You are on page 1of 1

Bab 1: Darah Pahlawan, muka surat 1-7

Novel bermula dengan watak zaman kanak-kanak Adnan yang menghunus keris kayu pemberian ayahnya, Pak
Saidi sambil menikam batang pisang. Dialog pertama terpacul daripada mulut Pak Saidi. Adnan mendesak Pak
saidi mengajarnya bersilat kerana mahu mencontohi Hang Tuah. Pak Saidi pura-pura tidur apabila sengaja
membiarkan pertanyaan Adnan tentang keturunan mereka sebagai pahlawan (Saidi cucu Datuk Siamang Gagap,
penentang Inggeris di Seri Menanti, Negeri Sembilan).
Setelah Adnan terlena, Pak Saidi berbual dengan isterinya, Mak Milah. Perbualan berkisar tentang perubahan
zaman ke arah pencapaian pendidikan dan kebendaan, berbanding dengan kepahlawanan. Mak Milah mahu tiga
orang anak mereka menjadi orang biasa sahaja, bukan buruan Inggeris. Pak Saidi meyakinkan Mak Milah
bahawa anak mereka akan bersekolah, tetapi mesti berjuang demi bangsa, agama dan tanah air. Pembukaan
maktab perguruan di Tanjung Malim yang mengambil pelajar terbaik sekolah rendah Melayu menarik perhatian
pasangan suami isteri itu. Kemudian mereka beralih kepada isu kemiskinan orang Melayu di tanah air sendiri
yang kaya dengan sumber bumi, tetapi dijarah oleh penjajah belaka. Pak Saidi meluahkan rasa kesal kerana
kejatuhan kesultanan Melaka yang bertapak selama 110 tahun berpunca daripada daripada angkara adu domba,
fitnah dan perpecahan sesama orang Melayu. Pak Saidi menjelaskan bahawa dia sengaja merahsiakan
keturunannya kerana tidak mahu menjadi buruan Inggeris, dipandang serong dan disisihkan.