You are on page 1of 5

PENGAJARAN KOPERATIF Pendekatan pengajaran kerjasama dikenali juga sebagai pendekatan pembelajaran

koperatif. Pembelajaran kerjasama berkesan digunakan di dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi membantu meningkatkan pencapaian pelajar. Menurut kata pepatah Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh, begitulah senario di dalam proses pengajaran dan pembelajaran di mana pelajar memerlukan suasana yang ceria dan menyeronokkan untuk belajar, wujud sikap saling bantu membantu, interaksi aktif dan perkongsian maklumat atau idea bagi mencapai matlamat pembelajaran yang ditetapkan. Pembelajaran koperatif ditakrifkan sebagai pembelajaran dalam kelas di mana pelajar belajar secara bekerjasama dalam kumpulan kecil yang terdiri daripada pelajar yang mempunyai aras kebolehan yang berbeza ( kumpulan heterogenus ). Pelajar diberi tugasan dan mereka perlu belajar cara menyelesaikannya, memastikan ahli lain dalam kumpulan juga dapat menyelesaikannya. Menurut Slavin ( 1995 ), rakan sebaya dikatakan berupaya menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh pelajar semasa menerangkan konsep yang sukar. Kajian mendapati pendekatan koperatif berkesan dalam meningkatkan pencapaian akademik pelajar, meningkatkan kemahiran penyelesaian masalah,

memperbaiki suasana pembelajaran serta meningkatkan hubungan sosial pelajar. Kajian Newman & Thompson ( 1987 ), menunjukkan interaksi sesama pelajar yang menjadi ciri utama dalam pembelajaran koperatif berupaya meningkatkan pencapaian pelajar.

Pembelajaran koperatif atau kerjasama ini mempunyai ciri-ciri utama yang dirumuskan oleh tokoh-tokoh pendekatan koperatif seperti David Johnson & Roger Johnson ( 1999 ), Robert Slavin ( 1995 ), Shlomo Sharan & Yael Sharan ( 1992 ) dan Spencer Kagan ( 1994 ). Ciri pertama, pembentukan kumpulan iaitu saiz kumpulan secara relatifnya adalah kecil dan bersifat heterogeneous. Saiz kumpulan yang biasa digunakan ialah empat atau

lima orang ahli. Pada dasarnya, ahli kumpulan ini terdiri daripada ahli yang berbeza jantina, tahap kebolehan akademik, etnik atau kelas sosial. Ciri kedua, penetapan matlamat kumpulan yang bersandarkan kepada pergantungan positif. Ahli kumpulan mengenal pasti matlamat spesifik yang hendak dicapai dan setiap individu di dalam kumpulan perlu saling menyokong antara satu sama lain dengan memberi sumbangan khusus kepada usaha kumpulan. Sikap saling bergantungan positif

mendedahkan pelajar kepada cara untuk membantu antara satu sama lain bagi menyelesaikan masalah atau menyempurnakan tugas yang diberi. Ciri ketiga, interaksi dalam kumpulan. Interaksi berlaku melalui pengajaran rakan sebaya, saling bertukar maklumat dan bahan, mencabar hujah-hujah rakan, memberi maklum balas dan galakan. Pelajar memajukan pelajar lain dengan membantu, berkongsi dan menggalakkan usaha pembelajaran. Strategi round table, round robin, jigsaw dan

gallery tour jelas memperlihatkan keperluan setiap ahli kumpulan berinteraksi sesama sendiri. Ciri keempat, tanggungjawab individu atau akauntabiliti individu. Setiap individu dalam kumpulan perlu memberi sumbangan ke atas keberkesanan pembelajaran dan ke arah pencapaian matlamat kumpulan. Sumbangan ini berupa skor atau tanggungjawab individu dalam projek kumpulan. Walaupun setiap pelajar bekerjasama dalam tugasan namun individu itu sendiri bertanggungjawab terhadap pencapaiannya sendiri. Terdapat pelbagai strategi pembelajaran koperatif ( kerjasama ) yang boleh diaplikasikan dalam proses pengajaran. Strategi pertama ialah Strategi Jigsaw yang

diperkenalkan oleh Elliot Aronson ( 1978 ) terdapat dua kumpulan iaitu kumpulan pembelajaran dan kumpulan pakar. Setiap kumpulan terdiri daripada empat orang ahli, diberi tajuk kecil yang berbeza dan mengandungi satu bahagian daripada pelajaran. Untuk berjaya, semua pelajar perlu mengetahui keseluruhan pelajaran. Ahli yang mempunyai tajuk kecil yang sama daripada kumpulan berlainan akan meninggalkan kumpulan untuk

membentuk kumpulan pakar, mereka akan berbincang dan menentukan cara terbaik untuk memberi penjelasan kepada rakan sebaya dalam kumpulan asal.

A1 A3

A2 A4

C1 C3

C2 C4

A1 C1

B1 D1

A2 C2

B2 D2

B1 B3

B2 B4

D1 D3

D2 D4

A3 C3

B3 D3

A4 C4

B4 D4

Kumpulan Pembelajaran atau Kumpulan Asal

Kumpulan Pakar

Strategi kedua ialah Strategi Kajian Berkumpulan atau Group Investigation. Memberi penekanan kepada pilihan dan kawalan yang lebih kepada pelajar. Setiap kumpulan akan menggunakan kaedah inkuiri, perbincangan, membina pelan bertindak dan perancangan secara koperatif untuk menjalankan projek. Semua ahli saling membantu dalam merancang bagi meneruskan penyelidikan terhadap topik yang dipilih dan membahagikan tugas di antara mereka diikuti dengan membuat penyiasatan. Selesai penyiasatan pelajar akan mensintesiskan, merumus dan mempersembahkan dapatan kumpulan mereka di dalam kelas ( Sharan & Sharan, 1992 ). Teknik ini menggabungkan proses demokrasi dan persoalan akademik. Guru bertindak sebagai penyedia sumber maklumat dengan memberi arahan dan penjelasan. Tugas guru ialah membentuk satu persekitaran kerja yang merangsang minat pelajar ( Blosser, 1992 ). Strategi ketiga ialah Strategi Pertandingan-Permainan-Berpasukan atau Teams-GamesTournament ( TGT ). Terdapat dua kumpulan iaitu kumpulan pembelajaran dan kumpulan pertandingan. Kumpulan pembelajaran terdiri daripada empat atau lima orang ahli. Manakala setiap kumpulan pertandingan terdiri daripada wakil setiap kumpulan

pembelajaran yang sama tahap kebolehan. Setiap wakil kumpulan akan menjawab soalan yang diberikan dan mengumpul skor bagi kumpulan pembelajaran masing-masing. Skor yang diperolehi oleh setiap ahli kumpulan melalui pertandingan dijumlahkan menjadi skor kumpulan. Kumpulan pembelajaran yang mendapat skor terbanyak akan diberi ganjaran. Strategi keempat ialah Strategi Think-Pair-Share. Merupakan strategi perbincangan yang melibatkan empat langkah. Pelajar belajar mendengar (listen) apabila soalan dikemukakan, berfikir (think) tentang respons yang akan diberi, berpasangan (pair) dengan rakan untuk berbincang tentang respons dan berkongsi (share) respons dengan rakan sekelas.

Rujukan : Wan Izzuddin Wan Sulaiman dan Wan Hasni Wan Sulaiman ( 1991 ). Strategi Belajar yang Berkesan. Kuala Lumpur : Sabha- DTP Services Sdn.Bhd Ismail Said ( 2009 ). Kaedah Pembelajaran Koperatif Sekolah Rendah. Selangor : Karisma Publications Sdn.Bhd Manisah Mansor dan Tengku Zawawi bin Tengku Zainal, Phd ( 2011 ). Kesan Pembelajaran Koperatif ke atas Pencapaian Matematik dan Pengekalan Pengetahuan dalam Kalangan Pelajar Tingkatan Dua. Muaddib Jurnal Penyelidikan Jilid VII.

Dr Norhayati Haji Alwi, Dr Aida Suraya Haji Md Yunus dan Dr Rohani Ahmad Tarmizi ( 2006 ).Perancangan Kurikulum Pendidikan Matematik. Kuala Lumpur : UNITEM Sdn.Bhd

You might also like