Sejarah Pergerakan Pengakap di Daerah Rawang / Gombak

Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Gombak ditubuhkan secara rasminya pada tahun 1974 berikutan penubuhan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 1hb. Februari 1974. Sebelum itu sebahagian daripada kumpulan-kumpulan pengakap daerah Gombak berada dalam pentadbiran pengakap daerah Kepong yang pada masa itu diterajui oleh Pesuruhjaya Daerah Tn. Haji Akasah bin Haji Taib. Manakala Persekutuan Pengakap Daerah Rawang wujud seawal tahun 1959, di mana kumpulan pertama yang didaftarkan ialah SK Sinaran Budi (M1714 – 27.08.1959). Kumpulan-kumpulan lain yang didaftarkan selepas itu ialah SK Rawang (M1813), dan SK Sungai Pelong (M1814) yang didaftarkan pada 13.07.1960. Kumpulan sekolah menengah yang terawal didaftar ialah SMK Tuanku Abdul Rahman (M3466) iaitu pada 13.10.1968. Dua daerah pengakap ini iaitu Rawang dan Gombak berada dalam daerah Gombak. Masing-masing bergerak di bawah jagaan dua orang Pesuruhjaya Daerah. Perkembangan kepengakapan di dua daerah ini menyaksikan pencantuman antara kedua-duanya di bawah satu pentadbiran iaitu Persekutuan Pengakap Malaysia Daerah Gombak pada tahun 2000. Pesuruhjaya Daerah Rawang En. Shamsul Bahrain bin Mohd Ridhuan dipertanggungjawabkan untuk menerajui dua daerah yang bergabung ini. Manakala Pesuruhjaya Daerah Gombak En. Mohamad Alwan bin Ginen (1991-2000) dilantik sebagai Penolong Pesuruhjaya Pengekap Negeri Selangor. En. Shamsul memegang jawatan sebagai Pesuruhjaya Pengakap Daerah Gombak sehingga tahun 2003. Tempatnya kemudian diganti oleh En. Mohd Azli bin Abdul Latif sehingga tahun 2005. Seterusnya pada tahun 2006 pentadbiran pengakap daerah Gombak bertukar tangan kepada En. Ibrahim bin Yaacob selaku Pesuruhjaya Pengakap Daerah Gombak sehingga hingga hari ini. Antara nama-nama yang pernah mencurahkan bakti sebagai Pesuruhjaya Pengakap Daerah Gombak sejak penubuhannya pada tahun 1974 ialah Allahyarham Tn. Haji Zulkifli bin Arshad, En. Bashir bin Aladad Khan, Allahyarham Tn. Haji Razali bin Baba (1985-1990), Tn. Haji Ridzuan bin Husain (1990-1991). Sementara itu Pesuruhjaya Pengakap Daerah Rawang yang pernah berkhidmat sebelum ini pula ialah En. Mashudi bin Bahari (1993-1997), En. Shamsul Bahrain bin Mohd Ridhuan (1998-2000). Jawatan Pengerusi Majlis Persekutuan Pengakap Tempatan Gombak ( Majlis Pengakap Daerah Gombak ) pula pernah disandang oleh Ybhg. Dato’ Kaharudin bin Mokmin (1984-1995), dan YB Tuan Soohaimi bin Abd Rahman, ADUN Kuang (1995-2006). Kini jawatan ini disandang oleh Ahli Parlimen Gombak iaitu YB Datuk Dr. Haji Rahman bin Ismail, DMSM, PJK. Jawatan Setiausaha Kehormat Pengakap Daerah Gombak pula menyaksikan nama-nama seperti Allahyarham En. Mohd Alim bin Ibrahim (1985-1988 ; 1991-1993), En. Salleh bin Manaf (1988-1991), En. Roslan bin Arshad (1993-2006). Penyandang jawatan sekarang ialah En. Hafiz bin Che Mat.
Disediakan oleh, IBRAHIM BIN YAACOB Pesuruhjaya Pengakap Daerah Gombak.