You are on page 1of 21

Penggunaan Kata Sapaan ’Kau’ Dulu dan Sekarang: Dalam Konteks Puak Melayu Kedayan.

Oleh Nur Syakimah binti Rabaha & Prof. Madya Dr. Hj Jaludin bin Hj Chuchu.

PENGENALAN Sebelum melanjutkan mengenai dengan tajuk bagi penggunaan kata sapaan ‘kau’ dulu dan sekarang yang dilihat dalam konteks Melayu Kedayan. Ada baiknya disentuh sedikit mengenai dengan tema bagi seminar ini, tema seminar tahun ini adalah “Multibahasa pencerna dan pewahanaan ilmu pengetahuan”. Menurut Kamus Bahasa Melayu Nusantara (2003;1830), Multi ialah lebih daripada satu, banyak, berbilang dan pelbagai. Manakala Multibahasa atau lebih dikenali sebagai Multilingual (2003;1830-1831) ialah mengandungi beberapa atau banyak bahasa ataupun kebolehan mengetahui atau menggunakan beberapa bahasa dalam berkomunikasi. Manakala Wahana dalam KBMN1 (2003;3011) ialah saluran atau perantaraan yang memungkinkan sesuatu yang dilakukan (disampaikan atau dicapai), alat atau sarana untuk mencapai sesuatu tujuan. Bagi makna pencerna dalam KBMN (2003;486) ialah sesuatu yang mencernakan (menyerapkan ke dalam fikiran, jiwa, hati dan lainlain). Negara Brunei Darussalam mempunyai pelbagai penduduk. Majoriti penduduk yang terdapat di negara ini adalah berbangsa Melayu. Bangsa Melayu di negara ini terdiri daripada tujuah etnik atau tujuh puak rakyat jati Brunei Darussalam. Ketujuh-tujuh etnik tersebut ialah Melayu Brunei, Melayu Kedayan, Dusun, Murut, Belait, Tutong dan Bisaya. Kedayan adalah salah satu etnik jati di negara Brunei Darussalam yang
1

Kamus Bahasa Melayu Nusantara.

PROSIDING SETALING II

juga mampu dijadikan sebagai alat untuk mencapai sesuatu tujuan dalam ilmu pengetahuan. Walau yang demikian, dialek Melayu Kedayan dianggap sebagai salah satu dialek atau bahasa minoriti di negara ini. Salah satu sebab mengapa Kedayan dianggap sebagai etnik minoriti adalah apabila puak Melayu Kedayan bertembung dengan etnik-etnik atau puak-puak yang lain di negara ini, mereka akan menggunakan bahasa Melayu Brunei ketika berkomunikasi. Dalam kertas kerja ini akan menyentuh mengenai dengan dialek Melayu Kedayan dalam penggunaan kata sapaannya. Dalam usaha untuk berkomunikasi ataupun berinteraksi, dalam setiap bahasa sememangnya telah menentukan norma dan juga sistem atau aturan sosial mereka. Ini adalah bagi menilai kesopanan dan memelihara kesopanan ketika bertutur. Budaya dan adat Melayu Brunei mahupun bangsabangsa melayu yang lain masih lagi mengekalkan penggunaan sapaan atau panggilan ketika berinteraksi. Penggunaan sistem sapaan ini merupakan salah satu cara bagi menghormati seseorang di samping bagi mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan dijadikan sebagai contoh dan tauladan untuk generasi muda dan yang akan datang. Setiap etnik atau puak yang ada di Negara Brunei Darussalam mempunyai kata sapaan yang hampir sama penggunaannya. Salah satu contoh adalah kata sapaan ‘kau’ yang di punyai oleh ketujuh-tujuh etnik di negara ini. Dalam bahasa Dusun kata sapaan ‘kau’ ialah ‘ekou’ yang mempunyai sama makna dengan ‘kau’ dan digunakan dikalangan keluarga ketika berinteraksi. Begitu juga dengan puak Tutong, mereka mempunyai kata sapaan ‘jiyu’ yang mempunyai sama makna dengan ‘kau’ yang juga digunakan ketika mereka berinteraksi dengan ahli keluarga dan teman rapat. Tidak ketinggalan juga dengan puak Melayu Kedayan atau masyarakat Kedayan yang mempunyai kata sapaan yang digunakan kepada sesiapa sahaja yang tidak mengira usia, kedudukan dan sebagainya. Masyarakat Kedayan menggunakan kata sapaan ‘kau’ dalam berinteraksi atau berkomunikasi dengan sesiapa sahaja tanpa menghadkan penggunaannya. Penggunaan kata sapaan ‘kau’ bagi setiap puak tidak jauh berbeza, hanya yang menyebabkan perbezaannya sekarang adalah disebabkan dalam komunikasi seharian puak Melayu Kedayan sudah berubah pada

80

PROSIDING SETALING II

ketika ini. Kebanyakan penutur dialek Melayu Kedayan sudah merubah penggunaan kata sapaan ‘kau’ kepada ‘kita’. Ini mungkin disebabkan dengan pengaruh bahasa Melayu dan juga dialek Melayu Brunei yang lebih dominan berbanding dengan dialek Melayu Kedayan. Disebabkan dengan pengaruh oleh bahasa-bahasa yang lebih dominan berbanding dengan dialek Melayu Kedayan, penggunaan kata sapaan ‘kau’ telah bertukar kepada ‘kita’ dalam dialek Melayu Kedayan tetapi tidak bagi puak Dusun dan puak Tutong yang masih mengekalkan penggunaan ‘kau’ ketika ini. Kedua-dua puak tersebut dapat bertahan adalah disebabkan Dusun dan Tutong bukanlah dalam satu golongan bahasa yang mempunyai sama bunyi bahasa dengan bahasa Melayu ketika berinteraksi. Oleh yang demikian, dalam konteks puak Melayu Kedayan akan dilihat faktor perubahan yang menyebab berubahnya penggunaan kata sapaan ‘kau’ kepada ‘kita’. Di Negara Brunei Darussalam, puak Melayu Kedayan tidak menetap di sebuah tempat sahaja. Akan tetapi persebaran puak Melayu Kedayan ini semakin luas. Puak Melayu Kedayan doleh didapati di Daerah Brunei dan Muara, Daerah Tutong dan Daerah Temburong. Majoriti puak Melayu Kedayan menetap adalah di kawasan Daerah Brunei Muara berbanding dengan daerah Tutong dan Daerah Temburong. Dalam Daerah Brunei dan Muara ada beberapa buah kampong yang didiami oleh puak Melayu Kedayan seperti di Kampong Jerudong, Kampong Kilanas, Kampong Sengkurong, Kampong Kulapis, Kampong Bebatik, Kampong Lugu dan sebagainya. Walaupun pertaburan puak Melayu Kedayan ini semakin meluas akan tetapi puak ini menjadi puak minoriti dalam sesebuah kampong yang diteliti. Ini adalah disebabkan puak Melayu Kedayan ini sering berpindah rendah. LATAR BELAKANG PUAK MELAYU KEDAYAN Setiap puak di Negara Brunei Darussalam mempunyai perbezaan dalam penggunaan kata sapaan. Dengan yang demikian, tidak ketinggalan juga dengan dialek Melayu Kedayan yang mempunyai kata sapaan yang tersendiri. Puak Melayu Kedayan atau masyarakat kedayan merupakan salah satu puak jati Negara

81

PROSIDING SETALING II

Brunei Darussalam. Banyak tanggapan dan juga pendapat telah diajukan, tidak kira yang berdasarkan kepada sumber-sumber tulisan mahupun lisan seperti Syair Awang Semaun bahawa masyarakat Kedayan adalah masyarakat yang kedua terbesar dan dipercayai telah lama bertapak di negara ini. Walau yang demikian, belum ada lagi bukti yang telah ditemui bagi meyakinkan mengenai pendapat tersebut. Pertaburan masyarakat kedayan ini begitu meluas sekali sehingga di Kepulauan Borneo yang meliputi Sabah, Sarawak, Sumatera dan Kalimantan. Masyarakat Kedayan lebih dikenali melalui cara percakapan mereka sama ada dari gaya percakapan dan juga intonasinya. Akan tetapi, sekarang ini sememangnya susah bagi mengenali adakah seseorang itu daripada puak Melayu Kedayan ataupun tidak?. Menurut Bantong Antaran (1985), bahawa asal nama Kedayan itu telahpun wujud bersama-sama dengan kewujudan kesultanan Brunei. Pada mulanya, semua penduduk Brunei hanya lebih dikenali sebagai ‘Melayu’ dan tidak mempunyai suku kaum yang dipanggil atau dikenali sebagai Kedayan ketika sebelum wujudnya kesultanan Brunei ketika itu. Disebabkan dengan tempat tinggal yang dipunyai oleh dua kelompok yang berbeza dan berasingan, iaitu yang tinggal di pesisiran pantai dan kuala sungai bekerja sebagai nelayan. Kelompok yang satu lagi mendiami di satu kawasan pendalaman dan bekerja sebagai petani dan pesawah. Mungkin ada kebenarannya kerana kehidupan tradisi masyarakat Kedayan adalah bergantung kepada kegiatan-kegiatan ekonomi tradisional seperti mengusahakan sesuatu bagi memperolehi keperluan mereka sehari-hari. Berbanding dengan kehidupan masyarakat Kedayan ketika ini (sekarang/ moden) jauh berubah. Masyarakat Kedayan sekarang ini lebih banyak bergantung atau bekerja dengan Kerajaan dan juga dalam sektor swasta. Jika adapun, masyarakat Kedayan yang masih melakukan aktiviti seperti bertanam hanyalah orang-orang tua yang hanya untuk mengisi masa lapang dan untuk keperluan mereka sahaja. Corak kehidupan tradisi masyarakat Kedayan mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan kegiatan pertanian. Kegiatan pertanian atau bidang pertanian ini dijadikan sebagai sumber yang utama bagi kehidupan puak Melayu Kedayan ketika itu. Disebabkan dengan kesuburan tanah di sesuatu tempat, puak Melayu Kedayan akan

82

PROSIDING SETALING II

cuba mencari tempat atau tanah-tanah yang subur bagi tujuan tersebut (pertanian). Secara tidak langsung kehidupan tradisi puak Kedayan ini adalah suka berpindah-pindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain pada masa yang singkat. Ini dapat dibuktikan dan dapat dilihat daripada Report on Brunei (1904)2, menyebutkan “... the Kadayans are by nature a wandering tribe,who make no long stay in any place...” Daripada pandangan sudut linguistik pula, ada beberapa pendapat daripada pengkaji-pengkaji bahasa yang telah mencuba dalam mencari mengenai dengan kekerabatan bahasa Kedayan dengan bahasa-bahasa lain di Negara ini. Menurut Mangantar Simanjuntak (1987)3, bahawa dialek Kedayan adalah salah satu subdialek kepada bahasa Melayu Brunei di samping subdialek Kampong Ayer dan subdialek Bandar Seri Begawan. Manakala ada seorang pengkaji yang telah menggunakan perkiraan Glotokronologi dalam linguistik Sejarah, iaitu Paitoon Masmintra Chaiyanara (1991)4 telah mendapati bahawa waktu pemisah dialek Kampong Ayer dengan dialek Kedayan adalah dalam jangka masa 208 hingga 108 tahun yang lalu iaitu dalam abad ke19. Dengan yang demikian, dapat diandaikan bahawa dialek Kedayan dan dialek Kampong Ayer itu berasal daripada satu dialek. Ini bermakna bahawa penutur kedua-dua dialek tersebut adalah berasal dari satu tempat yang sama iaitu, di kawasan pesisir sungai. Disebabkan dengan perpindahan satu kelompok ke darat, lama kelamaan terbentuklah dua dialek yang berlainan, iaitu dialek Kampong Ayer (dialek Melayu Brunei) dan Dialek Kedayan.

2 3

4

Pusaka. Bil 11. 2004. Puak Kedayan di Kampong Lamunin. Ms.45-54 Yusuf Hj Mohmad. 1993/1994. Sistem Panggilan Tradisional Masyarakat Kedayan Temburong. Latihan Ilmiah. JBML, FASS: Universiti Brunei Darussalam. Hlmn. 21. (selepas ini, Yusuf Hj Mohmad. 1993/1994. Hlmn.) Yusuf Hj Mohmad. 1993/1994. Hlmn. 21.

83

PROSIDING SETALING II

Walau yang demikian, pendapat-pendapat di atas masih lagi dalam keadaan yang samar-samar bagi memperkatakan tentang asal usul orang Kedayan. Diharabkan kajian yang lebih terperinci akan terus dijalankan bagi mendapatkan hasil yang lebih meyakinkan. SISTEM PANGGILAN DAN BENTUK PANGGILAN DALAM BAHASA MELAYU Menurut Amat Juhari Moain (1989;2), bahawa sistem sapaan dan sistem panggilan adalah selaras dengan keadaan masyarakat Melayu yang mempunyai beberapa ciri dan juga sifat yang tersendiri dalam susun lapis masyarakat yang terdiri yang membezakannya dengan masyarakat yang lain. Berdasarkan sistem sapaan inilah seseorang itu akan tahu menentukan kata sapaan yang sesuai mengikut kedudukan, usia, pangkat serta gelaran yang mencerminkan tentang kehidupan masyarakat Melayu. Ada yang mengatakan bahawa sistem panggilan mempunyai hubungan di antara penggunaan bahasa Melayu dengan kebudayaan masyarakat Melayu. Dari segi kebudayaan masyarakat Melayu penggunaan sistem panggilan ini mencerminkan kedudukan sosial seseorang dengan orang yang di sapa dengan orang yang menyapa. Dalam setiap subgolongan dalam masyarakat Melayu terdapat suatu sistem panggilan yang tertentu5, penggunaan sistem panggilan tersebut adalah bagi berhubung anatara anggota dalam masyarakatnya seperti sesama keluarga, kaum kerabat, rakan sejawat, ahli politik dan sebagainya. Bahasa Melayu mempunyai pelbagai bentuk panggilan seperti, kata ganti nama dan nama yang melambangkan jenis perhubungan dan juga perbezaan jantina di antara orang yang

5

Sumalee Nimmanupap. 1994. Sistem Panggilan Dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Thai: Suatu Analisis Sosiolinguistik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlmn. 41. (Selepas ini, Sumalee. 1994)

84

PROSIDING SETALING II

menyapa dan orang yang disapa. Bentuk panggilan dalam bahasa Melayu terdiri daripada6, (i) (ii) (iii) (iv) (v) (vi) Nama peribadi Kata ganti nama diri ke II Nama panggilan Kekeluargaan Bentuk Sapaan Rujukan Kehormat Gelaran

(i) Nama Peribadi Nama peribadi termasuk nama timangan dan nama pendek seperti ‘Waz’ bagi Wazira dan sebagainya. Nama peribadi ini digunakan sebagai ganti kepada kata ganti nama di antara orang yang setaraf, orang yang dikenali, mempunyai hubungan yang rapat dan orang yang berstatus tinggi kepada orang yang berstatus rendah. Di samping itu, penggunaan nama peribadi ini juga digunakan oleh anggota keluarga dan sahabat handai bagi menunjukkan hubungan yang akrab dengan orang yang di sapa. Mereka lebih sering menggunakan nama timangan atau nama pendek daripada nama yang sebenar atau nama peribadi yang lengkap. (ii) Kata ganti nama diri ke II Kata ganti nama berfungsi bagi memudahkan perhubungan dalam perbualan. Dalam penggunaan kata ganti nama ini haruslah diteliti terlebih dahulu sama ada penggunaan kata ganti nama diri itu betul atau salah. Jika penggunaannya salah, ianya akan menimbulkan kesalah fahaman kepada orang yang diajak berbicara atau berkomunikasi. Menurut Nik Safiah Karim (1989;103), bentuk ganti nama dalam bahasa Melayu mempunyai dua jenis, iaitu (a) kata ganti nama diri II7 yang digunakan dikalangan orang biasa sama ada kepada golongan diraja. (b) KGND II yang digunakan oleh orang biasa.

6 7

Sumalee. 1994. Hlmn. 42. Selepas ini KGND II.

85

PROSIDING SETALING II

(a) KGND II (digunakan dikalangan diraja) KGND II yang digunakan dikalangan raja adalah seperti kekanda, adinda, ayahanda, bonda, anakanda. Sebagai contoh, ‘patik/hamba’ digunakan oleh rakyat biasa untuk merujuk dirinya apabila bertutur dengan raja. ‘beta’ digunakan oleh raja sebagai kata ganti diri pertama apabila bertutur dengan rakyatnya. (b) KGND II (digunakan oleh orang biasa) KGND II yang digunakan oleh orang biasa terbahagi kepada empat subgolongan, iaitu bentuk halus (hormat), bentuk kasar (intim), bentuk neutral dan bentuk dialek. 1) Bentuk halus (hormat) KGND II yang berbentuk halus (hormat) ialah seperti tuan, puan, encik, cik. Tuan merujuk kepada orang lelaki yang lebih tinggi taraf, umur dan statusnya. Puan merujuk kepada orang perempuan yang sudah kahwin atau yang dimuliakan, encik merujuk kepada orang lelaki yang sama umur, taraf, status, lebih muda dan dimuliakan, cik merujuk kepada orang perempuan yang belum berkahwin atau lebih muda dan dimuliakan. 2) Bentuk Kasar (intim) KGND II yang berbentuk kasar atau intim ialah seperti kamu/mu, engkau/kau dan awak. Menurut Noor Azlina (1975)8 kamu/mu adalah bentuk yang paling kasar dan awak adalah bentuk yang paling halus dan kadang-kadang awak dianggap sebagai bentuk neutral. Penggunaan KGND II yang berbentuk kasar ini sering digunakan apabila berinteraksi atau berkomunikasi dengan sahabat
8

Dalam Sumalee Nimmanupap. 1994. Sistem Panggilan Dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Thai: Suatu Analisis Sosiolinguistik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlmn. 44. (Selepas ini, Sumalee. 1994)

86

PROSIDING SETALING II

handai, kawan karib, orang yang sebaya dan setaraf. Bentuk kasar ini juga digunakan oleh orang yang lebih tua dan tinggi tarafnya kepada orang yang lebih muda dan rendah tarafnya. 3) Bentuk Neutral KGND II yang berbentuk neutral digunakan dalam suasana dan keadaan formal, seperti anda, saudara, saudari dan sebagainya. Menurut Noor Azlina (1975)9, ‘anda’ dikenali sebagai bentuk yang setanding dengan ‘you’ dalam bahasa Inggeris yang dapat digunakan kepada seseorang yang lebih tinggi atau rendah kedudukannya. Manakala ‘saudara atau saudari’ digunakan oleh pensyarah bagi menyapa pelajarnya tetapi tidak pula sebaliknya. (iii) Nama panggilan kekeluargaan Menurut Noor Azlina (1975)10, nama panggilan kekeluargaan sememangnya ada banyak yang digunakan dalam Bahasa Melayu sebagai ganti kata ganti nama. (iv) Bentuk sapaan Bentuk sapaan ialah nama yang digunakan bagi merujuk kepada seseorang yang berstatus lebih tinggi atau rendah. Bentuk sapaan ini juga boleh dijadikan sebagai tambahan kepada nama panggilan kekeluargaan sama ada oleh orang yang menyapa atau orang yang disapa. Di samping itu juga, bentuk sapaan dalam bahasa Melayu dapat dikelompokkan berdasarkan jenis-jenisnya, iaitu situasi, kekeluargaan, jenis jantina, status sosial, asal, generasi dan sikap. (v) Rujukan kehormat Rujukan kehormat adalah seperti ‘Kebawah Duli Yang Maha Mulia’, ‘Paduka Seri Baginda’, ‘Yang Teramat Mulia’ dan sebagainya.
9 10

Sumalee. 1994. Hlmn. 44. Sumalee. 1994. Hlmn. 45.

87

PROSIDING SETALING II

(vi) Gelaran Gelaran adalah gelaran warisan atau gelaran turun temurun yang merupakan gelaran yang dipusakai dari satu generasi ke satu generasi. Rangkai kata yang digunakan oleh orang kebanyakan apabila bertutur dengan raja. KATA SAPAAN Kata sapaan atau bentuk sapaan yang terdapat dalam sistem panggilan bahasa Melayu akan menjadi tumpuan dalam kertas kerja ini. Kata sapaan seringkali dipanggil atau lebih dikenali sebagai kata panggilan. Kata sapaan ialah sebagai kata yang digunakan bagi menyapa seseorang. Selain itu kata sapaan ini juga digunakan ketika berkomunikasi dan dijadikan sebagai salah satu cara bagi menghormati seseorang yang diajak berbicara dan selain itu juga ianya dianggap bagi mengeratkan tali kekeluargaan dan persahabatan diantara mereka. Jika diteliti sebenarnya kata sapaan dan kata ganti nama mempunyai hubungan dan juga fungsi yang seakan-akan sama. Menurut Nor Hashimah Jalaluddin (1992; 42), bahawa bahasa Melayu mempunyai satu kelas kata yang lebih dikenali sebagai kata panggilan yang mempunyai fungsi yang sama dengan kata ganti nama, tetapi yang membezakannya hanyalah penggunaannya yang terhad. Beliau juga berpendapat bahawa kata panggilan itu juga sama maknanya dengan kata sapa yang digunakan kepada seseorang yang dipanggil sama ada dalam situasi formal ataupun tidak formal. Menurut Amat Juhari Moain (1989;10), bahawa kata sapaan dan bentuk sapaan dapat memanifestasikan status atau taraf dan kedudukan seseorang individu dalam hierarki sosial masyarakat yang dianggotainya. Beliau juga berpendapat bahawa masyarakat Melayu mempunyai suatu sistem sapaan dan panggilan yang tertentu. Sistem sapaan dan panggilan itu terdapat dalam hubungan antara anggotaanggota lingkungan keluarga, kaum kerabat, persanakan dan seterusnya dalam hubungan dengan masyarakat yang lebih

88

PROSIDING SETALING II

besar11. Menurut Amat Juhari Moain (1989;2) lagi, istilah sapaan ini tidak boleh digunakan sesuka hati ataupun sewenangwenangnya. Ini kerana kata sapaan atau istilah sapaan itu digunakan mengikut urutan yang tertentu, iaitu urutan dari segi hubungan kekeluargaan, usia, kedudukan, pangkat serta gelaran yang selaras dengan kehidupan masyarakat melayu. Ini dapat dilihat, bahawa dengan menggunakan istilah sapaan dengan betul dan baik, seseorang itu akan dapat menunjukkan rasa hormat dan dihormati sesama mereka, mempunyai budi pekerti yang baik dan beradab sopan, di samping mengeratkan lagi tali silaturrahim sesama mereka. Dalam konteks Negara Brunei Darussalam, sapaan adalah salah satu cara untuk memulakan komunikasi atau perbualan. Sapaan juga berperanan sebagai kata yang pertama diujarkan kepada orang yang diajak berbicara. Kegunaan sapaan adalah bagi menegur seseorang yang dikenali (sudah dikenali) ataupun belum lagi dikenali. Secara tidak langsung, kata sapaan digunakan dalam komunikasi seharian di negara ini disamping dijadikan sebagai kata yang merujuk kepada seorang individu yang diajak atau dibawa berbicara dan menujukan sapaannya kepada seseorang. Ada yang mengatakan kata sapaan adalah sebagai kata bagi menyapa ataupun bagi memulakan percakapan. Jika dilihat dalam konteks ini, kata sapaan ‘kau’ digunakan apabila seseorang individu itu telah memulakan percakapan atau komunikasi dengan seseorang dan merujuk orang yang dibawa berbicara itu kepada kata ‘kau’. Kata sapaan dianggap oleh puak Melayu Kedayan sebagai nilai kebudayaan yang harus ada pada setiap penutur dan juga ianya merupakan sebagai satu identiti bagi masyarakat Kedayan. Puak Melayu Kedayan dan puak-puak etnik yang lain mempunyai sistem panggilan atau kata sapaan tradisional mereka yang tersendiri. Walau yang demikian, sejajar dengan arus pemodenan di zaman yang serba canggih ini, sistem panggilan tradisi atau kata sapaan tradisional setiap puak etnik di negara ini telah mengalami arus perubahan yang amat ketara sekali. Ianya
11

Amat Juhari Moain. 1989. Sistem Panggilan Dalam Bahasa Melayu: Suatu Analisis Sosiolinguistik. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur. Hlmn:1

89

PROSIDING SETALING II

disebabkan oleh beberapa faktor tertentu dalam berubahnya kata sapaan tradisional tersebut. Begitu juga dalam konteks puak Melayu Kedayan tradisional mempunyai kata sapaan ‘kau’ yang merujuk kepada seseorang yang diajak berbicara atau bertutur. Berbanding pada masa sekarang ini, kata sapaan ‘kau’ sudah jarang digunakan oleh penutur dialek Melayu Kedayan bagi merujuk seseorang yang lebih tua daripadanya. Bagi masyarakat Kedayan tradisional penggunaan kata sapaan ‘kau’ pada seseorang tidak mendatangkan sebarang kesalahfahaman jika orang yang diajak berbicara itu mempunyai kedudukan atau status yang lebih tinggi, lebih tua (ibu bapa, orang tua-tua, bapa saudara dan sebagainya), hubungan antara penutur dan yang diajak bertutur dan seterusnya. Bagi masyarakat Kedayan ketika itu, kata sapaan ‘kau’ itu hanyalah sebagai alat bagi menegur seseorang. Ini tidak bermakna bahawa masyarakat Kedayan tradisional tidak mengetahui adat atau adab sopan ketika berbicara dengan orang yang lebih tua dari mereka, akan tetapi dalam budaya masyarakat Kedayan kata sapaan ‘kau’ itu dapat melihatkan hubungan yang akrab di antara penutur dan yang diajak bertutur. Bagi masyarakat Kedayan hubungan kekeluargaan ini tidak terhad dan bukan hanya di rumah sahaja tetapi juga di luar rumah dan di mana-mana sahaja mereka berada. Dalam era pembangunan ketika ini, sikap dan pemikiran puak Melayu Kedayan lebih bersikap terbuka (open minded). Masyarakat atau puak Melayu Kedayan juga dapat menerima perubahan arus pemodenan sama ada dari segi budaya, ekonomi dan sosial. Begitu juga dalam komunikasi harian mereka, seperti dalam penggunaan kata sapaan. Walaupun masyarakat Kedayan tradisional seringkali menggunakan kata sapaan ‘kau’ dalam komunikasi harian mereka tetapi pada masa era globlalisasi ini, masyarakat Kedayan juga menerima perubahan dalam penggunaan kata sapaan ‘kau’ kepada ‘kita’. Ini adalah bagi menghormati kepada orang yang disapa mengikut status dan kedudukan yang bersesuaian dengannya. Dengan menguasai beberapa bahasa seperti bahasa Melayu Standard (baku), dialek (bahasa ibunda), bahasa Inggeris dan sebagainya, seseorang itu boleh dianggap sebagai ‘Multibahasa/ multilingual’. Berkemungkinan disebabkan

90

PROSIDING SETALING II

dengan penguasaan beberapa bahasa boleh menyebabkan penggunaan kata sapaan ‘kau’ itu bertukar kepada ‘kita’ dan seterusnya berubah kepada bahasa Inggeris, iaitu ‘you’. Penggunaan bahasa Inggeris sekarang ini semakin menular dan sering digunakan oleh generasi muda dalam komunikasi seharian mereka. Generasi muda ketika ini jarang sekali menggunakan dialek mereka ketika mereka berkomunikasi sesama sendiri, sama ada sahabat handai, ahli keluarga dan sebagaimya. Tidak dinafikan bahawa dengan menguasai beberapa bahasa oleh seseorang itu dapat membantu mereka berkomunikasi dengan beberapa bahasa yang lain, akan tetapi disebabkan penguasaan itu juga seseorang itu kadang-kadang alpa dalam penggunaan kata sapaan yang tradisional bagi setiap etnik yang terdapat di negara ini. Akan tetapi dengan menguasai tiga bahasa itu juga, iaitu bahasa Melayu Standard, dialek Melayu Kedayan dan bahasa Inggeris. Seseorang penutur itu, tahu bila masa yang sesuai dalam menggunakan ketiga-tiga bahasa tersebut ketika berkomunikasi dengan orang –orang tertentu sama ada rakan-rakan sepejabat, sahabat handai, ahli keluarga seperti adik beradik, ibu saudara, ayah, ibu, abang dan adik. KATA SAPAAN YANG TERDAPAT DALAM DIALEK MELAYU KEDAYAN Kata sapaan ‘kau’ dalam masyarakat Kedayan tradisional digunakan tidak mengira peringkat umur ketika masyarakat tersebut berkomunikasi. Secara tradisi faktor umur tidak menghalang bagi seseorang itu menggunakan kata sapaan ‘kau’ yang merujuk kepada orang yang lebih tua. Bagi masyarakat Kedayan tradisional, penggunaan kata sapaan ‘kau’ dalam komunikasi seharian mereka adalah sebagai kata yang digunakan sehari-hari dalam perbualan mereka. Penggunaan kata sapaan ‘kau’ bagi masyarakat Kedayan tradisional tidak dilihat dari segi maknanya, bahkan masyarakat Kedayan melihat kata sapaan ‘kau’ sebagai keakraban antara yang berbicara dan yang diajak berbicara. Walau yang demikian, dalam berkomunikasi masyarakat Kedayan juga menjaga intonasi (nada suara) ketika mereka berbicara atau berbual. Bagi masyarakat Kedayan tradisi penggunaan kata sapaan ‘kau’ ini tidak terhad, sama ada orang

91

PROSIDING SETALING II

yang mempunyai kedudukan tinggi, orang yang lebih tua, berpendidikan atau sebagainya. Jika diperhatikan dalam komunikasi puak Melayu Kedayan, penggunaan kata sapaan ‘kau’ digunakan kepada orang yang diajak berbicara sama ada orang itu dari lingkungan keluarga terdekat mahupun sahabat handai. Tidak ketinggalan juga orang yang baru dikenali, mereka akan menggunakan kata sapaan ‘kau’ ini di dalam perbualan mereka. Bagi puak Melayu Kedayan, penggunaan kata sapaan ‘kau’ melihatkan keakraban antara satu sama lain. Dengan yang demikian, bagi melancarkan perbualan antara keduanya mereka lebih selesa menggunakan kata yang terdapat dalam dialek Melayu Kedayan itu tanpa melihat latar belakang dan status orang yang dibawa bicara. Zaman taradisi orang Melayu Kedayan, mereka menggunakan kata sapaan ‘kau’ kepada orang tua (ibu bapa). Sebagai contoh, 1. a) “Pa kan kemana kau ?” kata anak kepada bapanya. b) “kau ni ma makan sudah?” si anak bertanya kepada ibunya.

Contoh di atas melihatkan bahawa penggunaan kata sapaan ‘kau’ juga digunakan apabila si anak berinteraksi dengan kedua ibu bapanya. Bagi masyarakat Kedayan, penggunaan kata ‘kau’ tidak mengira siapa yang diajak berbicara. Bagi mereka dengan menggunakan kata ‘kau’ kepada orang yang dirujuk itu dapat mengeratkan silaturahim sesama mereka dan melihatkan keakraban antara keduanya walaupun keduanya baru mengenali antara satu sama lain. Mengikut adat puak Melayu Kedayan, penggunaan kata sapaan ‘kau’ ini tidak mendatangkan sikap yang negartif atau kurang sopan kepada orang yang lebih tua daripada mereka. Dalam penggunaan kata sapan ‘kau’ ini kepada orang yang diajak berbicara, sedikit sebanyak dapat melihatkan bahawa seseorang itu memberikan kepercayaan ketika komunikasi itu berlaku. PENGGUNAAN ‘KAU’ PADA MASA INI Di zaman yang serba canggih ini, ada juga masyarakat Kedayan yang masih lagi mempraktikkan atau mengekalkan penggunaan

92

PROSIDING SETALING II

kata sapaan ‘kau’ ini akan tetapi hanya pada lingkungan keluarga sahaja. Apabila mereka berkomunikasi dengan orang yang tidak dikenali, mereka akan menggunakan kata sapaan yang lebih hormat mengikut status orang yang diajak berbicara itu. Oleh itu, di zaman yang menuju kepada era kemodenan ini, telah menunjukkan bahawa sesebuah bangsa itu cepat terpengaruh dengan kebudayaan pada bangsa yang mempunyai kuasa yang besar seperti di Barat. Disebabkan keadaan inilah pengguna bahasa sering terpengaruh dengan bahasa asing. Dengan yang demikian, tidak terkecuali dalam penggunaan kata sapaan ‘kau’ yang semakin pudar digunakan oleh generasi muda bagi merujuk kepada orang yang lebih tua daripada mereka. Penggunaan kata sapaan ‘kau’ pada masa ini lebih tertumpu kepada penggunaan sebagai kata sapaan kepada kawankawan dan orang yang lebih muda dengan si penutur. Penggunaan kata sapaan ‘kau’ lebih terhad digunakan atau tidak digunakan kepada orang yang lebih tua, berkedudukan, berpendidikan dan sebagainya. Jika ingin merujuk kepada orang yang lebih tua kata sapaan seperti ‘biskita’, ‘kita’, ‘awda’, ‘anda’ dan sebagainya akan digunakan. Penggunaan kata sapaan ‘kau’ tidak lagi begitu meluas digunakan bagi merujuk kepada orang yang lebih tua. Penggunaan kata ‘kau’ ini hanya dijadikan sebagai kata yang merujuk kepada orang yang sebaya dengan orang yang menegur, kawan-kawan, adik beradik, orang yang lebih muda dan sebagainya. Jika sekiranya seseorang (si Penyapa/ si A) itu baru mengenali seseorang (orang yang disapa/ si B), pada mula perbicaraan itu kata sapaan yang seringkali digunakan oleh si A ialah ‘biskita’ (budaya masyarakat Brunei) dan ‘kita’. Ini adalah bagi melihatkan rasa hormat kepada si B kerana belum mengenali antara satu sama lain. Berbanding jika seseorang itu sudah lama mengenali antara satu sama lain, barulah kata ‘kau’ akan digunakan. Berbanding penggunaan kata sapaan ‘kau’ pada masa sekarang, penggunaan kata sapaan ‘kau’ dilihat dari segi maknanya yang melihatkan ketidak sopanan dalam merujuk kepada orang yang lebih tua atau yang baru dikenali. Jika seseorang itu seringkali menggunakan kata ‘you’ bagi merujuk kepada seseorang, apabila mereka mencuba berbahasa Melayu

93

PROSIDING SETALING II

penggunaan kata ‘you’ itu dilakukan terus atau ditafsirkan kepada kata ‘kau’ ketika mereka berkomunikasi. Dengan yang demikian, ini menunjukkan bahawa penggunaan kata ‘kau’ itu mereka akan menggunakan secara meluas kepada sesiapa sahaja yang mereka ajak berbicara. Dalam hal ini, kadang-kadang orang yang mendengar atau orang yang diajak berbicara itu akan merasa tersinggung kerana merasa bahawa orang yang berbicara itu tidak menghormatinya dan sebagainya. Menurut Nik Safiah (1981), bentuk ‘you’ dan ‘I’ dalam masyarakat Melayu amat tinggi penggunaannya pada masa ini. Pada pendapat beliau penggunaan ‘you’ dan ‘I’ akan digunakan apabila seseorang itu memulakan perbualan atau komunikasi kepada pihak atau orang yang diajak berbicara yang belum lagi dikenali antara satu sama lain dan ketika itu juga sebagai satu proses menentukan kedudukan masing-masing. Dengan yang demikian, ketika ini orang yang baru dikenali sedaya upaya akan menenliti seseorang itu dengan terperinci. Oleh itu, penggunaan kata sapaan yang lebih baik akan digunakan bagi memberikan tindak balas yang baik dalam berkomunikasi. Jika sekiranya penggunaan kata sapaan ‘kau’ digunakan ketika berkomunikasi dengan orang yang baru dikenali, berkemungkinan orang tersebut akan menganggap bahawa orang yang memulakan bicara itu tidak tahu mengenai adap sopan ketika berkomunikasi. Walau yang demikian, tidak dapat dinafikan bahawa puak Melayu Kedayan yang mempunyai pendidikan yang tinggi kadang-kadang masih lagi menggunakan kata sapaan ‘kau’ itu kepada orang tuanya ataupun ahli keluarganya tetapi tidak kepada orang lain yang baru dikenalinya. FAKTOR PERUBAHAN KATA SAPAAN ‘KAU’ Masyarakat Kedayan juga telah mengalami banyak perubahan dalam kehidupan mereka, tidak ketinggalan juga dalam dialek seharian yang seringkali mereka gunakan ketika berkomunikasi sesama sendiri. Sebahagaian besar masyarakat Melayu telah mengalami perubahan yang amat besar. Ini adalah disebabkan dengan pertembungan dari luar terutamanya dari dunia barat. Dengan yang demikian, boleh dikatakan bahawa masyarakat Melayu Kedayan dapat menerima perubahan-perubahan yang telah dibawa dari luar (arus pemodenan), walaupun perubahan

94

PROSIDING SETALING II

tersebut masih lagi dianggap baru oleh mereka. Oleh disebabkan itulah kata sapaan ‘kau’ mengalami perubahan yang amat ketara pada ketika ini. Ada beberapa faktor yang menyebabkan berubahnya kata sapaan ‘kau’, faktor pertama ialah disebabkan oleh perkahwinan campur. Maksudnya ialah perkahwinan di antara orang Kedayan dengan puak atau penutur dialek yang lain. Perkahwinan campur ini sering terjadi, kesan dari perkahwinan ini menjadikannya sebagai punca penyebab hilangnya salah satu identiti masyarakat Kedayan, iaitu loghat atau dialek Kedayan. Anak yang dilahirkan dari kahwin campur, kadangkadang tidak lagi mengenal dialek yang dituturkan oleh ibu bapanya. Kanak-kanak tersebut lebih cenderung menggunakan bahasa Melayu Standard atau bahasa Inggeris apabila bertutur. Apabila kanak-kanak itu menerima pendidikan di sekolah dan telah mengetahui mengenai dengan tatabahasa bahasa Melayu dan sudah diterangkan mengenai dengan penggunaan kata ganti nama diri pertama, diri kedua dan ketika. kanak-kanak itu akan merasa bahawa penggunaan kata sapaan ‘kau’ yang digunakan atau didengarnya daripada puak Melayu Kedayan tidak sesuai digunakan dan menganggap bahawa kata sapaan tersebut sebagai kata yang kurang sopan. Faktor kedua ialah pendidikan. Atas kesedaran mengenai dengan kepentingan pendidikan bagi anak-anak, masyarakat Kedayan juga tidak ketinggalan bagi memberikan pendidikan yang tinggi kepada anak-anak mereka. Anak-anak telah dihantar ke sekolah bagi menimba ilmu pengetahuan yang amat berguna suatu masa kelas di samping dapat mengubah kehidupan mereka sebelum ini yang hanya mengharapkan kepada bercucuk tanam sahaja. Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, pendidikan juga menjadi punca utama mengapa kata sapaan ‘kau’ boleh berubah. Dalam pendidikan ini ada dua sebab mengapa ianya dijadikan sebab mengapa perubahan kata sapaan ‘kau’ ini berubah. Sebab yang pertama dianggap sebagai satu kesan yang positif kerana disebabkan dengan pendidikan yang diberikan seseorang itu akan merasa penggunaan kata ‘kau’ itu tidak sesuai digunakan atau tidak sesuai bagi merujuk kepada seseorang yang berstatus tinggi, mempunyai kedudukan, lebih tua dan perlu dihormati. Oleh itu, bagi memenuhi adat resam dan budaya

95

PROSIDING SETALING II

masyarakat Melayu penggunaan kata ‘kau’ itu berubah kepada yang lebih hormat bagi merujuk orang-orang yang perlu dihormati seperti, orang tua-tua, guru, Sultan dan sebagainya. Dengan adanya pendidikan seseorang itu tahu membezakan kebaikan dan keburukan sesuatu kata yang digunakan. Sebab yang kedua pula, dengan adanya bahasa asing atau pengaruh bahasa Inggeris, seseorang itu akan merasa keliru dalam menggunakan sesuatu kata dalam mereka berkomunikasi. Ianya seperti seorang kanak-kanak yang lebih terdedah kepada bahasa Inggeris akan keliru apabila menggunakan kata dalam bahasa Melayu. Mereka tidak tahu membezakan dalam menggunakan kata ‘kau’, bagi mereka kata ‘kau’ itu sama sahaja dengan kata ‘you’ dalam bahasa Inggeris. Sedangkan dalam bahasa Inggeris penggunaan kata ‘you’ digunakan kepada sesiapa sahaja yang mereka bawa berbicara. Apabila dalam bahasa Melayu mereka akan menafsirkan kata ‘you’ itu kepada ‘kau’ tanpa mengira dengan siapa mereka berkomunikasi atau bercakap. Kanak-kanak tersebut tidak dapat disalahkan kerana dengan mengetahui sistem bahasa Inggeris yang baik, mereka akan alpa dalam sistem bahasa melayu. Disebabkan pendidikan sebeginilah akan diapandang kepada negatif oleh masyarakat luar. Dalam menimba ilmu di sekolah, ibu bapa yang mempunyai pendidikan tinggi ketika ini lebih gemar mengajar dan memberikan pendidikan kepada anak-anak mereka berbahasa Inggeris sejak kecil lagi. Sementara itu, di samping dari bahasa Inggeris di sekolah juga akan menggunakan bahasa Melayu Standard (baku) dalam pengajaran yang disampaikan oleh guru di bilik-bilik darjah. Faktor ketiga ialah pengaruh bahasa asing seperti bahasa Inggeris. Generasi muda sekarang ini, lebih suka menggunakan bahasa asing bagi melihatkan bahawa mereka menerima kemajuan. Dengan yang demikian, dialek asli mereka tidak akan dipraktikkan apa lagi hendak melihatkan bahawa mereka adalah anak jati pada sesebuah dialek itu. Kadang-kadang orang akan terperanjat apabila mengetahui bahawa sebenarnya orang yang menggunakan bahasa asing itu adalah sebenarnya orang yang terdiri daripada puak atau masyarakat jati Melayu Kedayan itu sendiri. Disebabkan dengan terpengaruh daripada bahasa asing

96

PROSIDING SETALING II

dan malu hendak mengakui bahawa dia adalah dari puak Melayu Kedayan, maka dialek asli itu akan tersisih begitu sahaja. Faktor keempat ialah disebabkan dengan pengaruh sekeliling. Maksudnya adalah disebabkan dengan keadaan sekeliling yang dikelilingi oleh puak-puak lain seperti puak Melayu Brunei, Tutong dan sebagainya berada di satu tempat yang menjadikan kepada pengaruh pada penggunaan kata sapaan ‘kau’ oleh puak Melayu Kedayan semakin berubah atau terpengaruh dengan dialek yang lebih besar (majoriti atau superstatum). Dengan kedatangan puak Melayu Brunei pindah ke darat dan bersatu disatu tempat akan menyebarkan pengaruh yang kuat pada masyarakat Kedayan yang semakin berkurangan pada masa ini. Sebagai contoh, satu tempat di Negara Brunei Darussalam ini ialah Rumah Perpindahan Lambak kanan, tempat tersebut majoritinya dihuni atau diduduki oleh puak Melayu Brunei yang berpindah ke darat disebabkan suatu bencana dan sebagainya. Dengan yang demikian, apabila masyarakat Kedayan bergaul dengan puak-puak yang terdapat di tempat tersebut, lama kelamaan mereka akan terpengaruh dengan pergaulan seharian yang mereka dengar. Jadi tidak hairanlah, jika ketika ini penggunaan kata sapaan ‘kau’ telah berubah kepada ‘kita’. Faktor yang kelima ialah mempunyai pendidikan yang tinggi. Ada sesetengah masyarakat cuba menyembunyikan identiti sebenarnya semata-matu malu mengakui bahawa dirinya adalah dari puak Melayu Kedayan. Mereka akan cuba menggunakan dialek lain ataupun bahasa Melayu Baku (Standard) apabila berkomunikasi dengan orang lain. Ini adalah bagi menjaga status mereka yang mempunyai kedudukan yang tinggi ataupun berpelajaran tinggi. Mereka merasa malu untuk mengakui dialek Melayu Kedayan itu adalah dialek mereka. KESIMPULAN Masyarakat Kedayan adalah salah satu penduduk atau rakyat jati Negara Brunei Darussalam. Puak Melayu Kedayan dianggap sebagai salah satu etnik melayu yang terdapat di negara ini. Dialek Melayu Kedayan adalah dialek yang digunakan oleh puak Kedayan, walaupun ada sebilangan puak Melayu Kedayan apabila berkahwin dengan puak lain akan menggunakan bahasa

97

PROSIDING SETALING II

Melayu Brunei (Dialek Melayu Brunei) ketika berkomunikasi dengan pasangannya mahupun dengan anak-anak mereka. Generasi muda sekarang ini lebih suka menggunakan kata-kata atau kata sapaan dari bahasa asing seperti bahasa Inggeris. Bagi penggunaan kata sapaan yang seringkali didengar ialah ‘I’, ‘you’, ‘me’ dan ‘we’ adalah kata-kata yang selalu digunakan oleh remaja pada masa ini. Bagi generasi muda sekarang ini, kata sapaan tidak lagi dititik beratkan kadangkadang bagi mengambil jalan mudah mereka seringkali mengunakan bahasa asing bagi merujuk kepada seseorang yang diajak berbicara. Tidak hairanlah jika penggunaan kata sapaan ‘kau’ seringkali hanya digunakan pada mereka yang sebaya (seumur) atau yang lebih muda daripada mereka. Dapat dilihat bahawa pada masa ini, kanak-kanak yang fasih berbahasa asing atau menggunakan bahasa asing seperti bahasa Inggeris tidak dapat memahami dalam penggunaan kata sapaan bahasa Melayu. Mereka seringkali merasa keliru apabila menggunakan kata sapaan dalam bahasa Melayu. Sebagai contoh, ketika mereka berkomunikasi dalam bahasa Inggeris mereka bebas menggunakan kata ‘you’ kepada sesiapa sahaja sama ada orang yang lebih tua, sebaya dan juga yang muda. Sebenarnya penggunaan kata sapaan ‘kau’ ini sememangnya tidak lagi sesuai digunakan pada masa sekarang. Ini kerana penggunaan kata sapaan ‘kau’ apabila merujuk kepada orang yang lebih tua daripada si penutur, ianya akan menampakkan kekurang sopanan bagi oarang yang di sapa. Jika dilihat dari segi pendidikan pula sememangnya telah dididik oleh guru-guru bahawa penggunaan kata sapaan ‘kau’ tidak sesuai digunakan kepada orang yang lebih tua. Apa lagi jika sekiranya orang itu mempunyai gelaran seperti Dato, Pehin dan seumpamanya. Ini akan mendatangkan kemarahan atau hina bagi orang yang disapa itu. Tidak dinafikan bahawa dalam dialek Melayu Kedayan, penggunaan kata sapaan ‘kau’ itu hanyalah sebagai sapaan dan bukan bermaksud untuk membeza-bezakan kata yang sopan ataupun sebaliknya. Lagi pula berkemungkinan dalam dialek Melayu Kedayan penggunaan kata sapaan ‘kau’ itu hanyalah sebagi identiti atau trademark orang Kedayan kepada orang yang rapat dengan mereka. Walau yang demikian, diharab penutur dialek Melayu Kedayan masih lagi akan mengekalkan

98

PROSIDING SETALING II

penggunaan kata sapaan ‘kau’. Walaupun ketika ini arus pemodenan sudah begitu maju tetapi penutur dialek Melayu Kedayan seharusnya cuba mengenalkan kepada anak-anak mereka (generasi baru) tentang penggunaan kata sapaan ‘kau’, di samping mengenalkan penggunaan yang betul dalam sistem panggilan bahasa Melayu.Seperti yang telah diketahui, walaupun bahasa yang telah digunakan oleh masyarakat Kedayan ini kedengarannya agak kasar akan tetapi sebenarnya cara pertuturan orang Kedayan adalah lembut beralun dan penuh makna. Walaupun kebanyakan penutur Kedayan ini berpindah rendah akan tetapi kebanyakan mereka ini akan menunjukkan bahawa mereka adalah terdiri dari masyarakat Kedayan. Berbanding dengan generasi muda yang lebih suka mendiamkan diri atau mengakui bahawa mereka dari puak mana. RUJUKAN Amat Juhari Moain. 1989. Sistem Panggilan Dalam Bahasa Melayu: Suatu Analisis Sosiolinguistik. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur. Bantong Antaran. Puak Kedayan dan Masalah Terminologinya. Berita Muzium. Muzium Brunei: Bandar Seri Begawan. Jilid 7. Bil. 1. Jan-Jun 1985. Hlmn 42-46. Kamus Bahasa Melayu Nusantara. 2003. Bandar Seri Begawan: Dewan Bahasa dan Pustaka. Nik Safiah Karim. 1981. Beberapa Persoalan Sosiolinguistik Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Nik Safiah Karim. 1988. Sosiolinguistik Bahasa Melayu dan Pengajaran. Petaling Jaya: FajarBakti. Nik Safiah Karim dan Rakan. 1989. Tatabahasa Dewan Jilid 2: Perkataan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Nor Hashimah Jalaluddin. 1992. Semantik dan Pragmatik: Satu Pengenalan. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur. Sumalee Nimmanupap. 1994. Sistem Panggilan Dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Thai: Suatu Analisis Sosiolinguistik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

99