You are on page 1of 2

rencana

ARKIB : 27/09/2007

Ketidakseimbangan negeri kurang maju


Oleh Asan Ali Golam Hassan
WILAYAH Ekonomi Pantai Timur (ECER) akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri
Abdullah Ahmad Badawi, hujung bulan depan. Ia merupakan wilayah pembangunan ketiga
selepas Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor dan Wilayah Pembangunan Koridor
Utara di utara Semenanjung Malaysia.
Pembangunan rangka kerja koridor-koridor ini dilihat sehaluan dengan teras Rancangan
Malaysia Kesembilan (RMK-9) iaitu, meningkatkan nilai tambah dalam ekonomi negara,
meningkatkan keupayaan pengetahuan, kreativiti dan inovasi negara serta memupuk minda kelas
pertama, menangani masalah ketidaksamaan sosioekonomi secara membina dan produktif,
meningkatkan tahap dan kemampanan kualiti hidup dan mengukuhkan keupayaan institusi dan
pelaksanaan negara.
Antara lima teras dasar ini, yang paling menarik perhatian penulis ialah teras ketiga iaitu
menangani masalah ketidaksamaan sosioekonomi secara membina dan produktif. Teras ketiga
ini yang paling mencabar dan berkait rapat dengan teras-teras dasar yang lain.
Walaupun DEB telah tamat pada tahun 1990, hala tuju pembangunan negara “ pertumbuhan
dengan pengagihan yang saksama,” untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula
masyarakat, terus diberi keutamaan dalam rangka kerja Dasar Pembangunan Nasional (1991-
2000) dan Dasar Wawasan Negara (2001-2010). Ini bermaksud, telah 35 tahun (1971- 2006)
penekanan diberi kepada “ pertumbuhan dengan pengagihan yang saksama.” Bagaimanapun
seperti kata Perdana Menteri semasa membentangkan RMK-9, “ jurang pendapatan dan
kekayaan tetap wujud terutamanya antara kaum dan antara kawasan luar bandar dengan kawasan
bandar.”
Adalah sukar, pembangunan untuk berlaku serentak di semua lokasi. Pertama, kerana
ketidakseimbangan dalam proses pembangunan berlaku disebabkan faktor-faktor sumber asli
yang tidak mobil. Kedua, penumpuan aktiviti ekonomi di suatu kawasan terpilih dan ketiga
kerana faktor pengangkutan dan komunikasi yang juga terpilih di sesuatu kawasan yang
mempunyai faedah berbanding yang tinggi secara relatifnya.
Bagaimanapun, apa yang diharapkan melalui masa, perancangan-perancangan, dasar-dasar
kerajaan dan koridor- koridor baru yang dibentuk, masalah ketidakseimbangan ini akan
berkurangan.
Kajian yang dibuat oleh Bank Dunia mendapati negara-negara perindustrian baru termasuk
Malaysia telah merekodkan pencapaian pertumbuhan ekonomi, termasuk eksport yang
mengagumkan sejak 1971 terutama pada tahun-tahun 1990-an sebelum krisis ekonomi melanda
rantau ini.
Pertumbuhan yang cepat ini juga berjaya mengurangkan masalah kemiskinan mutlak,
meningkatkan taraf hidup, dan mengurangkan masalah ketidakseimbangan agihan pendapatan
Pada pemerhatian penulis, seakan- akan wujud satu putaran ketakseimbangan yang melibatkan
pelbagai faktor ketidakseimbangan di negeri-negeri kurang maju. Kebanyakan aktiviti sektor
perindustrian di negeri kurang membangun ialah industri berasaskan sumber dan lebih
berintensifkan buruh. Keadaan ini bersesuaian dengan latar belakang penawaran buruh di negeri-
negeri berkenaan, yang mana memperlihatkan migrasi buruh yang berpendidikan dan
berkemahiran. Keadaan ini menyebabkan persekitaran industri berteknologi rendah.
Aktiviti
Kebanyakan industri berasaskan sumber diusahakan oleh pelabur tempatan dan menumpukan
kepada pasaran domestik. Berbanding dengan pelabur asing, yang lebih kepada aktiviti industri
insentif modal dan produk untuk pasaran antarabangsa.
Bagi pihak pengusaha, kadar pertumbuhan output yang rendah juga bermaksud margin
keuntungan yang rendah yang seterusnya menyebabkan kadar tabungan yang rendah. Kadar
tabungan yang rendah sudah tentulah menyebabkan kadar pelaburan rendah. Industri juga akan
lebih kepada insentif buruh berbanding dengan insentif modal.
Manakala di pihak pekerja pula, marginal keuntungan yang rendah menyebabkan kadar upah
(dan kenaikan upah) yang rendah seterusnya menyebabkan tingkat pendapatan yang juga rendah
dan tabungan yang rendah.
Kesimpulannya, pada peringkat awal pembangunan, ketidakseimbangan akan meningkat dan
pertumbuhan itu akan dapat mengurangkan kemiskinan, tetapi tidak semestinya dapat
mengurangkan ketidakseimbangan pembangunan antara kawasan (negeri). Adalah sukar juga
negeri-negeri maju akan memberi laluan kepada negeri-negeri kurang maju untuk mengecapi
tingkat pembangunan yang sama, malah akan terus bersaing antara satu sama lain.
Hakikatnya, kekangan modal dan buruh mahir menyebabkan tidak semua tempat dapat
dibangunkan serentak. Dalam sesetengah keadaan, keseimbangan pembangunan terpaksa
dikorbankan dengan mengagihkan sumber-sumber yang terhad ini di kawasan-kawasan yang
mempunyai faedah perbandingan yang tinggi. Dasar-dasar secara bersepadu dan menyeluruh
dalam perancangan pembangunan koridor-koridor ekonomi di negeri-negeri kurang maju
mungkin perlu dirangka untuk berhadapan dengan ‘ putaran ketidakseimbangan’ yang seakan-
akan berlaku di negeri kurang membangun. Satu dasar yang bersepadu mungkin perlu dalam
menyelesaikan punca-punca putaran ketidakseimbangan ini secara serentak.
* DR. Asan Ali Golam Hassan ialah Profesor Madya, Fakulti Ekonomi, Universiti Utara
Malaysia.

http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0927&pub=Utusan_Malaysia&sec=Re
ncana&pg=re_02.htm