You are on page 1of 6

KITA PATRIOTIK?

MAJALAH DAKWAH, 10 OGOS 2012

Dalam apa jua jenis sukan antarabangsa dalam negara kita, penonton-penonton kita yang mempunyai kesedaran sivik yang tinggi akan berdiri tegak apabila lagu kebangsaan negara lain dimainkan sebagai tanda menghormati lagu tersebut. Begitu juga apabila lagu Negaraku dimainkan. Ini berbeza dengan penonton di negara jiran ketika kita menyaksikan perlawanan akhir Piala AFC Suzuki pada awal tahun 2012. Kita patut bertanya kepada diri kita sendiri. Adakah kita mempunyai semangat patriotik? Adakah kita menyayangi negara kita? Apakah sumbangan kita yang bermakna kepada negara? Di sinilah tanah tumpah darah kita. Negara ini adalah negara kita. Negara ini adalah tempat tinggal kita dan tempat kita mencari rezeki di mana segala keselamatan terjamin termasuk keluarga dan anak-anak serta harta benda. Negara ini adalah tempat kita menghormati hak-hak dan peraturan kita serta menunaikan segala tanggung jawab. Kitalah yang mempunyai hubungan yang rapat dengan negara kita. Negara kita dihormati kerana peranan kita ataupun akan menjadi lemah, tidak bermaya serta dipandang rendah kerana kita juga. Kerajaan Malaysia menjadi kerajaan kita kerana kita yang memilih untuk ia menjadi sedemikian. Sepanjang lipatan sejarah, kita telah menyaksikan semangat patriotik yang tinggi di kalangan perwira negara yang mempertahankan negara daripada penjajahan dan anasir-anasir subversif.

Semangat patriotik juga tidak boleh dipisahkan daripada konsep kesetiaan terhadap tanah air. Apabila seseorang mencintai negaranya, sepenuh ketaatsetiaan mestilah ditumpukan kepada tanah airnya kerana segala keperluan hidupnya wujud di tanah airnya dan daripada tanah airnyalah seseorang akan memperolehi keaiban ataupun keagungan. Rakyat diajar untuk menjunjung undang-undang. Maka, penjunjungan undang-undang mestilah

dilaksanakan dengan penuh rasa adil dan saksama. Rakyat dan kerajaan diajar supaya bekerjasama demi kebajikan masing-masing. Negara akan menjadi aman makmur dan diperintah dengan baik oleh kerajaan sekiranya prinsip undang-undang diletakkan di tempat yang tinggi. Rakyat juga dapat hidup dalam keadaan aman dan sentosa sekiranya mereka sentiasa mematuhi prinsip kedaulatan undang-undang. Sebab itu, sebarang demonstrasi haram bertentangan dengan prinsip kedaulatan undang-undang. Peristiwa berdarah Arab Spring menyaksikan pemberontakan dan idea-idea revolusiner terhadap beberapa pemimpin Afrika Utara dan Timur Tengah. Ia bermula pada 18 Disember 2010 di Tunisia (Afrika Utara) apabila seorang graduan universiti yang berhasrat menjual sayur di pasar bagi mencari rezeki setelah bergraduat telah dihalang oleh pihak berkuasa dan ditangkap oleh polis. Beliau telah membakar dirinya sebagai protes terhadap tindakan 1

polis. Ketika ini, Afrika Utara dan negara-negara di Timur Tengah menghadapi ekonomi yang agak rumit seperti masalah pengangguran dan kenaikan harga barang. Kemudiannya disusuli dengan pemberontakan sivil di Tunisia hingga kerajaannya berjaya digulingkan. Kemudian diikuti oleh Mesir, Libya dan Yaman. Arab Spring juga mencakupi insiden-insiden pemberontakan dan elemen revolusiner di Syria, Algeria, Jordan, Kuwait, Morocco, Sudan dan Bahrain. Protes jalanan didakwa juga berlaku di Lubnan, Mauritania, Arab Saudi dan Oman.

Kita merasa amat dukacita kerana ada pemimpin pembangkang yang cuba mencetuskan pemberontakan dalam negara ini dan mengapi-apikan perasaan rakyat untuk meniru Arab Spring dan menggulingkan kerajaan sedia ada yang sah sedangkan kerajaan telah bertungkus-lumus menyelesaikan masalah sosio-ekonomi rakyat dan memberikan

keselesaan kehidupan kepada mereka. Mereka ini dan pengikut mereka merupakan orang yang tidak patriotik dan boleh menjerumuskan negara ke lembah kebinasaan. Mereka bercakap dengan penuh bersemangat kerana mereka tidak tahu apa itu Arab Spring dan mereka tidak pernah melakukan homework sebelum berucap dan berceramah. Mujurlah rakyat Malaysia masih rasional dan waras dengan tidak mengikut telunjuk nafsu syahwat amarah mereka yang sangat tidak demokratik dan tidak patriotik.

Rakyat mestilah menyedari tanggungjawab sebenarnya di dalam setiap tindak-tanduk mereka agar negara akan menjadi aman, makmur dan wujudnya kesatuan dalam masyarakat berbilang kaum. Sikap dan semangat melampau boleh menjadi batu penghalang atau ekstrem untuk merealisasikan negara kita sebagai sebuah negara maju yang aman, makmur dan harmoni.

Islam adalah satu-satunya elemen kekuatan yang boleh menyatupadukan umat Islam di bawah satu payung akidah dan pegangan. Dalam khutbah Wada di Arafah, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud: Wahai manusia! Sesungguhnya Tuhan kamu adalah satu, dan sesungguhnya asal kamu adalah satu. Ketahuilah tidak ada kelebihan bagi orang Arab ke atas orang yang bukan Arab. Dan tiada juga kelebihan bagi orang bukan Arab ke atas orang Arab. Orang yang berkulit hitam juga tidak ada kelebihan ke atas orang yang berkulit kemerahan dan begitu juga sebaliknya kecuali dengan takwa. Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah adalah yang paling bertakwa. Musuh-musuh Islam terutamanya kelompok neo-imperialis cukup bimbang jika umat Islam bersatu. Sebab itu, apabila berlaku demonstrasi haram dalam negara kita, mereka akan mengulang-mengulang pemberitaan mengenainya dalam media perdana Barat yang boleh menjatuhkan imej negara yang telah lama dibangunkan. Integrasi dan 2

perpaduan nasional sepatutnya diletakkan di tempat yang lebih tinggi daripada kepentingan diri sendiri dan kelompok yang mempunyai agenda tersendiri sama ada yang tersurat atau tersirat. Transformasi politik dalam negara kita menuju ke arah yang lebih baik. Perubahan politik negara kita merupakan kesan daripada beberapa proses sejarah yang penting di antara sistem politik tradisional dengan pemerintahan kolonial. Walaupun orang Melayu pada tahun 1930-an berada dalam keadaan yang tidak menyenangkan, namun aliran utama dalam perkembangan politik Melayu pada ketika itu tidak merupakan suatu kegiatan yang bertujuan untuk menentang pemerintahan kolonial. Orang Melayu masih tidak sedar ketika itu bahawa kedaulatan politik mereka tergugat.

Kesedaran politik Melayu muncul melalui badan-badan bahasa dan sastera serta pertubuhan-pertubuhan berorientasikan Islam. Agama, politik dan bahasa merupakan tiga wahana penting yang menggerakkan visi patriotisme dan nasionalisme Melayu. Agama dan budaya juga mempunyai tempat yang istimewa dalam proses pembinaan keutuhan bangsa dalam konteks masyarakat berbilang kaum setelah kemerdekaan. Pendidikan sekular moden yang diperkenalkan oleh pemerintah kolonial Inggeris pada akhir abad ke-19 telah melemahkan idealisme politik Melayu untuk menentang penjajah. Sebabnya, mereka telah menetapkan mindset pengagungan terhadap pemerintah kolonial ketika itu.

Pertubuhan dan gerakan bersifat politik mulai dibentuk di negeri-negeri Melayu sebagai reaksi terhadap masalah sosio ekonomi. Pemodenan politik orang Melayu amatlah jelas terserlah ketika ini ketika orang Melayu sedar bahawa mereka ketinggalan dalam negara sendiri berbanding dengan bangsa-bangsa lain. Melalui kegiatan pertubuhan dan gerakan politik Melayu, orang Melayu dapat bersatu di atas satu wadah agama-bangsa dan lahirnya kepekaan orang Melayu terhadap unsur terpenting dalam keperibadian bangsanya dari segi politik iaitu perpaduan Melayu-Islam. Ketika ini juga sudah mula menjelma wehdatul fikr (kesatuan pemikiran) dan wehdatul amal (kesatuan tindakan). Ketika ini semangat sayangkan negara amat tinggi sebab ia juga diyakini sebagai sebahagian daripada ajaran agama Islam. Sikap patriotik dimanifestasikan dalam bentuk penentangan terhadap penjajah.

Penjajahan membawa berbagai bentuk implikasi negatif kepada rakyat dalam negara kita. Pejuang-pejuang Melayu menyedari hakikat merbahayanya ancaman penjajahan, justeru pihak penjajah terpaksa menghadapi penentangan orang Melayu terutamanya yang diketuai oleh para ulama dan pimpinan Melayu dan disokong oleh masyarakat berbilang kaum. Alhamdulillah kita sudah 55 tahun merdeka. Maka pengisian kemerdekaan yang kita isi selama ini perlu kita kaji semula. Kemerdekaan sebenar ialah dengan cara mensyukuri 3

sepenuhnya dengan ertikata sebenar-benarnya ke hadrat Allah s.w.t. bahawa ia adalah merupakan antara nikmat besar Allah s.w.t. yang telah mengizinkan pembebasan dan kemerdekaan negara kita daripada cengkaman penjajah, membebaskan maruah dan martabat bangsa Malaysia yang telah dijajah selama hampir 5 kurun. Pengisian kemerdekaan juga ialah dengan cara membebaskan diri daripada penjajahan pemikiran, pengaruh budaya kuning dan nilai negatif pengaruh globalisasi. Penjajah membawa bersama mereka budaya dan cara hidup Barat yang ada di antaranya bertentangan dengan Islam. Orang Islam diperbodohkan dan diperkotak-katikkan. Sepanjang penentangan bersenjata terhadap para penjajah, setiap lapisan masyarakat telah berusaha untuk mempertahankan kedaulatan dan maruah negara. Nenek moyang dan pahlawan serta hulubalang kita telah berusaha bersungguh-sungguh menyekat kemaraan penjajah dan hasilnya ialah apa yang kita kecapi hari ini. Penentangan terhadap penjajah membawa citacita Islam iaitu perjuangan mempertahankan negara adalah tanggungjawab suci dalam Islam.

Namun begitu, kesan penjajahan pemikiran masih menular di kalangan kita. Banyak fahaman yang menyalahi ajaran Islam masih berleluasa dalam masyarakat, seperti fahaman yang pasrah kepada takdir (fatalisme), sosialisme, komunisme, ekstremisme, ajaran sesat dan faham pembaratan. Kita juga dipandang prejudis oleh orang Barat seperti yang diistilahkan dalam ungkapan Islamophobia. Sempena dengan sambutan Bulan

Kemerdekaan dan Patriotisme tahun ini, marilah kita memperbaharui semula tekad dan keazaman kita untuk menyintai dan sayangkan negara kita. Menjadi seorang yang patriotik dan berjiwa Malaysia bukan sahaja dengan mengibarkan jalur gemilang dan menjadi soldadu atau perajurit, bahkan semangat patriotisme boleh dikibarkan di daerah setempat atau tempat-tempat berkerja. Kesedaran tentang integriti, sivik, bermoral, amanah, jujur, telus, menunaikan tanggungjawab dan komited terhadap diri sendiri, keluarga dan masyarakat adalah antara manifestasi patriotisme yang boleh kita praktikkan. Kita patut bersyukur kepada Allah s.w.t. di atas nikmat kemerdekaan yang telah kita kecapi. Kita bebas ke sana ke mari beribadah, berkerja, makan angin, belajar dan menjalani kehidupan kita dalam persekitaran yang aman, tenteram, sejahtera dan harmoni. Ada negara di mana rakyatnya hidup dalam ketakutan kerana perang saudara, peperangan dengan kuasa luar, darurat, bencana alam yang berpanjangan, konflik kaum dan lain-lain lagi.

Pengisian kemerdekaan dan patriotisme juga adalah dengan cara mengungguli ilmu pengetahuan. Dengan kekuatan ilmu, akidah dan perpaduanlah kita berjaya membebaskan negara ini daripada penjajah. Negara akan dipandang tinggi dan dihormati sekiranya rakyatnya berilmu pengetahuan dan ramai cendekiawannya, membuat penemuan dalam 4

bidang sains, teknologi, sains sosial dan kemanusiaan. Negara akan dipandang tinggi dan dihormati sekiranya rakyatnya bekerja kuat, bersabar, mempunyai integriti dan sinergi, berkualiti dan saling bekerjasama dalam segala aspek kehidupan. Umat Islam perlu menjadi perserta dalam kepesatan arus pembangunan global politik dan ekonomi dunia.

Pengisian kemerdekaan dan patriotisme ialah dengan memperkukuhkan identiti dan jati diri, mempermantap akidah, iman dan ketaqwaan kita. Kita perlu membebaskan diri kita daripada sebarang elemen syirik dan kenipisan keimanan dan kembali kepada Tauhid dan komitmen beragama. Rakyat yang beriman, budiman lagi berilmu boleh menjadi pendinding daripada kemaraan globalisasi negatif dan rempuhan budaya Barat yang bertentangan dengan Islam. Dengan akidah, patriotisme dan keimanan, generasi kita diharap dapat menyambung semangat pengisian kemerdekaan dan meneruskan tradisi kecemerlangan kepemimpinan dalam negara kita. Kemerdekaan adalah antara nikmat terbesar Allah s.w.t. kepada manusia (selain daripada nikmat iman dan taqwa) kerana membebaskan manusia daripada belenggu penjajahan. Tidak ada ertinya kemerdekaan sekiranya minda manusia masih lagi terjajah.

Kita patut contohi semangat patriotik Rasulullah SAW. Allahyarham Tunku Abdul Rahman juga menunjukkan contoh yang serupa, katanya: `Jikalau Datuk saya telah melepaskan Pulau Pinang dan Seberang Prai kepada British, sekarang biarlah saya, seorang cucu menebus bukan hanya Pulau Pinang dan Seberang Prai tetapi seluruh Malaya daripada British''. Allahyarham Tun Abdul Razak juga telah mengambil satu tindakan yang amat bijak di mana tindakan beliau yang menjadikan Malaysia antara negara pertama di dunia menolak dasar-dasar kawalan modal dan kewangan oleh IMF kerana dilihat tidak sesuai berasaskan keperluan atau keupayaan pembayaran semula adalah sangat tepat sekali gus mengelakkan negara daripada bebanan hutang luar yang tinggi. Malaysia menjadi ahli IMF pada 7 Mac 1958 iaitu kira-kira tujuh bulan selepas mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan sejak itu tidak pernah menggunakan kemudahan pinjaman atau kredit daripada badan berpangkalan di Washington, Amerika Syarikat (AS) itu. Allahyarham Tun Razak yang ketika itu turut mengawasi perbendaharaan negara bukan sahaja mengamalkan dasar perbelanjaan berhemah yang sangat berhati-hati tetapi sangat cekap memintas sebarang tawaran pinjaman luar yang mengenakan faedah tinggi. Beliau menyelamatkan negara daripada terjerat dengan pengenaan faedah pinjaman tinggi dan sejak itu kapitalis kewangan dunia menjadi cemburu dan berusaha mengheret kerajaan Malaysia supaya berhutang.

Kita mampu mengekalkan intipati kemerdekaan kerana kita bersatu padu, bertolak ansur, saling memahami dan berkerjasama antara umat Islam dengan bukan Islam. Nilai keamanan dan keharmonian perlulah kita pelihara dan kita baja. Inilah juga merupakan manifestasi kemerdekaan. Kita sepatutnya merealisasi pengertian kemerdekaan yang lebih bermakna dengan cara menyumbang kepada organisasi tempat kita bekerja dan juga masyarakat setempat dengan menjana kemajuan fizikal dan juga spirituil. Kita bersyukur kepada Allah s.w.t kerana dengan kemerdekaan, erti keamanan lebih bermakna dalam diri kita. Kita mengecapi berbagai kemakmuran, pembangunan dan kemajuan. Kita berdoa semoga Allah mengekalkan nikmat ini dan melebihkannya agar kita lebih sayangkan agama dan negara tercinta ini, tanah tumpahnya darah kita!

You might also like