PULAU KELUMPANG DARI PERSPEKTIF ARKEOLOGI: PENYELIDIKAN ARKEOLOGI PROTOSEJARAH DI KUALA SELINSING, PULAU KELUMPANG, PERAK Oleh, Kamaruzzaman

Hj Ayob & Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman Institut Alam dan Tamadun MelayuUniversiti Kebangsaan Malaysia Pengenalan Pulau Kelumpang terletak dikawasan Hutan Simpan Matang, Perak, 12 kilometer dari barat laut Kuala Sepetang. Jalan terdekat ke Pulau Kelumpang ialah dengan menaiki bot dari Kuala Selinsing , selain dari itu, jeti Kuala Gula juga boleh menjadi pilihan ke Pulau Kelumpang. Tapak arkeologi ini lebih dikenali penduduk tempatan sebagai Pulau Buluh atau Pulau Kulit Kerang. Kedua-dua nama ini merujuk kepada kawasan yang sama iaitu Pulau Kelumpang. Pulau Kelumpang ini sebenarnya merujuk kepada kawasan tanah yang tinggi yang dikelilingi oleh hutan paya bakau dan terbentuk akibat timbunan tanah dan kulit kerang tinggalan manusia dahulu. Terdapat lapan buah pulau kesemuanya dan pulau-pulau ini dinamakan sebagai Pulau Kelumpang 1, Pulau Kelumpang 2 dan seterusnya. Di percayai masyarakat dahulu membina rumah mereka menggunakan kayu-kayu yang terdapat di paya bakau untuk membina rumah mereka di muara sungai dan pesisir pantai (Zuliskandar dan Nik Hassan Shuhaimi, 2009).

Imej dari satelit yang diambil pada 29 Oktober 1990

Rajah 1: Kedudukan Pulau Kelumpang (Nik Hassan Shuhaimi, 2006) Melalui foto udara dapat dilihat dengan jelas dua tapak penyelidikan arkeologi ini. Tapak ini telah di kenalpasti juga melalui survei yang dibuat pada tahun 1988. Lokasi tapak yang terbaik adalah lebih kurang 600 hingga 700 meter dari pesisir tebing Sungai Selinsing berhampiran kuala sungai dan

tebing anak Sungai Buluh. Terdapat lima kawasan longgokan (pulau) tanah dan kerang disini. Empat darinya di sepanjang tebing anak sungai dan satu lagi di bahagian belakangnya. Satu lagi kawasan ialah di bahagian dalam kawasan pokok bakau iaitu pada jarak 1 kilometer dari lokasi lima longgokan tanah dan kerang itu. Di kawasan ini, longgokan tanah dan kerang ini telah diberi nama sebagai Kelumpang 6, 7 dan 8, menjadikannya sebanyak 8 longgokan (pulau) di kedua-dua kawasan ini. Pulau yang paling panjang iaitu Kelumpang 6 berukuran 280 meter, dan saiz yang paling besar ialah Kelumpang 1 berukuran 150 meter panjang dan 100 meter lebar. Pulau yang paling kecil ialah kelumpang 8, yang bersambung dengan Kelumpang 6. Kelumpang 3 pula adalah sebahagian daripada Kelumpang 4, (Rajah 1). ( Nik Hassan Shuhaimi dan Asyaari Muhamad, 2003) Penyelidikan arkeologi yang pertama telah dibuat oleh I.H.N. Evans dalam tahun 1932 selama dua bulan. Hasil penyelidikan Evans dan jumpaan-jumpaan arkeologi di Tanjung Rawa menunjukkan kawasan ini adalah sebuah penempatan masyarakat India dan diberi pentarikhan pada awal abad ke 6 Masihi. Nama Tanjung Rawa ini tidak pernah muncul dalam mana-mana peta. Oleh itu Nik Hassan Shuhaimi telah memberikan nama tapak ini sebagai Kuala Selinsing, Pulau Kelumpang ( Nik Hassan Shuhaimi dan Asyaari Muhamad, 2003). Sieveking (1955) pula telah menjalankan galicari berdekatan dengan petak galian yang dibuat oleh Evans. Sieveking cuba untuk mendapatkan data stratigrafi tapak dan hubungkaitnya dengan artifak yang dijumpai. Galicari oleh Sieveking telah menjumpai lebih daripada 3000 manik yang diperbuat daripada kaca dan batu. Berdasarkan lapisan stratigrafi ini Sieveking telah mencadangkan tiga fasa kependudukan masyarakat di Pulau Kelumpang (Zuliskandar dan Nik Hassan Shuhaimi, 2009). Seterusnya Quaritch-Wales (1940) telah memberikan pendapat beliau bahawa masyarakat yang menetap dikawasan ini adalah orang Indonesia yang beragama Hindu, yang telah menduduki Pulau Kelumpang dari abad ke 6 Masihi sehingga abad ke 12 Masihi. Alastair Lamb (1964) dalam kajiannya terhadap pelabuhan-pelabuhan di Asia Tenggara pula menyatakan bahawa Pulau Kelumpang merupakan sebuah pelabuhan pembekal. Peacock (1979) juga turut bersetuju dengan pandangan ini mengenai taraf pelabuhan pembekal yang diperolehi oleh Pulau Kelumpang. Peranan masyarakat di Pulau Kelumpang adalah untuk mendapatkan hasil hutan untuk tujuan perdagangan sebelum dihantar ke pelabuhan entreport ( Lamb,1964). NIk Hassan Shuhaimi adalah penyelidik tempatan yang mula-mula sekali menjalankan galicari arkeologi di Pulau Kelumpang. Galicari telah dijalankan pada tahun 1988 dan 1989 dengan tujuan untuk mendapatkan data stratigrafi dengan cara yang lebih sistematik dan saintifik. Nik Hassan Shuhaimi berpendapat bahawa tapak ini diduduki oleh manusia secara berterusan dari zaman prasejarah akhir sehinggalah ditinggalkan akibat daripada kenaikan paras air laut (Zuliskandar dan Nik Hassan Shuhaimi, 2009). Jumpaan artifak juga menunjukkan terdapat hubungan perdagangan antara masyarakat di Pulau Kelumpang dengan masyarakat di Lembah Bujang. Galicari terakhir dijalankan oleh Nik Hassan Shuhaimi pada tahun 2008. Jumpaan artifak termasuklah lima buah kubur, tembikar tanah, manik, artifak batu, tinggalan sisa makanan dan bahan-bahan organik lain.

Tujuan utama galicari ini dibuat adalah untuk menjalankan analisis DNA terhadap tulang manusia yang dijumpai semasa galicari dibuat dan kedua, ialah untuk mendapatkan data arkeologi yang lebih sistematik pada tapak galicari tersebut.

PENYELIDIKAN ARKEOLOGI DI PULAU KALUMPANG, MATANG PERAK Tapak arkeologi Pulau Kelumpang terletak di kawasan paya bakau di Pulau Kelumpang, Kuala Selinsing, Perak. Tapak ini terletak lebih kurang 1½ km dari Kuala Selinsing. Petempatan ini juga pernah di kenali sebagai Kota Kerang (cockles fort) dan Pulau Buluh oleh masyarakat nelayan (Nik Hassan Shuhaimi,1988). Kedudukan petempatan ini secara tepatnya ialah pada kedudukan latitude 100º 32.7 E hingga 100º 32.1 E dan longitude 4º 53.04’ N hingga 4º 53.5’N. Kedudukan ini lebih kurang 23 km dari arah barat laut Kuala Sepetang ((Port Weld).(Rajah 2)(Kamaludin Hassan,1991).

Rajah 2. Peta Lokasi Tapak Kajian: Pulau Buluh/Pulau Kelumpang, Kuala Selinsing.

Dari Kuala Selinsing dapat dilihat Bukit Larut (Maxwell Hill). Kemungkinan di waktu wujudnya petempatan di Kuala Selinsing perahu dan kapal yang melalui Selat Melaka dapat menggunakan Bukit Larut itu sebagai tanda untuk ke petempatan-petempatan disitu. Terdapat tumbuhan darat iaitu pokok nerih batu yang tumbuh lebih tinggi dari pokok-pokok bakau di sekelilingnya. Tumbuh-tumbuhan hutan darat ini membezakan tempat itu dari paya hutan bakau dan menjadi bukti yang jelas kewujudan petempatan manusia

Petempatan prasejarah

di Pulau Kelumpang telah berlaku sejak 2000 tahun dahulu .

Penyelidik yang mula-mula membuat penyelidikan terhadap petempatan di Pulau Kelumpang ini ialah I.H.N Evans dalam tahun 1920an dan 1930an, setelah mendengar lapuran dari B.W.F Bernard (Evans,1932), iaitu Timbalan Pemulih Hutan Perak Utara pada tahun 1924 tentang Pulau Kelumpang. Kemudian beberapa buah artikel telah diterbitkan dalam Journal of the Federated Malay States Museum dalam tahun 1928, 1929, 1930 dan 1932 . Laporan bagi tahun 1932 adalah merupakan yang terpenting dan dianggap sebagai sistematik walaupun ianya dijalankan ditahap-tahap awal dalam sejarah penyelidikan arkeologi Malaysia (Nik Hassan Shuhaimi, 1988).. Pengkaji lain yang turut terlibat sejak dari awal ialah Quaritch-Wales (1940), G.de. G. Sieveking (1955) , Univeristi Malaya dan C.A. Gibson-Mill dari Muzium Raffles, Singapura (1956), B.A.V. Peacock (1979). Lord Medways, Alaistair Lamb (1963) serta Paul Wheatley (1980). Kajian lanjut telah dijalankan oleh Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman dan Abdul Latib Ariffin (1988), Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman Hassan (1989). Seterusnya diikuti pula oleh Mohd Kamaruzzaman Abdul Rahman (1990) dan Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman dan Asyaari Muhammad dari Universiti Kebangsaan Malaysia (2008). Hasil dari beberapa lawatan yang dilakukan oleh Evans bermula dari tahun 1927 dan galicari yang dibuat pada awal tahun 1930an, beliau telah menjumpai beberapa jenis artifak dan sisa makanan. Dalam laporan ini terdapat peta kawasan yang digalicari, laporan jumpaan artifak berasaskan kepada lapisan, 26 keping gambar yang merupakan gambar tapak dan lapisan yang digalicari, gambar perahu, dan tulang manusia serta serpihan tembikar, gambar manik dari batu seperti batu akik, karnelian dan gelas, gambar-gambar alat tembikar dari kubur dan dari permukaan yang mempunyai berbagai ragam hiasan tembikar, celadon, berbagai bahan perhiasan badan dan paling menarik ialah cincin emas berukiran dewa Vishnu diatas garuda dan gambar cop mohor bertulisan Pallava. Evans percaya bahawa ianya ialah sebuah petempatan orang India (Mohd Kamaruzzaman Abd Rahman, 1991). Menurut Evans, berasaskan kepada penemuan tembikar yang dikatakan sebagai jenis Sung atau Sawankalok, petempatan ini mungkin didiami sehingga abad ke 12 Masihi. Tetapi QuaritchWales pula berpendapat bahawa kawasan itu terletak dibawah kuasa politik yang berada di Lembah Kinta dan kerajaan itu dikenali dengan nama Kadaram dan di perintah oleh Raja keturunan Sailendra, Raja Visnuvarman yang meninggalkan mohor Pallava itu. Memang tidak dapat dipastikan bila kawasan ini mula didiami. Galicari oleh Quaritch-Wales telah menunjukkan wujud beberapa lapisan. Di lapisan terkebawah sekali tidak terdapat manik jenis batu permata atau gelas. Tetapi dijumpai manik dan rantai leher yang dibuat daripada cowrie dan daripada beberapa jenis moluska yang lain. Di samping itu tembikar yang ditemui itu dihias dengan hiasan yang mudah apabila dibanding dengan yang di temui di lapisan-lapisan atas. Juga tidak dijumpai tembikar import dilapisan-lapisan terkebawah itu. Evans menggangap perkampungan ini terdiri dari rumah-rumah diatas air sebagai satu

kawasan kediaman orang-orang India. Masyarakat disitu belum menerima agama Islam berasaskan

kepada jenis makanan mereka yang juga termasuk daging babi. Menurutnya penduduk di kawasan itu adalah pedagang batu permata dan gelas dan pada satu ketika telah diserang kerana tengkoraktengkorak yang dijumpai mempunyai kesan luka akibat dari kena serang dengan senjata tajam. Menurut Nik Hassan Shuhaimi, penelitian arkeologi yang dibuat di Pulau Kelumpang tidak menunjukkan bahawa masyarakat di situ hilang disebabkan berlaku pembunuhan beramai-ramai. Adalah dipercayai bahawa masyarakat di situ mungkin berpindah ke tempat lain kerana alam sekitarnya tidak sesuai lagi dan akibat berlakunya kenaikan paras air laut. Namun dipercayai bahawa penduduk di Lembah Bujang dan juga di Pulau Kelumpang asalnya adalah masyarakat tempatan. Quaritch-Wales pula berpendapat bahawa tapak ini merupakan kawasan kediaman orang-orang Indonesia yang terdiri dari tukang-tukang yang mahir dalam kebudayaan India tetapi tidak benarbenar mahir dalam kebudayaan India. Mereka ini telah tinggal disini sejak abad ke 6 Masihi sehingga abad ke 12 Masihi lagi. Ini kerana inskripsi yang diukir diatas mohor Pallava itu mengandungi kesilapan ejaan dalam perkataan sri. Arca Vishnu diatas garuda itu pula tidak memiliki tanda-tanda kedewaannya yang lengkap dan ada aspek-aspek ikonografi yang berbeza daripada yang biasa dalam ikonografi Hindu. Bukti daripada mohor Pallava dan cincin emas itu jelas menunjukkan bahawa tukang yang mencipta artifak itu mempunyai kebolehan tetapi tidak jelas tentang kebudayaan India (Nik Hassan Shuhaimi, 1988). Hasil dari galicari yang dilakukan oleh Evans, artifak yang paling banyak sekali ditemui dari segi bilangan ialah manik yang diperbuat dari gelas. Manik dari batu pula digolongkan kepada beberapa jenis seperti karnelian,, batu akik (amethyst) dan batu kerubung iaitu batu permata berwarna merah. Pada pandangan Evans manik-manik gelas yang dijumpai itu berkemungkinan dicipta di Kuala Selinsing itu sendiri dengan berlandaskan kepada mutu hasil yang tidak tinggi dan juga terdapat manik-manik yang belum benar-benar sempurna dihasilkan atau belum siap seperti manik gelas berwarna biru dan biru tua yang masih dalam bentuk gumpalan. Antara temuan lain yang dijumpai oleh Evans selain manik-manik yang dibuat dari batu permata ialah gelas yang berwarna kehijauan, cap/tera tanah bercorak kain kulit, tembikar berbagai bentuk dan saiz, perhiasan emas, gigi binatang (gigi monyet), pemegang pisau dari tulang, sebuah mohor yang dikenali sebgai mohor Pallava, cincin emas yang berukir dengan motif burung dan manusia, tulang manusia, tinggalan perahu dan damar. Manik-manik dari gelas, batu akik dan tanah liat mungkin dibuat di Kuala Selinsing dan diekspot ke pelabuhan-pelabuhan lain seperti Sungai Mas dan Pengkalan Bujang di Lembah Bujang. Namun demikian, Evans menggangap manik jenis batu permata berasal dari India. Sementara Quaritch-Wales mempunyai pandangan yang sama iaitu jenis yang biasa mungkin berasal dari Selatan India dan biasanya dijumpai ditapak-tapak arkeologi yang wujud seawal-awalnya pada abad ke 7 Masihi. Alaistair Lamb juga pernah menyatakan bahawa ada di antara manik itu yang dibawa dari India dan dari barat, disamping itu ada juga yang dibawa masuk dari Jawa. Manakala Paul Wheatley (1996) pula percaya bahawa manik-manik itu datang dari banyak tempat seperti Filipina, Borneo, Zanzibar dan Zimbabwe.

Alaistair Lamb pula tidak bersetuju dengan pendapat Evans berkaitan gelas-gelas purba dari Timur Tengah yang terdapat di Semenanjung Tanah Melayu. Manik-manik yang diperbuat dari gelas yang ditemui Evans memiliki ciri-ciri gelas buatan Timur Tengah sejak zaman Romawi sehingga ke zaman pertengahan. Buktinya manik-manik itu tidak mempunyai sedikit pun plumbum dan disamping itu juga gelas jenis itu berbeza dari segi kandungannya dengan gelas China (Lamb, 1964a:166-169). Dalam tahun 1940, Quaritch-Wales yang juga telah membuat penyelidikan untuk mencari kebenaran akan pemerhatian dan interpretasi tersebut. Beliau menemui tiga buah pulau longgokan kulit kerang yang terletak tidak jauh dari tapak galicari Evans. Beliau merasa sangsi tentang pengaruh Hindu walaupun Evans telah menemui cop mohor Pallava itu. Ini adalah kerana walau telah banyak ekplorasi dan galicari yang dibuat tetapi tidak ditemui satu pun bukti tentang ritual agama Hindu. Berdasarkan jumpaan manik yang mempunyai persamaan dengan India Selatan dan celadon Sung, Quaritch –Wales percaya bahawa petempatan ini telah didiami sehingga abad ke 12. Beliau juga mendapati bahawa manik yang dijumpai di U Thong yang terletak di Thailand tengah mempunyai persamaan dengan manik yang dijumpai di Pulau Kelumpang. Penempatan di U Thong ini telah ditinggalkan pada abad ke 14 Masihi. Berdasarkan perbandingan perkembangan kebudayaan di Filipina yang dibuat oleh Otley Beyer, tarikh awal tapak ini didiami ialah pada abad ke 6 Masihi (Quaricth-Wales, 1940:54-57) . Dalam bulan April 1955, G. de. G. Sieveking turut menjalankan galicari di Pulau Kalumpang. Tujuan beliau ialah untuk menentukan stratigrafi dan hubungan artifak yang dijumpai oleh Evans. Hasilnya beliau juga menemui beribu manik yang dibuat dari kaca dan batu. Beliau mendapati bahawa manik yang dijumpai bercampur dengan tembikar dan beberapa zaman. Pada lapisan kedua, beliau menyatakan tembikar berhias yang dijumpai adalah berasal dari India manakala tembikar yang dijumpai pada kedalaman empat kaki mempunyai persamaan dengan tembikar didalam perahu dari Pontian, Johor (Sieveking, 1956:200-205). Sieveking telah mencadangkan tiga fasa kependudukan masyarakat di Pulau Kelumpang berdasarkan stratigrafi yang dibuatnya . Fasa pertama ialah masyarakat proto-Melayu atau proto-Indonesia dimana fasa ini berasosiasi dengan jumpaan tembikar tanah, manik kaca legap dan perahu yang digunakan untuk upacara pengkebumian. Jumpaan artifak ini adalah sama dengan jumpaan di kubur kepingan di Perak (Bellwood, 1985). Fasa kedua pula ialah fasa yang berasosiasi dengan jumpaan tembikar tanah bercorak yang sama dengan tembikar tanah bercorak dari India. Manakala fasa ketiga pula ialah fasa yang berasosiasi dengan jumpaan celadon. Sieveking percaya sebahagian dari manik-manik ini adalah dihasilkan di Tanjung Rawa oleh penduduk tempatan sendiri. Pada bulan April hingga Mei 1956, penyelidik dari Jabatan Muzium Malaya yang disertai oleh C.A. Gibson-Hill dari Muzium Raffles, Singapura telah membuat galicari di pulau ini. Tujuan utama mereka ialah untuk mengambil sampel bagi kegunaan pentarikhan C-14. Mereka telah menemui sebahagian dari dua buah perahu tetapi tidak dinyatakan samada ianya diambil untuk tujuan pentarikhan tersebut (Sieveking, 1959:208-209).

KAJIAN TERKINI DI PULAU KALUMPANG Pada tahun 1988, Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman telah menjalankan kajian di Pulau Kelumpang dan mendapati kebanyakkan benda-benda yang dilapor oleh Evans dan penyelidikpenyelidik lain telah dijumpai. Antara benda-benda yang dijumpai ialah sisa makanan dari berbagaibagai jenis moluska, ikan dan binatang, berbagasi jenis bentuk manik, bahan-bahan mentah yang digunakan untuk membuat manik seperti gelas, kulit moluska, kulit penyu, berbagai jenis batu yang dibawa dari temat lain, tulang manusia, tinggalan perahu dan bahan lain yang dibuat dari logam (Nik Hassan Shuhaimi, 1988). Dalam penyelidikan kali ini pemerhatian keatas stratigrafi diambilkira dan didapati ia telah bercampur aduk. Ini mungkin berlaku disebabkan oleh gangguan penanaman mayat oleh masyarakat di pulau itu. Penentuan tarikh juga adalah dengan menggunakan kaedah C-14. Keputusannya didapati tapak arkeologi ini telah didiami sejak lebih kurang 2000 tahun yang lampau. Petempatan ini dikaitkan juga dengan masyarakatnya yang telah menerima manik-manik yang diimpot. Tembikar yang diimpot pula menunjukkan kesinambungan petempatan ini sejak lama dahulu sehinggalah abad ke 2 Masihi. Masyarakat pesisir pantai di Pulau Kelumpang yang tinggal dalam jangkamasa yang lama ini juga turut bergantung kepada bekalan bahan makanan dari tanah besar seperti beras, haiwan daratan seperti rusa dan lain-lain sumber makanan dari laut (Glover & Bellwood, 2004). Tapak ini ditinggalkan pada sekitar abad ke 11 Masihi. Hasil galicari oleh Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman juga menunjukkan bahawa tapak ini mempunyai hubungan dengan tapak lain terutama dengan Lembah Bujang diantara abad ke 6 hingga abad ke10 Masihi. Di Malaysia bukti menunjukkan petempatan protosejarah di tiga buah petempatan, antaranya ialah Lemah Bujang (Kedah), Kuala Selinsing (Perak) dan Santubong (Serawak). Di tapak-tapak ini telah ditemui banyak ara-arca Hindu-Buhhda. Di Kuala Selinsing penemuan adalah seperti tembikar tanah, tinggalan sisa makanan, sisa-sisa flora dan fauna, rangka tulang manusia, manik-manik, tiang rumah, bot, ‘rice pounder’ dari tinggalan longgokan yang dibuat oleh masyarakat disitu (Nik Hassan Shuhaimi dan Asyaari Muhamad, 2003). Terdapat banyak taburan serpihan tembikar pada tapak ini. Terdapat empat bekas tembikar lengkap ditemui yang mengandungi corak bercap bakul, berselang seli, ukiran-ukiran geomatrik, kesan dipicit dan ditekan. Walaubagaimanapun kebanyakkan serpihan tembikar yang ditemui adalah tidak berhias Nik Hassan Shuhaimi,1990).

KAJIAN TENTANG TINGGALAN SISA HAIWAN Kajian mengenai tinggalan sisa haiwan dibuat oleh G.W.H. Davidson dari World Wildlife Foundation pada tahun 1990. Kajian ini mendapati bahawa terdapat pelbagai tulang dan cengkerang di Kuala Selinsing. Ini menunjukkan komuniti protosejarah disitu telah mengumpul dan memakan berbagai jenis moluska lautan, ikan, penyu dan beberapa jenis mamalia daratan. Kehadiran baki daripada berbagai jenis haiwan itu juga membuktikan berbagai cara untuk mengumpul makanan telah

digunakan. Berbagai jenis tumbuhan juga mungkin telah dimakan serta digunakan untuk mendapatkan makanan lain (Davidson,1991). Sisa-sisa bahan makanan dan haiwan lain menunjukkan satu ciri kehidupan yang lebih maju. Penumpuan pada penangkapan ikan dan pengumpulan moluska merupakan perbezaan utama kegiatan komuniti masyarakat ini dari komuniti awal sebelumnya di kawasan pedalaman.. Perikanan dan pengumpulan kerang laut untuk membuat peralatan perhiasan telah melibatkan jangka masa yang panjang. Keterangan ini sangat menarik untuk membuat tanggapan tentang berapa banyak item yang diimport, seperti gigi harimau, karrnelian dan manik-manik yang berasal dari India dan tembikar dari China yang dibawa oleh pedagang luar, dan berapa banyak pula dibawa kembali dari perjalanan jauh oleh masyarakat itu sendiri. Gambaran kegiatan masyarakat ini juga merangkumi perjalanan darat, untuk berburu, untuk mengumpulkan moluska sungai dan kura-kura berkulit yang lebih lembut, dan mengumpul bahan untuk membuat manik. Tidak ada keraguan lagi bahawa rotan dan bahan tumbuhan lain juga dibawa kembali dari perjalanan tersebut. Bahan tumbuhan dan makanan jenis sayuran adalah merupakan jurang besar yang diperolehi dari sisa makanan di Kuala Selinsing. Ini adalah menarik untuk dilihat kerana kurangnya didapati sumber sayuran di hutan paya bakau ini. Persoalan lain yang timbul ialah bagaimanakah kaedah penduduk di Kuala Selinsing ini memperoleh air tawar. Apa yang menarik ialah keadaan tanah dan air di Pulau Kalumpang adalah tidak berasid dan beralkali. Ini membolehkan beberapa bahan organik terpelihara dan dalam keadaan yang baik. Antara bahan organik yang dijumpai ialah tempurung kelapa, buah pinang, keratan-keratan buluh, dan jumpaan gigi manusia yang mempunyai kesan tabiat memakan sireh. Pada lapisan kebudayaan paling awal ini juga dijumpai tiang-tiang kayu yang dipercayai sebagai tiang rumah dan juga serpihan kayu dipercayai perahu (Zuliskandar dan Nik Hassan Shuhaimi, 2009) .

KAJIAN SAINS TERHADAP TEMBIKAR TANAH Kajian ini telah dibuat oleh Mohd Kamaruzzaman Abdul Rahman dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Mohamad Deraman pegawai dari Unit Nuklear (PUSPATI), dengan menggunakan teknik pembelauan sinar-X (X-Ray Diffraction) dengan menggunakan alat X-Ray Diffractometer XRD 3000P. Penggunaan teknik pembelauan sinar-X (X-Ray Diffraction) keatas tembikar (purba) ini merupakan yang pertama dan julung kali dibuat di Malaysia dan di negara Asean. Dalam ujian ini

tembikar tanah yang dijumpai ditapak arkeologi Pulau Kelumpang telah dikelaskan kepada 3 jenis berdasarkan kepada sifat fizikalnya iaitu tidak berhias berwarna hitam, tidak berhias berwarna merah dan berhias. 12 sampel telah dipilih untuk ujian awal. Sampel ini telah diambil dari petak C dan H pada spit 0 (0-20 sm) dan spit 6 (140-160 sm). Spit 0 mewakili abad ke 10 dan spit 6 mewakili abad ke 4 Masihi.. Perbandingan telah di buat untuk melihat dan menentukan kandungannya (Mohd Kamaruzzaman, 1991). Hasil dari analisis tebikar melalui teknik belauan sinar-X ini keatas sampel yang dipilih dapat menghasilkan keputusan yang boleh ditafsirkan seperti berikut, iaitu : i. ii. iii. iv. kandungan mineral dalam sampel suhu, masa dan kaedah pembakaran tanah liat jenis tanah liat / bahan mentah tempat tanah liat / bahan mentah diambil

Melalui analisis ini dapat disimpulkan bahawa: i. ii. iii. terdapat kaedah pembuatan tembikar yang dapat memastikan bahawa tembikar yang dihasilkan itu mempunyai sifat yang seragam. ada kemungkinan besar bahan mentah (tanah liat) yang digunakan itu didatangkan atau diambil dari kawasan yang sama. Kemungkinan sampel-sampel tembikar itu hanya didatangkan dari satu ’kilang’ sahaja atau beberapa ’kilang’ dimana kilang-kilang itu memperolehi bahan mentah dari kawasan yang sama atau berlainan tetapi mempunyai tanah liat yang kandungan mineralnya adalah sama. iv. Pembuat atau pengguna pada kedua-dua zaman itu mungkin telah mempunyai sikap memilih, iaitu membuang hasil-hasil akhir atau pertengahan yang cacat iaitu mengambil tembikar yang sempurna sahaja untuk kegunaan mereka.

Galicari 2008 Penyelidikan terkini arkeologi di Pulau Kelumpang telah dijalankan oleh Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman pada bulan Ogos 2008. Enam petak (2m x 2m) telah dibuka untuk dibuat galicari. Empat darinya di buat di tapak Kelumpang 1 dan dua lagi di tapak Kelumpang 2. Jumpaan penting adalah terdiri dari manik-manik yang dibuat dari gelas yang boleh dikategorikan sebagai manik monokrom dari IndoPasifik. Kebanyakkan manik ini telah dijumpai semasa dibuat survei dan galicari. Manik polikrom juga turut ditemui disini yang berasal dari India dan Timur Tengah. Sebahagian dari manik-manik ini telah ditemui di Pulau Kelumpang.

Selain dari itu terdapat banyak tembikar telah ditemui semasa galicari dijalankan. Terdapat beberapa tembikar ditemui bersama semasa pengkebumian. Tembikar bercorak yang ditemui juga adalah dari jenis yang sama semasa galicari dibuat oleh Nik Hassan Shuhaimi pada tahun 1988 dan 1989. Antara tembikar yang ditemui adalah bercorak gelombang, hiasan bersisir, bertanda tali, garisan dan corak geometrik . Secara khusus analisa terhadap corak tembikar tanah dari Kuala Selinsing ini menunjukkan terdapat sekurangnya tujuh kelompok,iaitu dinamakan kelompok A, B, C, D, E, F dan G (Nik Hassan Shuhaimi dan Asyaari Muhammad, 2003) Penemuan cengkerang semasa galicari juga adalah hampir sama seperti yang dibuat pada tahun 1988 dan 1989. Kebanyakkannya adalah dari jenis anadara granosa. Spesis lain yang ditemui adalah seperti placuna placenta, meretrix dan geloina yang kurang dimakan . kebanyakkan molluska ini diperolehi dari kawasan berlumpur disekitar tapak kajian. Dalam galicari yang dibuat telah ditemui lima rangka tulang manusia. Semua rangka tulang ini ditemui pada kedalaman yang berbeza. Empat rangka tulang manusia telah ditemui di tapak Kelumpang 1 dan satu lagi ditemui di tapak Kelumpang 2. Ada diantara kerangka tulang manusia ini turut didapati bersama dengan tembikar dibahagian kepala dan kaki. Tembikar ini berfungsi sebagai persembahan untuk simati di alam yang lain. Terdapat sampel arang yang ditemui bersama rangka tulang ini diambil untuk dibuat ujian C14. Keputusannya menunjukkan pengkebumian disebelah atas bertarikh antara 1450 ± 40 BP hingga 1460 ± 40 BP. Rangka tulang yang ditemui di bahagian lebih bawah bertarikh antara 1810 ± 40 BP hingga 1700 ± 40 BP. Ini menunjukkan rangka tulang yang paling tua adalah dari tahun 120 Masihi. Dari pentarikhan ini dapat menunjukkan Pulau Kalumpang telah didiami secara berterusan oleh masyarakat maritim sejak kurun terawal. Berdasarkan pentarikhan C-14 yang dibuat lebih awal sebelum ini oleh Nik Hassan Shuhaimi, petempatan disini telah wujud antara 200 SM dan sehingga 1500 Masihi. Pada cara pengkebumian mayat yang diamalkan pula turut menunjukkan bahawa penduduk di Pulau Kelumpang ini masih mengamalkan sistem kepercayaan animisme (Zuliskandar dan Nik Hassan Shuhaimi, 2010). Galicari yang dibuat oleh Nik Hassan Shuhaimi pada tahun 2008 di Pulau Kelumpang ini adalah untuk mendapatkan tarikh yang tepat menggunakan kaedah pentarikhan radiokarbon. Pentarikhan radiokarbon ini menunjukkan petempatan disini telah pun bermula sejak dari awal abad pertama masihi atau lebih tepat adalah dari tahun 120 Masihi. Masyarakat disini mengamalkan kepercayaan animisme sebagai kepercayaan utama yang berdasarkan pada cara pengkebumian walaupun mereka telah ada mempunyai hubungan dengan masyarakat di Lembah Bujang. Berdasarkan pada serpihan tembikar dan manik kaca yang banyak ditemui menunjukkan masyarakat disini telah membuat tembikar dan manik sendiri. Kebanyakkan tembikar tanah yang dijumpai adalah dalam bentuk pecahan. Alat-alat batu yang dijumpai di Pulau Kelumpang bukanlah berasal di situ tepai adalah dibawa dari luar kawasan Pulau Kelumpang. Kebanyakkan alat-alat batu tersebut

mempunyai ciri-ciri batu sedimen daripada sedimen Formasi Semanggol (Tan dan Abdul Rahim, 1990). Menurut pandangan Nik Hassan Shuhaimi, masyarakat maritim di Pulau Kelumpang ini juga telah ada hubungan dengan masyarakat yang terdapat di Lembah Bujang sejak dari awal abad lagi . Kenyataan dari Jabatan Hutan Negeri Perak menyatakan bahawa pokok buluh yang terdapat di Pulau Kelumpang itu asalnya dari Kedah. Ini bermakna bahawa telah terdapat kemunculan perdagangan antara Pulau Kelumpang dan Lembah Bujang. Masyarakat disini adalah merupakan pelaut, ini adalah berdasarkan pada kehadiran tulang ikan dari laut dalam yang ditemui pada tapak penyelidikan ini. Selain menjadi pelaut, mereka juga merupakan pembuat tembikar dan manik, seterusnya mereka juga merupakan pedagang antarabangsa. Berdasarkan kepada tinggalan tulang-tulang haiwan yang ditemui disini, menunjukkan masyarakat disini menggunakan produk ikan dari laut dan haiwan dari hutan sebagai makanan. Pulau Kelumpang juga turut bertindak sebagai pelabuhan pembekal (feeder port) dan Lembah Bujang sebagai pelabuhan entrepot (Zuliskandar dan Nik Hassan Shuhaimi,2010).

Gambar Foto

Gambar Foto : 1 Salah sebuah petak galicari yang di buat mengandungi rangka tulang manusia

Gambar Foto 2 : Kedudukan salah satu rangka manusia yang ditemui di Pulau Kelumpang

Gambar Foto 3: Serpihan tembikar tanah bercorak
Gambar Foto : azie/ros.btpnns

Gambar Foto 4 : Sebahagian dari alat perhiasan gelang yang diperbuat dari siput
Gambar Foto : azie/ros.btpnns

Gambar Foto 5: Jumpaan manik dari tulang ikan
Gambar Foto : azie/ros.btpnns

Gambar Foto 6: Jumpaan manik kaca yang berwarna warni
Gambar Foto : azie/ros.btpnns

RUJUKAN Bellwood, Peter. 1985. Prehistory of the Indo-Malaysian archipelago.Sydney. Academic Press. Davidson, G.W.H. 1990. Shell remains from the protohistoric settlement at Pulau Kelumpang, Perak. Jurnal Arkeologi Malaysia 3:25-28. ______________ . 1991. Animals remains from the protohistoric Community at Kuala Selinsing, Perak. Jurnal Arkeologi Malaysia 4:95-102. Evans, I.H.N. 1928. On ancient remains from Kuala Selinsing. Journal of the Federated Malay State Museum 12:128-132. __________ . 1930. Notes on recent finds at Kuala Selinsing. Journal of the Federated Malay State Museum 15:20-27. __________ . 1932. Excavation at Tanjung Rawa, Kuala Selinsing. Journal of the Federated Malay State Museum 12:16:79-134. Glover, Ian dan Bellwood, Peter (ed). 2004. Southeast Asia : From prehistory to history. London. Routledge Curzon.

Kamaludin Hassan. 1991. Quaternary geological investigation at Pulau Kelumpang archaeological site, Perak, Peninsular Malaysia. Jurnal Arkeologi Malaysia, 4:74-93. Lamb, Alastair. 1964. Miscellanous archeological discoveries. Journal of the Malayan Branch, Royal Asiatic Society 37/1: 166-168. Mohd Kamaruzzaman A. Rahman, Mohamad Deaman, Ramli Jaya dan Mohd Ali Sufi. 1991. Kajian sains terhadap jumpaan tembikar tanah di Pulau Kelumpang, Perak : keputusan awal. Jurnal Arkeologi Malaysia 4:59-73 Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman dan Abdul Latib Ariffin.1988. Penyelidikan Arkeologi Proto Sejarah di Kuala Selinsing, Pulau Kelumpang (Perak) dan di Lembah Bujang (Kedah). Laporan Penyelidikan, Institut Alam Tamadun Melayu (ATMA) UKM, 1989 Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman dan Asyaari Muhamad.2003. Protohistoric earthenwares from Kuala Selinsing, Perak. Dlm Miskic J. Earthenwares in South East Asia, Singapore: Singapore University Press. Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman dan Abdul Latib Ariffin.1988. Penyelidikan Arkeologi di Pulau Buluh (Pulau Kelumpang), Kuala Selinsing, Perak. Jurnal Arkeologi Malaysi. 1:36-49. Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman. 1991. Recent Research at Kuala Selinsing, Perak, Buletin of the Indo-Pacific Prehistory Association 1990, Yokyakarta, 2 /11:141-151. Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman dan Othman Yatim. 1990. Antiquities of Bujang Valley. Kuala Lumpur: Museum Association of Malaysia.

Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman.2006. Early History. The Encyclopedia of Malaysia

4: 70- 71. Singapore. Archipelago Press. Peacock, B.A.V. 1979. The Later prehistory of the Malay Peninsula. Dlm Smith, R.B. dan Watson, w.(eds). Early South East Asia. ms. 199-214. Kuala Lumpur. Oxford University Press Quaritch, Wales, H.G.. 1940. Archeological research on ancient Indian colonization in Malaya. Journal of the Malayan Branch, Royal Asiatic Society 28/1:1-85 Shahrul HishamZainal Ariffin, et.al, 2009. Molecular gender determination of ancient human from Malay Peninsuslar. American Journal of Applied Sciences 6(10): 1770-1775. Sieveking, G. de G. 1955. Recent archeological discoveries in Malaysia 1955. Journal of the Malayan Branch, Royal Asiatic Society 29/1: 200-211 Tan Teong Hing dan Abdul Rahim Haji Shamsuddin. 1990. Gem and rock artifacts at Pulau Kelumpang, Perak. Jurnal Arkeologi Malaysia 3:15-24. Wheatley, Paul. 1996. The Golden Khersonese. Kuala Lumpur. University of Malaya Press.

Zuliskandar Ramli dan Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman. 2010. Maritime community in Pulau Kelumpang, Matang, Perak: Based on archaelogical evidences. Jurnal Arkeologi Malaysia 23:41-53 Zuliskandar Ramli dan Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman. 2009. Masyarakat maritim di Guar Kepah dan Pulau Kelumpang: Dari peneroka paya bakau ke pedagang antarabangsa. Habitat dan Alam Sekitar: Prosiding seminar antarabangsa habitat manusia dan linkungan hidup. Universitas Riau, Pekan Baru. 23-24 Februari 2009.

Sign up to vote on this title
UsefulNot useful