You are on page 1of 18

BAHAGIAN A

1.0 Pengenalan
A.S. Hornby dan E.C. Parnwell (1972) dalam buku mereka yang berjudul ‘The
Progressive English Dictionary’ menyatakan bahawa tamadun bermaksud peningkatan
pencapaian hidup manusia daripada kemunduran kepada kemajuan dalam bidang sains,
teknologi, politik, moral dan sebagainya. Ahli antropologi Barat yang terkemuka iaitu
E.B. Taylor pula menyamakan istilah tamadun dengan budaya sebagai suatu yang
merangkumi aspek keilmuan kepercayaan, kesenian, nilai-nilai moral, perundangan,
tradisi, bakat dan kebolehan yang dihasilkan oleh masyarakat.

Manakala dalam bahasa Arab, pelbagai istilah digunakan yang membawa
maksud yang sama. Antaranya ‘umran, hadarah dan maddana. Ibn Khaldun adalah
antara sarjana Islam yang pertama membahaskan konsep ketamadunan di dalam buku
beliau yang terkenal iaitu Muqaddimah. Beliau menggunakan istilah ‘hadarah’ yang
merujuk kepada perbuatan duduk di bandar dan perilaku kehidupan yang tinggi. Beliau
juga menggunakan istilah ‘umran’ yang bermaksud pembangunan (Rasid 1996). Dalam
kamus Mu’jam al-Wasit, perkataan ‘madaniyah’ sama maksud dengan hadarah dan
‘umran iaitu suatu kemajuan dan kemakmuran hidup yang dicapai oleh penduduk
bandar (Ibrahim 1961). Jurji Zaidan, penulis Arab beragama Kristian mempopularkan
istilah ‘tamaddun’ yang turut diguna pakai dalam bahasa Melayu (Zulkifli Dahalan
et.al. 2009).Muhammad ‘Abduh dan Muhammad Farid Wajdi (1967) memperkenalkan
istilah ‘al-madaniyyah’ yang membawa pengertian pembinaan kota dan tempat tinggal
menetap.

2.0 Kecemerlangan Tamadun Asia
Sejak berabad lamanya, kejayaan tamadun barat dilihat lebih banyak dibayangi
oleh tamadun Asia. Ini kerana, terdapat banyak teori dalam tamadun badat lahir
daripada teori yang diperkenalkan oleh tokoh akademik daripada tamadun Asia. Dalam
bidang matematik misalnya, terdapat beberapa tokoh yang telah memperkenalkan
pelbagai konsep matematik. Antaranya ialah Al-Khuwarizmi. Dalam bidang
trigonometri, beliau mengetengahkan konsep sinus (sine) yang kemudiannya

1
diperkembangkan kepada tangen. Konsep algoritma yang dinamakan mengikut
namanya juga diasaskan oleh Khwarizmi.

Dalam pada itu, beliau juga merupakan pengasas kepada beberapa cabang dan
konsep asas matematik. Hasil kerjanya dalam algebra begitu cemerlang dan beliau
tidak hanya mempunyai inisiatif terhadap subjek dalam pembentukan sistematik tetapi
juga bertanggungjawab membangunkan penyelesaian analitikal dalam pengembangan
garis lurus serta persamaan kuadratik. Persamaan kuadratik ialah satu persamaan di
mana kuasa kedua tanpa kuasa lebih tinggi digunakan bagi yang tidak diketahui (x2 +
2x - 8 = 0). Kejayaan itu akhirnya menjadikannya pengasas Algebra. Nama Algebra
diperoleh daripada bukunya yang terkenal iaitu Al-Jabrwa-al-Muqabilah. Beliau turut
menjelaskan dengan teliti kegunaan sifar iaitu sistem angka yang dibangunkan oleh
orang Arab. Pada masa yang sama, beliau membangunkan sistem perpuluhan dan
dengan itu, keseluruhan sistem nombor angka, algorithm atau algorizm memperoleh
nama selepas dibangunkan oleh orang Arab.

Dalam pada itu, Al-Batani pula adalah ahli akademik pertama menggantikan
penggunaan chords Greek oleh sinus. Beliau berjaya meletakkan trigonometri pada
tahap yang tinggi dan merupakan orang pertama yang menghasilkan jadual cotangents.

Dalam bidang sains pula khususnya dalam ilmu fizik, masyarakat dalam
tamadun barat banyak menggunakan teori daripada tamadun Asia khususnya daripada
tamadun Arab untuk menghasilkan pelbagai teori fizik barat. Contohnya seperti Ibn
Haitham yang mana beliau menghabiskan banyak masa dengan teori pelbagai
fenomena fizikal seperti pelangi, bayang-bayang, gerhana matahari dan ramalan
mengenai keadaan fizikal cahaya. Beliau telah menjadi seorang yang amat mahir dalam
bidang sains, falak, matematik, geometri, perubatan, dan falsafah.

Dalam bidang perubatan pula, teori-teori yang diperkenalkan oleh Ibnu Sina
misalnya telah digunakan oleh ahli akademik barat untuk menghasilkan pelbagai teori
yang berkaitan dengan ilmu perubatan. Antara sumbangan Ibnu Sina dalam bidang
perubatan adalah seperti mana yang berikut:-

2
a) Beliau telah menjalankan kajian terhadap tubuh manusia yang dikenali
sebagai anatomi. Hasilnya, beliau mendapati jantung mengandungi 3 injap yang
akan terbuka dan tertutup dengan sendirinya semasa jantung mengepam darah.
b) Beliau juga memperkembangkan ilmu diagnosis melalui denyutan jantung
untuk mengenalpasti ketidakseimbangan hormon yang berkenaan. Apa yang
menarik mengenai ilmu ini ialah beliau dapat memulihkan pesakit yang
menghadapi masalah sakit jiwa.
c) Beliau turut memperkembangkan ilmu psikologi dalam perubatan dan
menemui ilmu yang kita kenali hari ini sebagai ilmu perubatan psikosomatis di
mana ia menunjukkan perkaitan antara psikologi dengan kesihatan. Ibn Sina
juga menyedari betapa pentingnya emosi dalam usaha pemulihan pesakit.
Minatnya yang mendalam dalam bidang berkaitan kesan akal ke atas jasad
menyebabkan banyak daripada hasil karyanya berkisar mengenai gangguan
psikologi.
d) Beliau juga ada menceritakan simptom-simptom penyakit kencing manis
(diabetes) dan masalah yang akan timbul daripadanya.
e) Ibn Sina juga menjadi saintis yang pertama menerangkan mengenai
bahagian-bahagian berbeza pada mata seperti kornea, koroid, iris, retina,
lapisan kanta dan lain-lain.

Dalam bidang astronomi pula, sejarah ketamadunan barat juga banyak
berkembang daripada ilmu yang diperolehi daripada tokoh akademik Asia. Muhammad
Ibn Ibrahim al-Fazari misalnya telah menterjemahkan sebuah buku astronomi dari
India bertajuk ‘Siddharta’ ke dalam Bahasa Arab pada tahun 155H/771M. Seterusnya
beliau menterjemahkan pula ‘Jadual Pahlavi’ yang diberi nama ‘Zij’ dan diikuti dengan
penterjemahan karya-karya astronomi berbahasa Yunani. Antara saintis-saintis Islam
yang berjaya mengkaji ilmu astronomi terdiri daripada Yakub Ibn Tariq, al-Kwarizmi,
al-Battati, al-Farghani, al-Suffi, al-Biruni, al-Tusi dan Umar al-Khayyam. Ini bermakna
bahawa perkembangan ilmu astronomi dalam tamadun barat adalah kesinambungan
daripada kejayaan ahli astronomi pada zaman India dan Arab yang juga lebih awal
mengeluarkan beberapa teori yang berkaitan dengan bidang astronomi. Ini bermakna
bahawa tamadun barat menggunakan teori daripada tamadun asia untuk
memperkenalkan teori-teori mereka yang berkaitan dengan bidang astronomi.

3
Begitu juga dengan al-Batani yang telah berjaya dalam sejumlah penemuan
penting dalam astronomi, yang merupakan hasil dari kerjayanya sepanjang 42 tahun.
Penemuannya yang terkenal adalah menggariskan dengan cukup teliti mengenai
pusingan tahun sebagai 365 hari, 5 jam, 46 minit dan 24 saat. Dalam pada itu, Al-
Battani juga telah menggariskan miring buruj di garisan khatulistiwa dengan teliti.
Beliau juga menjalankan penyelidikan yang teliti dalam gerhana matahari, bulan dan
pergerakanya

Berdasarkan kepada penerangan dan penjelasan di atas, dapat dirumuskan
bahawa perkembangan tamadun barat pada hari ini adalah disebabkan oleh usaha yang
dilakukan oleh ahli akademik dalam tamadun Asia yang telah memperkenalkan
pelbagai teori yang berkaitan dengan bidang sains dan teknologi. Secara tidak
langsung, ianya telah membantu perkembangan tamadun barat seperti mana yang dapat
dilihat pada hari ini. Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa kecemerlangan
tamadun Asia tidak dibayangi oleh kejayaan tamadun barat. Sebaliknya, kejayaan
tamadun barat pada hari ini adalah disebabkan oleh kebijaksanaan masyarakat Asia
yang telah memperkenalkan pelbagai teori dalam pelbagai bidang yang telah digunakan
oleh masyarakat Barat.

3.0 Penutup
Berdasarkan kepada penerangan dan penjelasan di atas, dapat dilihat bahawa
tamadun Asia adalah perintis kepada kejayaan tamadun barat pada hari ini. Ini juga
memperlihatkan akan kebijaksanaan masyarakat Asia yang telah memperkenalkan
pelbagai teori yang turut digunakan oleh masyarkat barat sehingga menyumbang
kepada kejayaan tamadun barat.

4
BAHAGIAN B

1.0 Pengenalan
Dalam bahasa Melayu, istilah ‘tamadun’ paling popular digunakan dalam
masyarakat Melayu untuk menceritakan mengenai kebudayaan, kemajuan,
pembangunan, peradaban dan kemakmuran yang dicapai oleh sesuatu bangsa (Amdun
Hussain, 1986). Perkataan ‘tamadun’ berakar kata daripada perkataan Arab iaitu
madana, madinah, madaniyyah yang bermaksud masyarakat bandar yang terbina
melalui proses urbanisasi (Nik Mohd. Rosdi 2008). Manakala Kamus Dewan (1993)
pula mendefinisikan tamadun sebagai keadaan masyarakat manusia yang dicirikan oleh
atau didasarkan pada taraf kemajuan serta perkembangan pemikiran (sosial, budaya
dan politik) yang tinggi atau peradaban serta budaya atau cara hidup manusia (negara,
kawasan dan sesuatu zaman) tertentu dan keadaan pemikiran (budaya dan moral) yang
halus. Abu Bakar Hamzah (1972) menjelaskan tamadun lahir secara serentak, seiring
dan sejalan dengan perkembangan kehidupan manusia dari semasa ke semasa dalam
bentuk pemikiran dan kebendaan. Selain dari perkataan tamadun, ada juga dalam
kalangan para sarjana Islam Malaysia menggunakan perkataan peradaban bagi
menggambarkan istilah tamadun. Ini dapat dilihat daripada perbincangan yang dibuat
oleh Muhammad Uthman El-Muhammady (1976) dan juga Ismail Hamid (1983) yang
berpendapat bahawa peradaban ialah pencapaian manusia dalam kedua-dua bidang
iaitu kerohanian dan kebendaan. Tamadun dalam bahasa Melayu dapat disimpulkan
sebagai pencapaian insan dalam segenap aspek kehidupan sama ada dari aspek
pemikiran, kerohanian atau kebendaan (Mustafa Hj.Daud 1998).

2.0 Perkembangan Tamadun Purba
Sejarah membuktikan bahawa tamadun purba seperti tamadun Mesir dan juga
tamadun Mesopotamia adalah tamadun yang dibina di kawasan pinggir sungai.
Pelbagai pengajaran yang dapat dipelajari daripada tamadun purba seperti tamadun
Mesir, Mesopotamia, Lembah Indus dan Lembah Hwang He. Tamadun Mesopotamia
misalmya memberi banyak sumbangan kepada manusia sejagat termasuklah Kod
Undang-undang Hammurabi. Kod Undang-undang ini digubal semasa Raja
Hammurabi memerintah kerajaan Babylon. Undang-undang ini berteraskan hak rakyat
terhadap keadilan. Mengikut kod ini, hukuman dan denda mestilah setimpal dengan

5
kesalahan tetapi berbeza mengikut susun lapis masyarakat. Kod ini mengandungi kira-
kira 282 undang-undang yang dipahat pada tembok serta tiang besar, oleh itu rakyat
dapat membaca undang-undang tersebut. Kod un dang-undang Hammurabi telah
menjadi dasar perundangan dalam tamadun Mesopotamia.

Undang-undang ini telah berjaya mengelakkan wujudnya permasalahan di
kalangan masyarakat pelbagai kaum dan juga di kalangan susun lapis masyarakat itu
sendiri. Undang-undang ini telah dapat mewujudkan perpaduan dan mengukuhkan
sistem organisasi dalam kehidupan masyarakat tersebut. Seterusnya, kod ini juga telah
membantu peradaban Mesopotamia bertahan untuk jangka masa yang panjang, iaitu
dari tahun 3500 S. M. hingga tahun 539 S.M..

Kewujudan sistem tulisan telah membawa kepada sistem pendidikan yang
bertujuan untuk melahirkan jurutulis. Kehadiran jurutulis ini membolehkan urusan
pentadbiran dan perniagaan dicatat supaya dapat direkodkan. Dalam perdagangan,
kesemua urusan jual belinya desertakan dengan resit, nota dan surat kredit. Di samping
itu, sistem tulisan ini juga telah melahirkan tradisi kesusasteraan. Antara hasil
kesusasteraannya yang terkenal termasuklah epik Gilgamesh yang merupakan hasil
kesusasteraan yang tertua di dunia. Epik ini mengandungi falsafah dan cara hidup
orang Mesopotamia.

Tamadun Mesopotamia juga telah menyumbangkan ciptaan alat pengangkutan
yang terawal kpd dunia. Orang Sumeria telah menggunakan kapal layar serta
pengangkutan beroda sejak tahun 3000 S.M.. Oleh itu, mereka mampu menguasai jalan
darat serta jalan laut sehingga mereka dapat berhubung dengan wilayah di India serta
wilayah di kawasan laut Mediterranean.

Dalam pada itu, tamadun Mesopotamia memperkenalkan kepada dunia cara
membuat batu bata drpd tanah liat. Dalam seni bina, mereka telah mencipta arca dan
tiang batu. Contoh arca tersebut ialah patung raja Gudea. Arca dan tiang batu dapat
dilihat dalam seni bina Zigurat. Kepimpinan berwibawa raja sangung telah berjaya
mewujudkan kerajaan Akkad, iaitu empayar pertama di dunia. Ini adalah kerana raja
Sangung berjaya menakluk dan menyatukan wilayah-wilayah kerajaan Sumeria di
Selatan Mesopotamia. Beliau merupakan pelintis kpd pembentukan sebuah empayar

6
yang kemudiaannya menjadi ikutan pemerintah seterusnya spt Firaun Tutmose III pada
zaman Mesir Purba. Mesopotamia bukan saja menyumbang kpd pembentukan sebuah
sistem pemerintahan tetapi juga pembentukan sebuah masyarakat yang lebih
berestetika.

Dalam tamadun China yang juga dikenali sebagai Tamadun Hwang Ho ekoran
daripada perkembangan tamadun China ini di Lembah Hwang Ho, aspek pertanian
antara perkara yang boleh dipelajari daripada tamadun China ini. Dalam bidang
pertanian, sejak Zaman Dinasti Han lagi, tenggala telah diperkenalkan untuk membuat
batas tanaman, kolar kuda untuk membolehkan kuda menarik tenggala kayu, kereta
kuda, dan kereta sorong beroda, selain penyisir tanah. Pada zaman Dinasti Tang, Song,
Yuan, Ming, dan Ching, perkembangan terus meningkat dalam penciptaan alat
kegunaan pertanian. Sistem penenaman secara bergilir telah diperkenalkan untuk
menjaga kesuburan tanah. Kawasan bukit telah ditereskan untuk pertanian pada zaman
Dinasti Shang. Sistem pengairan seperti pembinaan terusan telah dilaksanakan untuk
memperoleh sumber air dalam pertanian terkawal. Kawalan terhadap banjir juga telah
diambil berat dengan menggunakan terusan yang dibina.

Masyarakat dalam tamadun China juga sangat menghargai pendidikan yang
juga menjadi antara perkara yang dapat dipelajari oleh masyarakat Malaysia. Dalam
tamadun China, masyarakatnya menghargai pendidikan, perniagaan, dan kesusasteraan
dengan matlamat utama pendidikannya adalah untuk lulus peperiksaan awam kerajaan.
Terdapat tiga peringkat pendidikan, iaitu peedidikan rendah, menengah dan tinggi.
Pada peringkat sekolah rendah, pendidikan bertumpu pada kegiatan mengenal dan
menghafal tulisan ideogram dan sembilan buah buku suci tanpa memahami maknanya.
Pada peringkat menengah, tumpuan adalah terhadap karangan dan sastera, dan pada
peringkat tinggi pula tumpuannya adalah untuk menterjemah buku suci.

Pendidikan di China lebih terjurus kepada kepentingan untuk pentadbiran.
Peperiksaan awam mengandungi tiga tahap iaitu tahap pertama Hsiu Tai, tahap kedua
Chun-Jen, dan tahap ketiga Chin Shih. Tahap pertama setaraf dengan ijazah pertama,
tahap kedua setaraf dengan sarjana dan tahap ketiga setaraf dengan doktor falsafah
seperti yang terdapat pada zaman moden ini. Peperiksaan tahap pertama dijalankan di
daerah, tahap kedua di ibu kota daerah dan tahap ketiga di ibu kota empayar yang

7
bertempat di istana, iaitu di hadapan maharaja. Mereka yang lulus tahap atau ijazah
pertama yang berpeluang menjadi pegawai kerajaan dan ijazah ketiga pula layak
menjadi pendiik. Peperiksaan awam tahap ketiga, diadakan tiga tahun sekali. Sistem
peperiksaan awam China adalah yang tertua di dunia.

Berdasarkan kepada penerangan dan perbincangan di atas, dapat dirumuskan
bahawa setiap tamadun purba mempunyai pelbagai peranan yang menjadi perintis
kepada pembentukan tamadun di seluruh dunia. Pada masa kini juga, masyarakat dunia
juga dapat mempelajari pelbagai elemen dan perkara daripada tamadun purba ini
seperti dari aspek pentadbiran, pertanian, perdagangan, perundangan, pendidikan dan
sebagainya. ini adalah disebabkan oleh kejayaan tamadun purba yang telah membentuk
masyarakat yang lebih baik dan sempurna dengan ciri-ciri politik, sosial dan ekonomi
yang tersusun.

3.0 Kesimpulan
Setiap tamadun juga meninggalkan hasil sastera yang masih dibaca dan
djadikan rujukan hingga ke hari ini. Tamadun purba juga tidak dikecualikan seperti
dalam Tamadun China. Tamdun China meninggalkan rekod sejarah dalam bentuk
ensiklopedia, kisah perjalanan dan matlumat geografi yang dapat digunakan sebagai
sumber sejarah. Selain itu, tamadun China juga merupakan tempat kemunculan ajaran
utama di dunia, iaitu Confucianisme dan Taoisme. Ajaran Confunisme diasaskan oleh
Confucius yang lahir pada sekitar 551 S.M. di negeri Lu (di Shantung). Beliau pernah
menjadi pegawai kerajaan negeri Lu. Namun demikian, beliau telah meletakkan
jawatan dan telah mengembara untuk menyebarkan ideanya kepada penduduk China.

8
BAHAGIAN C

1.0 Pengenalan
Ilmu boleh didefinisikan sebagai suatu fakta yang boleh dirujuk, diuji kaji dan
dikesan oleh pancaindera. selain daripada itu, ia juga boleh dikatakan sebagai
maklumat yang benar dan yang dimiliki oleh seseorang serta memberi makna kepada
dirinya serta masyarakat. Jika sesuatu maklumat itu tidak benar, hanya sekadar
perasaan, prasangka, azam, syak dan tidak memberi manfaat, maka ia dikenali sebagai
maklumat dan oleh yang demikian ia tidak boleh dikategorikan sebagai ilmu. Contoh
maklumat adalah seperti teori Darwin. Ilmu dan pendidikan sebagai asas utama bagi
kehidupan di dunia dan di akhirat yang membezakan manusia daripada binatang. Islam
menganggap bahawa ilmu dan pengetahuan adalah asas kepada pembinaan budaya dan
tamadun ini kerana kebudayaan adalah hasil daripada pemikiran dan konklusi daripada
budi dan akal. Dengan itu, ilmu pengetahuan menjadi unsur bagi kebudayaan. Dalam
pada itu, ilmu juga sangat penting dalam perkembangan sesebuah tamadun. Dalam
bahagian ini, analisis akan dilakukan ke atas peranan budaya ilmu dalam
perkembangan tamadun Islam dan tamadun China.

2.0 Peranan Ilmu Dalam Tamadun Islam
Penurunan lima ayat pertama daripada surah al-’Alaq telah berjaya
merevolusikan pemikiran Arab Jahiliyyah. Sebaik sahaja perkataan Iqra’ dilafazkan dan
dituruti dengan dua puluh tiga tahun pendidikan secara langsung yang bersifat rabbani
telah berjaya membentuk tasawwur yang menjadi tunjang kepada setiap tindakan
masyarakat Islam terdahulu. Tasawwur ini telah mengubah dan membentuk
kepercayaan, peribadi, pemikiran, ide, dan pengamalan mereka dan berhasil
mencorakkan masyarakat di atas satu sistem yang memberi kebaikan kepada semua.
Sistem yang menjamin masyarakat Islam di atas maqasid shari’ah juga menitik
beratkan hak dan tanggung jawab masyarakat bukan Islam sebagaimana yang
termaktub di dalam Sahifah al Madinah. Di atas persefahaman sebegini telah terbentuk
satu kesepakatan dan kerjasama di antara setiap anggota masyarakat yang terdiri dari
pelbagai etnik dan agama.

9
Berikutnya, satu tamadun agung telah terhasil yang didasari oleh satu budaya
ilmu yang sungguh mengkagumkan. Usaha sama di antara Muslim, Yahudi, Nasrani,
Nestorian, Syriac, Majusi yang terdiri dari bangsa Arab, Parsi, Turki, Rum, Yunani dan
juga India telah meninggalkan satu warisan intelektual yang tidak ternilai.
Perkembangan dalam setiap disiplin ilmu samada dari ilmu wahyu atau ilmu aqal
menjadi asas kepada disiplin ilmu yang terdapat pada hari ini. Ilmu bukan sahaja
menjadi nadi kepada segenap cabang kehidupan malah ia didukung oleh usaha
pendidikan yang bermula dengan ahl al-Suffah dan berkembang kepada maktab atau
kuttab, majlis, halaqah dan akhirnya madrasah. Akademi seperti Bait al-Hikmah dan
Dar al-’Ilm, perpustakaan, bimaristan (hospital), saloon dan balai cerap sebagai pusat
ilmu mendapat tajaan dan naungan para pemerintah dan begitu juga ‘ulama’ (scholars).
‘Ulama’ yang dilahirkan selain dapat menguasai kedua-dua cabang ilmu, keilmuan
mereka bersifat multi disiplin dan inter disiplin. Malah ramai di antara mereka yang
diiktiraf sebagai ensaiklopedik. Peranan ‘ulama’ (scholars) adalah sebagai
pembimbing, penyelesai masalah, dan peneroka kepada pelbagai bidang yang baru.
Warisan intelektual peninggalan mereka telah menjadi pencetus kepada era
pembaharuan (renaissance) di Barat khususnya dari khazanah ilmu di Toledo dan
Cordova Toledo. Di sinilah terdapatnya terjemahan, pengkayaan, serta pengolahan ilmu
menurut tasawwur Islam dalam bahasa Arab terhadap ilmu yang diwarisi dari tamadun
lain khususnya Yunani (Greek).

Berbalik kepada masyarakat hari ini, satu usaha perlu dilakukan untuk
mendidik masyarakat mengenai peranan Islam dalam membentuk peribadi dan
membina tamadun di atas kesedaran bahawa pendidikan adalah landasan terpenting
dalam membina sesebuah masyarakat yang berilmu dan bertamadun. Peranannya
adalah untuk menyokong usaha-usaha mengislahkan masyarakat di atas prinsip-prinsip
sejagat yang selari dengan tuntutan Syariah Islam. Oleh yang demikian, satu
perancangan yang lengkap dan terperinci mengenai landasan yang terpenting ini perlu
diwujudkan untuk menghasilkan hala tuju dan perancangan pendidikan yang bergerak
di atas satu falsafah yang komprehensif. Peranan pendidikan dalam membina tamadun
ialah melahirkan satu generasi baru yang mampu mengenengahkan penyelesaian yang
sebenar bagi permasalahan kontemporari masyarakat Islam. Penyelesaian ini mesti
lahir dari lubuk khazanah intelektual Islam yang satu tapi punya kepelbagaian. Mana-
mana tamadun yang tandus dari kandungan intelek yang original dijangka akan

10
dikesampingkan. Metodologi dan teknik pengajaran-pembelajaran terutamanya bagi
subjek pengajian Islam perlu menyimpang jauh dari kaedah tradisi pengumpulan
maklumat dan mengeluarkan semula teks-teks yang dihafal. Keluaran pendidikan hari
ini tidak hanya perlu mempunyai pemikiran dan tingkahlaku Islam yang tersendiri
tetapi yang lebih penting lagi mereka bersifat kreatif dan inovatif dalam mengaplikasi
dan menterjemahkan prinsip-prinsip dan konsep-konsep Islam dalam keadaan yang
sering berubah.

Sejak zaman Rasulullah s.a.w. yang juga menjadi permulaan kepada
perkembangan tamadun Islam, peranan ilmu sangat penting. Ini dapat dilihat menerusi
kelahiran pelbagai tokoh akademik dalam pelbagai bidang yang telah memperkenalkan
pelbagai teori. Contohnya seperti bidang matematik. Ilmu matematik mempunyai
pelbagai cabang seperti geometri iaitu cabang matematik yg berkaitan dgn ukuran,
sifat-sifat hubungan titik, garis, sudut, permukaan dan bongkah; algebra iaitu cabang
matematik yg menggunakan huruf-huruf dan tanda-tanda (simbol-simbol) sebagai
mewakili angka atau kuantiti; dan trigonometri iaitu cabang matematik tentang fungsi
rajah segitiga, nisbah antara garis dan sudut-sudut yang terbentuk.

Bidang matematik berkait rapat dengan bidang astronomi. Terdapat ramai
sarjana Islam Andalus yang menumpukan perhatian kepada bidang ini. Para sarjana
Islam telah berjaya mengembangkan ilmu pengetahuan dalam bidang matematik
dengan mensintesiskan metodologi matematik India, Yunani, Mesir dan Mesopotamia.
Antara penemuan matematik Islam ialah memperkenalkan sistem angka baru
termasuklah angka sifar, sistem perpuluhan aritmetik, algebra, trigonometri dan
geometri. Dalam pada itu, antara tokoh-tokoh utama matematik Islam yang telah lahir
ialah Al-Khawarizmi (780M-863M), Al-Kindi (801M-873M), Al-Biruni (973M-
1051M), Al-Battani (858M-929M), Al-Buzjani (940-997M), Thabit Ibn Qurrah (836M-
901M), Omar Al-Khayyam (1048M-1123M) dan ramai lagi.

Dalam bidang astronomi pula, terdapat beberapa orang tokoh yang
memperkenalkan pelbagai teori astronomi. Contohnya seperti Al-Farghani yang telah
menerima teori Ptolemy. Menurutnya, teori itu jika diteliti bukan sahaja memberi kesan
kepada bintang tetapi juga planet di alam semesta ini. Kejayaan Al-Farghani yang lain
ialah beliau mendapati bumi mempunyai ukur lilit sejauh 11,700 km. Al-Farghani

11
menulis sebuah buku bertajuk ‘Elemen Astronomi’ (Kitab fi al-Harakat al-Samawiya
wa Jawami Ilm al-Nujum) iaitu buku tentang gerakan objek di langit dan ilmu
menyeluruh dari bintang-bintang, yang diterjemahkan ke dalam bahasa Latin pada abad
ke-12 dan memberi pengaruh yang besar pada astronomi Eropah sebelum
Regiomontanus.

Begitu juga dengan Abdul Rahman al-Sufi yang merupakan penterjemah utama
Astronomi Hellenistic ke Bahasa Arab yang berpusat di Iskandariah. Di antara hasil
karya beliau yang amat terkenal ialah Kitab Al-Kawakib As- Sabit Al-Musawwar yang
menerangkan tentang kedudukan buruj bintang. Abdul Rahman As-Sufi bukan hanya
mengkaji kedudukan bintang tetapi juga kedudukan buruj bagi bintang itu sendiri,
menggambarkannya, serta menghuraikan pantulan sinar dan warnanya. Abdul Rahman
Al-Sufi juga menghitung tahun matahari dengan tepat.

Selain itu, terdapat ramai tokoh ilmuan lain yang mana memperlihatkan akan
kepentingan budaya ilmu dalam memastikan tamadun Islam dapat berkembang dengan
lebih baik. Dalam masa yang sama, ianya juga menjadi antara elemen penting yang
dapat memastikan masyarakat Islam tidak menjadi masyarakat purba yang tidak
memahami dan mengetahui ilmu yang juga penting dalam kehidupan harian mereka.

3.0 Peranan Ilmu Dalam Tamadun China
Selain daripada peranan budaya ilmu dalam tamadun Islam, budaya ilmu juga
sangat penting dalam tamadun China. Budaya ilmu dalam tamadun China dapat dilihat
dalam pelbagai aspek. Di zaman awal pemerintahan dinasti Zhou (kurun ke-11
sehingga ke-3 SM), orang Cina telah mampu menyediakan catalog bintang,mencatat
rekod tepat tentang gerhana dan komet. Sumbangan terbesar ahli astronomi dan
penyelenggaraan rekod astronomi yang sempurna, tepat dan berterusan sepanjang lebih
daripada 2000 tahun. Sistem calendar Cina juga adalah salah satu sistem yang paling
awal,maju dan tepat berbanding dengan sistem lain di dunia ini. Malaysia juga antara
Negara yang turut menggunakan calendar Cina atau dikenali sebagai calendar kuda. Ini
kerana calendar ini turut memaparkan beberapa simbol haiwan seperti kuda, harimau
dan ayam yang mewakili tahun tertentu dan mempunyai makna yang bermakna bagi
setiap simbol.

12
Orang Cina juga banyak mencapai kemajuan dalam bidang Matematik yang
turut member banyak sumbangan kepada Asia Tenggara termasuklah Malaysia.
Penggunaan sempoa (abacus) disebut buat pertama kali pada kurun ke-2 dalam karya
ahli Matematik Xu Yue, walaupun alat itu tidak digunakan secara meluas pada hari ini
namun masih terdapat segelintir masyarakat yang menggunakannya terutamanya waga
emas. Kebanyakan matematik Cina terkandung dalam karya agung Jiuzhang suanshu
( Sembilan Bab Matematik) oleh Zhang Cang (kurun ke-2 SM). Ahli Matematik Cina
juga mengenal pasti nilai pi, system pecahan dan system perpuluhan yang digunakan
oleh penduduk di Asia Tenggara dalam pengiraan. Kesemua system ini masih di
kekalkan dan digunakan sehingga masa kini.

Dalam sistem perubatan pula, sistem perubatan Cina tradisional bersifat
kepurbaan dan adalah bebas daripada pengaruh asing. Mengikut legenda, ia bermula
sejak masa Fu Xi (2953 SM) dan diperkembangkan seterusnya oleh Shen Nong (2698
SM) dan Huang Di (2598 SM). Rangka teori asas bagi perubatan Cina tradisional
ialah teori kosmetik dualistik yin dan yang dan juga teori lima elemen. Teori yin dan
yang mengatakan bahawa keseimbangan secara harmoni kedua-dua kuasa yin dan yang
akan mempengaruhi kesihatan badan manusia. Teori ini juga turut diamalkan dan
dipercayai amalannya oleh masyarakat Cina yang tinggal di Asia Tenggara termasuklah
di Malaysia. Mengikut teori ini,apabila kadar yin dan yang dalam badan manusia
kurang seimbang,kesakitan berlaku. Dalam badan manusia kadar yin dan yang boleh
dikawal dan ini merupakan tumpuan paling utama dalam perubatan Cina tradisional.
Teori lima elemen menganggap badan manusia sebagai sebahagian daripada dunia
fizikal ini dan organ dalaman seperti hati, jantung,limpa,paru-paru dan ginjal adalah
secocok dengan lima elemen dalam alam semester.

Teori lain yang penting ialah teori jing (saluran) luo (kolateral) yang merupakan
asas bagi rawatan terapeutik seperti akupuntur dan moxisbustion (membakar daun
moxa). Mengikut teori ini, organ dalaman, tangan dan kaki badan manusia adalah
berkaitan dan dihubungkan oleh saluran di mana darah dan qi (tenaga dinamik)
beredar. Apabila jing atau luo tersekat, darah dan qi tidak dapat mengalir lancer dan ini
akan menyebabkan kesakitan. Dengan ini, memastikan darah dan qi mengalir lancar
merupakan asas dan langkah pertama untuk menyembuhkan sesuatu penyakit.

13
Selain itu, akupuntur dan moxibustion sangat penting dalam perubatan Cina
tradisional. Berdasarkan teori jing dan luo, akupuntur melibatkan perbuatan
memasukkan atau mencucuk jarum logam yang telah disteril, yang panjangnya antara 3
sehingga 24 cm ke dalam kulit dan tisu di bawah kulit. Salah satu tujuannya adalah
untuk menstimulasikan titik tertentu pada saluran jing dan luo supaya gangguan
peredaran darah atau qi dapat dibetulkan.

Bahan yang digunakan sebagai ubat-ubatan sangat luas dan ,masih digunakan
sehingga hari ini di Asia Tenggara termasuklah Malaysia. Ianya terdiri daripada
tumbuh-tumbuhan (herba), binatang dan sumber galian. Terdapat herba zaman purba
yang berjumlah lebih kurang 1000 jenis. Kegunaan ubat-ubatan dalam rawatan pada
dasarnya ialah untuk memulihkan keseimbangan yin dan yang dan merupakan satu
perkara yang agak rumit. Buku mengenai perubatan dan farmokologi Cina tradisional
sangat berguna dan memperkembangkan sains perubatan Cina.

Sementara itu, ahli alkimia Cina dalam usaha mereka mencari satu cara yang
dapat membuat manusia hidup selama-lamanya telah menghasilkan sejenis ‘eliksir
kehidupan’ (elixir of life). ‘Eliksir kehidupan’ ini mengandungi bahan-bahan seperti
merkuri,plumbum dan arsenik. Dalam bidang perubatan moden, penggunaan bahan
beracun adalah biasa. Walaupun tujuan utama adalah untuk mengkaji hasil yang dapat
memanjangkan usia manusia,uji kaji ahli kimia Cina dalam mencampur pelbagai
bahan,termasuklah bahan beracun,telah menyebabkan ciptaan lain yang berguna.

Hasil arkeologi menunjukkan sains dan teknologi Cina sudah wujud pada kurun
ke-15 sehingga kurun ke-11 SM. Di peringkat awal permulaannya,budaya Cina sangat
menghargai kemahiran dalam teknologi khasnya kejuruteraan hidraulik kerana
kewujudan budaya Cina bergantung kepada kejayaan atau keupayaan untuk mengawal
banjir Sungai Kuning. Teknologi yang lain misalnya, teknologi melebur dan menuang
besi ke dalam acuan (cating of iron), pengeluaran porselin, pembuatan kertas dan
loyang yang dipercayai telah wujud pada masa yang lebih awal lagi. Walau
bagaimanapun, berikutan perkembangan sejarah, budaya Cina menjadi satu dengan elit
birokratik begitu dominan. Mengikut sejarah Melayu di Malaysia pada masa dahulu,
kerajaan Melayu Melaka pernah menjalin hubungan diplomatik dengan kerajaan China
bertujuan untuk mendapatkan pengaruh dari Kerajaan China dan mengelakkan

14
daripada serangan asing. Selain itu,Negara China juga turut menyumbang ilmu
mengenai sutera, kompas, pembuatan kertas dan porselin yang telah dijadikan sebagai
barang dagangan di Asia Tenggara khasnya di Tanah Melayu pada suatu ketika dahulu.
Ini menunjukkan bahawa Negara China adalah Negara yang membekalkan barang
dagangan pada masa dahulu.

Budaya ilmu juga sangat penting dalam bidang kaligrafi masyarakat tamadun
China. Dalam sistem pendidikan lama, salinan spesimen kaligrafi dari pakar kaligrafi
yang terkenal dibuat dalam bentuk buku untuk ditiru oleh para pelajar. Inskripsi
dijumpai di mana-mana sama ada dalam bentuk batu bersurat yang terletak di tembok,
kuil-kuil, papan tanda, gerbang kehormat, tiang bangunan dan di rumah-rumah.

Kaligrafi menggunakan bahan-bahan antaranya dakwat, berus, kertas dan
kadang-kadang sutera. Dakwat dibekukan dalam bentuk batang pendek yang akan
digosok pada batu dakwat bersama sedikit air sehingga mendapat kekonsistenan yang
betul sebelum menulis. Berus diperbuat daripada bulu kambing, rusa atau serigala dan
adalah tajam di hujung. Kertas yang digunakan ialah sejenis kertas xuan. Kaligrafi Cina
telah menghasilkan banyak stail tulisan yang telah dikembangkan. Terdapat enam jenis
stail tulisan yang masih digunakan masa sekarang walaupun ada di antaranya yang
hanya digunakan untuk tujuan spesifik. Empat stail tulisan lebih biasa digunakan masa
kini, termasuklah pertama, stail biasa atau kaishu iaitu setiap pergerakan berus dan
garis (stroke) ditulis dengan jelas. Kedua, lishu iaitu sejenis stail yang dikembangkan
pada asalnya untuk kegunaan kerani, tulisannya lebih berbentuk segi empat, dengan
pergerakan berus dan garis berdatar lebih panjang sedikit daripada pergerakan berus
dan garis tegak. Ketiga, xingshu atau stail berlari iaitu bentuknya seakan-akan kaishu
tetapi tangan seperti berjalan cepat atau bergerak dengan laju apabila menulis,dengan
ini menghasilkan tulisan yang bersifat kurang teratur, keempat, coashu atau stail
rumput yang telah mendapat namanya berdasarkan rupa bentuk iaitu rumput ditiup
angin yang nampaknya berselerak tetapi pada hal adalah teratur. Jenis-jenis kaligrafi ini
amat dikagumi oleh ahli seni terutamanya yang menerajui bidang kaligrafi yang berasal
dari Asia Tenggara dan Malaysia.

Dari segi teknikal, kaligrafi Cina amat bergantung kepada kemahiran dan
imaginasi seseorang pakar kaligrafi untuk menghasilkan bentuk garis yang menarik

15
lalu menggubah strukutur yang cantik berdasarkan garis-garis ini. Inspirasi asas bagi
kaligrafi Cina sama dengan semua jinis seni cina, iaitu alam semula jadi. Contohnya
sebagai mana ranting pokok yang hidup adalah bernyawa. Pakar kaligrafi Cina
terutama pakar Caoshu, tidak mentoleransikan sifat ketetapan. Sebuah kaligrafi yang
baik bukanlah satu susunan bersimetri bagi bentuk konvesional, bahkan ia boleh
disamakan dengan gerak-geri dalam sebuah tarian yang dikoordinasikan dengan penuh
kemahiran,dengan impuls,momentum,poise sejenak,dan interaksi yang penuh kekuatan
bergabung untuk menghasilkan satu kesempurnaan seimbang.

Berdasarkan kepada penerangan dan penjelasan di atas, dapat dirumuskan
bahawa masyarakat dalam tamadun China juga memanfaatkan ilmu pengetahuan dalam
kehidupan harian ini. Ini juga adalah antara faktor yang memperlihatkan akan
kepentingan budaya ilmu dalam memastikan suatu tamadun itu dapat berkembang
dengan sebaik mungkin. Dalam pada itu, ilmu pengetahuan yang dimiliki dan dikuasai
juga dapat digunakan untuk manfaat masyarakatnya.

4.0 Penutup
Tamadun manusia bermula seawal dengan kehidupan manusia itu sendiri. Umat
Islam kini dan akan datang tidak mustahil berupaya membina dan memperkasakan
semula tamadun mereka yang telah lama hilang. Ciri utama kejayaan tamadun Islam
lampau adalah disebabkan oleh kekuatan fizikal, spiritual, emosi dan mental. Adalah
tidak mustahil sekiranya kejayaan ini akan dicapai oleh umat Islam buat kali ke duanya
andainya umat Islam hari ini mempunyai keempat-empat kekuatan yang disebutkan di
atas. Namun realitinya, umat Islam hari ini hanya boleh berbangga dengan kebangkitan
tamadun dari sudut material sahaja sedangkan jiwa mereka tandus dengan dogma-
dogma agama. Agama Islam seolah-olah tidak sebati dengan jiwa mereka. Justeru
sudah sampai masa dan ketikanya untuk umat Islam mengkoreksi kembali jiwa mereka
yang telah luntur dengan harapan bahawa jiwa yang suci dan murni dapat melahirkan
insan yang berakhlak mulia sebagai pembangun tamadun manusia. Justeru, kaedah
psikoterapi Islam yang terdapat di dalam disiplin psikologi Islam yang dicadangkan di
dalam artikel ini adalah antara mekanisme yang boleh diguna pakai di dalam merawat
jiwa manusia. Apabila jiwa telah berjaya dibajai dengan nilai-nilai keagamaan, sudah
pasti umat Islam mempunyai kemantapan dan keteguhan spiritual. Hal ini akan

16
menjadikan mereka umat yang hebat dan dapat mendepani pelbagai cabaran yang
datang serta memahami hala tuju kehidupan mereka dan sekali gus berjaya memacu
dan memperkasakan tamadun di dalam pelbagai aspek pada masa akan datang ke arah
yang lebih positif dan cemerlang.

17
Rujukan
Ahmad Yahya, 2009. Keagungan Tamadun Islam-Sejarah yang digelapkan. Anbakri
Publika Sdn Bhd.

Fadzlullah Hj Shuib, 2007. Pemikiran dan Tamadun Islam. Al-Hidayah Publication.

Maruwiah Ahmat, 2003. Sejarah Bani Umayyah di Andalus. Karisma Publications.

Mohd Nor Mamat, 2007. Pemikiran dan Tamadun Islam. Institut Perkembangan
Pendidikan UITM.

Mahmood Zuhdi Bin Abd Majid, 2000. Tokoh-tokoh Kesarjanaan Sains Islam. Dewan
Bahasa & Pustaka

Muhammad Sa’id Mursi, 2007. Tokoh-tokoh Besar Islam Sepanjang Sejarah. Pustaka Al-
Kautsar.

Zulkifli Dahalan et. al, 2009. Sejarah Pemikiran dan Tamadun Islam. UPENA, UITM.

18