You are on page 1of 17

MEDIA SEBAGAI TARIKAN PSIKOLOGI DALAM DAKWAH

Prof.Madya Dr Fariza Md Sham &

Muhammad Faisal Ashaari

Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan

Fakulti Pengajian Islam, UKM

farisham@ukm.my

Pendahuluan

Penggunnaan media dalam mempengaruhi psikologi manusia telah bermula sejak ribuan
tahun dahulu. Media telah berjaya mempengaruhi cara berfikir, emosi dan budaya
masyarakat.Dalam dunia Islam penggunaan media turut berkembang walau pun tidak seaktif
di Barat. Perkembangan media dalam teknologi komunikasi dan maklumat (ICT)amat pesat
terutama dari jenis media berbentuk maya iaitu rangkaian computer dan internet. Melalui
bentuk media baru, masyarakat dapat berhubung dan mendapat maklumat dengan pantas.
Melalui media ini psikologi manusia berjaya dipengaruhi dengan lebih pantas dan berkesan.
Oleh itu,penggunaan media amat berpotensi sebagai medium dakwah yang mempunyai daya
tarikan psikologi. Berdasarkan kenyataan tersebut, timbul beberapa persoalan. Pertama,
apakah bentuk perkembangan media baru dan hubungannya dengan pendekatan
psikologi dalam dakwah? Apakah daya tarikan psikologi yang ada pada media pada
masa kini? Apakah cabaran kepada pendakwah/institusi agama dalam menghadapi
hambatan media baru dan bagimanakah cara untuk restorasi(membaik pulih) media
agar ia boleh diaplikasi sebagai satu medium dakwah yang menarik?

Perkembangan Media Baru di Malaysia

Masyarakat masa kini berhadapan dengan satu perkembangan komunikasi tradisional kepada
komunikasi bentuk baru yang tidak pernah terjangkau dalam pemikiran masyarakat sebelum
ini, iaitu komunikasi yang berasaskan ICT.

Menurut Lister et al (2007), media baru mempunyai empat ciri iaitu:


 Digitality merujuk kepada proses mengubah bentuk data kepada bentuk digit dan
nombor yang dihilangkan bentuk fizikalnya. Setelah diubah, data tersebut dapat
diubah, diakses dan disebarkan dengan cara yang mudah.

1
 Interactivity ialah kemungkinan medium untuk memberikan tindak balas kepada apa
yang mereka baca dan lihat.
 Hypertextuality ialah hasil kerja yang terdiri daripada unit-unit berasingan yang
masing-masing menyumbang kepada pembentukan unit yang lain.
 Virtuality ialah teknologi yang membolehkan pengguna bertindak balas tentang
sesuatu perkara dan berinteraksi persekitarannya.

Media bentuk baru yang begitu popular masa kini ialah internet. Media baru memberikan
peluang yang bebas kepada para pengguna untuk mencipta, menerbit, menyebar dan
menggunakannya dengan lebih murah dan pantas.

Inovasi internet mula berkembang di Malaysia pada awal 1990 an apabila MIMOS
(Malaysian Institute of Microelectrinic System) melancarkan JARING (Joint Advanced
Integrated Networking), Pembekal Perkhidmatan Maklumat (Information Service Provider-
ISP) di Malaysia. Dengan wujudnya hubungan satelit antara Malaysia dengan Amerika
Syarikat pada tahun 1992, JARING berjaya dihubungkan dengan internet. Dengan ini
pengguna internet di Malaysia boleh mengakses internet lebih 140 buah negara (Sabariah
Sheikh Hassan, 2008).

Pada awalnya, aplikasi internet yang paling banyak digunakan ialah laman web. Pada
awal 2000 setelah pengguna mula membiasakan diri dengan internet, maka computer
mediated communication (CMC) atau komunikasi yang menggunakan perantaraan komputer
mula meluas. Ramai yang mula memiliki email dan seterusnya komunikasi berlaku menerusi
mailing list atau e-group apabila sejumlah emel dikumpulkan dalam satu kumpulan. Apabila
pemilik emel itu yang dikenali dengan suscriber menghantar satu emel kepada sesuatu
kumpulan, semua ahli kumpulan tersebut akan memperolehi maklumat yang dihantar.
Komunikasi ini telah berkembang dengan baik dan banyak e-group yang telah dibentuk pada
ketika ini. Terdapat e-group yang dibentuk berasaskan tema tertentu seperti agama, wanita,
pendidikan dan sebagainya. Sementara itu, ada pula yang dibentuk oleh organisasi untuk
menjalankan komunikasi dengan ahli. Berdasarkan pemerhatian, bilangan jumlah e-group
bertambah dan begitu juga dengan jumlah ahli dalam sesetengah e-group pula bertambah
sehingga sesetengahnya melebihi 10 ribu ahli. Ia masih lagi digunakan sehingga kini tetapi

2
tidak sepopular pada waktu dahulu kerana kewujudan saingan aplikasi komunikasi lain yang
lebih menarik.

Dalam masa yang sama, terdapat satu lagi aplikasi yang dinamakan dengan Forum
Internet yang menyajikan medium perbincangan yang lebih berstruktur berbanding dengan
e-group. Topik perbincangan disusun dengan urutan tersendiri dan pengunjung boleh
menyertai perbincangan ini dengan syarat mendaftar terlebih dahulu sebagai ahli. Apa yang
membezakannya dengan e-group ialah pengguna perlu terlebih dahulu membuka laman web
berbanding dengan e-group yang komunikasi hanya menerusi emel. Terdapat banyak forum
yang dibentuk seperti Zaharudin dan Bicara Sufi, namun sebahagian besarnya terbengkalai
begitu sahaja.

Sejak pertengahan tahun 2000, blog telah mula mendapat tempat di Malaysia. Ia telah
menjadi medium untuk meluahkan perasaaan, memberikan pandangan dan mengutarakan
komentar mengenai pelbagai isu tanpa batasan. Kombinasi teks, gambar, audio dan video
selain cara kendaliannya yang mesra pengguna dan memiliki ciri interaktif menjadikannya
sebagai aplikasi internet paling popular berbanding e-group, forum dan laman web biasa.
Blog begitu berpengaruh sehingga dikatakan bahawa kemenangan dan kekalahan calon dalam
Pilihanraya ke 12 di Malaysia, banyak disumbang oleh laman-laman blog. Terdapat satu
kajian yang mengesahkan bahawa blog merupakan medium yang digunakan untuk
mengkritik kerajaan berdasarkan daripada 193 blog yang dianalisa, 143 daripadanya tidak
menyokong kerajaan (Suhaimee Saahar, 2008).

Kini, komunikasi menerusi laman web sosial sedang berkembang dengan pesat sekali.
Ia merupakan perkhidmatan berasaskan laman web yang membolehkan individu
menyediakan profil dirinya, menyenarai pengguna lain yang mempunyai kaitan dengannya,
melihat dan berkomunikasi dengan mereka. Terdapat ratusan laman web jenis ini dan yang
popular di Malaysia ialah Facebook dan Friendster. Facebook melaporkan terdapat 6 juta
orang pengguna di Malaysia yang kebanyakannya antara umur 12 hingga 35 tahun.
Penggunaan SNS ini tidak terhad di Malaysia sahaja, malah ia merupakan fenomena yang
berlaku di seluruh dunia.

3
Apa yang dapat diperhatikan daripada trend penggunaan media baru terutamanya di
Malaysia, pengguna mula beralih daripada menggunakan komunikasi dengan komputer
seperti komunikasi dengan laman web kepada komunikasi antara manusia yang menjadikan
komputer hanya sebagai alat penyampai dan penerima sahaja.

Cabaran Kepada Pendakwah dan Institusi Agama

Perkembangan bentuk media baru telah memberi cabaran kepada masyarakat Islam,
khususnya pendakwah dan institusi agama. Antara cabarannya, ialah menangani isi
kandungan media itu sendiri yang sesetengahnya bertentangan dengan akidah dan syariat
Islam dan penggunaan media yang tiada limitasi dan sempadan. Masyarakat Islam terdedah
dengan pelbagai maklumat yang kurang tepat, palsu, menyeleweng, merosakkan minda dan
akhlak. Capaian maklumat bukan lagi bersifat terhad dan boleh dikawal. Kemajuan teknologi
maklumat dan komunikasi telah menyediakan saluran maklumat dengan pelbagai pilihan
seperti radio dan tv, komputer peribadi, cakera padat dan internet. Pengguna boleh
mendapatkan maklumat dan berinteraktif secara online/maya tanpa had.

Penggunaan dan penerimaan maklumat yang tanpa terhad dan limitasi sudah tentu
agak sukar untuk dikawal dan ditapis kebenarannya. Keadaan ini menjadi cabaran kepada
pendakwah dan institusi agama dalam mengawal dan membimbing manusia ke arah
kebaikan. Bentuk media baru ini telah menjadi pesaing kepada pendakwah dan institusi
agama dalam menyampaikan berita yang benar. Manusia sudah tidak lagi memerlukan
kepada pembimbing secara bersemuka, tetapi manusia boleh mendapatkan maklumat secara
maya. Manusia sudah tidak mementingkan kebenaran tetapi lebih menumpukan kepada
kecanggihan teknologi dan kepantasan maklumat. Manusia sudah mengenepikan prinsip
menerima berita dalam Islam sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah al-Hujurat: 6

Wahai! Orang-orang yang beriman. Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa
sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya,supaya kamu tidak
menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini.Maka dengan sebab kejahilan
kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan.

4
Selain itu, pertembungan isu agama dan media menimbulkan polemik dan cabaran
kepada pendakwah. Kebanyakan pandangan sarjana Islam seperti Imam al-Ghazali untuk
mendapatkan ilmu, mengamalkan dan menghayati ajaran Islam memerlukan seseorang
belajar secara langsung dengan guru yang diiktiraf kepakarannya agar dapat merasakan
kekhusyukan, renungan dan penumpuan sepenuhnya .Malah, jika diseluri sejarah ulama’
Islam tersohor seperti Imam Bukhari, Imam Syafie, merantau jauh untuk menuntut dan
belajar ilmu dari guru yang diikitiraf. Tetapi hari ini manusia mendapat maklumat kadang-
kadang tidak mengetahui sumber asalnya dan dengan siapa sebenarnya mereka sedang
berinteraksi. Situasi ini sudah pasti menimbulkan pertembungan dengan prinsip Islam yang
begitu menekankan soal ketelitian dalam mendapatkan maklumat. Contohnya, ketelitian para
sahabat dalam meriwayat dan menyusun hadis agar tidak bercampur aduk antara hadis yang
sahih dengan yang bukan sahih. Ketelitian dalam penyusunan hadis sehingga pada akhir abad
ke 2 dan awal abad ke 3H, Imam Bukhari dan Imam Muslim berjaya mengklasifikasikan
antara hadis sahih dengan hadis yang tidak sahih, menentukan sifat-sifat perawi yang boleh
diterima riwayat mereka dan mengkaji keadaan perawi-perawi dengan terperinci supaya
hadis-hadis yang diriwayatkan itu benar-benar hadis sahih (Mohd Napiah Abdullah,1989).
Pertembungan antara yang berautoriti agama dengan pengamal media yang tiada limitasi dan
ketelitian akan terus menjadi satu polemik yang panjang.

Ternyata media banyak mempengaruhi pemikiran, sosial dan cara manusia


berkomunikasi. Teknologi maklumat telah merubah minda Melayu yang berasaskan kepada
subjektif kepada objektif. Pada asasnya minda Melayu bertemakan Islam, hinduism dan
animisme yang ke semua itu bersandarkan kepada nilai subjektif tetapi teknologi maklumat
hanya mampu mengenal nilai yang bersifat objektif. Komputer tidak dapat mengetahui
jumlah nilai yang terkandung di dalam sebuah pernyataan dan tidak dapat membezakan nilai
antara dua pernyataan. Sebagai contoh pernyataan “Allah itu esa” dengan pernyataan “Apa
khabar?” mempunyai nilai yang berbeza. Namun bagi komputer, ia menilainya dengan satu
nilai sahaja. Contohnya, kita selalu merungut tentang kanak-kanak pada zaman ini yang
kurang hormat pada orang tua berbanding dengan kanak-kanak zaman dahulu. Tetapi
masalahnya ialah mereka menilai orang tua, guru, ibu bapa, kawan-kawan dan adik beradik
dengan satu nilai sahaja. Sedangkan orang tua dan ibu bapa mempunyai nilai yang tinggi
berbeza dengan kawan-kawannya. Oleh kerana mereka telah diajar sejak kecil lagi dengan
teknologi maklumat, maka pemikiran objektif telah meresapi minda mereka.

5
Teknologi maklumat juga mempunyai asas kuantitatif yang berbeza dengan alam
rohaniah dan alam metafizik yang merupakan perkara yang boleh ditanggapi oleh akal secara
kualitatif. Keimanan kepada Allah dan semua rukun iman yang lain adalah kualitatif yang
tidak dapat mengukur tahap keimanan seseorang. Sungguhpun seseorang mengaku beriman
tetapi kita tidak dapat membezakan tahap keimanannya dengan individu lain. Minda
kuantitatif yang dibawa oleh teknologi maklumat boleh menyebabkan manusia berasa sukar
untuk menerima amalan dan sistem kepercayaan tradisional dan akhirnya membawa kepada
terhakisnya nilai akidah Islam. Ini kerana manusia hanya percaya apabila perkara wujud
adalah perkara yang dapat dicerapi dengan pancaindera manakala yang diluar cakupan
pancaindera itu seolah dianggap sebagai tiada.

Kewujudan media baru, turut mencabar kewibawaan pendakwah, ulama dan institusi
agama. Apabila internet menyediakan ruang siber untuk setiap individu membahaskan isu
agama, maka masyarakat sudah tidak memerlukan kuasa autoriti institusi keagamaan.
Kebimbangan ini telah dikemukakan oleh Gary R.Bunt yang bertajuk Islam in the Digital
Age E-Jihad, Online Fatwas and Cyber Islamic Enviroment yang menyebut bahawa ruang
siber telah menyajikan dua bentuk ruang, iaitu bentuk sebuah pemikiran dengan
menampilkan pelbagai pemikiran yang dianuti oleh para siberis, pengatur cara siber dan ahli
agama siber.Kedua, bagaimana ruang siber membentuk peta penggunaan ruang siber oleh
pelbagai kelompok ahli agama yang menggunakan ruang siber sebagai alat penyebaran
agama dan komunikasi umat(Shaharom TM Sulaiman,2004). Talak kini berlaku melalui sms
dan penghinaan agama lain boleh dilakukan secara terbuka dalam internet. Misalnya,
penyiaran filem Fitna yang menghina Islam dan Nabi Muhammad melalui perisian youtube
(Abd.Hadi Borhan, 2009).Dalam konteks ini, sejauhmanakah kuasa autoriti agama masih
berlaku dan mampu bertahan?.

Walau pun banyak cabaran hasil perkembangan media baru, pendakwah dan institusi
agama tidak dapat menolak perkembangan tersebut kerana ia sudah menjadi minat,
kecenderungan dan keperluan masyarakat masa kini. Apa yang penting kini, ialah
bagaimana pendakwah dan institusi agama turut memanfaatkan kemudahan teknologi
dengan menjadikan ia sebagai satu medium dakwah yang berkesan kerana ternyata
media bentuk baru ini mempunyai daya tarikan psikologi yang cukup berpengaruh.

6
Pendekatan Psikologi Dalam Dakwah

Dalam al-Quran terdapat ayat yang menggambarkan tentang pendekatan atau kaedah dakwah
yang boleh digunakan oleh pendakwah dalam menyeru kepada Islam dan membimbing
manusia kepada kebaikan. Pendekatan yang paling asas ialah seperti yang terdapat dalam
firman Allah dalam surah al-Nahl (16):125 yang berbunyi:

‫ك بِ ْال ِح ْك َم ِة َو ْال َموْ ِعظَ ِة ْال َح َسنَ ِة‬ ُ ‫ا ْد‬


َ ِّ‫ع إِلِى َسبِي ِل َرب‬
‫ك هُ َو أَ ْعلَ ُم بِ َمن‬َ َّ‫َو َجا ِد ْلهُم بِالَّتِي ِه َي أَحْ َسنُ إِ َّن َرب‬
nَ ‫ض َّل عَن َسبِيلِ ِه َوهُ َو أَ ْعلَ ُم بِ ْال ُم ْهتَ ِد‬
‫ين‬ َ

Maksud: Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan maw’izah yang baik
serta bermujadalah dengan mereka, dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu
Dialah sahaja yang lebih mengetahui tentang sesiapa yang sesat jalannya. Dialah
yang lebih mengetahui orang yang mendapat hidayah.

Terjemahan surah al-Nahl (16):125

Dari ayat ini, Allah telah mengajar kepada manusia bahawa, terdapat tiga pendekatan
yang asas bagi menyeru dan membimbing manusia ke arah kebaikan. Pendekatan asas ini
ialah berdakwah dengan hikmah, nasihat yang baik dan berdebat atau berbincang dengan cara
yang baik. Prof.Hamka (1999) dalam tafsirnya tentang ayat ini telah menjelaskan bahawa
ayat ini mengandungi ajaran kepada Rasulullah s.a.w tentang cara melaksanakan dakwah atau
seruan kepada manusia agar mereka berjalan di atas jalan Allah yang benar . Unsur-unsur
psikologi dalam pendekatan asas tersebut ialah:

a) Hikmah (bijaksana).Iaitu dakwah yang dilakukan dengan bijaksana, akal


budi yang mulia, dada yang lapang dan hati yang bersih. Ini boleh
menarik perhatian orang kepada agama atau kepercayaan kepada Tuhan.
b) al-Mau‘izah hasanah, yang bermaksud pengajaran yang baik, yang
disampaikan sebagai nasihat. Sebagai pendidikan dan tuntutan sejak kecil.
Termasuk dalam dalam bidang al-mau‘izah hasanah ialah pendidikan ibu

7
bapa dalam keluarga terhadap anak-anaknya dengan menunjukkan
contoh-contoh yang baik, begitu juga contoh-contoh yang ditunjukkan
oleh guru-guru.
c) Jada bilhum bi al-lati hiya ahsan, yang bermaksud bantahlah dan
berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Apabila berlaku
konflik dan penentangan, hendaklah dipilih jalan yang sebaik-baiknya
iaitu dengan bermujadalah.

Ketiga-tiga pendekatan asas ini penuh dengan unsur-unsur psikologi, iaitu pendekatan
yang sesuai dengan jiwa dan fitrah manusia.

Salah satu matlamat dakwah ialah untuk mengubah sikap seseorang. Mengubah sikap
seseorang bukan perkara yang mudah.Namun sikap boleh dipengaruhi.Salah satu pendekatan
untuk mempengaruhi sikap ialah melalui pendekatan psikologi. Oleh itu, terdapat hubungan
yang rapat antara psikologi dan dakwah. Menurut Abd.Aziz Md Zin(1999), terdapat empat
kategori yang menggambarkan antara psikologi dan dakwah. Pertama, dari aspek matlamat
psikologi dan dakwah.Matlamat psikologi adalah untuk menjelaskan kedudukan sebenar
sesuatu tanggapan, mengagak dan mengawal tingkah laku (Morris,1979). Manakala menurut
Davidoff(1980), matlamat kajian psikologi adalah untuk memperihal, memahami,meramal
dan mempengaruhi tingkah laku manusia. Matlamat dakwah pula adalah mengajak, menyeru,
memujuk dan mempengaruhi manusia untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan
keburukan dalam kehidupannya sebagaimana dijelaskan oleh ayat al-Quran dalam surah Ali-
Imran:104.

Maksud: Dan hendaklah kamu menjadi umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh
kepada yang makruf dan mencegah perkara yang mungkar.Mereka inilah orang-orang yang
beruntung.

Oleh itu, jelas menunjukkan bahawa dari aspek matlamat dakwah dan psikologi ada unsur-
unsur persamaan.

Kedua, hubungan dalam konteks kepentingan psikologi mempengaruhi manusia.


Dakwah juga mengandungi unsur-unsur mempengaruhi orang lain. Dalam usaha untuk

8
mempengaruhi orang lain, memerlukan cara atau kaedah psikologi. Ketiga, hubungan dalam
konteks kepentingan psikologi dalam dakwah. Dakwah memerlukan pendekatan yang
berkesan dan sesuai untuk mengubah manusia. Oleh itu, pendakwah memerlukan kemahiran
tertentu dalam mewujudkan pendekatan yang berkesan.Salah satu cara ialah dengan
mempunyai ilmu psikologi. Al-Qardawi (1996), menjelaskan bahawa antara ilmu yang paling
berguna bagi pendakwah ialah ilmu psikologi kerana:

1. Menerangkan tanda-tanda dan hasil-hasil yang berfaedah kepada iman dan


penghayatan agama seseorang.

2. Menolong untuk memahami dalil-dalil agama dan tafsir yang sesuai dengan akal
semasa.

3. Boleh menambah maklumat untuk memahami rahsia hukum-hukum syarak yang


boleh membawa kepada keimanan.

4. Menolong pendakwah memahami jiwa sasaran, penumpuan dan cara mempengaruhi


jiwa sasaran dengan mudah.

Keempat, hubungan psikologi dan dakwah dalam konteks disiplin ilmu iaitu psikologi
dakwah. Psikologi dakwah merupakan dua gabungan perkataan iaitu antara psikologi dan
dakwah yang saling mempunyai hubungan antara keduanya.Psikologi dakwah membawa
maksud:

i. Dakwah mengikut cara psikologi


ii. Penggunaan psikologi dalam dakwah
iii. Dakwah melalui pendekatan psikologi
iv. Kajian jiwa manusia untuk dakwah (Abd.Aziz Mohd Zin,1999:58).

Psikologi dakwah juga boleh diertikan sebagai ilmu pengetahuan dan kajian terhadap
kejiwaan dan perwatakan manusia untuk kepentingan dakwah (Fariza, 2009). Oleh itu,
media yang merupakan satu medium dakwah yang penting amat berhubung rapat
dengan pendekatan psikologi dakwah. Ini kerana media mempunyai daya tarikan
psikologi yang cukup kuat dalam mempengaruhi pemikiran manusia.

9
Media diertikan sebagai alat atau perantara komunikasi (perhubungan) (Kamus Dewan,
1997) dan sebagai satu wasilah yang digunakan secara langsung atau tidak langsung untuk
menyampaikan maklumat (Mohamad Sobri Haron, 2009). Dalam konteks perbincangan
media sebagai tarikan psikologi dalam dakwah bermaksud pendakwah dan institusi agama
harus mempunyai beberapa kemahiran dan ilmu yang berkaitan dengan media sama ada
media cetak dan media elektronik (komputer, radio, televisyen, audio visual dan lain-lain).
Oleh itu, pendakwah dan institusi agama perlu memahami perkembangan media, minat dan
kecenderungan masyarakat kepada media serta mengenalpasti keistimewaan media masa kini
yang mempunyai daya tarikan psikologi untuk digunakan tujuan dakwah.

Media Mempunyai Daya Tarikan Psikologi

Media cetak dan elektronik telah mendasari kepada perkembangan teknologi dan maklumat
(ICT). Perkembangan dalam ICT yang begitu pesat mendominasi pemikiran, sikap dan
karakter manusia. Dalam teori media massa yang telah dikemukakan oleh pengamal
komunikasi, Joseph T.Klapper, 1960 menyebut bahawa media massa bertindak untuk
menguatkan keadaan yang telah ada sehingga mempengaruhi dan boleh menukar sikap atau
karakter manusia (Abd.Hadi Borhan, 2009). Ini jelas menunjukkan bahawa media mampu
mempengaruhi psikologi dan pemikiran manusia dengan berkesan. Oleh itu, mahu atau tidak
pendakwah dan institusi agama sewajarnya memanfaatkan media untuk menyampaikan
dakwah kepada masyarakat kerana media yang berasaskan teknologi mempunyai kuasa
pengaruh yang tinggi pada masa kini. Mengapa media begitu berpengaruh dalam
masyarakat? Bagaimana pendakwah boleh mencontohi dengan menggunakan media
dalam aktiviti dakwah mereka?

Media begitu berpengaruh kepada psikologi manusia kerana perkara yang dihidang oleh
media mempunyai ciri-ciri keistimewaan yang menepati dengan minat dan kecenderungan
manusia. Ini boleh dicontohi dan diaplikasi oleh pendakwah dan institusi agama dalam
menyusun aktiviti dakwah mereka. Antaranya ialah:

a) Nyata dan jelas- Melalui penggunaan audio visual

Psikologi manusia memang mudah tertarik dengan sesuatu yang nyata dan jelas. Manusia
tidak suka kepada perkara yang samar dan sukar untuk ditanggapi oleh pancaindera. Itulah
sebabnya Miskawaih (1961) ahli psikologi Islam meletakkan akal yang rasional sebagai tahap
tertinggi dalam jiwa manusia kerana pancaindera sering keliru terutama kepada perkara yang

10
kurang nyata dan jelas. Dengan penggunaan media yang menggabungkan penggunaan deria
dan penglihatan, pemikiran boleh memproses maklumat dengan cepat bagi mencapai
pemahaman.

Oleh itu, apabila penggunaan media yang yang berasaskan ICT seperti televisyen, video,
audio visual, internet dan sebagainya begitu menarik perhatian manusia kerana ia mempunyai
ciri-ciri yang jelas dan nyata. Media boleh menyampaikan maklumat melalui lakaran,
gambar, sistem bunyi dan pelbagai lagi yang semuanya boleh ditanggapi oleh fikiran dengan
pantas dan menarik. Konsep jelas dan nyata telah diungkap oleh al-Quran dalam surah al-
Nahl: 35

Maksud: Maka tidak ada kewajipan ke atas Rasul-Rasul, selain dari menyampaikan agama
Allah dengan terang.

Merujuk kepada kepentingan dakwah mengikut perkembangan teknologi terkini,


Yusuf al-Qardawi turut memanfaatkan penggunaan internet dan televisyen sebagai medium
dakwahnya. Beliau mempunyai laman sesawang sendiri iaitu http://www.qardawi.net untuk
berbincang dan berdebat secara langsung dengan masyarakat. Beliau turut muncul sebagai
panel tetap di televisyen al-Jazeera dalam Program Sharia fi al-Haya (Abd.Hadi Borhan,
2009). Ini bermakna penggunaan media telah menepati konsep asas pendekatan dakwah
seperti yang terungkap dalam surah al-Nahl: 125.

Kesimpulannya, para pendakwah perlu menyampaikan dakwah secara jelas dan nyata
kerana psikologi manusia mudah tertarik dengan sesuatu yang brightness seperti mana yang
mampu dipaparkan melalui media.

b) Perkara baru atau Pelik- Daya Pengaruh Yang Tinggi

Manusia mudah tertarik, terpegun dan terpengaruh dengan perkara yang baru dan pelik
(Abd.Aziz Mohd Zin, 1999). Kajian dari sudut sejarah dakwah Nabi-Nabi terdahulu,
masyarakat Arab begitu terpegun dengan ayat-ayat al-Quran yang begitu tinggi dari segi
balaghah, i’jaz, majazi dan isi kandungannya. Keistimewaan ini dianggap sebagai perkara

11
baru oleh masyarakat Arab kerana para penyair mereka yang terkenal sendiri tidak dapat
menandingi bahasa al-Quran. Ini bertujuan untuk melahirkan sesuatu yang baru dan pelik
kepada masyarakat supaya mereka mempercayai terhadap dakwah Islamiah yang dibawa oleh
Nabi Muhammad. Hasilnya, sehingga kini al-Quran dikagumi oleh manusia dan betapa
ramainya individu memeluk Islam kerana al-Quran termasuk Saiyyidina Umar al-Khattab
memeluk Islam kerana terpegun dengan ayat-ayat al-Quran.

Begitu juga dengan mukjizat para Nabi yang menjadi daya penarik ketika
menyampaikan dakwah seperti mukjizat Nabi Sulaiman yang boleh berkomunikasi dengan
semut (al-Naml: 18-19), burung hud-hud, kuda angin, jin dan syaitan (surah al-Anbiya’:80-
81, surah Saba’:10-11 dan surah Sad:31-33 dan 36-38). Kejayaan dakwah Nabi Sulaiman
berdakwah dengan memanipulasi psikologi manusia dengan mukjizat komunikasinya
sehingga beliau berjaya mengambil alih pemerintahan Negara Saba’ serta mengislamkan
pemerintahnya ketika itu iaitu Puteri Balqis.

Masa sekarang, kecanggihan teknologi media memang sesuatu yang baru dan
mengkagumkan masyarakat. Rata-rata masyarakat dunia termasuk di Malaysia begitu
terpegun dengan ICT. Suatu ketika dulu, masyarakat Melayu begitu terpegun dengan
teknologi kapal korak, keretapi, kini mereka terpegun dengan teknologi maklumat. Ini dapat
dibuktikan apabila beberapa kajian menunjukkan bahawa pengguna internet di Malaysia
bertambah berlipat ganda setiap tahun. Laporan Statistik Langganan Internet pada tahun 2007
melaporkan sebanyak 11.7 juta penduduk yang menggunakan secara langganan dial-
up.Manakala 1.2 juta menggunakan kemudahan teknologi secara jalur lebar(Suruhanjaya
Komunikasi dan Multimedia Malaysia,2007).

Golongan yang terdedah dengan maklumat di internet pula, selain daripada golongan
remaja ialah golongan profesional. Ini berdasarkan kepada kajian Rahmah Hashim & et
al(1999) yang bertajuk Difusi Internet di Kalangan Pengguna Awal di Lembah Klang,
mendapati antara pengguna awal internet ialah individu yang berpendidikan tinggi, bekerja
sebagai professional, pengurus dan pentadbir serta ahli akademik.

Golongan muda merupakan golongan yang begitu teruja dan terpegun dengan media
baru ini. Dalam satu kajian yang dilakukan di Lembah Klang (The Star,Mei 1997),
menunjukkan bahawa golongan muda banyak terdedah kepada media seperti televisyen 14.6
jam seminggu, video 3.4 jam seminggu, computer 4.1 jam seminggu, radio 16.3 jam
seminggu, akhbar 7.1 jam seminggu dan buku & komik 4.7 jam seminggu.
12
Keghairahan masyarakat terhadap teknologi media ini dibuktikan apabila terdapat
lebih 4000 laman baru dihasilkan setiap hari dan dipaparkan di World Wide Web (WWW)
(Sabariah Sheikh Hassan,2008). Penggunaan media bentuk baru bukan terhad kepada laman
sosial sahaja, tetapi telah merangkumi semua aspek hidup manusia seperti ekonomi dan
perniagaan, politik, pendidikan dan agama. Oleh itu, dakwah Islamiah perlu disampaikan
melalui teknologi ini kerana ia sesuatu yang baru dan masyarakat lebih mudah terpengaruh
dengan perkara baru.

c) Bertepatan dan sesuai dengan perkembangan semasa- Pantas dan berkesan

Sesuatu yang berlaku ketika masa yang sesuai dan kena pada waktunya, akan mudah menarik
perhatian manusia (Abd.Aziz Md.Zin, 1999). Contohnya, masyarakat Islam akan membeli
makanan dengan banyak dalam bulan Ramadhan untuk berbuka puasa kerana ketika itu,
mereka merasa lapar dan dahaga. Dakwah pada zaman Rasulullah s.a.w banyak
menggunakan cara ini. Kajian menunjukkan bahawa ayat-ayat al-Quran yang diturunkan
adalah secara beransur-ansur dan mengikut keperluan ketika itu yang dikenali sebagai asbab
al-nuzul. Itulah sebabnya, dakwah mampu menarik perhatian masyarakat ketika itu kerana ia
dapat menyelesaikan masalah masyarakat dengan pantas dan berkesan.

Media baru seperti penggunaan internet, segala maklumat dan komunikasi boleh
berlaku dengan pantas dan berkesan. Ini memang sesuai dengan perubahan sosial masyarakat
hari ini yang berasaskan kepada ICT. Sesuatu yang pantas dan cepat adalah disukai oleh
masyarakat kerana ia sesuai dan bertepatan dengan situasi semasa. Itulah sebabnya
penggunaan internet amat popular pada hari ini.

Menurut laman web Facebook, pengguna dari Malaysia berjumlah 6.7 juta dan
menduduki tangga ke 17 dari 187 negara di belakang Chile, Australia dan India. Ini bermakna
sekitar 1/3 rakyat Malaysia merupakan pengguna Facebook yang merupakan salah satu laman
web sosial yang popular buat masa ini. Jumlah pengguna yang semakin bertambah
disebabkan internet merupakan medium komunikasi yang menggabungkan semua ciri dan
keistimewaan media konvensional yang lain. Ini telah menjadikannya sebagai medium
komunikasi baru yang penting pada abad ini. Lebih dari itu, internet telah mendominasi
kehidupan masyarakat pada hari ini bermula dari pembangunan ekonomi kepada
penyelesaian konflik, dari demokrasi kepada kegiatan keganasan, dari pendidikan kepada

13
pembangunan sosial dan dari pembangunan teknologi kepada politik global yang dinamik. Ini
kerana ia telah menjadi sebahagian daripada keperluan penting dan sesuai dengan manusia
pada hari ini. Persoalannya ialah bagaimana menjadikan medium ini sebagai bahan
tarikan muda-mudi untuk lebih mengenali Islam dan menyertai discourse berkaitan
Islam di dalam internet?

Cadangan dan Rumusan

Merujuk kepada penggunaan media begitu meluas dan telah menjadi sebahagian keperluan
masyarakat, satu tindakan proaktif perlu dilakukan oleh pihak institusi agama yang
berkuasa dan berautoriti dalam mengawal dan menapis sistem media di Malaysia. Aspirasi
Negara untuk melahirkan modal insan yang seimbang akan terganggu sekiranya penggunaan
media tidak dipantau, dikawal dan ditapis. Restorasi dan transformasi media perlu dilakukan
segera dan secara praktikal sekiranya ingin melonjakkan martabat ummah. Perkara ini telah
terbukti apabila Akademi Fantasia menjadi kegilaan, kita redakan dengan Akademi al-Quran,
dan Program Mentor kita tenggelamkan dengan Program Imam Muda. Usaha-usaha ini harus
diperbanyakkan dan memang masyarakat sentiasa bersedia menerimanya, seperti pepatah
Melayu kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan. Kita masih menanti kemunculan TV Islam
seperti yang pernah diwar-warkan suatu ketika dulu.

Oleh itu, kertas ini mencadangkan dua perkara yang perlu dilakukan oleh pihak yang
berautoriti sementara kita masih mempunyai kuasa.

a) Pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM) dan Jabatan-Jabatan Agama


Negeri perlu mewujudkan Badan Penasihat Media yang berautoriti(jika boleh terus
diletakkan di bawah kuasa Sultan dan Raja-Raja Melayu) untuk memberi nasihat, mengawal
dan menapis bentuk media baru agar maklumat yang dihidangkan kepada masyarakat adalah
yang bermanfaat dan berfaedah. Badan Penasihat Media ini hendaklah menggabungkan
pakar-pakar dalam bidang agama, universiti, media dan ICT dengan diketuai oleh pakar
bidang agama. Badan Penasihat Media berfungsi sebagai rujukan, pembimbing, pengawal
dan penapis kepada pengamal media seperti stesen TV dan Radio, penulis skrip dan penerbit
drama dan filem, pengaturcara ruang siber dan laman-laman web, penulis dan pemberi
maklumat serta topik-topik perbincangan dalam blog dan internet dan lain-lain aktiviti media
agar ia bertepatan dengan akidah dan syariat Islam. Contohnya, drama-drama dari Indonesia,
14
jika dilihat sekali lalu seolah-olah membawa mesej serumpun iaitu Melayu.Tetapi Melayu
Indonesia tidak sama dalam konteks Malaysia, Melayunya adalah Islam. Oleh itu, tema dan
jalan cerita yang dipaparkan sebenarnya jauh menyimpang dari budaya Melayu Islam di
Malaysia. Sekiranya, masih tidak wujud institusi agama yang berautoriti yang mengawal
penayangan media seperti ini, yakinlah bahawa generasi kita pasti begitu terpengaruh dengan
budaya dan cara hidup seperti itu.

b) Jabatan Agama dengan kerjasama kepakaran dalam bidang media perlu


mewujudkan engine laman web sosial sendiri sepertimana laman web facebok dan
Friendster. Masyarakat Islam seluruh dunia seharusnya diberikan alternatif sepertimana kita
telah mempunyai alternatif dalam sistem perbankan dan kewangan Islam. Bukan sahaja
impak dari segi agama dan moral tetapi juga dari segi ekonomi. Pembina engine facebook
merupakan antara 10 jutawan muda terkaya di dunia.Dalam konteks Malaysia, sebenarnya
kita telah mempunyai lawan web sosial seperti facebook yang telah dibangunkan oleh
sekumpulan Melayu Islam iaitu newpaces. Sambutannya belum sehebat facebook kerana
mungkin promosi tidak cukup untuk menarik perhatian pengguna internet, namun begitu
sekurang-kurangnya usaha ke arah tersebut telah bermula.

Justeru, Pihak berkuasa Agama dengan dukungan Raja-Raja Melayu haruslah


dimantapkan bidangkuasanya bukan sahaja hal yang berkaitan dengan kekeluargaan dan
perkahwinan, tetapi juga hal yang berkaitan dengan pelaksanaan media di Malaysia. Saya
yakin dengan usaha gigih serta kerjasama kepakaran, cita-cita murni kita untuk melihat
perkembangan media di Malaysia yang mempunyai nilai moral dan akhlak yang menghayati
falsafah Negara Islam tercapai.

Rujukan

Al-Quran

Abd.Hadi Borhan.2009. Pola Pendedahan Internet dan Impaknya Terhadap Kefahaman


Islam di Kalangan Ahli Akademik di UKM dan USIM. Disertasi Sarjana, Jabatan Pengajian
Dakwah dan Kepimpinan,FPI UKM.Bangi:UKM

Abd.Aziz Mohd Zin.1999.Psikologi Dakwah.Kuala Lumpur: JAKIM

Rahmah Hashim & et al.1999. Difusi Internet di Kalangan Pengguna Awal di Lembah
Klang.Beberapa Penemuan Awal.Prosiding Seminar Penyelidikan Komunikasi.Bangi:Jabatan
Komunikasi UKM.
15
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.2007.

Mohamad Sobri Haron.2009.Konsep dan Falsafah Islam dalam Media.Dlm.Komunikasi di


Malaysia Suatu Penelitian Awal Pendekatan Islam Hadhari.Mohd Safar Hasim & Zulkiple
Abd.Ghani (pnyt.)Institut Islam Hadhari, UKM.

Al-Qardawi.1996.Thaqafah al-Da’iyah.Kaherah.

Morris,Charles,G.1979.Psychology:An Introduction.New Jersey:PHI.

Davidoff, Linda L.1980.Introduction to Psychology.New York:MGHBC.

Fariza Md.Sham.2009.Kemahiran Psikologi Dalam Dakwah Kepada Remaja.Kertas Kerja


Seminar Pendakwah Muda Peringkat Kebangsaan, 10-12 Mac 2009 di UTM Skudai
Johor.Anjuran Pusat Islam, UTM.

Hamka, Abdul Malik Karim Amirullah.1999.Tafsir al-Azhar, Juz.5.Singapura:Pustaka


National Pte.Ltd.

Kamus Dewan.1997.Kuala Lumpur:DBP

Miskawaih .1961. Tahdhib al-Akhlaq. Hassan Tamim (pnyt). Beirut: Mansyurah Dar
Maktabah al-Hayah

Abu Bakar Abdul Majeed & Siti Fatimah Abdul Rahman.Multimedia dan Islam.Kuala
Lumpur:IKIM.

Sabariah Sheikh Hassan.2008.Pengaruh Internet Terhadap Kefahaman Agama Islam di


Kalangan Pensyarah di Fakulti Sains dan Teknologi UKM.Projek Ilmiah, Ijazah Sarjana
Muda, Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan,FPI UKM.

Mohd Napiah Abdullah.1989.Ikhtisar Sejarah Perkembangan dan kaedah Penyusunan


Hadith. Kuala Lumpur Dewan Bahasa dan pustaka.

Suhaimee Saahar@Saabar. 2008. Isu-isu utama sebelum, semasa dan selepas PRU 12: Satu
analisis kandungan blog-blog politik Malaysia terpilih. Jebat, 35, 81-96.
Bangi:Penerbit UKM.
Lister, Martin., Dovey, Jon., Giddings, Seth., Grant, Iain., Kelly, Kieran. 2007. New media: a
critical introduction. London: Routledge.
George, Cherian. 2003. The Internet and the Narrow Tailoring Dilemma for “Asian”
Democracies. The Communication Review, 6(3); 247-268.
The Star. Mei 1997.

16
17

You might also like