You are on page 1of 11

Hiperhidrosis ganggu hidup Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN norlaila@hmetro.com.

my KATA orang, berpeluh apabila melakukan aktiviti, itu tandanya kita sihat kerana peluh antara cara badan mengeluarkan bahan toksik. Namun, sesetengah orang mengalami masalah berpeluh keterlaluan sepanjang masa sehingga menyebabkan mereka berasa kurang keyakinan diri. Keadaan berpeluh berlebihan ini dipanggil hiperhidrosis. Masalah berpeluh ketika berasa gementar, takut atau cemas dialami hampir semua orang tetapi bagi individu hiperhidrosis, badan mereka menghasilkan peluh berlebihan sehingga boleh menitis jika tidak dikeringkan segera. Hiperhidrosis dialami berjuta-juta orang di seluruh dunia. Kajian menunjukkan 2.8 peratus penduduk Amerika Syarikat mengalami masalah ini dan prevalensnya lebih tinggi di kalangan penduduk Asia Tenggara iaitu tiga peratus. Hiperhidrosis tidak dikategorikan sebanyak penyakit berbahaya, tetapi ia boleh menyebabkan gangguan psikologi kepada penghidapnya. Terlalu banyak berpeluh, terutama pada muka, tapak tangan, ketiak dan kaki boleh mengganggu kehidupan seseorang kerana ia menimbulkan tidak selesa, malu, kurang yakin dan rendah diri untuk berdepan masyarakat. Menurut Pakar Perunding Bedah Kardiotorasik, Jabatan Pembedahan Kardiotorasik Institut Jantung Negara (IJN), Dr Jeswant Dillon, hiperhidrosis boleh berlaku pada lelaki dan perempuan pada semua peringkat umur, tetapi biasanya ia bermula sejak kecil dan akan kekal sepanjang hayat jika tidak dirawat. Katanya, hiperhidrosis dibahagikan kepada dua jenis, iaitu primer (atau idiopatik iaitu tidak diketahui puncanya) dan hiperhidrosis sekunder yang disebabkan penyakit lain seperti hipertiroirdisme, kencing manis, tuberkulosis (batuk kering), limfoma, obesiti, kehamilan serta menopaus. Biasanya hiperhidrosis berlaku pada empat bahagian utama iaitu muka, ketiak (aksilari), tangan (palmar) dan kaki (plantar). Bahagian ini akan mengalami masalah peluh berlebihan sehingga boleh menitis. Ada pesakit yang datang berjumpa saya terpaksa memakai plastik dalam kasut bagi menadah peluhnya. Ia masalah memalukan yang boleh menjejaskan kualiti hidup dan kerja. Walaupun prevalens rendah iaitu hanya tiga peratus daripada jumlah penduduk, ia membabitkan jumlah besar iaitu lebih 700,000 orang di negara kita, katanya. Punca sebenar hiperhidrosis tidak diketahui dengan tepat, tetapi ada beberapa kemungkinan yang menyebabkannya. Ia mungkin disebabkan penyakit ekrin kelenjar peluh di seluruh badan, tetapi paling banyak di tapak tangan dan kaki.

Kemungkinan kedua ialah aktiviti saraf simpatetik keterlaluan yang memberi rangsangan kepada kelenjar peluh yang normal, menyebabkan kelenjar menghasilkan banyak peluh dalam masa singkat. Namun, tiada siapa tahu bagaimana dan apa menyebabkan saraf simpatetik bertindak keterlaluan. Dr Jeswant berkata, hiperhidrosis boleh diwarisi. Kira-kira 25 hingga 50 peratus pesakit mempunyai sejarah keluarga mengalami hiperhidrosis. Anak yang dilahirkan ibu bapa hiperhidrosis mempunyai kebarangkalian 25 peratus mendapat masalah sama. Masalah ini berlaku pada individu dewasa berumur antara 20 hingga 50 tahun dan biasanya bermula ketika mencecah 25 tahun. Namun, hiperhidrosis boleh bermula lebih awal iaitu ketika kanak-kanak atau remaja. Ia hanya menjadi masalah besar apabila gejala peluh keterlaluan ini mula mendatangkan rasa tidak selesa, mengganggu perjalanan aktiviti harian, menjejaskan prestasi kerja dan membuatkan seseorang kurang keyakinan diri. Badan pesakit boleh mengeluarkan banyak peluh dalam hampir semua keadaan, walaupun duduk dalam bilik berhawa dingin. Ia bukan saja dipengaruhi keadaan persekitaran, malah perubahan emosi seperti resah, gelisah, gementar, sedih dan gembira pun badan mengeluarkan banyak peluh. Hiperhidrosis muka Ia menyebabkan muka berpeluh sehingga meleleh, walaupun hanya melakukan aktiviti ringan. Ia boleh berlaku pada lelaki dan wanita. Malah, kadangkala kulit kepala basah akibat masalah ini. Biasanya, hiperhidrosis muka disebabkan faktor genetik dan tiada kaitan dengan faktor luaran. Kebanyakan pesakit mengelak melakukan aktiviti luar bagi mengurangkan peluh. Pesakit wanita memotong rambut hingga pendek dan tidak dapat mengenakan mekap. Ia menyebabkan ramai pesakit, terutama wanita, berasa rendah diri. Hiperhidrosis aksilari (ketiak) Secara umumnya masalah ini lebih memalukan dan mendatangkan rasa tidak selesa kerana basah pada bahagian ketiak tampak lebih ketara. Jika dalam bilik berhawa dingin, masalah ini boleh disembunyikan dengan memakai jaket atau kot, tetapi dalam keadaan negara kita yang panas, ia bukan langkah praktikal. Pada masa sama, pesakit sentiasa bimbang peluh itu akan menyebabkan badan berbau, tidak kira berapa banyak menyapu deoderan. Pesakit biasanya mengelak memakai fabrik atau warna tertentu supaya peluh tidak ketara. Ada juga yang terpaksa menukar baju beberapa kali sehari kerana tidak selesa. Masalah ini biasanya dikesan pada usia muda iaitu sebelum memasuki alam remaja. Ia

bukan saja memalukan, tetapi boleh membuatkan seseorang berasa tertekan, rendah diri dan enggan berinteraksi dengan orang lain. Hiperhidrosis palmar (tangan) Ia membabitkan masalah peluh keterlaluan pada tangan, menyebabkan seseorang itu berat hati untuk bersalaman dengan orang lain. Malah, mereka juga sukar menulis, menaip, memegang pen, gelas atau susur tangan besi dalam kenderaan awam perkara yang dilakukan setiap hari. Gejala ini juga boleh dikesan sejak kecil dan ia biasanya disebabkan faktor genetik. Individu hiperhidrosis palmar kerap berasa bimbang dan akan cuba mengelak berjabat tangan atau melakukan aktiviti yang boleh mendedahkan masalah mereka. Hiperhidrosis plantar (kaki) Ia merujuk kepada masalah kaki berpeluh keterlaluan. Antara perkara paling merisaukan ialah masalah kaki berbau dan mereka perlu menukar stokin lebih kerap. Mereka juga berdepan risiko jangkitan kuman dan kulat yang suka keadaan bertutup, lembap dan gelap seperti dalam kasut untuk membiak. Beban pesakit Menurut Dr Jeswant, hiperhidrosis boleh mendatangkan beberapa masalah seperti: Tidak dapat melakukan aktiviti harian. Perasaan malu apabila baju dan tapak tangan basah. Perlu kerap menukar baju dan stokin (lebih dua kali sehari). Enggan bersalaman atau berjabat tangan. Banyak aktiviti harian tidak dapat dijalankan. Prestasi dan produktiviti terjejas. Boleh membahayakan nyawa jika pekerjaan pesakit berkaitan dengan elektrik. Malu menyertai aktiviti sosial keluarga dan rakan. Tertekan. Kecewa dengan diri sendiri. Kurang keyakinan diri. Kulit menjadi kurang pejal akibat sentiasa lembap. Kelembapan berpanjangan tingkatkan risiko jangkitan bakteria dan kulat. Masalah dalam hubungan intim. Masalah dihadapi lelaki dan wanita adalah sama. Pada umumnya pesakit berasa kurang selesa bergaul dengan orang lain, terutama rakan baru yang tidak tahu masalah mereka. Bahkan ada pesakit terpaksa memilih pakaian berwarna gelap untuk melindungi perkara ini dan berasa tidak selesa untuk duduk berdekatan orang lain. Selain berdepan masalah ketiak sentiasa basah, mereka perlu lebih kerap menukar stokin bagi mengelakkan gejala kaki berbau. Pada masa sama pilihan untuk kasut juga terhad

akibat peluh berlebihan pada kaki. Rawatan Jika anda turut mengalami masalah ini, jangan risau kerana ia boleh dirawat. Rawatan dibahagikan kepada dua iaitu bukan pembedahan (luaran, ubat makan, iontoforesis atau pengionan serta suntikan Botulinum toksin) dan pembedahan. Dr Jeswant berkata, jenis rawatan bergantung kepada tahap masalah. Jika masalah hanya sedikit, mereka diberi ubat sapu atau anti peluh mengandungi aluminium klorida. Kaedah kedua pula ialah ubat makan mengandungi ejen anti kolinergik seperti glycopyrrolate dan amitriptyline bagi mengehadkan aktiviti saraf. Bagaimanapun, kesan sampingannya yang ketara menyebabkan ubat kaedah ini kurang popular. Kaedah pengionan juga kurang digemari kerana kulit berasa sakit apabila dikenakan arus elektrik. Lagipun, kaedah ini mengambil masa panjang dan perlu diulang. Suntikan Botulinum Toksin A sering digunakan untuk merawat hiperhidrosis aksilari dengan melumpuhkan saraf yang merangsang kelenjar peluh. Namun kaedah ini juga kurang praktikal kerana ia bukan saja mahal, tetapi menyebabkan rasa sakit dan perlu diulang setiap empat hingga enam bulan. Cara terbaik ialah menjalani pembedahan endoskopi torasik simpatektomi (ETS) yang mengambil masa sejam. Pembedahan dapat mengatasi masalah tangan berpeluh hampir 99 peratus, ketiak berpeluh (90 peratus) dan kaki berpeluh sebanyak 70 peratus. Pembedahan memberi kesan serta merta dan sepanjang hayat. Ia dilakukan menggunakan kaedah pembedahan lubang kunci (pembedahan minimali invasif) iaitu membabitkan luka kecil kira-kira 0.5 sentimeter, kurang sakit dan cepat sembuh. Malah tempoh pesakit tinggal di hospital juga singkat iaitu antara tiga hingga empat hari saja. Kesan luka pembedahan di bawah ketiak dapat dilindungi dan ini penting bagi pesakit, terutama perempuan, katanya. Bagaimanapun, katanya, bukan semua pesakit perlu dibedah kerana pembedahan adalah jalan terakhir bagi menyelesaikan masalah hiperhidrosis. Bagi individu yang mengalami masalah ini, Dr Jeswant menyarankan mereka mendapatkan nasihat pakar terlebih dulu dan jangan biarkan ia berlarutan sehingga menjejaskan kehidupan. Rawatan boleh didapati di IJN dan pusat itu menjalankan lebih 260 pembedahan hiperhidrosis sejak ia diperkenalkan pada 1995. "Bismillahirrohmanirrohim Assalamualaikum wbt sekalian Muslimin

Pada hari Isnin lalu 22 jan 2007 saya telah menulis mengenai tapak tangan yang lembap atau basah. Kepada mereka yang tidak berkesempatan membacanya, saya lampirkan dibawa artikel saya hari ini di bawah. Terima kasih dan alhamdulillah saya telah menerima banyak email bertanyakan berbagai perkara yang berkaitan. Ingin saya menegaskan di sini bahawa saya tidak menolak sama sekali perubatan moden hari ini. Begitu banyak ilmu mereka namun hakikatnya ialah masih banyak ilmu yang mereka masih belum mengetahui. Sebagai contoh kalau diabetes memang mereka tidak boleh mengubatinya. Mereka hanya bertindak mengubati agar kesan penyakit ini tidak bertambah buruk namun mereka tidak dapat memulihkan penyakit ini. Insya-Allah sesiapa yang menghidap penyakit kencing manis tu terutamanya yang berusia muda (dibawah 40 tahun) kalau berminat cara perubatan saya boleh email saya. Perubatan nya menekankan kawalan makanan terutama sekali makanan yang merosak seperti roti canai dan mee kuning selain dari kacang tanah dan kacang putih. Kembali kepada persoalan asal berkaitan tangan basah atau lembab, ia sebenarnya adalah disebabkan jantung dan / atau paru-paru bermasalah. Bagi mengelakkan masalah ini silalah amalkan perkara berikut: 1. Elakkan makan ais krim cornetto / vanilla / strawberry / cokelat / jagung dsb. 2. Elakkan makan junk food spt twisties, o ring, double decker, Pringles, Mr Potato dan sebagainya 3. Elakkan makan mee segera seperti maggi mee 4. Elakkan makan fast food seperti Mc Donald, KFC dsb 5. Elakkan makan kentang goreng (french fry di Mc Donald dan KFC atau yang dibeli di pasar raya), burger, sausage, nugget dsb. Makan kentang goreng yang dibuat sendiri dengan mengupas kentang dan meraciknya masih boleh diterima. 6. Elakkan makan margerine atau soft margarine atau sebarang produk margerine 7. Elakkan kerap minum susu pekat manis dan krimer (dalam teh atau kopi dsb) 8. Elakkan makan kek dan krim pada kek kecuali kek yang dibuat dari mentega tulen 9. Kurangkan makan barangan bergoreng dan bersantan 10. Elakkan lemak daging (tetel), kulit ayam, bontot ayam. 11. Kurangkan makanan yang mengandungi krim seperti biskut yang ada krim ditengahnya atau biskut wafer cream.

12. Elakkan Suka minum air batu atau air sejuk dalam peti ais 13. Elakkan tabiat mandi malam iaitu antara waktu masuk maghrib hingga kira-kira 4.30 pagi walaupun mandi air panas. 14. Kurangkan makan telur kecuali telur ayam kampung (jangan ambil lebih 3 biji seminggu) 15. Elakkan mandi selepas makan 16. Makan sayuran yang pahit seperti peria, ulam raja, kailan, daun ubi, dsb 17. Elakkan minum semasa makan. Minum hanya selepas makan. 18. Elakkan tidur di bawah kipas yang laju. 19. Usahakan minum air suam atau panas 20. Usahakan minum susu lembu segar atau susu tepung biasa (bukan susu anelene atau rendah lemak atau high low dengan sukatan cawan sekali ambil 2 hinga 4 kali sehari. Boleh mencuba menambah kuantiti susu sekadar mampu ditangani oleh badan anda. Sekiranya anda menghadapi masalah sukar untuk bernafas akibat banyak lendir keluar dari hidung, ia adalah reaksi yang baik tetapi anda perlu kurangkan sukatan setiap kali meminum tetapi jangan kurangkan bilangan minum sehari. 21. Bagi yang sudah mula kalah panas (tidak selesa bila panas atau kena matahari) Elakkan makanan pedas, lada hitam, buah pear, pisang dan daging. 22. Elakkan kopi, cokelat, nescafe 23. Elakkan merokok. Ia adalah haram dan merosak. Bagi yang telah merasai sakit di bahagian dada, ia menambah lagi simptom penyakit jantung. Bagi mereka atau kanak-kanak yang telah mengalami hidung berdarah terutama sekali bila cuaca panas, ini mengesahkan bahawa jantung telah bermasalah

Layarilah laman web saya di : http://emjayjb.multiply.com/

Email saya kangmasjb@hotmail.com

Sekian wassalam wallahualam

Emjay

LAMPIRAN

Artikel tapak tangan lembab atau basah Isnin 22 Jan 2007

"Bismillahirrohmanirrohim Assalamualaikum wbt sekelian muslimin Apabila bersalam kita dengan rakan atau sesiapa sahaja, akan kita temui pelbagai gaya bersalam dan apabila kita amati lebih lanjut, pelbagai keadaan tapak tangan, ada yang sejuk, ada yang hangat ada yang kering, ada yang lembab dan ada juga yang basah. Apa hikmahnya Allah menjadikan tapak tangan manusia sebegitu rupa?. Berkenaan gaya bersalam, insya-Allah akan saya kupas pada satu masa lain. Kali ini saya ingin mengupas berkenaan tapak tangan yang kering dan basah atau lembab. Pada kira-kira lebih sepuluh tahun lalu, arwah guru saya mengajarkan satu perkara iaitu berkenaan tapak tangan kering, basah atau lembab. Allah menjadikannya sedemikian sebagai satu simptom untuk mengenali sesuatu keadaan penyakit pada penghidapnya. Kalau tapak tangan kering dan hangat ia menggambarkan orang yang sihat dan sebaliknya orang yang tapak tangannya lembab atau basah adalah orang yang kurang sihat. Begitulah cantiknya Allah. Melalui kaedah ini , seseorang rakan mudah mengenali sahabat atau saudara mereka sama ada mereka ini benar-benar sihat atau kurang sihat. Seterusnya dapatlah dinasihatkan orang ini langkah seterusnya agar keadaan kesihatan mereka akan kembali pulih. Kira-kira beberapa bulan lalau di TV3, saya menonton satu program kesihatan bersama seorang doktor pakar. Doktor pakar tersebut menyediakan satu rawatan mengatasi masalah tersebut dengan kos rawatan sebanyak RM9000 sahaja iaitu dengan membuang bahagian tertentu di tapak tangan mereka agar masalah ini dapat diatasi. Begitulah ilmu doktor.

Banyak yang mereka tahu namun banyak lagi ilmu yang mereka tidak tahu. Sebenarnya rawatan doktor ini adalah satu rawatan untuk mencacatkan tapak tangan pesakit kerana sebenarnya tapak tangan orang ini tidak mengalami sebarang masalah. Ia sekadar menggambarkan situasi kesihatan orang ini sahaja. Bila ia kembali pulih, tapak tangan ini akan insya-Allah kembali kering dan begitulah sebaliknya. Pada 19 Jan 2007 yang lalu, saya mengambil kesempatan dalam pengajaran saya untuk menerangkan sedikit ilmu kesihatan melalui penjagaan pemakanan dan gaya hidup. Saya menceritakan mengenai keadaan tapak tangan seseorang yang mungkin kering, lembab atau basah dan dalam kes tertentu air sentiasa menitis dari hujung jari. Dalam kes ini jari agak sedikit menggeletar. Allah menjadikan situasi ini sebagai simptom gambaran tahap kesihatan seseorang di mana tapak tangan yang kering adalah tahap terbaik. Basah adalah menggambarkan tidak sihat. Selepas saya menjelaskan ilmu ini, dua orang pelajar perempuan saya menceritakan pengalaman mereka. Kedua-dua mereka menceritakan bahawa beberapa tahun lalu, tapak tangan mereka basah dan sentiasa nampak air pada tapak tangan mereka dan kini tapak tangan mereka sudah kering. Salah seorang menambah lagi bahawa dahulu beliau sangat gemuk dan kini sudah cantik slim. Kedua-dua mereka bercerita bahawa dahulu mereka sangat suka makan junk food dan kini sudah memberhentikan amalan pemakanan yang tidak sihat ini. Begitulah tapak tangan sememangnya boleh kering dan boleh basah. Mengapa bahagian tertentu tapak tangan perlu dibedah dan dibuang ?? Keadaan tapak tangan yang basah / lembab memberitahu pemiliknya bahawa jantung dan atau paru-paru mereka sedang mengalami masalah. Berusahalah untuk memulihkan situasi ini. Memadailah sekadar saya ingin memberitahu di sini agar janganlah suka makan junk food, mandi malam, minum air batu, pengambilan fast food dan sebagainya. Kepada mereka yang menghadapi masalah ini, silalah email saya kelak insya-Allah saya akan bantu bagaimana untuk menanganinya. Sila email saya kangmasjb@hotmail.com Emjay"

Tangan Fatin tidak henti berpeluh


Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN norlaila@hmetro.com.my
09 July 2006

TERASA tebal muka apabila masalahnya yang hanya diketahui teman rapat, dibongkar di depan rakan sekelas. Hati Fatin Fatihah Ahmad, 23, masih pedih mengenangkan peristiwa

ketika di sekolah menengah dulu apabila seorang rakan membuat pengumuman dengan nada mengejek mengatakan dia kuat berpeluh. Bagi kebanyakan orang, masalah banyak berpeluh adalah perkara memalukan, apatah lagi pada remaja perempuan sepertinya. Hatinya memang terluka dan sakit, tetapi dia hanya mampu bersabar. Puas keluar masuk klinik dan hospital, tetapi masalahnya tidak dapat diatasi. Malah, kebanyakan doktor ditemuinya memberitahu, masalah hiperhidrosis iaitu berpeluh keterlaluan, adalah perkara biasa dan tidak perlu dirisaukan. Kenyataan ini mengecewakan Fatin yang yakin ia bukan perkara biasa kerana rakannya tidak mengalami masalah begitu. Saya mula sedar mengalami masalah hiperhidrosis sejak di sekolah rendah. Setiap kali saya membuat kerja kraf menggunakan kertas warna, semua warna akan melekat pada tangan. Kertas warna pula akan basah dan lunyai hingga tidak boleh digunakan lagi. Selalunya emak yang akan tolong siapkan kerja saya. Apabila masuk ke sekolah menengah, masalah jadi lebih teruk. Saya akan berpeluh lebih banyak jika berasa gementar dan takut. Sebarang perubahan emosi akan menyebabkan saya berpeluh. Tidak kira sama ada sedih, gelisah atau gementar kerana ketika gembira pun saya akan banyak berpeluh. Paling sukar bila tiba musim peperiksaan. Peluh yang keluar pada tapak tangan bukan saja menyukarkan saya menulis, tetapi membuatkan kertas jawapan basah dan tulisan menjadi kembang. Terlalu kerap mengelap tangan juga mengganggu konsentrasi dan melambatkan saya menjawab soalan, katanya. Hiperhidrosis adalah masalah berpeluh keterlaluan, terutama pada muka, tapak tangan, ketiak dan kaki yang disebabkan ketidaknormalan kelenjar peluh atau aktiviti keterlaluan saraf simpatetik yang memberi rangsangan kepada kelenjar peluh. Walaupun ia bukan penyakit berbahaya, hiperhidrosis boleh menimbulkan masalah psikologi kerana penghidapnya sering berasa malu, tidak selesa, rendah diri dan kurang yakin untuk berdepan orang lain. Inilah yang dihadapi Fatin sejak kecil. Apabila meningkat remaja, rasa rendah diri makin menebal. Kerap kali dia mengelak apabila diajak rakan untuk menyertai aktiviti membabitkan ramai orang, terutama pelajar yang tidak dikenali. Setiap kali sebelum bersalam dengan orang, dia akan mengesat tangannya dengan sapu tangan. Jika tidak sempat, baju dipakai menjadi sasaran. Ini juga dilakukannya ketika bertemu penulis. Tidak kira dalam apa keadaan pun, dia akan berpeluh banyak, terutama dalam cuaca panas dan gementar.

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini juga kerap menghadapi masalah ketika belajar dalam kelas, terutama apabila diminta membentangkan kertas kerja di kelas. Perasaan gemuruh bukan saja membuatkan dia gugup, malah kertas dan pen tidak boleh dipegang kerana terlalu banyak peluh. Malah ketika bersembang dengannya di Institut Jantung Negara (IJN) sejam sebelum dia menjalani pembedahan, tapak tangan Fatin basah seperti baru mencuci tangan. Katanya, dia berasa gementar untuk berbual dengan wartawan, walaupun perbualan kami dalam situasi santai. Peluhnya makin banyak apabila mengenangkan sejurus selepas perbualan santai itu, dia akan dibawa ke dewan bedah, walaupun bersedia menghadapinya. Paling malu ketika tingkatan empat apabila memakai baju sekolah warna biru. Baju sering basah, terutama di bahagian ketiak. Ketika itu hanya kawan rapat tahu masalah saya, tetapi ia menjadi bahan ejekan seorang rakan lelaki apabila kami berselisih faham. Saya juga pernah menangis kerana malu diejek, tetapi apa yang boleh saya buat kerana doktor pakar kata perkara ini normal. Bermacam cara saya cuba seperti memakai bedak atau menggunakan serbuk kristal, tetapi tidak berkesan, katanya. Keadaan ini menyebabkan dia sangat berhati-hati memilih pakaian. Dia hanya memakai baju berwarna gelap untuk menyembunyikan masalahnya. Malah, dia juga tidak boleh memakai kasut bertutup penuh. Jika mahu, dia perlu menyediakan stokin lebih untuk ditukar apabila stokin yang dipakai dibasahi peluh. Bukan itu saja, dia juga menghadapi masalah setiap kali menaiki bas, terutama jika tidak dapat tempat duduk. Tangannya yang sentiasa basah itu menyukarkan dia memegang besi susur tangan. Hatinya sering dilanda kebimbangan jatuh dalam bas jika bas dihentikan secara mengejut. Saya hanya tahu hiperhidrosis boleh dirawat apabila membaca masalah ini di akhbar dan menonton televisyen. Ibu terus membuat temu janji dengan doktor. Doktor beritahu, dia akan buat pembedahan di bawah ketiak kanan dan kiri yang mengambil masa dua jam. Selepas pembedahan, perkara pertama saya hendak buat ialah memakai pakaian berwarna cerah dan kasut baldu, katanya. Ketika dihubungi beberapa hari selepas pembedahan, Fatin berkata, dia tidak lagi mengalami masalah tangan dan kaki berpeluh, tetapi ia beralih ke badan, melebihi keadaan biasa. Namun doktor memberitahu ia adalah kesan sampingan biasa yang akan hilang dalam masa tiga hingga enam bulan. Lebih selesa dengan keadaan sekarang. Rasa lebih yakin untuk bertemu orang lain, tetapi

hasrat untuk pakai baju warna terang dan kasut baldu masih belum tercapai, katanya sambil ketawa.

You might also like