You are on page 1of 19

BAB 5

PERBINCANGAN

5.1 Pendahuluan Dalam bab ini pengkaji akan membincangkan maklumat-maklumat yang telah dianalisis berdasarkan tindak balas subjek kajian terhadap soal selidik yang telah diedarkan semasa pra ujian iaitu sebelum menjalani sesi kaunseling individu dan pos ujian iaitu selepas menjalani sesi kaunseling individu sebanyak lima sesi. Seterusnya bab ini mengemukakan perbincangan, implikasi serta cadangan yang ingin dikemukakan oleh pengkaji dan juga kesimpulan. Perbincangan yang dilakukan adalah berasaskan kepada dapatan kajian yang telah diperolehi. Perbincangan ini adalah untuk melihat salah laku dikalangan pelajar melalui pendekatan REBT. Di

51 samping itu, perbincangan ini juga adalah untuk melihat sama ada dapatan kajian yang diperolehi, menyokong ataupun tidak kepada teori, konsep dan kajian-kajian lalu yang telah dijalankan oleh penyelidik terdahulu.

5.2.1 Adakah terdapat perubahan ke atas individu rawatan salah laku dalam ukuran pra ujian dengan pos ujian bagi pemboleh ubah salah laku selepas menerima rawatan? Berdasarkan hasil kajian yang telah dijalankan terhadap hipotesis yang pertama, dapatan menunjukkan bahawa skor keputusan terhadap soal selidik The Agression Questionaire semasa pra ujian dicatatkan sebanyak 60 mata daripada 80 mata keseluruhan. Ini menunjukkan subjek kajian mempunyai tingkah laku agresif yang agak tinggi. Manakala skor pos ujian terhadap soal selidik yang sama dicatatkan sebanyak 41 mata. Ini menunjukkan berlakunya penurunan dalam bacaan skor sebanyak 21 mata. Hasil daripada dapatan ini hipotesis pertama yang menyatakan bahawa terdapat perbezaan skor keputusan antara pra ujian dan pos ujian ke atas individu rawatan adalah diterima. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh subjek kajian telah menjalani lima sesi kaunseling individu berdasarkan pendekatan REBT sebagai intervensi untuk menangani salah laku pelajar. Menurut Muhd Mansur Abdullah dalam Sapora Sipon (2002), mendapati kaunseling individu merupakan satu pemusatan hal peribadi, hubungan bersemuka antara dua manusia apabila seorang kaunselor dengan kemampuan yang ada padanya menyediakan satu situasi pembelajaran yang

52 membolehkan kliennya mengenali dirinya, membuat perubahan, menukar sikap, membuat keputusan dan pemilihan bagi memenuhi keperluan diri mereka sendiri. Manakala, menurut Corey dalam Sapora Sipon (2002), telah, menyatakan bahawa terapi-terapi utama REBT adalah untuk membantu klien membebaskan dirinya daripada dicengkam oleh pemikiran-pemikiran yang tidak logik atau tidak rasional dan berada dalam pemikiran yang rasional. Kenyataan tersebut bersesuaian dengan apa yang dicatatkan dalam buku Panduan Perlaksanaan Khidmat Bimbingan dan Kaunseling di Sekolah yang di terbitkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia ada menggariskan beberapa prinsip. Antaranya, bimbingan dan kaunseling adalah merupakan proses pendidikan, iaitu proses yang dirancang dan berterusan. Para pelajar dididik mempelajari pengalaman, nilai, sikap dan tingkahlaku yang sesuai dengan masyarakat majmuk di Malaysia.

5.2.2 Adakah terdapat perkaitan antara pemikiran tidak rasional individu dengan corak tingkah lakunya? Berdasarkan hasil kajian yang telah dijalankan terhadap hipotesis yang kedua, dapatan menunjukkan bahawa terdapat perkaitan antara pemikiran tidak rasional individu dengan corak tingkah lakunya adalah diterima. Keadaan ini mungkin berlaku kerana telah wujud celik akal dalam diri klien dan mengubah pemikiran tidak rasional klien. Klien telah menyedari apa yang boleh dilakukan bagi menghapuskan sistem kepercayaan yang tidak rasional dan menggantikannya dengan kepercayaan yang lebih realistik.

53

Dapatan kajian yang diperolehi adalah bersesuaian dengan kenyataan Hackey dan Cormier dalam Sapora Sipon (2002), manusia dilahirkan dengan satu potensi untuk berfikiran secara lurus bendul dan rasional dan juga secara tidak rasional. Manusia mempunyai keupayaan untuk mengubah proses-proses kognitif, emotif dan tingkah lakunya. Mereka boleh memilih untuk bertindak dengan cara yang berlainan daripada pola tingkah laku yang normal. Mereka juga boleh memilih untuk tidak membenarkan dirinya terganggu dan boleh melatih diri untuk mengalami gangguan yang minimum dalam kehidupan. Kenyataan tersebut bersesuaian dengan kenyataan oleh Abdul Samad Banin, dalam melihat kesesuaian Rational Emotif Therapy (RET) dalam perlaksanaan kaunseling di sekolah menengah negara Brunei. Dalam kenyataan tersebut, telah diberikan beberapa langkah yang sesuai untuk diikuti oleh kaunselor dalam usaha membantu klien merasionalkan pemikran semasa menjalankan sesi. Langkah-langkah yang telah di cadangkan adalah seperti berikut. Setelah kaunselor mengenal pasti pemikiran yang tidak rasional dalam diri klien, kaunselor perlu mengenal pasti sama ada kecenderungan dan cara berfikir itu boleh diubah. Jika kecenderungan dan cara berfikir pelajar tersebut boleh diubah, maka kaunselor bolehlah meneruskan kepada langkah kedua. Langkah kedua yang perlu di ambil oleh kaunselor ialah kaunselor hendaklah menyuruh pelajar tersebut berhenti berfikir sedemikian kerana ia tidak menguntungkan. Kaunselor perlu menekankan masalah yang dihadapi pelajar itu adalah disebabkan caranya berfikir yang salah kerana dia menilai keseluruhan dirinya

54 dari perspektif orang atau kawannya. Dengan penekanan itu diharap akan menimbulkan fikiran baru dalam dirinya. Seandainya nampak perubahan pada diri pelajar tersebut, maka kaunselor bergerak pada langkah ketiga. Kaunselor hendaklah berusaha mengganti fikiran pelajar tersebut dengan cara berfikir yang baru yang lebih rasional dan logik yang boleh diterima pelajar tersebut. Kaunselor boleh mengemukakan bukti bagi menguatkan hujah kaunselor tersebut bagi membina satu pemikiran baru dalam dirinya. Perubahan diri pelajar tersebut akan nampak dilihat pada tindak-tanduk, air muka dan cara dia membalas perbualan tersebut. Jika positif maka kaunselor terus memimpin pelajar itu supaya pelajar tersebut dapat bertindak dan mengamalkan perlakuan mengikut fikiran barunya tersebut. Kemudian, kaunselor secara yakin mesti menekankan bahawa pelajar tersebut akan melalui satu kehidupan yang lebih baik jika dia terus mengamal dan mempraktikkan cara berfikirnya yang baru tersebut. Pendekatan ini jika diamalkan dan dipraktikkan dengan betul akan dapat membantu dalam menangani masalah pelajar yang bertitik tolak dari cara mereka berfikir. Banyak masalah yang dihadapi oleh pelajar sebenarnya timbul hanya kerana cara mereka berfikir yang tidak logik. Akibatnya emosi dan tindak-tanduk mereka juga terpengaruh dengan cara berfikir tersebut. Dalam arus kehidupan mereka yang cuba mengenal pasti dan mencari identiti diri, pelajar berhadapan dengan pelbagai senario yang mengundang dan mengajak mereka berfikir sendiri. Dalam proses penyelesaian masalah inilah mereka akan sampai kepada satu kesimpulan sama ada ia bersifat logik atau tidak. Apabila mereka tersalah membuat tanggapan dan andaian, maka ia akan menjadi satu tekanan dan menghantui perjalanan hidup mereka

55 seharian. Dengan itu, pendekatan ini berusaha membetulkan dan mengubah cara berfikir tidak rasional yang menyebabkan gangguan pada diri pelajar tersebut dengan memimpin dan memandu cara berfikir pelajar tersebut kepada cara berfikir yang lebih rasional yang dapat menggembirakan hidup mereka. Dengan itu mereka akan dapat berkonsentrasi dengan pelajaran dan tugas mereka sebagai pelajar.

5.2. 3 Apakah faktor-faktor yang mempengaruhi salah laku pelajar? Berdasarkan hasil kajian yang telah dijalankan terhadap hipotesis yang ketiga, dapatan menunjukkan bahawa terdapat perkaitan antara pengaruh faktor-faktor luaran terhadap salah laku pelajar adalah diterima. Berdasarkan keputusan kajian ini, faktor-faktor luaran yang dikenalpasti sebagai penyebab salah laku pelajar ialah pengaruh rakan sebaya dan ibu bapa yang terlalu mengongkong. Keputusan kajian yang bertepatan dengan kenyataan Ellis dalam Sapora Sipon (2002), menyatakan hubungan emosi dan pemikiran adalah berkait rapat dan tidak boleh dipisahkan. Segala pemikiran dan kepercayaan yang tidak rasional itu berpunca daripada proses dan pengaruh budaya pembelajaran. Dapatan kajian yang diperolehi juga bersesuaian dengan kajian luar negara yang dibentangkan di The American Association Of Behavioral and Social Science National Convention. Kajian ini telah dilakukan oleh Hwang, Leafond, Hansen dan Robinson (2002), yang bertujuan menilai semula kajian berhubung delinkuensi juvana dan tingkah laku permusuhan yang pernah dilakukan 50 tahun yang lalu oleh

56 tokoh-tokoh dalam bidang psikologi. Kajian ini juga turut memantau semula kajian oleh Glueck dan Glueck (1950), Sears. McCoby dan Levin (1957) yang kesemuanya merumuskan bahawa ibu bapa yang menghukum dalah faktor utama yang menyebabkan delinkuen dan tingkah laku permusuhan. Seterusnya, menurut Ketua Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial Prof. Madya Dr Rosnah Ismail, antara tingkah laku devian yang kerap dilakukan oleh remaja ialah bergaduh, ponteng kelas dalam subjek tertentu, mencuri, membuli, merokok, dadah dan masalah disiplin di sekolah. Katanya, berdasarkan kajian dibuat pada responden, punca tingkah laku berkenaan berlaku kerana terpengaruh dengan kawan selain daripada peribadi pelajar itu sendiri yang ingin mendapatkan kebebasan, melepaskan geram, marah, ingin mencuba dan rasa ingin tahu. Menurut Dr. Rosnah, tidak ramai responden menyatakan faktor ibu bapa menjadi punca penyebab mereka bertingkah laku devian memandangkan majoriti di antara mereka mengatakan mempunyai hubungan baik dengan keluarga. Pengaruh daripada rakan berlaku apabila ramai responden mengatakan mereka mempunyai hubungan yang rapat dengan rakan mereka kerana rakan mereka juga selalu mengambil berat masalah yang dihadapi responden dan merasa gembira ketika bersama dengan rakan mereka.Oleh itu, mereka terikut-ikut dengan tingkah laku devian rakan sebaya tanpa memikirkan apa kesan yang berlaku terhadap diri mereka, katanya menyampaikan hasil kajiannya di Seminar Penyelidikan dan Ujian Profil Personaliti Tajma di UMS.

57 5.2.4 Adakah terdapat kesesuaian penggunaan pendekatan teori REBT dalam menangani salah laku dikalangan pelajar? Berdasarkan hasil kajian yang telah dijalankan terhadap hipotesis yang keempat, terdapat kesesuaian penggunaan pendekatan teori REBT dalam menangani salah laku di kalangan pelajar adalah diterima. Berdasarkan keputusan kajian ini, menunjukkan subjek kajian telah dapat merasionalkan pemikirannya selepas menjalani lima sesi kaunseling individu dan telah menyedari tentang akibat tingkah lakunya selepas pengkaji memberi tugasan kepada subjek kajian. Tugasan ini adalah untuk dicuba oleh klien diluar sesi bagi menggalakkan klien mengambil risiko atau membiarkan klien berasa gagal mencuba sesuatu tingkah laku. Ini kerana pemikiran yang tidak rasional individu akan menghasilkan perlakuan yang tidak rasional. Perlakuan yang di anggap tidak rasional termasuklah melawan guru, merokok, tidak menyiapkan latihan yang di beri, ponteng kelas, membawa bahan lucah ke sekolah dan sebagainya menyalahi peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah dan Kementerian Pelajaran Malaysia. Tambahan lagi dengan perasaan malang, teruk, dahsyat, mendesak, mengutuk diri, membuat generalisasi, toleransi yang rendah, hilang harapan yang boleh mempamerkan perlakuan negatif individu. Menurut Okun dalam Jazimin & Ahmad Yunus (2006), pendekatan REBT adalah merupakan pendekatan mengajar untuk menolong manusia mencapai perubahan personaliti dengan mengarah memberi maklumat, mengajar teknik perumpaan atau perbandingan dengan memberi kerja rumah. Ahli terapi menolong orang yang ditolong. Oleh itu, teknik REBT direka untuk mengubah tingkah laku setelah dapat mengubah pemikiran tidak rasional.

58 Kesesuaian penggunaan pendekatan REBT di buktikan melalui kajian yang di jalankan oleh Ellis ke atas dirinya sendiri ketika berumur 19 tahun dalam Sapora Sipon (2002). Berdasarkan pendekatan REBT yang di ciptanya, beliau telah berjaya mencabar dan mematahkan sistem kepercayaan tidak rasional yang wujud dalam dirinya. Beliau menghadapi fobia apabila bercakap di hadapan khalayak ramai, terutamanya dihadapan wanita. Oleh itu, beliau telah memaksa dirinya bercakap dihadapan 100 orang wanita dalam tempoh sebulan di Bronx Botanical Gardens. Beliau mendapati terapi REBT lebih jauh berkesan ke atas dirinya daripada terapi psikoanalisis kerana beliau dapat menguasai masalah yang dihadapinya selama ini. Bahkan beliau berasa seronok dan telah mendapat pengalaman dan bercakap dan menjalankan aktiviti dikhalayak ramai. Situasi ini diakui oleh orang-orang yang pernah mengikuti ceramahnya. Terapi ini sangat sesuai digunakan dalam kaunseling individu dan kaunseling kelompok. Ini disebabkan oleh kerana teori ini mementingkan kepada tiga aspek utama iaitu kognitif, emosi dan tingkah laku serta turut memberi penekanan kepada pemikiran, penganalisaan, penilaian, perlakuan dan membuat keputusan. Pendekatan ini juga bercorak didaktif atau mengajar, mengarah dan mengutamakan kepada pemikiran daripada kepercayaan yang tidak rasional itu. Melalui pendekatan ini, Ellis melihat masalah yang dihadapinya adalah berpunca dari ketidaklogikan dalam berfikir. Ketidaklogikan berfikir ini menjadi pengganggu dalam melihat dan menafsir objek atau fakta yang dihadapinya sehingga menjadi satu masalah yang menghantui dirinya. Sehubungan dengan itu, REBT bertujuan untuk mengatasi fikiran yang tidak logik tentang diri sendiri dan lingkungan seseorang itu.

59 Kaunselor perlu berusaha menunjukkan dan menyedarkan klien bahawa cara berfikir yang tidak logik itulah merupakan penyebab gangguan emosinya. Atau dengan kata lain REBT bertujuan membantu klien membebaskan dirinya dari cara berfikir atau idea-idea yang tidak logik yang menyelubungi fikiran mereka dan menggantinya dengan cara yang logik. Kemudian klien dilatih untuk berfikir dan berbuat yang lebih rasional berdasarkan kepada tuntutan realiti. Kesesuaian penggunaan pendekatan Rational Emotif Therapy (RET) turut dikaji dalam Abdul Samad Banin, ini dibuktikan dengan kesesuaian RET dalam konteks Negara Brunei Darussalam dengan penerapan di sekolah menengah dapat dilihat dalam dua aspek. Aspek pertama, pendekatan ini jika dilaksanakan mengikut prinsipnya maka ia akan dapat bergerak sejajar dengan ajaran Islam. Banyak masalah yang timbul di kalangan pelajar (manusia keseluruhannya) dewasa ini adalah akibat tidak dapat menerima kenyataan yang sebenarnya. Seperti yang ditekankan dalam teori ini, masalah yang timbul dalam diri manusia adalah akibat dari kata 'patut' dan 'tidak patut'. Mereka 'patut' dapat markah yang tinggi. Cikgu mereka 'tidak patut' memberi mereka markah yang rendah. Orang yang disayangi 'patut' hidup. Orang yang disayangi 'tidak patut' mati. 'Sepatutnya akulah yang layak jadi kekasihnya'. 'Dia memang tidak patut merampas kekasihku'. Dari apa yang 'patut' dan 'tidak patut' ini jelas menunjukkan mereka tidak mahu menerima kenyataan. Sedangkan sebagai orang Islam kita dituntut mesti percaya pada Qadak dan Qadar seperti yang terkandung dalam Rukun Iman. Jika fikiran patut dan tidak patut itu hidup mekar dalam diri pelajar, lambat-laun maka akan rosaklah iman mereka. Melalui pendekatan ini, fikiran pelajar yang terpesong itu dapat dibetulkan. Mereka didorong

60 untuk menerima kenyataan dan nasib, di samping diarahkan untuk berusaha. Aspek kedua ialah pemikiran dan kepercayaan yang ada pada pelajar sekolah menengah berada di tengah-tengah, tidak terlalu tebal dan tidak terlalu longgar. Maksudnya, jika orang tua atau dewasa, kepercayaan dan cara pemikiran yang ada pada mereka sudah terlalu sukar untuk diubah akibat dari pengalaman mereka. Begitu juga jika kanakkanak, cara pemikiran yang rasional belum sampai pada jangkauan mereka. Dalam hal ini kesesuaiannya dengan pelajar sekolah menengah ialah mereka mampu diajak untuk berfikir secara rasional. Dengan kemampuan itu mereka dapat mengubah pandangan tidak rasional mereka yang masih belum tebal lagi. Seterusnya, menurut beliau lagi terdapat kebaikan dan kelemahandalam pendekatan REBT. Kebaikan dalam pendekatan ini ialah pendekatan ini cepat sampai kepada masalah yang dihadapi oleh klien. Dengan itu perawatan juga dapat dilakukan dengan cepat. Di samping itu, kaedah pemikiran logik yang diajarkan kepada pelajar dapat digunakan dalam menghadapi gejala yang lain. Seterusnya, pelajar merasakan diri mereka mempunyai keupayaan intelektual dan kemajuan dari cara berfikir. Manakala kelemahan dalam pendekatan ini ialah terdapat pelajar yang boleh ditolong melalui analisa logik dan falsafah, tetapi ada pula yang tidak begitu pintar otaknya untuk dibantu dengan cara yang sedemikian yang berasaskan kepada logik. Terdapat sesetengah pelajar yang begitu terpisah dari realiti sehingga usaha untuk membawanya ke alam nyata sukar sekali dicapai. Kadangkala ada juga pelajar yang terlalu berprasangka terhadap logik, sehingga sukar untuk mereka menerima analisa logik dan ada segelintir pelajar yang memang suka mengalami gangguan emosi dan

61 bergantung kepadanya di dalam hidupnya, dan tidak mahu membuat apa-apa perubahan lagi dalam hidup mereka.

5.3 Rumusan Dapatan Kajian Kajian ini di jalankan adalah untuk melihat keberkesanan pendekatan REBT dalam menangani salah laku pelajar di sekolah menengah. Kajian ini telah dijalankan dengan menggunakan intervensi sesi kaunseling individu berdasarkan pendekatan REBT terhadap subjek kajian. Untuk mengukur perubahan subjek kajian ke atas intervensi yang di terima, subjek kajian dikehendaki menjawab soal selidik The Agression Questionaire semasa pra ujian iaitu sebelum menerima sesi kaunseling individu dan selepas selesai subjek kajian kajian menerima sesi kaunseling individu sebanyak lima sesi terhadap soal selidik yang sama dicatatkan. Keputusan kajian yang diperolehi menunjukkan berlakunya perubahan ke atas skor keputusan pra ujian dan pos ujian. Perubahan skor keputusan yang di tunjukkan adalah penurunan mata yang diperolehi oleh subjek kajian. Ini menunjukkan tingkah laku subjek kajian telah berkurangan selepas menerima rawatan. Kesemua dapatan kajian yang diperolehi telah menyokong empat hipotesis kajian ini.

62 5.4 Implikasi Implikasi kajian ini membincangkan beberapa perkara. Pertama sumbangan kajian terhadap bimbingan dan kaunseling merangkumi implikasi bimbingan dan kaunseling di sekolah dan amalan kaunseling. Kedua, implikasi terhadap aspek sosio ekonomi. Seterusnya, turut dibincangkan implikasi terhadap bidang pendidikan.

5.4.1

Implikasi Terhadap Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling

Secara umumnya, kajian eksperimental yang dijalankan ini dapat memberi sumbangan terhadap perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah. Dengan adanya usaha merawat salah laku di kalangan remaja pelbagai kaedah dapat digunakan temasuklah pendekatan kaunseling. Maka masalah lain yang datang daripada pelajar sekolah dapat dikurangkan dan di atasi. Bagi mengalakkan kesan yang serius pada masa akan datang. Seterusnya, suasana aman dan selamat di sekolah akan dapat diwujudkan dan ini pasti dapat meningkatkan prestasi kecemerlangan pelajar dan sekolah itu sendiri. Dengan adanya kajian ekperimen yang mengkaji keberkesanan kakunseling individu, secara tidak langsung ia akan meningkat imej yang positif terhadap perkhidmatan bimbingan dan kaunseling. Justeru itu, ia juga berkepentingan dalam membantu menyedarkan masyarakat dan pihak sekolah serta pihak lain juga tentang kepentingan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah. Perdana Menteri Malaysia menyarankan agar ibu bapa serta guru dilatih dengan kemahiran kaunseling adalah cadangan yang patut kita amati dengan serius.

63 Ini kerana suatu sinergi antara institusi pendidikan dengan kekeluargaan dalam menangani permasalahan remaja adalah diperlukan. Beliau berkata: Dengan cara ini kita harap jumlah anak bermasalah akan dapat dikurangkan dan seterusnya akan mengurangkan jumlah pelajar bermasalah. Penjelasan ini membuktikan betapa kaedah kaunseling perlu dipraktikkan dalam isu remaja. Ia juga secara langsung meminta latihan kaunseling dipertingkatkan di kalangan masyarakat (Hafidzudin, 2004). Teori Rational Emotif Behavioral Therapy (REBT) digunakan sebagai asas untuk menjalankan kajian ini dan ia bersesuaian dalam merawat permasalahan pelajar yang bertingkah laku agresif dan didapati dengan menjalankan sesi kaunseling individu sebanyak lima sesi adalah berkesan. Melalui konsep teori ini, tingkah laku agresif yang berlaku adalah hasil daripada pemikiran dan pandangan seseorang itu terhadap sesuatu perkara yang dihadapinya. Sekiranya, individu berfikiran secara tidak rasional, maka inilah yang akan mempengaruhi dan menyebabkan timbulnya gangguan emosi serta tingkah laku yang bersifat self defeating atau tingkah laku tewas diri. Justeru, pemikiran dan pandangan individu terhadap sesuatu perkara perlu dicabar dan diperbetulkan supaya mereka dapat menerima sesuatu perkara ataupun peristiwa yang dialami mereka dari sudut positif. Untuk itu, pelajar perlu diajar tentang kemahiran sosial, memahami perasaan dan pemikiran serta berinteraksi secara berhemah dan harmoni bagi meningkatkan penghargaan kendiri mereka. Seterusnya, dapat mengurangkan tingkah laku agresif. Ini sesuai dengan teori REBT yang lebih bercorak didaktif atau lebih kepada mengajar.

64 5.4.2 Implikasi Terhadap Aspek Sosio ekonomi

Implikasi kajian yang di jalankan ini diharap mampu untuk membantu menangani permasalahan sosial di kalangan remaja. Ini kerana, bagi sesetengah remaja, persekitaran mampu mencetuskan orientasi positif yang dapat mempengaruhi cara mereka membuat keputusan dengan bernas. Sebaliknya, bagi sesetengah yang lain, reaksi mereka terhadap apa yang berlaku dalam persekitaran mereka jelas menunjukkan mereka tersasar dalam membuat tafsiran dan mengambil sesuatu keputusan serta tindakan. Faktor penyebab salah laku remaja boleh dikelaskan sebagai faktor pendorong atau penggalak. Satu lagi pengkelasan faktor ini adalah dengan membahagikannya dalam kelompok faktor dalaman atau luaran. Antara faktor dalaman mempengaruhi perlakuan seseorang remaja itu termasuk faktor kepercayaan kepada prinsip, nilai, dogma, pegangan agama, motivasi, sikap, minat dan sebagainya. Faktor ini selalunya mendorong kemahuan seseorang ke arah sesuatu perlakuan. Sementara itu, persekitaran luaran seseorang remaja yang kebiasaannya dikelilingi keluarga, rakan, ibu bapa, teman sekelas atau sekerja, masyarakat setempat dan lainlain lagi sering menyumbang atau menggalakkan seseorang ke arah sesuatu perlakuan. Pengaruh rakan sebaya sering dianggap faktor penggalak utama yang mempengaruhi sikap remaja terutama dari kaca mata ibu bapa dan golongan dewasa. Bagaimanapun, yang pasti mereka pada hakikatnya perlukan bimbingan sewajarnya untuk mengharungi zaman remaja yang mencabar. Permasalahan sosial di kalangan

65 remaja sekiranya dapat ditangani mampu menjana perkembangan ekonomi negara kerana remaja pada hari ini adalah pemangkin pimpinan yang akan mencorakkan untuk masa depan negara.

5.4.3

Implikasi Terhadap Bidang Pendidikan

Dalam bidang pendidikan pula, diharapkan Kementerian Pendidikan perlu mengkaji kemungkinan perlu memberi lebih banyak kuasa kepada guru dalam pelaksanaan masalah disiplin pelajar. Usaha untuk membanteras dan mencegah kegiatan jenayah di kalangan pelajar sekolah memerlukan tenaga guru disiplin terlatih bagi membolehkan setiap masalah dikenal pasti dan dicungkil hingga ke akar umbi. Selain itu, setiap sekolah perlu mempunyai lebih ramai guru disiplin terlatih untuk memantau dan menangani kes salah laku di kalangan pelajar. Ini bertepatan dengan saranan Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada Oktober 2003 agar ibu bapa serta guru dilatih dengan kemahiran kaunseling adalah cadangan yang patut kita amati dengan serius. Penjelasan ini membuktikan betapa kaedah kaunseling perlu dipraktikkan dalam isu remaja. Ia juga secara langsung meminta latihan kaunseling dipertingkatkan di kalangan masyarakat.

66 5.5 Cadangan terhadap kajian pada masa akan datang

Sebagai cadangan untuk kajian yang akan di jalankan pada masa akan datang, pengkaji mencadangkan agar kajian yang akan dijalankan selepas ini supaya diperluaskan lagi. Ini kerana kajian yang dijalankan ini hanya tertumpu pada satu sekolah dan terhad kepada seorang subjek kajian sahaja. Di samping itu, sesi kaunseling individu dalam kajian ini hanya melibatkan seorang pelajar perempuan sahaja. Oleh sebab itu, diharapkan pengkaji pada masa akan datang dapat melibatkan lebih ramai sampel kajian bagi membolehkan lebih ramai pelajar lelaki dan perempuan yang akan menjalani sesi kaunseling individu sebagai salah satu intervensi rawatan untuk menangani salah laku. Memandangkan kajian yang di jalankan ini hanya melibatkan pelajar yang berbangsa melayu, pengkaji mengharapkan agar kajian yang akan datang pada masa depan turut melibatkan sampel kajian daripada bangsa lain seperti bangsa cina, india, siam dan lain-lain lagi. Seterusnya, di cadangkan agar kajian yang bakal dijalankan juga perlu merujuk kepada beberapa pendekatan lain. Dalam kajian ini, pengkaji hanya melihat permasalahan yang dihadapi oleh pelajar hanya dari sudut kognitif sahaja. Pengkaji menggunakan pendekatan REBT dalam melihat salah laku pelajar. Pada masa depan, di harapkan kajian yang bakal dijalankan dapat menggunakan pendekatan lain seperti Gestalt, Realiti, Pemusatan klien dan banyak lagi pendekatan yang terdapat dalam bidang kaunseling. Ini bagi membolehkan salah laku di kalangan pelajar dapat di tangani dari pelbagai sudut sama ada kognitif, afektif atau tingkah laku.

67 Di samping itu, untuk menjalankan kajian pada masa depan di harapkan kaedah rawatan yang akan di jalankan dapat menggunakan pelbagai kaedah kaunseling. Dalam kajian ini, kaedah rawatan hanya terhad menggunakan sesi kaunseling individu yang dijalankan selama lima sesi sahaja. Jika kajian yang akan di jalankan juga menggunakan kaedah rawatan kaunseling individu, pengkaji mencadangkan sampel kajian yang terlibat melibatkan lebih ramai individu supaya perbandingan perubahan yang terdapat pada setiap individu dapat di bandingkan. Seterusnya, perbandingan antara subjek kawalan dan rawatan juga dapat diukur. Selain itu, dicadangkan agar kaedah rawatan lain seperti kaunseling kelompok, kaunseling kelompok mingguan, program-program motivasi serta kaedah kaunseling lain yang boleh digunakan dalam merawat dan menangani salah laku pelajar di sekolah.

5.6

Refleksi Kaunselor

Berdasarkan kajian yang telah dijalankan ini, pengkaji mendapati bahawa sepanjang menjalankan kajian ini, pengkaji telah memperolehi banyak pengetahuan yang amat berguna pada pengkaji sendiri dan maklumat-maklumat lain yang dapat membantu pelbagai pihak dalam usaha menangani masalah salah laku di kalangan pelajar sekolah. Maklumat yang telah diperolehi di kumpul dan dicatatkan dalam disertasi ini untuk dijadikan sebagai rujukan dan panduan pada masa akan datang. Seterusnya, pengkaji berpendapat bahawa kemahiran-kemahiran dalam kaunseling juga dapat dipraktikkan dan dipertingkatkan melalui sesi kaunseling yang

68 telah dijalankan. Sesi kaunseling individu yang telah dijalankan bukan sahaja bertindak sebagai rawatan kepada pelajar, malahan amat berguna kepada pengkaji kerana pengkaji dapat mengaplikasikan pengetahuan sebagai bakal kaunselor semasa sesi dijalankan. Di samping itu, pengetahuan pengkaji terhadap teori juga dapat dipertingkat dan diperkukuhkan lagi. Walaupun terdapat pelbagai kekangan yang dialami oleh pengkaji sebelum, semasa dan selepas menjalankan sesi kaunseling di sekolah. Namun, kekangan itu bukanlah satu alasan bagi pengkaji untuk berputus asa sebaliknya merupakan satu dorongan untuk pengkaji berusaha dengan lebih kuat lagi bagi memastikan agar kajian ini dapat dijalankan dengan jayanya.

5.7 Rumusan Bab Bab ini telah membincangkan rumusan daripada dapatan kajian yang diperolehi secara terperinci berdasarkan sokongan daripada kajian-kajian lepas dan pendekatan teori serta implikasi kajian yang merangkumi sumbangan kajian terhadap perkhidmatan bimbingan dan kaunseling, aspek sosio ekonomi dan bidang pendidikan. Selain itu, bab ini turut membincangkan berkaitan cadangan yang telah dikemukakan oleh pengkaji berdasarkan kajian ini, cadangan untuk menjalankan kajian lanjutan serta kesimpulan daripada kajian ini.

You might also like