You are on page 1of 2

Seni merupakan salah satu medium yang digunakan untuk menyatukan individu dalam masyarakat.

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Ketiga, (1997), halaman 1244-45, seni membawa maksud halus iaitu kecil, elok, tipis dan halus, enak didengar iaitu mengenai suara, comel bentuk badan. Manakala seni, II: membawa maksud karya termasuklah sajak, lukisan, muzik dan lain-lain lagi yang dicipta dengan bakat atau kecekapan, dan hasil daripada sesuatu ciptaan. Dalam konteks Malaysia, kepelbagaian kaum dan etnik dirai oleh semua lapisan masyarakat walaupun terikat dengan budaya yang berlainan. Hal ini jelas menunjukkan kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain saling berkongsi dan menghormati seni kebudayaan masing-masing. Sebagai contoh seni tarian. Melayu terkenal dengan tarian tradisi seperti Tarian Zapin,Tarian Mak Yong dan Tarian Gamelan, Cina tersohor dengan Tarian Naga dan tarian Kipas dan India sinonim dengan tarian klasik seperti Tarian Kathak dan Tarian Bharata Natyam. Manakala etnik -etnik di Sabah dan Sarawak sering dikenali dengan Tarian Ngajat bagi Iban dan Tarian Sumazau bagi Kadazan. Tarian merupakan salah satu cabang seni yang berjaya menyamai sifat kekerabatan dalam masyarakat. Manusia secara individu akan lebih mengenali dan memahami keistimewaan kaum dan etnik yang lain melalui tarian. Di Malaysia, tarian diamalkan sewaktu majlis kebudayaan yang disertai oleh semua rakyat yang berbilang kaum. Tarian turut mencermin unsur-unsur budaya sesuatu kaum. Oleh itu, rakyat dapat memahami budaya kaum yang berlainan seterusnya membentuk satu masyarakat yang bersatu. Selain itu, bentuk seni yang lain ialah sastera. Sastera dalam bahasa Sanskrit bererti sesuatu yang indah. Kesusasteraan membawa maksud khazanah atau tulisan-tulisan yang indah. Novel, cerpen, drama dan puisi merupakan contoh kesusasteraan. Menurut Sasterawan Negara, Dato Shahnon Ahmad, sastera ialah seismograf kehidupan. Apa itu seismograf? Menurut Kamus Dewan, seismograf ialah alat bagi mengukur kekuatan gempa bumi. Jadi, mengapa perkataan seismograf dipilih? Itu makna yang bersifat literal ataupun harafiah. Seismograf dalam erti kata lain ialah kayu ukur ataupun penyukat kepada kehidupan. Seni sastera penting dalam mewujudkan satu identiti kebangsaan. Dalam usaha menyatukan individu dan masyarakat, karya sastera penting untuk menyalurkan fikiran dan idea yang menjurus ke arah pembentukan budaya nasional. Hal ini bermaksud para sasterawan menerusi karya mereka berupaya menyatupadukan kelompok masyarakat dengan meraikan kepelbagaian budaya. Karya yang menceritakan kebaikan budaya masing- masing mampu mengukuhkan ikatan individu dalam masyarakat.

Antara kesenian lain ialah cerita rakyat yang begitu akrab dengan kehidupan manusia. Setiap masyarakat mempunyai cerita rakyat tersendiri yang menunjukkan dan mewariskan nilai-nilai masyarakat kepada generasi berikutnya. Selain berfungsi sebagai hiburan yang berpengajaran, cerita rakyat seperti Tanggang, Bawang Putih Bawang Merah dan sebagainya, ia menyelitkan unsur adat dan kebudayaan sesebuah masyarakat. Cerita rakyat biasanya berlatarbelakangkan zaman dahulu kala yang kaya dengan adat dan budaya yang masih diamalkan sehingga kini. Bahasa juga adalah seni. Bahasa adalah sebuah hasil peradaban dari proses sosialisasi dalam masyarakat yang berperanan penting dalam pembentukan sesebuah kebudayaan. Sosialisasi ialah aspek awal yang mengikat manusia dengan manusia yang lain. Di sinilah bahasa berperanan dalam interaksi manusia agar dapat saling menyampaikan maksud. Baik dalam bentuk lisan, maupun tulisan, manusia tidak akan terlepas dari bahasa. Selain itu bahasa bersifat lebih kompleks, tidak hanya mencakupi interaksi antara individu. Sebagai contoh, Bahasa Melayu yang digunakan sebagai bahasa utama di Malaysia. Walaupun terdapat pelbagai jenis kaum yang menggunakan bahasa yang berlainan seperti Cina dan India, masyarakat Malaysia tetap menerima Bahasa Melayu sebagai bahasa yang menggabungkan mereka semua. Hubungan masyarakat lebih erat apabila menggunakan satu bahasa yang seterusnya mewujudkan satu budaya umum yang diterima ramai.

You might also like