You are on page 1of 8

Pelajar tingkatan 5 menyebat guru tingkatannya. Kes buli kerap berlaku dalam kalangan pelajar sekolah.

Kegiatan samseng mesti dibanteras hingga akar umbi! Menurut statistik, banyak pelajar telah menyertai kongsi gelap. Dewasa ini, banyak tajuk berita seperti di atas sering disiarkan melalui media massa sama ada dalam media elektronik mahupun media cetak. Isu-isu hangat mengenai kegiatan ini sering menjadi buah mulut segenap lapisan masyarakat. Persidangan akhbar juga kerap diadakan untuk membincangkan masalah yang semakin kritikal ini. Senario ini telah memuncakkan kebimbangan segenap lapisan masyarakat. Namun, setiap masalah yang timbul mesti mempunyai sebabnya yang tertentu. Apakah punca-punca utama yang menyebabkan kegiatan samseng atau gengsterisme yang menggusarkan minda masyarakat ini semakin berkembang? Masalah gengsterisme tidak harus dipandang enteng, Mesti dibanteras ke akar umbi, Tenaga semua pihak mesti digembleng, Iltizam jangan berbelah bagi. Pada hemat saya, pengaruh rakan sebaya merupakan salah satu faktor utama yang menyebabkan berlakunya kegiatan samseng. Kata pepatah Cina, di dalam rumah, kita bergantung pada ibu bapa, di luar, kita bergantung pada rakan. Peranan rakan sebaya dalam kehidupan kita memang tidak dapat kita sangkal. Pemilihan rakan amat signifikan bagi seseorang remaja. Hal ini akan menentukan haluan remaja tersebut pada masa hadapan. Pemikiran mereka yang bergaul dengan rakan sebaya yang jahat memang akan terpengaruh dan dipesongkan. Jikalau mereka tidak berani melakukan sesuatu yang meruntuhkan akhlak moral, mereka akan dianggap bacul atau penakut. Untuk membuktikan ketulusan mereka terhadap kawan sejati mereka, mereka akan melakukan apa-apa yang diajak. Mereka juga ingin mencanangkan kehebatan dan keberanian mereka di depan rakan-rakan mereka. Jadi, pengaruh rakan sebaya memang tidak boleh dipandang enteng. Setahu kita, ibu bapa merupakan guru pertama bagi anak-anak. Kata orang, bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Bidalan ini membawa maksud tersirat, iaitu tingkah laku ibu bapa akan disusuli lalu dipelajari oleh anak-anak mereka. Perangai ibu bapa yang kerap melakukan kegiatan samseng dan tidak menjaga kelakuan itu pasti akan diikuti oleh anak-anak mereka. Implikasinya, ibu bapa mestilah menunjukkan suri teladan yang baik kepada anak-anak mereka. Rentetan daripada itu, ibu bapa yang sibuk mencari rezeki lalu mengejar nawaitu materialistik sentiasa mengabaikan

anak-anak mereka. Mereka hanya tahu merealisasikan keinginan anak-anak sebagai pampasan terhadap anak-anak mereka. Anak-anak yang tidak disirami kasih sayang ibu bapa dikatakan umpama layang-layang terputus tali. Akibatnya, mereka akan mencari keseronokan baharu di luar rumah dengan melakukan kegiatan samseng. Lain daripada itu, ibu bapa yang cenderung membebel dan memarahi anak tanpa sebab akan memberi kesan negatif kepada emosi seseorang remaja. Keluarga yang porak-peranda sentiasa menghantui minda seseorang remaja. Lantaran itu, mereka akan berasa tertekan lalu memberontak serta melepaskan geram di luar rumah melalui perbuatan gengsterisme. Konklusinya, keluarga berpengaruh besar dalam perkara ini. Tidak dapat dinafikan bahawa, guru-guru sekolah juga merupakan salah satu faktor yang merangsang seseorang pelajar terlibat dalam kegiatan samseng. Sesetengah guru sekolah yang tidak tahu mengawal emosi mereka sering meradang dan memarahi pelajar yang tidak melaksanakan kewajipan mereka seperti menghantar buku latihan pada masa yang ditentukan. Penyindiran guru yang agak keterlaluan terhadap seseorang pelajar akan memuncakkan perasaan marah pelajar tersebut. Ada kalanya, pelajar yang lemah dalam bidang akedemik mungkin tidak dapat menyiapkan kerja rumah mereka tepat pada masa. Guru yang tidak menerima hakikat ini dan menganggap perkara ini cuma satu alasan tersebut akan terus merotan pelajar tersebut. Pelajar yang disebat akan menyimpan dendam. Apabila berpeluang, mereka tentu akan membalas dendam. Tamsilnya, mereka akan membocorkan tayar kenderaan guru, menyebat guru, mengancam guru dan sebagainya. Jelaslah bahawa guru juga turut merupakan satu faktor yang tidak boleh diketepikan. Walhasil, pelajar-pelajar mesti dikekang daripada melibatkan diri dalam kegiatan samseng. Hal ini dikatakan demikian kerana remaja merupakan orang yang bakal mengambil alih teraju kepimpinan negara. Pemuda tiang negara, pemudi harapan bangsa. Segenap lapisan masyarakat mesti menggembleng tenaga demi membanteras kegiatan samseng ke akar umbi. Masalah ini nescaya dapat ditangani dengan adanya penggemblengan tenaga daripada semua pihak kerana Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Marilah kita bersama-sama membulatkan tekad untuk mencapai aspirasi negara sifar jenayah dan membentuk Malaysia sebagai sebuah negara tercinta yang aman dan bahagia buat selamalamanya!

Fenomena rasuah sering dikaitkan dengan istilah tumbuk rusuk atau makan suap dan konotasi ini membawa maksud yang negatif kepada imej sesebuah masyarakat itu. Semakin tinggi kadar rasuah di sesebuah negara itu maka semakin rendahkan persepsi masyarakat luar terhadap kemampuan rakyat negara terbabit untuk melakukan sesuatu terutama dalam aspek ekonomi. Media massa turut menyiarkan pelbagai kes yang melibatkan pegawai kerajaan berprofil tinggi yang terlibat dalam amalan rasuah ini sebagai bukti betapa masalah ini semakin menular dalam masyarakat kita. Jelaslah, fenomena sosial ini mempunyai pelbagai punca dan langkah yang sistematik dan pragmatik perlu disegerakan sebelum menjadi barah masyarakat. Punca yang ketara tentang gejala ini sering dikaitkan dengan masalah ketelusan sistem pentadbiran kerajaan kita. Masyarakat menganggap masalah rasuah ini bermaharajalela kerana kerajaan tidak memiliki satu sistem yang telus terutama dalam aspek pemberian tender dan projek lain yang menyebabkan ramai pekerja awam mengambil kesempatan daripada kelemahan itu untuk mengambil wang secara haram ini. Ketiadaan sistem pemantauan yang berkesan telah menyebabkan ramai kakitangan awam yang terangsang untuk melakukan jenayah yang keji ini. Jelaslah, masalah ini berleluasa apabila tiadanya satu ketelusan dalam sistem tadbiran awam negara kita. Selain itu, masalah jenayah kolar putih ini turut merebak lantaran sikap masyarakat kita yang tidak peka dengan polemik masalah ini secara terperinci. Ada kalangan masyarakat yang menganggap masalah ini merupakan asam garam kehidupan yang harus dan telah dialami oleh semua negara di dunia ini. Persepsi sedemikian menyebabkan mereka menganggap tindakan mengambil rasuah dan memberi rasuah itu sudah menjadi satu kebiasaan yang tidak pernah dimalukan oleh sesiapa sahaja. Maka, kurangnya pemahaman masyarakat terhadap masalah rasuah ini menyebabkan masalah ini menular secara pantas dalam masyarakat kita terutama yang tinggal di bandar-bandar besar. Bukan sahaja kurangnya pemahaman tentang masalah ini yang membawa penularan gejala sosial ini tetapi masalah ini turut mempunyai kaitan dengan penguatkuasaan undang-undang yang dikatakan lemah dalam sistem perundangan negara kita tentang isu rasuah ini. Tindakan mahkamah mengenakan hukuman yang dianggap ringan kepada pesalah-pesalah rasuah berbanding dengan jumlah rasuah yang diambil oleh mereka telah memberikan satu pandangan negatif terhadap keupayaan sistem kehakiman kita untuk menangani isu ini. Hukuman yang ringan ini dikatakan menjadi motivasi kepada pihak-pihak tertentu untuk mengambil risiko melakukan rasuah kerana mereka sedar mereka masih mampu menikmati hasil rasuah yang mereka ambil itu setelah keluar dari penjara. Sesungguhnya, kelemahan dalam sistem kehakiman menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan kesalahan rasuah di negara ini telah memberi satu pandangan salah tentang rasuah ini kepada masyarakat kita.

Apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah rasuah ini? Sudah pasti tindakan awal ialah kerajaan membuktikan kesungguhan mereka dalam menangani kemelut ini dengan menahan, mendakwa dan menghukum pesalah-pesalah rasuah tanpa mengira kedudukan mereka. Rakyat masih beranggapan bahawa masih ada pihakpihak tertentu yang mengambil rasuah tetapi mereka tidak dibawa ke muka pengadilan yang menimbulkan rasa tidak percaya rakyat akan keikhlasan kerajaan menangani isu ini. Kesungguhan kerajaan mendakwa atau menyeret mereka ini ke mahkamah akan memberi satu peringatan agar mereka tidak mengambil rasuah pada peringkat awalnya. Sesungguhnya, tindakan tegas kerajaan mendakwa semua pihak yang terlibat tanpa memilih bulu akan memberi petanda bahawa pengamal rasuah akan menerima hukuman yang setimpal dan menakutkan mereka untuk melakukan jenayah ini. Usaha kerajaan untuk menakutkan pesalah rasuah dan masyarakat boleh dicapai menerusi satu kempen iklan yang efektif. Kempen yang dilancarkan itu mestilah menggunakan media massa secara holistik iaitu daripada akhbar hinggalah ke internet untuk memastikan semua khalayak masyarakat menerima kempen tersebut. Semua imej atau aksi yang dipaparkan melalui iklan itu mestilah berupaya meninggalkan kesan atau menjadikan masyarakat berfikir dua kali sebelum mereka menerima rasuah. Jadi, kempen yang begitu mudah tetapi berkesan menjadi satu wahana yang baik dalam peperangan memerangi amalan rasuah ini. Seterusnya, penerapan konsep keagamaan dan moral hendaklah dilakukan terutama dalam sektor pendidikan negara seperti dalam kalangan pelajar sekolah dan universiti. Usaha menerapkan konsep murni sebegini perlu dilakukan pada peringkat awal kehidupan seseorang itu supaya mudah untuk mengawalnya. Semua konsep yang baik dijelaskan kepada pelajar supaya mereka memahami keperluan untuk membebaskan diri dan negara daripada ancaman rasuah ini. Ringkasnya, pendidikan kepada golongan muda berupaya menyekat penularan wabak sosial yang begitu memalukan ini dengan begitu mudah dan berkesan. Secara tuntasnya, semua faktor dan langkah mengatasi kemelut sosial ini harus diteliti dan dipantau oleh semua pihak dengan berkesan. Perubahan paradigma masyarakat terhadap rasuah perlu berlaku terlibat dahulu jika masalah ini hendak diatasi hingga ke akar umbinya. Kelewatan untuk mengatasi masalah ini mampu menjadikan negara kita sebuah negara yang begitu sukar untuk dipercayai dan diuruskan pada masa hadapan. Mungkin konsep mencegah daripada mengubatinya lebih berkesan dalam memastikan rasuah terus berkubur dalam tempat yang sepatutnya.

Pada era pascaglobalisasi ini, isu keruntuhan institusi keluarga semakin hangat menjadi bicara semua rakyat Malaysia tidak kira tua mahupun muda. Walaupun berbagai-bagai prakarsa telah dimainkan oleh para ibu bapa untuk mengekalkan keharmonian keluarga, namun hal ini seolah-olah tiada nokhtah pengakhiran. Adakah peranan yang dimainkan oleh Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak cukup bersepadu untuk membawa paradigma baru ke dalam institusi kekeluargaan? Adakah peranan yang digerakkan oleh institusi keluarga dalam memacu keluarga mereka di bawah payung keharmonian gagal. Hal ini mungkin berpunca daripada prakarsa yang dimainkan oleh anak-anak yang tidak cukup mapan untuk membantu menyelesaikan masalah yang menunjangi keluarga mereka. Oleh itu, sudah menjadi amanah yang perlu dipikul anak-anak dalam merangka uslub terbaik untuk sama-sama memikul amanah kerana berat sama dipikul, ringan sama dijinjing supaya usaha membentuk keluarga yang cemerlang dalam segenap aspek kehidupan berjaya. Jadi, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih dan oleh itu prakarsa ini hendaklah dimulakan dari sekarang kerana kita perlu menyediakan payung sebelum hujan. Jadi, anak-anak hendaklah menggerakkan kembali jentera yang lebih bersepadu bagi membahagiakan ibu bapa dan sekali gus membentuk keluarga yang bahagia. Sebenarnya, banyak prakarsa yang boleh dimainkan oleh anak-anak untuk membahagiakan ibu bapa mereka antaranya adalah dengan memberikan kejayaan dan kecemerlangan kepada mereka. Tidakkah semua orang melihat, saban tahun apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia diumumkan pasti ada yang berduka dan bergembira. Tetapi tidakkah mereka menyedari bahawa seorang insan yang bergelar ibu bapa pasti akan mengalirkan air mata kegembiraan apabila melihat keputusan cemerlang yang diraih oleh anak-anak mereka? Sudah pastinya terselit seribu kepuasan dalam diri ibu bapa kerana keperitan dan penderitaan mendidik dan membesarkan anak-anak telah terbalas dengan kejayaan anakanak mereka. Oleh itu, anak-anak hendaklah belajar bersungguh-sungguh dan membesar mengikut acuan yang telah dibentuk oleh ibu bapa mereka. Orang tua-tua ada menyatakan bahawa usaha tangga kejayaan, jadi usaha yang gigih tanpa mengenal erti putus asa akan membuahkan kejayaan yang manis untuk dikecapi. Kegigihan anak-anak semata-mata untuk mencapai kejayaan bagi dihadiahkan kepada ibu bapa mereka akan dapat direalisasikan sekiranya mereka berjaya menangkis segala ancaman yang masuk ke tingkap globalisasi kehidupan mereka. Tuntasnya, sudah jelaslah bahawa kejayaan dan kecemerlangan dalam pelajaran merupakan salah satu tunjang utama untuk membahagiakan ibu bapa. Sedasawarsa ini, anak-anak yang mempunyai akhlak dan budi pekerti mulia juga merupakan salah satu elemen utama dalam memberikan kebahagiaan kepada orang tua mereka. Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara merupakan kata-kata hikmat yang acap kali ditujukan khas kepada generasi muda tetapi tidak melampaukah jika semua orang mengatakan bahawa anak-anak merupakan tonggak utama keluarga, jantung hati, permata bernilai buat ibu bapa? Bagi segelintir pihak, anggapan ini dipandang sinis tetapi itulah realiti sebenar bahawa anak merupakan tunjang utama keluarga dalam memacu ke arah kebahagiaan keluarga. Selama bertahun-tahun anak-anak dididik dengan kebanyakan ibu bapa yang mengamalkan konsep melentur buluh biarlah dari rebungnya dan hasilnya, anakanak telah berjaya menjadi insan yang berguna dan mampu menangkis segala hedonisme serta panji-panji kejahatan yang berleluasa kini. Jadi, hati ibu mana yang tidak sejuk melihat

anak yang dipelihara mereka mempunyai keperibadian yang unggul. Oleh itu, anak-anak seharusnya berusaha menjaga akhlak dan budi pekerti mereka walaupun di mana-mana mereka berada kerana imej dan maruah keluarga bersandarkan tingkah laku mereka malah itulah juga yang menjadi kunci kebahagiaan buat ibu bapa mereka. Sementelahan pula, ibu bapa juga akan bahagia jika anak-anak mereka menghormati mereka. Dalam menyoroti hal ini, aspek jasmani, emosi, intelektual dan sosial yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan negara sebenarnya mampu menjadi platform utama untuk anak-anak membahagiakan ibu bapa mereka. Bagi menyingkap hal ini, aspek jasmani yang boleh dipraktikkan anak-anak adalah dengan menghormati orang tua mereka sama ada dalam bentuk perbuatan mahupun perkataan. Sebagai contoh terdekat yang sangat ketara dengan semua pihak ialah seorang anak hendaklah bersalaman dengan ibu bapa mereka sebelum pergi ke mana-mana dan mereka hendaklah menundukkan badan sedikit apabila berjalan di hadapan orang tua. Dalam aspek emosi pula, anak-anak hendaklah menjaga perasaan ibu bapa mereka dan tidak melakukan sesuatu perkara yang boleh menguris hati mereka. Dalam menghayati peribahasa yang berbunyi kerana mulut santan binasa dan sudah terhantuk baru nak tengadah, anak-anak hendaklah sentiasa menjaga segala tutur bicara mereka supaya perkataan yang diucapkan tidak menyinggung perasaan ibu bapa mereka. Dalam memperincikan aspek intelektual pula, anak-anak hendaklah mendengar nasihat yang diberikan ibu bapa bagi membolehkan mereka memperoleh keberkatan ketika mereka belajar. Hal ini sekali gus membolehkan segala ilmu yang dipelajari mampu diserap dengan mudah tidak seperti masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Eksplisitnya, memang benarlah bahawa sifat hormat seseorang anak terhadap kedua-dua orang tua mereka mampu membahagiakan mereka. Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing merupakan peribahasa yang sering berlegar-legar dan bermain-main di segenap kehidupan harian rakyat Malaysia. Jadi, dalam mempraktikkan hal ini, anak-anak hendaklah mengaplikasikan sikap ringan tulang dengan membantu ibu bapa menguruskan kerja-kerja rumah. Perkara ini bukan sahaja memudahkan urusan ibu bapa mereka malah dapat mengeratkan hubungan ukhwah kekeluargaan yang tersimpul rapi. Dalam menyingkap hal ini, konsep muafakat membawa berkat boleh diamalkan oleh ibu bapa dan anak-anak dengan saling membantu mengemaskan rumah. Bertitik tolak daripada aktiviti melakukan kerja-kerja rumah, rumah bukan sahaja cantik malah dapat menghindari diri daripada segala wabak penyakit akibat tidak mengutamakan kebersihan persekitaran. Lanjutan daripada hal ini, beban yang digalas oleh ibu bapa akan menjadi ringan malah mampu melestarikan warna-warni kebahagiaan dan keharmonian keluarga tersebut. Senario ini sekali gus mengurangkan jurang perpecahan sesebuah institusi keluarga seperti statistik sahih yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada tahun 2007 hingga 2008 yang menunjukkan bahawa satu daripada sepuluh pasangan di Malaysia bercerai setiap hari. Tuntasnya, memang benarlah bahawa peranan anak-anak dalam membantu meringankan beban ibu bapa mereka menguruskan kerja-kerja rumah amat signifikan untuk mewujudkan kebahagiaan buat mereka. Selain itu, prakarsa lain yang boleh dilakukan untuk membahagiakan ibu bapa adalah mendengar nasihat mereka. Bagi menghuraikan perspektif ini, semua orang dapat

menyaksikan bahawa hampir saban hari ada sahaja kes-kes yang membabitkan ibu bapa dan anak-anak menghiasi muka-muka depan akhbar di Malaysia sama ada kes pembuangan ibu bapa atau pergaduhan antara anak dengan kedua-dua ibu bapa mereka. Cuba kita renungkan kembali peristiwa yang berlaku pada 27 Oktober 2010 di akhbar Harian Metro bertajuk, Trajedi pilu 9 anak membuang ibu mereka yang sudah tua. Wajarkah 9 orang anak bertindak sedemikian rupa? Pastinya peristiwa dan tragedi hitam ini tidak akan berlaku jika seorang anak tidak mengamalkan peribahasa seperti kacang lupakan kulit dan mendengar nasihat. Anak-anak yang mendengar nasihat sudah pasti akan menjaga kebajikan ibu bapa mereka terutama ketika umur senja mereka. Janganlah anak-anak membiarkan nasihat ibu bapa mereka umpama mencurah air ke daun keladi kerana segala nasihat itu tidak lebih untuk kebahagiaan anak-anak itu juga. Deduksinya, memang izharlah bahawa jika seseorang anak mendengar nasihat ibu bapa maka perkara inilah yang menjadi kunci kebahagiaan kepada ibu bapa mereka. Tambahan lagi, mendoakan kesejahteraan ibu bapa juga adalah antara prakarsa yang boleh dilakukan untuk membahagiakan ibu bapa. Dalam menghayati hal ini, boleh dilihat dari dua perspektif yang berbeza. Perspektif pertama, mendoakan kesejahteraan ibu bapa ketika mereka masih hidup dan yang keduanya, mendoakan kesejahteraan mereka setelah mereka meninggal dunia. Oleh hal yang demikian, seseorang anak hendaklah menjadikan doa sebagai budaya yang sinonim dengan diri mereka. Bagi merealisasikan hal ini, kekerapan berdoa kepada ibu bapa hendaklah dilakukan sebagai aktiviti rutin selepas solat kerana alah bisa tegal biasa. Tidak mustahil rasanya langkah ini dipraktikkan dan diaplikasikan dalam kehidupan seharian kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Jadi, anak-anak hendaklah mendoakan kesejahteraan, keselamatan, kesihatan dan kemurahan rezeki untuk pihak ibu bapa mereka. Hal ini bukan sahaja bakal memudahkan urusan ibu bapa mereka di akhirat kelak malah akan membawa kebahagiaan di dunia lagi. Bagi merungkai kehidupan selepas mati, ibu bapa pastinya berasa bahagia dan tenang apabila berada di alam barzakh berkat doa seorang anak yang soleh. Konklusinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa doa merupakan senjata yag penting dan utama untuk membahagiakan ibu bapa. Secara kesimpulannya, memang terdapat banyak peranan yang boleh dimainkan oleh anakanak untuk membahagiakan ibu bapa. Oleh itu, anak-anak hendaklah selalu berusaha membahagiakan ibu bapa mereka secara istiqamah bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam mahupun bersikap melepaskan batuk di tepi tangga. Hal ini juga mampu membawa kebahagiaan kepada ibu bapa mereka malah menjadi kayu ukur falah anak-anak dalam meniti kehidupan yang serba mencabar di alam fana ini. Seterusnya, anak-anak akan menjadi insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang bersama-sama berganding bahu, selangkah sederap dengan pihak kerajaan dalam menjalankan tranformasi besar-besaran untuk memastikan keluarga sakinah dapat dilahirkan. Perkara ini sekali gus mampu membawa evolusi bermakna dalam institusi kekeluargaan dan seterusnya merealisasikan aspirasi kerajaan dalam mencapai visi kudsi Wawasan 2020. Jadi, kejayaan seseorang anak membahagiakan ibu bapa mereka sebenarnya mampu menjadi khazanah berharga untuk memajukan nusa dan bangsa.

You might also like