You are on page 1of 4

ORGANISASI KANDUNGAN Sains merupakan satu bidang keilmuan hasil daripada usaha manusia untuk mencari penerangan yang

rasional tentang alam ini. Maka, kurikulum sains ini memberi penekanan kepada pengetahuan dan kefahaman tentang sains serta aplikasinya dalam kehidupan harian dan kemajuan teknologi berlandaskan nilai-nilai murni. Kemahiran saintifik diperlukan dalam usaha mencari, memahami dan menggunakan ilmu pengetahuan sains ini. Untuk mencapai hasrat pendidikan sains dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah, kandungan kurikulum sains ini digubal berasaskan tiga pertimbangan yang saling berhubungan seperti berikut: (a) Sains untuk memahami alam Sains merupakan satu bidang keilmuan untuk memahami alam iaitu fenomenon, peraturan, ketertiban dan perhubungan yang wujud didalamnya. Kefahaman yang dimaksudkan merangkumi perkara-perkara berikut: i. Kefahaman tentang manusia mengenai sifat, struktur, proses kehidupan, kesihatan dan kedudukan istimewanya dalam alam supaya dapat mengenali dan memahami diri sendiri. ii. Kefahaman tentang benda-benda hidup dan bukan hidup mengenai struktur, sifat, perlakuan, fungsi dan kegunaannya. iii. Kefahaman bahawa manusia, benda hidup dan bukan hidup sentiasa mengalami perubahan yang berlaku sama ada di luar atau didalamnya dan secara fizikal atau secara kimia serta saling perhubungan di antaranya. iv. Kefahaman bahawa semua perubahan ini hanya boleh berlaku dengan adanya tenaga. (b) Sains untuk kesejahteraan manusia Aspek ini dilihat menerusi aplikasi sains dalam kehidupan harian dan kemajuan sains dan teknologi untuk pembangunan masyarakat dan negara. Penggunaan sains dan teknologi yang boleh menimbulkan berbagai implikasi terhadap masyarakat dan alam sekitar juga diberi perhatian. Kefahaman tentang perkara tersebut adalah penting kerana kebanyakan daripada kemajuan yang terdapat di sekeliling kita merupakan hasil daripada penggunaan sains dan teknologi. (c) Sains untuk perkembangan diri Sains merupakan satu kajian yang melibatkan kemahiran saintifik dan sikap tertentu bagi mengkaji alam ini. Perkembangan diri boleh dicapai melalui penguasaan kemahiran saintifik dan pemupukan nilai-nilai murni. Penguasaan kemahiran saintifik diperlukan untuk mengkaji dan memahami alam ini serta dapat membantu pelajar menyelesaikan masalah dalam kehidupan harian. Pemupukan nilai murni menerusi pengajaran-pembelajaran sains dapat membentuk insan yang harmonis dan seimbang daripada segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Penggunaan ilmu pengetahuan yang berlandaskan nilai-nilai murni dapat menghasilkan insan yang

bertanggungjawab untuk mengurus alam dan sumber-sumbernya demi kesejahteraan hidup manusia sejagat.

Susunan Organisasi Kandungan Penyusunan kandungan kurikulum sains ini menggunakan pendekatan secara bertema kerana pendekatan ini dapat mengaitkan pengetahuan, aplikasi sains, kemahiran saintifik dan nilai-nilai murni secara bersepadu. Pendekatan bertema ini lebih luas cakupannya iaitu beberapa konsep dapat dikaitkan di bawah tema yang sama di samping memenuhi keperluan dalam usaha memberikan pengetahuan asas sains. Empat tema yang telah dikenal pasti ialah seperti berikut: A. Manusia dan Kepelbagaian Benda Hidup di Sekeliling Kita B. Kekayaan Sumber Bumi dan Pengurusannya C. Tenaga untuk Kehidupan D. Manusia dan Keseimbangan dalam Alam

Tema di atas dipilih kerana kurikulum sains ini memberi tumpuan kepada kajian alam mengenai usaha manusia untuk meningkatkan kesejahteraan hidup serta kesedaran akan peranan yang harus dimainkan oleh manusia sebagai insan yang telah diamanahkan untuk mengurus alam dengan bertanggungjawab dan bijaksana. Keempat-keempat tema tersebut dikembangkan kepada tajuk-tajuk tertentu dan setiap tajuk merangkumi pengetahuan asas sains, aplikasinya, nilai-nilai murni dan kemahiran saintifik. Kesedaran akan perlunya disepadukan pengetahuan, kemahiran dan nilai adalah diambil kira di dalam susunan kandungan ini. Kemahiran Saintifik Kurikulum sains ini memberi tumpuan kepada penguasaan kemahiran saintifik yang diperlukan untuk mengkaji dan memahami alam melalui kegiatan amali. Kemahiran saintifik yang dimaksudkan di dalam kurikulum ini meliputi kemahiran proses sains dan kemahiran manipulatif. (a) Kemahiran proses sains yang melibatkan pemikiran secara sistematik, objektifi, kreatif, kritis, analitis dan rasional iaitu: 1.) Mengumpul maklumat melalui pemerhatian yang objektif dan bermakna untuk memperkembangkan atau menguji hipotesis dan inferensi. 2.) Mengumpul maklumat daripada pelbagai sumber bersesuaian dengan peringkat kebolehan pelajar. 3.) Merekod pemerhatian dengan tepat dan menyusun data untuk menjadikannya lebih berguna. 4.) Menyusun data dan maklumat dengan membuat perbandingan dan pengelasan serta menunjukkan perkaitan di antara pelbagai data.

5.) Menganalisa dan mentafsir data untuk membuat kesimpulan. 6.) Menilai dan menggunakan kesimpulan untuk menyelesaikan masalah dalam situasi kehidupan sehari-hari. 7.) Berkomunikasi secara lisan dan bertulis tentang pengetahuan sains dan aplikasinya dengan bermakna. 8.) Merekabentuk eksperimen mudah dalam penyiasatan sains dan membina model bagi menunjukkan idea atau prinsip sains. (b) Kemahiran manipulatif tentang penggunaan peralatan sains iaitu: 1.) Mengendali dan memasang alat radas makmal serta menggunakan bahan kimia dengan cara yang betul dan selamat. 2.) Mengguna teknik yang betul dalam usaha mengendalikan organisma hidup.

Nilai-nilai Murni Kurikulum sains ini memberi tumpuan kepada pemupukan nilai-nilai murni yang bertitik tolak dari hakikat bahawa manusia harus memainkan peranan sebagai insan yang bertanggungjawab dan bijaksana dalam mengurus alam. Nilai murni yang dimaksudkan di dalam kurikulum ini merupakan nilai-nilai yang boleh dipupuk menerusi pengajaran pembelajaran sains. Sikap dan nilai murni yang sesuai dipupuk adalah seperti berikut: (a) Bersemangat ingin tahu dan berusaha menyiasat tentang perkara dan kejadian yang berlaku dalam alam dengan tabah dan produktif. (b) Bersikap jujur dan objektif dalam usaha menyusun dan melaporkan keputusan penyiasatan sains. (c) Berfikiran terbuka serta bersedia menerima idea atau pandangan pihak lain dan mengubah pendirian apabila terdapat bukti-bukti yang lebih meyakinkan. (d) Bekerjasama dan mengambil sikap positif terhadap keselamatan di makmal. (e) Menghargai sains sebagai satu kajian empirikal tentang pelbagai benda dan fenomenon yang boleh diperhatikan dan disukat. (f) Menyedari bahawa sains merupakan hanya salah satu daripada cara untuk memahami alam. (g) Menghargai dan mengamalkan kehidupan yang bersih dan sihat.

(h) Menghargai pelbagai benda hidup, saling persandaran di antaranya dan keperluannya untuk meneruskan hidup dalam alam ini. (i) Bertanggungjawab dalam usaha menggunakan sumber alam dan tenaga serta menghargai usahama manusia untuk mengurus alam. (j) Menghargai keindahan alam sekitar dan menjaga kebersihannya untuk kesejahteraaan hidup. (k) Bekerjasama dan mempunyai semangat kekitaan dalam usaha menjaga keseimbangan alam. (l) Bertanggungjawab dalam usaha membuat perancangan dan keputusan tentang sesuatu perkara dengan mengambil kira kesannya terhadap masyarakat dan alam sekitar.

You might also like