Faktor-faktor Individu Membuang Bayi Bayi adalah anugerah Tuhan yang sangat bernilai.

Ketika bayi baru lahir, mereka dipercayai masih suci daripada sebarang dosa bagaikan kain putih yang tiada nodanya. Namun begitu, dewasa ini manusia seolah-olah lupa akan betapa berharganya bayi dalam dunia ini sebagai pelapis bangsa yang bakal meneraju dunia ini. Ramai antara manusia yang bertopengkan haiwan, tidak mengenal erti belas kasihan dan dengan mudahnya membuang bayi yang susah payah mereka lahirkan. Persoalannya ialah, apakah yang mendorong mereka untuk melakukan kekejaman ini? Antara faktor yang membawa kepada berleluasanya gejala pembuangan bayi adalah kerana ingin menutup rasa malu yang bakal dihadapi bukan sahaja oleh individu malah keluarga mereka juga terlibat sama. Akibat keterlanjuran, mereka melakukan zina yang kita sedia maklum diharamkan dalam agama Islam. Setelah mengandung, baru pula si ibu ingin menggugurkan bayi tersebut. Namun, tiada siapa yang dapat melawan kuasa Tuhan yang Maha Berkuasa. Oleh itu, dengan terpaksa si ibu mengandungkan anak tersebut selama lebih kurang sembilan bulan. Apabila saja bayi tersebut lahir, bermacam-macam idea yang timbul difikiran si ibu untuk mengelakkan daripada diketahui tentang kelahiran bayi tersebut. Kesannya, dapat kita lihat bayi yang tidak berdosa dibiarkan di dalam tong sampah. Selain itu, ada juga yang terpaksa membuang bayi mereka kerana tidak ingin diketahui oleh ibu bapa dan keluarga mereka tentang kesalahan yang dilakukan.