You are on page 1of 3

Bahagian A

(30 markah)

(Masa dicadangkan : 45 minit)

Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang aktiviti berfaedah yang boleh
dilakukan pada masa lapang. Panjang huraian hendaklah antara 200-250 patah perkataan.

Aktiviti Masa Lapang


Soalan 2 : Pemahaman

Soalan 2(a) – Petikan Cerpen

Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan
menggunakan ayat anda sendiri.

Sekali ibu kembali mengamuk lagi dan puncanya daripada Ceper itu juga. Kali ini bukan kerana banjir
yang dibawa oleh Ceper yang melanda padi. Musim itu musim kemarau. Tidak sangka kemarau akan
memanjang sampai berbulan-bulan. Sawah habis kering. Lembu kerbau asyik diheret ke Ceper saja untuk
menghilangkan dahaga kerana semua telaga dan kubang di sawah kering. Baruh-baruh yang dulunya tidak
pernah kering itu pun kering juga.

Sungai ceper semakin hari semakin tohor sehingga air sampai paras buku lali. Ikan-ikan terperangkap
dan banyak yang mati kerana tidak boleh main air lagi. Sungai menjadi busuk kerana najis tidak boleh
mengalir. Hendak mandi menyelam kepala dalam-dalam pun tidak boleh lagi kerana air Ceper betul-betul
tohor.

Ibu mengamuk juga. Dia maki-maki Ceper yang boleh jadi begitu sehingga menyusahkan semua. Baruh
habis kering. Padi pun kecut di dalam sawah. Yang sudah menguning boleh jadi tahan-tahan sampai benar-
benar tunduk. Tetapi banyak yang belum masuk isi habis kering dan mati menjadi jerami begitu saja. Yang
kuning pun nampak saja besar biji-biji padinya, tetapi banyak yang hampa kerana kemarau panjang sangat dan
air Sungai Ceper tidak boleh menolong langsung.

Dalam hati ibu memang Ceper itu bedebahlah. Ibu tidak turun ke Ceper lagi kerana airnya sedikit. Ibu
berbaik dengan telaga.

(Dipetik daripada cerpen “Ibu dan Ceper”,oleh Shahnon Ahmad,

dalam antologi Harga Remaja,Dewan Bahasa dan Pustaka)

(i) Gambarkan keadaan yang berlaku apabila Sungai Ceper begitu tohor. (2 markah)

(ii) Pada pendapat anda, mengapakah musim kemarau mendatangkan banyak kesusahan?

(3markah)

(iii) Huraikan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan dan satu pengajaran yang lain
dalam keseluruhan cerpen ini. (4 markah)
Soalan 2 (b) : Sajak

Baca sajak di bawah dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat
anda sendiri.

Harga Remaja

Berapakah sebenarnya harga remaja


yang bersih
dari gelodak kecewa
bagai kehijauan daun
bagai kesegaran pohon
di pinggir perjalanan ini?

Dengan apakah akan kaupenuhi


piala remajamu
adakah cuka kesangsian
dari cinta murah
atau madu ajaran
dari ilmu susah?

Remaja amat mahal


sesungguhnya
tiada terbeli oleh perjanjian
harga remaja adalah
pendirian
keberanian dan ilmu.

Penuhilah remajamu
dengan ketentuan tuju.

Rahman Shaari
Langit di Tangan, 1995
Dewan Bahasa dan Pustaka

(i) Jelaskan maksud harga remaja seperti yang dijelaskan oleh penyajak dalam rangkap ketiga sajak
tersebut? ( 2 markah )

(ii) Pada pendapat anda, apakah perkara yang perlu dilakukan supaya diri anda dianggap sebagai
remaja bernilai atau bermakna? (3 markah)

(iii) Huraikan dua nilai yang terdapat dalam sajak ini. (4 markah)

You might also like