You are on page 1of 19

KARYA KLASIK( SASTERA RAKYAT)

PENDAHULUAN

Karya menurut Kamus Dewan edisi ketiga memberi maksud kerja atau buatan /

ciptaan (seni dan lain-lain). Manakala Klasik menurut Kamus Dewan edisi ketiga

bermaksud serius dan abadi nilainya serta tertinggi mutunya dan menjadi standard kepada

yang lain.

Hal ini menunjukkan bahawa karya klasik adalah sesuatu hasil kerja atau ciptaan seni

seseorang yang sangat tinggi nilai dan mutunya sehingga menjadi standard kepada yang

lain atau penentu nilai karya sesorang dalam menghasilkan sesuatu karya seni. Bagi

sastera rakyat pula, menurut Kamus Dewan edisi ketiga,sastera diberi maksud Bahasa

yang digunakan dalam kitab-kitab (bukan bahasa basahan) dan kitab ilmu pengetahuan

pustaka yang mengandungi ramalan dan lain-lain.Manakala rakyat pula bermaksud

seluruh penduduk sesebuah negara dan orang kebanyakan.

Sastera rakyat terbahagi kepada beberapa jenis dan salah satu daripadanya adalah

sastera rakyat cerita binatang.Sastera rakyat cerita binatang ini biasanya watak utama dan

watak-watak yang ada dalam cerita itu terdiri daripada binatang-binatang yang boleh

bercakap dan berperwatakan seperti manusia biasa yang mempunyai sifat seperti manusia

contohnya watak Sang Kancil dalam cerita Sang Kancil dan Sang Siput yang pandai

berkata-kata.Sastera rakyat cerita binatang ini biasanya akan memberi pengajaran dan

teladan kepada pembaca diakhir cerita nanti.


PETIKAN CERITA (SANG KANCIL DAN SANG SIPUT)

Syahadan adapun akan Sang Kancil setelah ia terlepas daripada bala itu
berjalanlah ia sambil berfikir, ‘Apakah kuhendak perbuat lagi,supaya menduga

akalku,dan siapakah gerangan yang ada akal yang terlebih dari aku?’

Maka,dengan takdir Allah Taala,dalam ia berfikir demikian itu,lalu bertemulah Sang

Kancil dengan seekor siput sedang meniti pada batang kayu.DilihatnyaSang Siput itu

berjalan sangatlah perlahan,terkesot-kesot seperti tidak bergerak langsung

lakunya.Maka timbullah niat di dalam hatinya ingin mempermainkan Sang Siput.Telah

difikirnya demikian ia pun berkata,

“Hai,Sang Siput,mahukah awak berlumba lari dengan hamba?”

Maka sahut Sang Siput, “Baiklah,Sang kancil,tetapi hamba pohonkan bertangguh

barang tujuh hari,”

Apabila mendengar pengakuan sang Siput itu,Sang kancil sangat bersukacita

kerana ia dapat mempertunjukkan kecekapan dan kepandaiannya kepada Sang Siput

pula.Maka ujar Sang Kancil, “Yalah,tetapi ikrar ini bersungguh-sungguh.”

Setelah itu ia pun pergilah mencari mangsa sementara genab perjanjian itu.Adapun

dalam tujuh hari itu,bermuafakatlah Sang Siput dengan segala siput yang ada pada

segenap tepi sungai,tepi pantaidalam paya,lopak dan redang,katanya, “Pada hari yang

kedelapan kelak,apabila ada sahaja bunyiSang kancil meneriak nama kita hendaklah
segera disahuti oleh barang siapa yang di hadapannya,dan jangan bersuara sekali-kali

siapa pun yang tinggal di belakangnya.” Demikianlah mesyuarat siput-siput itu, masing-

masing pun ikrarlah akan perjanjian itu.

Kalakian apabila genablah janjiSang kancil dengan sang siput itu,datanglah ia

menuntut waadahnya.Maka dimulailah berlumba pada pagi itu;Sang Kancil mengikut

tanah datar dan Sang Siput berjalan di dalam air; keduanya pun berjalanlah dengan

bersungguh-sungguh.Ada kira-kira sekali penat Sang Kancil berjalan itu,maka ia pun

berserulah meneriak akan Sang Siput,maka disahuti oleh Sang Siput sayup bunyinya

terlalu jauh dihadapan.

Wah! Serta Sang Kancil mendengar suara Sang Siput itu,apatah lagi ia pun berkejar

pula seperti kilat senja lakunya.Oleh tersangat pantas ia berlari itu,hampir-hampir

separuh hari perjalanan Sang Kancil berlari yang tiada berhenti, oleh tersangat letih

dan penatnya,berhentilah ia sekejab seraya menyeru Sang Siput.Maka disahuti oleh

Sang Siput terlebih dura pula dari yang tadi.Maka kata sang Kancil, “Ceh! Celaka betul

Sang Siput ini. Aku pun sedanglah kuat mengejar dia,kenapa agaknya setiap kali aku

menyeru ia selalu disahut di hadapanku?pada sekali ini malulah aku pada sekalian siput

oleh aku sudah kalah berlumba dengan Sang Siput bedebah ini,Tetapi aku lihat tatkala ia

berjalan di ranting-ranting itu sentiasa ia merayap dan mengap sahaja; rupanya dahulu

sengaja diperbuatnya berjalan lambat-lambat.Jika aku tahu begini pantasnya,kalau

diupah aku segantang biji nangka pun haramlah pada aku.”


Maka hari pun petanglah dan Sang Kancil merasai terlalu letih dan lesu segala

badannya serta dengan malasnya ia pun menyeru Sang Siput, katanya, “Sudahlah,Sang

Siput,menanglah awak sekali ini.”

Hatta setelah didengar oleh segala siput akan Sang Kancil telah mengaku kalah

maka sekaliannya pun bersorak menggiat Sang Kancil.Sang Kancil berasa sangat malu

dan menyesal atas perbuatannya memandang rendah terhadap kebolehan Sang

Siput.Sejak hari itu Sang Kancil sangat berhati-hati terhadap binatang-binatang lain

yang tinggal di hutan rimba itu.

SINOPSIS CERITA

Cerita Sang kancil dan Sang Siput ini bermula apabila Sang Kancil berjalan seorang

diri di dalam hutan sambil berfikir apa yang patut dilakukannya bagi menunjukkan

kehebatan dan kebolehannya kepada binatang lain yang ada di hutan itu.Maka dalam

berfikir-fikir itu,dengan kuasa dan takdir Allah,Sang Kancil telah terpandang seekor siput

yang sedang meniti pada sebatang kayu dengan sangat perlahan sehingga nampak seperti

tidak bergerak.Maka dengan perasaan yang angkuh dan bongkak itu telah menyebabkan

timbul niat dihati Sang Kancil untuk mempermainkan Sang Siput.Setelah difikirkan,Sang

kancil pun meluahkan hasrat hatinya untuk berlumba lari dengan Sang Siput. Mendengar
ajakan berbaur cabaran dari Sang kancil itu,lantas Sang Siput menyahut tanda setuju

dengan cabaran itu namun,Sang Siput inginkan pertandingan itu ditangguhkan selama

tujuh hari.

Mendengar persetujuan dari Sang Siput itu, hati Sang Kancil sangat berasa gembira

kerana difikirnya dapatlah ia menunjukkan kebolehan dan kehebatan yang ada padanya

selama ini kepada Sang Siput dengan menginginkan kepastian dari Sang Siput atas

persetujuan Sang Siput untuk berlumba lari dengannya.Sementara menunggu tujuh hari

untuk pertandingan itu, Sang kancil pergi mencari makanan seperti biasa, manakala siput

yang telah membuat perjanjian dengan Sang Kancil tadi telah membuat pakatan dengan

semua siput-siput yang ada di hutan itu sama ada di tepi sungai,tepi pantai, dalam paya,

lopak dan redang iaitu apabila tiba hari pertandingannya dengan Sang Kancil nanti

hendaklah siput yang berada dihadapan Sang Kancil sahaja yang boleh bersuara apabila

dipanggil oleh suara Sang kancil,dan semua siput-siput itu pun bersetuju.

Setelah genab tujuh hari,maka datanglah Sang Kancil kepada Sang Siput untuk

menuntut janjinya.Maka bermulalah pertandingan antara Sang Siput dan Sang Kancil

pada pagi itu.Sang kancil melalui tanah datar,manakala Sang Siput berjalan di dalam

air.Setelah beberapa lama Sang kancil berlari dan dia berasa penat lalu dipanggilnya Sang

Siput dan di dengarnya sahutan balas itu berada sangat jauh dihadapannya.Mendengar

sahutan itu,Sang Kancil telah berlari sepantas kilat untuk mengejar Sang Siput yang

disangka berada jauh dihadapannya.Setelah hampir separuh hari berlari tanpa henti,Sang

Kancil berasa sangat letih dan berhenti sebentar untuk berehat lalu memanggil Sang
Siput.Kali ini juga suara Sang Siput yang menyahut berada di hadapan Sang Kancil.Maka

terfikirlah Sang Kancil mengapa setiap kali dipanggil Sang Siput,Sang Siput akan

menyahut di hadapannya sedangkan dia berlari sangat pantas sepanjang hari untuk

mengejar Sang Siput,dan difikirannya tentu ia akan mendapat malu pada kali ini dengan

semua siput yang ada kerana telah kalah pada siput bedebah itu.Sang Kancil berfikir

demikian kerana dilihatnya Sang Siput setiap kali berjalan diranting-ranting kelihatan

sangat lambat dan merayap sahaja,rupa-rupanya selama ini Sang Siput hanya berpura-

pura berjalan lambat dan jika diketahuinya kebenaran itu tentu ia tidak akan sekali-kali

mengajak Sang Siput untuk berlumba lari dengannya.

Setelah hari senja, Sang kancil telah berasa sangat letih dan penat.Dengan malas

Sang Kancil pun memanggil Sang Siput dengan memberi kemenangan pada Sang Siput

pada kali ini. Mendengar kemenangan yang diperoleh daripada Sang Kancil yang

mengaku kalah itu telah menyebabkan kesemua siput-siput itu bersorak gembira. Tetapi

Sang Kancil berasa sangat malu dan kesal dengan perbuatannya dan sejak hari itu Sang

Kancil sangat berhati-hati dengan semua binatang yang ada di hutan rimba itu.

FALSAFAH YANG TERDAPAT DALAM CERITA INI

Perkataan falsafah berasal dari perkataan Yunani yang mengandungi 2 perkataan iaitu

‘philo’(cinta) dan ‘sophia’(kebenaran/hikmah).Ini bermakna perkataan falsafah

membawa maksud cinta akan kebenaran. Bagi sastera rakyat cerita binatang iaitu Sang
Kancil dan Sang Siput ini telah memberi banyak huraian falsafah yang terkandung di

dalamnya.

Salah satu falsafah yang terdapat dalam cerita ini ialah sifat sombong dan bongkak

yang ada dalam diri setiap orang bagi menunjukkan kebolehan mereka. Pengarang cuba

memberi nasihat kepada pembacanya melalui watak-watak binatang yang terdapat dalam

cerita ini seperti watak Sang Kancil yang suka meninggi diri terhadap binatang yang

lebih kecil dan lemah berbanding dengan dirinya.Tetapi pada akhirnya Sang Kancil telah

mendapat malu terhadap sifat sombong dan bongkaknya selama ini.

Hal ini menunjukkan bahawa pengarang cuba memberi nasihat kepada pembaca pada

zaman itu bahawa sifat sombong dan suka meninggi diri adalah satu perbuatan dan sifat

yang sia-sia kerana pada akhirnya diri sendiri yang mendapat balasan terhadap apa yang

telah mereka sendiri lakukan. Ini bermakna, perbuatan itu hanya akan mendatangkan

perkara yang pada akhirnya akan memalukan dan merugikan diri sendiri.Hal ini

disebabkan oleh sifat sombong dan suka meninggi diri itu adalah salah satu sifat dan

sikap yang tidak disukai Allah kerana sifat itu akan mengundang kepada sifat riak yang

hampir kepada sifat syaitan iaitu ciptaan yang di laknat Allah dan juga merupakan musuh

kepada umat manusia.

Sifat meninggi diri yang dipegang atau dibawa oleh watak Sang Kancil dalam cerita

ini sebenarnya cuba disampaikan tentang keburukan atau impak hasil daripada sifat

sombong itu tidak akan membawa apa-apa faedah dan makna kepada orang yang
mempunyai sifat tersebut. Hal ini kerana, sifat sombong dan suka meninggi diri ini bukan

sahaja merugikan dan memalukan diri sendiri malah sifat ini akan menyebabkan orang

yang berada disekelilingnya akan berasa tidak selesa dan kurang senang dengan sifat itu

dan akhirnya orang yang mengamalkan sifat suka meninggi diri dan angkuh dengan suka

menunjuk-nunjuk itu akan dijauhi dari semua orang.

Selain itu, falsafah yang terkandung dan terdapat dalam cerita Sang Kancil dan Sang

Siput yang dapat dihuraikan ialah pengarang cerita ini ingin memberi pengajaran kepada

pembacanya agar jangan suka memandang rendah akan kebolehan orang lain dengan

hanya berpandukan kepada pandangan zahir dan sifat luaran dan fizikal mereka

sahaja.Hal ini dapat diperhatikan melalui watak Sang kancil yang suka memandang

rendah terhadap kebolehan Sang Siput dengan hanya menilai kebolehan Sang Siput dari

pergerakkan Sang Siput yang sangat perlahan dan lembab itu apabila meniti dan berjalan

pada batang-batang kayu.

Hal ini demikian kerana, melalui sifat Sang Kancil yang suka memandang rendah

terhadap kebolehan lawannya atau kebolehan Sang Siput telah menyebabkan dirinya

berasa sangat malu kerana telah kalah kepada Sang Siput yang disangkanya sangat lemah

dan tidak setanding dengan dirinya apabila berjalan dan berlari berdasarkan penilaiannya

melihat pergerakkan Sang Siput yang sangat lambat berjalan ketika meniti pada sebatang

ranting.Sifat suka memandang rendah terhadap kebolehan orang lain adalah satu sifat

yang tidak patut diamalkan oleh setiap orang.Hal ini demikian kerana,sifat suka

memandang rendah terhadap kebolehan orang lain adalah satu sifat yang merugikan
kerana kita tidak boleh menilai diri seseorang itu dengan hanya menilai sifat dari luaran

dan fizikalnya sahaja.

Sifat suka memandang rendah terhadap kebolehan orang lain ini samalah ertinya

dengan sifat suka meninggi diri dan menunjuk-nunjuk dengan kebolehan diri sendiri

kerana orang yang suka memandang rendah terhadap kebolehan orang lain ini biasanya

tidak mahu membuka mata hati mereka untuk menilai tentang kebolehan orang lain

kerana mereka bimbang dan berasa tercabar jika orang yang dipandang rendahnya itu

memiliki kebolehan yang setaraf atau lebih dari dirinya dan ini akan menyebabkan

mereka berasa tercabar.Oleh yang demikian, bagi menutup perasaan rasa tercabarnya

itu,golongan tertentu ini lebih senang dan suka memandang randah terhadap kebolehan

orang lain berdasarkan menilai mereka melalui sifat fizikal dan luaran mereka sahaja.

Selain itu, sifat lemah atau kekurangan seseorang itu boleh diketepikan atau dibantu

dengan kebijaksanaan akal dalam menyelesaikan sesuatu masalah seperti watak Sang

Siput dalam cerita Sang Kancil dan Sang Siput ini. Walaupun Sang Siput memiliki

banyak kekurangan dan kelemahan dalam berlari mahupun berjalan jika hendak

dibandingkan dengan Sang Kancil yang memang terkenal dengan larinya yang

laju.Namun, dengan kebijaksanaan akal yang dimilikinya dapat membantunya untuk

memenangi dalam perlumbaan yang dibuat oleh Sang Kancil untuk membuktikan

kehebatan dan kebolehannya dalam berlari.


Penggunaan akal seseorang dalam melakukan sesuatu adalah sangat penting kerana

teori falsafah mengemukakan bahawa sesorang itu tidak akan dapat memperoleh sesuatu

ilmu itu tanpa berusaha untuk berfikir dengan menggunakan akal. Maka dengan

menggunakan akal seseorang itu akan dapat membantu dirinya sendiri apabila

menghadapi sesuatu masalah, seperti yang ditunjukkan dalam watak Sang Siput yang

bijak dalam menyelesaikan masalahnya dalam menghadapi kehebatan Sang Kancil dalam

perlumbaan untuk berlari sedangkan Sang Siput itu sendiri tahu bahawa kelemahan atau

kekurangan dirinya untuk berlari.

Di samping itu,falsafah yang dapat dihuraikan mengenai penggunaan akal juga

termasuklah kita hendaklah menggunakan akal sepenuhnya sebelum kita bertindak dalam

melakukan sesuatu yang akhirnya akan merugikan diri sendiri seperti, kita mesti

menggunakan akal dengan mencari idea bagi membantu kita dalam menghadapi sesuatu

masalah sebelum kita mengaku atau menyerah kalah terhadap sesuatu atau sesorang.

Bagi merujuk cerita sastera rakyat cerita binatang Sang Kancil dan Sang Siput

ini,dapat kita lihat bahawa jika kita bijak dalam menggunakan akal,maka kita akan

terselamat dari sebarang perkara yang akan merugikan dan memalukan diri kita

sendiri.Seperti watak Sang Siput dalam cerita ini yang bijak menggunakan akalnya pada

akhirnya akan membawa kemenangan kepada dirinya.Tidak seperti watak Sang Kancil

yang tidak menggunakan akalnya tetapi hanya menggunakan kehebatan dan

kebolehannya semata-mata telah menyebabkan dirinya kalah terhadap Sang Siput yang di

sangkanya boleh berlari dengan sangat pantas berbanding dengan dirinya.


Ini bermakna kekuatan dan kebolehan atau kepandaian seseorang itu tidak bermakna

dan tidak berguna jika seseorang itu tidak pandai menggunakan kehebatan dan

kebolehannya itu bersama-sama dengan kebijaksanaan akal.Hal ini demikian kerana,

penggunaan akal dan kebijaksanaan seseorang itu akan dapat menambahkan lagi

kebolehan dan kehebatan yang ada pada seseorang itu jika dia bijak berfikir dan

menggunakan akal yang ada pada dirinya dalam melakukan sesuatu.

Hal ini dapat dibuktikan apabila seseorang itu bijak menggunakan akal yang ada

pada dirinya. Ini dapat dilihat melalui watak Sang Siput yang berjaya mengalahkan Sang

Kancil dalam lumba lari. Dengan menggunakan akal yang ada dan kebijaksanaan Sang

Siput, Sang Siput telah berjaya mengalahkan Sang kancil tanpa menggunakan banyak

tenaga untuk berlari mengejar Sang Kancil dan dengan hanya menggunakan

kebijaksanaan dalam mengatur strategi perlawanan,tetapi dengan tidak menggunakan

akal dan kebijaksanaan dalam berfikir,Sang Kancil telah kalah walaupun telah berusaha

sepenuh tenaga untuk mengalahkan Sang Siput seterusnya dapat menunjukkan kehebatan

dan kebolehan dirinya dalam berlari kepada semua siput-siput yang ada di dalam hutan

itu.

Ini jelas menunjukkan bahawa betapa pentingnya penggunaan akal dalam setiap

perkara yang hendak kita lakukan agar apa yang kita buat itu tidak sia-sia dan merugikan

diri sendiri sahaja pada akhirnya. Seperti orang buta, walaupun kita tahu bahawa dia tidak

dapat melihat,tetapi dengan kebijaksanaan dan kesungguhannya dalam melakukan


sesuatu telah memungkinkan dirinya juga boleh turut berjaya seperti manusia normal

yang lain yang boleh melihat seperti biasa.

Pengarang cerita ini juga menyelitkan unsur-unsur pengajaran dan nilai-nilai murni

dalam cerita Sang Kancil dan Sang Siput.Dalam erti kata lain falsafah yang dapat

diungkapkan dan dihuraikan dalam cerita ini ialah sikap tolong-menolong, Bantu-

membantu, dan sikap bekerjasama.Hal ini dapat dilihat melalui watak yang dipegang oleh

Sang Siput yang meminta pertolongan dari semua siput-siput yang ada di dalam hutan itu

bagi menolongnya pada hari pertandingan nanti.Sifat tolong menolong yang ditunjukkan

oleh semua siput itu adalah satu sifat terpuji yang patut di amalkan oleh semua orang dari

setiap generasi yang patut dijadikan amalan.

Kini,sifat tolong menolong ini biasanya diamalkan oleh orang atau masyarakat yang

tinggal di kawasan kampung dan yang tinggal di kawasan luar bandar sahaja yang masih

mengamalkan budaya dan sikap tolong menolong ini.Sikap ini sangat diperlukan dalam

sesebuah masyarakat dan perlu disemai dalam diri setiap anggota masyarakat disitu.Hal

ini bagi membolehkan sesebuah masyarakat itu berada dalam keadaan yang kukuh kerana

sentiasa dibantu oleh pihak mereka sendiri untuk terus tegar menghadapi pancaroba

dunia.Hal ini kerana,sikap tolong menolong dan Bantu membantu ini penting dalam

menjadi benteng kekuatan sesebuah masyarakat bagi menghadapi segala rintangan yang

akan mereka hadapi bersama.


Selain itu,cerita ini juga menerangkan nilai murni yang dapat dihuraikan dari sudut

atau pandangan falsafah iaitu berpegang pada janji.Sifat berpegang pada janji ini dapat

dilihat melalui watak yang dibawa oleh Sang Siput yang berjanji dengan Sang Kancil

akan berlumba lari dengan Sang Kancil setelah meminta pertandingan itu ditangguhkan

selama tujuh hari, dan apabila tiba pada hari yang ketujuh itu iaitu pada hari pertandingan

antara Sang Kancil dengan Sang Siput,Sang Siput tidak menolak dan memungkiri

janjinya yang telah dipaterinya dahulu dengan Sang Kancil.

Pengarang cerita ini juga cuba menyampaikan kepada para pembaca pada zaman itu

agar sifat tidak memungkiri janji ini diamalkan dalam masyarakat dan akan terus disemai

dan terus hidup subur dalam masyarakat melayu serta dijadikan amalan agar nilai-nilai

murni ini tidak mati ditelan zaman. Hal ini kerana, sifat tidak memungkiri janji ini terlalu

kuat ikatannya dengan masyarakat melayu sehingga ada beberapa buah pantun melayu

lama yang dikaitkan dengan keperluan untuk menepati janji. Contohnya;

Kalau lembu diikat pada talinya,

Manusia pula diikat pada janjinya.

Hal ini jelas menunjukkan bahawa betapa pentingnya menepati janji dalam

masyarakat melayu.

Di samping itu,pengarang juga ingin memberitahu kepada pembaca agar jangan

terlalu mempercayai seseorang dan mudah terpedaya dengan tipu muslihat orang lain
seperti watak yang digambarkan dalam cerita sang kancil dan Sang Siput,dimana Sang

siput yang memperdaya sang Kancil bagi membolehkan dirinya menang dalam

pertandingan itu nanti.Walaupun dalam cerita ini pengarang ingin menyampaikan

pengajaran kepada Sang Kancil yang suka membangga diri tetapi sikap bodoh sang

kancil yang terlalu mudah untuk mempercayai orang lain telah menyebabkan dirinya

kalah.

KESIMPULANNYA

Falsafah hidup seseorang itu adalah sangat penting bagi menguatkan diri seseorang

agar tidak mudah menjadi mangsa orang lain dan bijak dalam mengendalikan sesuatu

perkara.

BIBLIOGRAFI

1. Zalila Syarif

1993, Warna sari sastera melayu tardisional,Kuala lumpur,Dewan Bahasa dan Pustaka

2. Hashim Hj. Musa

2001. Falsafah, Logik, Teori, Nilai dan etika.Suatu Pengenalan.

Universiti Malaya.Penerbit.Akademi Pengajian Melayu

3. Awang Sariyan

2007. Falsafah dan Logika Melayu / Awang Sariyan


Synergymate Sdn Bhd.

4. Noresah Baharom

1997. Kamus Dewan edisi ketiga. Kuala lumpur.

Dewan Bahasa dan Pustaka

You might also like