You are on page 1of 4

Pernyataan Masalah Budaya organisasi boleh diukur dengan melihat kepada pendekatan-pendekatan yang dibangunkan oleh sarjana-sarjana dalam

bidang budaya. Antara pendekatan yang dimaksudkan ialah kaedah tipologi yang dikemukakan oleh Trompenaars (1993); dan Cameroon & Quinn (1999). Sarjana Hofstede (1980) dan Trompenaars (1993) telah membangunkan pendekatan dimensi-dimensi budaya manakala Schwartz (1992); Schein (1985) dan Trompenaars (1995) telah mengemukakan pendekatan lapisan-lapisan budaya untuk mengukur budaya yang terdapat dalam sesuatu kelompok masyarakat. Kajian-kajian yang dijalankan oleh sarjana-sarjana berikut lebih berfokuskan kepada aspek nilai sebagai elemen utama. Walaubagaimanapun, nilai komunikasi dalam konteks budaya organisasi dilihat telah dipengaruhi oleh budaya yang dianuti itu sendiri. Ini disebabkan oleh budaya yang menentukan tanggapan dasar, nilai dan tatacara yang perlu diikuti oleh seseorang individu dalam pergaulannya dengan orang lain (Asma, 1996). Oleh itu, nilai komunikasi dilihat berkaitrapat dengan nilai dalam budaya organisasi. Terdapat banyak kajian yang dijalankan oleh sarjana terdahulu mengenai nilai, antaranya ialah Allport (1961); Rokeach (1971); Wrightsman (1977); dan Schwartz (1994). Walaubagaimanapun, kajian terhadap nilai dalam komunikasi masih lagi kurang dijalankan oleh penyelidik sebelum ini. Hal ini disokong oleh Schwartz (1994) menyatakan sarjana sebelum ini hanya menjalankan kajian berdasarkan kepada faktor-faktor yang mendorong kepada berlakunya pengaruh nilai seperti faktor hirarki, faktor persekitaran organisasi, faktor sosial dan faktor emosi tetapi tidak menumpukan kepada kajian terhadap nilai dalam komunikasi. Merujuk kajian yang dijalankan oleh Rokeach (1971), beliau hanya memberi tumpuan terhadap nilai yang mempengaruhi sikap dan tingkah laku individu dalam setiap aspek kehidupan. Kajian yang dijalankan adalah bertujuan untuk melihat dengan lebih teliti sikap dan tingkahlaku individu berdasarkan kepada kategori nilai yang dikemukakan iaitu nilai terminal dan nilai sentimental yang terdiri daripada 18 item bagi setiap kategori nilai. Namun demikian, terdapat banyak kajian yang dilakukan dalam bidang nilai dan juga budaya organsasi, seperti sarjana Schein (1985), Hofstede (1980) dan Rokeach (1997). Namun, hasil daripada kajian yang dijalankan adalah tidak menyeluruh terhadap semua aspek. Hal ini

merujuk kepada sarjana Hofstede (1980) yang hanya menjalankan kajian di organisasi IBM di 67 buah negara. Menerusi kajian itu, beliau mengemukakan pendekatan dimensi budaya yang berupaya untuk mengukur budaya dalam organisasi yang dikaji. Oleh itu, pendekatan yang dibangunkan oleh beliau dilihat tidak menyeluruh ekoran daripada budaya yang diamalkan di setiap organisasi adalah berbeza. Dalam konteks komunikasi, Deal & Kennedy (1982) dalam bukunya Corporate Culture: The Rites and Rituals of Corporate Life menyatakan budaya sebagai suatu proses komunikasi. Ini dijelaskan melalui proses pengumpulan cerita, perkongsian maklumat, pengawalan mesej dan adanya maklumat tambahan semasa proses penyampaian itu berlaku. Namun begitu, kebanyakan kajian yang dijalankan oleh sarjana dalam bidang komunikasi lebih menumpukan kepada komunikasi massa, komunikasi antara budaya, komunikasi interpersonal, dan komunikasi pengurusan. Oleh itu, kajian ke atas nilai dalam komunikasi masih kurang mendapat tumpuan oleh sarjana. Merujuk sarjana Fishbein (1970) telah mengkaji aspek komunikasi massa, kajian yang dijalankan bertujuan untuk mengenalpasti pengaruh komunikasi massa terhadap pelanggan. Menerusi kajian yang dijalankan oleh beliau, dapat dilihat bahawa komunikasi massa merupakan pendekatan utama untuk memujuk dan menarik minat pelanggan untuk membeli produk yang dikeluarkan. Hal ini juga turut berlaku di Malaysia, dimana sarjana Hashim Fauzy (2001) telah menjalankan kajian terhadap kompetensi komunikasi antara budaya. Menurut kajian beliau, kompetensi komunikasi antara budaya boleh diukur dengan menggunakan empat komponen dimensi. Nilai dalam komunikasi merupakan tunjang utama dalam pengurusan di mana ianya mempengaruhi nilai dan memberi kesan terhadap pengurusan sesebuah organisasi. Di pejabat daerah khususnya, menurut Ahmad Sarji (1991) menyatakan bahawa perkhidmatan awam sebagai organisasi yang menitikberatkan elemen nilai-nilai dalam pengurusan bagi menegakkan sebuah negara yang cekap dan maju, boleh mentadbir secara berkesan dan boleh bersaing dengan negara-negara maju yang lain. Hal ini merangkumi penekanan terhadap penerapan nilai-nilai diri yang bukan hanya tertumpu kepada staf di peringkat pengurusan tetapi tumpuan juga diberikan kepada staf dibahagian pentadbiran. Namun demikian, kajian mengenai staf pentadbiran masih lagi kurang dijalankan dan ini bukan menunjukkan bahawa mereka tidak mempunyai sebarang

kepentingan dalam perkhidmatan awam. Walaupun kajian kurang dijalankan terhadap staf pentadbiran, ini tidak bermakna nilai dalam komunikasi tidak dititikberatkan. Oleh itu, kajian ini dijalankan untuk melihat sejauhmana nilai dalam komunikasi dapat mempengaruhi nilai dalam pengurusan bagi seseorang individu dikalangan staf pentadbiran. Kajian ini turut mengambilkira elemen yang dibangunkan oleh Rokeach (1973) dan Shephard (1991) iaitu dengan mengadaptasi elemen-elemen seperti nilai terminal dan nilai sentimental yang mempengaruhi tingkahlaku individu serta nilai-nilai yang terdapat dalam pengurusan. Melalui kajian ini, pengkaji telah menggunakan pendekatan program penerapan nilainilai dalam pengurusan dalam kajian untuk melihat sama ada program ini mampu mendorong nilai individu dalam pengurusan yang lebih beretika. Berdasarkan program ini, staf pentadbiran akan didedahkan dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran mengenai budaya kerja, amalan kerja yang beretika dan kepelbagaian teknik pengurusan yang cemerlang. Pengetahuan yang diperolehi itu haruslah diaplikasikan di tempat kerja mereka iaitu di pejabat daerah di Negeri Kedah untuk memastikan hasrat perkhidmatan awam dan RMK-10 untuk melahirkan komuniti yang beretika. Melalui program ini, staf pentadbiran di pejabat daerah khususnya dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran serta mengamalkan nilai-nilai yang diperoleh daripada program yang dijalankan. Secara umumnya, program ini adalah merupakan program yang dirancang oleh pihak Kerajaan untuk kakitangan perkhidmatan awam di mana program ini mendapat sambutan yang baik daripada organisasi awam dan staf pentadbiran (Ahmad Sarji, 1991). Oleh itu, di akhir kajian ini, pengkaji akan dapat mengetahui nilai-nilai dalam pengurusan, nilai-nilai komunikasi yang diamalkan, tahap amalan nilai komunikasi, faedah daripada mengamalkan nilai-nilai komunikasi dalam pengurusan organisasi. Berdasarkan kepada penelitian terhadap kajian-kajian terdahulu, didapati bahawa kajian terhadap nilai komunikasi dalam perspektif pengurusan kurang mendapat perhatian daripada sarjana. Namun demikian, menurut kepada pernyataan-pernyataan yang dinyatakan, kajian ini akan meneliti dengan lebih terperinci menerusi persoalan kajian seperti berikut; 1. Apakah tahap kesedaran staf pentadbiran terhadap nilai-nilai komunikasi dalam mendorong budaya organisasi ke arah mencapai pengurusan yang lebih efektif?

2. Sejauh manakah staf pentadbiran memahami kepentingan nilai-nilai komunikasi dalam mendorong budaya organisasi ke arah mencapai pengurusan yang lebih efektif? 3. Sejauh manakah tahap amalan staf pentadbiran terhadap nilai-nilai komunikasi dalam mendorong budaya organisasi ke arah mencapai pengurusan yang lebih efektif? 4. Apakah persepsi staf pentadbiran terhadap nilai-nilai komunikasi yang merupakan sebahagian daripada nilai-nilai dalam pengurusan dalam mendorong budaya organisasi ke arah mencapai pengurusan yang lebih efektif?

You might also like