You are on page 1of 24

“BINCANGKAN MENGAPA DAN BAGAIMANA PARTI-PARTI

POLITIK PERLU DIAWASI"

PENGENALAN

Dalam membincangkan tajuk demokrasi, kita tidak boleh lari dari

melibatkan parti politik itu sendiri. Parti politik merupakan institusi

politik demokrasi yang menghubungkan masyarakat dan negara.

Peranan parti politik amat penting dan mempunyai hubungkait rapat

dalam pembentukkan sesebuah negara dalam apapun bentuk amalan

politiknya (Teshome, 2009). Bukan sahaja parti politik ini

mencerminkan hubungan negara dan masyarakat, malah dalam

sesuatu keadaan ianya mampu memulakan serta membentuk

hubungan itu secara tersendiri. Justeru itu, ia memerlukan satu

pertubuhan atau organisasi yang tersusun, merangkumi sekumpulan

atau segolongan individu yang bekerja bersama-sama untuk bersaing

merebut jawatan politik dan perjuangan polisi yang dipersetujui

bersama. Oleh itu, parti politik amat penting untuk proses

pendemokrasian dan konsilidasi demokratik.

Schattschneider (1942) yang merupakan antara pembuat kajian

awal berkenaan parti politik berpendapat adalah satu yang mustahil

sebuah sistem demokrasi moden tanpa kewujudan parti-parti politik

didalamnya. Tambahan pula, parti politik lah yang membezakan sistem

demokrasi dengan sistem diktator. Linz dan Stephan (1996)

menyatakan bahawa adalah sangat mustahak adanya parti-parti politik


dalam usaha membentuk sesuatu demokrasi. Ini kerana tidak ada

perwakilan tanpa bercorak kepartian yang mampu mewujudkan sebuah

kerajaan demokrasi. Oleh itu, dunia secara amnya dicorakkan sebagai

sebuah sistem demokrasi menerusi kewujudan parti-parti politik.

DEFINISI

Apa yang kita faham tentang parti politik ini sebenarnya? Definisi

parti politik berdasarkan pada K.Ramananthan (1992:190) menyatakan

bahawa parti politik merupakan satu organisasi formal yang bertujuan

untuk menguasai jentera kerajaan atau pemerintah. Ianya mestilah

berdiri melalui sebuah organisasi tetap dan bergerak secara

berterusan. Oleh itu, ahli-ahli dalam parti politik ini biasanya akan

bertanding di dalam pilihan raya.

Parti politik juga adalah suatu pertubuhan politik di mana ahlinya

mempunyai ideologi serta agendanya yang tersendiri. Matlamat supaya

ideologi mereka boleh dijadikan dasar kerajaan dan diamalkan oleh

rakyat. Sebahagian parti yang lemah atau tidak terpengaruh akan

bergabung dengan parti kerajaan atau parti yang lebih besar dan

menjadi sebuah barisan parti politik.

Jika politik didefinisikan dengan pelbagai pengertian, maka parti

politik juga ada definisi-definisinya tertentu. Kewujudan parti politik

adalah perlu. Segala buah fikiran, masalah dan reaksi rakyat terhadap

pemerintah akan disalurkan melalui satu badan politik yang juga

disebut sebagai parti politik untuk mewakili mereka. Badan ini

berperanan sebagai penghubung antara pihak pemerintah dan

golongan yang diperintah.

2
Definisi parti politik boleh juga dilihat mengikut sistem politik

barat dan politik Islam. Bagi politik barat, menurut Sigmund Neuman

mendefinisikan parti politik sebagai ‘organisasi yang bersendi dengan

organisasi politik, masyarakat perantaraan, begitu juga dengan sesiapa

yang ada kaitan dengan kawalan kuasa, kerajaan dan sesiapa yang

bertanding untuk mendapat lebih sokongan daripada kumpulan lain

atau kumpulan yang menyimpang pandangannya daripada yang lain’.

Dalam definisinya beliau menekankan organisasi di mana organisasi ini

direka untuk menguasai kerajaan dan bertanding dengan kumpulan lain

untuk mendapat sokongan.

Carl Friedrich mengatakan bahawa parti politik ialah ‘satu

kumpulan manusia yang menjalankan satu ketetapan tentang

keselamatan atau menetapkan pemimpin kerajaan dengan ketetapan

yang lain untuk ahli-ahli politik dalam parti melalui kawalan, pandangan

dan faedah yang memberikan kebaikan’. Joseph La Palombara dan

Myron Weiner menekankan satu organisasi yang mementingkan

kestabilan dan penekanan meneruskan kestabilan pimpinan. Roy

Macridis pula mengatakan parti politik sebagai alat untuk mendapatkan

kuasa. Definisi Leon Epstein hampir sama dengan definisi Giovani

Sartori. Kedua-dua mereka menekankan kumpulan politik yang ada

pilihanraya. Definisi mereka terlalu ringkas dan tidak menyatakan

bahawa parti itu dapat bergabung atau tidak. Sementara itu, Joseph

Schumpeter yang dikenali sebagai antagonis dalam kepentingan awam

telah memberikan definisi mengenai parti politik yang dikatakan

memerlukan kecekalan untuk mendapatkan kuasa bagi mendapat

3
faedah politik. Semua definisi ini berteraskan konsep demokrasi yang

sering diutarakan dalam sistem politik dunia barat.

Manakala menurut sistem politik Islam, Islam merupakan agama

yang paling kaya dengan pemikiran politik. Pemikiran politik Islam

bermula dari masalah etika politik, falsafah politik, agama, hukum,

hingga tatacara kenegaraan. Tapi keragaman khazanah pemikiran

politik Islam itu boleh dikatakan bermula pada pemikiran tentang

hubungan agama dan negara. Bolehlah kita katakan pemikiran para

pemikir Islam yang menginginkan pemisahan Islam dan politik sebagai

pemikiran politik Islam dan pemikiran yang menghendaki penyatuan

Islam dan politik sebagai pemikiran Islam politik. Ini kerana, ketika

sejak Revolusi Perancis agama Kristien relatif telah selesai membahas

hubungan gereja dan negara iaitu bahawa gereja harus terpisah dari

negara. Namun begitu, Islam masih lagi tetap pada persoalan yang satu

iaitu penyatuan Islam dan politik sejak zaman Nabi hingga zaman kini.

Mengikut pendapat Al-Imam Al-Mawdudi (1968:33), demokrasi barat

berasaskan kepada pandangan majoriti tetapi dalam penggubalan

undang-undang, hanya segelintir kecil daripada mereka yang terlibat.

Mereka mewakilkan kedaulatan mereka kepada orang lain. Wakil-wakil

inilah yang berkuasa memaksa rakyat dengan memisahkan nilai-nilai

akhlak daripada corak kehidupan yang lain. Melalui pemisahan ini,

wakil-wakil yang terpilih mudah menyelewengkan kuasa dan menipu

rakyat. Namun kenyataan ini bukanlah bererti Al-Mawdudi menolak

sistem demokrasi secara total. Bagi beliau, sistem pemerintah Islam

gabungan serta jalinan antara teokrasi dan demokrasi. Dalam kitabnya,

4
“Political Theory of Islam”, beliau menegaskan bahawa prinsip sistem

negara Islam ialah teokrasi (ketuhanan). Ini kerana teokrasi dapat

menerima dan mengiktiraf “The Divine Commandments are the civil

laws” dan Allah mempunyai kuasa mutlak ke atas negara dan kerajaan.

KONSEP ASAL PARTI POLITIK

Dari segi asal-usul politik, kebanyakan parti politik bermula

dengan penubuhan dewan-dewan perwakilan setelah keruntuhan

institusi istana dan gereja sepertimana yang berlaku di England.

Bermula dengan penubuhan dewan perwakilan, penubuhan parti telah

berkembang akibat ketidakmampuan dewan perwakilan menampung

jumlah keahlian yang semakin bertambah. Maka wujudlah perkumpulan

parti-parti politik yang semakin besar dan mampu menampung jumlah

ahli yang lebih ramai. Di Malaysia, parti-parti politik dapat dibahagikan

kepada dua yang utama iaitu parti pemerintah (Barisan Nasional seperti

UMNO, MCA, MIC, PPP, GERAKAN), yang menyokong penuh kerajaan

dan juga parti pembangkang (Barisan Alternatif atau dikenali dengan

Pakatan Rakyat yang terdiri daripada parti PAS, DAP dan keADILan).

Parti politik yang wujud dalam pelbagai bentuk seperti di atas

adalah satu unsur warisan penjajahan Barat yang telah diterima oleh

hampir semua negara. Selalunya “parti” merupakan sebuah badan

parlimen sementara yang tidak mempunyai organisasi tempatan

kerana dalam banyak keadaan ianya ditubuhkan atas keputusan

kerajaan. Sungguhpun dalam sesetengah keadaan, peranan parti itu

hanya untuk memberitahu pemimpin tanpa parti mengenai perasaan

5
tidak puas hati yang mungkin terdapat di kalangan rakyat tetapi

terdapat juga kes yang menunjukkan bahawa parti tersebut memainkan

peranaan yang sama seperti parti politik yang terdapat di Eropah Barat

dan Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun dengan beberapa

pengecualian dapat dinyatakan bahawa sesebuah negara baru itu

menerima struktur rasmi kerajaan berparti walaupun negara tersebut

tidak menerima organisasi, proses dan matlamat Barat.

Pada masa ini masih terdapat negara yang tidak memerlukan

atau menunjukkan keinginan untuk menerima kewujudan parti politik

seperti Habsyah, Libya dan Arab Saudi. Kebanyakan negara yang masih

diperintah oleh pemerintah tradisional tidak mempunyai parti

pembangkang yang tersusun secara sah, di mana pemerintah tidak

menyanjung tinggi prinsip penyertaan rakyat dalam kerajaan.

Sebahagian negara lain pula pernah mempunyai bentuk pemerintahan

berparti atau yang setaraf dengannya di masa lalu, tetapi sebahagian

besar daripada pemerintahan berparti tersebut diperolehi sama ada

melalui rampasan kuasa tentera seperti di Myanmar, Nigeria, Ghana

dan Mali ataupun kerana diperintah oleh seorang pemerintah yang

cukup kuat seperti di Brunei dan Singapura yang mana parti politik

sebenarnya tidak memainkan peranan yang berkesan dalam

menentukan dasar kerajaan.

PERBINCANGAN

Mengapa dan Bagaimana parti politik perlu diawasi

Topik utama yang akan dibincangkan adalah berkenaan mengapa

dan bagaimana parti-parti politik perlu diawasi. Bagi negara yang

6
mengamalkan demokrasi, wakil-wakil rakyat dari parti-parti politik

samada parti pemerintah mahupun parti pembangkang, yang dipilih

semasa pilihanraya akan membentuk dan menguasai corak

pemerintahan negara tersebut. Banyak faktor penyumbang kepada isu

ini yang mana selalu menjadi perbualan rakyat masa kini. Bagaimana

pula kaedah yang dilaksanakan untuk mengawasi parti politik ini

dimana pada masa yang sama konsep demokrasi itu masih kekal

diamalkan? Setiap negara mempunyai peraturan-peraturan mereka

sendiri samada diperingkat pusat (kerajaan), bidang kehakiman

(Undang-undang) mahupun parti politik itu sendiri.

Istilah parti pembangkang sebagai contoh seperti di Malaysia

lebih menggambarkan persepsi yang negatif untuk parti-parti yang

tidak memerintah walhal parti-parti ini turut terlibat dalam pembinaan

sebuah negara yang demokratik serta bertindak sebagai pemeriksa dan

pengimbang (check and balance) kepada kerajaan. Malah kerap kali

kedengaran umpamanya seperti yang kerap media di Malaysia

ungkapkan seperti parti pembangkang merupakan parti rasis, parti

yang mahu memonopoli kuasa pemerintah. Ada beberapa perkara

melibatkan parti politik, sekiranya jika tidak dibendung, boleh

mencetuskan kekacauan dan huru hara keatas negara tersebut. Banyak

negara di dunia yang mana parti pemerintahnya masih mengamalkan

sikap mengawasi antara parti walaupun menekankan kebebasan hak

rakyat untuk bersuara.

Disebaliknya, parti kerajaan yang menyekat kebangkitan parti-

parti politik dikira boleh dianggap sebagai mengamalkan

totalitarianisme kerana mahu memonopolikan kerajaan dan menyekat

7
perkembangan parti pembangkang. Walau bagaimanapun, pengawasan

yang dilaksanakan keatas parti – parti politik ini ada kesan kebaikan

dan keburukan yang akan diperjelaskan diakhir rencana ini.

Mengapa parti politik perlu diawasi

Mengapa parti politik perlu diawasi? Banyak aspek boleh

dihuraikan disini. Apakah yang menyebabkan parti politik ini diawasi?

Semestinya ada sebab kenapa perlu ianya diawasi. Tidak kira samada

parti politik tersebut merupakan parti kerajaan mahupun parti

pembangkang, tiada kebebasan mutlak diperolehi. Ini kerana terdapat

beberapa elemen-elemen negatif yang diamalkan oleh sesetengah ahli

atau parti politik itu sendiri seperti pengamalan rasuah, permusuhan,

rasis dan perkauman. Penuntutan hak kebebasan contohnya hak

kebebasan bersuara, perlembagaaan dan perbezaan fahaman ideologi

juga menyebabkan timbulnya elemen-elemen negatif dalam

kebanyakkan parti politik di Malaysia secara amnya.

Kewujudan kepelbagaian parti politik yang bersaing untuk

mendapatkan kuasa pemerintahan, disusuli dengan kebebasan-

kebebasan sivil seperti bebas bersuara berdasarkan perlembagaan dan

dengan itu timbul suasana tidak senang antara parti-parti politik

dimana berlaku percanggahan pendapat, saling mengkritik, berwacana,

perdebatan dan konflik. Situasi berbeza pandangan, sama ada dalam

isu-isu dasar atau persoalan semasa, sepatutnya tidak menimbulkan

kerisauan atau kegusaran, malah ia petanda proses pendemokrasian

menuju ke arah kematangan.

8
Perubahan kerajaan dalam sistem demokrasi adalah lumrah.

Kestabilan terjamin jika parti yang menang bertindak adil untuk semua

rakyat, tanpa mengira fahaman politik, serta mengelak daripada

amalan diskriminasi dan pihak yang kalah pula menerima baik

keputusan pilihanraya.

Faktor – faktor mengapa parti politik perlu diawasi:-

1. Berlaku amalan rasuah

Berlakunya politik wang atau rasuah politik.

Perkataan rasuah menggambarkan perbuatan yang menyalahi undang-

undang dan ajaran agama. Amalan atau sikap kotor itu sebenarnya

berkait rapat dengan etika dan sikap seseorang ahli politik itu. Kalau

mereka masuk politik sesetengah parti itu kerana kepentingan diri

sendiri, maka politik wang atau rasuah politik tetap akan menjadi

amalannya. Kalau masuk parti kerana mahukan tanah, konsesi balak,

permit AP, saham, lesen kontraktor, pangkat dan kedudukan

sememangnya merupakan faktor utama berlakunya rasuah. Sedangkan

banyak negara mengamalkan undang-undang anti-rasuah bagi

membendung gejala ini. Bukan sahaja di Malaysia, malahan negara

maju di barat seperti Amerika Syarikat turut tidak terkecuali. Isu calon

parti politik membeli undi ataupun dibeli oleh syarikat-syarikat besar

bagi melindungi kepentingan peribadi mereka. Tidak semestinya wang,

harta benda, kekayaan dan wanita turut dipertaruhkan sebagai habuan

dalam politik. Sebagai contoh, jika keputusan pilihanraya 2004

9
dipertikaikan dimana berlaku politik wang dan salah guna jentera

kerajaan, maka keputusan pilhanraya presiden Amerika Syarikat tahun

2004 juga menimbulkan kontroversi kerana vote rigging, manipulasi

media (Fox TV), salah guna jentera kerajaan dan juga wang PAC

( Political Action Committees atau Jawatankuasa Tindakan Politik).

Lebih baik difikirkan cara lain yang lebih berkesan untuk

menangani politik wang atau rasuah politik. Tindakan keras patut

dikenakan terhadap pengamalnya tanpa memilih bulu. Sebagai contoh

di Malaysia, kalau Lembaga disiplin dan peraturan parti gagal

membendungnya, mungkin polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah

Malaysia (SPRM) wajar digunakan bagi tujuan siasatan yang terperinci.

Pendekatan tegas menerusi undang-undang rasanya lebih

berkesan daripada istilah yang lebih keras atau menjijikkan. Tidak

dinafikan kita telah mengambil beberapa langkah bagi membasmi

masalah ini. Pelbagai peraturan dan etika pemilihan telah dilaksanakan

dan ramai pemimpin di bahagian dan peringkat nasional telah

dikenakan hukuman.

Ada yang kena surat tunjuk sebab, diberi amaran keras dan tidak

kurang juga yang digantung keahlian untuk beberapa tahun. Tetapi

gejala itu tetap berleluasa. Bekas Presiden Umno, Tun

Dr Mahathir Mohamad sampai menangis merayu kepada ahli-ahli Umno

supaya meninggalkan amalan buruk itu. Amalan yang berkait rapat

dengan nafsu dan sifat tamak haloba ini memang mustahil untuk

dibendung. Lakukanlah apa sahaja dan ciptalah apa istilah sekalipun, ia

akan tetap wujud selagi manusia bergelar manusia. Namun, ini tidak

bererti ia boleh dibiarkan begitu sahaja hingga mereputkan parti dan

10
kerajaan. Apabila rasuah dianggap sebagai sebahagian daripada cara

hidup atau strategi politik atau teknik berurusniaga, maka ia tidak

mungkin boleh dibasmi!

Seperti contoh parti pembangkang di Malaysia, parti politik

tersebut dibiayai dengan sumbangan dari ahli parti, individu dan

organisasi yang berkongsi idea politik mereka atau siapa yang

memperoleh manfaat dari kegiatan mereka atau dana awam kerajaan.

2. Politik rasis dan Perkauman

Politik rasis bermaksud kita hanya mengutamakan kepentingan

kaum sendiri dan menzalimi kaum-kaum lain. Parti yang mendakwa

tidak berasaskan kaum boleh jadi amat rasis jika ianya zalim kepada

kaum lain. Sebagai contoh di Malaysia yang mana penduduknya

berbilang kaum dan agama, politik berasaskan sifat perkauman

bukanlah perkara baru di Malaysia. Walaupun ada dakwaan yang

hendak menafikannya namun hakikat yang nyata adalah tidak ada satu

pun parti politik di Malaysia yang betul-betul bukan perkauman.

Sebahagian besar orang-orang Malaysia baru menyedari betapa

meruncingnya masalah perkauman ini setelah berlangsung Pilihanraya

tahun 1969. Di Malaysia sekarang banyak janji manis dilafazkan

terhadap konsep bukan perkauman dan lebih-lebih lagi terhadap politik

bukan perkauman. Parti perkauman yang boleh dijadikan contoh utama

adalah Parti Islam Se-Tanah Melayu (PAS) dan juga parti-parti

komponen dalam Barisan Nasional seperti UMNO, MCA dan MIC yang

11
diasaskan berdasarkan etnik dan kaum. Meskipun mereka bersungguh-

sungguh membantahnya, namun semua parti politik bersifat

perkauman dalam kegiatan politik mereka.

Ada parti politik melalui ahlinya sendiri suka menimbulkan

provokatif dalam isu-isu sensitif yang sekiranya dibiarkan, boleh

menyebabkan perbalahan kaum sepertimana insiden yang berlaku di

Malaysia pada 13 Mei 1969. Sesungguhnya, semakin bukan perkauman

bentuknya maka semakin besarlah pula dorongan perkaumannya. Satu-

satunya perbezaan antara parti-parti ini adalah pendekatan masing-

masing terhadap masalah perkauman. Satu kumpulan berpendapat

bahawa perbezaan-perbezaan kaum ada dan oleh itu berusaha untuk

mengurangkan perbezaan ini seberapa yang mungkin supaya suatu

masyarakat yang adil dapat diwujudkan. Kumpulan yang lain pula

berpendapat bahawa faktor perbezaan kaum patut diketepikan. Dalam

suasana persamaan yang mendadak antara warganegara, politik

mereka, bila dianalisis, menunjukkan perkauman yang melampau.

3. Politik yang negatif

Perubahan dalam budaya berpolitik rakyat negara seperti di

Malaysia daripada positif dan konstruktif kepada budaya politik negatif

dan destruktif, dibimbangi akan mewujudkan sebuah negara anarki.

Sultan Perak, Sultan Azlan Shah menyifatkan penggunaan isu kaum,

budaya dan agama sebagai modal untuk mendapat populariti politik

tanpa mengenal batas dan tidak menghormati sejarah penubuhan

negara adalah keterlaluan. Titah baginda, budaya tersebut perlu

12
dibendung secara tegas jika mahu memastikan rakyat pelbagai kaum di

negara ini dapat terus hidup dalam suasana aman dan damai. ‘‘Budaya

berpolitik di dalam negara telah mula berhijrah dari budaya politik yang

positif dan konstruktif kepada budaya politik negatif dan destruktif

hingga ke peringkat mengetepikan Perlembagaan dan semangat

Perlembagaan”. ‘‘Mengetepikan undang-undang dan institusi

perundangan begitu juga telah memilih untuk menyemaikan sentimen

tidak menghormati badan-badan penguatkuasaan, Jika ini tidak

dibendung secara tegas, negara dibimbangi menuju kepada satu

anarki,” titah baginda.

Dalam isu ini, pelbagai saluran komunikasi dan teknologi

digunakan secara meluas oleh penyebar dakyah, propaganda dalam

menimbulkan sentimen perkauman yang memang mudah dibakar

selain menjadikan api kebencian antara kaum dimarakkan. Kebanyakkan

rusuhan bukan sahaja di Malaysia malahan serantaunya berpunca disebabkan

Perkauman. Contohnya pergaduhan kaum yang berlaku di Malaysia pada

13 Mei 1969, ketika itu semua golongan penduduk negara ini tidak

berpuas hati dengan Kerajaan. Orang Melayu tidak puas hati kerana

pada pandangan mereka Kerajaan terus memihak kepada orang Cina,

sedangkan kerajaan gagal untuk membetulkan ketidak-seimbangan

pembahagian kekayaan dan kemajuan bagi kaum-kaum di Malaysia.

Sewaktu menyuarakan perasaan tidak puas hati mereka ini, mereka

membangkitkan kemarahan penduduk bukan Melayu, terutama orang

Cina. Tuntutan-tuntutan orang Cina pula bertambah apabila pemberian

kerajaan semakin mengghairahkan keinginan mereka. Pada mulanya

13
orang Cina yang berfahaman sederhana menganggap bahawa

tuntutan-tuntutan golongan pelampau adalah langkah wajar untuk

mengawal tuntutan orang Melayu. Malangnya, lama-kelamaan

golongan sederhana ini akhirnya turut menjadi mangsa strategi mereka

sendiri. Sebagai langkah untuk mengekalkan pengaruh mereka,

golongan sederhana terpaksa menurut kehendak golongan pelampau.

Sudah tentu sahaja tindakan tersebut membangkitkan semula

permusuhan dan perasaan curiga orang Melayu. Jurang perpisahan

antara orang Melayu dan bukan Melayu semakin meluas.

4. Penyalahgunaan Hak Kebebasan Bersuara

Tidak dapat dinafikan, hak merupakan sesuatu milik semula jadi,

manakala kebebasan adalah sesuatu yang kita mahukan. Pelbagai

tafsiran yang dibuat dalam mendefinisikan kedua-duanya. Hak dan

kebebasan merupakan dua perkara yang berbeza tetapi berada di

dalam konteks yang sama. Hak adalah satu senarai hak dasar / idea

abstrak mengenainya dan dimiliki oleh seseorang individu, sedangkan

kebebasan adalah kemampuan individu tersebut untuk melakukan hak

tersebut bilamana mahu. Hak Asasi Manusia dalam bidang sivil dan

politik adalah merangkumi hak kebebasan bercakap, kebebasan

beragama, kebebasan berkumpul dan menubuhkan persatuan,

kebebasan daripada penderaan dan kesaksamaan di bawah undang-

undang. Ini semua dilakukan demi untuk menggalakkan rasa hormat

terhadap hak-hak asasi manusia yang dimiliki oleh setiap lelaki, wanita

dan kanak-kanak.

14
Namun akhir-akhir ini, banyak berlaku penyalahgunaan hak asasi

manusia samada di Malaysia mahupun negara lain. Di Malaysia, contoh

yang ketara dapat dilihat ialah semasa kempen pilihanraya yang

berlangsung setiap empat tahun sekali di negara kita, setiap parti

politik yang bertanding akan mula menyebarkan berita atau dakyah

palsu kepada pihak lawan selain menimbulkan sentiment perkauman

yang sensitive melibatkan agama yang berkemungkinan besar boleh

menjejaskan keselamatan negara. Walau bagaimanapun, apabila parti

politik tersebut disekat dan dihalang daripada bebas melakukan apa

sahaja oleh pihak penguatkuasa undang-undang, maka mereka

menuduh ianya mencabuli hak asasi manusia. Sedangkan tindakan

yang tersebut demi memastikan kesejahteraan dan ketenteraman

negara dapat berjalan dengan sempurna.

5. Wujud ketidakstabilan negara

Jika terdapat banyak parti dalam sesebuah negara yang bercirikan

perkauman dan fahaman ideologi yang berbeza, ianya mungkin boleh

mewujudkan senario ketidakstabilan keatas negara tersebut. Peranan

utama ideologi ialah untuk mempertahankan keesahan sistem dan

pemerintahan sedia ada, pembahagian kuasa didalamnya dan

tindakan-tindakan yang dibuat olehnya. Misalnya keesahan

pemerintahan dinegara komunis dipertahankan oleh ideologi marxisme-

leninisme. Begitu juga dengan pergolakan politik di Filifina ketika

pemerintahan Marcos dan pencerobohan Soviet Union di Afganistan.

15
Selain itu juga, ideologi juga berperanan menentang sistem yang ada

sepertimana yang berlaku di Iran, negara-negara Amerika Latin, Afrika

dan sebagainya.

Selain sarjana tempatan, politik di Malaysia juga menarik minat

sarjana dari Barat, iaitu Funston. Menurut Funston (1980) Malay Politics

in Malaysia: A Study of UMNO and PAS diterbitkan oleh Heinemann

Educational Books (Asia) Ltd telah menganalisis perkembangan politik

di Malaysia dengan memberi tumpuan kepada UMNO dan PAS. Dalam

kajiannya, beliau mendapati terdapat beberapa perbezaan yang jauh

antara UMNO dan PAS. Dari sudut penibuhan, Funston berpendapat PAS

ditubuhkan rentetan daripada pengaruh dan semangat gerakan Islah

Islamiyah di Timut Tengah dan Di Indonesia, kesedaran untuk

membebaskan tanah air dari cengkaman penjajah. UMNO pula

ditubuhkan di atas kesedaran politik orang Melayu yang melihat kuasa

Raja-raja Melayu yang akan terhakis ekoran daripada cadangan

penubuhan Malayan Union oleh penjajah British pada tahun 1946.

Perbezaan tujuan penubuhan membawa kepada perbezaan perjuangan

kedua parti orang Melayu ini.

Ditambahkan pula apabila wujudnya sikap tamakkan kuasa, mahu

menghapuskan musuh dengan menyebarkan fitnah dan , berlakulah

ketidakstabilan politik negara dan ini mampu menggugat ekonomi

negara kerana pelabur asing enggan melabur di dalam negara. Berita

palsu yang disampaikan oleh sesebuah parti politik tersebut dijangka

akan menyebabkan keadaan ekonomi negara terjejas. Sarjana politik

sering melihat demokrasi yang wujud di Malaysia dianggap demokrasi

bersifat dominasi pemerintah. Kadang-kadang ia hampir disamakan

16
dengan keadaan di Singapura, iaitu kewujudan satu parti politik yang

mendominasi demokrasi (single dominant political party) di mana sejak

merdeka pada 1965, PAP (People's Actin Party) yang diketuai Lee Kuan

Yew tidak pernah mengalami kekalahan, malah sentiasa menguasai

lebih 95 peratus kerusi Parlimen.

Begitu juga dengan perkembangan demokrasi di Indonesia, yang

dikuasai GOLKAR, antara 1960 hingga 1998. Umno-BN juga pada 2004

menang lebih 90 peratus kerusi Parlimen.

Bagaimana parti politik perlu diawasi

Apakah yang kita faham tentang bagaimana parti politik perlu

diawasi? Adakah ianya kawalan semata-mata daripada parti pemerintah

iaitu kerajaan ataupun insiatif daripada parti politik itu sendiri. Sebelum

ini telah diterangkan secara jelas berkaitan perkara yang menyebabkan

kenapa sesebuah parti politik tersebut perlu diawasi. Dan kini akan

dijelaskan pula dengan konsep atau cara agar parti politik tersebut

diawasi. Perlaksanaan boleh dipecahkan kepada 3 bahagian iaitu

peranan oleh organisasi politik itu sendiri, peranan masyarakat dan

juga peranan kerajaan. Diantaranya adalah seperti berikut:-

1. Peranan organisasi politik

Tidak kira samada parti politik tersebut merupakan parti

pemerintah / kerajaan mahupun pembangkang, peranan dalam

17
mengawal dan mengawasi organisasi mereka mestilah diutamakan.

Kita boleh melihat semasa pemilihan pucuk pimpinan parti masing-

masing, perlembagaan parti mereka memberi hak kepada ahli di setiap

bahagian untuk memilih pemimpin mereka diperingkat atasan. Ini

adalah sesuatu yang adil dan lebih demokratik. Tetapi ia dibimbangi

akan menjejaskan keberkesanan perjalanan dan pengurusan parti

tersebut. Oleh itu, amalan menyerahkan kuasa kepada perwakilan di

perhimpunan agung untuk menentukan siapa yang akan menerajui

parti, seperti yang diamalkan oleh semua parti politik utama di negara

seperti di Malaysia sekarang masih merupakan suatu yang paling baik

dan lebih praktikal. Cuma pucuk pimpinan parti politik tersebut perlu

memikirkan bagaimana untuk membendung para perwakilan mereka

daripada “menjual” undi mereka kepada pelobi yang mahukan kuasa

secara kotor. Cara untuk menghalang para calon “membeli “ undi, juga

perlu dirangka kerana kalau jikalau tiada yang sudi membeli, maka

tiada siapa boleh menjual.

Penguatkuasaan Jawatankuasa Disiplin parti juga perlu

diperluaskan konsepnya agar segala isu-isu yang menimbulkan

keraguan dan penyelewangan dalam parti itu oleh ahli-ahli mereka

sendiri boleh diatasi dengan bijaksana. Jikalau hanya mengharapkan

pihak kerajaan untuk mengambil tindakan, sudah tentu ianya akan

menimbulkan rasa tidak puashati parti tersebut kerana mereka

mungkin mengatakan ini tindakan konspirasi untuk menjatuhkan parti

atau penganiayaan kepada ahli-ahli mereka.

18
2. Peranan Masyarakat

Peranan masyarakat secara amnya memang diperlukan dalam

membentuk parti yang bersih. Ini disebabkan masyarakat itu sendiri

yang yang memilih parti meraka untuk memimpin negara dalam

mengamalkan demokrasi. Peranan rakyat dalam memantau dan

mengawasi parti-parti politik ini memang ada kebenarannya bagi

mengelakkan mereka ini dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu

bagi mengaut keuntungan berasaskan parti atau kerajaan. Banyak

saluran boleh digunakan dalam menyatakan pendapat dan kesan

kepada parti politik yang dipilih seperti membuat aduan kepada

Jawatankuasa disiplin parti itu sendiri agar tindakan segera dapat

diambil.

Kerjasama di dalam politik merupakan amalan demokrasi

sebagaimana yang diamalkan negara ini yang mana PAS boleh

bekerjasama dengan UMNO dalam Barisan Nasional dalam perkara

yang boleh dipersetujui dan jika perkara sebaliknya berlaku, parti

tersebut akan memberi nasihat dan ia amalan biasa bagi negara yang

mengamalkan demokrasi. Dalam negara demokrasi, kita tidak

berperang, sebaliknya kita berhujah, berdebat, berbahas dan

berbincang. Tidak ada pemisahan antara agama dan politik bagi PAS.

Dengan talian kerjasama, walaupun ianya mungkin sukar dilaksanakan,

sememangya kedua-dua belah pihak akan sentiasa mengawasi antara

satu sama lain dalam memastikan parti mereka ini tidak lari dari

matlamat untuk memerintah negara dengan adil dan saksama dalam

menuju kearah negara maju berpendapatan tinggi.

19
3. Peranan Kerajaan

Dari segi idealismenya, cadangan penggunaan undang-undang

dalam mengawasi setiap parti politik ada kebaikan dan keburukannya.

Walaupun ada kebaikan untuk mengekalkan keselamatan negara,

sebagai contoh di Malaysia, penggunaan Akta Keselamatan Dalam

Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Hasutan telah mendapat

kritikan dan tentangan yang hebat daripada rakyat dan kebanyakan

ahli politik serta ahli akademik itu sendiri. Pelbagai pihak termasuk

dalam dan luar negara mengkritik kerajaan Malaysia kerana menyekat

hak asasi melalui Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), OSA (Akta

Rahsia Rasmi) dan lain-lain. Pengunaan akta ini dapat dilihat terhadap

pemimpin politik yang tidak sehaluan dengan parti kerajaan. Walaupun

begitu, kerajaan mempunyai sebab untuk melaksanakan undang-

undang dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan negara.

Cadangan telah dikemukakan kepada kerajaan supaya

diwujudkan Akta Parti Politik yang berperanan memastikan sumbangan

dana kepada parti-parti politik dibuat secara telus. Ketua Makmal

Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Bagi Memerangi Rasuah,

Datuk Hisham Nordin berkata, di bawah akta berkenaan sumbangan

kewangan daripada individu dan syarikat kepada parti politik akan

dihad dan diawasi. Jelas beliau, ia bagi memastikan pihak yang

memberikan pembiayaan tidak melakukannya hanya semata-mata bagi

20
mendapatkan balasan. "Pengawasan ini akan dilakukan oleh

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Pendaftar Pertubuhan (ROS),"

katanya.

Menurut beliau, terdapat juga cadangan supaya kerajaan

menyalurkan dana kepada parti politik bagi mengurangkan

penggantungan pembiayaan daripada sektor swasta. Antara cadangan

lain ialah membabitkan pemisahan kuasa yang lebih jelas antara

menteri dan ketua setiausaha (KSU) kementerian. "Secara rasmi tugas

menteri adalah bagi membuat dasar manakala KSU untuk mentadbir.

Tetapi terdapat beberapa kes sekarang membabitkan setiausaha politik

menteri mengemukakan surat sokongan supaya kontrak kementerian

diberikan kepada pihak tertentu. "Dengan wujudnya pemisahan kuasa

yang jelas, adalah diharapkan kes seperti rasuah politik dan salahguna

kuasa tersebut ini tidak akan berterusan," katanya.

Kerajaan sepatutnya bertindak secara telus dalam melaksanakan

pemerintahan negara dengan tidak membelakangkan parti

pembangkang yang sememangnya diperlukan dalam sebuah negara

demokrasi. Amalan kawalan dan mengawasi perlulah dilaksanakan

secara adil atas tiket untuk kesejahteraan negara dan bukannya untuk

menjatuhkan sesebuah parti politik yang tidak menyokong corak

pemerintahan mereka kerana rakyat yang berkuasa untuk menentukan

siapa pemerintah pada masa akan datang.

KESIMPULAN

21
Secara kesimpulannya disini, parti politik merupakan sebagai

orang tengah diantara pengundi dan pembuat undang-undang. Tidak

kira samada parti tersebut adalah parti pemerintah mahupun parti

pembangkang, mereka perlu menggalas tanggungjawab pemerintahan

dalam menuju samada kearah negara yang maju ataupun mengundur

kebelakang. Sememangnya, parti politik ini tidak boleh lari daripada

kawalan undang-undang kerana kebebasan ini tiada yang mutlak.

Kematangan masyarakat hari ini dalam politik banyak membawa

perubahan yang besar dalam pilihanraya dalam menentukan hala tuju

pimpinan negara dalam menilai amalan demokrasi yang mendatangkan

cabaran baru kepada kepimpinan politik.

Kelangsungan politik kini ditentukan oleh keupayaan

kepimpinan parti politik itu untuk mempertahankan idea dan gagasan

politik secara rasional dan bersedia untuk bersikap responsif kepada

saranan-saranan umum. Pada masa yang sama, sejajar dengan sikap

positif masyarakat terhadap kepentingan nilai kesejahteraan hidup,

kepimpinan politik juga harus saling bersama. Untuk itu, masyarakat

tentu sekali memerlukan kepimpinan politik yang berwibawa, berilmu,

berjiwa agama dan artikulatif. Dalam keadaan di mana masyarakat

sendiri semakin menghargai nilai dan amalan demokrasi, keupayaan

kepimpinan politik untuk bersikap terbuka tetapi tegas, responsif dan

artikulatif dalam menangani kritikan dan mengemukakan idea-idea

baru, terutama sekali dalam mengurus hubungan kaum, memacu

kejayaan ekonomi dan menjamin kestabilan politik, adalah penting.

Janganlah asyik berbalah dan bersengketa demi kuasa yang

22
dipinjamkan sementara kerana kuasa sebenar berada ditangan

pengundi dalam mengejar erti demokrasi.

RUJUKAN / BIBLIOGRAFI

1. Parti politik Jenisnya

(http://www.scribd.com/doc/31074673/Parti-Politik-Jenisnya)

2. Politik Perkauman dan Parti

http://ipm.upsi.edu.my/index.php?

option=com_content&view=article&id=319:10-politik-perkauman-dan-

parti&catid=39:reviu-buku&Itemid=71

3. Beza fahaman politik tidak patut ke tahap permusuhan

http://eforum6.cari.com.my/mobile/index.php?tid-499604.html

4. K.Ramananthan, C.B. 1992. Konsep Asas Politik. Cetak ulang. Kula

Lumpur.

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka.

5. Joseph Lapalombara and Jeffery Anderson.1992. Political Parties.

Dlm. John Paynter, M. E. Hawkesworth, Maurice Kogan (pnyt.)

Encyclopedia of government and politics, hlm. 393-394. Penerbit:

Publisher Routledge.

6. Al-Mawdudi.1968. Nazhoriyah al-Islam al-Siyasiyah, Dimasyq.

Penerbit: Dar-alFikr.

23
7. Maurice Deverger. 1972. Party Politics and Pressure Groups: A

Comparative

Introduction, Robert Wagoner (trans.). Penerbit: Nelson, London.

8. Funston (1980) Malay Politics in Malaysia: A Study of UMNO and

PAS diterbitkan oleh Heinemann Educational Books (Asia) Ltd.

9. Burnell & Randall ‘Politics in the Developing World’ (2005)

10. Suara Keadilan, Harakah daily

24