You are on page 1of 3

Salam aspresiasi saudara pengerusi, saf kehakiman penuh berintegriti, dif-dif kehormat yang dihormati, seterusnya hadirin dan

hadirat yang diberkati, Assalamualaikum warahmatulhiwabarakatuh, salam ceria ikatan murni.

Pendidikan negara terbilang ditakrifkan sebagai prakarsa menyuburkan pemahaman teori, praktikaliti dan budaya mengkaji tanpa henti dalam mencanai ketinggian akal budi insan sejati. Proses ini dapat memanusiakan manusia dan mencorakkan peradaban sesebuah bangsa.

Maka, untuk menjadikan Malaysia sebuah negara terbilang, pendidikan yang cemerlang berpandukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dilihat mampu melahirkan masyarakat yang bertamadun demi mencapai wawasan negara maju yang kita impikan.

Sidang pendengar budiman yang saya muliakan sekalian, Bagaimanakah kita dapat merealisasikan pendidikan cemerlang demi membentuk negara terbilang? Maka, hayatilah cetusan minda kurniaan Allah, rempuhan idea pertama Sekolah Cemerlang, Pendidikan Gemilang.

Menerusi Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, institusi sekolah sentiasa ditambahbaikkan, sekolah kebangsaan diperkasakan, jurang pendidikan dirapatkan, sekolah wawasan diwujudkan, semuanya untuk menyemai budaya kecemerlangan dan semangat perpaduan ke arah 1Malaysia yang kita gagaskan. Dalam era kemodenan, sekolah bestari menjadi pilihan, aplikasi ICT banyak digunakan, malah pedagogi guru mampu ditingkatkan. Bagi menangani golongan pelajar bermasalah, pendekatan kaunseling dibuat secara berhemah, penerapan disiplin membentuk sahsiah, ketrampilan murid kian terserlah, bukti pendemokrasian pendidikan tidak pernah goyah. Hadirin sekalian, Rempuhan idea yang kedua Guru Cemerlang, Pendidikan Gemilang.

Hakikatnya, institusi pendidikan kita terbukti cemerlang apabila Laporan Daya Saing Global 2012, Forum Ekonomi Dunia meletakkan kualiti pendidikan negara di tangga ke14 daripada 142 buah negara. Malah, transformasi pendidikan telah melonjakkan kecemerlangan apabila 182 buah sekolah kluster berjaya dikenalpasti, 66 buah sekolah pula diiktiraf berprestasi tinggi bahkan 2450 buah sekolah dilihat berpotensi memperbaiki Gred Purata Sekolah sendiri. Sudah terang lagi bersuluh, Sekolah Gemilang, Pendidikan Cemerlang, Negara Terbilang.

Kecemerlangan sistem pendidikan di Malaysia sebenarnya ditunjangi oleh 5 prinsip utama golongan pendidik kita, iaitu kekuatan intelek, kepimpinan berwibawa, kemurnian akhlak, kesediaan untuk berubah serta kecintaan terhadap profesion keguruan.

Lantaran itulah, Standard Guru Malaysia telah dilancarkan, Petunjuk Prestasi Utama Sektor Pendidikan terus diperkasakan, Guru Cemerlang diberi pengiktirafan, Tawaran Baiah Baru turut diberikan, bukan untuk menambah beban atau tekanan, tetapi sebagai dorongan untuk merintis perubahan demi kemajuan dunia pendidikan. Kepimpinan bertauladan turut dijadikan teras utama lebih-lebih lagi dalam pengurusan masa, tanggungjawab bersama, amalan etika dan budaya kerja dalam meningkatkan kualiti pendidikan. Hasilnya kini, bilangan guru dan pengetua cemerlang telah mencecah 8125 orang berbanding 5984 orang pada tahun 2010. Lebih membanggakan lagi, Kajian Indeks Persepsi Murid 2012 mendedahkan bahawa 97.4% muridmurid Malaysia menganggap guru-guru mereka bersifat penyayang, berdedikasi malah menjadi sumber inspirasi Benarlah nukilan pantun, berburu ke padang datar, dapat rusa belang di kaki, berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi. Terima kasih guru-guru Malaysia dalam menjayakan hasrat Pendidikan Cemerlang, Negara Terbilang.

Hadirin yang saya kasihi sekalian, Rempuhan idea yang terakhir Pendidikan Cemerlang, Modal Insan Gemilang.

Sedarkah kita bahawa hari ini gejala sosial bermaharajalela, mat rempit dan bohsia jadi idola, zina pula dianggap biasa, bayi dihumban tanpa kasihan, dipijak ditendang tanpa ihsan, lebih menyedihkan hati, bapa dicaci, ibu dimaki. Jelaslah, dalam dunia moden kini, modal insan bermoral tinggi bukan lagi satu kemewahan tetapi satu keperluan. Maka dalam membentuk ketrampilan modal insan, pendidikan seimbang kita aplikasikan, subjek Sivik dan Kewarganegaraan kita mantapkan, pengisian kokurikulum kita perhebatkan, Dasar 1Murid 1Sukan kita lancarkan, kempen budi bahasa kita jayakan, bahkan disiplin pelajar kita tingkatkan.

Lantaran itulah, sistem pendidikan kita terbukti cemerlang dalam melahirkan individu yang kompetitif dan dinamik bagi mewarisi kepimpinan negara. Sekadar menyebut beberapa contoh, menerusi transformasi pendidikan, kita mampu menghasilkan lebih ramai pelajar pintar seperti Nur Amalina Che Bakri, lebih ramai atlit muda seperti Dato Nicol Ann David, lebih ramai tokoh belia seperti Zuraidi Komari, malah lebih ramai idola remaja seperti Imam Muda Asyraf. Hakikatnya jelas, Pendidikan Cemerlang Melahirkan Modal Insan Gemilang Demi Memacu Kejayaan Negara Terbilang.

pada penghujung bicara dapatlah disimpulkan bahawa, pendidikan cemerlang menjelaskan kolerasi yang simbiotik antara institusi pendidikan berkualiti, golongan pendidik berdedikasi dan kemenjadian pelajar modal insan berintegriti. Apabila kesemua ramuan ini mampu kita adun bersama, maka pendidikan kita akan menjadi lebih bermakna sekaligus menjayakan hasrat pembinaan citra negara yang berjaya. Benarlah bahawa Integriti Teras Transformasi PendidikanNegara Terbilang. Sekian terima kasih

You might also like