You are on page 1of 17

Punca Kesilapan Murid Menyelesaikan Soalan Penyelesaian Masalah Dalam Matematik

ABSTRAK

Masalah matematik berayat (word problems) merupakan komponen penting dalam kurikulum matematik KBSR. Bagaimanapun, kebanyakan murid belum berupaya menguasai kemahiran ini sedangkan mereka berupaya melaksanakan operasi asas matematik. Satu strategi atau teknik yang sesuai perlu dikenalpasti bagi membantu murid menangani kesukaran dalam menyelesaikan masalah matematik berayat. Penyelesaian masalah matematik berayat bukan setakat mencari jawapan akhir tetapi membabitkan kefahaman dan penguasaan strategi yang lebih kompleks.Kajian kes ini bertujuan mencari punca kesilapan murid-murid Tahun 4 Beta dalam menyelesaikan soalan penyelesaian masalah matematik. Seramai 20 orang murid Tahun 4 Beta daripada SK Slim River telah dipilih sebagai subjek kajian. Saya memilih kelas tersebut kerana saya mengajar kelas ini dari awal tahun 2011. Dalam kajian ini, murid-murid telah diuji secara bertulis dengan menggunakan satu set 12 soalan penyelesaian masalah matematik. Selepas ujian pertama, murid-murid diuji sekali lagi secara bertulis soalan-soalan yang gagal dijawab secara individu. Peringkat seterusnya, murid-murid yang gagal dalam ujian kedua ditemuduga berdasarkan Prosedur Temu Duga Newman yang telah diubahsuai untuk mengenal pasti punca kesilapan oleh murid. Hasil kajian menunjukkan beberapa punca kesilapan yang ada pada murid yang lemah terutamanya kegagalan murid menukarkan cerita kepada ayat matematik yang betul dan kesilapan penggunaan strategi penyelesaian masalah.

1.0

PENDAHULUAN Definisi Pemulihan Dalam konteks sekolah rendah, Program Pendidikan Pemulihan merupakan tindakan yang dijalankan untuk membantu murid-murid yang mengalami kesukaran dalam menguasai kemahiran asas membaca, menulis, dan mengira (3M). Konsep dan Definisi Pendidikan Pemulihan Matematik Konsep matematik ialah satu bahasa istimewa dan penting yang harus dipelajari oleh semua orang. Cara dan teknik matematik itu sendiri haruslah dikuasai jika kita hendak mendalami bahasa bidang tersebut. Konsep matematik ialah satu cara berfikir, kajian pola, kajian perhubungan, satu seni, dan bahasa yang tersendiri, satu alat dalam kehidupan sosial dan rekreasi manusia. Konsep pendidikan pemulihan matematik ialah satu tindakan yang diambil untuk mengatasi masalah pembelajaran murid-murid yang lemah dalam mata pelajaran matematik di sekolah rendah amnya. Pendidikan Pemulihan ini lebih menumpukan kepada kemahiran-kemahiran asas seperti nombor, operasi tambah, operasi tolak, operasi darab dan operasi bahagi.Biasanya program ini dikendalikan oleh guru-guru yang telah menjalani latihan khas (matematik). Kalau kita perhatikan dalam diri murid-murid, proses kognitif dan pengetahuan telah berkembang sejak permulaan persekolahan lagi. Oleh itu, untuk mengukuhkan lagi pengetahuan tentang matematik guru perlu memperkenalkannya dengan menggunakan kaedah dan strategi yang dapat menarik minat murid tersebut meneroka bahasa itu. Proses untuk memahami konsep memerlukan masa yang agak panjang. Murid-murid perlu mempunyai persediaan yang mencukupi sebelum membina dan melanjutkan sesuatu konsep itu. Bagi tujuan ini, proses itu perlu dimajukan mengikut suatu susunan yang tertentu dalam 3 fasa :1. Memajukan kefahaman prasyarat bermaksud membuat persediaan untuk mempelajari sesuatu konsep. Kemahiran yang diperlukan dalam fasa ini mungkin berupa kesediaan terhadap sesuatu yang hendak dipelajari atau idea yang telah dipelajari bolehlah dihubungkaitkan dalam pembentukan konsep yang hendak dikaji. 2. Membina konsep dan generalisasi ialah membentuk idea dengan menghubungkan pengalaman yang telah dipelajari dengan pengalaman yang baru. Proses ini melibatkan sesuatu kesimpulan yang telah dibuat yakni generalisasi yang diperolehi dari contoh yang

dikaji atau yang telah dipelajari lebih awal melalui proses pembelajaran. Di sini muridmurid perlu menghasilkan sesuatu contoh dan mengkajinya untuk menunjukkan bahawa sesuatu idea atau pengetahuan itu telah diperolehi. 3 Melanjutkan dan mengukuhkan pengetahuanan ialah murid melanjutkan kefahaman dengan cara mengkaji kandungan pengetahuan yang baru dibina dan mengukuhkan pengetahuan itu dengan memeriksa kembali dan mengulanginya supaya pengetahuan yang betul dapat difahami dan dikekalkan dalam pemikiran mereka. Definisi Matematik Berayat (Penyelesaian Masalah) Masalah matematik berayat sememangnya merupakan komponen penting

dalam kurikulum matematik KBSR. Ini jelas tergambar dalam komponen soalan matematik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2001, yang terdiri daripada 70% soalan berbentuk masalah berayat (Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Malaysia [LPKPM],2001). Pengajaran dan pembelajaran matematik KBSR perlu dirancang dan dikendalikan dengan berkesan bagi mewujudkan suatu pengalaman yang menyeronokkan dan mencabar bagi pelajar. Pengalaman, kebolehan, minat, daya dan gaya murid yang berbeza-beza perlu diambil kira dan diberi perhatian. Matlamat pendidikan matematik sekolah rendah ialah untuk membina dan mengembangkan kefahaman murid dalam konsep nombor dan kemahiran asas mengira (Kementerian Pendidikan Malaysia, 1995). Sehubungan dengan itu, program Matematik sekolah rendah memberi tumpuan kepada kemahiran mengira iaitu tambah, tolak, darab dan bahagi dalam penyelesaian masalah harian secara berkesan dan penuh tanggungjawab. Penekanan terhadap aspek kemahiran berfikir secara kreatis dan kreatif yang berteraskan penyelesaian masalah juga dimasukkan ke dalam Sukatan Pelajaran Matematik. Justeru penyelesaian masalah ialah fokus kurikulum dan menjadi tujuan utama semua pengajaran dan aktiviti matematik KBSR. Oleh itu penyelesaian masalah bukanlah satu topik yang berasingan tetapi satu proses yang meliputi seluruh program pengajaran.

1.1

Latar Belakang Kajian

Kebolehan menyelesaikan masalah matematik merujuk kepada kemampuan murid menyelesaikan masalah matematik yang merangkumi masalah rutin dan masalah bukan rutin. Menurut Aziz (2002), sekiranya penyelesaian masalah hanya mengaplikasikan algoritma yang telah dipelajari, maka ia disebut sebagai masalah rutin. Manakala sekiranya seseorang murid perlu berfikir secara mendalam untuk mengaplikasikan konsep asas matematik untuk menyelesaikan masalah yang diberikan, ia dinamakan masalah bukan rutin. Masalah yang berkait dengan kurikulum sekolah rendah lazimnya merupakan masalah rutin yang berbentuk masalah bersimbol dan masalah berayat (Ong & Yoong, 2003). Menurut Noor Azlan (1995), dalam sejarah perkembangan pendidikan matematik di Malaysia, kurikulum mata pelajaran itu telah mengalami banyak perubahan sejak merdeka hingga sekarang. Kementerian Pelajaran Malaysia peka terhadap kualiti pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Banyak usaha telah dijalankan untuk meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran matematik. Justeru, pihak kerajaan telah memperkenalkan pelbagai pendekatan yang kreatif dan inovatif untuk meningkatkan kebolehan murid dalam menyelesaikan masalah matematik. 1.2 Masalah Kajian

Penyelesaian masalah ialah satu bidang matematik yang tersendiri dan istimewa kerana perkara ini lebih berkait rapat dengan situasi dan pengalaman harian. Penyelesaian masalah merupakan kemuncak dalam pengajian matematik sebab ianya menguji kepintaran berfikir dan kemahiran lain seperti kemahiran dalam fakta asas, menaakul masalah, operasi, menyusun data, menggunakan pelbagai konsep matematik dan menyemak secara logik.

Murid-murid yang mengalami kesukaran dalam memahami konsep dan kemahiran matematik perlu dikenalpasti bidang kelemahan mereka seawal yang mungkin. Dengan membuat diagnostik pada peringkat awal, program-program pemulihan yang bersesuaian dapat dilakukan sebelum mereka melangkah ke tahap matematik yang lebih tinggi lagi. Program pemulihan ini harus dimulakan apabila kelemahan-kelemahan asas dikenalpasti agar pembelajaran matematik dapat bermula daripada kekuatan yang ada pada murid yang bermasalah itu. Jika murid-murid mengalami masalah pembelajaran dalam matematik tidak dapat dibantu dan diberi bimbingan yang sewajarnya dari awal lagi mereka dikhuatiri akan menghadapi kegagalan yang berterusan. Pada akhirnya, murid-murid ini akan kehilangan motivasi untuk belajar matematik dan seterusnya membenci dan melupakan mata pelajaran ini. 1.3 Objektif Kajian

Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti faktor-faktor yang menyebabkan murid-murid menghadapi kesukaran dalam menyelesaikan soalan penyelesaian masalah dalam matematik. Kajian ini akan menganalisis punca kesilapan yang dilakukan oleh muridmurid ketika menyelesaikan soalan penyelesaian masalah. Tumpuan kajian ini adalah ke atas empat operasi asas matematik iaitu penambahan, pengurangan, pendaraban dan pembahagian. Selain daripada itu, kajian ini juga akan menumpukan kepada tahap matriks soalan penyelesaian masalah iaitu item masalah tidak langsung, item masalah yang mempunyai maklumat pengganggu dan item masalah yang memerlukan dua langkah penyelesaian. 1.4 Persoalan Kajian

Berdasarkan kajian di atas, kajian ini akan menjawab soalan-soalan berikut : a) Apakah strategi yang digunakan oleh murid-murid Tahun 4 Beta yang lemah untuk menyelesaikan masalah?

b) Apakah punca-punca kesilapan yang dilakukan oleh murid-murid Tahun 4 Beta yang lemah dalam menyelesaikan masalah? 1.5 Batasan Kajian

Kajian ini terbatas kepada perkara-perkara yang berikut : a) Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti punca kesilapan dalam menyelesaikan soalan penyelesaian masalah dalam matematik di kalangan murid-murid Tahun 4 Beta sahaja. b) Pengkaji tidak mengambil kira faktor emosi, latar belakang keluarga, persekitaran sekolah dan kecacatan fizikal yang mempunyai kaitan dengan kesilapan murid dalam menyelesaikan soalan penyelesaian masalah dalam matematik. 1.6 Kepentingan Kajian

Penyelesaian masalah merupakan satu kemahiran yang harus dimiliki oleh semua orang terutamanya kepada golongan guru untuk menyesuaikan kaedah pengajaran mereka. Tumpuan kepada aspek pemulihan akan memberi manfaat kepada murid-murid dari segi psikologi dan menambahkan motivasi belajar mereka. Kajian ini bertujuan untuk membuat diagnosis terhadap kelemahan-kelemahan yang dihadapi oleh murid-murid Tahun 4 terhadap soalan penyelesaian masalah. Dengan mengenal pasti kelemahan murid-murid pada peringkat awal akan membolehkan langkah-langkah pemulihan yang sewajarnya dilakukan bagi mengelakan murid-murid terus menerus mengalami kegagalan yang boleh melemahkan motivasi mereka untuk terus maju dalam mata pelajaran matematik. Setelah menguasai kemahiran ini, mereka akan mempunyai keyakinan diri, menyukai matematik, berminat dan bermotivasi tinggi untuk terus mempelajari matematik. Memahami dan menyelesaikan soalan penyelesaian masalah memerlukan

keupayaan dalam beberapa kemahiran seperti memahami bahasa, memahami situasi yang

dinyatakan, keupayaan untuk mencari ayat matematik yang betul dan juga keupayaan melakukan komputasi. Oleh itu, kajian tentang keupayaan kanak-kanak untuk menyelesaikan soalan penyelesaian masalah yang mudah akan memberi sumbangan terhadap keupayaan kanak-kanak untuk menguasai kemahiran menyelesaikan soalan penyelesaian masalah yang lebih kompleks. 2.0 KAJIAN LITERATUR Mengikut definisi Lester (1970-an), masalah merupakan suatu situasi apabila seseorang individu atau kumpulan itu dikehendaki melaksanakan kerja penyelesaiannya. Mereka hendaklah menentukan strategi dan kaedah penyelesaian masalah terlebih dahulu sebelum melaksanakan kerja penyelesaiannya. Strategi penyelesaian masalah itu harus melibatkan pelaksanaan suatu set aktiviti yang boleh memberi penyelesainnya. Mengikut Newman (1977, 1983), apabila seseorang ingin menyelesaikan soalan bermasalah , ia perlu mengikut hieraki berikut : 1. Membaca masalah. 2. Memahami apa yang dibaca. 3. Membuat transformasi pemikiran. 4. Mengaplikasikan kemahiran proses yang diperlukan. 5. Membuat pengkodan jawapan dalam bentuk bertulis. Apa yang dipentingkan dalam Prosedur Analisis Kesilapan Newman adalah setiap masalah dilihat dalam bentuk hieraki. Ini adalah kerana kegagalan pada mana-mana tahap akan menghalang penyelesaian masalah untuk menyelesaikan masalah dengan jayanya kecuali secara tidak sengaja. Baretta-Lorton (1997) juga menegaskan bahawa keadaan ini berlaku kerana penyelesaian masalah memerlukan tahap pemikiran yang tinggi. Selain itu juga, ia memerlukan kefahaman teks dan arahan serta proses mengira. Sekiranya murid-murid dapat mengatasi masalah tersebut, lazimnya kegagalan mereka dalam menyelesaikan

soalan penyelesaian masalah disebabkan oleh kecuaian atau kesilapan dalam penyusunan data atau langkah mengira. Kajian menunjukkan murid sekolah rendah belum berupaya menyelesaikan masalah matematik berayat walaupun mereka menguasai kemahiran menjalankan operasi secara prosedural (Mokhtar et al., 2001; Third International Mathematics and Science Study [TIMSS], 1999; Fatimah, 1999; Hassan, 1998; Mohd. Daud et al., 1997). Fenomena ini nampaknya secocok dengan kajian di luar negara seperti Verschaffel et al. (1999), Bransford et al. (1996), dan Hegarty et al. (1995) yang mendapati masalah matematik berayat menimbulkan banyak kesukaran dan kesilapan di kalangan murid peringkat awal persekolahan. Dalam menjelaskan tentang teknik penyelesaian masalah matematik, murid cenderung menyelesaikan masalah matematik menggunakan teknik menghafal prosedur dan operasi matematik, menggunakan angka-angka dan istilah yang menjadi kata kunci (Mohd Uzi, 1999; Hassan, 1998; dan Jemaah Nazir Sekolah Persekutuan [JNSP], 1993).Selain itu, murid melaksanakan penyelesaian tanpa memahami dengan sempurna maksud keseluruhan sesuatu masalah semasa menyelesaikan masalah matematik berayat (Bransfordet al., 1996; dan Hegarty, 1995). 3.0 3.1 METODOLOGI Persampelan

Sampel kajian adalah terdiri daripada 20 orang murid-murid Tahap 2 iaitu murid-murid Tahun 4 Beta dari Sekolah Kebangsaan Slim River. Murid-murid di dalam setiap kelas diasingkan mengikut tahap pencapaian mereka dan tidak ditempatkan berdasarkan kepada pelbagai kebolehan. Murid 4 Beta dikategorikan sebagai sederhana berdasarkan kepada pengasingan kelas.

3.2

Pengumpulan Data

Pengkaji akan mentadbirkan sendiri ujian ke atas murid. Murid-murid diuji secara kelas dalam bentuk ujian bertulis yang terdiri daripada 12 soalan. Masa yang diperuntukkan dalam ujian ini ialah 40 minit. Pengkaji memeriksa ujian bertulis yang diberikan untuk menentukan sama ada jawapan yang diberikan itu betul atau salah. Pada peringkat kedua, pengkaji menemu duga murid-murid yang melakukan kesilapan dalam ujian bertulis yang diberikan itu. Temu duga ini adalah berdasarkan Prosedur Temu Duga Newman yang telah diubahsuai oleh pengkaji. Sebelum temu duga dijalankan, terlebih dahulu saya memberitahu murid bahawa ini bukan ujian tetapi untuk mengkaji apakah kesilapan atau masalah yang mereka hadapi dalam menyelesaikan soalan penyelesaian masalah. 3.3 Instrumen

Dalam kajian yang akan dijalankan, instrumen yang akan digunakan adalah : a) Soalan Ujian Penyelesaian Masalah Soalan ujian ini mengandungi 12 soalan subjektif penyelesaian masalah yang melibatkan operasi asas matematik iaitu tambah, tolak, darab dan bahagi . Soalan ini telah diubahsuai mengikut aras pengetahuan murid-murid yang mengandungi : i) Pernyataan Langsung, Tidak ada Maklumat Pengganggu dan Memerlukan Satu Langkah Penyelesaian sahaja. ii) Pernyataan Tidak Langsung. iii) Mempunyai Maklumat Pengganggu.

iv) Masalah Memerlukan dua Langkah Penyelesaian.

b) Temu Duga Individu. Temu duga secara individu adalah berdasarkan kepada Prosedur Temu Duga Newman yang telah diubahsuai. Mengikut Prosedur Temu Duga Newman, seseorang murid yang melakukan kesilapan dalam ujian bertulis yang diberikan akan diminta untuk menjawab soalan itu semula. Apabila ujian semula ini dijalankan, pengkaji akan menemuduga murid-murid berdasarkan 5 soalan mengikut urutan. Pengkaji akan mengklafikasikan kesilapan murid berdasarkan Kriteris Newman iaitu sama ada kesilapan berpunca daripada kecuaian, motivasi, kebolehbacaan, kefahaman, keupayaan untuk membuat transformasi (menukarkan masalah kepada ayat matematik), kemahiran proses (komputasi) atau membuat pengkodan (menulis jawapan yang betul). 3.4 Analisis Data

Data dianalisis secara deskritif mengikut kes. Pada peringkat pertama, ujian diagnostik dianalisis berdasarkan kepada jawapan betul atau salah. Saya telah memeriksa jawapan daripada tugasan yang dilakukan oleh murid. Pada peringkat kedua, jawapan dari sesi temu duga secara individu bagi setiap soalan dianalisis untuk mengenal pasti punca kesilapan sama ada berpunca daripada kecuaian, kurang motivasi, pemahaman, transformasi, komputasi atau kebolehan membuat pengkodan.

10

3.5

Dapatan Kajian Berdasarkan kajian yang telah saya jalankan, saya dapati 5 punca kesilapan yang telah dilakukan oleh murid Tahun 4 Beta seperti berikut : Punca Satu : Kegagalan Membuat Transformasi Sebahagian besar kesilapan yang dilakukan oleh murid-murid Tahun 4 Beta ialah dalam memilih operasi yang sesuai untuk membuat penyelesaian. Murid-murid gagal menukarkan cerita kepada ayat matematik yang tepat. Kesilapan yang dilakukan oleh murid ialah keliru dalam operasi tambah untuk menyelesaikan masalah operasi darab dan menggunakan operasi tolak untuk menyelesaikan masalah bahagi. Punca Dua : Cuai Ketika Menjawab Soalan Dapatan kajian ini menunjukkan kecuaian merupakan faktor yang kedua terbanyak. Biasanya kesilapan ini berlaku pada soalan yang mudah iaitu melibatkan masalah yang memerlukan satu langkah penyelesaian dan juga masalah yang mempunyai maklumat pengganggu. Ini jelas terbukti apabila murid dapat menyelesaikan masalah matematik apabila diuji secara individu berbanding dengan ujian yang diduduki secara kumpulan. Punca Tiga : Tidak Memahami Soalan Kesilapan juga berlaku disebabkan oleh kegagalan murid untuk memahami soalan. Ini jelas terbukti apabila murid yang lemah berbeza dengan murid yang baik dalam menyelesaikan masalah dari segi pemahaman bahan bacaan dan konteks ayat. Dapatan kajian menunjukkan bahawa kesilapan pemahaman berlakudisebabkan oleh kegagalan murid memahami konsep-konsep asas yang terdapat dalam soalan seperti konsep lebih daripada, kurang daripada dan juga lebih 2 kali. Kelemahan murid

11

untuk memikirkan angka yang terdapat dalam soalan menyebabkan mereka mengabaikan frasa kata yang terdapat pada sebelum sesuatu angka. Dapatan kajian ini juga mendapati bahawa murid kurang memahami apa yang dibaca. Apabila ditanya, murid-murid hanya berdiam diri atau mengatakan tidak tahu apa yang telah dibacanya. Maka jelaslah bahawa murid boleh membaca dengan baik tetapi tidak memahami apa yang telah dibaca atau kehendak soalan. Punca Empat : Kurang Motivasi Kekurangan motivasi juga menyebabkan murid-murid tidak dapat menjawab soalan dengan betul. Ini jelas terbukti apabila murid-murid yang gagal untuk menjawab soalan di dalam kedua-dua ujian bertulis yang dijalankan tetapi berjaya menyelesaikan masalah setelah diberi panduan melalui sesi temu duga. Dengan bantuan atau motivasi daripada guru barulah murid berjaya menukarkan cerita kepada ayat matematik dan akhirnya menyelesaikan masalah tersebut dengan betul. Punca Lima : Melakukan Kesilapan Komputasi Dapatan kajian ini menunjukkan hanya 5 daripada 20 (25%) kesilapan yang ditunjukkan oleh sampel kajian berpunca daripada kesilapan ketika melakukan komputasi. Kesilapan ini terbukti apabila murid melakukan kesilapan dalam pendaraban nombor 1 digit dengan 3 digit dan pembahagian 3 digit dengan 1 digit tetapi adalah jelas kesilapan komputasi mempunyai pengaruh yang penting dalam menentukan pencapaian penyelesaian masalah murid. Dalam kajian ini, kesilapan komputasi didapati hanya berlaku dalam soalan penyelesaian masalah yang melibatkan operasi bahagi dan operasi darab sahaja. 4.0 4.1 PELAKSANAAN KAJIAN Perancangan Tindakan

Berdasarkan tinjauan awal yang telah dijalankan, saya membuat perancangan kajian tindakan untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh murid dalam menyelesaikan soalan

12

penyelesaian masalah dalam matematik.

Oleh itu saya telah mengadakan sesi

perbincangan dengan rakan yang mengajar matematik dan berpengalaman dan menjadi pemeriksa kertas UPSR bagi subjek ini. Saya meminta pandangan dan pendapat untuk mengatasi masalah ini. Beberapa aktiviti intervensi telah dicadangkan untuk membantu murid mengatasi masalah ini seperti latih tubi berpandu membimbing murid memahami masalah, mengecilkan skop operasi yang dipilih dan mengukuhkan konsep tambah, tolak, darab dan bahagi. 4.2 Pelaksanaan Tindakan

Sebelum tindakan intervensi dilaksanakan, saya telah menerangkan kepada mereka yang terlibat tentang perjalanan aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan sepanjang tempoh kajian. Semasa dalam proses menjalankan kajian tindakan, saya mengambil langkah mengaplikasikan latih tubi berpandu dalam pengajaran matematik saya ke atas muridmurid yang terlibat. Aktiviti yang dijalankan adalah seperti berikut: 4.3 Aktiviti 1 - Penerangan menggunakan slide Powerpoint Aktiviti 2 - Lembaran kerja soalan penyelesaian masalah berpandu dalam kumpulan. Aktiviti 3 - Lembaran kerja soalan penyelesaian masalah berpandu individu. Refleksi dan Penilaian

Berdasarkan daripada proses kajian yang telah dijalankan, terdapat beberapa kelemahan yang dihadapi, di samping terdapat beberapa kelebihan yang boleh ditonjolkan. Kelebihan Saya amat berpuas hati khususnya dari segi pencapaian murid-murid dalam Peperiksaan Akhir Tahun (PKSR 2) yang menunjukkan peningkatan yang begitu positif dan

13

memberansangkan. Daripada temubual dengan murid-murid yang terlibat dalam kajian tindakan ini, saya dapati mereka lebih berkeyakinan untuk menjawab soalan penyelesaian masalah. Mereka telah mengaplikasikan teknik penyelesaian masalah berpandu yang disarankan dan mendapati mereka lebih mudah memilih operasi yang terlibat. Saya telah membuat analisis soalan penyelesaian masalah yang terdapat dalam soalan peperiksaan Akhir Tahun (PKSR 2), saya dapati murid-murid yang terlibat dalam kajian tindakan ini telah berjaya menjawab 80% betul. Ini secara tidak langsung telah meningkatkan peratus kelulusan mereka dalam mata pelajaran matematik. Daripada pemerhatian saya sendiri semasa sesi temu duga, semua pelajar (termasuk yang paling lembab) telah mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang sesi tersebut dengan aktif. Mereka perlukan perhatian daripada guru-guru yang mengajar untuk memotivasikan mereka dalam pembelajaran. Mengenalpasti punca masalah murid-murid dalam pembelajaran merupakan perkara yang penting dalam usaha merangsang murid untuk belajar dan berfikir. Kelemahan Walaupun secara keseluruhannya analisis telah menunjukkan hasil yang baik, namun saya masih tidak berpuas hati. Ini memandangkan masih terdapat segelintir pelajar yang menghadapi masalah dalam menyelesaikan soalan penyelesaian masalah terutamanya bagi masalah operasi darab dan bahagi. Maklumat ini ditunjukkan oleh beberapa orang pelajar dalam Peperiksaan Akhir Tahun (PKSR 2) . Faktor tidak menguasai kemahiran ini merupakan penyebab mereka melakukan kesilapan semasa mencari jawapan. Kekurangan masa juga menyebabkan sukar untuk memberi tumpuan kepada murid yang lemah dalam membimbing mereka dalam menyelesaikan soalan penyelesaian masalah dengan secara terperinci. Faktor kehadiran murid yang terlibat dalam kajian tindakan ke sekolah juga mengganggu proses kajian tindakan ini.

14

4.4

Kesimpulan dan Cadangan

Berdasarkan kajian yang dilaksanakan, didapati bahawa sesetengah murid memerlukan pendekatan yang berbeza dalam mempelajari sesuatu kemahiran yang hendak diterapkan dalam pembelajaran. Oleh kerana itu, perlu dilakukan kajian terhadap kaedah-kaedah yang boleh digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.. Sebagai contoh, dalam tajuk operasi darab, perlu ada pelbagai pendekatan untuk membantu murid menghafal sifir dan melakukan operasi darab. Saya percaya, penerapan pelbagai kaedah intervensi dalam menghafal sifir seperti kotak sifir dan teknik mendarab seperti teknik lappace, mampu menarik minat murid untuk menguasai kemahiran tersebut. Dalam menjelaskan tentang teknik penyelesaian masalah matematik, murid cenderung menyelesaikan masalah matematik menggunakan teknik menghafal prosedur dan operasi matematik, menggunakan angka-angka dan istilah yang menjadi kata kunci (Mohd Uzi, 1999; Hassan, 1998; dan Jemaah Nazir Sekolah Persekutuan [JNSP], 1993).Selain itu, murid melaksanakan penyelesaian tanpa memahami dengan sempurna maksud keseluruhan sesuatu masalah semasa menyelesaikan masalah matematik berayat (Bransfordet al., 1996; dan Hegarty, 1995). Tidak dinafikan bahawa teknik menghafal prosedur dan operasi dapat menghasilkan penyelesaian yang betul bagi masalah matematik yang rutin. Dalam penyelesaian masalah matematik, murid tidak harus dikongkong oleh satu teknik penyelesaian yang biasa disampaikan oleh guru sahaja. Teknik lain yang sesuai perlu digalakkan, lebih-lebih lagi yang bersesuaian dengan peringkat perkembangan kognitif murid, pengalaman dan persekitaran pembelajaran yang dilalui oleh murid. Guru perlu lebih prihatin terhadap masalah murid dan perlu kreatif membuat pengubahsuaian terhadap teknik-teknik yang ada mengikut situasi pengajaran dan pembelajaran. Pelbagaikan kaedah pengajaran dan melakukan sedikit pengubahsuaian

15

terhadap pengajaran, mampu merubah persepsi murid-murid kita terhadap pembelajaran matematik yang selama ini dianggap sebagai mata pelajaran yang sukar sehingga memadamkan minat mereka untuk belajar matematik. Pengalaman kali ini akan membantu saya dalam meminimumkan lagi kelemahan yang wujud semasa kajian akan datang untuk sampel yang lebih besar. Saya percaya, perkongsian idea bersama rakan-rakan sejawatan mampu memperbaiki kajian tindakan yang akan datang.

16

5.0

RUJUKAN

Atan Long, Pelbagai Kaedah Mengajar, Fajar Bakti Sdn. Bhd. Kuala Lumpur, 1991 Kementerian Pendidikan Malaysia. 1999. Buku Teks Mathematics Standard 4. Kuala Lumpur : Kementerian Pendidikan Malaysia. Kementerian Pendidikan Malaysia. 1999. Huraian Sukatan Pelajaran Matematik : Kementerian Pendidikan Malaysia. Tahun 4. KualaLumpur : Kementerian Pendidikan Malaysia. Kementerian Pendidikan Malaysia.(1999). Buku Panduan Guru,Matematik. Tahun 4. Kuala Lumpur : Dewan bahasa Dan Pustaka Mook Soon Sang, Penyuburan dan Perkaedahan Matematik, Kumpulan Budiman Sdn. Bhd, Kuala Lumpur, 1992 Mook Soon Sang, Psikologi, Strategi Pengajaran dan Penilaian Matematik, Kumpulan Budiman Sdn. Bhd, Kuala Lumpur, 1992 Noraini Idris, Pedagogi Dalam Pendidikan Matematik, Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 2005 Othman Lebar. Abdul Talib ,Mohamed Hashim,Omar Hisham Mohd Baharin, Ismail Raof Pengajaran, Teknologi dan Penaksiran 2. KPD 3026, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Tanjung Malim, 2011 Soon Sang & Siew Fook Cheong, Pengajaran & pembelajaran Matematik untuk Pengajaran Sekolah Rendah, Heinemann (Malaysia) Sdn. Bhd., 1986

17

You might also like