You are on page 1of 17

See

discussions, stats, and author profiles for this publication at: https://www.researchgate.net/publication/303373059

PENCEROBOHAN TANAH WAKAF DARI ASPEK


PERUNDANGAN NEGARA

Conference Paper · May 2015

CITATION READS

1 515

3 authors:

Rusnadewi Abdul Rashid Rohayati Hussin


Universiti Teknologi MARA Universiti Teknologi MARA
22 PUBLICATIONS 31 CITATIONS 18 PUBLICATIONS 7 CITATIONS

SEE PROFILE SEE PROFILE

Niy Niy
39 PUBLICATIONS 47 CITATIONS

SEE PROFILE

Some of the authors of this publication are also working on these related projects:

Corrective and Retributive Justice Model for Trespass of Waqf Land View project

Child Development from the Perspective of Syed Shakh Ahmad Alhady View project

All content following this page was uploaded by Rohayati Hussin on 20 May 2016.

The user has requested enhancement of the downloaded file.


Proceedings of the International Conference on Waqf 2015 (ICW2015), Universiti Sultan
Zainal
Abidin (UniSZA), Kuala Terengganu, Terengganu
May 10 – 11, 2015
____________________________________________________________________________
PENCEROBOHAN TANAH WAKAF DARI ASPEK PERUNDANGAN NEGARA

Dr. Rusnadewi Abdul Rashid a


a
Universiti Teknologi Mara Perlis
rusnadewi@perlis.uitm.edu.my

Rohayati Hussin b
b
Universiti Teknologi Mara Kedah
b
roha427@kedah.uitm.edu.my

Prof Dr. Noor Inayah Yaakub c


c
Universiti Islam Malaysia
inayah@uim.edu.my

ABSTRAK

Isu pencerobohan tanah wakaf adalah merupakan salah satu faktor penyumbang kepada
kegagalan pembangunan tanah wakaf di Malaysia. Permasalahan ini sangat berkait rapat
dengan aspek pendaftaran tanah wakaf menurut Kanun Tanah Negara 1965. Ini adalah kerana
pendaftaranlah yang akan memuktamadkan ketuanpunyaan tanah wakaf. Kertas kerja ini dibuat
bagi memfokuskan persoalan tentang pihak manakah yang mempunyai kuasa untuk mendakwa
penceroboh serta berhak atau bertanggungjawab terhadap isu pembayaran wang pampasan
akibat pencerobohan tanah wakaf. Selain itu, ia juga bertujuan merungkai persoalan berkenaan
peruntukan sedia ada yang boleh digunapakai bagi tujuan penyelesaian kemelut tersebut.
Mengaplikasikan kaedah penyelidikan undang-undang tulen yang mengetengahkan kajian
berbentuk kualitatif, kajian ini diharap dapat menyumbang ke arah penambahbaikan
pengurusan tanah wakaf terutama bagi isu kawalan terhadap tanah.

Kata kunci: pencerobohan tanah wakaf, Kanun Tanah Negara 1965, pendaftaran
1. PENGENALAN

Pencerobohan tanah wakaf bukan sahaja menjadi satu kesalahan di sisi undang-undang
negara, malah ia sememangnya telah ditegah dalam Islam. Larangan ini berdasarkan firman
Allah SWT dalam surah an-Baqarah: 188 yang bermaksud:

Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan
jalan yang batil.

Ia juga dikuatkan oleh sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Sesiapa yang mengambil sejengkal tanah orang lain tanpa izin pemiliknya, maka Allah akan
membebaninya dengan tujuh lapis bumi." (Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad).

Masalah pencerobohan tanah wakaf yang berlaku di negara ini tidak boleh dipandang ringan.
Iamemberi implikasi yang tidak baik kepada agenda pembangunan tanah wakaf. Hal ini akan
menyebabkan niat murni orang yang memberi wakaf tidak kesampaian dan seterusnya
membantutkan usaha meningkatkan ekonomi umat Islam. Permasalahan pencerobohan tanah
wakaf ini sebenarnya sangat berkait rapat dengan aspek pendaftaran tanah yang diamalkan
pada masa kini. Ini adalah kerana pendaftaranlah yang akanmenentukan hak kepada
ketuanpunyaan tanah wakaf. Pada masa ini, ketiadaan akta khusus mengenai tanah wakaf
telah menimbulkan ketidakselarasan tentang prosedur pendaftaran tanah wakaf yang memberi
kesan yang berbeza terhadap permasalahan berkaitan pencerobohan ke atas tanah wakaf.
Rentetan itu timbul permasalahan tentang pihak manakah yang mempunyai kuasa untuk
mendakwa penceroboh dan berhak atau bertanggungjawab terhadap isu wang pampasan
sebagai remedi kepada pencerobohan yang berlaku. Justeru itu, skop kertas kerja ini
akanmenjurus kepada dua objektif utama iaitu,penelitian terhadap proses pendaftaran tanah
wakaf yang tidak seragam dan memberikan kesan yang berbeza terhadap isu ketuanpunyaan
tanah wakaf serta jenis perlindungan yang diperuntukan di bawah perundangan Malaysia bagi
kes pencerobohan tanah. Mengaplikasikan kaedah penyelidikan undang-undang tulen yang
mengetengahkan kajian berbentuk kualitatif, kajian ini diharap dapat menyumbang ke arah
penambahbaikan pengurusan tanah wakaf terutama bagi tujuan pembangunan sebagai agenda
mengurangkan kadar kemiskinan rakyat dan memacu ekonomi negara.

2. PENDAFTARAN TANAH WAKAF

Sistem pendaftaran untuk semua jenis urusan tanah, termasuk tanah wakaf di Malaysia adalah
tertakluk di bawah Kanun Tanah Negara 1965 (KTN) dengan menggunapakai borang-borang
berkanun yang sama. Pendaftaran tanah wakaf boleh dilakukan melalui deklarasi berkanun
mengenai pelepasan hak ketuanpunyaan ke atas mana-mana harta seperti melalui Borang 14A
KTN yang berfungsi sebagai pengakuan pemindahmilikan tanah kepada seseorang atau
Borang 12A dan 12B sebagai pengakuan penyerahan balik tanah kepada pihak kerajaan.Selain
itu, kaedah perletakhakan berkanun di bawah seksyen 416C serta perletakhakan berkanun
suatu kepentingan berdaftar di bawah seksyen 415 melalui Borang 30A juga boleh digunapakai
(Sallehuddin Ishak, 2013). Secara ringkasnya, terdapat empat kaedah yang diamalkan bagi
tujuan pendaftaran tanah wakaf menurut perundangan KTN di seluruh negara iaitu:

i) Seksyen 416C
Seksyen ini merupakan peruntukan yang berkaitan dengan kaedah pendaftaran tanah termasuk
pendaftaran tanah wakaf melalui Peletakhakan Berkanun (Statutory Vesting). Kaedah
pindahmilik ini tidak membabitkan prosedur yang rumit. Penyempurnaan dibuat tanpa pengisian
apa-apa instrumen oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) kerana permohonan boleh dibuat
sekadar dengan menulis suratdengan melampirkan surat lafaz wakaf dan suratcara wakaf
kepada Pendaftar Hakmilik atau Pentadbir Tanah (mengikut mana yang berkenaan) bagi tujuan
tersebut. Selain itu, salinan peruntukan statutori berkaitan perletakhakan tanah wakaf kepada
MAIN di bawah akta atau enakmen negeri berkenaan juga perlu turut dikemukakan. Sekiranya
permohonan diluluskan, Pendaftar Hakmilik atau Pentadbir Tanah akan mengendorskan hak
pemohon di dalam daftar dokumen hak milik tanah.

ii) Seksyen 195, 197 dan 200 KTN


Kaedah ini juga merupakan salah satu cara yang membolehkan tanah wakaf didaftarkan atas
nama MAIN sebagai pemegang amanah tunggal. Pendaftaran tanah melalui penyerahan balik
dan permohonan semula ini adalah selaras dengan peruntukan yang terkandung dalam
KTN.Permohonan hendaklah dibuat secara bertulis oleh tuanpunya tanah yang ingin
mewakafdengan menyatakan tujuanpenyerahannya kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN).
Apa-apa bayaran yang belum dijelaskan ke atas tanah berkenaan seperti cukai tanah yang
tertunggak dan sebagainya termasuk yuran bagi urusan penyerahan berkenaan hendaklah
dilunaskan terlebih dahulu. Bagi tujuan tersebut, lakaran pelan hartanah berkenaan juga perlu
dilampirkan bersama.Selepas penyerahan diterima oleh PBN, MAIN dikehendaki memohon
semula hartanah berkenaan bagi menyempurnakan pelaksanaan wakaf tersebut. Penyerahan
balik (surrender) tanah yang terkandung dalam hakmilik kepada kerajaan atau PBN boleh
dilakukan secara bertulis kepada Pentadbir Tanah dengan menggunakan Borang 12A(seksyen
197 jika bagi maksud keseluruhan tanah) atau Borang 12B (seksyen 200 jika bagi maksud
sebahagian tanah).

iii) Seksyen 415 KTN


Kaedah ini dibuat apabila permohonan bagi pendaftaran peletakhakan berkanun bagi suatu
kepentingan berdaftar atau yang boleh didaftarkan mengenai tanah disempurnakan melalui
Borang 30A dan 30B KTN. Melalui kaedah ini MAIN boleh memohon kepada Pendaftar untuk
membuat suatu memorial ke atas dokumen hakmilik daftaran yang menyatakan bahawa
kepentingan berdaftar mengenai tanah tersebut terletakhakan kepada MAIN sebagai penerima
pindahan.

iv) Seksyen 215 dan 216 KTN


Proses pindahmilik tanah di bawah peruntukan seksyen initelah banyak diamalkan oleh MAIN
(Sallehuddin Ishak, 2013). Permohonan dibuat dengan pewakaf mengisi Borang 14AKTN yang
mengandungi antara lain butir-butir peribadi pemindah milik (pewakaf) dan pihak penerima
pindahan milik (MAIN) termasuk juga butiran hartanah. Setelah permohonan tersebut
diluluskan, pihak Pendaftar Tanah akan mendaftarkan nama MAIN sebagai penerima pindahan
yang sah di sisi undang-undang.

3. KESAN KAEDAH PENDAFTARAN TANAH WAKAF DALAM ISU PENCEROBOHAN


TANAH

Pada masa ini, kaedah pendaftaran bagi tanah wakaf bagi setiap negeri adalah berbeza-beza.
Sebagai contoh, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang bebas memilih untuk menggunapakai
mana-mana daripada kaedah berikut iaitu sama ada pindahmilik menggunakan Borang 14A,
peletakhakan berkanun di bawah seksyen 416C, penyerahan tanah melalui Borang 12A atau
Borang 12B atau peletakhakan berkanun di bawah seksyen 415 KTN. Bagi Majlis Agama Islam
Negeri Johor pula, kebiasaannya pindahmmilik dibuat melalui Borang 14A serta Borang 12A
atau 12B. Berlainan pula dengan Majlis Agama Islam Negeri Selangor yang mengamalkan
penggunaan instrumen 12A atau 12B serta prosedur perletakhakan berkanun melalui Seksyen
416C.

Walau bagaimanapun, pemakaian kaedah yang berbeza ini akan menimbulkan implikasi
yang berlainan dari sudut ketuanpunyaan. Sebagai contoh, pendaftaran pindahmilik tanah
wakaf di bawah KTN yang dibuat melalui Borang 14A di bawah seksyen 215 dan 216 KTN akan
menjadikan tanah yang diwakafkan tersebut sebagai hakmilik MAIN. Manakala pendaftaran
peletakhakan tanah wakaf dibawah peruntukan seksyen 416C ke atas nama MAIN sebagai
penerima pindahan pula akan menjadikan MAIN sebagai pemegang amanah tunggal sahaja.
Namun sebagai pemegang amanah, peruntukan ini hanya membolehkan MAIN menduduki,
mengguna, mengawal atau mengurus tanah wakaf tersebut sahaja.

Oleh kerana amalankaedah pendaftaran berbeza ini telah memberi kesan yang tidak
seragam terhadap isu ketuanpunyaan tanah, iamemberi impak langsung kepada permasalahan
tentang pihak manakah yang mempunyai kuasa untuk mengawal, mendakwa serta menerima
pampasan dalam kes pencerobohan tanah wakaf. Sekiranya pindahmilik yang dibuat
memberikan kesan ketuanpunyaan tanah wakaf kepada MAIN (iaitu dalam seksyen 215 dan
216 KTN), tanah tersebut boleh dikategorikan sebagai tanah kerajaan. Ini memandangkan
takrifan tanah kerajaan ini telah diperluaskan skopnya di bawah seksyen 425(2) KTN kepada
semua tanah yang dipegang oleh pihak Kerajaan Persekutuan atau Negeri, suatu pihak
berkuasa tempatan atau suatu pihak berkuasa berkanun yang menjalankan kuasa yang
terletakhak kepadanya oleh undang-undang persekutuan atau negeri atau memegang bagi
pihak agensi yang tersebut. Oleh yang demikian, tanah wakaf yang dipunyai oleh MAIN sebagai
pihak berkuasa berkanun negeri juga akantermasuk dalam kategori berkenaan.

Peluasan maksud tanah kerajaan di bawah seksyen tersebutsebenarnya telah


memperluaskan fungsi dan tanggungjawab Pentadbir Tanah khususnya bagi mengawasi dan
mengambil tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya sekiranya mana-mana tanah tersebut
diceroboh oleh pihak-pihak tertentu, selaras dengan kuasa-kuasa yang telah diberikan kepada
Pentadbir Tanah di bawah seksyen 426A KTN (Azizi Zakaria, 2013). Justeru itu, tanah wakaf
yang didaftarkan melalui kaedah ini nampaknya akan meletakkan tanggungjawabkawalan,
pendakwaan dan penguatkuasaan terhadap pencerobohan tanah wakaf ke atas Pentadbir
Tanah dan bukannya MAIN. Manakala bagi tanah yang melalui proses perletakhakan yang
menjadikan MAIN sebagai pemegang amanah, pemakaian peruntukan undang-undang sivil
iaitu di bawah undang-undang tort mungkin menjadi mekanisme penyelesaian bagi masalah
pencerobohan tanah wakaf.

4. REMEDI PENCEROBOHAN TANAH WAKAF DI BAWAH KTN

Secara umumnya pencerobohan ke atas tanah wakaf yang ditakrifkan sebagai tanah kerajaan
membawa maksud seseorang atau mana-mana pihak yang memasuki, menduduki atau
menjalankan kegiatan tertentu ke atas tanah kerajaan tersebut tanpa kebenaran, persetujuan
dan kelulusan pihak yang berkuasa ke atas tanah berkenaan (dalam hal ini pihak yang
berkuasa ialah Pihak Berkuasa Negeri bagi sesebuah negeri itu). Seksyen 425 KTN
menyatakan bahawa sekiranyamana-mana pihak yang tanpa kebenaran yang sah telah
menduduki ataupunmembina apa-apa bangunan di atas tanah kerajaan, tanah rizab atau
tanahlombong, ataumana-mana pihak yang telah membersihkan, memajak,menggali, memagar
atau bercucuk tanam di atas mana-mana tanah kerajaan, tanah rizab ataupun tanah lombong,
ataumana-mana pihak yang telah menebang atau memindahkan mana-mana kayu balak atau
apa-apa hasil kayu daripada tanah-tanah berkenaan, maka pihak yang berkenaan telah
melakukan kesalahan dan jika disabitkan kesalahan tersebut boleh didenda tidak lebih daripada
RM10,000.00 atau dipenjara dalam tempoh tidak melebihi satu tahun, atau kedua-duanya. Di
samping itu, pihak yang bersubahat dalam melakukan kesalahan tersebut juga telah dikira
melakukan satu kesalahan dan jika disabitkan dengan kesalahan tersebut, maka boleh
dikenakan denda tidak melebihi RM10,000.00 atau dipenjarakan untuk suatu tempoh yang tidak
melebihi satu tahun, atau kedua-duanya.

Seksyen 425A KTN pula telah memperuntukkan kesalahan-kesalahan bagi


pencerobohan ruang udara ke atas tanah kerajaan dan juga ke atas tanah rizab.Melalui
peruntukan tersebut, mana-mana pihak tanpa kebenaran yang sah telah menggunakan ataupun
menduduki ruang udara di atas tanah kerajaan atau tanah rizab dengan mendirikan,
menyelenggara atau menduduki dengan kegiatan-kegiatan tertentu, telah melakukan satu
kesalahan dan jika disabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000.00 atau
penjara untuk satu tempoh tidak melebihi enam (6) bulan atau kedua-duanya sekali.

Seksyen 426 KTN telah memperuntukkan mana-mana pihak yang tanpa kebenaran
yang sah telah mengambil, memindah atau mengangkut, atau membenarkan pengambilan,
pemindahan atau pengangkutan bahan-bahan batuan dari mana-mana tanah, telah melakukan
satu kesalahan dan jika disabitkan kesalahan itu boleh dikenakan denda tidak melebihi
RM50,000.00 atau dipenjarakan untuk satu tempoh tidak melebihi lima (5) tahun atau kedua-
duanya sekali. Melalui peruntukan tersebut, bukan sahaja kegiatan dan tindakan mengambil,
memindah dan mengangkut bahan-bahan batuan tersebut tanpa kebenaran yang sah
merupakan satu kesalahan, malah mana-mana pihak yang membenarkan kegiatan dan
tindakan tersebut juga telah dikategorikan sebagai pihak yang melakukan kesalahan, yang
boleh diambil tindakan-tindakan tertentu seperti dinyatakan di atas, walaupun tanah tersebut
merupakan tanah kepunyaan mereka atau tanah di bawah kawalannya.

Untuk melaksanakan peruntukan undang-undang dan langkah penguatkuasaan ke atas


kesalahan-kesalahan tersebut, maka di bawah seksyen 426A KTN telah diperuntukkan
beberapa kuasa kepada beberapa pihak termasuk Pentadbir Tanah iaitu kuasa-kuasa yang
melibatkan penahanan dan perampasan sebagaimana dinyatakan di bawah seksyen 426A(1)
(a), (b) dan (c) KTN.

5. REMEDI PENCEROBOHAN TANAH WAKAF DI BAWAH UNDANG-UNDANG TORT

Undang-undang tort diwujudkan bertujuan melindungi kepentingan seseorang individu terhadap


keselamatannya, tanah milikannya, sumber kewangannya, atau reputasinya. Dalam common
law,satu tort adalah satu kesalahan sivil yang berlainan daripada pelanggaran kontrak di mana
undang-undang ini menyediakan remedi pampasan atau ganti rugi. Selain pampasan, dalam
sesetengah kes tertentu, undang-undang tort membenarkan tindakan sendiri, seperti
menggunakan kekerasan yang wajar untuk memberhentikan pencerobohan. Bagi suatu kes tort
yang berlarutan, dimana gangguan terus-menerus berlaku, mahkamah mempunyai kuasa
memberi perintah injunksi (injuction) untuk menghalang daripada gangguan itu terus berlaku.
Umumnya, undang-undang tort adalah secara langsung bertujuan meletakkan si mangsa dalam
keadaan asal sebelum dia diperlakukan gangguan itu berdasarkan prinsip jangkaan atau
keadaan wajar.

Dalam isu ini, Kamal (2014), menyatakan bahawa pencerobohan terhadap tanah
berlaku dalam tiga keadaan iaitu memasuki tanah, terus berada di atas tanah dan meletakkan
objek di atas tanah. Pencerobohan juga boleh berlaku kepada bahagian bawah tanah dan juga
ruang atas tanah. Kenyataan ini di buat berdasarkan ulasan beliau terhadap buku yang ditulis
oleh Abdul Basir Mohamad bertajuk “English and Islamic Law of Torts: Concepts, Principles,
Trespasses, Strict Liability & Vicarious Liability”. Menurut Norchaya (2011), penceroboh
merupakan orang yang memasuki sesuatu premis tanpa izin samada secara tersurat atau
tersirat sama ada kerana tersilap atau dengan tujuan tertentu. Terdapat dua elemen
pencerobohan terhadap tanah mengikut undang-undang tort iaitu:

i) Kondisi mental penceroboh iaitu tahap kesengajaan yang mesti dikira dengan
melihat kelakuan penceroboh (mental state), dan
ii) Kepentingan yang terganggu (Interference)

Pihak-pihak yang berkepentingan ke atas tanah yang diceroboh mesti membuktikan kedua-dua
elemen tersebut wujudsebelum membuatpermohonan di mahkamah supaya penceroboh
mengosongkan tanah tersebut. Berdasarkan elemen pertama, pemilik tanah tidak boleh
sewenang-wenangnya membuat pendakwaan tanpa mengemukakan bukti bahawa penceroboh
mempunyai niat melakukan percerobohan tersebut. Walau bagaimanapun, penceroboh juga
perlu diberi peluang untuk menyangkal pertuduhan tersebut. Seterusnya, bagi elemen kedua
pula, ia sangat mudah untuk dibuktikan iaitu dengan melihat sama ada wujud pencerobohan
tersebut atau sebaliknya. Pencerobohan haruslah berlaku secara langsung dan meninggalkan
kesan kepada tuanpunya tanah. Antara contoh-contoh pencerobohan yang berlaku ialah
pencerobohan milikan iaitu tanah tuanpunya tanah dijadikan tempat lalu lalang penceroboh atau
tempat penceroboh memburu burung-burung dan sebagainya. Selain itu, pencerobohan juga
boleh berlaku dengan meninggalkan sesuatu yang kekal seperti mendirikan rumah di atas tanah
tuanpunya tanah, meletakkan sesuatu di tanah seperti meletakkan barang-barang si
penceroboh di atas tanah tuanpunya tanah dan pencerobohan di ruang udara seperti wayar
telefon dan sebagainya.

Jika dilihat secara umumnya,kewujudan undang-undang tort adalah untuk menjaga


kepentingan semua jenis tanah termasuk juga tanah wakaf, tanah rizab dan sebagainya. Oleh
itu, pemakaian undang-undang tort juga boleh diguna pakai kepada pencerobohan terhadap
tanah wakaf. Menurut Mohd Afendi (2012), undang-undang tort memperuntukan bagi mana-
mana individu yang memasuki sesuatu tanah yang bukan miliknya adalah disabit sebagai
penceroboh (trespasser). Beliau juga berpendapat bahawa pemilik tanah boleh mengusir
penceroboh daripada tanahnya setelah notis dikeluarkan.Konsep Ihya’ al-Mawat tidak lagi
sesuai diaplikasikan pada tanah wakaf hari ini kerana tanah wakaf pada masa kini bukan lagi
dikategorikan sebagai tanah terbiar atau tanah mati. Sebaliknya tanah-tanah wakaf yang
didaftarkan berdasarkan undang-undang Kanun Tanah Negara 1965 adalah di bawah
tanggungjawab MAIN untuk diusahakan dan dimajukan. Oleh itu, MAIN sebagai pemegang
amanah kepada tanah wakaf berhak menghalang dan mengambil tindakan terhadap
pencorobohan yang berlaku di atas tanah wakaf. Seterusnya, sekiranya pemilik tanah berjaya
membuktikan wujudnya dua elemen di atas, maka undang-undang tort membenarkan pemilik
tanah mendapat pemulihan atau ganti rugi daripada pihak yang melakukan kesalahan. Pelaku
salah dalam perbuatan tort perlu membayar dengan harga atas kesalahan yang dilakukan
olehnya(Kamal, 2014).

6. REMEDI MENURUT PERUNTUKAN ENAKMEN WAKAF

Bagi negeri-negeri yang mempunyai enakmen wakaf yang khusus, peruntukan telah dibuat bagi
menyelesaikan masalah pencerobohan tanah wakaf. Ia dapat dilihat seperti di bawah:

i) Negeri Sembilan
Enakmen Wakaf (Negeri Sembilan) 2005
Bahagian Viii - Kesalahan-Kesalahan Dan Penalti

Seksyen 35. Menduduki secara haram tanah atau bangunan wakaf.

(1) Mana-mana orang yang tanpa kebenaran Majlis atau mana-mana orang yang diberi kuasa
oleh Majlis—
(a) menduduki mana-mana tanah wakaf atau menghuni bangunan wakaf;
(b) mendirikan apa-apa binaan atau struktur di atas mana-mana tanah wakaf atau
bangunan wakaf;
(c) membersihkan, membajak, menggali, mengepung atau bercucuk tanam di atas
mana-mana tanah wakaf atau selainnya mengusahakan mana-mana tanah wakaf;
atau
(d) memotong, mengambil, memindahkan atau mengeluarkan apa-apa hasil daripada
mana-mana tanah wakaf,
adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh dikenakan denda yang tidak
melebihi lima ribu ringgit, atau dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang tidak
melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya, dan dalam hal kesalahan berterusan, dikenakan denda
selanjutnya yang tidak melebihi lima ratus ringgit bagi setiap hari atau sebahagian daripada
sehari kesalahan itu berterusan selepas pensabitan itu.

(2) Mahkamah boleh, atas permohonan pegawai pendakwa, memerintahkan seseorang yang
melakukan kesalahan di bawah subseksyen (1) supaya merobohkan, memusnahkan dan
membersihkan segala binaan, struktur, halangan atau tanaman di atas tanah wakaf atau
bangunan wakaf itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, atas perbelanjaan orang yang
melakukan kesalahan itu.

(3) Jika orang yang disebut di bawah subseksyen (2) gagal mematuhi perintah Mahkamah,
Majlis boleh menyebabkan supaya dilaksanakan perintah itu dengan membelanjakan wang
daripada Kumpulan Wang Wakaf atau sumber pembiayaan lain, dan Majlis boleh menuntut apa-
apa perbelanjaan yang dilakukan daripada orang itu.

(4) Jika tuntutan yang disebut dalam subseksyen (3) tidak dibayar, tuntutan itu boleh didapatkan
melalui tindakan sivil sebagai suatu hutang yang kena dibayar kepada Majlis.
(5) Jika tiada perintah Mahkamah dibuat di bawah subseksyen (2), apa-apa binaan, struktur,
halangan atau tanaman yang terdapat di atas tanah wakaf atau bangunan wakaf itu, mengikut
mana-mana yang berkenaan, hendaklah terletak hak kepada Majlis dan mana-mana orang
tidak boleh membuat apa-apa tuntutan terhadap Majlis berhubungan dengan binaan, struktur,
halangan atau tanaman itu.

Seksyen 36. Menggunakan secara haram ruang udara.

(1) Tertakluk kepada Kanun Tanah Negara, mana-mana orang yang tanpa kebenaran Majlis
atau mana-mana orang yang diberi kuasa oleh Majlis, menggunakan atau menduduki ruang
udara di atas tanah wakaf dengan mendirikan bumbung, langit-langit, sengkuap, jambatan atau
apa-apa binaan atau struktur lain adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan,
boleh dikenakan denda yang tidak melebihi lima ribu ringgit, atau dihukum dengan pemenjaraan
selama tempoh yang tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya, dan dalam hal kesalahan
berterusan, dikenakan denda selanjutnya yang tidak melebihi lima ratus ringgit bagi setiap hari
atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu berterusan selepas pensabitan itu.

(2) Mahkamah boleh, atas permohonan pegawai pendakwa, memerintahkan seseorang yang
melakukan kesalahan di bawah subseksyen (1) supaya merobohkan, memusnahkan dan
membersihkan apa-apa bumbung, langitlangit, sengkuap, jambatan atau apa-apa binaan atau
struktur lain di atas tanah wakaf itu atas perbelanjaan orang yang melakukan kesalahan itu.

(3) Jika orang yang disebut di bawah subseksyen (2) gagal mematuhi perintah Mahkamah,
Majlis boleh menyebabkan supaya dilaksanakan perintah itu dengan membelanjakan wang
daripada Kumpulan Wang Wakaf atau sumber pembiayaan lain, dan Majlis boleh menuntut apa-
apa perbelanjaan yang dilakukan daripada orang itu.

(4) Jika tiada perintah Mahkamah dibuat di bawah subseksyen (2), apa-apa bumbung, langit-
langit, sengkuap, jambatan atau apa-apa binaan atau struktur lain yang terdapat di atas tanah
wakaf itu hendaklah terletak hak kepada Majlis dan mana-mana orang tidak boleh membuat
apa-apa tuntutan terhadap Majlis berhubungan dengan bumbung, langit-langit, sengkuap,
jambatan atau apa-apa binaan atau struktur lain itu.
Seksyen 37. Merosakkan tanaman.

(1) Mana-mana orang—


(a) yang binatang ternakannya merayau-rayau di atas tanah wakaf dan merosakkan
apa-apa tumbuhan atau tanaman yang diusahakan di atas tanah wakaf itu; atau
(b) yang menyebabkan kerosakan kepada apa-apa tumbuhan atau tanaman yang
diusahakan di atas mana-mana tanah wakaf, dengan apa-apa cara,
adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh dikenakan denda yang tidak
melebihi lima ribu ringgit, atau dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang tidak
melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya.

(2) Mahkamah boleh memerintahkan mana-mana orang yang melakukan kesalahan di bawah
subseksyen (1) supaya membayar kepada Majlis ganti rugi bagi kerosakan yang dilakukan atau
disebabkan oleh orang itu atau binatang ternakannya.

(3) Apa-apa ganti rugi yang diperintahkan oleh Mahkamah boleh didapatkan mengikut apa-apa
cara yang diperuntukkan oleh undang-undang bagi mendapatkan denda yang dikenakan oleh
Mahkamah atas sabitan.

(4) Walau apa pun subseksyen (2) dan (3), Majlis boleh menuntut ganti rugi daripada orang
yang melakukan kesalahan di bawah subseksyen (1) dan jika ganti rugi itu tidak dibayar, ganti
rugi itu boleh didapatkan melalui tindakan sivil sebagai suatu hutang yang kena dibayar kepada
Majlis.

Seksyen 38. Mengubah, memusnahkan, dsb mawquf.

(1) Mana-mana orang yang menggunakan apa-apa mawquf tanpa kebenaran Majlis atau mana-
mana orang yang diberi kuasa oleh Majlis atau menyebabkan apa-apa perubahan,
pengubahan, kemusnahan, kerosakan atau kecacatan pada apa-apa mawquf adalah
melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh dikenakan denda yang tidak
melebihi lima ribu ringgit, atau dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang tidak
melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya.
(2) Mahkamah boleh memerintahkan mana-mana orang yang melakukan kesalahan di bawah
subseksyen (1) menggantikan mawquf yang diubah atau yang musnah itu atau
memulihkan mawquf yang diubah, rosak atau cacat itu, atas perbelanjaan orang yang
melakukan kesalahan itu, sehingga Majlis berpuas hati.

(3) Jika orang yang disebut di bawah subseksyen (2) gagal mematuhi perintah Mahkamah,
Majlis boleh menyebabkan supaya dilaksanakan perintah itu dengan membelanjakan wang
daripada Kumpulan Wang Wakaf atau sumber pembiayaan lain, dan Majlis boleh menuntut apa-
apa perbelanjaan yang dilakukan daripada orang itu.

(4) Jika tuntutan yang disebut dalam subseksyen (3) tidak dibayar, tuntutan itu boleh didapatkan
melalui tindakan sivil sebagai suatu hutang yang kena dibayar kepada Majlis.

ii) Negeri Selangor

Enakmen Wakaf (Negeri Selangor) 1999


Bahagian Ix - Peruntukan Am

Seksyen 45. Menceroboh ke atas tanah wakaf.

(1) Mana-mana orang yang tanpa kebenaran Majlis-

(a) menduduki, atau membina apa-apa binaan atau struktur di atas mana-mana tanah
wakaf;

(b) membersih, membajak, menggali, mengepong atau menanam tanaman di atas


mana-mana tanah wakaf atau sebahagiannya; atau
(c) memotong, mengambil atau mengeluarkan apa-apa hasil atas atau daripada tanah
wakaf itu,
adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi lima
ribu ringgit, atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali,
dan dalam hal kesalahan berterusan, didenda tidak lebih daripada lima ratus ringgit bagi tiap-
tiap hari kesalahan itu berterusan.
(2) Seseorang yang membina atau mendirikan apa-apa bangunan atau halangan di atas tanah
wakaf hendaklah, jika diarahkan oleh majlis, meroboh, memusnah dan membersihkan segala
binaan dan halangan di atas tanah wakaf itu dengan perbelanjaan sendiri.

(3) Jika orang yang tersebut di bawah subseksyen (2) enggan mematuhi arahan di bawah
subseksyen yang dinyatakan itu, Majlis boleh menyebabkan diroboh, dimusnah atau
dibersihkan segala binaan dan halangan di atas tanah wakaf itu dan boleh menuntut kos
daripada orang tersebut.

iii) Negeri Melaka

Enakmen Wakaf (Negeri Melaka) 2005


Bahagian Ix - Peruntukan Am

Seksyen 45. Kesalahan atas tanah wakaf.

(1) Mana-mana orang yang tanpa kebenaran Majlis—


(a) menduduki, membina atau meroboh apa-apa binaan atau struktur di atas mana-
mana tanah wakaf; atau
(b) membersih, membajak, menggali, mengepong atau menanam tanaman di atas
mana-mana tanah wakaf atau sebahagiannya; atau
(c) memotong, mengambil atau mengeluarkan apaapa hasil atas atau daripada tanah
wakaf itu,

adalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi lima
ribu ringgit, atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali,
dan dalam hal kesalahan berterusan, didenda tidak lebih daripada lima ratus ringgit bagi tiaptiap
hari kesalahan itu berterusan.

(2) Seseorang yang telah disabitkan atas kesalahan di bawah perenggan 45(1)(a) hendaklah,
jika diarahkan oleh Majlis, meroboh, memusnah dan membersihkan segala binaan dan
halangan di atas tanah wakaf itu atas perbelanjaannya sendiri.
(3) Jika orang yang tersebut di bawah subseksyen (2) enggan mematuhi arahan di bawah
subseksyen yang dinyatakan itu, Majlis boleh menyebabkan diroboh, dimusnah atau
dibersihkan segala binaan dan halangan di atas tanah wakaf itu dan boleh menuntut kos
daripada orang tersebut.

(4) Seseorang yang telah disabitkan melakukan kesalahan di bawah perenggan 45(1)(b) atau
(c), hendaklah jika diarahkan oleh Majlis, membayar gantirugi atau pampasan sebagaimana
yang ditentukan Majlis.

7. KESIMPULAN

Memang diketahui bahawa telah menjadi tanggungjawab bagi setiap negeri untuk mengambil
tindakan dan menuntut ganti rugi (Mohammad Tahir Sabit, Abdul Hamid Mar Iman, & Ismail
Omar, 2005) terhadap mana-mana pencerobohan tanah wakaf. Namun, perlu diperjelaskan
bahawa tindakan yang dibuat mestilah melalui proses perundangan yang tepat. Bagi masalah
pencerobohan tanah wakaf, kaedah pendaftaran sesuatu tanah wakaf akan menentukan pihak
yang mempunyai kuasa terhadap kawalan, pendakwaan dan pampasan terhadap
pencerobohan tanah tersebut. Adalah menjadi keperluan bagi pihak MAIN sebagai pihak yang
bertanggungjawab dalam pengurusan dan pentadbiran tanah wakaf untuk menentukan siapa
yang mempunyai kuasa untuk berbuat demikian. Ini adalah kerana kegagalan menentukan
pihak yang mempunyai locus standi dalam pendakwaan dan penguatkuasaan pencerobohan
akan menyebabkan tindakan yang diambil menemui kegagalan dari sudut perundangan.

Tidak dinafikan bahawa terdapat beberapa negeri yang mempunyai enakmen wakaf
telah memperuntukan kesalahan menceroboh atau mengambil hasil dari tanah wakaf. Namun,
bagi negeri yang tidak mempunyai enakmen tersebut pula, masalah pencerobohan tanah wakaf
tetap perlu ditangani. Oleh yang demikian, memandangkan pada masa ini, tidak semua negeri
mempunyai enakmen yang khusus mengenai wakaf, adalah agak mustahil pencerobohan tanah
wakaf boleh ditangani dengan tindakan sewajarnya. Justeru itu, perlu diwujudkan satu akta
khusus berkaitan wakaf yang memuktamadkan jenis pendaftaran tanah wakaf di seluruh negara
bagi menentukan pihak yang mempunyai kuasa mengambil tindakan ke atas pencerobohan
tanah wakaf dan menyeragamkanpenalti yang ada dalam isu tersebut kerana buat masa ini,
walaupun negeri yang mempunyai enakmen wakaf telah memperuntukkan jenis-jenis hukuman
dan penalti bagi masalah tersebut, namun ia adalah berbeza antara negeri-negeri tersebut
(Mohd Afendi, 2012).

8. PENGHARGAAN

Kertas kerja ini adalah sebahagian daripada hasil penyelidikan pengajian peringkat Doktor
Falsafah. Untuk itu penghargaan ditujukan kepada geran LRGS [LRGS /2013/UKM–UKM/SI/03]
di bawah tajuk ‘Pelestarian Institusi Wakaf Untuk Memperkasa Pendidikan Tinggi Negara’
kerana telah menaja pengajian dan secara langsung membiayai penyelidikan ini.

9. RUJUKAN

Al-Quran Tajwid dan Terjemahan.

Azizi Zakaria. (2013). Pencerobohan Tanah Kerajaan – Tinjauan Dari Sudut


Perundangan Tanah. Jurnal Pentadbiran Tanah. , (3) bil. 1, 54-61.

Mohd Afendi Mat Rani. (2012). Pencerobohan Tanah Wakaf: Pelaksanaan Undang-Undang dari
Perspektif Islam dan Aplikasinya di Malaysia.

Kamal Halili Hassan. (2014). Ulasan Buku. Jurnal Kanun, (2), 285–290.

Mohammad Tahir Sabit, Abdul Hamid Mar Iman, & Ismail Omar. (2005). An Ideal Financial
Mechanism for The Development of The Waqf Properties in Malaysia.

Norchaya Talib. (2011). Law of Torts in Malaysia. (3rded.). Sweet and Maxwell Asia.

Sallehuddin Ishak. ( 2013). Kuasa Menghurai Model Goodchild Dan Munton (1986) Dan
Van Assen (2009) Dalam Masalah Pembangunan Tanah Wakaf Di Malaysia. Jurnal Pentadbiran
Tanah. (3) bil. 1, 1-24.

Akta
Enakmen Wakaf (Negeri Sembilan) 2005
Enakmen Wakaf (Negeri Selangor) 1999
Enakmen Wakaf (Negeri Melaka) 2005
Kanun Tanah Negara 1965

View publication stats