You are on page 1of 4

UCAPAN 01

Sekolah anda telah menerima pengetua yang baru. Pihak sekolah telah mengadakan sambutan khas
menyambut ketibaan beliau. Selaku ketua pelajar, anda telah dijemput untuk menyampakan ucapan
bagi pihak pelajar. Tulis teks ucapan anda itu selengkapnya.*

Assalamualaikum dan salam sejahtera’

Yang saya hormati Puan Pengacara Majlis, Yang Berusaha Tuan Pengetua SMK Wie Ambang
Saujana, Tuan Haji Zawieirul bin Ramwi, Yang Dihormati para guru dan seterusnya rakan-rakan yang
dikasihi sekalian.

Atas limpah kurnia Allah yang Maha Pemurah lagi Pengasihani, saya melafazkan kesyukuran kerana
dengan izin-Nya kita dapat berjumpa dalam majlis yang amat besar ertinya kepada kita warga SMK
Ambang Saujana. Kita berasa bertuah dan bersyukur kerana kekosongan tempat selaku pengemudi
sekolah selama enam bulan terisi juga akhirnya. Justeru, mewakili warga pelajar, saya mengalu-
alukan ketibaan Tuan Haji Zawieirul bin Ramwi, ke SMK Ambang Saujana. Sesungguhnya,
kedatangan tuan memang menjadi penantian kami, bak pantun;

Kembang seroja kembang setaman


Harum semerbak menyeri pagi
Selamat datang tuan budiman
Ibarat yang pergi isi berganti

Hadirin sekalian,

Tuan Haji Zawieirul bin Ramwi, merupakan putera sulung kepada pasangan Haji Ramli Mursyid dan
Puan Hajah Umi Sarah. Diputerakan sejak 48 tahun yang lalu. Kini telah berkeluarga dan mempunyai
empat orang cahaya mata. Beliau menerima pendidikan awal di Tanjung Karang. Di peringkat
menengah beliau belajar di SMK Ambang Saujana dan seterusnya melanjutkan pelajaran di Fakulti
Sains dengan pengkhususan dalam subjek Kimia dan Matematik di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Atas minat yang mendalam dalam bidang pendidikan, beliau telah memilih untuk menjadi guru sebaik
tamat pengajian di universiti. Walaupun pada waktu itu, sebagai pelajar sains beliau mempunyai
banyak pilihan untuk menjawat jawatan lain yang lebih baik, namun beliau tetap memilih bidang
perguruan. Sebelum dilantik ke jawatan pengetua di sekolah ini, beliau telah menjawat jawatan yang
sama di beberapa buah sekolah di negeri Selangor. Oleh hal yang demikian, kedatangan beliau ke
sini sebagai kesinambungan tugas beliau memandangkan beliau sudah mempunyai cukup
pengalaman mentadbir.

Atas kelayakan akademik yang beliau perolehi dan pengalaman mentadbir di beberapa buah
sekolah, diyakini kehadiran beliau ke sini bak sirih pulang ke gagang kerana kembali kepada ibu
kandung. Kehadirannya menggantikan tempat pengetua yang lalu ibarat patah tumbuh hilang
berganti kerana stail dan rentak mereka tidak jauh berbeza. Oleh itu, kami warga sekolah khususnya
dalam kalangan pelajar amat berbangga dengan kehadiran tuan pengetua. Selamat datang, Tuan
Pengetua! Kedatangan tuan ke sini amatlah kami alu-alukan, bak kecil tapak tangan nyiru kami
tadahkan.

Rakan-rakan sekelian,

Sebagai pengetua yang telah mencipta beberapa kejayaan ketika di sekolah dahulu, tidak syak lagi
tuan pengetua akan melakukan beberapa pengubahsuaian dan program bersepadu untuk
mempertingkatkan lagi lonjakan akademik di sekolah ini. Sebagai pelajar yang pernah mendapat
pendidikan di sini, pasti tuan pengetua mempunyai sentuhan sentimental untuk dilaksanakan bagi
faedah pelajar. Daripada peribadi beliau yang berhemah tinggi dan terkenal sebagai pengetua yang
berbudi bahasa, warak dan tegas, kami yakin segala program pembangunan insan di sekolah ini
akan dijuruskan kepada pembentukan akhlak mulia dalam kalangan pelajar. Keteramplan diri dalam
aspek kurikulum, kokurikulum, sahsiah, dan jati diri pelajar akan menjadi agenda utama tuan
pengetua laksanakan nanti.

Dengan kesempatan yang ada ini, saya menyeru rakan-rakan pelajar supaya menggandakan usaha
untuk menempatkan diri kita sebagai antara pelajar yang cemerlang dalam daerah ini dan sekali gus
mengungguli sekolah terbaik bagi negeri Selangor seperti yang telah dicapai beberapa tahun yang
lalu. Marilah bersama-sama kita menanamkan azam untuk membentuk peribadi yang mulia, menjadi
insan yang patuh akan Tuhannya, matang berfikir, dan aktif dalam setiap aktiviti yang bermanfaat.
Semua pihak sedar, walau sebaik manapun seseorang pentadbir, tanpa komitmen yang tinggi
daripada pelajar-pelajar, hasrat untuk mengulangi kecemerlangan tidak mungkin menjadi kenyataan.
Usaha yang selanjutnya, marilah kita menyimpan azam yang kuat di samping tidak putus-putus
berdoa ke hadrat Illahi supaya usaha kita diberkati.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Sampai di sini ucapan saya sebagai meraikan ketibaan kali pertama tuan pengetua. Kepada tuan
pengetua saya menaruh harapan yang cukup tinggi supaya didiklah kami, bentuklah kami agar
segala laluan yang dirintih menjadi landasan untuk kami menjadi insan yang berguna terhadap nusa,
bangsa, dan agama.

Sekian terima kasih.

UCAPAN 02
Teks Ucapan Ketua Murid
Assalamualaikum dan salam sejahtera’

Yang saya hormati saudara Pengacara Majlis, Yang Berusaha Tuan Pengetua SMK Wiertang, Yang
Dihormati para guru dan seterusnya rakan-rakan yang dikasihi sekalian.

Dengan segala hormat dan takzimnya, saya mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi atas limpah kurnia-
Nya, mengizini kita bertemu dalam majlis ini. Saya bersyukur juga kerana majlis yang telah dirancang
sejak sekian lama berjaya juga akhirnya dilaksanakan. Sebagai alu-aluan, saya ingin merakamkan
penghargaan dan terima kasih kepada pihak sekolah yang telah berusaha keras untuk menjayakan
majlis yang penting dan bermakna kepada kami pelajar-pelajar di sekolah ini..

Rakan-rakan sekalian,

Setelah lima tahun kita melakar sejarah di SMK Wiertang ini, segala-gala yang dikutip di sini telah
terakam dalam sebuah sejarah peribadi masing-masing. Kita melalui saat-saat suka dan duka
semasa dalam proses pembelajaran. Pelbagai kerenah dan tingkah laku alam remaja telah kita
catatkan. Bermula dengan isu kenakalan remaja, berkenalan dan bercinta, belajar dan berusaha
telah menjadi asam garam bagi setiap pelajar di sekolah. Kita telah menimbulkan pelbagai masalah
dan tidak kurang mengimpakkan pelbagai kejayaan untuk dikongsi kegembiraannya bersama-sama.
Kejayaan yang telah kita lakarkan sama ada dalam aktiviti kurikulum dan kokurikulum, turut menjadi
rencah penyeri yang turut mengakrabkan hubungan sesama warga sekolah. Namun, apa-apapun,
saya yakin kepada para guru, kitalah racun dan kitalah penawar. Antara guru dan pelajar ibarat lirik
dan melodi, pincang salah satu tempanglah kedua-keduanya. Namun dengan berkat kesabaran dan
sikap berlapang dada para guru kita berjaya sampai ke penghujung. Terima kasih, cikgu!

Hadirin sekalian,

Tinggal beberapa hari lagi kita akan berhadapan dengan tanggungjawab hakiki iaitu menduduki
peperiksaan PT3 dan SPM. Sungguhpun demikian, saya penuh yakin dengan hemah dan bijaksana
para guru mendidik serta komitmen kita belajar, tidak mustahil satu lonjakan berganda dapat kita
realisasikan. Saya ingin melahirkan keyakinan ini kepada semua warga sekolah, bahawa kami anak-
anak didik tidak sabar-sabar untuk menduduki peperiksaan dan menterjemahkan harapan daripada
seluruh warga sekolah, ibu bapa, dan negara amnya. Dalam situasi seperti ini hanya doa dan restu
para guru yang kami harapkan. Kami yakin bahawa percikan liur basah tuan-tuan dan puan-puan
itulah yang bakal menjadi bintang penyinar menyuluh hari depan kami yang gemilang.
Sesungguhnya, jasa dan budi anda akan terus terpahat kukuh di dalam hati nurani kami sampai bila-
bila.

Rakan-rakan sekalian,

Ingatlah anda, guru merupakan penyuluh hidup yang sentiasa membawa sinar harapan. Namun guru
sebagai manusia biasa juga, justeru, kerenah para guru dalam pelbagai sikap dan perwatakan tidak
boleh dijadikan sempadan pemisah antara kita. Jadikan sikap bengis, garang, pemendam rasa,
penyayang, pembimbing, dan senyum tawa mereka sebagai bekalan untuk kita ‘bertempur’ di dalam
dewan peperiksaan. Tanamlah perasaan hormat dan sayang yang tidak berbelah bahagi kepada
mereka kerana doa dan restu mereka amat besar ertinya kepada kejayaan kita.
Setelah kita meninggalkan sekolah secara total nanti, janganlah kita berkerat rotan dan berpatah
arang dengan ‘rumah tangga’ yang telah menghamparkan selingkar kisah hidup kepada kita di sini.
Pulanglah ke tempat asal dengan selamat. Rancanglah aktiviti yang berfaedah sebelum keputusan
peperiksaan SPM diumumkan. Agar tidak terputus silaturahim, sentiasalah kita berhubung antara
satu sama lain terutama sekali dengan guru-guru. Pemergian kita merupakan kehilangan kepada
para guru. Bagi seseorang guru, pelajar merupakan jantung dan hati mereka. Oleh itu, janganlah
bersikap seperti kacang lupakan kulit atau bak daun terbang jauh melupakan induk.

Tuan-tuan dan puan yang dihormati sekalian,

Menjejaki patah-patah terakhir bicara saya, lidah saya bagaikan kelu untuk melafazkan selamat
tinggal untuk tuan-tuan. Walau apapun demikianlah lumrah alam, berjumpa dan berpisah sudah
menjadi adat manusia biasa. Sebagai kenang-kenangan terimalah bingkisan pantun daripada saya;

Rumpun halia rumpun pegaga


Tumbuh subur di tepi kali
Kudrat guru menabur jasa
Mendidik pelajar berhati budi

Tenang-tenang air di laut


Sampan kolek mudik ke tanjung
Hati terkenang mulut menyebut
Budimu tuan bertakhta dijunjung.

Sekian terima kasih.