You are on page 1of 15

PANDUAN UNTUK PELAJAR YANG AKAN MENDUDUKI

PEPERIKSAAN BAHASA MELAYU GCE PERINGKAT BIASA

Kertas 1 - Menulis karangan

Pendahuluan

Garis pandu serta perkara-perkara yang dibincangkan di bawah ini lahir daripada
penelitian yang dibuat terhadap kesilapan-kesilapan serta kekurangan-kekurangan yang
lazimnya terdapat dalam penulisan karangan para pelajar baik ketika membuat latihan di
kelas mahupun ketika menjawab soalan peperiksaan. Saya akan membincangkan perkara-
perkara yang perlu diberikan perhatian dalam penulisan karangan, kesilapan-kesilapan
yang lazimnya dilakukan pelajar ketika menulis karangan dan panduan-panduan yang
saya rasa dapat membantu para pelajar memperbaiki kemahiran mereka dalam bidang ini.

Kelemahan-kelemahan serta kesilapan-kesilapan yang terdapat dalam karangan yang
berbentuk faktual dan perbincangan agak berbeza dengan yang selalunya didapati dalam
karangan yang berbentuk naratif atau cerita. Dalam perbincangan ini, adakalanya saya
berikan tumpuan khusus kepada kelemahan-kelemahan atau kesilapan-kesilapan yang
terdapat dalam karangan-karangan yang berbeza itu.

A) Sebelum Menulis

1) Pemilihan tajuk/soalan :

Tugas penting yang perlu dilakukan pelajar sebelum menulis sesebuah karangan
ialah membuat pemilihan topik atau soalan yang sesuai dengan kebolehan serta
kemahiran bahasanya. Perkara-perkara yang perlu diberi tumpuan sebelum membuat
pemilihan ialah :

a) isi-isi serta contoh-contoh yang dapat difikirkan pada waktu pelajar
sedang membuat pemilihan. Jika pelajar dapat memikirkan lebih banyak
isi serta contoh-contoh untuk sesuatu soalan, maka itu merupakan indikasi
yang paling baik bahawa pelajar seharusnya memilih soalan itu.

1
b) Rekomendasi guru – berdasarkan prestasi yang telah ditunjukkan para
pelajar sewaktu menulis karangan di sekolah, guru dapat memberikan
panduan mengenai bentuk karangan yang lebih sesuai dijawab oleh
mereka. Ada pelajar yang lebih mahir menangani karangan yang
berbentuk perbincangan atau faktual manakala yang lain pula lebih
berkebolehan menulis karangan yang berbentuk naratif atau cerita.
Kelebihan dan kelemahan ini ada pada setiap orang. Dari itu, para pelajar
harus tahu di mana letaknya kelebihan serta kelemahan mereka.

2) Perancangan :

Sesudah membuat pemilihan tajuk, maka pelajar seterusnya harus membuat
perancangan. Ramai pelajar yang tidak merancang karangan yang ingin mereka tulis.
Semua “perancangan” yang dibuat dibiarkan sahaja di minda. Akibatnya, pelajar
mengalami masalah terlupa isi yang hendak ditulis atau terpengaruh dengan arus
pemikiran pada waktu dia sedang menulis itu. Akibatnya, isi yang ditulis selalunya bukan
sahaja berbeza daripada rancangan asal yang telah dibuat malah kadangkala pendekatan
yang telah dipilih juga berubah. Jika ini berlaku, ia boleh menjejas prestasi karangan
yang ditulis kerana pelajar mudah bingung dan kadangkala keliru sendiri. Panduan di
bawah ini dapat menolong pelajar mengelakkan berlakunya masalah di atas:

• Pertama kita harus menganalisa soalan yang diberi untuk mengetahui apakah
yang sebenarnya dikehendaki oleh soalan itu.
• Seterusnya, tuliskan isi-isi yang terfikir mengenai topik yang diberi dalam
bentuk nota. Fikirkan sekali contoh-contoh yang boleh menguatkan isi-isi itu.
• Susun isi-isi tadi mengikut urutan kronologi atau golongan / sub-tajuk
(contoh: baik / buruk) yang ingin disampaikan.
• Kemudian, ketepikan isi-isi yang kurang relevan.
• Perancangan yang telah dibuat ini jangan dibuang. Jika ditakdirkan pelajar
kekurangan masa untuk menamatkan karangan dengan sempurna, bolehlah
disertakan kertas perancangan ini bersama kertas jawapan. Para pemarkah
akan mengambil kira nota perancangan ini dalam penilaian mereka.

{Dalam lampiran satu, ada disertakan beberapa soalan karangan GCE ‘O’
November 1997 serta contoh perancangan isi cadangan yang boleh digunakan
pelajar sebagai latihan untuk meningkatkan kemahiran ini.}

2
B) Ketika Menulis

Perkara yang harus diberi perhatian semasa menulis ialah cara penyampaian isi
yang telahpun pelajar fikirkan dan susun dalam bentuk nota. Ada dua perkara yang perlu
diberikan perhatian di sini:

a) Susunan / Penyampaian isi :

i) Setiap karangan yang ditulis perlulah mengikut pendekatan lazim yang
diambil oleh setiap pengarang, iaitu ia didahulukan dengan pembukaan /
pendahuluan, kemudian diikuti dengan isi / pendapat dan berakhir dengan
penutup atau kesimpulan. Karangan yang baik haruslah mengandungi
setiap komponen ini yang diberikan variasi yang wajar dengan tajuk yang
diberi. Pembukaan yang samar-samar atau penutup yang mendadak akan
memincangkan karangan yang ditulis.

Biarpun demikian, janganlah pula pelajar memberikan tumpuan yang
terlalu panjang kepada pembukaan sesuatu karangan sehingga isi yang
sepatutnya diberikan lebih penelitian tidak mendapat perhatian yang
sewajarnya.

ii) Pelajar perlu tahu cara penyampaian isi karangan yang berbentuk
baik/buruk atau masalah/huraian yang baik. Pendekatan yang boleh
diambil luas, namun, pelajar harus pastikan bahawa susunan isi yang
dibuat adalah sistematik dan tidak mengelirukan.

Sebagai contoh, pelajar bolehlah menerangkan isi-isi yang menunjukkan
kebaikan dahulu sebelum menerangkan isi-isi yang menunjukkan
keburukan dalam menjawab karangan yang berbentuk baik/buruk. Dalam
karangan masalah/huraian pula, bolehlah pelajar mengutarakan sesuatu
masalah diikuti dengan huraiannya sebelum membincangkan masalah
yang seterusnya.

iii) Isi yang telah disusun rapi perlu pula disampaikan dengan cara yang
meyakinkan. Ia harus disertakan dengan contoh-contoh yang relevan
untuk menguatkan serta menyokong pendapat / isi yang
diketengahkan. Terdapat dua perkara yang harus pelajar elakkan iaitu (1)
hanya memberi pendapat atau isi dan terus berpindah kepada isi yang
seterusnya, tanpa menjelaskan dengan terang apa yang dimaksudkan
dengan isi yang sebelumnya dan (2) penggunaan statistik yang direka
sendiri dan ketulenannya tidak mampu dibuktikan. Ini boleh menjejas nilai
karangan yang ditulis sebagai sebuah karangan yang cetek.

3
b) Laras bahasa yang digunakan dalam penyampaian isi

Ramai pelajar yang ghairah ketika menulis karangan, lebih-lebih lagi
dalam peperiksaan dan apabila topik yang ‘keluar’ merupakan sesuatu yang
mereka anggap menarik atau mudah. Bukan sahaja mereka tidak merancang isi-isi
yang ingin dimuatkan, malah format serta laras bahasa yang sesuai juga tidak
diberikan perhatian.

Para pelajar perlu menggunakan laras bahasa yang sesuai dengan bentuk
karangan yang dipilih. Misalnya, mereka harus elakkan daripada menggunakan
gaya bahasa naratif ketika menjawab karangan berbentuk perbincangan atau
faktual, (begitu juga ketika menulis surat kiriman rasmi). Penggunaan laras
bahasa lisan perlu dielakkan sama sekali, biarpun dalam penggunaan dialog. Cuba
rujuk kepada contoh karangan di bawah ini:

“Majalah hiburan banyak membawa kesan negatif kepada para
remaja. Beri pendapat kamu.”

Aku dan teman-teman remajaku yang lain selalu bertemu di restoran makanan
segera Mac Donald’s sebelum kami menuju ke kedai buku The Popular Bookshop untuk
mendapatkan majalah-majalah hiburan terkini yang kami gemari. Kami selalu berpakaian
berjenama dan menggunakan bahan-bahan dandanan yang popular seperti yang selalunya
diiklankan dalam majalah-majalah hiburan yang kami beli. Maznilah yang paling berani
di antara kami. Dia akan berpakaian seperti artis-artis popular yang dipamerkan dalam
majalah-majalah yang kami baca, pakaian-pakaian yang ketat dan memberahikan.

Cara hidup kami juga agak berbeza dengan remaja-remaja lain. Kami suka
membaca ruangan gosip yang selalunya dimuatkan dalam majalah-majalah hiburan itu
dan selalunya, cara hidup artis-artis popular yang kami sanjungi akan dibincangkan.
Kami gemar meniru cara hidup mereka, saja kerana suka-suka dan untuk mendapatkan
keseronokan. Kelab-kelab malam serta disko kami kunjungi kerana di situlah kami dapat
merasakan nikmat yang sebenar seperti yang digambarkan dalam majalah-majalah
hiburan yang kami baca.

Atas desakan teman-teman yang kami kenali semasa di disko dan kelab-kelab
malam itu, kami bukan sahaja pernah merokok, malah mencuba pil ecstasy. Seronok juga
rasanya. Namun, kami telah tertangkap pada suatu malam apabila disko yang kami
kunjungi diperiksa polis. Aku dimasukkan ke rumah tumpangan budak-budak perempuan
nakal manakala teman-temanku yang lain menghadapi nasib yang seburuk aku.

Aku setuju dengan topik di atas, bahawa majalah hiburan banyak membawa kesan
negatif terhadap para remaja. Lihatlah apa yang telah berlaku kepada diriku serta rakan-
rakanku. Akibat terlalu dipengaruhi oleh bahan-bahan bacaan yang terdapat dalam
majalah hiburan yang aku gemari, aku kini terpaksa merempat di rumah kebajikan.

4
** Karangan di atas sebenarnya penuh dengan isi yang relevan untuk menjawab
soalan yang diberi. Penulis ingin menjadikan dirinya serta rakan-rakan sebayanya
sebagai bukti bahawa tajuk yang diberi sangat disetujuinya.

Dalam perenggan yang pertama, penulis ingin menyampaikan bahawa remaja yang
gemar membaca majalah hiburan boleh terpengaruh dengan fesyen pakaian atau bahan-bahan
dandanan serta barang-barangan berjenama yang selalunya dipamerkan ataupun diiklankan
dalam majalah-majalah tersebut. Adakalanya, fesyen pakaian itu terlalu mendedahkan aurat dan
amat memberahikan.

Perenggan kedua pula ingin menunjukkan bahawa bahan-bahan bacaan yang dimuatkan
dalam majalah hiburan juga selalunya mengisahkan gaya hidup artis-artis popular yang jauh
berbeza dengan cara hidup orang timur dan jika terpengaruh, remaja yang terlalu banyak
membacanya mudah terikut-ikut dengan gaya hidup sedemikian. Perenggan ketiga pula cuba
membutktikan bahawa tempat-tempat hiburan yang selalunya diberikan tumpuan dalam majalah-
majalah hiburan boleh menimbulkan masalah kepada remaja yang terbawa-bawa mahu
mengunjunginya.
Perenggan keempat merupakan rumusan bahawa apa yang telah dibincangkan dalam
perenggan I-3 membuktikan pendapatnya yang menyetujui pendapat seperti yang tertera dalam
soalan.

Namun, cara penyampaiannya serta laras bahasa yang digunakan adalah tidak sesuai
untuk menjawab soalan karangan yang berbentuk perbincangan ini. Ini tentunya akan
menjejas markah yang akan diberikan untuk karangan yang ditulis bukan sahaja dari
segi bahasa, malah juga isi kerana gaya bahasa yang digunakan tidak dapat
menyampaikan isi dengan cara yang jelas dan teratur.

C) Sesudah Menulis

Terdapat ramai pelajar yang tidak memeriksa semula karangan yang telah mereka tulis.
Ini dilakukan kerana mungkin pelajar itu malas atau tidak tahu apa yang harus diperiksa
semula. Di bawah ini ada beberapa panduan yang boleh dipraktikkan:

• Beri tumpuan kepada kesilapan bahasa seperti :

1. penggunaan dua kata hubung :

“Kita tahu yang bahawa Kamal telah…”

2. penggunaan kata ganti yang tidak sesuai :

- menggunakan ‘dia’ untuk “ayah atau ibu atau orang-orang yang lebih tua
atau berpangkat”.
- menggunakan ‘saya’ dan ‘aku’ secara tidak konsisten

5
3. penggunaan tanda baca : noktah, koma, …

4. penggunaan frasa-frasa yang diulang-ulang :

- “Di dalam surat ini, saya akan menerangkannya seberapa yang mampu
dalam lembaran ini.”
- “Pantang larang seterusnya ialah jangan makan bertatang kerana jika
makan bertatang akan banyak berhutang daripada orang.”

5. penggunaan kata ganda / majmuk yang tidak sesuai :

- ramai pelajar-pelajar, para-para remaja, rakyat-rakyat, semua orang-orang,

6. penggunaan ‘ku’ yang sewenang-wenangnya :

- “… Ku mula tidak menghadiri sekolah kerana tiada minat lagi. Setiap hari
ku keluar memberitahu ibuku pergi belajar dengan sahabatku tetapi
sebaliknya ku ke taman bersama kawan-kawanku yang lain….”

7. penterjemahan langsung dari bahasa Inggeris :

- “ …hendak membuat dagu orang terjatuh melihat mereka memakai
barang berjenama dari hujung rambut ke hujung kaki”
- “ … saya tidak boleh percaya telinga saya…”
- “… apabila saya melihat surat beranak tersebut, dua biji mata saya
hampir-hampir terkeluar…”
- “… aku terjatuh lalu seorang tua memberikan tangannya…”

8. penggunaan perkataan / atau bentuk perkataan yang tidak sesuai :

- “… lama-lama kemudian kata-kata ibu tidak memperketatkan perangai
saya…”
- “… seorang jurutera mesti ada siswazah, bukan?”
- “… kawan saya telah membaca gambar yang diambil semasa cuti
sekolah…”
- “… ibuku mencicirkan airmata sehari semalam …”
- “… aku meneran cuba mengingat di mana aku pernah …”
- “… aku berjumpa dengan surat khabar yang dibuang orang…”
- “… guru-guru juga harus ikut sama dan membawa buah-buah mereka ke
sekolah. Beberapa minit sebelum waktu rehat, para pelajar akan diberi
peluang untuk menukar buah-buah mereka bersama rakan-rakan
mereka…”

6
9. kesilapan ejaan terutama sekali perkataan-perkataan yang berimbuhan:

- Ramai pelajar yang masih keliru akan ejaan perkataan yang berakhir
dengan huruf ‘k’ seperti ‘banyak’, ‘layak’, ‘retak’ apabila diberikan imbuhan
akhiran ‘an’, biarpun setelah diajar bahawa garis pandu yang perlu dilihat
bergantung kepada imbuhan yang akan menjadikan perkataan itu kata benda
bentukan ataupun kata kerja. Untuk memudahkan pemahaman pelajar, maka
bolehlah pelajar rujuk kepada nota di bawah ini sebagai panduan kasar:

Jika perkataan bermula dengan imbuhan ‘per’ atau ‘ke’ – maka perkataan
dieja dengan satu ‘k’. (misalnya; pertunjukan, perletakan, kelayakan,
kemasukan, kebanyakan)

Jika perkataan bermula dengan imbuhan ‘me’, ‘meng’, ‘menge’ dsbnya dan
‘di…’, maka perkataan itu dieja dengan dua ‘k’. (misalnya; … kita haruslah
membanyakkan amalan berzikir…, …meretakkan persahabatan …, …
melayakkan diri ke pusingan…, dia dimasukkan ke penjara…, …
diletakkan …, … dirosakkan..)

- Satu lagi kekeliruan ialah ejaan perkataan yang diberi imbuhan ‘di’,
sama ada ia perlu disambung atau diasingkan daripada kata dasarnya. Garis
pandunya ialah:

Jika perkataan itu merupakan kata kerja, maka ia disambung. Misalnya
‘digigit’, ‘disambut’, ‘digemari’ dan sebagainya.

Jika perkataan itu menerangkan tempat atau masa, maka ia dijauhkan.
Misalnya ‘di sekolah’, ‘di rumah’, ‘di perhentian bas’ , ‘di waktu aku
sedang’, ‘di saat itu’.

• Beri tumpuan kepada isi-isi yang tertinggal :

Jika terdapat isi-isi yang tertinggal, para pelajar harus tahu teknik menyisip isi
yang tertinggal itu dengan sistematik. Jangan disalin semula karangan yang
telah ditulis hanya kerana takut karangan itu comot atau tidak bersih. Masa
yang ada boleh dimanfaatkan untuk keperluan lain. Gunakan tanda bintang (*)
dan sebagainya untuk memandu pemarkah merujuk kepada isi-isi yang
tertinggal itu.

7
D) Kelemahan-kelemahan umum dalam penulisan karangan :

• Ketika menulis karangan, ramai pelajar gagal merujuk kepada soalan.
Mereka hanya membaca topik yang diberi sekali sahaja, membuat kesimpulan
dan terus menjawab. Adakalanya, tafsiran mereka salah atau mereka terkeluar
daripada landasan yang seharusnya mereka ikuti. Inilah yang menyebabkan
berlakunya penyelewengan dalam penulisan mereka. Dari itu, para pelajar
harus sentiasa merujuk kepada topik yang diberi sepanjang mereka
menulis untuk memastikan isi-isi serta ayat-ayat yang digubah untuk
menyampaikan isi-isi itu sesuai dengan kehendak soalan.

• Satu lagi kelemahan yang terdapat dalam penulisan karangan pelajar
(terutama sekali ketika menjawab karangan berbentuk faktual atau
perbincangan) ialah penggunaan ayat-ayat yang terlalu umum dan
kebenarannya boleh dipertikaikan. Sebagai contoh, lihat ayat-ayat di bawah
ini:

1. “Semua remaja hari ini gemar membaca majalah hiburan.”
2. “Remaja yang gemar membeli barangan yang berjenama adalah remaja
yang nakal dan menganggotai kumpulan samseng remaja.”

Pendekatan yang sedemikian akan memberikan gambaran kepada pemarkah
bahawa pelajar tidak berfikir panjang ketika menulis, belum matang fikiran
dan kurang teliti menggunakan perkataan. Ini akan menjejas nilai karangan
tadi dari segi pemarkahan impresionistik.

• Berikutan dengan kelemahan ini ialah teknik pemerengganan yang lemah
dan kurang tepat. Masih ramai pelajar yang memulakan perenggan yang baru
secara sewenang-wenangnya, adakalanya mengikut bilangan ayat yang telah
ditulis atau apabila mereka rasa sudah cukup panjangnya sesuatu perenggan
itu. Lazimnya, perenggan yang baru dimulakan jika berlaku:

1. peralihan dari satu isi kepada satu isi yang baru
2. perubahan kepada situasi yang dibincangkan
3. perubahan kepada pendekatan (baik ‘lawan’ buruk)
4. dialog antara dua atau lebih orang – setiap dialog yang berbeza penuturnya
dimulakan dengan perenggan yang baru

8
E) Perkara-perkara yang perlu dielakkan:

Mengira bilangan perkataan :

Satu tabiat yang diamalkan pelajar ketika menulis karangan yang bukan sahaja
membuang masa malah kadangkala menjejas mutu karangan yang ditulis ialah kebiasaan
mengira bilangan perkataan semasa mereka menulis. Kadangkala berlaku kegenjutan
pada kelancaran isi yang disampaikan hanya kerana bilangan perkataan yang telah ditulis
sudah mencapai bilangan minimum yang dikehendaki soalan. Apabila ini berlaku, pelajar
tadi akan cuba mengakhiri karangannya seberapa ringkas yang boleh, biarpun masih
terdapat isi-isi penting yang belum diterangkan. Dengan lain kata, ‘obsesi’ ini menguasai
perkembangan isi karangan yang ditulis, bukan perancangan yang rapi yang seharusnya
telah dilakukan pada permulaan proses penulisan karangan.

Untuk pengetahuan umum, bilangan perkataan yang diberikan dalam arahan pada
permulaan soalan adalah panduan sahaja. Pemarkah tidak akan membuang masa mengira
setiap perkataan yang ditulis oleh pelajar. Ini bukan soalan rumusan (summary writing!)
Dari itu, pelajar haruslah membuang tabiat yang tidak mendatangkan faedah ini.

Garis pandu yang boleh diambil untuk menentukan panjangnya karangan yang boleh
dikatakan telah memenuhi kehendak soalan ialah 1 ½ - 2 muka surat kalau pelajar
menulis dengan tidak menglatkan garisan ataupun 3 – 4 muka surat kalau dilat (tidak kira
sama ada tulisan pelajar besar atau kecil). Adalah penting juga para pelajar tidak menulis
dengan tulisan yang terlalu kecil. Ini akan menyusahkan para pemarkah yang memeriksa
karangan. Pelajar yang mempunyai tulisan yang telah ditegur guru sebagai susah dibaca
haruslah berusaha sedaya upaya untuk memperbaiki tulisan mereka.

Menjawab karangan Naratif / Cerita tanpa persediaan yang betul:

Rata-rata, ramai pelajar gemar menjawab soalan karangan yang berbentuk cerita atau
naratif. Pada sangkaan mereka, soalan bentuk ini lebih mudah, tidak perlu banyak
memikirkan tentang isi yang perlu ditulis dan risiko karangan yang ditulis menyeleweng
daripada kehendak soalan amat tipis. Laras bahasa yang diperlukan juga mudah kerana ia
sama seperti yang digunakan dalam buku-buku cerita serta majalah-majalah yang mereka
gemari.

Pendapat sedemikian boleh membawa padah, lebih-lebih lagi jika ia menyebabkan
pelajar menjurus kepada sikap sambil lewa dan kurang berhati-hati. Sebenarnya, soalan
yang berbentuk sedemikian memerlukan perancangan yang rapi juga. Adakalanya,
kehendak soalan ini lebih susah daripada soalan karangan yang berbentuk faktual atau
perbincangan. Cuba kita lihat contoh di bawah ini.

9
Pelajar dikehendaki menulis karangan yang berakhir dengan :

“Begitulah nasib yang menimpa dirinya. Perasaan tamak dan dengkinya itu
akhirnya memakan dirinya sendiri.”

Perkataan-perkataan yang condong dan digelapkan merupakan penentu batasan serta
tema yang perlu ada dalam cerita yang harus dikarang. Jika cerita yang disampaikan
gagal menimbulkan perkara-perkara yang telahpun ditentukan dalam soalan, maka pelajar
boleh dianggap sebagai telah menyeleweng atau tidak dapat menjawab soalan seperti
yang dikehendaki.

Cerita yang diharapkan dapat dikarang pelajar harus berkisar kepada seseorang yang
mempunyai sifat-sifat tamak dan dengki. Sifat-sifat ini pula merupakan kelemahannya
yang akhirnya menyebabkan dirinya menderita.

Namun, ramai pelajar yang hanya menyentuh tentang sifat tamak watak utama sahaja.
Sifat dengkinya hanya disebut tetapi tidak diberi penekanan yang sewajarnya. Ada pula
yang tersilap tafsir dan menerangkan bagaimana sifat tamak dan dengki watak utama
membawa padah kepada keluarganya atau orang-orang yang disayanginya, bukan
terhadap watak utama itu sendiri. Ini adalah contoh-contoh yang menunjukkan kesilapan-
kesilapan besar yang mungkin dilakukan oleh pelajar yang menjawab soalan-soalan
berbentuk cerita atau naratif.

Seterusnya, ada juga pelajar yang tidak mempunyai penguasaan bahasa yang baik,
kurang membaca dan kurang pengetahuan mengenai ciri-ciri penulisan cerpen yang baik
yang juga ingin menjawab soalan yang berbentuk sedemikian. Hasil karangan yang
ditulis sudah tentu akan mengandungi kekurangan-kekurangan dari segi isi, gaya dan
bahasa.

Pelajar perlu tahu bahawa karangan berbentuk cerita ini mempunyai ciri-
cirinya tersendiri. Ia memerlukan:

• plot yang dirancang dan disusun rapi, menarik,unik dan asli/original, dan tidak
membosankan
• pengenalan watak-watak utama secara teratur; tidak mendadak dan tidak
mengelirukan,
• masalah atau saspens (climax) dan berakhir dengan suatu penyelesaian (anti-
climax) yang menarik dan bukan sekadar mengambil jalan keluar yang mudah
sahaja. Sebagai contoh, plot yang baik serta saspens yang menarik akan hancur
jika pelajar mengakhiri ceritanya dengan mengatakan bahawa watak utamanya
hanya bermimpi. Cerita yang berkesudahan dengan mimpi merupakan jalan
mudah yang diambil pelajar setelah dia sendiri keliru dengan urutan cerita yang
ingin disampaikan atau dia sudah kebuntuan idea.

10
Selain keperluan mekanis yang dibincangkan di atas, laras bahasa yang sesuai, bebas
dari penggunaan bahasa lisan serta teknik pemerengganan yang baik juga amat
diperlukan dalam penulisan karangan yang berbentuk cerita atau naratif agar cerita yang
disampaikan bukan sahaja lancar, malah menarik dan berkesan.

Antara kelemahan-kelemahan bahasa yang terdapat dalam karangan
berbentuk cerita yang ditulis pelajar selain yang telah dibincangkan sebelum ini
ialah:

• kelemahan dalam kemahiran tanda baca, lebih-lebih lagi ketika mereka
menggunakan dialog dalam karangan itu
• penggunaan bahasa lisan yang keterlaluan dan tidak sesuai (biarpun dalam
bentuk dialog atau tukilan)
• penggunaan bahasa yang berbunga-bunga untuk menerangkan keadaan sekeliling
atau (setting) yang tidak terkawal sehingga hilang tumpuan terhadap isi yang
seharusnya diberikan penekanan.

Dari itu, para pelajar haruslah berhati-hati ketika membuat pilihan bentuk karangan
yang ingin mereka tulis. Ia harus sesuai dengan kebolehan serta penguasaan bahasa
Melayu mereka. Mereka bolehlah merujuk kepada guru darjah yang telah banyak
memarkah karangan yang mereka tulis di sekolah untuk memberikan nasihat yang wajar
mengenai perkara ini.

F) Kriteria Pemarkahan

Selain perkara-perkara yang telah dibincangkan di atas, pelajar juga harus sedar
bahawa antara kriteria atau ciri-ciri yang diambil kira ketika pemarkah memberi markah
kepada sesebuah karangan ialah penguasaan kosa kata serta keberanian pelajar
mempelbagaikan teknik persembahannya, serta kebolehannya menggunakan
perkataan-perkataan yang jitu untuk menerangkan sesuatu keadaan atau perkara
dengan jelas. Ini termasuklah penggunaan perkataan-perkataan yang tidak lazim
digunakan, simpulan bahasa serta peribahasa. Kriteria-kriteria ini akan mendedahkan
kepada para pemarkah sama ada pelajar telahpun mencapai penguasaan bahasa seperti
yang diharapkan ada pada seorang pelajar peringkat GCE ‘O’ atau belum.

Apa yang ingin disampaikan di sini ialah, menulis karangan yang tidak
mengandungi kesilapan bahasa sekalipun tidak akan menjamin markah yang tinggi
jika tahap bahasa yang digunakan tidak sesuai dengan tahap penguasaan bahasa
seperti yang diharapkan ada pada seorang pelajar menengah 4 ekspres atau 5
normal. Pelajar perlulah menggunakan ayat-ayat yang bervariasi, ayat-ayat majmuk yang
diselang-selikan dengan ayat-ayat tunggal, menggunakan simpulan bahasa atau
peribahasa yang sesuai dan perkataan-perkataan yang tepat dan dapat menyampaikan
makna dengan khusus dan jelas.

11
Penutup

Diharapkan, perbincangan yang dilakukan mengenai ciri-ciri penulisan karangan dan
kelemahan-kelemahan lazim yang dikupas serta panduan-panduan yang diberi dapat
membantu para pelajar membaiki mutu karangan yang mereka tulis. Saya akan cuba
mengumpul lebih banyak lagi nota serta contoh-contoh yang relevan untuk disertakan
dalam nota ini di masa hadapan. Saya berharap guru-guru yang menggunakan nota ini
dapat memberikan komen yang membina atau menyertakan perkara-perkara (nota-nota
yang mereka simpan) mengenai topik perbincangan ini agar usaha membantu para pelajar
memperbaiki kemahiran penulisan karangan mereka dapat diteruskan dan ditingkatkan.

ABDUL HARRIS BIN SUMARDI
KETUA JABATAN BAHASA IBUNDA
SEKOLAH MENENGAH CHUA CHU KANG
1998

12
Lampiran 1

Contoh membuat perancangan karangan.

Karangan faktual : GCE ‘O’ November 1997

Soalan 1 : Langkah-langkah yang boleh diambil oleh pihak sekolah untuk
menggalakkan para pelajar memakan makanan berkhasiat.

Soalan memerlukan calon memberikan LANGKAH-LANGKAH yang boleh diambil
PIHAK SEKOLAH untuk MENGGALAKKAN para pelajar memakan MAKANAN
BERKHASIAT.

Perkara-perkara yang perlu diberi perhatian:

1. Isi yang diharapkan harus merangkumi langkah-langkah yang luas, bukan
tertumpu kepada satu sudut sahaja, misalnya, kantin sekolah.
2. Langkah-langkah itu harus diambil oleh pihak sekolah, bukan pemerintah atau
badan-badan pemerintah seperti klinik, balai rakyat dan sebagainya.
3. Langkah-langkah itu haruslah yang berupa ‘menggalakkan’, bukan ‘memaksa’
4. Karangan tidak tertumpu kepada penerangan apa itu makanan berkhasiat,
definisinya serta sebab-sebab seseorang harus makan makanan seperti itu.

Isi-isi yang boleh disertakan :

a) melalui pendidikan – memberitahu para pelajar mengenai kebaikan
memakan makanan berkhasiat dan keburukan mengabaikannya. Ini boleh
dilakukan secara formal menerusi pelajaran kurikulum, misalnya dalam
mata pelajaran sains atau ekonomi rumahtangga

b) mengadakan kempen / ceramah / peraduan - mengenai makanan
berkhasiat – dengan tujuan mendedahkan para pelajar tentang ciri-ciri
makanan yang berkhasiat dan kebaikannya kepada kesihatan dan proses
ketumbuhan seseorang - cara ini boleh membantu meningkatkan
kesedaran mereka terhadap perlu memakan makanan berkhasiat

c) mengawal makanan yang dijual di kantin sekolah – pihak sekolah
memastikan penjaja di kantin sekolah menjual makanan berkhasiat
misalnya, buah-buahan, lauk bersayur, masakan yang tidak menggunakan
terlalu banyak garam atau MSG atau terlalu berminyak

d) bekerjasama dengan ibu bapa pelajar-pelajar – pihak sekolah
menggalakkan dan lebih baik lagi memastikan ibu para pelajar
menyediakan makanan berkhasiat di rumah - para pelajar pula boleh
digalakkan membawa bekal dari rumah yang telah disediakan oleh ibu
bapa mereka

13
Soalan 2 : Hidup sebagai seorang remaja sememangnya penuh bererti. Terangkan
pengalaman pahit manis yang tidak dapat kamu lupakan.

Soalan memerlukan calon menerangkan pengalaman pahit manis yang pernah
mereka alami sebagai seorang remaja yang menjadikan hidup mereka penuh
bererti (memberikan kesan yang positif / satu pengajaran) kepada mereka.

Perkara-perkara yang perlu diberi perhatian :

Calon boleh menerangkan satu sahaja pengalaman pahit dan satu pengalaman
manis ATAU mereka boleh menerangkan lebih daripada satu. Apa yang penting
ialah mereka harus dapat mengaitkan pengalaman-pengalaman itu dengan ayat
pertama, iaitu, dengan melalui pengalaman-pengalaman itu, mereka memperolehi
pengajaran / menjadikan mereka lebih matang dan sebagainya.

Calon yang hanya menerangkan atau menceritakan satu pengalaman yang pahit
atau manis yang tidak dapat mereka lupakan sahaja dan tidak mengaitkannya
dengan kehidupan mereka sebagai seorang remaja yang menjadikannya penuh
bererti boleh dikatakan tidak menepati kehendak soalan.

Isi yang diharapkan haruslah dapat memberikan gambaran yang mencakup
kehidupan remaja secara keseluruhannya (bukan sebagai seorang anak kecil
ataupun seorang dewasa).

** Isi contoh tidak diberikan kerana pengalaman seseorang berbeza-beza,
tidak ada yang sama. Ia unik kepada individu itu sendiri. Maka untuk
memberikan contoh di sini hanya akan menghalang kreativiti penulis.

14
Soalan 3 : Tabiat membeli barangan berjenama di kalangan belia boleh
menimbulkan kesan-kesan buruk. Bincangkan.

Soalan memerlukan calon membincangkan kesan-kesan buruk yang mungkin
timbul akibat belia yang mempunyai tabiat membeli barangan berjenama.

Perkara-perkara yang perlu diberi perhatian:

Kesan-kesan buruk yang mungkin timbul tidak hanya tertumpu kepada para
belia itu sendiri, malah haruslah merangkumi kesan terhadap masyarakat
umum, negara, ekonomi dan sebagainya.

Isi-isi yang boleh disertakan:

a) kesan terhadap individu:

i) membawa kepada sifat pembaziran, materialistik, sombong, megah
diri, bongkak, sifat meninggi diri dan membeza-bezakan antara
yang kaya dengan yang miskin
ii) prioriti hidup salah – tumpuan hanya kepada barang-barang itu dan
cara-cara untuk mendapatkannya – sanggup bekerja bukan untuk
membantu keluarga tetapi untuk kepentingan sendiri – lalai akan
tanggungjawab terhadap pelajaran
iii) sanggup mencuri – merosakkan masa depan individu serta
meningkatkan kadar jenayah negara

b) kesan terhadap keluarga:

i) ibu bapa / keluarga terpaksa melayan kehendak anak-anak - boleh
mengakibatkan keperluan seharian terjejas
ii) jika tidak dilayani kehendak mereka – pergaduhan, lari dari rumah,
biadap - menjejas keutuhan / keharmonian rumahtangga

c) kesan terhadap negara:

i) generasi penerus yang mementingkan diri sendiri, yang tidak dapat
menghargai kelemahan masyarakat kerana dari dulu lagi hanya
memberi perhatian kepada yang ‘bertaraf tinggi’
ii) melahirkan generasi yang bukan sahaja materialistik dan
mementingkan diri sendiri, malah tidak produktif – prioriti tidak
tertumpu kepada meningkatkan produktiviti dan kemahiran sebagai
pekerja tetapi kepada kepentingan diri sendiri

15