You are on page 1of 1

TEMA

Buku Teks Sains Tahun 1 SK ini dihasilkan berdasarkan enam tema Sains Tahap 1 iaitu
Inkuri dalam Sains, Sains Hayat, Sains Fizikal, Sains Bahan, Bumi dan Angkasa, dan
Teknologi dan Kehidupan Lestari. Pakej Buku Teks Sains Tahun 1 SK ini terdiri daripada
buku teks dan buku aktiviti yang mengandungi 10 unit iaitu Kemahiran Saintifik, Peraturan
Bilik Sains, Benda Hidup dan Benda Bukan Hidup, Deria Manusia, Haiwan, Tumbuhan,
Magnet, Penyerapan, Bumi dan Asas Binaan.
Penerbitan Buku Teks Sains Tahun 1 SK dihasilkan berdasarkan Dokumen Standard
Kurikulum dan Pentaksiran Sains Tahun 1 SK, dan telah ditulis dan diolah mengikut
kesesuaian murid tahun 1. Buku ini khusus untuk kegunaan murid Sekolah Kebangsaan.
Buku ini ditulis oleh tiga orang penulis yang telah dipilih berdasarkan kelayakan,
pengalaman dan pengetahuan mereka.

PENULIS
Mohd Ramadhan bin Anwar
Mohd Ramadhan bin Anwar dilahirkan pada 17 Julai 1980, di Seremban, Negeri Sembilan. Beliau
berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau
juga telah mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah dalam pengkhususan Sains dan Kursus
Asas Pentadbiran Pendidikan Jepun di Tokyo, Jepun. Buku Teks Sains Tahun 1 SK (KSSR Semakan) ini merupakan
buku teks ketiga yang ditulis oleh beliau selepas Buku Teks Sains Tahun 6 SK (KSSR) dan Buku Teks Digital Sains Tahun
6 SK (KSSR). Beliau telah berkhidmat sebagai guru Sains selama 11 tahun dan kini berkhidmat di Sekolah Kebangsaan
Sendayan, Seremban.

Jong Tze Kian
Jong Tze Kian ialah penulis Buku Teks Sains Tahun 1 SK. Beliau berkelulusan pengajian Ijazah
Sarjana Muda dalam bidang Fizik Gunaan di Universiti Malaya pada tahun 2001. Beliau pernah
bertugas sebagai guru selama dua tahun dan pembantu penyelidik di Universiti Malaysia
Sarawak sebelum menyambung pengajiannya dalam Ijazah Sarjana Kejuruteraan. Pada tahun 2005, beliau menjadi
pensyarah di Swinburne University of Technology (Sarawak Campus). Pada Oktober 2006, beliau dilantik sebagai
Pegawai Sains di Agensi Angkasa Negara bertempat di Planetarium Negara, Kuala Lumpur. Beliau juga merupakan
penulis Buku Teks Sains Tahun 6 SK (KSSR) dan Buku Teks Digital Sains Tahun 6 SK.

Alias bin Puteh
Alias bin Puteh ialah guru di Sekolah Kebangsaan Padang Jawa, Selangor. Beliau berkelulusan
Ijazah Sarjana Muda Matematik di Open University Malaysia. Beliau berpengalaman dalam
mengajar mata pelajaran Sains semenjak dari tahun 2000. Beliau juga pernah terlibat dalam
penggubalan kurikulum Sains SK dan merupakan penilai Buku Teks Sains. Beliau juga merupakan penulis Buku Teks
Sains Tahun 2 SK (KSSR) dan buku teks KSSRPK bagi mata pelajaran Pendidikan Sains Sosial dan Alam Sekitar Tahun 5.