You are on page 1of 6

Al kisah, maka adalah sebuah negeri bernama Indera Pat, rajanya bernama Maharaja Isin.

Maka
negeri itu cukup lengkap seperti adat istiadat negeri yang lain-lain juga, tetapi baginda itu baru
sahaja ditabalkan menggantikan paduka ayahanda dan bondanya, kerana baginda itu telah hilang
keduanya. Maka isteri baginda itu bernama Tuan Puteri Bongsu, ada berputera seorang, namanya
Tuan Puteri Lela Kendi, telah berumur sepuluh tahun.
Arakian, maka adalah dihujung negeri itu seorang anak miskin, yatim piatu, namanya disebut oleh
sekalian kanak-kanak dengan gelaran Si Luncai, kerana perutnya besar dan punggungnya tonggek
serta pula apabila ia berjalan itu menjemur dada. Ada pun hal kehidupan Si Luncai itu mengambil
upah menumbuk dan menjemur padi serta menjual katu api, itulah sahaja kerjanya.
Sekali peristiwa Si Luncai terlalu amat ingin hendak masuk mengadap baginda. Maka ia pun
pergilah dengan rupanya yang terlalu buruk itu. Maka tiadalah diterima oleh baginda akan masuk
Si Luncai itu, hingga beberapa kali pun demikian juga. Hatta, kepada suatu hari Si Luncai pun
bersiaplah memakai pakaiannya yang lain, iaitu berseluar ganjam puth sudah koyak-koyak, dan
berbaju hitam buruk menggerebeng seperti sarang petola, serta memakai kain hitam bermancung
cobak-cabik, dan bertengkolok batik seperti tali ayam. Setelah sudah memakai itu, Si Luncai pun
pergilah mengadap, dan pada masa itu baginda pun hadir sedang bercukur hendak pergi
sembahyang Jumaat. Maka Si Luncai pun naiklah kebalai penghadapan di bawah rembat balai itu,
lalu ia menyembah pada baginda, seraya ditegur oleh baginda. Katanya Hai Luncai, apa maksudmu
datang ini? Maka sembah si luncai, ampun Tuanku beribu-ribu ampun, tiadalah apa-apa hasrat
patik, hanya hendak mengadap kebawah dulu yang maha mulia sahaja.
Telah itu baginda pun diamlah. Maka baginda bercukur itu sudahlah. Apabila dilihat oleh Si Luncai
ulu baginda itu bergundul tentang tengkuknya, maka ia pun menangislah dengan teramat sangat,
tersenak-senak dan terisak-isak sehingga bercucuran air matanya. Maka titah baginda, Hai Luncai,
apa engkau tangiskan ini? Maka sembah Si Luncai, ampun Tuanku beribu-ribu ampun, tersangatlah
besar dukacita bagi kalbu patik tanyakan, dan hendak pun patik sembahkan telah Tuan patik
tanyakan, dan hendak pun patik sembahkan menakuti sangat-sangat dihati patik, siapa mengetahui
kalau-kalau menjadi kemurkaan kebawah dulu tuanku.
Maka titah baginda, kabarkanlah olehmu tiada aku marah. Maka sembah Si Luncai, ampun tuanku
beribu-ribu ampun, ada pun sebabnya patik menangis ini kerana patik lihat ulu Tuanku itu. Ampun-
ampun daulatnya barang bertambah-tambah daulat, serupalah betul-betul dengan kepala pachal
tua kebawah duli yang telah hilang itu, daripada dogol-dogol dan sulahnya itu sedikit pun tiada
bersalahan lagi. Maka itulah sebabnya hiba dan rawan dihati patik. Pada perasaan pati, tambahan
pila susuk gaya bayanya pun haruslah sebaya dengan tuanku juga.
Hatta, setelah baginda mendengarkan sembah Si Luncai, maka baginda pun murkalah terlalu amat,
merah padam warna mukanya seraya bertitah, hai Luncai, sampailah engkau ini kanak-kanak lagi
miskin, patutlah tiada mempunyai akal dan fikiran. Adakah sampai hemat engkau menyamakan sifat
aku dengan bapa engkau yang sudah mampus itu? Ceh! Ceh! Tidak kusangka sekali-kali demikian
berani engkau. Maka sekarang engkau ini derhaka kepada aku, tentulah engkau kubunuh.
Maka baginda pun memberi isyarat pada hulubalangnya menyuruh tangkap Si Luncai, serta diikat
dan dimasukkan kedalam guni. Titah baginda kepada seorang pertanda menyuruh bunuh akan Si
Luncai dan campakkan kedalam air dikuala sungai itu. Maka segeralah dikerjakan oleh petanda itu,
dibawanya Si Luncai turun kesampan serta berkayuh kehilir.
Maka kata Si Luncai, wahai encik pertanda, mintalah hamba sebiji labu air hendak hamba peloki,
seolah-olah ganti ibu hamba, kerana hamba hendak mati ini, bolehlah hamba marifatkan hamba
mati bersama-sama dengan ibu hamba. Maka jawab pertanda itu, baiklah. Kerana ia pun belas juga
melihatkan orang yang telah tentu mati itu, lalu disuruhnya ambil labu air tempat bekalan mereka
didalam perahu itu, yang besar sekali, seraya dikeluarkan dan diuraikan ikatnya lalu diberikan labu
itu kepada Si Luncai.
Maka dipeluk oleh Si Luncai, lalu menangislah ia dengan amat sangatnya di tengah-tengah perahu
itu. Kemudian lalu ia berkata kepada segala pertanda itu, katanya ya mamak pertanda, hamba
melihat tuan hamba berkayuh itu terlalulah kasihan di hati hamba oleh terlampau penatnya. Jika
begitu, ada suatu nyanyi supaya boleh membuat pelalai berkayuh itu, kita perbuat beramai-ramai.
Maka jawab pertanda itu, apa dia? Luncai, pelalai itu? Maka kata Si Luncai, buatlah demikian. Si
luncai terjun dengan labu-labunya, jawabnya biarkan, biarkan. Maka pertanda itu semuanya
membuatlah seperti yang diajarkan oleh Si Luncai itu beramai-ramai. Si Luncai terjun dengan labu-
labunya! Biarkan, biarkan. Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Biarkan, biarkan.
Maka dengan hal yang demikian bernyanyi itu bersahut-sahut, Si Luncai pun terjunlah sungguh
kedalam sungai seraya menyelam. Maka pertanda jurumudi itu beberapa kali telah menyatakan, Si
Luncai sudag terjun dengan labu-labunya kedalam air, tetapi oleh sabor dengan nyanyinya itu
tiadalah siapa yang menghiraukan. Kemudia lalu berkatalah pula jurumudi dengan bengisnya, hai
kamu sekalian anak perahu, cubalah lihat kebelakang, Si Luncai sudah terjun.
Maka barulah masing-masing menoleh keburitan perahu. Sesungguhnya campaklah Si Luncai
sudah terdiri ditepi tebing sebelah kiri sungai. Wah apatah lagi. Bergopogopohlah masing-masing
mengayuh perahu mendapatkan Si Luncai kedarat, lalu ditangkapnya. Telah dapat, dimasukkan
kedalam guni itu juga serta diikat, langsung berkayuh pula. Tidak berapa lamanya, dengan kuasa
Allah, kedengarlah bunyi suara rusa bertempek di darat bertalu-talu. Maka kata Si Luncai, dari
dalam guni itu, Ya Allah, sayangnya rezeki terbuanglah sahaja.
Maka kata pertanda itu, apa engkau kata Luncai? Maka jawab Si Luncai. Tidak ada. Itu bunyi rusa
bertempek, sudah mengena agaknya jerat yang hamba tahan disitu dahulu, tetapi apalah daya
hendak mengambilnya? Sahajalah binatang itu mati oleh kena jerat, tiada siapa mengambilnya.
Maka kata pertanda itu sama sendiri. Mari kita singgah mengambil rusa yang telah kena jerat Si
Luncai itu. Telah bersetuju muafakatnya, maka perahu itu pun disinggahkanlah lalu kedarat,
sekalian pertanda itu mencari tempat jerat Si Luncai itu merata-rata hutan, dan dimana-mana
kedengaran bunyi rusa bertempek, kesitulah dikejar oleh segala pertanda itu dengan tempek
soraknya. Demi rusa itu mendengar suara manusia, ia pun makinlah jauh larinya.
Kelakian, tersebutlah perkataan Si Luncai tinggal diperahunya di dalam guni seorang dirinya.
Dengan kuasa Allah ta`ala, lalulah seorang India menjual dagangan. Maka dilihat oleh Si Luncai
tampak baying-bayangnya kilau-kilau dari dalam guni itu. Maka ia pun berseru-seru dengan nyaring
suara, katanya, Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, mohonlah patik, sekali-kali patik ta` mahu
kahwin dengan paduka anakanda itu. Remaklah patik mati dibuangkan kedalam air ini.
Hatta, setelah didengar oleh saudagar India itu akan rungut Si Luncai, maka ia pun datang
mendekati keperahu itu, seraya bertanya. Katanya, hai orang dalam guni, apa tuang ini macam?
Siapa punya kerja ini? Maka sahut Si Luncai dengan tangisnya, Ada pun sebab hamba ini menjadi
demikian kerana raja negeri ini hendak mengahwinkan hamba dengan puterinya, hamba tiada
mahu. Inilah hendak dibunuhnya.
Setelah didengar oleh saidagar India akan kata Si Luncai itu, ia pun terlalu sukacita hendak kawin
itu. Lalu katanya, apa? Kahwinkah? Saya banyak suka! Raja mahukah ganti sama saya kasi kahwin
dia punya anak? Maka kata Si Luncai, kalau mamak mahu, raja tentu banyak suka. Sahaya yang
miskin lalgi ia mahu, ini pula mamak orang kaya. Jika begitu, marilah bukakan saya, mamak menjadi
ganti saya. Maka mamak India itu pun naiklah kedalam perahu lalu mengorakkan tali guni dan tali
si Luncai. Setelah Si Luncai keluar mamak itu pun masuklah kedalam guni itu lalu diikat pula oleh
Luncai akan tangan mamak dan mulut guni itu. Kemudian diajarnya mamak itu. Katanya, apabila,
apabila datang hamba raja itu sekarang, mamak bilanglah kepada dia orang, saya mahu kawin
dengan anak raja. Maka kata mamak India itu, baiklah.
Setelah sudah, Si Luncai pun menggalas bungkus kain mamak itu, lalu lari pulang kenegerinya.
Arakian, tersebutlah perkataan sekalian pertanda yang pergi mencari bekas jerat Si Luncai itu.
Telah tiada bertemu masing-masing oun pulanglah keperahu. Maka didengar oleh mereka itu Si
Luncai berkata. Saya mau kawin sama raja punya anak, saya mau kawin sama raja punya anak.
Berpuluh-puluh kali demikian juga katanya. Maka mereka sekalian pun heran seraya berkata, kena
apa Si Luncai ini bermacam-macam pula lakunya? Ini doperbuatnya seperti suara orang India , dan
katanya ia hendak kahwin dengan anak raja. Siapalah yang mahukan dia itu agaknya? Hai, hai
Luncai, tadi sudah terjun dengan labu-labunya. Sekarang pun engkau hendak menipu kamikah
juga? Walau macam mana sekali pun tidakkan kami lepaskan lagi. Matilah engkau sekali ini.
Maka kata mamak India itu, saya bukan Luncailah, saya orang India jual barang-barang kain baju.
Luncai sudah pergilah, sekarang sayalah mahu kahwin sama raja punya anak. Maka kata pertanda
itu, ya baiklah, Luncai . walau engkau jadi India sekali pun engkau mati juga. Lagi pun sekarang
engkau sudah menjadi gila. Adakah patut layak macam engkau hendak kahwin dengan anak raja?
Ceh, ceh tak malu.
Demi didengar oleh mamak India itu akan perkataan pertanda yang demikan, ia pun makinlah
menangis tetapi tiadalah barangsiapa yang peduli akan dia, masing-masing berkayuh juga. Telah
sampailah kekuala lalu dicampakkanlah guni India itu langsung tenggelam dan matilah ia. Maka
pertanda itu pun kembalilah persembahkan segala hal ehwal itu kepada baginda. Maka baginda
pun terlalu sukacitanya.
Sebermula, maka tersebutlah perkataan Si Luncai berjalan itu. Hari pun sudah malam, ia pun
sampailah kerumahnya lalu tidur dan tiadalah ia berjalan dalam tujuh hari lamanya, kerana ia
mencari akal tipu daya hendak membinasakan raja itu. Maka pada suatu hari Si Luncai pun
memakailah segala serban jubah saudagar India yang ditipunya itu, serta sebuah tasbih panjangnya
sedepa dan sebatang tongkat pula dibawanya. Maka ia pun berjalanlah dekat-dekat dengan
balairung seri baginda itu. Dan kepada ketika itu baginda pun sedang dihadap oleh orang terlalu
banyak, penuh sesak balai penghadapan itu. Maka baginda pun terpandanglah akan Si Luncai
memakai pakaian cara haji itu. Maka diamat-amati oleh baginda, sahlah rupa Si Luncai.
Maka titah baginda, hai sekalian orang besar-besar, siapa itu? Beta lihat seakan-akan rupa Si
Luncai. Maka sembah mereka itu sekalian, sebenarnyalah seperti titah dulu itu. Pada penglihatan
patik-patik sekalian pun demikian juga. Maka titah baginda, cuba juga panggil Tuan Haji itu,
bertanya dari mana datangnya. Maka menteri pun berserulah dengan nyaring suaranya, katanya
wahai tuan hamba Tuan Haji mari juga singgah, titah di panggil. Hatta telah didengar oleh Si Luncai,
maka ia pun singgahlah mengadap baginda serta memberi salam, katanya, Assalamu`alaikum, ya
khalifatul mu`minin. Maka disahut oleh baginda, Wa`alaikumussalam, hai muslim, siapa engkau ini?
Maka sembah Si Luncai, ampun tuanku beribu-ribu ampun, barang bertambah-tambah daulat shah
alam, bahawa patik inilah malaikat Si Luncai yang telah Tuanku bunuh dahulu. Ada pun patik ini
sekarang sudah menjadi orang negeri akhirat, bukannya patik orang didalam dunia ini lagi. Setelah
didengar oleh baginda dan segala orang besar-besar itu, masing-masing pun, sebenarnyakah
sungguh engkau ini malaikat Si Luncai yang mati. Dan lihatlah oleh Tuanku rupa dan pakaian patik
ini semuanya sudah berubah diberi oleh malaikat orang tua patik, kerana orang tua patik kedua-
duanya dikurniai Allah ta`ala tempat kesenangan di negeri akhirat.
Maka titah baginda, jika demikian, adakah engkau mendengar kabar ayahanda dan bondaku yang
telah mangat itu? Maka sembah Si Luncai, bukannya mendengar lagi tuanku, patik sendiri dibawa
oleh malaikat orang tua patik itu mengadap ayahanda dan bonda itu. Patik lihat istana dan mahligai
paduka ayahanda itu terlalu indahnya daripada tempat semayam tuanku ini.
Maka titah baginda, adakah ayahanda bonda bertanyakan aku in? maka sembah Si Luncai, adalah
sangat, tuanku. Patik ceritakanlah kepada baginda itu dari awal hingga akhirnya serta pasal
kematian patik itu. Maka demi didengarnya sebab kematian patik tuanku bunuh itu, wah baginda
laki isteri pun terlalu murka akan tuanku. Titahnya, tiada patut sekali-kali diperbuat oleh anakku itu,
sebab kesalahan engkau yang begitusedikit disurunya bunuh. Kemudian lalu disuruhnya hantarkan
patik pada malaikat orang tua patik balik kedalam dunia in, kerana ajal patik belum sampai lagi
katanya. Dan lagi titah paduka ayahanda bonda itu kepada patik minta persilakan tuanku pula
berangkat bemain-main melihat negeri akhirat, kerana terlalu rindu paduka ayahanda dan bonda itu
akan tuanku, dan jika tuanku berangkat kesana, pada fikiran patik telah tetaplah yang tuanku tiada
sekali-kali berniat hendak balik kedunia ini oleh tersangat indah-indahnya negeri akhirat itu. Ada
pun patik ini tiada berdaya lagi oleh terlampau digagahi paduka ayahanda kedua menyuruh
sampaikan pesannya kebawah duli tuanku.
Dari sebab itulah patik balik juga persembahkan titah paduka ayahanda itu, takut kalau-kalau
menjadi keberatan pula keatas patik kemudian hari. Akan tetapi jika sekiranya tuanku hendak
melihat apa-apa hal paduka ayahanda dan bonda itu, bolehlah juga tuanku kita lihat dari atas dunia
ini. Perbuatlah suatu bangun-bangunan yang tinggi boleh patik ajarkan. Ada suatu doa diamalkan,
nescaya tampaklah apa-apa hal paduka ayahanda bonda itu dengan kemudahannya.
Tetapi jikalau barangsiapa tiada tampak, harapkan diampuni kebawah duli, alamat besarlah
padahnya mereka itu, iaitu telah terjunamlah mereka bukannya daripada anak halal. Maka doa itu
pun patik dapat dengan berkat pengajaran paduka ayahanda juga mengajar patik. Maka ada pun
hal patik apabila patik rindua akan orang tua patik, maka patik bacakankanlah doa itu, nescaya
tampaklah apa-apa halnya didalam kubur, serta sekalian isi negeri akhirat itu.
Hatta, setelah didengar oleh baginda serta sekalian yang mengadap itu masing-masing pun
menerimalah pada akalnya serta dengan percayanya. Maka sabda baginda, hai malaikat Si Luncai,
aku bertempohlah tujuh hari hendak membuat bangunan itu. Maka sembah Si Luncai, tuanku,
daulat beribu-ribu daulat, seperti titah itu patik junjunglah. Maka Si Luncai pun menyembah baginda,
mohon ampun pulang kerumah berdiam dirinya.
Arakian, maka baginda pun menitahkan perdana menteri perbuat bangun-bangunan itu dengan
segeranya. Maka dikerjakan oranglah seperti titah baginda itu. Selang tiada berapa lamanya
bangun-bangunan itu pun siaplah sekaliannya. Maka perjanjian Si Luncai pun genaplah. Ia pun lalu
datang mengadap baginda. Telag itu baginda pun berangkatlah diiringkan oleh segala orang besar-
besar dan menteri, hulubalang, rakyat sekalian serta dengan Si Luncai naik keatas bangun-
bangunan itu.
Telah duduklah sekaliannya maka Si Luncai pun mengajarlah akan baginda serta dengan orang-
orang besar akan doa pertunjukkan itu. Maka sembah Si Luncai, ampun tuanku beribu-ribu ampun,
apabila sudah tuanku sekalian baca doa ini, jikalau tiada nampak akan paduka ayahanda bonda
sekalian isi negeri akhirat, bahawa pada masa itu telah tentulah tuanku sekalian haram zadah.
Demikianlah sekali padahnya berkat titah ayahanda kedua-duanya juga mengajar akan patik doa
ini. Maka titah baginda, mana-mana takdir daripada Allah, aku menerima syukur sahaja. Setelah
baginda menerima pengajaran daripada Si Luncai maka sembah Si Luncai, persilakanlah tuanku
ayahanda bonda itu.
Maka baginda serta dengan sekalian mereka yang belajar itu pun mendongak kelangit. Maka Si
Luncai pun pura-puralah memandang sama-sama kelangit. Hatta sembah Si Luncai apa kabar
tuanku? Adakah tampak ayahanda kedua-dua duduk diatas takhta kerajaan dengan aman
sentosanya dihadapi oleh sekalian anak bidadari? Cubalah tuanku nyatakan kepada patik dengan
sebenarnya.
Maka demi baginda mendengarkan sembah Si Luncai, termenunglah baginda sejurus panjang
sambil berfikir didalam hatinya, hendak aku katakana tampak, tiada suatu apa pun yang ada, hanya
awan saja yang aku lihat, tetapi kalau aku katakana tiada nampak, tetaplah aku dikatakan oleh si
Luncai ini anak haram. Jika begitu, biarlah aku berdusta, asalkan jangan terkena nista oleh Si
Luncai.
Maka baginda pun mengakulah mengatakan nampaklah sekalian hak ehwal. Sesudah titah baginda
demikian itu maka masing-masing pun menurutlah seperti titah itu, semuanya mengatakan nampak
belaka. Telah itu, maka sembah Si Luncai, sekiranya jika tiada puas lagi rasanya dikalbu tuanku,
persilakanlah esok harinya patik bawa mengadap ayaganda bonda itu supaya lenyap rindu dendam
tuanku yang selama ini akan dia dan boleh pula tuanku melihat sekalian perkara yang terlebih ajaib-
ajaib serta indah-indah pula daripada yang tuanku lihat tadi. Maka titah baginda, baiklah esok
bawalah aku pergi sendiri kepada ayahanda bondaku. Maka sekalian orang besar-besar itu pun
berkehendak juga pergi masing-masing. Maka ujar Si Luncai kepada mereka itu, biarlah tuanku
sahaja pergi dahulu, diperhamba bawa. Kemudian setelah diperhamba balik kedunia ini dengan
baginda, barulah dato sekalian diperhamba bawa kesana.
Arakian, setelah sudah berkata-kata itu, maka baginda pun berangkat turun dari atas bangun-
bangunan itu serta diiringikan oleh segala orang besar-besar dan Si Luncai kembali ke balai
penghadapan, seraya baginda bertitah kepada Si Luncai, pagi-pagi besok pergilah kita Luncai
dengan segeranya.
Maka sembah Si Luncai, silakan tuanku, tetapi hendaklah tuanku titahkan perbuat suatu mongkor
kaca, serta perbuati berkisi-kisi luarnya, kemudian diberi bertali dan muatkanlah sekalian
perkakasan tuanku serta berkelana sekali. Maka titah baginda, baiklah Luncai. Maka baginda pun
segeralah menitahkan beberapa orang pandai dan utas perbuati mongkar seperti yang dikatakan
oleh Si Luncai itu, hendak sudah pada malam itu juga dengan tiada boleh tidak. Maka dikerjakanlah
oleh segala tukang itu pada malam itu juga. Telah baginda bertitah demikian, baginda pun
berangkat masuk keistana mendapatkan adinda dan anakanda baginda, dan Si Luncai dengan
segala orang besar-besar itu tidurlah dibalai, tiada kembali lagi.
Hatta, telah datang keesokan hari, baginda pun bangun bersiram ketiga puteranya. Sudah selesai
lalu santap nasi dan peganan juadah. Setelah sudah, maka baginda pun bermohon kepada adinda
baginda dan memeluk mencium puterinya itu, lalu berangkat kebalai penghadapan. Didapati
baginda sekalian orang besar-besar dan menteri, hulubalang, rakyat semuanya telah hadir, dan
mongkar itu pun sudah musta`id sekaliannya.
Maka baginda pun memandang kepada Si Luncai seraya bertitah, apa lagi kita Luncai? Maka
sembah Si Luncai, silakanlah, Tuanku. Maka baginda pun berangkatlah diiringkan oleh segala
menteri, hulubalang dan rakyat sekalian, dibawa oleh Si Luncai kepintu lubang suatu gua yang
terlalu dalam, melainkan Allah jugalah yang mengetahuinya. Seketika berjalan sampailah ketempat
itu. Maka Si Luncai pun mendatangkan sembah. Katanya ampun tuanku beribu-ribu ampun, bahawa
inilah jalan patik keluar kedunia dahulu.
Maka titah baginda, jikalau begitu, turunlah kita segera, biar orang besar-besar tinggal menanti kita
disini. Maka sembah Si Luncai, silakanlah tuanku masuk kedalam mongkor kaca ini dan biarlah
patik duduk pada kisi-kisi diluar mongkor, kerana patik hendak membawa jalan keakhirat, iaitu
sesudah dihilurkan oleh mereka ini sekalian kebawah.
Telah itu baginda pun masuklah dan Si Luncai berdiri diluar mongkor itu. Setelah musta`id, lalu
dihulurkanlah sekalian menteri, hulubalang dan orang besar-besar akan baginda dengan Si Luncai
kedalam lubang itu. Maka pada waktu hendak turun mongkor itu, Si Luncai pun bersedia sahajalah
hendak berlepas dirinya. Dengan takdir Allah ta`ala, adalah pula suatu lubang yang lain, boleh naik
kedunia balik. Apabila terpandang sahaja olehnya, makaa ia pun melompatlah keatas suatu batu
ditepi lubang itu dengan pantasnya. Maka baginda tiadalah sempat hendak keluar lagi, oleh meraka
yang diatas lubang itu dengan pantasnya. Maka baginda tiadalah sempat hendak keluar lagi, oleh
tali mongkor itu terlalulah amat deras dihulurkan oleh mereka yang diatas lubang itu. Maka dilihat
baginda makin lama makin gelap gulitalah, sehingga lemaslah baginda tak boleh bernafas lagi.
Maka dengan kudrat dan iradat allah ta`ala, mongkor itu pun terjatuh betul kedalam mulut seekor
naga yang terlalu besarnya. Maka demi dirasanya sahaja, apatah lagi, langsung ditelannyalah.
Maka baginda pun mangkatlah. Kelakian, tersebutlah perkataan Si Luncai. Telah dilihatnya baginda
itu tiada dapat keluar dari dalam mongkor itu, dan langsung terus kebawah sahaja serta telah
ghaiblah, maka ia pun berserulah dengan nyaring suaranya, katanya, hai sekalian menteri dan
orang besar-besar serta hulubalangku, putuslah tali ini., kerana aku telah bertemu dengan
ayahanda bonda, dan tiadalah diberinya aku berbalik lagi kedunia. Si Luncai sahaja aku titahkan
balik akan ganti aku menjadi raja dinegeri, serta kahwinkan dia dengan puteriku Tuan Puteri Lela
Kendi itu.
Setelah didengar oleh mereka itu masing-masing pun pulanglah keistana baginda, persembahkan
seperti titah baginda itu kepada Puteri Bongsu dan anakanda baginda. Aduhai. Demi terdengar
sahaja kepada Tuan Puteri keduanya perkabaran dan titah baginda demikian itu, hancur luhur,
remuk rendamlah hati Tuan Puteri kedua, lalu menangis menghempaskan dirinya serta pula dengan
segala dayang-dayang dan inang pengasuh, bagaikan bunyi orang beramuk didalam istana itu.
Maka Tuan Puteri kedua pun lalu pengsan tiada sedarkan dirinya lalu, disirami oleh dayang-dayang
sekalian dengan air mawar. Telah Tuan Puteri sedar daripada pengsannya itu, maka ia pun bertitah
menyuruh berbuat kenduri akan baginda itu. Demikianlah perkabungan Tuan Puteri keduanya.
Shahdan maka tersebutlah perkataan Si Luncai. Telah tujuh hari tujuh malam ia didalam gua itu,
dengan beberapa sengsaranya hendak mencari jalan keluar, dengan takdir Allah ta`ala, diikutnya
juga pada jalan yang bercahayanya terang itu. Maka dapatlah selamat sempurnanya.
Hatta, pada keesokan harinya Si Luncai pun pura-pura berjalan kebalai penghadapan baginda.
Telah dilihat oleh menteri, huluibalang dan orang besar-besar sekalian akan Si Luncai, masing-
masing memberi hormat dan memimpin tangannya, dibawa naik keatas balai, didudukan dikerusi
kerajaan baginda dan sekalian wazir, orang besar-besar pun duduklah dibawah mengadapnya.
Maka perdana menteri pun berserulah dengan nyaring suara, katanya ayuhai sekalian encik-encik
dan taun-tuan, besar kecil, tua muda, laki-laki perempuan, hina mulia, ya`ni seisi negeri ini. Bahawa
sekarang dengan titah Yang DiPertuan yang telah berangkat kenegeri akhirat itu, pada masa ini
encik Luncai dengan anakanda baginda Tuan Puteri Lela Kendi itu.
Demi didengar oleh yang oleh yang hadir itu, maka terlalulah ta`jub mereka itu masing-masing,
tetapi berdiam diri sahajalah, tiada berkata-kata. Maka Si Luncai bedebah itu pun berbuat pura-pura
terkejut seraya mengucap, Astaghfiru`llah, apa sebabnya dato berkata demikian? Hamba taj` rela
sekali-kali, kerana hamba tiada besarkan kebesaran dunia ini lagi, oleh hamba telah menjadi orang
negeri akhirat sana .
Maka kata Perdana Menteri. Hamba tiada berani melalui titah baginda itu. Telah itu Si Luncai pun
diamlah. Maka sabda Perdana Menteri, sekarang juga hendak beta kahwinkan raja dengan Tuan
Puteri itu. Maka kadi pun tampillah menikahkan Si Luncai dengan Tuan Puteri Lela Kendi itu, tiada
bekerja, hanya mengambil selamat sahaja.
Hatta, setelah sampai waktunya, maka Si Luncai pun masuklah keperaduan dengan Tuan Puteri.
Maka Tuan Puteri Lela Kendi pun menangis oleh terlalu meluat ia melihat rupa Si Luncai itu.
Beberapa pun dipujuk oleh inang pengasuhnya tiada ia mahu beradu oleh terkenangkan
ayahandanya itu. Maka hari pun hampirlah dinihari. Si Luncai pun terlelaplah lalu tidur.
Maka fikir hati Tuan Puteri, sebab Si Luncai bedebah celaka ini, maka aku bercerai dengan bapaku.
Jika begitu, baiklah aku bunuh akan dia. Maka Tuan Puteri mengambil sebilah keris ayahnya lalu
menikam kerongkong Si Luncai. Maka ia pun mengeruhlah lalu mati. Maka Tuan Puteri pun larilah
keluar mendapatkan bondanya berkabarkan hal ehwal itu. Maka Tuan Puteri Bongsu pun sangatlah
ketakutan serta memanggil Perdana Menteri. Ia pun masuk kedalam istana. Sabdanya, apakah
sebabnya tuan hamba bunuh akan suami tuan hamba ini?
Maka titah Tuan Puteri Lela Kendi, bahawasanya dari sebab Si Luncai celaka itulah beta bercerai
dengan paduka ayahanda beta, entahkan ayahanda itu dibunuhnya, dikatakan pergi kenegeri
akhirat. Yang beta sekali-kali tiada percaya akan kata Si Luncai itu. Jika sekiranya ia hidup lagi,
tentulah mamak pun dibunuhnya juga, jangan syak lagi.
Setelah Perdana Menteri dan Permaisuri mendengarkan sabda anakanda itu terlalu sebal dan sesal
keduanya akan segala perkara yang telah lalu itu, semuanya sudah terkena tipu oleh si Luncai.
Masing-masing pun menangislah terkenangkan baginda, kerana kebodohan ia sekalian
menurutkan kata Si Luncai bedebah itu. Maka mayat Si Luncai pun disuruh tanamkan dengan
sepertinya.
Maka bermesyuaratlah sekalian menurutkan sekalian orang besar-besar menabalkan Tuan Puteri
Lela Kendi ganti ayahandanya memerintahkan negeri, dipandu oleh memakanda Perdana Menteri
menjalankan hukuman seperti istiadat yang dijalankan oleh ayahanda baginda dahulu dengan
adilnya. Maka tersangatlah sukacita Tuan Puteri Bongsu oleh puterinya menjadi maharani itu. Maka
keduanya pun berbuat amal ibadat akan Allah ta`ala pada setiap waktu serta tiadalah mahu
keduanya bersuami lagi. Demikianlah diceritakan oleh orang yang empunya cerita ini.