You are on page 1of 3

AMALAN PEMBELAJARAN KOPERATIF OLEH GURU MATEMATIK

PENGENALAN Sebagai pendidik kita bertanggungjawab untuk membantu setiap pelajar meningkatkan minat dan kecenderungan mereka kearah pelajaran. Pelajar juga digalakkan membina jalan penyelesaian terhadap sesuatu masalah dengan menggunakan idea dan hipotesis yang telah dibina (Mohd Fadzli, 2001). Keadaan ini boleh dilaksanakan dengan mengambil langkah menggunakan pendekatan pengajaran yang berkesan. Ini termasuklah amalan pembelajaran yang berpusatkan guru kepada amalan pembelajaran berpusatkan pelajar, misalnya dengan menggunakan pendekatan secara kumpulan. Pendekatan ini mempunyai kelebihan kerana mereka berpeluang berinteraksi antara satu sama lain dan boleh belajar melalui pengalaman sendiri. ...Amalan pembelajaran berpusatkan pelajar misalnya menggunakan pendekatan belajar secara berkumpulan memberi peluang murid-murid berinteraksi antara satu sama lain dan boleh belajar melali pengalaman sendiri... Pelajar-pelajar melakukan aktiviti secara aktif semasa proses pembelajaran dan ini meliputi pengalaman pembelajaran yang dirasai dan dialami sendiri oleh mereka. Aktiviti-aktiviti dirancang sebegitu rupa supaya berpeluang melibatkan diri secara aktif dalam pembelajaran (Pusat Perkembangan Kurikulum 1994). Semasa pelajar-pelajar belajar dalam kumpulan, mereka boleh berkongsi pengetahuan (intelek), memupuk nilai-nilai murni (rohani), bertimbang rasa (emosi) serta mempertingkatkan kemahiran berkomunikasi (sosial). Justeru itu adalah diharapkan apabila pelajar-pelajar yang keluar dari bangku sekolah nanti, mereka akan mencerminkan diri mereka sebagai insan yang menyeluruh dan bersepadu selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara. Kaedah kumpulan merupakan satu inovasi dalam strategi pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan pelajar khususnya dalam pembelajaran matematik. Kumpulan murid terbahagi kepada dua iaitu kumpulan sama kebolehan dan kumpulan pelbagai kebolehan. Kaedah kumpulan sama kebolehan membolehkan guru membimbing pelajar-pelajar mengikut kebolehan di samping menjalankan aktivitiaktiviti pengayaan dan pemulihan mengikut keperluan masing-masing. Kaedah kumpulan pelbagai kebolehan memberikan pelajar-pelajar peluang mengamalkan pengajaran sebaya, memupuk semangat kerjasama dan bertimbang rasa, perkembangan sahsiah dan kemahiran sosial (Buku Panduan KBSR, 1982).

LATAR BELAKANG KAJIAN Negara Malaysia kini memerlukan lebih banyak pakar dalam bidang sains dan teknologi. Bidang ini memerlukan mereka yang berkebolehan mengasimilasi dan mentafsir maklumat secara matematik dan statistik. Ini bermakna matematik adalah merupakan satu mata pelajaran yang sangat penting dalam era menuju kemajuan sains dan teknologi di samping kehidupan harian dalam survival manusia sejagat hari ini. Matematik boleh dikatakan kunci kepada peluang pekerjaan dan karier di mana kebolehan menyelesaian masalah dalam matematik adalah mustahak sebagai asas pendemokrasian dalam era teknologi terkini.

Pembelajaran matematik KBSR (1993) dirancang supaya mencapai matlamat iaitu untuk meningkatkan pengetahuan, ketrampilan dan minat pelajar terhadap matematik. Mereka diharapkan akan berupaya menggunakan matematik secara berkesan dalam penyelesaian masalah serta mempunyai persediaan yang mencukupi bagi melanjutkan pelajaran dan berfungsi secara produktif dalam kerjaya mereka. Mata pelajaran matematik telah dijadikan mata pelajaran teras di semua peringkat persekolahan. Bagaimanapun pencapaian dan minat pelajar terhadap mata pelajaran tersebut tidaklah begitu menggalakkan. Ini mungkin ada kaitan dengan pendekatan pengajaran oleh guru-guru itu sendiri. Menurut Byres (1993), kaedah pengajaran hanya mementingkan pelajar menurut sahaja apa yang disampaikan oleh guru. Proses pembelajaran adalah berbentuk pasif dimana guru menyampaikan pengetahuan dan pelajar menerima dan berusaha mengingati kebanyakan ilmu itu. Peranan guru dalam bilik darjah tidak lebih daripada menyuruh pelajar menggunakan langkah-langkah yang diajar oleh mereka, seterusnya mengikuti apabila menjawab soalan peperiksaan nanti. Hasilnya ramai pelajar yang gagal, benci dan takut kepada mata pelajaran ini. Kaedah pembelajaran sekarang masih tidak melibatkan murid semasa proses pembelajaran di bilik darjah. Guru perlu merancang dan memilih kaedah pengajaran yang sesuai supaya pembelajaran matematik berlaku dalam keadaan yang dapat merangsang minat dan tumpuan serta belajar bersungguhsungguh. Satu perkara yang menjadi kebimbangan yang serius di negara kita hari ini ialah kesedaran bahawa pengajaran dan pembelajaran matematik boleh dikatakan sangat tidak menggalakkan kerana kebanyakan guru matematik tidak melibatkan pelajar semasa proses pembelajaran di bilik darjah, yang

seterusnya mencetuskan satu kebimbangan lain yang lebih cemas terutama dalam menghadapi era Wawasan 2020 nanti. Ini seterusnya menjadi pertanyaan bagaimana pelajar-pelajar boleh menyelesaikan masalah matematik yang berkaitan dengan kehidupan harian selepas meninggalkan sekolah sekiranya mempunyai sedikit ilmu matematik. Menyedari hakikat ini, maka sewajarnya guru-guru matematik di sekolah memilih pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang boleh menarik minat para pelajar. Noraini (1994) menyatakan di antara faktor-faktor yang boleh menarik dan merangsangkan minat seseorang kepada sesuatu perkara iaitu: Pendengar atau pengguna sedar atau tahu bahawa perkara atau benda itu berguna atau berfungsi kepadanya. Ia disampaikan atau dipersembahkan kepadanya dengan cara dan gaya yang menarik. Perkara atau benda itu indah, mengembirakan dan menyeronokkan. Dengan cara ini mereka tidak akan merasakan bahawa mereka berhadapan dengan peraturan yang menakutkan bahkan mereka akan merasa seronok sewaktu proses pembelajaran matematik. Justeru itu guru perlu merancang dan memilih kaedah pengajaran yang sesuai supaya pembelajaran matematik berlaku dalam keadaan yang dapat merangsang minat dan tumpuan serta belajar bersungguh-sungguh. Pendekatan yang menggalakkan pelajar-pelajar belajar dan mencari ilmu sendiri perlu dipupuk di samping guru sebagai pembimbing, membimbing supaya mereka lebih ekspresi kendiri yang kreatif. Iklim bilik darjah pembelajaran matematik dibina bertujuan memperkembangkan inovasi pelajar-pelajar supaya mempunyai lokus kawalan dalaman disebabkan yang menggerakkan mereka ialah dirinya sendiri dan standard yang hendak dicapai juga adalah relatif kepada dirinya sendiri. Pemikiran kritikal dipupuk kerana proses pembelajaran ialah induktif. Pada asasnya Pembelajaran Koperatif / Kooperatif merupakan suatu kaeadah yang menggunakan pendekatan pembelajaran berpusatkan pelajar. Kaedah ini berstruktur dan menekankan penguasaan konsep pengetahuan maklumat dan kemahiran penyelesaian masalah matematik. Kaedah ini juga mempunyai teknik-teknik tertentu serta ciri-ciri yang tersendiri. Selain daripada pelajar memperolehi ilmu pengetahuan dan kemahiran penyelesaian masalah yang semaksimum mungkin, mereka juga boleh bersosialisasi. Namun begitu sebagai seorang guru, apa yang diperhatikan ialah guru-guru tidak gemar mengajar secara kumpulan sebagaimana yang diharapkan. Kedudukan para pelajar dalam bilik darjah, suasana sekitaran, kekangan masa dan tumpuan untuk menghabiskan sukatan mendorong guru-guru beralih semula kepada kaedah pembelajaran tradisional. Akan tetapi menurut Zahrah (1996), interaksi antara guru dan pelajar dalam kerja kumpulan menentukan tahap pencapaian objektif pengajaran guru. Interaksi dua hala dan secara kumpulan merupakan iklim sosial pembelajaran yang paling berkesan.

You might also like