You are on page 1of 12

1.

0 Pengenalan
Dada bahasa, hijrah memberi maksud perpindahan dari satu tempat ke tempat
yang lain. Ia lebih kepada gerakan fizikal. Kemudian, Rasulullah s.a.w. menukarkan
makna fizikal kepada maknawi seperti sabdanya yang bermaksud ‘Orang yang
berhijrah itu ialah dengan meninggalkan larangan Allah SWT’. Dari sudut istilah pula,
perkataan Hijrah boleh dibahagikan kepada dua maksud yang utama. Antaranya ialah:-
a) Berpindahnya Rasulullah s.a.w. daripada Makkah ke Madinah. Begitu
juga yang dilakukan oleh sahabat Baginda s.a.w.. Perpindahan ini kerana
semata-mata agama bukan membabitkan laba dan keuntungan duniawi.
b) Perpindahan dari negeri kufur ke negeri Islam. Jika sekiranya niat
kerana Allah SWT, maka hijrah itu termasuk dalam hijrah syara’.

Ibn Rajab al-Hanbali berkata bahawa asal-usul perkataan hijrah ialah
meninggalkan Negara syirik dan berpindah ke Negara Islam, sepertimana para
muhajirin berhijrah sebelum pembukaan Makkah dan Madinah. Sebelum itu juga,
sebahagian daripada mereka telah berhijrah ke bumi Habsyah yang diperintah oleh al-
Najasyi.

Dalam pada itu, Ibnu Qayyim (Kitab al-Risalah al-Tabukiah, hlm 24-25)
menyebut hijrah terbahagi kepada dua. Antaranya ialah:-
a) Hijrah dengan tubuh badan dari sebuah negeri ke sebuah negeri yang lain.
b) Hijrah dengan hati kepada Allah SWT dan RasulNya, iaitu hijrah yang
mengandungi (daripada) dan (kepada). Iaitu hijrah dengan hatinya daripada
cinta selain Allah SWT kepada cinta kepada-Nya. Daripada ubudiyyah selain-
Nya kepada ubudiyyah Allah SWT.

Kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah pula membahagikan hijrah kepada beberapa
jenis. Ini yang dinyatakan oleh Ibn Daqiq al-’Id iaitu nama perkataan hijrah diberi
kepada beberapa bahagian atau perkara. Antaranya ialah:-
a) Hijrah pertama ke Habsyah ketika golongan kufar menyakiti para sahabat.
b) Hijrah kedua dari Makkah ke Madinah.
c) Hijrah ketiga iaitu hijrah pelbagai kabilah dan kaum kepada Rasulullah
s.a.w. untuk mempelajari hukum syara’. Kemudian mereka pulang ke halaman
masing-masing dan mengajar kaum mereka sendiri.

1
d) Hijrah keempat iaitu hijrah siapa yang memeluk Islam di kalangan
penduduk Makkah yang datang mengunjungi Rasulullah s.a.w. kemudian
pulang semula ke Makkah.
e) Hijrah kelima iaitu sesiapa yang berhijrah daripada segala larangan Allah.

Berdasarkan kepada penerangan dan huraian di atas, dapat dilihat bahawa hijrah
adalah suatu bentuk perpindahan daripada perkara buruk kepada perkara yang lebih
baik seperti berhijrah daripada melakukan perkara syirik kepada kepatuhan terhadap
perintah Allah. Konsep hijrah Rasulullah s.a.w. pula adalah perpindahan Baginda
bersama-sama dengan sahabat dari Mekkah ke Madinah ekoran daripada penindasan
yang dilakukan ke atas umat Islam. Penghijrahan Rasulullah s.a.w. ini juga adalah atas
perintah Allah s.w.t. agar dapat memudahkan Baginda menyebarkan syariat Islam.

2.0 Faktor Hijrah
Hijrah Rasulullah s.a.w. dari Mekkah ke Madinah adalah disebabkan oleh
beberapa faktor. Ianya bermula menerusi perjanjian Aqabah di mana penduduk
Madinah menerima agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Oleh yang
demikian, faktor penghijrahan Rasulullah s.a.w. adalah disebabkan oleh beberapa
faktor seperti mana yang dihuraikan di bawah:-

a) Bai’atul Aqabah
Termeterainya Bai’at Aqabah mempercepatkan lagi proses Hijrah. Melalui
bai’at ini, Rasulullah s.a.w. telah dapat menjangka sambutan penduduk
Madinah adalah lebih baik. Dalam Bai’at Aqabah pertama, hanya 12 orang
yang terlibat manakala dalam Bai’at Aqabah kedua, bilangannya telah
meningkat kepada 73 orang. Orang Madinah bukan sahaja mahu menerima
Islam tetapi sanggup memberi perlindungan kepada Rasulullah s.a.w. dan orang
Islam.

b) Tekanan Musyirikin Mekah
Tekanan / Ancaman dari musyirikin Mekah telah mendorong Rasulullah s.a.w.
dan orang Islam berhijrah ke Mekah. Rasulullah s.a.w. dan orang-orang Islam
telah dihina, diseksa dan dipulau. Malah, Rasulullah s.a.w. sendiri telah

2
diancam untuk dibunuh. Orang-orang musyirikin mula menunjukkan
penentangan mereka apabila Rasulullah s.a.w. menyebarkan Islam secara
terbuka. Mereka bimbang kedudukan mereka dari segi politik, ekonomi dan
sosial akan terjejas.

c) Kegagalan Dakwah di Taif
Kegagalan dakwah di Taif menyebabkan Rasulullah s.a.w. cuba mengalihkan
perhatian ke tempat lain, iaitu Madinah. Kedatangan penduduk Madinah ke
Mekah dan kesungguhan mereka untuk menerima dan menyebarkan Islam
memberi satu gambaran yang baik kepada Rasulullah s.a.w.. Penduduk Taif
ternyata tidak mahu menerima Islam memandangkan mereka mempunyai
hubungan yang rapat dengan orang Quraisy di Mekah.

d) Kematian Abu Talib dan Khadijah
Kematian Abu Talib dan Khadijah telah menyebabkan Rasulullah s.a.w.
kehilangan tempat untuk berlindung. Ia sedikit sebanyak meninggalkan kesan
ke atas Rasulullah s.a.w.. Khadijah adalah seorang isteri yang sangat setia dan
sanggup mengorbankan segala-galanya untuk Rasulullah s.a.w. dan orang
Islam. Abu Talib pula walaupun tidak menerima Islam, tetapi beliau tetap
melindungi Rasulullah s.a.w. dari ancaman.

e) Mencari Tempat Baru untuk Berdakwah
Rasulullah s.a.w. berhasrat untuk mendapatkan sebuah tempat baru untuk
berdakwah memandangkan sambutan dari penduduk Mekah kurang
menggalakkan. Rasulullah s.a.w. agak kecewa dengan sikap penduduk Mekah.
Di Mekah selama 13 tahun, bilangan yang menerima Islam agak kecil
berbanding dengan tempoh 10 tahun Rasulullah s.a.w. berdakwah di Madinah.

f) Persediaan Penduduk Madinah Menerima Rasulullah
Persediaan penduduk Madinah menerima Rasulullah telah mendorong
Rasulullah s.a.w. berhijrah ke sana. Penduduk Madinah sangat berharap
Rasulullah s.a.w. dapat membantu mereka menyelesaikan perbalahan antara
orang Arab dan Yahudi, juga antara orang Arab dan Arab, khususnya antara Aus
dan Khazraj. Perbalahan ini berpunca dari perebutan kuasa di Madinah.

3
g) Kedudukan Madinah yang Strategik
Kedudukan Madinah di tengah-tengah jalan perdagangan antara Syam dan
Yaman sangat sesuai untuk dijadikan sebagai pusat penyebaran Islam. Ia juga
berpotensi menyaingi kedudukan Mekah sebagai pusat perdagangan. Dengan
ini, Madinah bukan sahaja dapat dijadikan sebagai sebuah negara yang kukuh
dari segi politik tetapi juga ekonomi.

h) Penduduk Madinah Hampir dengan Agama Samawi
Penduduk Madinah kebanyakannya sudah mengetahui serba sedikit tentang
agama Samawi, terutamanya melalui cerita-cerita yang dibawa oleh orang
Yahudi. Pengetahuan ini memudahkan mereka memahami dan menerima ajaran
yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.. Lagipun, penduduk Madinah mempunyai
sifat-sifat semulajadi yang lebih lembut berbanding penduduk Mekah.

i) Wahyu
Hijrah berlaku apabila Rasulullah s.a.w. menerima wahyu dari Allah yang
mengizinkan orang Islam berhijrah. Wahyu tersebut ialah ayat 30, Surah al-
Anfal. Ayat tersebut mengingatkan Rasulullah s.a.w. tentang pakatan yang
dilakukan oleh orang musyirikin Mekah terhadap Rasulullah s.a.w.. Wahyu ini
menggesa Rasulullah s.a.w. supaya segera berhijrah ke Madinah.

Oleh yang demikian, dapat dirumuskan bahawa terdapat beberapa faktor yang
telah mendorong Rasulullah s.a.w. berhijrah dari Mekkah ke Madinah seperti mana
yang telah dijelaskan di atas.

3.0 Penyusunan Masyarakat Bernegara
Piagam Madinah merupakan perlembagaan bertulis pertama yang diwujudkan
oleh Nabi Muhammad s.a.w sebagai satu peraturan atau sistem perundangan untuk
mentadbir Madinah. Sebelum kedatangan Nabi Muhammad s.a.w, penduduk Madinah
hidup secara berkelompok, berpuak-puak, bermusuhan antara satu sama lain dan saling
membenci. Semangat asabiyyah dan kabilah yang kuat dalam diri mereka
menyebabkan tiada suatu asas yang dapat menyatukan semua bangsa di Madinah.
Mereka sangat bermegah dengan keturunan masing-masing dan memandang rendah

4
kepada kabilah lain. Dengan adanya semangat asabiyyah tersebut menyebabkan
mereka sering bergaduh hanya semata-mata untuk mendapat nama, kuasa pengaruh dan
harta benda. Selain itu, mereka juga sanggup menyerang kabilah lain dengan sebab dan
musabab yang kecil di tambah pula dengan kelicikan puak Yahudi yang sengaja
menyemai permusuhan di antara puak Aus dan Khazraj. Keadaan penyatuan di
Madinah semakin rumit apabila muncul pula puak Quraisy yang beragama Islam
(Muhajirin) yang berhijrah ke Madinah. Hal ini merupakan cabaran utama Nabi
Muhammad s.a.w sebagai pemimpin negara untuk membentuk sebuah masyarakat baru
yang bersatu padu dan mampu bekerjasama di bawah prinsip-prinsip Islam.

Masyarakat Madinah pada ketika itu terdiri daripada pelbagai suku, puak,
kabilah seperti kaum Aus dan Khazraj, golongan Quraisy dari Makkah, orang Yahudi
dan Nasrani. Keadaan ini memerlukan Nabi Muhammad s.a.w melaksanakan satu
langkah dan kaedah yang menjadi asas untuk menyatukan mereka semua. Antara
langkah yang telah disusun oleh Nabi Muhammad s.a.w untuk dilaksanakan sebagai
cara bagi menyatukan penduduk Madinah ialah dengan pembinaan Masjid al-Nabawi,
mempersaudarakan golongan Ansar dan Muhajirin dan mengadakan perjanjian dengan
penduduk Madinah iaitu pembentukan Piagam Madinah.

Pembentukan Piagam Madinah sebagai asas kepada perpaduan di kalangan
masyarakat Madinah. Ini kerana perjanjian tersebut melibatkan pelbagai lapisan
masyarakat yang berbeza dari aspek keagamaan dan kebudayaan. Oleh itu, Baginda
telah menggunakan pendekatan Wasatiyyah dalam pembentukan Piagam Madinah yang
dilihat dapat menyatupadukan masyarakat yang berlatar belakangkan agama yang
berbeza di bawah satu tampuk pemerintahan. Pembentukannya berjaya menentukan
hak-hak orang-orang Islam dan penduduk tempatan di samping mewujudkan
persefahaman dengan orang-orang bukan Islam terutamanya Yahudi. Umumnya
Piagam Madinah telah menentukan kedudukan Nabi Muhammad s.a.w dan penduduk
Madinah yang terdiri daripada masyarakat Islam, Yahudi dan Musyrikin. Ia menyusun
pembentukan sebuah negara kota serta menggariskan hak, tanggungjawab dan
peraturan di antara penduduk berdasarkan prinsip-prinsip Islam. Melalui Piagam
Madinah yang dibina melalui pendekatan Wasatiyyah, kesejahteraan dan keamanan
dapat dikekalkan meskipun terdapat segelintir pihak (Yahudi) yang cuba
mengingkarinya. Oleh itu, artikel ini akan membincangkan secara terperinci berkaitan

5
dengan pendekatan atau pengaplikasian Wasatiyyah dalam pembentukan Piagam
Madinah.

Dalam pada itu, Rasulullah s.a.w. juga telah menetapkan beberapa perkara
dalam Perlembagaan Madinah dalam usaha untuk membentuk masyarakat yang lebih
harmoni dalam negara. Antaranya ialah:-

a) Politik
 Rasulullah s.a.w sebagai pemimpin negara. Di mana masyarakat
sudah mengiktiraf bahawa Rasulullah s.a.w sebagai ketua negara yang
menentukan perjalanan pentadbiran negara supaya apa yang dilakukan itu
tidak bertentangan dengan syariat Islam dan tidak melanggar peraturan
(Roziah, 2004: 9).
 Rasulullah s.a.w sebagai hakim yang menyelesaikan masalah yang
timbul di antara orang Islam dengan orang bukan Islam. Segala hukum
dan peraturan telah ditetapkan dan jika sesiapa yang melanggar peraturan
maka hukuman setimpal akan diterimanya. Hal ini untuk membuktikan
keadilan seorang pemimpin dalam mentadbir sesebuah negara yang terdiri
daripada pelbagai masyarakat.

b) Agama
 Masyarakat Madinah bebas mengamalkan agama masing-masing.
Hal ini kerana Madinah terdiri daripada lain-lain agama dan mereka tidak
terikat untuk menjalankan kebudayaan kehidupan mereka selagi tidak
bertentangan dengan agama (Abdul Rahman 2007: 92). Ini merupakan
langkah bijak yang diambil oleh Rasulullah s.a.w untuk menyatupadukan
rakyat yang sebelumnya hidup dalam kegelapan dan kucar-kacir. Hal
sedemikian telah disebut dalam Fasal 25:-

‘bahawa kaum Yahudi dari Bani „Auf adalah satu umat bersama orang-
orang beriman, mereka (orang Yahudi) dengan agama mereka dan kaum
Muslimin dengan agama mereka, begitu juga dengan orang-orang yang
bersekutu dengan mereka, kecuali orang-orang yang zalim dan berbuat
dosa maka hal ini akan menimpa diri dan keluarga mereka’.

6
c) Sosial
 Masyarakat Madinah dianggap sebagai satu ummah dan mempunyai
tanggungjawab yang sama terhadap negara Madinah. Selain itu mereka
juga tidak boleh bermusuhan di antara satu sama lain. Orang-orang Islam
di Madinah bebas berhimpun dan bermesyuarat untuk membincangkan
masalah politik dan pentadbiran negara. Secara tidak langsung,
membentuk negara Islam di Madinah. Piagam ini juga telah mewujudkan
kesedaran di kalangan masyarakat Madinah bahawa mereka adalah satu
masyarakat yang kuat dan bersatu padu dan Madinah adalah milik mereka
(Mahayudin t.th: 116). Fasal 13 ada menyatakan perkara ini iaitu:-

‘bahawa orang-orang beriman lagi bertakwa, mestilah mencegah sesiapa
yang melakukan kezaliman, pelanggaran kesusilaan, dosa perseteruan
atau kerosakan di kalangan orang-orang yang beriman, dan mereka
hendaklah bersatu menentang orang-orang tersebut meskipun orang itu
anak salah seorang daripada mereka.

d) Perundangan
 Undang-undang Islam diguna pakai secara menyeluruh tetapi
peraturan kekeluargaan di dalam sesebuah kabilah boleh diamalkan selagi
tidak bertentangan dengan Islam. Jika terdapat perselisihan faham
terhadap sesuatu masalah akan terus merujuk kepada Rasulullah s.a.w
bagi mengelakkan tokok tambah atau tafsiran yang negatif terhadap
sesuatu perkara itu. Baginda (Roziah, 2004: 9). Hal ini kerana segala
peraturan tersebut adalah berlandaskan kepada al-Quran dan as-Sunnah.

Selain daripada empat perkara yang dinyatakan di atas, terdapat juga beberapa
perkara elemen yang terkandung dalam Perlembagaan Piagam Madinah yang bertujuan
untuk membentuk masyarakat bernegara. Antaranya dari aspek ekonomi, kedudukan
Yahudi dan juga dari aspek pertahanan negara.

7
4.0 Pengajaran Daripada Peristiwa Hijrah
Sebenarnya terlalu banyak iktibar yang dapat dipelajari dan diambil daripada
peristiwa Hijrah al-Rasul. Di sini dikemukakan beberapa iktibar sebagai renungan
bersama dan seterusnya penghayatan dalam kehidupan kita. Dalam konteks masyarakat
Islam di Malaysia pada hari ini, terdapat beberapa pengajaran yang boleh dipelajari
daripada peristiwa hijrah Rasulullah berkenaan. Antaranya ialah:-

a) Sentiasa Menyebarkan Ajaran Islam
Tidak dinafikan bahawa tujuan utama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
menyuruh umat Islam berhijrah ke Habasyah ialah untuk memelihara agama
mereka daripada penindasan kaum musyrik Mekah. Justeru, hijrah Rasulullah
adalah untuk mengembangkan dakwah Islam kepada Habasyah dan kepada
Najasyinya, Ashama bin Bahr. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yakin
sikap adil Najasyi Ashama akan menyebabkan beliau menimbang dengan adil
tentang Islam. Kejayaan dakwah Islam di benua Afrika akan membolehkan
Islam memiliki pusat yang baru selain Semenanjung Arab. Pada masa kini,
walaupun masyarakat Islam berhadapan pelbagai tuduhan daripada masyarakat
dunia seperti Islam adalah agama yang menyokong keganasan dan sebagainya,
maka usaha dakwah perlu ditingkatkan. Ini adalah untuk memastikan agar
masyarakat dunia khususnya di Malaysia dapat mengenali agama Islam dan
mengetepikan tanggapan negatif yang dilemparkan kepada masyarakat Islam.

b) Tidak Pernah Mengalah
Seperti mana yang diketahui, Rasulullah s.a.w. tidak perah mengalah dengan
pelbagai dugaan dan cabaran yang dihadapi dalam berdakwah sama ada di
Mekkah mahupun di Madinah. Apabila menghadapi penindasan kaum musyrik
Mekah, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tidak bersikap buntu atau
mengalah. Sebaliknya baginda aktif memikirkan jalan keluar untuk
menyelamatkan agama umatnya. Plan A ialah tetap tinggal di Mekah. Akan
tetapi memandangkan Plan A sukar dilaksanakan, baginda merangka Plan B
yang merupakan penghijrahan ke Habasyah. Justeru, masyarakat Islam di
Malaysia perlu sentiasa mempunyai perancangan yang terbaik dalam
memastikan kualiti kehidupan dapat diperbaiki dan ditingkatkan.

8
c) Kepentingan Persaudaraan
Betapa pentingnya ukhuwwah atau persaudaraan dalam kalangan umat Islam di
mana ia merupakan agenda utama Baginda s.a.w ketika sampai ke Kota
Madinah sama ada mempersaudarakan antara Aus dan Khazraj yang dinamakan
dengan Ansar. Seterusnya mempersaudarakan antara Ansar dengan penduduk
Makkah yang berhijrah ke Madinah. Mereka dikenali dengan Muhajirin. Antara
matlamat Baginda s.a.w. yang dapat dikesan ialah supaya tiada lagi unsur
bersifat kekabilahan atau perkauman tetapi ditukar kepada Ukhuwwah
Islamiah. Justeru, masyarakat Malaysia perlu sbersatu padu dalam
melaksanakan suatu perkara agar setiap perancangan yang dilakukan dapat
mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Ianya juga adalah untuk menjamin
kelancaran dan kejayaan setiap perancangan yang dilakukan.

d) Mempunyai Matlamat
Antara keistimewaan hijrah, ialah seseorang sudah pasti mempunyai azam yang
tinggi dalam kehidupan. Dalam erti kata lain, setiap umat Islam termasuklah
masyarakat Islam di Malaysia perlu mempunyai matlamat hidup yang ingin
dicapai. Ini adalah untuk memastikan agar kehidupan mereka dapat diterajui
dengan lebih sempurna yang berlandaskan kepada matlamat yang ingin dicapai.
Namun begitu, matlamat tersebut perlulah berteraskan kepada al-Quran dan as-
Sunnah agar sentiasa mendapat rahmat dan keredhaan Allah s.w.t.

Oleh yang demikian, dapat dirumuskan bahawa terdapat beberapa pengajaran
yang boleh dipelajari daripada peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. seperti mana yang
telah dijelaskan di atas.

5.0 Cadangan dan Kesimpulan
Pada akhir-akhir ini, Islam dan umatnya dilabelkan dengan pelbagai nama dan
warna seperti Islam Liberal, Islam pelampau, Islam pengganas, Islam jumud, Islam
moden, dan lain-lain. Golongan cendekiawan Islam dan pemikir-pemikirnya juga
kadang-kadang ikut serta mempopularkan nama-nama baru ini di dalam tulisan
mereka. Islam sepanjang zamannya mempunyai pengalaman yang cukup dengan nama
dan warna yang dipakai umatnya. Memadailah jika disebut di sini Islam yang

9
dibahagikan kepada Sunni dan Syiah yang meninggalkan kesan yang begitu buruk
terutama di negeri-negeri seperti Iraq, Pakistan dan beberapa buah Negara Arab yang
lain.

Islam bukan agama baru dan umatnya bukan umat yang terbaru, nama dan umat
ini telah diperkenalkan oleh Rasulullah Ibrahim AS bersama aqidah tauhid yang
diperjuangkannya. Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj, ayat 78 yang bermaksud:-

Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya
Dia lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya) dan Ia
tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam
perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu: ‘orang-
orang Islam’ semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini.

Islam tanpa nama, jenis dan warna inilah yang harus digembelengkan tenaga
yang dikumpulkan umat di bawah payungnya. Jika ada celah dan ruang-ruang kosong
dalam barisan umat Islam, perlulah ditutupkan segera, masa yang ada tidak lagi
mengizinkan umat ini menambahkan kelebaran jarak dan ruang yang sedia ada. Payung
tauhid yang diasas Rasulullah Ibrahim AS disambung oleh Rasulullah Muhammad
s.a.w. sedia menampung untuk sesiapa sahaja yang ingin berteduh di bawahnya.

Al-Sonhaji berkata: ‘Jelas sudah bahawa umat Islam yang digelar oleh Tuhan
bukan pelampau seperti kaum Yahudi yang mencuai-cuaikan agamanya hingga ke
peringkat penghinaan, dan juga bukan pelampau seperti kaum Nasrani yang memuja-
muja Rasulullahnya hingga ke peringkat ketuhanan.

Umat Islam inilah kelak yang akan diambil penyaksiannya pada hari akhirat
terhadap umat-umat yang lain, kemudiannya Rasulullah s.a.w. akan diambil pula
penyaksiannya pada hari akhirat terhadap umat-umat yang lain, kemudiannya
Rasulullah s.a.w. akan diambil pula penyaksiannya terhadap umat Islam tentang agama
yang telah disampaikannya kepada mereka. Nyata di sini bahawa Allah SWT tidak
akan menjadikan umat Islam itu saksi pada hari akhirat kelak, melainkan sifat seorang
saksi itu adalah adil. Dan ini menunjukkan bahawasanya umat Islam itu bukan sahaja
sebagai umat yang pertengahan tetapi juga sebagai umat yang adil.

10
Untuk mencapai ummatan wasata memerlukan kepada mind set. Justeru,
perubahan minda umat memerlukan satu tindakan secara menyeluruh, secara drastik,
secara sistematik dan tidak bersifat sektor atau partisan. Ini memerlukan satu
perubahan tasawwur (pandangan global) seluruh masyarakat. Selaras dengan itu,
konsep hidup sebagai pengabdian sebagai Tuhan dan konsep kerja sebagai ibadah,
manusia sebagai khalifah dan kewajipan mencapai kekuatan dalam semua bidang
kehidupan perlu dititik beratkan, khususnya prinsip Maqasid al-Syari’ah adalah
berkaitan lima perkara seperti berikut:-
a) Memelihara, memartabatkan dan memperkasakan agama.
b) Memelihara, memartabatkan dan memperkasakan akal.
c) Memelihara, memartabatkan dan memperkasakan nyawa.
d) Memelihara, memartabatkan dan memperkasakan harta.
e) Memelihara, memartabatkan dan memperkasakan keturunan.

Usaha yang konsisten hingga menghasilkan kejayaan yang berterusan perlu
dirancang. Segala bentuk pemikiran yang mengelirukan dan tidak bersesuaian dengan
kefahaman Islam perlu dikikis supaya pemikiran dan jatidiri umat dapat dibentuk.
Perubahan sikap dan budaya umat memerlukan peranan berijtihad dan berjihad.
Konsep jihad perlu ditafsirkan secara lebih luas, meliputi aspek kehidupan manusia
seperti menuntut ilmu, menguasai sains dan teknologi serta melaksanakan aktiviti-
aktiviti ekonomi. Peningkatan kualiti (itqan) dalam semua urusan dan kegiatan
kehidupan merangkumi bidang pendidikan, penguasaan sains dan teknologi serta
aktiviti-aktiviti ekonomi, hendaklah dijadikan budaya. Ijtihad membina umat dalam
zaman moden ini perlu diberi perhatian dan diberikan pengiktiran.

Justeru, masyarakat Malaysia perlu diberikan kefahaman Islam yang
membolehkan umat menghayati dalam mewarisi wawasan ketamadunan global untuk
memboleh umat berperanan secara berkesan diperingkat global. Semangat
persaudaraan (ukhuwwah Islamiyyah) perlu dipupuk dan disemarakkan bagi
menghasilkan rangkain sosial yang mantap sebagai satu strategi ke arah meningkatkan
daya sains umat. Masyarakat Malaysia perlu menghargai dan menghayati sifat
berdikari dan mengurangkan kebergantungan kepada pihak lain.

Jumlah Perkataan : 2,927 Patah

11
Rujukan
Abdul Rahman Abdullah. (2007). Sejarah Dan Tamadun Islam. Ed. Ke-2. Alor Setar:
Pustaka Darussalam.

Abdul Rahman Abdul Aziz. (2010). Nilai-Nilai Kesepaduan Sosial Dalam Hubungan
Etnik: Analisis Ucapan Enam Perdana Menteri Malaysia. Sintok: Universiti Utara
Malaysia.

Ahmad Omar Hashem. (T.Th.). Moderation In Islam. T.Tp: United Printing Publishing &
Distributing.

Al-Quran Al-Karim. Tafsir Pimpinan Al-Rahman Kepada Pengertian Al-Quran. (1968).
Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal Islam.

Al-Salabi, Ali Muhammad. (2005). Al-Wasatiyyah Fil Al-Quran Al-Karim. 2005. Beirut:
Dar Al-Marifah.

Al-Mubarakfury, Shafiyyurrahman. (2000). Sirah Rasulullah S.A.W. Terj. Mohd Darus
Senawi Ali. Shah Alam: Kumpulan Usahawan Muslim Sdn. Bhd.

Anwar Zainal Abidin & Wan Kamal Mujani. (1999). Sirat Al-Rasul & Khulafa’ Al-
Rashidun. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ibrahim Madkur. (T.Th.). Al-Mu’Jam Al-Wasit. Turkey: Dar Al-Da’Wah.

Ismail Ibrahim. (2011). Konsep Wasatiyyah: Perspektif Islam. Kertas Pembentangan
Konvensyen Wasatiyyah. Nilai: Universiti Sains Islam Malaysia.

Mahayudin Yahaya. (T.Th.). Peradaban Awal Sejarah Asia Barat. Bangi: Universiti
Kebangsaan Malaysia.

12