You are on page 1of 3

Penggunaan Perkataan `ia oleh Abdul Ghalib Yunus

Akhir-akhir ini,penggunaan perkataan ia telah diterima pakai bukan setakat untuk merujuk kata ganti nama diri ketiga manusia tetapi juga untuk bukan manusia. Hal ini mencetuskan polemik dalam kalangan pengguna bahasa apabila penyusun Kamus Dewan edisi Keempat memberikan makna perkataan ia sebagai kata ganti nama diri ketiga manusia, benda, perkara dan juga objek abstrak. Dalam kamus Dewan Edisi Ketiga, perkataan `ia hanya merujuk kata ganti diri ketiga manusia, atau dia. Hal ini bermakna binatang atau benda atau perkara juga boleh dirujuk dengan menggunakan perkataan ia. Alasan yang dikemukakan ialah penggunaan perkataan ia yang ringkas, iaitu terdiri daripada dua huruf menepati ciri-ciri keringkasan. Oleh hal yang demikian, penggunaan perkataan ia akan menjimatkan ruang. Alasan yang kedua ialah perkataan ia perlu digunakan kerana sesuatu perkara atau benda disebut berulang-ulang akan menimbulkan kejanggalan atau kebosanan dan tidak memperlihatkan keindahan. Alasan yang ketiga ialah istilah bidang sains memerlukan perkataan ia. Hujah-hujah tersebut perlu ditolak kerana alasan-alasan yang dikemukakan sangat lemah. Makna perkataan ia yang diberikan dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga perlu dipertahankan, iaitu ia ialah kata ganti diri ketiga; dia. Hujah untuk menyangkal alasan yang pertama tadi ialah ciri-ciri keringkasan tidak boleh dijadikan asas untuk membenarkan sesuatu yang salah sebagai betul. Jika alasan ini diterima, maka bahasa Melayu akan bercelaru. Sebagai contohnya, untuk memenuhi ciri-ciri keringkasan kita terpaksa menggunakan ungkapan *Ini kerana ...bukan Hal ini dikatakan demikian kerana ..., *sehubungan itu ..bukan sehubungan dengan itu,... *selain daripada itu...bukan selain itu..., *daripada... bukan dari...., dan sebagainya. Seterusnya, hujah kedua yang dikemukakan juga perlu ditolak. Alasan yang mengatakan pengulangan perkara yang sama berulang kali akan menimbulkan kejanggalan dan membosankan serta tidak memperlihatkan keindahan. Hujah ini diterima dan diakui kebenarannya.

Namun, perkataan ia jika digunakan untuk merujuk benda atau perkara berulang kali tetap juga menimbulkan kebosanan atau kejanggalan dan tidak memperlihatkan keindahan. Sebenarnya, kita tidak perlu menulis perkataan yang sama berulang-ulang untuk merujuk sesuatu benda. Alasan yang ketiga ialah istilah sains memerlukan perkataan ia. Hujah ini juga ditolak.Hal ini dikatakan demikian kerana bahasa Melayu mempunyai pelbagai kosa kata untuk merujuk sesuatu benda atau perkara sama ada istilah untuk bidang umum atau bidang khusus. Sebagai contohnya, lihat ayat-ayat yang di bawah ini: SODIUM klorida atau lebih dikenali sebagai garam merupakan bahan kimia yang terdiri daripada sodium (Na) dan klorida (CI).Bahan itu terbentuk secara semula jadi di kebanyakan tempat di seluruh negara sebagai galian yang keras.Mungkin masyarakat beranggapan bahawa butiran berwarna putih sebagai bahan perisa dalam makanan ini biasanya ditemukan di meja makan.Mungkin tidak banyak menyedari bahawa kegunaan garam sebenarnya melebihi sesuatu yang disangkakan.Sebagai salah satu elemen terpenting dalam kehidupan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan, garam digunakan begitu meluas sebagai bahan pengawet makanan.Satu hakikat yang pasti hingga kini, belum ada bahan perisa yang setanding dengannya yang dapat menggantikan garam.Tanpa sebarang keraguan, sama ada dicampur atau tidak dengan bahan lain, sodium klorida merupakan ejen pembersih yang terunggul sebelum pembersih dan bahan kimia moden tercipta.Menurut Salt Institute, sebagai komponen makanan tambahan tertua di dunia, garam digunakan terutama dalam masakan dan pemprosesan makanan.Keistimewaan garam ialah bahan tersebut dapat memberikan rasa semula jadi pada makanan dan dapat disesuaikan dengan selera pengguna.Selain itu, butiran yang masin ini juga berfungsi melindungi makanan daripada dirosakkan oleh mikroorganisme dan memastikan tekstur makanan yang diproses dalam keadaan baik.

Komen: Dalam petikan tersebut, perkataan garam tidak perlu diulang banyak kali. Hal ini dikatakan demikian kerana perkataan `garam boleh juga digantikan sebagai Sodium Klorida, bahan itu, butiran berwarna putih, bahan perisa, bahan tersebut, butiran yang masin ini, dan sebagainya. Perhatikan petikan di bawah ini yang mengandungi perkataan ia dan garam yang diulang atau digunakan banyak kali. SODIUM klorida atau lebih dikenali sebagai garam merupakan bahan kimia yang terdiri daripada sodium (Na) dan klorida (CI). garam/ia terbentuk secara semula jadi di kebanyakan tempat di seluruh negara sebagai galian yang keras.Mungkin masyarakat beranggapan bahawa garam/ia sebagai bahan perisa dalam makanan ini biasanya ditemukan di meja makan.Mungkin tidak banyak menyedari bahawa kegunaan garam/ia sebenarnya melebihi apa yang disangkakan.Sebagai salah satu elemen terpenting dalam kehidupan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan, garam/ia digunakan begitu meluas sebagai bahan pengawet makanan.Satu hakikat yang pasti hingga kini, belum ada bahan perisa yang setanding dengannya yang dapat menggantikan garam/ia.Tanpa sebarang keraguan, sama ada dicampur atau tidak dengan bahan lain, garam/ia merupakan ejen pembersih yang terunggul sebelum pembersih dan bahan kimia moden tercipta.Menurut Salt Institute, sebagai komponen makanan tambahan tertua di dunia, garam/ia digunakan terutama dalam masakan dan pemprosesan makanan.Keistimewaan garam/ia ialah garam/ia dapat memberikan rasa semula jadi pada makanan dan dapat disesuaikan dengan selera pengguna.Selain itu, garam/ia juga berfungsi melindungi makanan daripada dirosakkan oleh mikroorganisme dan memastikan tekstur makanan yang diproses dalam keadaan baik. Komen: Penggunaan perkataan garam dan ia dalam petikan tersebut memang kelihatan janggal dan membosankan kerana pengunaan kata-kata tersebut terpaksa diulang. Jika dibandingkan dengan petikan pertama tadi, jelaslah bahawa kata-kata yang pelbagai yang merujuk garam atau sodium klorida tadi memperlihatkan kepelbagaian penggunaan kata justeru memperlihatkan keindahannya. Walau bagaimanapun, penggunaan perkataan ia masih boleh digunakan untuk merujuk benda yang bukan manusia seperti binatang. Hal ini dapat dilihat dalam cerita-cerita yang memaparkan watak-watak binatang yang bertingkah laku seperti manusia. Penggunaan perkataan ia banyak terdapat dalam cerita-cerita seperti cerita Sang Kancil, Kura-kura dengan Arnab dan sebagainya. Dalam cerita-cerita seperti ini, kata ganti nama ia boleh digunakan untuk merujuk binatang. Lihat ayat contoh yang di bawah ini:

1) Sang Kancil sangat cerdik. Ia sering menipu buaya, harimau, dan binatangbinatang yang lain. Pada suatu hari, ... Jika perkataan ia digunakan dengan sewenang-wenangnya seperti dalam ayat (2) yang di bawah ini, ayat tersebut akan menjadi lebih bercelaru jika `lembu dijamakkan sepertiayat (3): 2. Lembu sedang meragut rumput di padang. *Ia terlalu lapar agaknya. 3. Lembu-lembu sedang makan rumput di padang . *Mereka terlalu lapar agaknya. Ayat itu boleh dibetulkan seperti yang berikut: 2a. Lembu sedang meragut rumput di padang. Haiwan itu terlalu lapar agaknya. 2b. Lembu sedang makan rumput di padang. Binatang ternakan itu terlalu lapar agaknya. 3a. Lembu-lembu sedang makan rumput di padang. Binatang itu terlalu lapar agaknya. 3b. Lembu-lembu sedang makan rumput di padang. Haiwan peliharaan itu terlalu lapar agaknya.

Kesimpulannya, penggunaan perkataan ia untuk merujuk kata ganti nama diri hendaklah dikekalkan. Alasan yang mengatakan bahawa penggunaan perkataan ia lebih mudah dan ringkas perlu ditolak. Seterusnya, alasan yang mengatakan laras sains memerlukan penggunaan perkataan ia juga perlu ditolak. Hal ini dikatakan demikian

kerana bahasa Melayu kaya dengan pelbagai kosa kata dan istilah yang berlainan bagi merujuk benda atau perkara yang sama. Masalahnya ialah pengguna itu sendiri yang kurang kreatif ketika membina ayat atau tidak mengetahui kewujudan perkataan lain yang dapat digunakan untuk menyatakan perkara atau benda atau konsep yang sama. Tegasnya, pemberian makna ia yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi ketiga hendaklah dikekalkan untuk menerangkan makna dan fungsi perkataan tersebut. Oleh itu, pemberian makna perkataan ia yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat perlu dikaji semula.

You might also like