You are on page 1of 13

SULIT 1103/1

1103/1
Bahasa
Melayu
Kertas 1
2006

JABATAN PELAJARAN PERAK

LEARNING TO SCORE 2006

BAHASA MELAYU

Kertas 1

KARANGAN CONTOH

Kertas soalan ini mengandungi 13 halaman bercetak dan 1 halaman tidak bercetak

[Lihat sebelah
1103/1 © 2006 Hak Cipta Jabatan Pelajaran Perak Halaman 1
SULIT 1103/1

KARANGAN CONTOH : BAHAGIAN B

KARANGAN CONTOH 1

Peranan Wanita Dalam Melahirkan Generasi Yang Berkualiti


Oleh: Hassan bin Mohamed

Kita sering mendengar slogan yang berbunyi ‘Pemuda harapan bangsa, pemudi
tiang negara’. Kita juga sering mendengar kata-kata bahawa seseorang lelaki yang
berjaya, sesungguhnya di belakangnya berdiri seorang wanita yang memberikan
sokongan dan inspirasi. Malah pepatah juga ada menyatakan ‘Tangan yang menghayun
buaian itu, boleh menggoncang dunia’. Demikianlah, kaum wanita itu dilihat sebagai
golongan yang bukan sahaja menggambarkan kelembutan tetapi juga memperlihatkan
wibawa dan karisma yang tersendiri. Jelasnya, wanita berperanan dalam memupuk
dan melahirkan generasi yang berkualiti dan berketerampilan.
Terlebih dahulu saya ingin menghuraikan tajuk rencana ini bagi memudahkan
perbicangan selanjutnya. Rangkai kata ‘peranan wanita’ dapat didefinisikan sebagai
suatu tugas atau amanah yang dipegang oleh kaum perempuan sama ada kita
melihatnya dari segi individu mahupun secara keseluruhannya. Perkataan ‘melahirkan’
pula bermaksud suatu usaha yang berterusan dalam memperoleh hasilan daripada
sesuatu tindakan atau pengaruh. Sementara, rangkai kata ‘generasi yang berkualiti’
merujuk individu atau kumpulan yang berketerampilan dan berkarisma dalam pelbagai
aspek seperti aspek fizikal, rohani dan emosi, intelek dan jati diri. Secara
keseluruhannya, dapatlah dinyatakan bahawa tajuk ini mengutarakan tugas, peranan
atau tanggungjawab kaum wanita dalam mewujudkan individu atau warganegara yang
berwibawa dalam semua hal yang menyentuh bidang kehidupan.
Dalam konteks wanita sebagai ibu, kita dapat melihat bahawa generasi yang
terbentuk menerima pengaruh yang berkesan daripada didikan dan sentuhan kasih
sayang daripada ibunya. Kita dapat melihat di negara kita ini bagaimana kaum ibu
memperlihatkan kewibawaan dalam memupuk individu yang berkualiti. Dalam bidang
akademik misalnya, rata-rata pelajar yang ditemu ramah menyatakan peranan dan
tunjuk ajar ibu menjadi alat yang ampuh dan berkesan dalam mencapai kejayaan. Nur
Amalina Cik Bakri yang mendapat 17A1 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Tahun
2004 membuktkian kenyataan ini. Malahan, kita dapat membuktikan kemampuan
wanita dalam memupuk generasi berkualiti ini melalui anugerah ‘Ibu Mithali’ yang
disediakan oleh kerajaan. Kita dapat melihat tokoh-tokoh wanita ini dengan tabah dan
sabar mendidik anak-anak sehingga semua anak mereka mencapai kejayaan yang
membanggakan. Masyarakat umum juga mengakui bahawa kesan ketiadaan ibu
berbanding dengan ketiadaan bapa, bagi kanak-kanak begitu ketara. Anak yang
ketiadaan ibu sering terjerat dengan pelbagai masalah kerana sentuhan kasih ibu tidak
ada tandingannya. Oleh sebab itulah, kita sering mendengar kata-kata ‘kasih ibu
membawa ke syurga’ dan ‘syurga itu di bawah tapak kaki ibu’.
Kita juga dapat melihat lahirnya generasi yang berwibawa dan cemerlang
menerusi peranan wanita yang berkerjaya. Dalam bidang pendidikan misalnya, terbukti
kaum wanita telah memainkan peranan seiiring dengan kaum lelaki dalam membentuk
warganegara dan generasi yang sihat dan berkebolehan dalam pelbagai aspek
sebagaimana yang dihasratkan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kaum wanita
mampu mendidik anak-anak ini sejak di peringkat Kelas Tadika hinggalah ke peringkat

[Lihat sebelah
1103/1 © 2006 Hak Cipta Jabatan Pelajaran Perak Halaman 2
SULIT 1103/1

Pusat Pengajian Tinggi. Kaum wanita dikatakan begitu berjaya mendidik anak-anak di
peringkat sekolah rendah kerana sifat keibuan semula jadi. Kaum wanita juga setanding
kemampuannya dengan kaum lelaki dalam mendidik pelajar-pelajar di peringkat
sekolah menengah dan di Pusat Pengajian Tinggi. Kita juga dapat melihat peranan
wanita dalam memupuk generasi yang berkualiti dalam kerjaya yang lain seperti
bidang kejururawatan. Usaha mereka dalam memberikan rawatan dan ketabahan
mereka dalam melayani pesakit dapat melahirkan generasi yang sihat dan ceria.
Dalam konteks wanita berkerjaya ini juga, kita boleh melihatnya menerusi
kepemimpinan mereka yang berkesan sebagai ketua atau pemimpin bagi sesebuah
organisasi. Generasi yang menjadi pekerja di bawah pengawasan dan jagaan mereka
boleh menjadi insan yang berkualiti melalui tindakan dan amalan ‘Kepemimpinan
Melalui Teladan’. Kenyataan ini bersesuaian dengan dasar kerajaan yang memastikan
untuk melantik 30% daripada jawatan yang berperanan dalam menentukan dasar
negara terdiri daripada kaum wanita. Kita berbanggga mempunyai seorang Gabenor
Bank Negara yang terdiri daripada serang wanita. Hasil kepemimpinan Tan Sri Dr. Zeti
Akhtar Aziz misalnya, telah melahirkan pegawai-pegawai yang dedikasi hinggakan
negara kita pernah menerima anugerah pengurusan kewangan di peringkat
antarabangsa. Dalam menyahut seruan ‘Malaysia Boleh’ misalnya, kita berbangga
dengan kejayaan Datuk Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir yang berjaya menjadi wanita
pertama di Asia merentasi Kutub Selatan secara solo. Kejayaan, kegigihan dan
ketabahan beliau akan dapat memberikan suntikan semangat kepada generasi muda
untuk mencuba sesuatu yang mencabar fizikal dan minda.
Apabila kita melihat peranan wanita sebagai isteri, kita dapat membuktikan
bahawa kejayaan seorang suaminya bermula daripada peranan isterinya. Justeru, biasa
disebutkan bahawa setiap kali seseorang suami itu terserlah kejayaannya,
sesungguhnya kejayaan itu bermula daripada peranan isteri yang berada di
belakangnya. Sebagai contoh, mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Doktor Mahathir
Mohamad berjaya memimpin negara sehingga negara disegani di persada
antarabangsa kerana di belakang beliau berdiri kukuh isteri beliau wanita pertama
Malaysia, Tun Dr. Siti Hasmah bt. Mohd Ali. Dorongan, kasih sayang, kesedaran, ilmu
dan layanan mesra isteri memberikan ruang yang seluas-luasnya kepada suami untuk
menumpukan tugas dengan penuh dedikasi. Golongan suami yang juga merupakan
suatu kumpulan generasi dalam negara kita, sudah pasti dapat memainkan peranan
dalam memberikan impak yang positif kepada kemajuan negara.
Di samping itu, kita juga dapat melihat peranan wanita dalam melahirkan
generasi yang cemerlang menerusi peranan mereka dalam kerja-kerja kebajikan. Kita
dapat melihat imej kaum wanita yang terpuji dalam melaksanakan kerja-kerja kebajikan
dan berbentuk sukarela. Menerusi penglibatan kaum wanita dalam Badan Bukan
Kerajaan (NGO) seperti Pasukan Bantuan Perubatan Malaysia (MERCY) yang sentiasa
meyumbangkan bakti dan tenaga dapat memberikan inspirasi kepada generasi muda
khususnya, agar terdidik ke arah kehidupan yang berkualiti.
Kesimpulannya, benarlah bahawa wanita memainkan peranan dalam melahirkan
generasi yang berkualiti. Kita meyakini bahawa kerjasama yang erat antara kaum lelaki
dengan kaum wanita di negara kita ini, akan dapat melahirkan generasi yang
cemerlang, gemilang dan terbilang, insya-Allah.

[Lihat sebelah
1103/1 © 2006 Hak Cipta Jabatan Pelajaran Perak Halaman 3
SULIT 1103/1

KARANGAN CONTOH 2

Baru-baru ini beberapa kawasan di negara kita telah dilanda banjir kilat. Hal ini telah
menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk di kawasan tersebut.
Berikan cadangan anda tentang usaha-usaha yang wajar dilakukan untuk mengatasi
banjir kilat.

Sejak belakangan ini, beberapa kawasan di negara kita sering dilanda banjir
kilat. Kalau dahulu banjir hanya berlaku di kawasan rendah yang berhampiran dengan
sungai atau di kawasan persisiran pantai tetapi kini banjir kilat mula menjengah bandar-
bandar besar. Seperti yang dilaporkan oleh media tempatan, antara kawasan yang
sering dilanda banjir kilat ialah kawasan sekitar Lembah Klang, dan yang terbaru di
bandar raya Shah Alam. Satu hakikat yang perlu diterima adalah banjir kilat
mengundang penderitaan dan kepayahan yang bukan sedikit kepada penduduk yang
terlibat. Justeru, usaha-usaha wajar dilakukan agar fenomena banjir kilat ini tidak
berterusan.

Proses urbanisasi berlaku dengan pantas. Hutan diteroka dan bukit digondolkan
untuk dijadikan sebagai tapak pembangunan. Kawasan perumahan dan kilang-kilang
tumbuh bagai “cendawan tumbuh selepas hujan”. Walau bagaimanapun, pihak pemaju
seakan-akan alpa untuk menyediakan sistem perparitan yang sempurna. Oleh itu, pihak
berkuasa wajar menyediakan peraturan yang lebih ketat dan pemantauan yang lebih
kerap apabila sesuatu kawasan itu hendak dibangunkan. Pastikan pihak pemaju
menyediakan sistem perparitan yang memenuhi piawaian yang ditetapkan. Dengan
adanya sistem perparitan yang baik, air dapat mengalir dengan lancar ke sungai-sungai
dan seterusnya ke laut. Pemaju yang tidak mematuhi syarat dan peraturan yang
ditetapkan hendaklah diambil tindakan undang-undang. Sesungguhnya, mencegah lebih
baik daripada mengatasi.

Selain itu, terdapat sesetengah kilang dan ladang ternakan sengaja dibina
berhampiran dengan sungai. Tujuannya adalah untuk memudahkan mereka membuang
sisa buangan termasuk sisa toksik ke sungai. Hasil buangan tersebut bukan sahaja
mencemarkan sungai malah mendapan sisa tersebut akan menyebabkan sungai
menjadi cetek. Akibatnya, air sungai akan melimpah setiap kali hujan lebat yang turun
tanpa henti untuk tempoh yang lama. Oleh yang demikian, pihak pengusaha kilang dan
penternak yang terbabit perlu lebih bertanggungjawab. Sikap mementingkan
keuntungan dan kesenangan diri harus dikikis. Mereka sepatutnya membuang sisa
kilang dan sampah sarap di tempat pelupusan yang ditetapkan, bukannya disalirkan ke
sungai. Sekiranya sikap tidak bertanggungjawab ini masih berterusan, tindakan
menamatkan operasi kilang atau ladang ternakan tersebut hendaklah diambil.

Pembangunan di kawasan tanah tinggi kerap kali menjadi punca berlakunya


pemendapan di dasar sungai yang menyebabkan sungai menjadi cetek. Pihak Jabatan
Pengairan dan Saliran seharusnya peka dengan kejadian seperti ini. Sebaik sahaja
gejala ini dikesan, tindakan mendalamkan semula sungai wajar dilakukan, janganlah
sudah terhantuk baru mengadah. Dalam masa yang sama, sampah sarap yang
menghalang pengaliran air juga hendaklah dibersihkan. Di samping itu, akta yang
menghalang pembangunan di kawasan bukit yang berhampiran dengan tempat

[Lihat sebelah
1103/1 © 2006 Hak Cipta Jabatan Pelajaran Perak Halaman 4
SULIT 1103/1

kediaman hendaklah dikuatkuasakan. Jika tidak, penduduk-penduduk yang tinggal di


kaki bukit terutamanya yang berhampiran dengan sungai akan terdedah kepada banjir
kilat.

Sebaik sahaja banjir kilat berlaku di Shah Alam, beberapa cadangan telah
dikemukakan untuk mengatasi banjir kilat. Antara cadangan yang dikemukakan adalah
dengan membina benteng atau tebatan banjir. Pembinaan benteng dan tebatan banjir
akan menghalang air sungai daripada melimpahi kawasan sekitarnya. Penduduk-
penduduk di kawasan rendah juga akan dipindahkan manakala jalan raya yang kerap
dilanda banjir kilat akan dinaiktarafkan. Kerajaan Selangor melalui Menteri Besarnya
Dato’ Seri Mohamad Khir b. Toyo telah memohon peruntukan kepada kerajaan pusat
untuk melaksanakan cadangan tersebut. Walaupun kos melaksanakan cadangan itu
menelan belanja jutaan ringgit namun atas nama kemanusiaan, setinggi mana pun
kosnya cadangan tersebut perlu dilaksanakan segera untuk mengelakkan berlakunya
tragedi kemanusiaan yang lebih dahsyat.

Sistem amaran banjir kilat juga perlu disediakan. Sebagaimana tsunami, banjir
kilat juga boleh mengancam nyawa manusia selain merosakkan harta benda serta
memusnahkan dokumen penting yang lain. Sistem amaran banjir ini boleh dipasang di
tempat-tempat atau kawasan yang berpotensi untuk dilanda banjir kilat. Alat penggera
tersebut akan mengeluarkan isyarat apabila paras air menghampiri indeks yang
ditetapkan. Dengan adanya sistem amaran tersebut, penduduk boleh mengambil
tindakan segera untuk menyelamatkan nyawa serta barang berharga.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa menangani


banjir kilat bukanlah satu kerja yang mudah, tidak semudah yang dijangkakan. Namun,
komitmen dan penggemblengan tenaga semua pihak dalam melaksanakan usaha-
usaha seperti yang dinyatakan di atas penting untuk menangani masalah banjir kilat.
Kita berharap dengan adanya bantuan segera yang diberikan, keresahan penduduk
yang menjelma akibat berlakunya banjir kilat akan dapat dihapuskan. Tegasnya,
masalah banjir kilat ini perlu diatasi segera agar hasrat mewujudkan negara maju
menjelang 2020 dapat direalisasikan.

[Lihat sebelah
1103/1 © 2006 Hak Cipta Jabatan Pelajaran Perak Halaman 5
SULIT 1103/1

KARANGAN CONTOH 3

Anda ingin menyertai pertandingan menulis esei yang dianjurkan oleh sebuah akhbar
tempatan. Tajuk esei yang anda pilih ialah “Peranan Media Massa Dalam Pembangunan
Negara”.

Tulis esei itu selengkapnya.

Peranan Media Massa Dalam Pembangunan Negara


Oleh : Zaiton Bt Othman

Media massa yang terdiri daripada media elektronik dan media cetak memainkan
peranan yang amat penting dalam pembangunan sesebuah negara. Media massa
menyalurkan pelbagai maklumat yang dapat mempengaruhi masyarakat pembaca.
Tanpa adanya media, rakyat sesebuah negara tidak mendapat sebarang pengetahuan
terutama tentang isu global dan kehidupan mereka umpama ‘katak di bawah
tempurung’. Malaysia kini sedang berusaha menjayakan projek multimedianya dengan
serius untuk melahirkan masyarakat yang bermaklumat. Soalannya, apakah peranan
media massa dalam pembangunan negara?

Satu daripada peranan media massa ialah sebagai sumber maklumat yang amat
penting kepada masyarakat. Media massa boleh dijadikan alat yang berpengaruh dalam
bidang pendidikan, penyebaran ilmu pengetahuan dan maklumat berkaitan ekonomi dan
sukan serta dapat membantu proses minat membaca. Melalui media, orang ramai
memperoleh pengetahuan mengenai apa-apa jua yang berlaku di dalam dan di luar
negara. Sebagai contoh, bagi seseorang ahli perniagaan, maklumat terkini tentang
bidang perniagaan akan dapat membantu ahli perniagaan tersebut untuk membuat
perancangan syarikat dan menyusun strategi serta dapat mengelakkan syarikat
daripada mengalami kerugian. Maklumat tentang bidang ilmu pengetahuan pula dapat
mendedahkan masyarakat kepada pemikiran baru dan membuka minda seseorang.
Pepatah menyatakan ‘membaca kunci pengetahuan’. Rakyat seperti ini akan dapat
membantu proses pembangunan negara dengan cepat.

Selain itu, media massa turut berperanan sebagai agen pembangunan dan
perpaduan negara. Melalui media massa, pengetahuan asas budaya, bahasa dan adat
resam pelbagai etnik dapat disebarkan. Sebagai contoh, melalui aktiviti kebudayaan
seperti tarian, lagu dan cara hidup sama ada masyarakat tempatan atau masyarakat
asing, seseorang itu dapat menyelami dan memahami unsur kebudayaan sesuatu
kaum. Secara tidak langsung, media massa terutamanya media cetak dapat menyemai
semangat perpaduan dalam jiwa masyarakat berbilang kaum. Semangat bersatu padu
dan saling menghormati dapat mewujudkan keharmonian masyarakat. Keadaan ini
dapat mengelakkan tercetusnya peristiwa 13 Mei yang menggugat perpaduan kaum.
Apabila semangat perpaduan dapat disemarakkan sudah pasti akan membantu proses
pembangunan negara supaya berjalan dengan lancar.

Di samping itu, media turut berperanan sebagai alat yang menghubungkan


kerajaan dengan rakyat. Hubungan yang baik antara pemerintah dengan rakyatnya
perlu diwujudkan untuk memudahkan pembangunan. Umpamanya, media massa boleh
menyiarkan dasar-dasar kerajaan seperti menjelaskan Rancangan Malaysia Ke-9 dan
sebagainya supaya rakyat dapat memahami dan menerima serta bersikap terbuka

[Lihat sebelah
1103/1 © 2006 Hak Cipta Jabatan Pelajaran Perak Halaman 6
SULIT 1103/1

terhadap dasar-dasar pembangunan negara. Sesebuah kerajaan memerlukan sokongan


rakyatnya dalam segala langkah dan program yang dijalankan. Rakyat pula memerlukan
kerajaan yang cekap dan telus dalam melaksanakan proses pembangunan. Melalui
media massa, rakyat boleh memberikan reaksi dengan mengemukakan pandangan
mereka. Dengan ini, pertukaran maklumat wujud antara kerajaan dengan rakyat.

Seterusnya, media massa turut berperanan membantu sesebuah syarikat


berkembang dengan pesat. Hal ini demikian kerana media dapat mengiklankan sesuatu
produk yang dikeluarkan oleh sesebuah syarikat dan memperkenalkan barangan di
pasaran yang dapat melariskan jualan. Sebagai contoh, sesebuah syarikat akan
menggunakan ruangan iklan untuk mendapatkan pekerja dan mempromosikan
barangan keluaran syarikatnya. Dalam era globalisasi ini, terdapat perniagaan yang
dijalankan melalui internet iaitu salah satu bentuk media. Produk sesebuah syarikat
akan dapat menembusi pasaran global dan sudah pasti syarikat dapat berkembang
dengan pesat dan memberikan sumbangan kepada proses pembangunan negara.

Selain itu, media massa turut menjana peluang pekerjaan dalam kalangan rakyat
Malaysia. Hal ini demikian kerana bidang media merupakan satu bidang yang luas.
Oleh itu, bidang tersebut memerlukan banyak pekerja. Tenaga kerja yang boleh
ditawarkan adalah yang berkaitan dengan bidang kewartawanan, pentadbiran,
penyuntingan, penulisan, pengurusan, pengiklanan dan sebagainya. Produk yang
terhasil pula perlu dijual dan tindakan ini memerlukan tenaga kerja dalam bidang
pemasaran. Menerusi media elektronik pula, pembuatan peralatannya memerlukan
pekerja yang banyak dengan kepakaran yang tertentu. Tenaga mahir dalam bidang
pengiklanan juga begitu banyak. Secara tidak langsung masalah pengangguran dalam
negara dapat dikurangkan.

Media massa turut berperanan sebagai sumber hiburan. Menerusi media cetak,
ruangan berunsur hiburan seperti kartun, berita sukan, cerpen, berita tentang artis dan
sebagainya dapat menghiburkan masyarakat. Rancangan hiburan dan muzik yang
disiarkan menerusi radio dan televisyen juga boleh mengurangkan ketegangan.
Menerusi multi media seperti komputer dan internet, kanak-kanak dapat bermain
permainan komputer sambil mendengar muzik. Sumber-sumber tersebut dapat
menenangkan fikiran dan mengurangkan tekanan di samping memberikan hiburan.

Kesimpulannya, media massa sememangnya memainkan peranan penting


dalam proses pembangunan negara. Oleh itu, media seharusnya diberi kebebasan
dalam melaksanakan fungsinya secara objektif dan telus. Dengan ini diharapkan tiada
pihak yang mengambil kesempatan pada keistimewaan yang dimiliki oleh media untuk
dijadikan alat propaganda bagi mempengaruhi sesuatu pihak yang lain. Tegasnya,
media massa berperanan membantu sesebuah masyarakat untuk mencapai kemajuan.

[Lihat sebelah
1103/1 © 2006 Hak Cipta Jabatan Pelajaran Perak Halaman 7
SULIT 1103/1

KARANGAN CONTOH 4

Pengekalan bangunan bersejarah harus diberikan perhatian yang serius di Malaysia


kerana bangunan bersejarah mempunyai nilai budaya dan nilai keseniannya yang
tersendiri. Selain itu, bangunan-bangunan ini mencirikan identiti negara dan
merakamkan sejarah penting negara.

Berikan pendapat anda tentang kepentingan mengekalkan bangunan bersejarah ini.

Di negara kita, banyak terdapat bangunan bersejarah yang masih kukuh dan
sering menarik perhatian sama ada para pelancong dari dalam atau luar negara.
Bangunan-bangunan bersejarah ini perlu dikekalkan supaya ‘tak lapuk dek hujan, tak
lekang dek panas’ untuk menjadi tatapan generasi yang akan datang. Kebanyakan
bangunan bersejarah merupakan tinggalan sejak zaman penjajah. Antara bangunan
bersejarah yang sering menjadi kunjungan pelancong ialah Kota A Famosa dan
bangunan Satadsyus di Melaka, bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur, dan
Kota Belanda di Pulau Pangkor. Bangunan-bangunan ini bukan sahaja mempunyai
nilai-nilai budaya dan keseniannya yang tersendiri malah merakamkan sejarah penting
negara. Justeru, pengekalan bangunan bersejarah sememangnya penting di Malaysia.

Satu daripada kepentingan mengekalkan bangunan bersejarah di negara ini


kerana bangunan tersebut mempunyai nilai seni dan estetika. Bangunan-bangunan ini
biasanya mempunyai nilai seni bina yang halus dan bercorakkan budaya bangsa.
Sebagai contohnya, ukiran pada dinding kayu rumah Melayu tradisional adalah cantik
dan harmoni. Dari sini, kita dapat menghayati kehalusan dan kreativiti seni bina bangsa
kita pada masa silam. Ukiran pada dinding batu dan kayu dalam bangunan bersejarah
memaparkan corak budaya masa silam. Hal ini membolehkan kita menghayati
keistimewaan budaya kita.

Selain itu, pengekalan bangunan bersejarah juga membolehkan kita mempelajari


dan mendalami sejarah negara pada masa lampau melalui bangunan-bangunan
bersejarah. Lawatan ke sesebuah bangunan bersejarah membolehkan kita menyaksikan
kesan peristiwa bersejarah yang pernah berlaku di situ. Sebagai contohnya, lawatan ke
Kota A Formosa di Melaka membolehkan kita membayangkan peperangan dan
pertumpahan darah ketika rakyat Melaka menentang Portugis. Kita juga akan lebih
memahami fakta sejarah jika kita dapat melihat kesan peninggalannya. Dalam konteks
ini, pelajar akan lebih berminat terhadap pembelajaran sejarah negara. Sesungguhnya,
cara pembelajaran secara kontekstual ini amat berkesan.

Di samping itu, bangunan-bangunan bersejarah juga perlu dikekalkan kerana


mempunyai nilai ekonomi yang tinggi. Hal ini demikian kerana bangunan-bangunan
bersejarah ini dapat menjadi tarikan kepada pelancong tempatan atau pun pelancong
asing. Misalnya, Kota Cornwallis di Pulau Pinang, Bangunan Sultan Abdul Samad di
Kuala Lumpur, dan Rumah Puteri Meninjau di Sabah sering menjadi tumpuan para
pelancong. Secara tidak langsung keadaan ini dapat membantu perkembangan industri
pelancongan melalui pengaliran masuk wang asing ke negara ini.

[Lihat sebelah
1103/1 © 2006 Hak Cipta Jabatan Pelajaran Perak Halaman 8
SULIT 1103/1

Bangunan-bangunan bersejarah juga penting dalam industri perfileman.


Kejayaan sesebuah filem banyak bergantung pada latar tempatnya. Untuk membuat
filem berunsur sejarah, lokasi penggambarannya sudah pasti di sekitar bangunan-
bangunan bersejarah. Filem berkenaan akan menjadi lebih realistik dan menarik jika
bangunan bersejarah yang sebenar digunakan. Hal ini dibuktikan oleh syarikat-syarikat
perfileman asing yang banyak mengadakan penggambaran di Malaysia. Contohnya,
filem Police Story III oleh Jacky Chan yang membuat penggambaran di Kuala Lumpur
dengan berlatarbelakangkan Bangunan Mahkamah dan Stesen Kereta Api Kuala
Lumpur. Melalui filem-filem ini, Malaysia menjadi terkenal di seluruh dunia. Hal ini
membuktikan kepentingan bangunan bersejarah kepada kita.

Bangunan bersejarah juga banyak memberikan pengajaran kepada kita.


Bangunan bersejarah akan mengingatkan kita tentang peristiwa masa lampau. Sebagai
contohnya, bangunan zaman pemerintahan Jepun mengingatkan kita tentang
penderitaan hidup rakyat semasa peperangan. Rakyat juga akan menyedari pahit
maung yang dialami sewaktu perjuangan menuntut kemerdekaan. Hal ini akan
menjadikan kita lebih menghargai keamanan dan kebebasan yang kita nikmati selama
ini. Selain itu, kita juga akan sentiasa berwaspada agar kesilapan silam tidak akan
berulang lagi.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapat disimpulkan bahawa bangunan-


bangunan bersejarah merupakan sebahagian daripada warisan sejarah yang tidak
ternilai harganya. Oleh itu, bangunan bersejarah haruslah dikekalkan untuk
penghayatan dan kepentingan generasi akan datang. Dengan ini diharapkan usaha-
usaha memulihara bangunan bersejarah dilaksanakan secara berterusan agar negara
dapat menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negara ini.

[Lihat sebelah
1103/1 © 2006 Hak Cipta Jabatan Pelajaran Perak Halaman 9
SULIT 1103/1

KARANGAN CONTOH 5

Anda telah membaca sebuah novel karya seorang penulis terkenal. Novel tersebut
amat istimewa bagi anda. Anda ingin membuat ulasan tentang novel tersebut.

Ulas keistimewaan novel tersebut.

Judul Novel : Badai Semalam


Pengarang : Khadijah Hashim
Penerbit : “K” Publishing Sdn. Bhd.
Tebal : 198 muka surat
Harga : RM6.00
Pengulas : Zaiton bt. Othman

Novel ‘Badai Semalam’ dihasilkan oleh seorang penulis wanita yang cukup
produktif dan tidak asing dalam kalangan rakyat Malaysia iaitu Khadijah Hashim. Genre
atau cabang penulisan beliau meliputi penulisan cerpen, novel dan yang terkini, beliau
juga menulis buku tentang pantun. Fokus utama hasil karya beliau adalah tentang kisah
wanita. Novel-novel lain yang turut dihasilkan oleh beliau ialah ‘Mira Edora’, ‘Bila Dan Di
mana’ dan ‘Senator Adila’. Novel ‘Badai Semalam’ pernah diterjemahkan dalam bahasa
Inggeris dan dipasarkan di pasaran antarabangsa dengan judul ‘The Storm of
Yesterday’. Selain itu, novel ‘Badai Semalam’ pernah dijadikan teks sastera Tingkatan 4
dan 5 pada awal 1970-an dan 1980-an. Novel ini telah diulang cetak beberapa kali dan
masih laris di pasaran hingga kini.

Novel ‘Badai Semalam’ mengisahkan kehidupan gadis remaja, Mazni yang


tinggal bersama-sama ibunya yang uzur di rumah Encik Haris. Ibu Mazni iaitu Mak
Bibah, merupakan bekas orang gaji kepada keluarga Encik Haris dan Cik Rohana.
Mazni yang kini sedang belajar dalam Tingkatan enam dalam aliran sains, akan
menduduki peperiksaan ‘Higher School Certificate’ (H.S.C) terpaksa berhenti sekolah
untuk bekerja. Mazni memerlukan wang untuk mengubati penyakit ibunya. Mazni
bersahabat baik dengan Zaki, seorang pelajar bidang perubatan di Universiti Singapura.
Suatu hari, anak Encik Haris iaitu Karim terlibat dalam kemalangan jalan raya dan
dimasukkan ke hospital. Semasa terlantar di hospital, tiada kawan yang datang
menziarahinya dan keadaan ini menyebabkan Karim insaf atas perbuatannya yang suka
berfoya-foya. Hanya Mazni yang sering mengunjunginya sewaktu terlantar di hospital.
Dalam diam-diam terbit perasaan cinta di hati Karim terhadap Mazni, yang begitu luhur
hatinya. Mazni terpaksa mengorbankan cintanya terhadap Zaki dan menerima cinta
Karim yang akhirnya membawa ke jinjang pelamin. Cik Rohana membantah hubungan
Mazni dan Karim tetapi akur dengan kehendak anak terunanya.

Pada hari perkahwinan Karim dan Mazni, rakan-rakan Cik Rohana telah
memfitnah Mazni dengan mengatakan bahawa Mazni telah pun berbadan dua. Ibu
Mazni yang percaya akan fitnah tersebut telah meninggal dunia kerana terlalu sedih.
Walau pun sudah berumah tangga, Mazni yang masih bersedih kerana kematian ibunya,
meneruskan pelajarannya melalui kelas malam. Setelah berpindah ke rumah sendiri,
Karim mula berubah perangai dan mengamalkan sikap berfoya-foya kembali. Akhirnya,
terjadi satu pertengkaran antara Mazni dengan Karim kerana Karim berasa cemburu

[Lihat sebelah
1103/1 © 2006 Hak Cipta Jabatan Pelajaran Perak Halaman 10
SULIT 1103/1

apabila Mazni selalu keluar berjumpa dengan Dr. Zaki di Hospital Johor Bahru. Karim
menampar Mazni sehingga pengsan. Selepas itu, Karim menyesali perbuatannya tetapi
nasi sudah menjadi bubur. Mazni dimasukkan ke hospital. Semasa berada di hospital,
Mazni gembira apabila diberitahu bahawa dia telah berjaya dalam peperiksaan H.S.C.
Namun Mazni tidak dapat memaafkan Karim dan meminta Karim melepaskannya.
Karim yang begitu kecewa dengan Mazni akhirnya terbunuh dalam kemalangan kerana
terlanggar pokok dan memandu ketika mabuk. Apabila Mazni pulih sepenuhnya, dia
bertekad ingin melanjutkan pelajarannya ke universiti di Kuala Lumpur. Zaki kecewa
dengan keputusan Mazni dan mengharapkan Mazni menyambung pelajarannya di
Universiti Singapura.

Novel ‘Badai Semalam’ mengemukakan tema tentang ketabahan seorang wanita


dalam menghadapi liku-liku hidup sehingga berjaya mencapai cita-citanya. Hal ini jelas
dipaparkan oleh pengarang menerusi watak Mazni. Mazni seorang wanita yang tidak
mudah putus asa dalam mengharungi cabaran dan halangan sehingga berjaya
mencapai cita-citanya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di universiti.
Selain tema di atas, terdapat beberapa persoalan yang menarik dalam novel ini.
Persoalan percintaan berlandaskan kesucian hati turut dipaparkan. Contohnya, Mazni
yang bersahabat baik dengan Zaki saling mencintai antara satu sama lain tetapi
percintaan mereka terhalang apabila Mazni berkahwin dengan Karim. Pengarang juga
menyentuh persoalan kritikan sosial iaitu sikap golongan atasan yang terlalu
mementingkan status sosial dan memandang rendah golongan bawahan. Contohnya,
Cik Rohana yang terlalu angkuh pada mulanya tidak sanggup bermenantukan Mazni
iaitu anak orang gajinya tetapi dia insaf apabila disedarkan oleh suaminya, Encik Haris.

Selain itu, jalan cerita ‘Badai Semalam’ begitu menarik dan plotnya di luar
dugaan pembaca. Peristiwa dalam novel ‘Badai Semalam’ disusun secara kronologi.
Dalam bahagian eksposisi, pengarang menggambarkan suasana tempat Mazni belajar
dan Mazni digambarkan tergesa-gesa pulang ke rumah untuk menjenguk ibunya yang
sakit. Plot novel berkembang dengan konflik yang dihadapi oleh Mazni seperti terpaksa
berhenti sekolah untuk bekerja kerana menjaga ibu yang sakit, terpaksa mengorbankan
cita-cita dan berkahwin dengan Karim, serta menghadapi tekanan perasaan apabila
ibunya meninggal dunia. Plot cerita bertambah menarik apabila sampai ke klimaks
cerita apabila Mazni ditampar oleh suaminya sehingga pengsan dan dimasukkan ke
hospital. Plot masuk ke tahap peleraian apabila Mazni yang sudah berjaya dalam
peperiksaan H.S.C. dan baru saja kematian suaminya, Karim mengambil keputusan
yang tegas untuk melanjutkan pelajaran di salah sebuah universiti di Kuala Lumpur dan
menolak cinta Zaki.

Di samping itu, pengarang turut memaparkan watak-watak yang berkesan dalam


novel ini. Mazni digambarkan memiliki ciri-ciri kewanitaan timur yang sejati. Dia
seorang yang bersopan santun dan lemah lembut. Buktinya, kelembutan dan
kesopanannya telah menyebabkan Karim anak tuan rumahnya jatuh cinta kepadanya
sehingga mereka berkahwin. Selain itu, Mazni juga seorang wanita yang gigih.
Contohnya, walaupun telah berkahwin, Mazni masih meneruskan pelajaran di kelas
malam sehingga berjaya dalam peperiksaan H.S.C. dan melanjutkan pelajaran dalam
jurusan perubatan. Mazni juga tabah dalam menghadapi cabaran hidup. Dia
meneruskan kehidupan selepas ibunya meninggal akibat mendengar fitnah tentangnya
dan masih meneruskan kelas malamnya walaupun ditentang oleh ibu mertuanya, Cik
Rohana. Selepas kematian suaminya, dia bertekad meninggalkan Tanjung Puteri untuk

[Lihat sebelah
1103/1 © 2006 Hak Cipta Jabatan Pelajaran Perak Halaman 11
SULIT 1103/1

meneruskan pengajiannya di sebuah universiti di Kuala Lumpur. Watak pembantu


dalam novel turut menghidupkan jalan cerita. Karim, suami Mazni ialah seorang yang
suka berfoya-foya dan sering tiada di rumah. Cik Rohana pula, digambarkan suka
memandang rendah kepada orang gajinya dan mendengar hasutan orang. Contohnya,
Cik Rohana menentang perkahwinan anaknya, Karim dengan Mazni anak bekas orang
gajinya. Dia juga turut mempercayai hasutan jiran bahawa Mazni telah mengandung
semasa berkahwin dengan Karim. Watak Zaki pula digambarkan sebagai seorang yang
gigih. Walaupun keluarganya miskin, tetapi dia berjaya meneruskan cita-citanya
menjadi doktor.

Pelbagai pengajaran dapat ditemui dalam novel ini. Pengajaran tersebut dapat
dijadikan teladan oleh para pembaca. Bak kata pepatah, ‘yang baik dijadikan teladan
dan yang buruk dijadikan sempadan’. Antara pengajarannya ialah setiap manusia
hendaklah memiliki sikap tabah dan cekal dalam menghadapi dugaan hidup.
Contohnya, Mazni yang tabah menempuh pelbagai kesusahan termasuk menghadapi
kematian ibu dan suami, akhirnya berjaya mencapai cita-citanya melanjutkan pelajaran
ke universiti. Selain itu, kita juga jangan terlalu memandang rendah terhadap orang lain.
Contohnya, Cik Rohana yang memandang rendah tehadap Mazni, akhirnya menyesali
perbuatannya apabila anaknya, Karim meninggal dunia dalam kemalangan. Novel ini
turut mengajar pembaca supaya jangan suka mengumpat dan menyebarkan fitnah
kerana perbuatan itu dapat menjejaskan kebahagiaan rumah tangga orang lain.
Contohnya, jiran Cik Rohana yang menyebarkan fitnah tentang Mazni dan Karim
sepatutnya bertanggungjawab atas kematian ibu Mazni yang begitu sedih apabila
mendengar fitnah tentang anaknya. Dalam novel ini juga, pembaca dinasihati supaya
menjauhi arak kerana perbuatan meminum arak, bukan saja merupakan dosa besar,
malah turut memberikan kesan buruk kepada peminum. Contohnya, Karim akhirnya
meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya akibat memandu dalam keadaan
mabuk.

Dalam novel ini juga terdapat tiga jenis latar, iaitu latar tempat, latar masa dan
latar masyarakat. Latar tempat dalam novel ini ialah di Tanjung Puteri, Johor Bharu. Di
sinilah Mazni dilahirkan dan dibesarkan sehingga berumah tangga dengan Karim.
Selain itu, terdapat latar di rumah Encik Haris dan Cik Rohana, tempat Mazni dan ibunya
menumpang teduh. Latar tempat yang lain ialah hospital iaitu tempat Karim menerima
rawatan dan Mazni turut berada di hospital selepas ditampar oleh Karim. Latar masa
novel ini pula, adalah pada dekad 70-an, Hal ini terbukti kerana Mazni mengambil
peperiksaan H.S.C. tetapi sekarang telah digantikan dengan STPM. Terdapat juga latar
masa pada waktu petang iaitu ketika Mazni mengunjungi Karim di hospital setiap hari
selama 3 bulan. Selain itu, terdapat juga latar masa pada waktu malam iaitu sewaktu
Mazni meneruskan pelajarannya di kelas malam selepas berumah tangga. Latar
masyarakat dalam novel ini pula ialah masyarakat kelas atasan dan kelas bawahan.
Masyarakat kelas atasan digambarkan menerusi keluarga Encik Haris dan Cik Rohana,
orang kaya yang disegani di Tanjung Puteri. Masyarakat bawahan pula digambarkan
menerusi watak Mazni dan ibunya Mak Bibah yang merupakan orang gaji kepada
keluarga Encik Haris dan menumpang tinggal di rumah itu walaupun Mak Bibah tidak
lagi bekerja.

Kesimpulannya, novel ‘Badai Semalam’ ini harus dibaca oleh semua remaja
kerana keistimewaannya. Dengan menghayati novel ini, pembaca akan mendapat
gambaran tentang kegigihan seorang wanita dalam menempuh kehidupan yang penuh

[Lihat sebelah
1103/1 © 2006 Hak Cipta Jabatan Pelajaran Perak Halaman 12
SULIT 1103/1

cabaran dan sanggup berkorban untuk membahagiakan orang lain. Nilai dan
pengajaran dalam novel ini dapat dijadikan teladan oleh para pembaca agar
menghargai jasa ibu bapa dan giigih berusaha untuk mencapai kejayaan.

[Lihat sebelah
1103/1 © 2006 Hak Cipta Jabatan Pelajaran Perak Halaman 13

You might also like