You are on page 1of 1

TERANGKAN ELEMEN-ELEMEN PENTING DALAM KAWALAN NEGARA

i. Peruntukan Perlembagaan
Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi dan tiada mana-mana pihak boleh membuat
undang-undang dalam Persekutuan yang bercanggah dengan perlembagaan. Perlembagaan telah
menetapkan bidang kuasa kepada pihak-pihak yang tertentu untuk membuat undang-undang
mengenai kewangan, menguatkuasakan undang-undang berkaitan kewangan, memungut dan
membelanjakan hasil negara, serta memeriksa akaun-akaun dalam persekutuan. Semua
peruntukan dan perlembagaan hendaklah dipatuhi untuk mengelakkan terbatal segala proses
dalam pengurusan kewangan mana-mana pihak dalam persekutuan.

ii. Kawalan Pentadbiran


Kawalan Pentadbiran merujuk kepada kawalan kewangan yang berlaku pada tahap jabatan
tertentu. Peruntukan Akta Acara Kewangan 1957 memberi kuasa kepada Menteri Kewangan
melantik pegawai dalam pentadbiran awam yang mengetuai jabatan sebagai Pegawai Pengawal
dalam hal berkaitan kewangan agensi masing-masing. Di samping itu, ini dapat mengelakkan
daripada berlakunya penyalahgunaan kuasa kerana setiap pegawai awam mengetahui sejauh
mana bidang kuasa kewangan yang dibenarkan kepadanya.

iii. Kawalan Parlimen


Parlimen merupakan badan pembuat undang-undang bagi persekutuan dan termaktub dalam
perlembagaan persekutuan. Dalam hal kewangan, Parlimen mengeluarkan akta-akta yang
diterima pakai di seluruh persekutuan. Contohnya, Akta Acara Kewangan 1957 yang
menggariskan tentang peraturan dalam pengurusan kewangan negara. Badan perundangan yang
lebih rendah daripada parlimen, tidak boleh membuat undang-undang yang bercanggah dengan
peruntukan akta berkenaan. Perkara 75 menyatakan bahawa, sekiranya berlaku percanggahan,
maka Akta Parlimen hendaklah dipakai. Belanjawan juga merupakan salah satu daripada
kawalan Parlimen. Ini kerana semua peruntukan belanjawan mestilah melalui proses
pembentangan, perbahasan dan kelulusan ahli-ahli parlimen sebelum dikuatkuasakan.

iv. Kawalan Eksekutif


Kawalan eksekutif adalah merujuk kepada kawalan kabinet melalui kementerian yang
bertanggungjawab dalam hal-hal kewangan, iaitu Kementerian Kewangan. Kementerian
Kewangan juga dikenali sebagai perbendaharaan. Kuasa Menteri Kewangan sebagai pentadbir
kewangan persekutuan diberi melalui peruntukan dalam Akta Acara Kewangan 1957. Menteri
Kewangan juga diberi kuasa untuk mengeluarkan arahan berkaitan kewangan kepada agensi-
agensi perlaksanaan kerajaan. Arahan ini dikenali sebagai Arahan Perbendaharaan. Arahan
Perbendaharaan mengeluarkan garis panduan pengurusan kewangan negara secara terperinci.
Bagaimanapun, arahan perbendaharaan ini boleh dipinda atau ditambah mengikut keperluan
semasa melalui surat pekeliling yang dinamakan Surat Pekeliling Perbendaharaan. Selain itu,
parlimen juga menubuhkan Jawatankuasa Kira-Kira Awam yang terdiri daripada ahli-ahli
dewan. Jawatankuasa ini bertanggungjawab mengkaji dan memeriksa laporan mengenai akaun-
akaun yang dikemukakan oleh Ketua Audit Negara.

You might also like