KHIM

Panduan Ibadah Pesakit i

Panduan Ibadah Pesakit
Rabi’ul Akhir 1430 / April 2009

Konsortium Hospital Islam Malaysia

Panduan Ibadah Pesakit ii

KHIM
Konsortium Hospital Islam Malaysia (KHIM) ditubuhkan pada tahun 2005. Matlamat Penubuhannya adalah untuk mewujudkan hubungan dan kerjasama di kalangan ahli-ahlinya dalam bidang perkhidmatan penjagaan kesihatan, etika amalan perubatan dan pentadbiran hospital yang berlandaskan prinsip-prinsip Islam. KHIM juga mempunyai hubungan dan jaringan yang luas dengan hospital Islam di seluruh dunia. Objektif KHIM: 1. Menjalin kerjasama di kalangan hospital-hospital Islam, mengukuhkan kedudukan yang kompetitif dalam industri penjagaan kesihatan, meningkatkan kecekapan operasi, meningkatkan kualiti serta pertukaran maklumat dalam bidang perubatan, pentadbiran dan teknikal. 2. Mengelolakan dan menggerakkan sumber profesional dan ekonomi untuk menyediakan perkhidmatan perubatan dan penyelidikan, latihan dan bantuan perubatan berkualiti. 3.Memenuhi kriteria institusi perubatan Islam khasnya penjagaan mutu dan etika perubatan serta pengaplikasian prinsip Islam dalam bidang perubatan. 4. Menjaga kebajikan pengamal perubatan beragama Islam di institusi perubatan Islam. 5. Mendedahkan warga kerja hospital Islam kepada ilmu untuk mempertingkat kefahaman dan amalan Islam di kalangan mereka.

Panduan Ibadah Pesakit iii

Isi Kandungan
Perkara M/S

Ucapan Aluan Pengerusi KHIM Pendahuluan Pakaian Untuk solat Wuduk Tayammum Qiblat Solat Solat Jama’ Wiladah dan Nifas Puasa Rujukan

1 2 3 4 7 9 9 13 15 16 18

Panduan Ibadah Pesakit 1

Kata Pengantar Pengerusi KHIM

Segala pujian kepada Allah S.W.T kerana memberi kesempatan kepada kita untuk bersama meningkatkan “syiar Islam” dalam memperkasakan ‘dakwah bil hal’. KHIM sebagai satu gabungan hospital yang berpaksikan ‘tauhid’ dan berkonsepkan “bantu membantu atas dasar kebaikan”, komited untuk bersama mendidik masyarakat muslim tentang kepentingan ibadah terutamanya solat semasa dalam keadaan sakit. Kefahaman dan pengetahuan pesakit muslim masakini perlu dipertingkatkan lagi, terutama pada mereka yang dirawat di hospital kerajaan dan hospital swasta yang tidak memberi penekanan kepada aspek kerohaniaan. Buku panduan ini bertujuan membantu pesakit dalam usaha melaksanakan ibadah solat. Mungkin ada sedikit perbezaan, tetapi pada dasarnya kami yakin inilah satu pendekatan yang sesuai dan tidak membebankan pesakit dalam melaksanakan ibadah yang penting ini. Mudah-mudahan pesakit ataupun keluarga mereka sentiasa peka dan mengambil berat tentang kepentingan menunaikan solat walaupun semasa mendapat ujian dari Allah S.W.T. Saya berharap semua ahli KHIM akan menjadikan buku ini sebagai panduan yang asasi sebagai usaha untuk meningkatkan lagi pengisian Islami dalam pengurusan hospital, insyaAllah semoga usaha ini akan mendapat keberkatan daripada Allah S.W.T.

Dr. Ishak Mas’ud Pengerusi KHIM 17 Rabi’ul Akhir 1430 / 13 April 2009

Panduan Ibadah Pesakit 2

Pendahuluan
Maksud Firman Allah S.W.T. di dalam surah An-Nisa’ ayat ke– 103: “ Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan kepada orang-orang beriman dan ianya telah ditentukan juga waktu-waktunya” Risalah kecil ini disediakan sebagai panduan kepada pesakit, waris pesakit, kenalan dan seluruh umat Islam. Semoga dengan terhasilnya risalah kecil ini dapat membantu memberi kefahaman kepada semua tentang ibadah ketika sakit. Firman Allah S.W.T.: “Dan sesekali Allah tidak mahu menyusahkan kamu”(Al-Maidah:6), (Al-Hajj: 78) Daripada Abu Hurairah R.A. Rasulullah S.A.W bersabda : “Sesungguhnya Islam itu mudah dan tidak membebankan atau memberatkan melainkan orang-orang Islam itu sendiri yang memberat dan membebankan diri mereka, maka dampingilah ia, dekatilah ia (Islam) dan sampaikan khabar gembira serta dirikanlah solat pada waktu-waktu yang ditetapkan”(Bukhari, Iman, 38).

Panduan Ibadah Pesakit 3

Pakaian untuk menunaikan solat
Lelaki : Apa juga pakaian yang cukup syarat menutup aurat (dari pusat hingga ke lutut). Perempuan : Apa juga pakaian yang menutup aurat dan menepati syarat sah solat (semua anggota badan kecuali muka dan tapak tangan), maka ianya boleh digunakan terus untuk menunaikan solat walaupun tanpa telekung. • Pakaian seseorang dikira suci selagi tiada salah satu bukti jelas (warna atau bau atau rasa) najis terlekat pada pakaian mereka.

Pesakit yang menggunakan beg kolostomi Bagi Pesakit yang menggunakan beg najis (kolostomi) cukup sekadar memastikan sekitar anggota yang terlibat dalam keadaan bersih dan tidak bocor. Kemudian bolehlah mengambil wuduk atau tayammum seperti yang ditunjukkan pada m/s 4-8. Pesakit yang berhadas Bagi pesakit-pesakit yang berada dalam keadaan junub (hadas besar) wajib bagi mereka meratakan air pada seluruh anggota badan. Jika ada antara anggota badan yang berbalut maka air diratakan pada anggota yang tidak berbalut kemudian menyapu air di atas balutan yang terdapat pada anggota tertentu (jika tidak mudarat). Atau jika tidak mampu kerana dibimbangi akan memudaratkan anggota-anggota tertentu/kesihatan maka wajib bagi pesakit untuk tayammum atau ditayammumkan oleh waris (keluarga / mahram orang yang haram dikahwini) atau orang lain.

Panduan Ibadah Pesakit 4

Wuduk:
1. Pesakit yang tiada halangan berwuduk Bagi pesakit yang tidak menerima sebarang halangan untuk berwuduk maka wajib baginya berwuduk seperti biasa untuk membolehkan dirinya menunaikan solat. Cara-cara / rukun berwuduk: 1) Niat - (Contoh: Sahaja aku berwuduk kerana Allah S.W.T). 2) Menyapu dan meratakan air ke muka. 3) Meratakan air ke 2 tangan hingga ke siku (didahului dengan tangan kanan). 4) Menyapu (sebahagian) kepala. 5) Membasuh 2 kaki hingga ke buku lali (didahului dengan kaki kanan). 6) Tertib (melaksanakan rukun mengikut aturannya). 2. Pesakit yang tidak mampu berwuduk sendiri Pesakit yang tidak mampu untuk berwuduk sendiri perlulah mendapatkan bantuan waris (keluarga/mahram mereka yang haram dikahwini) untuk membantu mewudukkan dirinya atau mendapatkan bantuan orang lain termasuk kakitangan hospital. Bagi pembantu yang bukan ‘mahram’ perlulah menggunakan sarung tangan ketika membantu mewudukkan pesakit tersebut.

botol semburan (spray) boleh digunakan untuk memudahkan bantuan wuduk.

Panduan Ibadah Pesakit 5 Cara dan Kaedah: 2.1. Sapukan muka pesakit dengan tangan yang telah dibasahkan. Ratakan air ke semua bahagian muka yang wajib. (dari ubun rambut sehingga ke dagu dan dari permulaan telinga kanan ke telinga kiri)

2.2. Semburkan air ke tangan pesakit kemudian ratakan air hingga ke siku. (kanan dan kiri)

2.3. Sembur dan sapukan air ke bahagian kepala pesakit.

2.4. Semburkan air ke kaki pesakit dan ratakan sehingga ke buku lali. (kanan dan kiri)

Panduan Ibadah Pesakit 6 3. Cara berwuduk bagi mereka yang ada balutan pada anggota wuduknya: Ada banyak pendapat dalam perkara ini dan kami mengambil pendapat yang disebut oleh Dr. Abd. Karim Zaidan dalam kitabnya Al-Mufassal Fil Ahkam Al-Mar’ah. “Pesakit dibolehkan hanya menyapu atas balutan untuk melengkapi wuduknya. Dan mereka juga tidak wajib untuk berwuduk dahulu sebelum memakai balutan terbabit”. A. Contoh pesakit yang dibalut pada mana-mana bahagian anggota wuduk:

Kaedah berwuduk bagi mereka yang berbalut pada mana-mana anggota wuduknya adalah seperti berikut: Dibasuh pada bahagian yang terdedah dan disapukan air (sekadar sapuan) pada bahagian yang berbalut jika tidak mudarat dan menyulitkan. *Jika boleh memudaratkan atau menyulitkan pesakit sekiranya disapu air ke atas balutan maka pesakit tidak perlu menyapu di atas balutan, cukup sekadar berwuduk pada tempat yang tidak berbalut.

Panduan Ibadah Pesakit 7

Tayammum
“kemudian jika kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayammum dengan tanah - debu yang suci -, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun” (An-Nisa’: 43). 1. Bagi pesakit-pesakit yang tidak boleh berwuduk, maka diharuskan mereka untuk bertayammum. 2. Untuk memudahkan pesakit, pihak hospital disarankan untuk menyediakan debu tayammum yang membolehkan mana-mana pesakit yang memerlukannya untuk bertayammum.

Panduan Ibadah Pesakit 8 3. Cara dan kaedah tayammum:

3.1. Tepuk debu beserta niat dan lagakan kedua tangan untuk menipiskan debu. *Contoh niat : (Sahaja aku bertayammum untuk bersuci dari hadas kecil / hadas besar kerana Allah S.W.T).

3.2. Sapukan debu ke muka.

3.3. Tepuk debu sebagaimana cara (1) kemudian sapukan debu tersebut ke tangan sehingga ke siku (kanan dan kiri).

Panduan Ibadah Pesakit 9

Qiblat
1.Wajib bagi setiap muslim yang ingin menunaikan solat memastikan mereka bersungguh-sungguh berusaha untuk menghadap qiblat. 2. Sekiranya setelah diusahakan, tetap tidak mampu menghadap qiblat di bolehkan mereka menunaikan solat di atas katil tanpa menghadap qiblat (kerana keuzuran).

Solat
Imran b. Hushin pernah bertanya kepada Rasulullah S.A.W : “Aku mempunyai penyakit buasir, bagaimanakah cara aku menunaikan solat? Sabda Rasullullah S.A.W: Hendaklah kamu solat berdiri, jika tidak mampu duduklah dan jika tidak mampu juga mengiringlah”.(Bukhari: 1117) 1. Cara dan kaedah menunaikan solat bagi mereka yang tidak berupaya untuk berdiri dan bergerak adalah seperti berikut : Solat boleh dilakukan dalam keadaan duduk (dengan cara yang paling selesa bagi pesakit). Kebiasaannya pesakit menunaikan solat dengan duduk di atas tempat yang rata atau kerusi. A. Contoh bagi pesakit yang menunaikan solat secara duduk di atas kerusi (Pergerakan yang ditunjukkan adalah pergerakan utama sahaja):

Panduan Ibadah Pesakit 10

Takbiratul Ihram.

Ruku’ : Badan dibongkok/ ditundukkan sedikit.

Sujud : Badan dibongkokkan lebih rendah daripada ruku’.

Panduan Ibadah Pesakit 11 B. Contoh bagi pesakit yang menunaikan solat secara duduk di atas lantai atau tempat yang rata:

Qiam dan Takbiratul Ihram.

Ruku’ : Badan dibongkok / ditundukkan sedikit.

Sujud : Seperti biasa atau jika tidak mampu cukup hanya dibongkokkan badan lebih rendah daripada ruku’.

* Pergerakan lain adalah seperti biasa sehingga salam (memberi salam dalam keadaan duduk seperti permulaan solat).

Panduan Ibadah Pesakit 12 C. Bagi pesakit yang tidak mampu berdiri atau duduk, pesakit boleh menunaikan solat dalam keadaan mengiring atau berbaring. Cara dan kaedah:

Jika mengiring : Dada menghadap ke qiblat. Bahagian sisi kiri badan di atas, ketika ruku’ hendaklah pesakit menundukkan kepalanya sedikit (sekadar yang termampu), ketika sujud pula hendak lah ditundukkan kepalanya lebih sedikit dari kadar ketika ruku’(jika mampu).

Jika berbaring : Kebiasaan pesakit yang solat berbaring adalah pesakit yang tidak mampu untuk bergerak. Maka diharuskan kepadanya untuk solat menggunakan isyarat mata. Kaki menghadap ke qiblat. Kadar ruku’ (mata ditutup separuh) dan sujud (mata ditutup terus) mestilah berbeza sedikit berbanding ketika ‘qiam’.

Panduan Ibadah Pesakit 13

Solat Jama’
Definisi: Menghimpunkan 2 solat dalam satu waktu. Contohnya solat Asar dilakukan (dihimpunkan) bersama waktu Zohor atas sebab-sebab tertentu yang diizinkan syara’. Solat Jama’ ini hanya dikhaskan untuk solat Zohor dan Asar dan juga untuk Maghrib dan Isya. Asar tidak boleh dijama’ dengan Maghrib dan begitu juga sebaliknya. Jama’ dalam hal ini terbahagi kepada 2: 1. Jama’ Taqdim : Diawalkan (menghimpunkan) solat yang terkemudian ke dalam waktu solat yang sebelumnya. Contohnya: solat Asar dilakukan dalam (bersama) waktu Zohor. Atau solat Isya dihimpunkan bersama solat Maghrib. Contoh niat Jama’ Taqdim : : “Sahaja aku menunaikan fardhu Zohor 4 rakaat bersama fardhu Asar jama’ taqdim kerana Allah S.W.T.” : “Sahaja aku menunaikan fardhu Asar 4 rakaat ke dalam fardhu Zohor jama’ taqdim kerana Allah S.W.T.” 2. Jama’ Taakhir: Dilewatkan (menghimpunkan) solat yang terdahulu kepada solat yang kemudian. Contohnya: Menghimpunkan solat Zohor ke dalam waktu solat Asar. Atau Menghimpunkan (menangguhkan) solat Maghrib kepada waktu solat Isya’. Contoh niat Jama’ Taakhir : : “Sahaja aku menunaikan fardhu Zohor 4 rakaat ke dalam fardhu Asar jama’ taakhir kerana Allah S.W.T.” : “Sahaja aku menunaikan fardhu Asar 4 rakaat bersama fardhu Zohor jama’ taakhir kerana Allah S.W.T.”

Panduan Ibadah Pesakit 14 Kaedah: Setiap solat yang dilakukan secara jama’ mestilah dilakukan dengan jumlah rakaat yang asal iaitu 4 rakaat bagi solat Zohor, 4 rakaat bagi solat Asar. Dan 3 rakaat bagi solat Maghrib dan 4 rakaat bagi solat Isya’. Perhatian: Solat Subuh tidak boleh dijama’ dengan mana-mana solat sama ada yang sebelumnya atau selepasnya. Perlu dijelaskan di sini, sebab-sebab yang membolehkan seseorang itu melakukan solat jama’ adalah lebih luas berbanding jama’ qasar (jama’ kerana musafir) yang biasa dilakukan dan difahami. Antara keadaan yang dibolehkan untuk melakukan jama’ ialah: 1.Penyakit yang menyukarkan pesakit menjaga waktu solatnya. 2. Pesakit yang akan menjalani apa-apa prosedur perubatan yang kritikal seperti pembedahan, dan dijangka prosedur tersebut akan memakan masa sehingga luput salah satu waktu solatnya samada Zohor atau Asar ataupun solat Maghrib atau Isya’. 3. Termasuk juga dalam kategori ini ialah kakitangan perubatan seperti doktor, jururawat dan petugas-petugas yang terlibat dalam apa-apa prosedur perubatan atau pembedahan yang melibatkan luput mana-mana waktu solat mereka. Solat yang telah dijama’ tidak perlu diganti semula pada waktu lain.

Panduan Ibadah Pesakit 15

Wiladah dan Nifas :
1) Maksud wiladah dan nifas: Wiladah: Wiladah ialah darah yang keluar apabila seorang perempuan itu melahirkan anak atau mengalami keguguran janin sekalipun hanya berupa darah beku (‘alaqah) atau hanya berbentuk seketul daging (mudhghah). Maka wajib bagi perempuan itu mandi kerana beranak (wiladah) setelah berlakunya kelahiran atau keguguran sebagaimana disebutkan. Mandi tersebut tidak semestinya sejurus selepas melahirkan anak. Nifas : Nifas ialah darah yang keluar dari rahim perempuan selepas melahirkan anak sekalipun hanya setitik. Maka dalam hal ini diwajibkan mandi kerana nifas. Tempoh kebiasaan nifas keluar adalah dalam tempoh 40 hari setelah seseorang perempuan melahirkan anak. 2) Bagi perempuan yang hampir melahirkan anak, selagimana belum pecah ketumban maka wajib baginya menunaikan solat dengan cara yang sesuai dan tidak memudaratkan dirinya dan bayi yang akan dilahirkan. Rujuk m/s 9-12 . 3) Bagi perempuan yang keguguran, selagimana janin tidak dikeluarkan daripada rahim maka wajib baginya menunaikan solat seperti biasa kerana dia belum berada dalam keadaan yang diharamkan solat (wiladah). 4) Bagi mereka yang mengalami pendarahan ketika mengandung dan bayi dalam kandungan masih selamat mereka juga wajib menunaikan solat seperti biasa kerana darah yang keluar itu adalah darah yang dikategorikan sebagai darah penyakit bukan wiladah.

Panduan Ibadah Pesakit 16

Puasa
Ringkasan Keputusan Majlis Perhimpunan Fiqh Islam Antarabangsa di dalam persidangan yang ke-10 di Jeddah, Arab Saudi. Keputusan nombor 99\1\D10 23 - 28 Safar 1418H (bersamaan 28 Jun – 3 Julai 1997M)

1) Berikut adalah perkara-perkara yang tidak membatalkan puasa: 1. Menitiskan ubat ke dalam mata, hidung, telinga serta mencuci telinga, pemeriksaan tekak dengan syarat tidak memasukkan apa-apa cecair bersamanya. 2. Meletakkan ubat di bawah lidah untuk rawatan sakit dada dan lain-lain selagi ianya tidak ditelan. 3. Memasukkan sesuatu alat ke dalam rahim untuk tujuan rawatan dan pemeriksaan. 4. Memasukkan alat ke dalam salur atau pundi kencing bagi tujuan rawatan sepeti ureteroskop, radio-opaque. 5. Memasukkan alat ke dalam usus untuk tujuan pemeriksaan, rawatan dan ubatan seperti suppositories, radio-opaque dan cecair pembersih usus. 6. Rawatan pergigian. mencabut, menampal atau membersihkan gigi dengan syarat tidak menelan apa-apa. 7. Berkumur atau menyembur ubat yang diletakkan pada mulut tanpa menelan apa-apa. 8. Suntikan ubat ke dalam darah (intravena) dan ke dalam kulit (subtaneous dan intra muscular). 9. Pengambilan oksigen. Contohnya Inhaeler, nebulyzer.

Panduan Ibadah Pesakit 17 10. Bius (General Anaesthetic). 11. Ubat-ubatan yang meresap ke dalam badan melalui kulit contohnya krim. 12. Memasukan tiub (catheter/contrast) untuk tujuan Angiogram 13. Biospy hati dan lain-lain organ tanpa memasukkan cecair bersamanya. 14. Ujian endoskopi bagi tujuan diagnosis seperti gastroscope dengan syarat tidak memasukkan apa-apa cecair atau bahan ke dalam perut. 15. Memasukkan peralatan atau pemberian suntikan ke dalam saraf tunjang. 16. Hemodialisis. 17. Muntah yang tidak sengaja. Jika sesuai, setiap doktor Muslim harus menasihatkan pesakit untuk menangguhkan sebarang prosedur yang tidak memudharatkan penangguhannya, sehingga selepas waktu berbuka, (bentuk-bentuk rawatan yang disebut di atas).

Panduan Ibadah Pesakit 18

Rujukan
1) 2) Ibnu Kathir, Tafsir Al-Quran Al-’Azim, Darul Hadith, Qaherah, 2003. As-Syaukani, Fathul Qadir Al-Jami’ Baina Ar-riwayah wa Ad-dirayah min ‘Ilm At-Tafsir, Dar Kitab Al-’Alamiyah, Beirut. Muhammad bin Idris As-Syafie, Al-Umm, Dar Ibn Hazm, Beirut, 2005. Wahbah Az-Zuhaili, Mausu’ah Al-Quraniah AlMuyassarah, Darul Fikr, Dimasyk, 1427H. Sayyid Sabeq, Fiqh Sunnah, Takhrij Nasiruddin Albani, Dar I’lam Al-Arabi, Qaherah, 1999. Taqiyuddin Abu Bakar Ad-Dimasyk As-syafie, Kifayatul Akhyar fi Halli Ghayat Al-Ikhtisar, Tahkiq Kamil Muhammad ‘Uwaidhah, Dar Al-Kutub Al-Alamiah, Beirut, 2000. Mustafa Al-Khin, Mustafa Al-Bugha, Ali Syarabji, Fiqh Al-Manhaji ‘Ala Mazhab Al-Imam As-Syafie, (Versi Muat Turun ). Abd. Karim Zaidan, Al-Mufassal Fil Ahkam Al-Mar’ah. http://www.fiqhacademy.org.sa/qrarat/10-1.htm.

3) 4) 5) 6)

7)

8) 9)

KHIM
Ahli KHIM:
AL-ISLAM SPECIALIST HOSPITAL No 85, Jalan Raja Abdullah,Kg. Baru, 50300 Kuala Lumpur Tel : 03-26931007 Faks : 03-26954148 www.al-islamhospital.com.my PUSAT RAWATAN ISLAM AZ-ZAHRAH (AZIM) No.34, Medan Pusat Bandar 1, Seksyen 9, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor Darul Ehsan. Tel:03-8925 2525 / 9089 Fax: 03-8925 9525 www.azzahrah.com.my HOSPITAL PUSRAWI SDN. BHD. Lot 149, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, Malaysia. Tel : 03-26875000 Fax :03-26875001 www.pusrawi.com.my PUSAT PERUBATAN AR-RIDZUAN No. 9, Jln Seruan, Taman Chateau, 30250 Ipoh, Perak Tel : 05-243 8311, 243 8312 Faks : 05-243 8313 INSTITUT PERUBATAN DAN PERGIGIAN TERMAJU (IPPT) No 1-8, Pesiaran Seksyen 4/1, Bandar Putra Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang. Tel : 04-5622222 Faks : 04-5622468 HOSPITAL DANAU KOTA No. 1 & 3, Jalan 6/23E, Taman Danau Kota, 53300 Setapak, Kuala Lumpur. Tel: 03 4023 3629 / 4023 3630 www.hospitaldanaukota.com PUSAT PERUBATAN KOHILAL No. 225 Jalan negara 2, Off Lorong Selangor, Taman Melawati, 53100 Kuala Lumpur. Tel : 603-41068466 / 67 / 68 Fax : 603-41068469 Email : pppksb@tm.net.my ppksb@bluehyppo.com PUSAT RAWATAN MAHSURI SDN BHD. Jln Mahsuri 1C, Bandar Baru Darulaman, 06000 Jitra, Kedah Tel: 04-916 2345 Fax: 04-916 3242 HOSPITAL UNIVERSITI SAINS MALAYSIA (HUSM) Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia 16150 Kubang Kerian, Kelantan Darul Naim Tel : 09-766 3000 Faks: www.kck.usm.my

KHIM PANDUAN DALAM MEMBUAT KEPUTUSAN MERAWAT PESAKIT DARI PERSPEKTIF ISLAM PANDUAN AMALAN PROFESIONAL MUSLIM MAQASID AL-SHARIAH / THE PURPOSE OF LAW To preserve Religion Memelihara Agama To preserve Life To preserve Wisdom To preserve Inheritance To preserve Wealth Memelihara Jiwa Memelihara Akal Memelihara Keturunan Memelihara Harta

MEMBUAT KEPUTUSAN BERDASAR KAEDAH-KAEDAH SYARAK Principle of Motives Principle of Certainty Principle of Injury Principle of hardship Principle of custom Tujuan Yakin Kecemasan Keberatan Uruf/ Adat

4 TAHAP YAKIN BERDASARKAN PANDANGAN IMAM SHATIBI Certainty Predominant conjecture Conjecture Doubt/Uncertainty Yakin Kurang pasti Zan Syak

KHIM

KHIM

Sign up to vote on this title
UsefulNot useful