You are on page 1of 9

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?

y=2009&dt=0322&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama
&pg=ru_02.htm

Ramai guru sakit jiwa
Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN
nor.afzan@kosmo.com.my
Profesion perguruan terdedah kepada risiko tinggi untuk mengalami tekanan mental.

PESAKIT mental terpaksa berjumpa pakar psikiatri secara berkala.



BEBANAN kerja sebagai guru semakin kompleks kerana selain mengajar, mereka juga terpaksa
menyediakan soalan-soalan peperiksaan dari semasa ke semasa, mengisi buku kedatangan, buku
disiplin dan ringkasan mengajar, borang kesihatan dan rekod kemajuan murid, kelab dan persatuan,
serta mengendalikan persiapan hari sukan.
Justeru, guru-guru dikatakan terdedah kepada risiko tinggi untuk mengalami tekanan sehingga boleh
membawa kepada penyakit mental yang serius seperti bipolar, kebimbangan melampau dan
kemurungan.
Kajian oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendapati 70 peratus daripada
9,000 guru di seluruh negara tertekan bukan sahaja kerana beban tugas tetapi juga terpaksa berdepan
dengan kerenah pengetua, kerani, ibu bapa dan juga pelajar.
Bagi Noreha (bukan nama sebenar), selain terpaksa berdepan dengan masalah rumah tangga, dia turut
tertekan dengan kerenah pengetua sekolah tempatnya bertugas.
Guru berusia 46 tahun itu yang ditemui di Wad Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM)
berkata, dek kerana tekanan, dia sering diketepikan dalam pelbagai aktiviti sekolah.
"Sebelum ini saya memang sudah mengalami tekanan. Pengetua pula selalu mempertikaikan cuti yang
saya pohon sedangkan surat daripada doktor disertakan.
"Bila kerja semakin bertambah, dicampur pula dengan tekanan daripada orang atas dan kerenah anak-
anak, saya semakin runsing," katanya.
Noreha yang merupakan penanda kertas peperiksaan Matematik untuk peperiksaan Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) memberitahu, dia sebenarnya seronok menjadi
guru.
"Saya memang suka mengajar, lebih-lebih lagi apabila murid banyak bertanya dan cemerlang dalam
peperiksaan. Tetapi keadaan sekeliling seperti pengurusan sekolah dan rakan sejawatan banyak
memberi tekanan.
"Ada juga yang faham keadaan saya, tetapi lebih ramai yang mengatakan saya gila. Mereka tidak faham
mengapa saya perlu cuti untuk pergi berjumpa pakar psikiatri. Mereka juga anggap saya terlalu ikutkan
perasaan," jelasnya.


HARAPAN yang tinggi terhadap keputusan peperiksaan pelajar turut memberi tekanan kepada golongan guru.



Noreha yang berasal dari Pulau Pinang tidak menafikan pihak sekolah ada memberi pelepasan
kepadanya tetapi apa yang menyesakkan fikirannya ialah cutinya sering menjadi buah mulut orang.
Ada yang mendakwa Noreha sengaja menjadikan tekanan yang dialaminya sebagai alasan untuk bercuti.
"Secara fizikalnya saya memang sihat, tetapi dalaman saya berkecamuk. Saya bukan buat-buat sakit.
Ikutkan hati, saya tak mahu masuk hospital dan tinggalkan keluarga dan kerjaya saya," katanya.
Ibu kepada dua orang anak ini juga memberitahu, dia cuba untuk mengawal perasaannya daripada terus
tertekan, tetapi adakalanya semakin dia cuba untuk tenang, semakin agresif pula jadinya.
"Kadang-kadang saya tak rasa tertekan. Saya rasa sihat, tetapi orang sekeliling tak anggap begitu,
mereka mula sorokkan pisau. Kebelakangan ini saya kerap dimasukkan ke wad berbanding dulu,"
katanya.
Kerja tujuh hari seminggu
Berbeza dengan Norehan, akibat terbeban dengan kerja sebagai guru JQAF, Zaimah Mishan, 42, pernah
mengalami sakit jiwa.
Dia yang mengajar sekolah aliran agama tidak mampu untuk menanggung beban tersebut lebih-lebih lagi
banyak masa dihabiskan di sekolah berbanding bersama keluarga.
"Saya pernah mengalami masalah jiwa iaitu kecelaruan bipolar sehingga saya tidak mampu mengajar.
Enam bulan saya dirawat dan direhatkan.
"Ramai melihat guru JQAF tidak banyak kerja memandangkan mereka hanya mengajar agama tidak
seperti sekolah aliran kebangsaan. Namun, mereka juga dibebani
dengan komitmen luar," katanya.


NOR ZURAIDA




Zaimah yang pernah mengajar di beberapa buah sekolah berkata,
ada pengurusan sekolah yang memahami tanggungjawab guru JQAF namun ada juga sekolah yang
menyamakan guru JQAF seperti guru-guru lain.
"Semasa saya mengajar di sekolah A, saya pernah bekerja tujuh hari seminggu, dari pagi hinggalah
petang sampaikan tiada masa untuk suami dan anak-anak.
"Hari Isnin hingga Jumaat, saya mengajar seperti biasa. Kadang-kadang saya diminta menggantikan
guru lain mengajar subjek bukan aliran JQAF.
"Hari Sabtu pula, ada kegiatan kokurikulum yang mana semua guru terlibat dan hari Ahad pula saya
selaku guru JQAF diwajibkan terlibat dalam Kem Bestari Solat," katanya.
Menurut Zaimah, beban terlalu berat yang tidak dipantau oleh pegawai yang sepatutnya itu ternyata
memberi kesan kepada guru-guru JQAF.
"Kami terbeban, tersepit, letih, dan hampir kenamental block. Masa yang ada untuk berehat ialah waktu
malam, itu pun kami terpaksa bawa pulang buku latihan murid-murid untuk ditanda.
"Itu tidak termasuk kursus atau kertas kerja yang perlu dibereskan untuk aktiviti gerak kerja," katanya.
Zaimah yang baru lima bulan mengajar semula selepas bercuti panjang menjelaskan, keadaan dirinya
ketika 'sakit' dahulu bertambah teruk lebih-lebih lagi apabila suaminya berkahwin lain dan anak-anak
enggan berjumpa dengannya.
"Bila saya tertekan dengan kerja, suami kata dia nak kahwin lain dengan alasan saya terlalu sibuk
dengan kerja. Keadaan saya bertambah teruk waktu itu.
"Bila sakit saya datang, anak-anak tidak mahu dekat dengan saya. Hanya keluarga saya yang datang
memberi sokongan untuk saya jalani terapi dan rawatan di hospital.
"Selepas bercuti lama, saya mengajar di sekolah lain. Alhamdulillah, selepas menjalani rawatan dan sesi
kaunseling, saya sudah boleh mengawal tekanan di tempat kerja. Suami dan anak-anak pula sudah
kembali pada saya," katanya.
Berisiko mendapat penyakit kritikal
MENURUT Pakar Perunding Kanan Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Nor
Zuraida Zainal, setiap tahun dianggarkan 22,000 pesakit mendapatkan rawatan di klinik dan wad psikiatri
hospital berkenaan. Kira-kira 10 peratus daripada mereka terdiri daripada golongan guru.
Guru sekarang tidak seperti guru zaman dahulu. Guru sekarang terbeban kerana banyak tugasan baru
yang perlu dilaksanakan selain mengajar.
Di samping sibuk dengan aktiviti persatuan, panitia, kelab, rumah sukan, kursus dan gerak kerja luar
sekolah, guru-guru juga perlu berdepan dengan tekanan lain.
Mereka turut berhadapan dengan perangai pelajar dan kerenah ibu bapa serta pengetua yang sentiasa
menaruh harapan tinggi untuk melahirkan pelajar cemerlang dalam peperiksaan, katanya.
Ramai ibu bapa, tidak kira di bandar atau di luar bandar, masih menganggap bahawa sekolah dan pusat
tuisyen ialah tempat untuk mendidik anak mereka dan menyerahkan tanggungjawab itu sepenuhnya
kepada guru.

Apabila ada anak yang gagal, sesetengah ibu bapa terus menuding jari kepada guru sedangkan
kejayaan para pelajar tidak hanya bergantung kepada pengajaran di sekolah.
Bercakap mengenai gejala tekanan yang sering dialami oleh pesakit-pesakitnya yang juga guru, Nor
Zuraida memberitahu, kebanyakan mereka menghidap kecelaruan bipolar iaitu kewujudan pelbagai
karakter yang berlawanan dengan keadaan guru terbabit sebelumnya. Ini diikuti kebimbangan melampau
dan kemurungan.
Mereka yang mengalami kecelaruan bipolar nampak sihat seperti biasa, malah pada tahap hipoaktif,
mereka menjadi rajin dan produktif dalam melakukan sebarang kerja walaupun tidak mempunyai waktu
rehat yang cukup.
Tetapi kerja yang dilakukan tidak pernah habis dan ini yang mendatangkan sangsi kepada orang di
sekeliling mereka, katanya.
Tiga faktor utama yang menyebabkan tekanan ialah keturunan, faktor sekeliling seperti kerja dan jaringan
sosial seperti keluarga, rakan-rakan dan masyarakat.
Sekiranya terdapat keturunan yang mempunyai masalah jiwa, risiko untuk guru mendapat tekanan
menjadi lebih tinggi.
Malah, jelas Nor Zuraida, guru yang tertekan berisiko empat kali ganda lebih tinggi untuk mendapat
penyakit kritikal seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang.
Tanda-tanda awal penyakit ini bermula dengan kemurungan. Guru akan mula hilang tumpuan mengajar,
bosan, pendiam dan jika berlarutan mereka tidak mampu lagi untuk mengajar dan melakukan aktiviti
harian.
Sekiranya wujud keadaan-keadaan seperti ini, pihak pengurusan sekolah perlu memahami dan
membantu guru berkenaan dengan mengurangkan waktu dan kelas mengajar serta memberi
kelonggaran untuk menjalani terapi dan kaunseling, jelas Nor Zuraida.











http://ppdkerian.edu.my/portal/modules.php?name=News&file=article&sid=842
Ibu bapa punca guru tertekan
Tarikh: Monday, August 06 @ 06:43:41 MYT
Sikap ibu bapa yang terlalu mengharapkan guru mengajar anak mereka sehingga muncul sebagai pelajar
cemerlang dalam akademik menjadi punca utama mereka menghadapi tekanan di tempat kerja
sehingga menjejaskan prestasi perkhidmatan masing-masing.
Kajian Unit Kaunseling Jabatan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), bagi mengenal pasti
masalah guru di seluruh negara tahun lalu mendapati, 83 peratus guru berasa tertekan dengan harapan
tinggi ibu bapa itu.
Selain itu, faktor beban tugas yang terlalu banyak khususnya bagi kerja pentadbiran, juga disifatkan
sebagai antara punca utama guru menghadapi tekanan di tempat kerja selain peluang kenaikan pangkat
serta membina kerjaya yang terhad.
Kajian yang dilakukan hasil kerjasama Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP),
membabitkan 9,328 guru di seluruh negara itu juga mendapati, faktor lain menyumbang kepada
tekanan terhadap guru ialah sistem penilaian prestasi yang tidak adil.
Selain itu, kurang minat warga pendidik dalam profesyen perguruan juga menjadi penyebab masalah
tekanan terutama apabila ia membabitkan pihak pengurusan sekolah dan pelajar, selain ibu bapa
pelajar.
Penanda aras yang ditentukan pengurusan sekolah kepada guru bagi memastikan warga pendidik
memberi perkhidmatan cemerlang dalam membantu pelajar memperoleh keputusan cemerlang juga
menambah tekanan mereka di sekolah.
Selain itu, penyelidikan enam bulan itu juga mendapati, kemudahan infrastruktur di sekolah yang serba
kekurangan sehingga menyukarkan guru memberi perkhidmatan terbaik kepada pelajar sama ada di
dalam dan luar kelas.
Presiden NUTP, Anuar Ibrahim, berkata ramai guru mengadu kepadanya mengalami tekanan sehingga
ada yang terpaksa mengambil ubat penenang bagi mengatasi kebuntuan masalah yang dihadapi.
Bagaimanapun, beliau berkata, sehingga kini pihaknya masih belum menerima laporan mengenai guru
yang gagal mengatasi tekanan sehingga terpaksa direhatkan dan dimasukkan ke pusat rawatan mental,
tetapi tidak menafikan ramai yang terpaksa mendapatkan bantuan kaunseling.
Saya selalu nasihatkan guru supaya jangan berundur daripada profesyen ini kerana mereka (guru)
adalah arkitek bangsa yang akan mencorakkan masa depan Negara. katanya kepada Berita Minggu.
Selain itu, Anuar berkata, kemampuan guru untuk mengajar pelajar masing-masing mendapat semua A
dalam semua subjek memang tidak dapat dinafikan, bagaimanapun jika aspek mengajar ditekankan
lebih daripada mendidik ia boleh mencetuskan masalah lain.
Pendidik sekarang hanya mengajar untuk membantu pelajar mendapat keputusan 10A, 8A, meneruskan
pengajian ke peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD), ijazah sarjana tanpa sempat mendidik.

Memang guru boleh mengajar sehingga seseorang itu boleh menjawat jawatan Ketua
Pegawai Eksekutif (CEO), tapi kalau tidak mendidik kita takut ada yang menyeleweng,
pegawai bank menipu duit dan kakitangan kerajaan terbabit rasuah. katanya.

Sumber : Berita Harian, 05 Ogos 2007"



Seksa jadi cikgu
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Seksajadicikgu/Article/

Guru tertekan cuba bakar diri di tengah padang

BEZIERS (Perancis): Seorang guru matematik yang tertekan membakar dirinya di tengah padang sekolah semalam,
tetapi dia dijangka selamat selepas guru dan pelajar segera menyelamatkannya.
Guru wanita berusia 44 tahun itu mencurah petrol ke badannya ketika sesi persekolahan berehat pagi semalam.

Dia kemudian menyalakan api untuk membakar dirinya.
Saksi berkata, kejadian di Sekolah Menengah Jean Moulin di Beziers, selatan Perancis itu berlaku sehari selepas
pelajar kelas guru terbabit mengkritik kaedah pembelajarannya yang terlalu tegas.

Pegawai pendakwa berkata, tiada tuduhan jenayah akan dikenakan ke atas guru terbabit kerana dia jelas
menghadapi tekanan.

Guru itu mengalami kesan kebakaran tahap ketiga dan dikejarkan ke hospital menggunakan helikopter.
Ibu bapa pula berkata, guru terbabit menghadapi masalah dengan beberapa pelajarnya dan mengadakan pertemuan
dengan mereka untuk meleraikan kekusutan. Menurut mereka, guru terbabit datang ke sekolah pagi semalam
membawa satu bekas.

Dia kemudian mula mengajar pada jam 9 pagi sebelum berhenti rehat tidak lama kemudian.
Saksi berkata, guru wanita itu pergi ke tengah padang, mencurah petrol ke badannya dan menyalakan api.

Seorang daripada saksi berkata, guru itu berjalan kesakitan dengan tangan memegang kepalanya ketika badannya
dijilat api. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 31/08/2012

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Gurutertekancubabakardiriditengahpadang/Article/inde
x_html

You might also like