You are on page 1of 9

LAPORAN REFLEKTIF

PRAKTIKUM FASA 1 ( 1 April 26 April 2013)


Tarikh: 1 April 2013
Aktiviti: Sesi Taklimat Bersama Guru Besar Sekolah Kebangsaan ST.
Michael
Pada mulanya saya menjejakkan kaki ke Pejabat Sekolah Kebangsaan
Pengkalan, saya tidak disambut oleh sesiapa melainkan pembantu am yang
sedang menjalankan tugas hariannya. Walaupun saya berasa sedikit berdebar,
tetapi setelah berjumpa dan berkenalan dengan beliau, saya berasa tenang dan
teruja untuk berkhidmat di sekolah ini.
Sesi taklimat bersama Encik Husni Bin Haji Abdul Manan Tuan Guru
Besar Sekolah Kebangsaan ST. Michael dijalankan pada hari pertama kami
melapor diri. Taklimat dan perbincangan ini agak panjang kerana terdapat sedikit
percanggahan maklumat antara penolong kanan akademik dan juga guru
pembimbing. Kami bersuai kenal dengan barisan pentadbiran, pembantu am
pejabat dan semua staf-staf yang ada. Tuan guru besar memberikan amanatnya
dan berharap kami dapat menjalankan tugas dengan baik dan memberi
komitmen sepenuhnya terhadap murid-murid dan sekolah.
Berdasarkan sesi perbincangan dan soal jawab bersama Guru Besar,
saya dapati bahawa beliau merupakan seorang yang mesra rakyat dan amat
mementingkan kualiti kerja. Segala nasihat dan panduan daripada beliau
membuat diri saya menjadi tidak sabar-sabar untuk mengajar dan mencurahkan
ilmu kepada murid-murid. Seterusnya, beliau juga meminta agar kami tidak
mempersia-siakan masa selama empat minggu ini dengan menimba banyak
pengalaman dan meminta tunjuk ajar daripada guru pembimbing.
Dengan peluang dan kepercayaan yang diberikan, saya berasa amat
terharu dan teruja untuk berkhidmat di SK ST Michael ini. Saya berazam akan
memberi komitmen sepenuhnya kepada pihak sekolah dan menimba seberapa


banyak ilmu dan pengalaman daripada para guru terutamanya guru pembimbing
kami iaitu Puan Nizariah Bt. Johari. Oleh itu, saya akan membuat persiapan dan
perancangan yang baik ketika membuat Rancangan Pengajaran Harian supaya
pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas terkawal dan berjalan
lancar. Namun sedikit masalah saya ialah apabila ditempatkan untuk mengajar
kurikukulum baru Kurikulum Standard Sekolah Rendah. Saya masih belum
berpengalaman dalam mengaplikasikan KSSR dalam mana-mana pengajaran
mikro dan makro di maktab. Namun saya terima semua dengan positif dan
rasional. Pada awal pagi hari pertama, saya telah datang ke sekolah walaupun
saya tahu sebelum itu sekolah ini bermula pada jam 1.00 tengah hari, namun
saya terpaksa kembali ke rumah semula kerana sekolah sama sekali belum
bermula.
















Tarikh : 1 April 2013
Akiviti : Sesi Taklimat Bersama Puan Nizariah Bt. Johari
Sesi taklimat bersama guru pembimbing saya iaitu Puan Nizariah Bt. Johari
diadakan di bilik gerakan yang berhawa dingin lagi selesa. Beliau merupakan
seorang guru yang berpengalaman mengajar Tahun 2 dan Tahun 3 dan secara
tidak langsung beliau agak mahir mengendalikan KSSR. Kami bertanyakan
soalan bertubi-tubi kepada Pn Nizariah berkenaan KSSR kerana betapa
ceteknya ilmu kami tentang KSSR. Sepanjang sesi suai kenal dan taklimat
bersamanya, saya dapati eliau merupakan seorang yangprihatin dan mengambil
berat. Maka, saya berasa amat selesa untuk berkongsi idea dan tidak kekok
untuk menimba pengalaman daripada beliau.
Beliau berharap agar saya dapat mempraktikkan segala ilmu pedagogi
yang saya pelajari di Institut Pendidikan Guru (IPG). Segala panduan dan
nasihat yang diberikan untuk pertemuan kali pertama ini membuatkan saya
berasa amat bangga menjadi anak didik beliau dan berharap beliau dapat
membantu mempertingkatkan potensi saya dan kemahiran pengajaran saya
ketika proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Saya juga akan
berusaha untuk mengaplikasikan segala ilmu yang dicurahkan oleh pensyarah-
pensyarah di IPG. Selain itu, saya juga akan merujuk dan meminta pendapat
beliau ketika membuat Rancangan Pengajaran Harian (RPH) supaya pengajaran
lebih tersusun dan berusaha mencapai objektif pelajaran.
Saya mengambil kesempatan yang ada bersamanya untuk meminta
nasihat dan segala tips-tips pengajaran untuk mengkonduksikan kelas
sebaiknya. Dalam taklimat ini juga, saya telah diberikan amanat untuk membantu
guru-guru unit beruniform Tunas Kadet Remaja Sekolah dan permainan takraw
untuk program Satu Murid Satu Sukan. Justeru, setiap hari isnin dan rabu saya
perlu hadirkan diri awal ke sekolah seawal jam 11 pagi untuk menghadiri sesi
kokurikulum sekolah.


Saya juga diberi kepercayaan untuk mengkonduksikan kelas Tahun 2
Bestari sebagai tugas saya yang utama dan jadual pengajaran juga telah
diberikan. Manakala rakan praktikum saya, saudara Zulhilmi telah diberi amanat
untuk mengajar Tahun 2 Cemerlang bersebelahan dengan kelas yang bakal
saya ajar. Jadual saya bermula pada hari isnin jam 4.20 petang hingga 5.20
petang dan berturut-turut pada hari-hari yang berikutnya kecuali hari selasa. Hari
ini saya telah mula diberi peluang untuk melihat pengajaran Pn Nizariah dan
pada sesi akhir pengajarannya saya diberi peluang lagi untuk memperkenalkan
diri kepada murid-murid.
Pada hari yang sama juga, saya berjumpa dengan Pn. Hasnora selaku
guru bahasa Melayu kelas yang bakal saya ajar untuk berbincang dari aspek
jadual dan penyesuaian masa yang sesuai untuk dipersetujui bersama. Pn.
Hasnora sangat prihatin dan memahami tugasan kami sebagai guru praktikal.
Beliau memberikan sedikit sebanyak tunjuk ajar dan memperkenalkan keadaan
kelas yang bakal saya ajar secara menyeluruh. Oleh itu, saya telah dapat
mengenalpasti murid-murid yang perlu diperhatikan bagi memudahkan proses
kelancaran mengajar kelas tersebut. Menjadi satu cabaran bagi saya apabila
kelas yang bakal saya ambil alih terdiri daripada berbilang bangsa dan agama
dan yang lebih menarik ialah semua murid dalam sekolah tersebut ialah lelaki.
Sesi persekolahan berakhir pada jam 6.20 petang pada hari isnin kerana di
hujung waktu akan diadakan perhimpunan mingguan. Saya dan sahabat-sahabat
praktikum saya yang lain diperkenalkan di perhimpunan tersebut oleh Tuan Guru
Besar.







Tarikh : 2 April 2013
Aktiviti : Latihan Kompang Bersama En. Faedzal
Seawal jam 11.00 pagi, saya telah berada di sekolah kerana diberi kepercayaan
untuk membantu guru kompang yang dikenali dengan nama Cikgu Faedzal
melatih kumpulan kompang sekolah yang bakal bertanding dalam pertandingan
Kompang Formasi Peringkat Kelompok pada bulan hadapan. Sepanjang latihan
tersebut, saya mempelajari ilmu yang sangat bermakna, bukan sahaja ilmu
berkaitan kompang, malah ilmu pedagogi mengajar kanak-kanak awal usia
bermain kompang dalam pasukan. Seorang guru perlu rajin dan berusaha gigih
untuk melatih sebuah pasukan yang terdiri daripada kanak-kanak sekolah
rendah untuk menyertai apa-apa pertandingan luar sekolah. Hal ini demikian
kerana, apa yang saya dapat perhatikan, komitmen guru dalam latihan ini
menyumbang sebanyak 90 peratus untuk memastikan kejayaan dapat dicapai,
selebihnya sokongan dan semangat daripada murid itu sendiri. Selepas tamat
latihan Cikgu Faedzal mempelawa saya minum bersama dan kami bersuai kenal
antara satu sama lain. Pengalaman mengajar beliau selama 13 tahun sangat
mengujakan saya untuk mencungkil tips-tips mengajar yang berkesan dan
kaedah terbaik untuk mengawal kelas yang terdiri daripada semua lelaki.
Selain itu, beliau menasihatkan saya agar sentiasa melibatkan diri secara
aktif dalam bidang Kokurikum di sekolah dan jadilah guru yang paling awal
datang ke sekolah dan paling akhir balik dari sekolah kerana mengajar dengan
ikhlas dan bersungguh-sungguh dalam membina jati diri dalam diri murid. Saya
akan berusaha untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran-kemahiran
Kokurikulum supaya dapat menjadi guru yang berkualiti pada masa akan datang.






Tarikh : 3 April 2013
Aktiviti : Kokurikulum (Tunas Kadet Remaja Sekolah)
: Permulaan sesi pengajaran di kelas.
Aktiviti kokurikulum di Sekolah Kebangsaan ST. Michael dijalankan pada setiap
hari Rabu bermula pada jam 11.15 pagi hingga 1.00 petang. Pada hari tersebut,
saya dan rakan diminta hanya memerhatikan apa yang dilakukan oleh guru
TKRS yang bertugas. Mereka menjalankan aktiviti asas pergerakan kawad kaki
untuk aktiviti mingguan pada kali ini.

Pada hari ini, saya telah mula mengajar seawal jam 1.00 tengah hari
hingga jam 2.00 petang. Buat pertama kalinya dalam hidup saya mengajar
kanak-kanak Tahun 2, saya rasa sangat seronok bila berhadapan dengan murid-
murid walaupun pada awalnya jantung berdegup sangat kencang.
Walaubagaimanapun, buat permulaan ini saya gagal dalam mematuhi masa
yang diperuntukkan dalam langkah-langkah pengajaran seperti yang saya telah
rancang. Agak malang apabila saya tidak menyedari waktu pengajaran saya
telah tamat pada langkah ke tiga. Walaubagaimanapun aktiviti objektif
pengajaran saya pada hari tersebut telah pun tercapai.

Masalah yang saya hadapi semasa mengajar kelas tersebut ialah pada
sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung terdapat beberapa orang pelajar
kerap ke tandas silih berganti, seolah-olah menjadi permainan mereka semasa
aktiviti P&P dijalankan. Buat kali pertama mengajar ini saya agak susah untuk
menahan mereka dari pergi ke tandas kerana bimbang sekiranya mereka benar-
benar perlu melakukan proses urinisasi. Hal ini menjadikan kawalan kelas agak
terganggu. Apa yang saya dapat perhatikan, hari pertama saya mengajar, murid
ke tandas bersilih ganti dengan bergilir-gilir seramai dua orang. Pengajaran dan
pembelajaran saya terganggu dengan riuh rendah suara murid meminta izin ke
tandas. Pada sesi pengajaran berikutnya, saya berharap perkara ini tidak
diulangi lagi. Saya akan memikirkan jalan terbaik bagi membendung masalah ini
daripada berulang lagi.


Tarikh : 4 April 2013
Aktiviti : Latihan Kompang Bersama En. Faedzal (Sesi Pengajaran Dan
Pembelajaran Kedua)

Seawal jam 11.00 pagi, saya sekali lagi membantu En. Faedzal melatih
kompang. Kali ini, Cikgu Faedzal telah membentuk formasi dalam permainan
kompang. Sebanyak tiga formasi berjaya dibentuk pada pagi itu. Formasi yang
telah dibina itu akan diperkemaskan dari hari ke hari pada sesi latihan yang
berikutnya. Sejurus selepas latihan tamat, giliran saya pula belanja beliau minum
di kafeteria sekolah. Kami masih bertukar-tukar cerita dan saya menggunakan
kesempatan ini, mencungkil ilmunya dalam mengawal murid yang nakal dan
aktif. Saya meminta pandangannya untuk menyelesaikan masalah yang saya
hadapi pada pengajaran pertama saya iaitu masalah murid kerap ke tandas.
Beliau memberikan beberapa kaedah yang bagi saya kaedah itu boleh
dijalankan terhadap murid-murid saya.

Justeru, pada pengajaran hari ini saya telah mengaplikasikan apa yang
telah dicadangkan oleh Cikgu Faedzal iaitu sediakan kad kebenaran keluar ke
tandas dan seorang sahaja yang dibenarkan ke tandas. Pada awalnya agak
berkesan namun pada pertengahan langkah pengajaran, keadaan kelas menjadi
agak tidak terkawal apabila lembaran kerja diberikan kepada murid. Murid yang
telah siap mula menggangu rakan lain yang masih belum menyiapkan tugasan
tersebut. Pada sesi akhir pembalajaran murid, saya terpaksa meninggikan suara
dan watak saya berubah kepada seorang guru yang tegas. Saya akan
memikirkan cara terbaik untuk mengatasi masalah ini pada sesi pengajaran
berikutnya supaya perkara ini tidak berlaku lagi.






Tarikh : 5 April 2013
Aktiviti : Latihan Kompang Bersama En. Faedzal ( Sesi Pengajaran Ketiga)
: Sesi Pengajaran Berpasangan

Pada hari ini, saya dan sahabat saya saudara Zulhilmi Bin Noh telah
menjalankan aktiviti pengajaran berpasangan. Alhamdulillah semuanya berjalan
lancar. Apa yang menarik pada pembelajaran hari ini ialah saya telah
menggunakan kaedah main peranan kepada murid-murid. Ternyata kaedah ini
membuatkan murid tidak bosan belajar. Saya telah memanggil seorang murid
yang paling nakal dalam kelas tersebut untuk memegang watak sebagai peronda
taman perumahan dengan memakai baju keselamatan, baray tersarung di
kepala dan memegang lampu suluh hitam panjang. Hasilnya, di akhir aktiviti
murid ini boleh mendengar arahan dengan baik dan menyiapkan tugasan yang
saya berikan. Saya berasa sangat puas hati dan seronok dengan respon murid
pada hari ini. Pengajaran saya berlangsung hingga ke langkah dua kemudian
saudara Zulhilmi mengambil alih tugas saya dari langkah tiga hingga ke akhir.

Selepas tamat sesi pengajaran, guru pembimbing Pn. Nizariah
memberikan ulasan dan sedikit komen tentang pengajaran pada hari ini.
Menurutnya, dari aspek aktiviti berjalan dengan agak baik, namun dari aspek
soalan-soalan yang saya lontarkan kepada murid belum mencapai tahap yang
boleh mencabar pemikiran murid. Adalah lebih baik jika saya meninggikan sedikit
aras soalan yang saya lontarkan kepada murid-murid supaya membuatkan
mereka berfikir. Maka hasilnya kita dapat melihat keupayaan murid yang
berbeza-beza dalam kelas tersebut.

Sesi persekolahan hari ini tamat pada jam 6.35 petang. Namun seperti
hari-hari biasa saya dan saudara Zulhilmi terpaksa menunggu lebih kurang 20 ke
30 minit untuk menunggu hujan lebat kembali reda kerana menunggang
motosikal ke sekolah. Bulan ini taburan hujan di kawasan sekitar Ipoh agak
banyak begitu juga dengan kawasan-kawasan lain. Apa yang boleh kami lakukan


hanyalah tunggu, lihat dan tawakal sahaja, mungkin ini lumrah menjadi seorang
guru. Setiap pekerjaan pasti ada ujiannya tersendiri.

You might also like