You are on page 1of 9

FALSAFAH DAN LOGIKA MELAYU

JXEA1104

TOKOH FALSAFAH

NAMA : NORAIN BINTI ABDULLAH

NOMBOR MATRIK : JEA080081

NAMA PENSYARAH : DR.AMRAN MUHAMMAD

SEMESTER SATU SESI 2008/2009

AKADEMI PENGAJIAN MELAYU

UNIVERSITI MALAYA

Imam Al- Ghazali

Imam Al-Ghazali dilahirkan pada tahun 450 hijrah bersamaan dengan 1058 masihi.

Beliau dilahirkan di At-Tabiran atau Ghazalah di Bandar Tus, Khurasan Iran. Nama sebenarnya

ialah Abu Hamad Muhammad bin Ahmad Al-Ghazali. Beliau digelar “Al-Ghazali” bersempena

dengan gelaran bapanya yang bekerja sebagai pemintal bulu kambing (al-ghazal) dan ada yang
menyatakan namanya diambil dengan nama kampung kelahirannya, Ghazalah. Al-Ghazali

berasal dari keluarga yang miskin. Bapanya merupakan ahli Sufi yang sangat warak. Bapanya

mempunyai cita-cita yang sangat tinggi iaitu ingin melihat anaknya menjadi seorang yang warak

dan soleh. Imam Al-Ghazali adalah seorang ulama, ahli fikir dan ahli falsafah Islam yang

terkemuka hingga kini. Beliau meninggal dunia pada hari isnin 14 Jamadilakhir tahun 505 Hijrah

(1111M) di Tus dan jenazahnya telah dikebumikan di tempat kelahirannnya.

Al –Ghazali mempunyai ingatan yang amat kuat serta mempunyai daya hafalan serta

kuat berhujah. Al-Ghazali telah dapat menguasai pelbagai ilmu pengetahuan. Al-Ghazali juga

amat cinta akan ilmu pengetahuan. Al-Ghazali sanggup meninggalkan kemewahan semata-mata

untuk bermusafir yang bertujuan untuk menuntut ilmu pengetahuan. Beliau terkenal sebagai

seorang ahli falsafah Islam yang telah mengharumkan nama ulama Islam di Eropah melalui

hasil-hasil karyanya yang amat bermutu tinggi.

Pada peringkat awal al-Ghazali telah mendapat pendidikan awal secara percuma kerana

keadaan keluarganya yang amat miskin. Al-Ghazali telah mempelajari ilmu Fikah pada ketika

itu. Seterusnya al-Ghazali telah mempelajari ilmu tauhid, mantiq, usul fikah dan falsafah.

Selepas itu beliau telah menyambung pelajarannya dengan seorang guru yang bernama Ahmad

Al-Razkani, kemudian berguru pula dengan Abu Nasr Al-Ismail di Jorjan. Selepas itu Al-Ghazali

telah dilantik sebagai seorang mahaguru di Madrasah Nizamiah di Baghdad. Al-Ghazali juga

telah mengembara ke beberapa tempat seperti Makkah, Madinah, Mesir dan Jurusalem untuk

mendalami ilmu falsafah yang dipelajarinya. Sewaktu dalam pengembaraan, beliau telah menulis

kitab “Ihya Ulumiddin” yang telah memberikan sumbangan yang besar kepada masyarakat dan

pemikiran Islam dalam semua masalah.

Al-Ghazali telah berpendapat bahawa untuk mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan di

akhirat seseorang hendaklah mempunyai ilmu dan diamalkan dengan baik semata-mata kerana
Allah. Beberapa hasil karya Imam Al-Ghazali telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa

bahasa Eropah untuk dijadikan rujukan kepada penuntut-penuntut di pusat pengajian tinggi.

Antara hasil karya Imam Al-Ghazali yang terkenal adalah Ihya Ulumiddin yang merangkumi

ilmu akidah, fikah, falsafah, akhlak dan tasawuf. Segala tulisan Al-Ghazali telah mempengaruhi

ahli fikir islam selepasnya seperti Jalaludin Ar-Rumi, Syeikh Al-Ahsraf, Ibnu Rusyd dan Syah

Waliyullah. Kebanyakan hasil karya Imam Al-Ghazali adalah dalam bentuk falsafah. Antara

hasil karya Imam Al-Ghazali yang lain ialah Ihya Ulumiddin, Mizanul Amal, Hidayah Al-

Salikin, Minhaj Al-Abidin, Tahafut Al-Falasifah, Jawahir Al-Quran, Asma Allah al-Husna dan

Kimia As-Sa’adah.

Falsafah Imam Al-Ghazali

Al-Ghazali adalah merupakan salah seorang ahli falsafah Islam. Hal ini dapat dilihat

melalui persoalan-persoalan yang telahdibawa oleh Imam Al-Ghazali. Al-Ghazali telah

membawa persoalan keyakinan untuk mengetahui kebenaran dan yakin bahawa ilmu yang

diyakini ialah ilmu yang boleh mendedahkan apa yang hendak diketahui dan seterusnya tidak

akan meninggalkan sebarang keraguan. Al-Ghazali juga mempunyai tanggapan mengenai

hakikat yang melahirkan keyakinan. Hakikat ini adalah “Hakikat Sufi” iaitu “Pendirian tulen

falsafah terhadap benda dan alam”.

Al-Ghazali berpendapat bahawa falsafah agama mempunyai banyak persoalan iaitu

tugasnya, nilainya, hubungan Allah dengan manusia daripada aspek kebebasan dan
tanggungjawab juga pesoalan kasyaf, sembahyang dan sahutan doa. Al-Ghazali telah

menyatakan bahawa ilmu pengetahuan manusia boleh didapati melalui dua cara. Cara tersebut

ialah pengajaran manusia dan pengajaran Ilahi. Pengajaran manusia ialah jalan yang biasa dan

dapat dirasa serta diakui oleh semua orang yang waras.

Pengajaran Ilahi pula terdapat dalam dua bentuk iaitu yang pertama dari luaran iaitu yang

diperolehi dan yang kedua pula ialah dalaman iaitu tafakur. Pengajaran Ilahi dari yang pertama

iaitu dari luaran adalah melalui wahyu. Ini adalah kerana apabila jiwa telah sempurna zatnya

maka akan hilang segala kekotoran dan sifat tamak, impian serta pandangannya akan tersisih

daripada hawa nafsu dunia serta akan mengetepikan segala impian kosong dan seterusnya akan

dapat menumpukan pandangan kepada khaliq penciptanya. Bentuk yang kedua pula ialah ilham.

Wahyu ialah pendedahan kepada perkara ghaib manakala ilham pula adalah pembentangannya.

Ilmu pengetahuan yang diperolehi melalui wahyu dikenali sebagai “ilmu kerasulan”. Ilmu

pengetahuan yang diperolehi melalui ilham pula dinamakan “ilmu laduni”.

Al-Ghazali telah membahagikan dunia ini kepada tiga lapisan. Tiga lapisan yang

dimaksudkan ini ialah lapisan akal, lapisan jiwa dan lapisan tubuh. Selepas itu, Al-Ghazali telah

membahagikan dunia ini kepada beberapa lapisan tersebut. Al-Ghazali juga telah menyebut

bahawa tubuh atau badan akan terpengaruh dengan daya kekuatan lain tetapi tubuh pula tidak

mempengaruhi yang lain. Akal fikiran telah memberi pengaruh tetapi tidak terpengaruh dengan

yang lain malah kesempurnaannya pula akan wujud bersamanya dan tidak ada yang

memyempurnakan. Kalau ada kesempurnaan pun maka kesempurnaan itu adalah datang dari

Allah penciptanya.

Al-Ghazali telah menyatakan bahawa hakikat ketuhanan tidak dapat dicapai melalui

pandangan akal, malah tidak ada juga kemampuan daya kekuatan manusia untuk meninjaunya.

Imam Al-Ghazali pula yakin bahawa “kasyaf” batini serta keyakinan peribadi dapat
membuktikan mengenai kewujudan Allah kerana jiwa manusia adalah cebisan daripada nur

Allah. Al-Ghazali telah menegaskan bahawa Allah adalah satu yang Esa, tidak mempunyai anak

dan isteri. Jika terdapat sesiapa yang menyatakan kepada Al-Ghazali bahawa Allah itu bukan satu

Yang Esa, maka Al-Ghazali dengan tegas akan menjawab “Allah yang mencipta dan memiliki

segala, Maha Suci daripada segala pasangan, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak dan

isteri. Dia mencipta segala dan memberikanpenentuan kepadanya. Sikap Al-Ghazali mengenai

keesaan Allah adalah amat tegas. Ini dapat dibuktikan apabila Al-Ghazali telah menyentuh

tentang “Mukjizat”serta bukti-buktinya. Menurut Al-Ghazali keesaan Allah dapat ditanggapi

dengan sekali pandang dan pantas. Tanggapan tersebut dicapai oleh kalangan yang arifin

daripada golongan sufi melalui “zauq” (cita rasa), idea keesaan Allah bagi mereka menjadi “hal”

(keadaan), melalui zikir kepada Allah mereka ditenggelami dengan kemabukan roh.

Daripada prinsip keesaan Allah ini telah timbul pula dua tanggapan. Tanggapan yang

pertama ialah bahawa Allah semata-mata yang wujud, yang selain daripada Allah tidak wujud

melainkan dengan kurnia-Nya. Tanggapan yang kedua pula ialah tanggapan bahawa Allah

semata-mata yang mengendalikan alam ini. Allah semata-mata ini memberi maksud bahawa

ialah semua perkara dan Dia sahaja yang empunya wujud yang sebenar.

Jika terdapat pula yang bertanya bagaimana untuk melihat Allah dengan tujuan untuk

menenangkan fikiran, maka Al-Ghazali pula akan menjawab manusia sukar untuk melihat

hakikat Allah kerana Dia dilindungi oleh tujuh puluh tabir, kalau disingkapkan maka cahayanya

akan membakar segala makhluk yang ada. Allah adalah Yang Maha Kuasa dan Allah juga telah

menjadikan kebaikan dan keburukan. Allah menghendaki kebaikan demi untuk kebaikan tetapi

tidak menghendaki keburukan demi untuk keburukan. Allah telah menjadikan keburukan kerana

kebaikan kepadanya. Justeru itu, keburukan adalah mendatang, sementara kebaikan adalah

jauharnya, justeru itu inayah Allah meliputi seluruh alam ini.


Al-Ghazali juga telah mengemukakan falsafah mengenai cinta Allah dan tanda-tandnya.

Cinta kepada Allah adalah merupakan darjat yang tertinggi yang akan dapat dicapai oleh

keikhlasan dan kemajuan rohani. Al-Ghazali telah menyatakan bahawa taubat, penyesalan,

ketaatan, kesabaran, dan kebajikan-kebajikan adalah merupakan peringkat permulaan dari

pengabadian cinta. Sifat-sifat cinta kepada Allah adalah banyak terdapat dalam sembahyang,

peribadatan serta pengabadian yang ikhlas. Cinta Allah kepada manusia adalah cinta atas

perbuatanNya. Cinta Allah mengandungi erti tersingkapnya hijab yang menutupi hati hambaNya,

sehingga ia boleh mendapat kemungkinan untuk boleh memandang kepadaNya.

Apabila Allah mencintai hambaNya pula maka Ia berikan dugaan iaitu kesengsaraan serta

penderitaan. Apabila hambaNya dapat memikul dugaan itu dengan penuh kesabaran, maka

dianugerahinya dan apabila ia menghadapinya dugaan itu dengan gembira, maka Allah pula akan

memilihnya sebagai pilihanNya. Tanda-tanda cinta yang terdapat pada para pencinta sejati

adalah merupakan kematian. Kematian adalah merupakan kegembiraan kerana dengan mati

manusia dapat berpindah melepaskan diri daripada rintangan konkongan jasmani dan memberi

kesempatan kepada rohnya untuk terbang bebas dalam bahagia dan mengabdi kepada yang

dicintainya. Sesiapa yang suka mengikut bisikan kata hatinya adalah merupakan bukan pencinta

sejati. Pencinta sejati ialah pengabdi terhadap suruhan dan perintah serta kehendak yang

dicintainya.

Selain itu, Al-Ghazali juga turut menyatakan bahawa menyembunyikan cinta dan

merahsiakannya adalah satu tanda-tanda lain menunjukkan cinta kepadaNya. Oleh kerana cinta

adalah rahsianya yang dicintai, tidak akan dibuka atau disingkapkan. Bagaimanapun jika

seseorang itu, telah membuka rahsia cintanya keran rindu yang meluap-luap, orang itu tidak akan

dimurkainya. Al-Ghazali turut menyatakan biarkanlah hanya hati kita sendiri yang berbicara,

biarkanlah hanya tingkah laku kita sendiri yang menjadi bukti kenyataan dalam penyataan cinta
itu, dan sekali-kali bukanlah hanya dinyatakan dengan ucapan perkataan. Disamping itu, orang-

orang yang suka menunjukkan dirinya berpura-pura soleh, alim dan cinta kepada Allah padahal

cintanya itu bukanlah cinta yang bersunggguh-sungguh. Orang-orang yang tersebut sebenarnya

telah tertipu oleh pujukan iblis dan telah mencuba untuk menipu Tuhan Yang Maha Kuasa dan

mereka sebenarnya telah menipu diri sendiri. Semuanya ini adalah terdiri daripada musuh-

musuh Allah walaupun mereka terdiri daripada seorang wali dan sufi. Demikianlah merupakan

pendapat Al-Ghazali mengenai cinta Allah dan tanda-tandanya.

Selain itu, Al-Ghazali juga turut menyentuh mengenai adat bergaul dan keikhlasan. Al-

Ghazali telah menyatakan bahawa kerukunan adalah merupakan perbuatan-perbuatan yang baik

dan terpuji serta disukai Allah. Al-Ghazali telah memberikan tujuh perbuatan yang boleh

membawa orang berlindung di bawah perlindungan dan tidak ada tempat berlindung kecuali

Allah. Perbuatan itu dikerjakan oleh mereka seperti pemimpin yang adil, orang dewasa yang taat

beribadat, mereka yang bergetar hatinya sewaktu pulang dari masjid hingga rinduingin masuk

semula ke masjid. Golongan yang seterusnya ialah dua saudara yang hidup rukun damai, mereka

yang merahsiakan ratap tangisnya kerana takut kepada Allah, serta mereka yang memberikan

sedekah dengan tulus ikhlas sehingga tangan kiri tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh

tangan kanan. Al-Ghazali menyatakan untuk memilih teman perlulah mempunyai sifat-sifat

seperti bijaksana, berkelakuan baik, serta menjauhi maksiat, bid’ah dan rakus. Pergaulan yang

buruk akan membawa kepada pengaruh yang tidak baik kerana akan membawa kepada

kekecewaan yang menyedihkan.

Di dalam pergaulan hendaklah berkelakuan baik, pandai menjaga diri dari dorongan hawa

nafsu yang berlebihan. Dikatakan bahawa orang-orang yang suka berbuat maksiat tidak akan

suka bergaul dengan orang-orang yang baik kerana mereka sudah terbiasa melanggar perintah

Allah, serta tidak takut kepada Allah. Sifat-sifat buruk berkenaan sedikit-sedikit akan menyebar
ke seluruh tubuh mereka yang suka menganggap mudah terhadap perbuatan-perbuatan yang

maksiat dan dosa.

Selain itu, dinyatakan juga wasiat pergaulan. Wasiat yang dinyatakan ialah jika ingin

memelihara persahabatan perlulah mencari teman yang dapat memelihara kita menaikkan darjat,

meringankan beban penderitaan, tolong-menolong dalam melakukan kebajikan dan kebaikan,

suka memberi nasihat untuk menghindarkan perbuatan maksiat dan menyimpan rahsia.

Disebutkan juga supaya menghindarkan diri dari bergaul dengan orang-orang yang suka berbuat

zalim serta lupa kepada Allah, ulama yang berpura-pura salih dan sufi yang kurang ilmu

pengetahuannya. Alam dunia yang didiami sekarang adalah seperti diibaratkan bayang-bayang.

Oleh itu, perbuatan manusia yang buruk di dunia ini akan timbul menjadi kenyataan di akhirat

kelak.

Secara kesimpulannya Al-Ghazali adalah merupakan salah seorang ahli falsafah yang

mengemukakan atau mencetuskan idea-idea ilmu falsafah Islam. Kebanyakan karya-karya imam

Al-Ghazali adalah merupakan yang bermotifkan untuk memperjuangkan agama Islam. Antara

karya penulisan yang telah dihasilkan oleh Imam Al-Ghazali ialah Tahafut al-Falasifah, Maqasid

al-Falasifah, Mi’yar al-‘ilm fi fan al-mantiq, Ehya Ulum al-Din, Miskah al-Anwar fi Lataifal-

Akhbar. Sebenarnya adalah sukar untuk mengenali kelebihan Al-Ghazali. Mereka yang hanya

benar-benar mencapai tahap kesempurnaan dalam pemikiran akan dapat mengenali Al-Ghazali

kerana setiap falsafah yang diungkapkan oleh Imam Al-Ghazali mempunyai makna yang tersirat.

BIBLIOGRAFI
Awang Sariyan. 2007. Falsafah dan Logika Melayu. Kuala Lumpur: Synergymate Sdn.Bhd.
Hashim Musa. 2001. Falsafah, Logik, Teori Nilai dan Etika Melayu Suatu pengenalan.
Universiti Malaya: Akademi Pengajian Melayu.
H.Rus’an.1982. Intisari Filsafat. Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd
Osman Haji Khalid. 1993. Al-Imam Al-Ghazali dan Metodologi Kajiannya. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zaqzuq, Mahmud Hamdi. 1993. Antara Falsafah Islam dan Falsafah Moden Barat:Suatu
Perbandingan antara Al-Ghazali dan Descartes. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

You might also like