You are on page 1of 2

Cadangan Perbaiki Kaedah Pembelajaran dan Pengajaran

Utusan Malaysia 1.12.98


CADANGAN membaiki kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) dikemukakan
dalam beberapa kertas kerja yang dibentangkan dalam seminar Isu-Isu Pendidikan
Negara, baru-baru ini.
Antara yang menarik ialah pengenalan kaedah pengajaran inkuiri dalam mata
pelajaran lain selain mata pelajaran Sains.
Dalam kertas kerja yang disampaikan oleh Prof. Madya Datin Dr. Zahara Aziz, beliau
menegaskan kaedah inkuiri (uji kaji) harus diluaskan kepada semua mata pelajaran
lain.
''Kegagalan pelaksanaan kaedah pengajaran yang lebih berinovatif seperti ini
menunjukkan kegagalan pendidik memahami dan menghayati kandungan prinsip dan
matlamat Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM),'' katanya.
Proses pengajaran ini katanya memerlukan penglibatan guru sebagai fasilitator secara
lebih aktif dan pelajar diarah kepada aktiviti yang berbentuk pemerhatian, pembinaan
teori (penjelasan), pengujian teori melalui uji kaji, perbincangan tentang hasil uji kaji
dan pengubahsuaian teori berdasarkan dapatan uji kaji berkenaan.
Dalam kertas kerjanya, Dr. Zahara juga mengemukakan beberapa faktor yang
menyebabkan kenapa kaedah P&P ini tidak dilaksanakan dalam KBSM.
Antaranya menurut beliau ialah kerana kekhuatiran guru untuk keluar daripada
prosedur pengajaran biasa.
Mereka katanya, amat takut pengajarannya terkeluar daripada sukatan pelajaran dan
fakta daripada buku teks kerana soalan-soalan peperiksaan berasaskan sukatan
pelajaran dan buku-buku teks tersebut.
Tahap kemahiran guru menggunakan kaedah ini juga rendah terutamanya bagi guru-
guru yang lama.
Di samping itu katanya lagi, masa pembelajaran juga dikatakan menjadi penghalang
kerana kadang kala proses P&P inkuiri memerlukan masa yang panjang dan tidak
terhad.
Sementara itu, cadangan daripada Nadiyah Elias agak menarik yang mencadangkan
supaya penggunaan kaedah ABC dalam mendidik anak-anak membaca dilupakan
kerana ia kurang berkesan dan mungkin menjadi faktor penghalang kepada minat
membaca.
Beliau sebaliknya mencadangkan supaya pengajaran awal membaca menggunakan
kaedah hafalkata untuk peringkat permulaan dan disulami dengan kaedah fonetik
sukukata (mempelajari bahasa melalui bunyian sukukata seperti 'ba' 'bi' dan 'bu').
Kaedah hafalkata merupakan konsep hafalan. Kanak-kanak didedahkan kepada kad
imbasan setiap hari dan mereka menghafal jumlah perkataan yang bertambah
sehingga mereka meningkat kepada membaca buku.
Kajian peringkat awalnya mendapati, kaedah ini tidak memerlukan kematangan
mental yang tinggi untuk memulakan proses pembacaan.
Katanya, kanak-kanak yang tidak lulus ujian prabacaan tradisional seperti mengenali
nama bentuk, warna, atau arah dari kanan ke kiri boleh diajar membaca secara hafalan.
Bagaimanapun, terdapat kelemahan dalam kaedah ini kerana, oleh kerana mereka
tidak mempunyai kemahiran fonetik, kanak-kanak tidak dapat memindahkan
kemahiran membaca kepada perkataan baru.
Ini katanya, membuatkan kanak-kanak hanya boleh membaca buku buatan sendiri
sahaja.
''Cara terbaik untuk mengatasi kelemahan ini ialah dengan menggunakannya bersama
dengan kaedah fonetik sukukata.
''Setelah kanak-kanak berminat dengan membaca buku buatan sendiri, pendidik boleh
mengajar peraturan fonetik sukukata menggunakan contoh-contoh dari perkataan yang
telah sedia dihafal oleh kanak-kanak,'' katanya.

You might also like