PENGGUNAAN LAGU KANAK-KANAK DEMI PENINGKATAN PENGUASAAN KOSA KATA BAHASA INGGERIS

Syaza Yasmin binti Ismail

Abstrak

Kajian tindakan ini dijalankan untuk menilai sejauh mana lagu kanak-kanak dapat membantu meningkatkan penguasaan kosa kata bahasa Inggeris murid-murid prasekolah. Objektif kajian ini adalah untuk meningkatkan penguasaan kosa kata bahasa Inggeris dan meningkatkan keyakinan murid-murid prasekolah untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Subjek kajian terdiri daripada enam orang murid prasekolah di Kuala Lumpur. Data dikumpulkan melalui soal selidik dan pemerhatian. Data dianalisis dengan menggunakan analisis deskriptif (kekerapan dan peratusan). Hasil refleksi menunjukkan kanak-kanak kurang memberikan respons dalam aktiviti slot pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris di bilik darjah kerana mempunyai kosa kata bahasa Inggeris yang terhad. Lagu kanak-kanak digunakan untuk membantu kanak-kanak mengatasi masalah yang dihadapi dengan meningkatkan penguasaan kosa kata bahasa Inggeris mereka dan secara tidak langsung meningkatkan keyakinan mereka untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Tiga buah lagu kanak-kanak digunakan dalam intervensi yang dijalankan. Kosa kata yang ingin ditekankan menjadi fokus utama agar kanak-kanak dapat menguasai kosa kata tersebut. Aktiviti nyanyian lagu kanakkanak ini dijadikan sebagai rutin di prasekolah. Lagu kanak-kanak ini dinyanyikan dalam waktu perbualan pagi dan juga diselitkan dalam aktiviti slot pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris. Implikasinya, penguasaan kosa kata bahasa Inggeris kanak-kanak meningkat dan secara tidak langsung kanak-kanak berkeyakinan untuk memberikan respons dalam aktiviti slot pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris. Selepas intervensi dijalankan, didapati bahawa bilangan kosa kata kesemua subjek meningkat berbanding sebelum intervensi dijalankan. Penggunaan lagu kanak-kanak dapat meningkatkan penguasaan kosa kata bahasa Inggeris secara tidak langsung dapat meningkatkan keyakinan kanak-kanak untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

Sign up to vote on this title
UsefulNot useful