You are on page 1of 2

SistemEjaanBahasaMelayu

02 Aug 2012, 12:40 PM | Munsyi Bahasa

Sistem Ejaan Bahasa Melayu yang digunakan secara meluas hari ini bermula sejak 1972. Sudah 40 tahun usia sistem ini digunakan sebagai wadah penulisan dalam semua bidang. Sistem ejaan ini telah dipersetujui bersama oleh kerajaan Malaysia dengan Pemerintah Republik Indonesia berikutan daripada perisytiharan serentak di kedua-dua negara pada 16 Ogos 1972. Sejarah awal penggunaan tulisan Rumi dilakukan oleh pedagang, pengembara, dan penjelajah dari Eropah ke Nusantara secara perseorangan pada abad ke-16. Mereka (Portugis, Sepanyol, dan Itali) menulis kata-kata bahasa Melayu yang didengar oleh mereka di pelabuhan-pelabuhan, dalam huruf Rumi, dan mengeja kata-kata itu berdasarkan kesan bunyi yang mereka dengar. Di samping itu mereka menerapkan peraturan ejaan yang ada dalam bahasa mereka. Pengembara pertama yang menghasilkan penggunaan ejaan Rumi dalam penulisan ialah pengembara Itali, Antonio Pigafetta, pada abad ke15. Sejak itu pengembara lain dari Eropah, seperti Inggeris dan Belanda menulis perkataan dan ayat dalam bahasa Melayu dengan menggunakan huruf Rumi, berdasarkan sistem tulisan dan ejaan lazim bagi bahasa mereka sendiri. Orang Inggeris telah mengasaskan beberapa kaedah ejaan Rumi di Tanah Melayu pada abad 17 hingga abad 19. Antara ejaan Rumi yang disusun ketika itu termasuklah Ejaan Rumi Bowrey (1701), Ejaan Rumi J. Howison (1800), Ejaan Rumi William Marsden (1812), dan Ejaan Rumi Negeri-Negeri Selat (1878), Ejaan Rumi Swettenham (1881), dan Ejaan Rumi Maxwell (1882). Ejaan Rumi ketika itu berpedomankan kaedah transliterasi huruf Jawi kepada huruf Rumi. Dalam bulan Oktober 1904 terbit Ejaan Wilkinson yang dikenal sebagai Romanised Malay Spelling yang digunakan secara rasmi di semua sekolah umum di Tanah Melayu. Ejaan ini digunakan dalam kamus bahasa Melayu karangan Wilkinson. Seiring dengan perkembangan bahasa Melayu dalam pendidikan, usaha perkembangan dan pemantapan sistem ejaan Rumi berlaku. Dalam hal ini, Maktab Perguruan Sultan Idris turut memainkan peranan. Sistem ejaan yang terkenal selepas ejaan Wilkinson ialah sistem ejaan rumi Zaba yang dihasilkan olehnya di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim, pada 1924. Sistem ejaan ini telah diperkemas dalam beberapa tahun, dan termuat dalam beberapa buah buku pedoman bahasa terbitan Pejabat Karangan Mengarang maktab berkenaan. Antara beberapa buah buku yang menggunakan ejaan ini termasuklah buku Ilmu Bahasa Melayu Penggal 1 (1926), Pelita Bahasa Melayu Penggal

1 (1941), Daftar Ejaan (Jawi - Rumi) 1949 dengan judul Petua-Petua Ejaan Rumi. Semua buku yang tersenarai itu terkarang oleh pendeta Zaba. Harus diingat, Sistem Ejaan Zaba digunakan dalam pengajaran Bahasa Melayu di seluruh Semenanjung Tanah Melayu dan Brunei. Oleh sebab ejaan ini merupakan satu-satunya ejaan yang digunakan di sekolah sejak tahun 1924, ejaan ini dikenal juga sebagai Ejaan Sekolah sehingga tahun 1972 apabila perisytiharan Ejaan Rumi Baru Bahasa Malaysia dibuat. Selain Sistem Ejaan Zaba, terdapat juga beberapa sistem ejaan Rumi yang lain, iaitu Ejaan Fajar Asia, Ejaan Kongres, Ejaan Melindo dan Sistem Ejaan Rumi Baru. Sistem Ejaan Fajar Asia ini muncul dan digunakan dalam masa pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Ejaan ini digunakan untuk tujuan propaganda pemerintah Jepun di Tanah Melayu. Ejaan Rumi ini digunakan dalam majalah dwimingguan, Fajar Asia (1943). Selepas berakhirnya pendudukan Jepun pada tahun 1945, ejaan ini terhenti penggunaannya dan ejaan Zaba digunakan semula. Dalam Kongres Persuratan Melayu Ketiga yang diadakan di Singapura pada tahun 1956 telah disepakati para peserta Kongres mewujudkan satu sistem ejaan, yang dikenal sebagai Ejaan Kongres. Namun, sistem ini tidak pernah dilaksanakan kerana sifatnya terlalu idealistik dari segi linguistik hingga menjadikannya sukar diamalkan. Usaha untuk menyeragamkan sistem ejaan antara kedua-dua buah negara Malaysia dan Indonesia ini diteruskan. Beberapa siri perundingan dan pertemuan diadakan. Berikutan dengan itu wujudlah sistem ejaan bersama yang dikenal sebagai Ejaan Melindo (Ejaan Melayu dan Indonesia) pada tahun 1959. Ejaan ini mencadangkan penggunaan lambang-lambang fonetik yang tidak praktikal sifatnya. Akhirnya ejaan ini tidak terlaksana. Perbincangan anatara kerajaan Malaysia dengan Indonesia berhubung dengan ejaan bersama selepas tamatnya konfrantasi IndonesiaMalaysia (1963 1966). Hasil daripada usaha sama kedua-dua negara ini, maka wujudlah Ejaan Rumi Baru Bahasa Malaysia, yang kemudiannya dikenal sebagai Ejaan Rumi Baru Bahasa Melayu, seperti yang termaktub dalam Pedoman Umum Ejaan Rumi Baru Bahasa Malaysia 1972. Di Indonesia sistem ini dikenal sebagai Ejaan Bahasa Indonesia yang Disempurnakan. Ejaan bersama ini dilancarkan serentak di Kuala Lumpur oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak bin Dato Hussein, dan di Jakarta oleh Presiden Suharto pada 16 Ogos 1972. Ejaan Baru ini merupakan muafakat Malaysia Indonesia yang mengenyahkan tradisi ejaan lama, menggantikan Sistem Ejaan Zaba di Malaysia, dan Ejaan Soewandi di Indonesia. Begitulah huraian tentang sejarah sistem ejaan Rumi di negara ini.

You might also like