You are on page 1of 2

Sejarah Silat Gayong

Silat Seni Gayong dikatakan telah wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi, iaitu sewaktu pemerintahan Sultan Mansor Syah. Selepas kejatuhan Melaka ke tangan Feringgi (Portugis) pada tahun 1511, hulubalanghulubalang Melaka yang diketuai oleh Tun Biajid (anak Laksamana Hang Tuah) telah berundur ke dalam hutan dan seterusnya melakukan serangan gerila terhadap angkatan Portugis. Ilmu Silat Seni Gayong inilah yang telah digunakan oleh Tun Biajid dan orang-orangnya ketika menentang Portugis. Walaupun terpaksa berundur ke dalam hutan, hulubalang-hulubalang Melaka ini masih mampu menyusun suatu barisan penggempur (gerakan gerila) yang berpegang kepada tekad iaitu berimau-rimau, berimba-rimba dan bergayong. Disebabkan kedudukan Portugis terlalu kuat ketika itu, Tun Biajid dan orang-orangnya terpaksa berundur hinggalah ke negeri Pahang untuk mencari perlindungan. Di Pahang, ilmu Silat Seni Gayong ini terus hidup diwarisi oleh generasi demi generasi sehinggalah sampai ke tangan Tuan Syed Zainal Al-Attas, iaitu seorang hulubalang Pahang yang hidup sezaman dengan Dato' Bahaman dan Mat Kilau. Ada suatu kisah yang menceritakan bahawa pada zaman pemerintahan Portugis di Melaka, telah diadakan majlis keramaian tiap-tiap tahun yang dihadiri oleh segenap lapisan masyarakat. Pemerintah Portugis telah mengadakan suatu pertandingan seni persembahan budaya masyarakat setempat dan memberikan ganjaran yang besar kepada pemenangnya. Dalam kategori persembahan silat, pesilat yang menunjukkan persembahan yang dianggap membahayakan telah dikumpulkan setempat dan diasingkan daripada pesilat yang mempersembahkan silat pulut yang diiringi oleh bunyi-bunyian seperti gendang. Pesilat-pesilat yang membawakan silat yang berbahaya ini telah ditangkap secara sulit lalu dirantai dan dibawa ke tengah laut dengan perahu untuk dibunuh kerana pemerintah Portugis bimbang bahawa mereka boleh mengancam kedudukan Portugis di bumi Melaka. Ketika berada di tengah laut, dengan izin Allah dan berkat ilmu Silat Seni Gayong, rantai yang mengikat hulubalanghulubalang Melaka itu telah berjaya diputuskan, dan hulubalang-hulubalang Melaka ini telah melawan dan berjaya menumpaskan pengawal-pengawal Portugis yang mengawal mereka. Kerana bimbangkan keselamatan mereka, hulubalang-hulubalang Melaka ini telah mengambil keputusan untuk belayar ke merata-rata gugusan kepulauan Melayu untuk mencari perlindungan. Sesetengah daripada hulubalang Melaka ini telah mendarat di Makasar lalu menetap di situ. Di Makasar ini, ilmu Silat Seni Gayong telah berkembang dengan meluas, terutamanya di kalangan bangsawan Bugis. Orang-orang Bugis inilah yang bertanggungjawab menghidupkan semula kesenian lama ini di Tanah Melayu.

Silat Seni Gayong Malaysia


Silat Gayong dicipta dan diasaskan oleh Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman bin Uda Mohd. Hashim. Beliau dilahirkan pada tahun 1915, dan berketurunan Bugis. Beliau merupakan cicit kepada Daeng Kuning atau lebih dikenali dengan panggilan Panglima Hitam. Meor Abdul Rahman mula mempelajari ilmu persilatan ketika berusia 12 tahun daripada nenda sebelah bondanya, iaitu Tuan Syed Zainal bin Syed Idris Al-Attas. Syed Zainal merupakan salah seorang hulubalang Pahang yang turut sama berjuang menentang campur tangan Inggeris

di negeri Pahang. Syed Zainal mewarisi ilmu Silat Seni Gayong daripada Daeng Ambok Solok, seorang pahlawan Bugis yang tinggal di Jambi, Sumatera. Beliau telah dikhatamkan oleh "Laksamana Hang Tuah" di dalam mimpinya ketika beliau tertidur di atas sebuah batu hampar hitam di tebing sungai dalam kawasan hutan Menam, Thailand. Beliau telah dicurahkan segala rahsia ilmu kepahlawanan dan mempertahankan diri, seterusnya diamanahkan untuk mengembangkan Silat Seni Gayong ini seluas-luasnya, dengan mengikut syarat-syarat tertentu, pada masa-masa tertentu. Perkataan silat itu pada umumnya bolehlah difahamkan sebagai suatu teknik pembawaan bunga-bunga tarian dan pelajaran silat gayong itu pula dimaksudkan kepada buahnya yang sebenar, yang mengandungi hikmat-hikmat kesaktian yang menakjubkan, kepantasan yang luar biasa dan kepintaran yang mengelirukan, yang terkandung di dalam kandungan gerak semula jadi, iaitu pergerakan pantas secara automatik. Silat Gayong yang mengandungi pelajaran sepak-menyepak, tumbuk-menumbuk, tikam-menikam, tangkapmenangkap, hempas-menghempas, buang-membuang, sekat-menyekat, elak-mengelak, hadang-menghadang, tangkis-menangkis dan seumpamanya lagi itu adalah menjadi pakaian keperwiraan kepada setiap lelaki dan wanita. Pelajaran ini amatlah berguna dalam masa kecemasan bagi mempertahankan diri sebagai perisai untuk menghadapi serangan musuh atau lawan. Dalam suatu pertarungan yang menggunakan sepenuh tenaga kekuatan dan kepintaran untuk mengalahkan lawannya, sama ada dengan menggunakan senjata ataupun tanpa menggunakan senjata, pertarungan yang seumpama itu biasanya dinamakan Gayong. Tetapi pelajaran silat yang dimaksudkan kepada bunga-bunga tarian bagi pelajaran gayong itu adalah lebih merupakan pertunjukan atau persembahan yang tertentu, umpamanya untuk menyerikan sesuatu majlis keramaian, atau kerana sesuatu upacara istiadat di dalam kebudayaan Melayu. Maka di dalam pertunjukan yang seumpama itu, ia tidak lebih dari persembahan sebagai imabsan pertarungan yang dipenuhi dengan keindahan seni bunga-bunga tarian dalam pelajaran silat gayong. Ia disampaikan dengan penuh ketenangan jiwa, sabar dan bertata-tertib dan tertaklub kepada taraf majlis di mana persembahan itu diadakan. Persembahan seumpama itu dinamakan bersilat.

You might also like