You are on page 1of 2

ANAK SYURGA

Membesarmu sempurna
Dari kaca mata tiada yang berbeza
Berjalan, berlari, ketawa,bergurau senda
Walau kadangkala tersandung tiba-tiba
Ah, itu biasa nak membesar namanya

Masih ibu tak mengerti bila kau menyendiri


Bahasamu aksi yang perlu difahami
Terkial-kial kau mencari satu gaya yang pasti
Agar ibu mengerti
Agar kau tidak ketinggalan bercerita itu ini

Tiba masa menghadapi satu kenyataan


Ibu tak pasti apakah perasaan nak digambarkan
Setabah manapun seorang ibu
Sayunya hati tak dapat ditipu
Dalam singkatnya waktu

Bilangan hari terus bertambah


Kita belajar mengerti apa itu istimewa
Kau semakin faham walau sukar berbicara
Ibu tidak ragu menjaga amanah sementaraNya
Hingga sampai janji ibu atau janjimu
Tercatat dalam rahsia usia
Syukur ibu tak terpadam dalam ingatan
Doa ibu tak cukup dengan ungkapan
Harapan ibu tak tergambar dengan tulisan
Antara cahaya mata ibu,kau terpilih oleh Nya
Merangkul istilah Anak Istimewa
Menumpanglah ibu ayah dan ahli keluarga
Harum SYURGAMU wahai anak istimewa...