You are on page 1of 5

TEKS UCAPAN Y.B. TUAN HAJI W.

MOHD BIN WAN HASSAN


PENGERUSI JAWATANKUASA PEMBANGUNAN ISLAM HADHARI
NEGERI TERENGGANU
DI PERASMIAN PENUTUP KURSUS PENSIJILAN DAN LOGO HALAL NEGERI
TERENGGANU

Bismillahirahmanirrahim :
Yang Berbahagia, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Dato’ Engku
Mohamed bin Engku A. Rahman.
Yang Berusaha, Ketua-Ketua Penolong Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama
Terengganu (JHEAT).
Pegawai-Pegawai Jabatan, Urusetia-Urusetia Kursus , serta para peserta kursus yang
dikasihi sekalian.

Assalamualaikum wr.w.b.t. dan salam sejahtera,


(salam dari Y.B. Exco Pembangunan Islam Hadhari yang kini berada di Mesir
bersempena program………………………………..).

Alhamdulillah, kita bersyukur kehadrat Allah s.w.t. yang telah melimpah rahmatNya
kepada kita sehingga dengan itu kita dapat bertemu di Majlis Perasmian Penutup ini
untuk kita meneruskan satu lagi tugas dan amanah yang dipikulkan ke atas kini.
Mudah-mudahan kita dapat manfaatkan majlis ini sebaik mungkin.

Pertamanya, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada penganjur iaitu Jabatan
Hal Ehwal Agama Terengganu kerana menjemput saya memberikan ucap tama
seterusnya merasmikan penutup program Kursus Pensijilan Logo dan Halal
Terengganu (KPL&HT) ini.

Sememangnya, kursus-kursus yang berkaitan produk halal sebegini perlu


dipertingkatkan dan ditambahbaikkan lagi agar memberi peluang dan ruang kepada
masyarakat kita amnya supaya dapat memahami serta mempraktikkan konsep halal
yang sebenarnya dituntut oleh Agama Islam itu sendiri.
Ini sebagaimana seperti yang difirmankan oleh Allah s.w.t. :-

(Al-Baqarah : 168)
Yang bermaksud : “Hai sekelian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa
yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-
langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh
yang nyata bagimu”.

Dikesempatan program kursus pensijilan dan logo halal ini juga saya ingin berkongsi
maklumat dengan tuan-tuan dan puan-puan semua tentang sejarah pensijilan halal
dunia. Menurut rekod IFANCA (iaitu Islamic Food and Nutrition Council Of America
atau Majlis Makanan dan Pemakanan Islam Amerika) produk pertama yang telah
diberi sijil halal ialah ubat gigi berjenama CREST pada tahun 1984 yang dikeluarkan
oleh Procter & Gamble setelah memenuhi kriteria pensijilan halal IFANCA.

Rentetan dari situlah, maka permohonan untuk pensijilan halal bagi produk makanan
terus meningkat untuk pasaran dunia.
Manakala di negara kita Malaysia, merupakan antara negara Islam yang bersungguh-
sungguh menjalankan tanggungjawab ini secara konsisten, berkesan dan penuh
kewibawaan.
Peranan tersebut telah dimainkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM –
dahulunya dikenali sebagai Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) ) sejak tahun 1974
lagi. Dan bermula pada tahun 1994 pertamakali pengesahan halal telah diberikan
kepada syarikat-syarikat pengeluar makanan tempatan dalam bentuk sijil dan logo.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian,


Dalam usaha untuk meningkatkan kualiti sijil halal JAKIM supaya mendapat
pengiktirafan di peringkat antarabangsa, maka JAKIM telah menjalinkan kerjasama
dengan Jabatan Standard Malaysia & SIRIM untuk mengeluarkan sijil halal yang
standard serta lengkap dengan ciri-ciri keselamatan bagi tujuan mengelak penipuan
dan penyalahgunaan sijil dan logo halal.

Dalam aspek penyelarasan pengeluaran sijil halal antara jabatan-jabatan agama


negeri,pihak JAKIM mengeluarkan sijil halal bagi produk eksport ke luar negara dan
pasaran yang melibatkan antara negeri. Manakala Jabatan Agama Islam Negeri
seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu ini hanya mengeluarkan sijil halal bagi
produk yang dikeluarkan dan dipasarkan di dalam negeri sahaja.

Penyelarasan di antara JAKIM dan Jabatan Agama lslam Negeri ini dalam pengeluaran
sijil dan logo halal telah memberi manfaat besar kepada industri makanan halal di
negara kita ini kerana para pengguna tidak lagi keliru dan salah faham mengenai sijil
dan logo halal pada sesetengah produk halal yang di pasarkan di negara ini.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian,


Wawasan untuk menjadikan negara kita Malaysia sebagai sebuah pusat pengeluar
makanan halal telah dibincang sekian lama oleh kerajaan dan sektor swasta.
Ini telah menjadikan industri makanan halal sebagai salah satu industri yang
diberikan keutamaan untuk dimajukan, dimana beberapa program dan projek ke arah
memajukan industri makanan halal telah dan akan dilaksanakan oleh agensi-agensi
kerajaan yang terbabit seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri,
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, JAKIM, MARDI dan
agensi-agensi lain yang berkaitan.

Dalam sidang Parlimen bagi-baru ini juga, kerajaan ada menyarankan langkah untuk
mewujudkan pusat makanan halal di setiap negeri. Antara negeri yang telah
berusaha ke arah misi itu ialah di Pulau Indah, Selangor, Gambang, Pahang dan di
Pedas, Negeri Sembilan.
Saya berkeyakinan selepas ini, Negeri Terengganu Darul Iman pula akan berusaha ke
arah yang sama untuk menjadikan negeri kita yang berkonsepkan “Islam Hadhari
Terengganu Bestari” ini sebagai Pusat “Makanan Halal” dan “Pusat Rujukan Maklumat
Halal”.

Sebarang usaha ke arah memartabatkan umat dan menjana kecemerlangan ekonomi


melalui pasaran-pasaran produk halal ini sememangnya bertepatan dengan
pendekatan “Islam Hadhari” yang menjurus dan memfokuskan kepada kerajaan
seimbang di dunia dan juga akhirat.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian,


Potensi pasaran produk-produk makanan halal ini sememangnya amat besar. Ini
boleh dibuktikan dengan jumlah populasi penduduk yang beragama Islam di seluruh
dumia bagi tahun 2003 sahaja berjumlah 1.6 bilion iaitu 28% daripada jumlah
keseluruhan penduduk dunia.
Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa potensi pasaran bagi produk makanan halal
telah wujud bagi memenuhi permintaan daripada penduduk beragama Islam.
Adalah dijangkakan bahawa permintaan terhadap produk ini akan terus meningkat
sejajar dengan kadar pertumbuhan penduduk Islam yang bernilai positif 3% setahun
dan populasi ini dijangka terus meningkat kepada 2.77 bilion menjelang tahun 2010
nanti.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian,


Pada pagi ini, saya juga ingin membuka minda dan pandangan tuan-tuan sekelian.
Adakah tuan-tuan menyedari atau tidak, dalam kita membanggakan komitmen kita
untuk menjadikan Malaysia ini sebagai Pusat Makanan dan Halal Dunia. Jiran kita
Thailand sebenarnya memberi ancaman utama kepada potensi industri makanan
halal di Malaysia.

Samada kita akan percaya atau tidak, industri makanan halal Thailand telahpun
menyumbang sebanyak RM 15 bilion setahun daripada eksport makanannya ke
seluruh dunia.
Manakala negara-negara lain yang dikategorikan sebagai pesaing bagi kita termasuk
Australia, New Zealand, China dan Indonesia masing-masing telah menjadi
penyumbang utama eksport makanan halalnya ke seluruh dunia.

Kita sebenarnya masih perlu memperbaiki pelaksanaan strategi dan pembangunan


penyelidikan makanan halal dalam membuktikan Malaysia benar-benar akan menjadi
pusat makanan halal dunia menjelang 2010. Insyaallah.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian,


Dalam kita menongkah arus globalisasi dan modenisasi ini, tanpa kita sedar
kemajuan teknologi yang serba canggih dalam industri pemprosesan makanan juga
mengalami perubahan yang sesuai dengan kepesatan pembaharuan dan
pembangunan dalam bidang yang lain.

Kerajaan juga akan cuba melaksanakan dan menerapkan ciri-ciri dan elemen-
elemen “food safety” (keselamatan makanan) dalam pensijilan halal dan
mengintegrasikan HACCP (Hazard Analysis Critical Control Point) bagi menjadikan
pensijilan halal lebih berwibawa dan berdaya saing serta memastikan produk
makanan yang dikeluarkan dibawah label halal lebih terjamin selamat dan tidak
membahayakan kesihatan.

Umumnya, penggunaan apa jua teknologi bagi menghasilkan pelbagai bentuk produk
makanan supaya lebih selamat dan berkualiti serta memenuhi apa-apa keperluan
peraturan dan perundangan, semuanya itu bertepatan dengan tuntutan agama Islam
itu sendiri.

Semua makanan yang telah diproses itu adalah halal sekiranya sumbernya halal,
bahan-bahan ramuannya halal dan aktiviti pemprosesan adalah bebas dari sebarang
benda dan perkara-perkara yang meragukan. Konsep ini adalah jelas dan
berpandukan kepda hadis Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Bukhari dan
Tirmzi yang bermaksud :
“Yang halal sudah jelas yang haram sudah jelas, diantara keduanya ada beberapa
yang belum jelas (syubhah) ramai yang tidak tahu sama ada ia halal dan haram.
Maka barang siapa yang menjauhinya kerana hendak membersihkan agama dan
kehormatannya, dia akan selamat; dan barang siapa yang mengerjakan sedikitpun
daripadanya maka hampir ia akan jatuh ke dalam haram.”

Tuan-tuan dan Puan-puan para Peserta Kursus Sekelian,


Saya berkeyakinan bahawa kursus pensijilan dan Logo Halal yang telah dijalankan
pada hari ini telah memberi dan menambah input yan banyak kepada tuan-puan
semua.

Saya difahamkan para peserta semua telahpun menerima maklumat yang banyak
berkenaan aspek-aspek perundangan yang berkaitan dengan pensijilan halal ini
terutamanya di bawah Akta Perihal Dagangan 1972, Perintah Perihal Dagangan
(Perbahasaan Halal) 1975 yang telah disampaikan oleh Pegawai Kanan dari
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sendiri (iaitu Encik
Othman bin Nawang).

Saya juga percaya bahawa tuan-tuan dan puan-puan juga telahpun diberi
penerangan dan kefahaman yang jelas berkenaan dengan konsep produk halal dan
bagaimanakah prosedur pensijilan halal ini dijalankan dan perlu diikuti oleh
pengusaha-pengusaha industri makanan di negara kita ini. Semuanya itu juga telah
dibincangkan panjang lebar oleh Penasihat Pakar dari Bahagian Kajian Makanan dan
Barangan Gunaan Islam, JAKIM (iaitu Encik Lokman bin Ab. Rahman).

Dengan itu, saya yang bagi pihak Kerajaan Negeri begitu berharap agar pengusaha
dan pengeluar makanan, pihak berkuasa, agensi kerajaan dan swasta di negeri ini
yang terllibat, memahami serta komited terhadap prosedur dan garis panduan halal
supaya bukan sahaja industri makanan halal itu dilindungi dan dipertingkatkan,
bahkan juga kepada pengguna-pengguna Islam dan bukan Islam di negara kita
khususnya dan seluruh dunia amnya.

Dengan harapan itu juga, saya dengan lafaz yang mulia, Bismillahirrahmanirrahim,
SAYA MERASMIKAN MAJLIS PENUTUP KURSUS PENSIJILAN DAN LOGO HALAL NEGERI
TERENGGANU INI.

Sekian, wassalamualaikum wbt.w.r.w.b.t.