29 Januari 2008 FALSAFAH DAN PENDIDIKAN DI MALAYSIA Konsep Asas Falsafah Istilah falsafah berasal daripada dua perkataan

Yunani, iaitu philos (bermakna kecintaan) dan sophia (bermakna kebijaksanaan). Dengan berpandukan kepada makna dua perkataan Yunani ini, istilah falsafah boleh diertikan sebagai perihal mencintai kebijaksanaan atau mencintai ilmu. Mengikut Russell (1946), falsafah adalah diertikan sebagai sesuatu fahaman atau pengertian di antara teologi dan sains. Ini adalah kerana, seperti teologi, falsafah mengandungi spekulasi terhadap perkara yang belum tepat dibuktikan. Manakala, seperti pendekatan sains, falsafah pula berusaha menggunakan taakulan dan logik untuk membuktikan fahamannya. Mengikut E.D. Miller dalam bukunya Questions That Matter (1984), falsafah boleh ditakrifkan sebagai usaha untuk berfikir secara rasional dan kritis terhadap perkaraperkara yang penting. Sehubungan ini, falsafah pendidikan boleh diertikan sebagai satu usaha berfikir yang rasional dan kritis terhadap perkara yang penting mengenai pendidikan. Sharifah Alwiah Alsagoff dalam bukunya Falsafah Pendidikan (1984) memberi tafsiran falsafah dengan lebih lengkap, iaitu; • Falsafah ialah pertimbangan asas dan andaian mengenai pertimbangan terhadap perkara yang penting. • Falsafah mempersoalkan prinsip-prinsip realiti, ilmu dan nilai. • Falsafah cenderung mengumpulkan rumusannya kepada bentuk mazhab-mazhab atau sistem-sistem pemikiran. • Falsafah ialah pendekatan yang rasional terhadap sesuatu masalah atau persoalan. • Falsafah ialah sesuatu penyiasatan komprehensif da logikal mengenai asas-asas pemikiran atas semua aktiviti manusia, khususnya dalam bidang sains, seni, agama dan pendidikan. Ringkas kata, perkataan falsafah boleh difahamkan sebagai pemikiran atau pandangan yang benar, rasional dan bernas. Pemikiran atau pandangan ini dihasilkan daripada usaha kajian ahli falsafah dengan cara yang saintifik, sistematik dan logikal.