DAN PEMBELAJARAN yang saya pelajari pada semester 4 Program Ijazah
Sarjana Muda Perguruan pada tahun ini. Alhamdulillah dengan izin Allah S.W.T tugasan ini
dapat saya siapkan dan dihantar mengikut tempoh masa yang ditetapkan oleh pensyarah
saya iaitu DR RAZALI BIN SHAFIE.

Amnya, tugasan kali ini sangat cabar kerana saya perlu mengenalpasti masalah yang
berlaku di dalam bilik darjah dan mengaitkannya dengan pengurusan bilik darjah mesra
budaya dalam mengatasi masalah tersebut. Tugasan ini juga menuntut saya untuk melihat
sendiri bagaimana punca masalah tingkah laku murid yang pelbagai berlaku disebabkan oleh
kepelbagaian etnik dan budaya.

Oleh hal yang demikian, menyiapkan tugasan ini membuatkan saya sedar sebagai
bakal guru menjadi kewajiban saya untuk mengetahui kepelbagaian etnik dan budaya yang
ada di Malaysia perlu dipelajari dan dihayati dengan baik. Pemahaman terhadap nilai budaya
yang pelbagai ini akan membantu para guru untuk merancang proses pengajaran dan
pembelajaran yang berkesan dan diterima oleh murid. Selain itu, tingkah laku bermasalah
mereka juga didorong oleh suasana kelas yang membosankan dan tidak mendatangkan
semangat untuk belajar. Lantaran itu, menjadi tanggungjawab guru juga untuk melengkapkan
diri dengan ilmu pengetahuan berkaitan pengurusan bilik darjah mesra budaya yang baik.

Berbalik pula kepada proses penyediaan kerja kursus ini pula. Sejujurnya, saya yakin
tempoh masa yang diberikan oleh pensyarah adalah bersesuaian, munasabah dan sesuai
untuk disiapkan tepat pada waktunya. Namun, dek kerana tugas dan jadual lain yang padat
saya terpaksa mengurangkan masa tidur dan rehat untuk menyiapkan tugasan ini. Selain
terlibat dengan aktivit rasmi di Ipg, saya juga terlibat dengan aktiviti sukarelawan yang lain.
Walau bagaimanapun, saya bersyukur dapat menyiapkan tugasan ini dalam masa yang sama
mempunyai masa untuk berkhidmat pada masyarakat.

Masalah internet bukanlah isu baru sepanjang tiga semester berada di Institut
Pendidikan Guru Sultan Mizan ini. Rungutan yang bertalu sudah acap kali dilontarkan dalam
kalangan murid, namun masih lagi masalah ini berleluasa. Sebagai mahasiswa pendidik di
sini, saya faham perkara ini tidak seharusnya diletakkan beban kepada pentadbiran dan
pengurusan Ipg seratus peratus. Hal ini kerana, negara kita kini menghadapi gemelut ekonomi
yang menuntut kita untuk melakukan penjimatan. Secara tidak langsung, institusi pendidikan
juga terlibat untuk melakukan penjimatan bagi mengurangkan bebas negara.

8
Demikian, dalam menyiapkan tugasan ini, saya secara peribadinya perlu melanggan
internet tambahan untuk mencari maklumat dan sebagainya. Walau bagaimanapun, dari
sudut positifnya, ini merupakan sebahagian pengorbanan yang perlu saya lakukan dalam
menuntut ilmu. Tambahan, saya juga telah dibekalkan dengan elaun bulanan. Cuma ianya
bergantung kepada saya untuk mengagihkan perbelanjaan saya sebaiknya.

Selain itu, pada pengamatan saya mutu buku yang disediakan di pusat sumber juga
kurang memuaskan. Kebanyakannya adalah buku lama dan kurang mengikut kandungan
pelajaran yang terkini. Walau bagaimanapun, sedikit sebanyak buku – buku yang disediakan
tersebut dapat membantu saya untuk membuat rujukan menggunakan sumber yang sahih.

Ironinya, segala cabaran dan kekangan tersebut dapat saya hadapi dengan baik
kerana banyak dibantu dan diberi tunjuk oleh pensyarah saya DR RAZALI BIN SHAFIE dan
rakan – rakan pensyarah semuanya. Bahkan kawan – kawan sekelas serta rakan sebilik saya
banyak memberi cadangan dan komen yang kontruktif untuk saya melakukan
penambahbaikan dalam penulisan akademik saya ini. Seterusnya saya berharap segala input
– input berguna yang saya perolehi semasa menyiapkan tugasan ini, dapat saya manfaatkan
sebaik mungkin dalam dunia pendidikan kelas. Akhir kalam, bangkit jatuh sebuah pendidikan
bermula dan berakhir dengan seorang guru dan saya bakal pendidik yang akan mendidik anak
bangsa.

9
BIBLIOGRAFI

Alsagoff, S. A. (1985). Sosiologi Pendidikan. Selangor: Heinemann ( Malaysia) Sdn.Bhd.

Banks, O. (1987). Sosiologi Pendidikan. Selangor: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Haliza Hamzah, Joy Nesamalar Samuel. (2009). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku.
Shah Alam: Oxford Fajar Sdn.Bhd.

Hanafi, Z. (2008). Pengenalan Sosiologi. Selangor: Meteor Doc. Sdn.Bhd.

Marimuthu, T. (1994). Pengenalan Sosiologi Pendidikan. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar


Sdn.Bhd.

Mee, L. S. (1993). Asas Pendidikan 2: Psikologi Dalam Bilik Darjah. Kumpulan Budiman
Sdn.Bhd.

Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying, Sharifah Fakhriah Syed Ahmad, Zuraidh A. Majid.
(2011). Budaya dan Pembelajaran. Shah Alam: Pxford Fajar Sdn. Bhd.

Sua, T. Y. (2010). Isu Bahasa, Etnik dan Pembinaan Negara Bangsa dalam Sistem
Pendidikan Malaysia. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia.

10

You might also like