You are on page 1of 12

1.

0 PENGENALAN Perpaduan merupakan satu keperluan yang tidak dapat dipisahkan oleh mana-mana masyarakat dalam sesebuah negara demokrasi. Usaha untuk mencapai perpaduan bukanlah satu tindakan yang mudah untuk dilaksanakan oleh Kerajaan sesebuah negara. Lebih-lebih lagi, jika sesebuah masyarakat sesebuah negara itu terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum, bangsa, agama dan adat resam. Hal ini sudah pasti akan mengundang kesukaran dalam usaha membentuk persefahaman antara masyarakat pelbagai bangsa tersebut. Negara kita Malaysia merupakan salah satu contoh negara yang disebutkan di atas yang mana adalah sebuah negara yang mempunyai penduduk pelbagai kaum dan golongan etnik yang mempunyai ciri-ciri dan identiti yang berbeza. Sifat utama bagi sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk yang masih kukuh kepada peranan tradisional mereka dan memegang teguh kepada nilai-nilai yang terbatas dalam kalangan sesebuah kaum itu sendiri merupakan masalah utama kepada sistem perpaduan di Malaysia. Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan salah satu kesan masalah perpaduan yang gagal ditangani yang mana telah mencorakkan titik hitam dalam lipatan sejarah negara kita. Dengan yang demikian, adalah perlu dan wajar bagi kita sebagai bakal pendidik anak bangsa pada masa hadapan untuk mempunyai pengetahuan secukupnya mengenai usaha-usaha penyelesaian berhubung dengan cabaran-cabaran ke arah pemupukan perpaduan dalam konteks hubungan etnik di Malaysia.

2.0 USAHA-USAHA PEMUPUKAN PERPADUAN Seperti yang telah dinyatakan pada awal perbincangan tadi, perpaduan negara merupakan matlamat yang amat penting bagi semua negara bebas, merdeka dan berdaulat. Hal ini kerana, perpaduan adalah satu jaminan yang terpenting bagi keutuhan negara dan pentadbirannya. Dalam konteks perpaduan negara kita, banyak pihak berpendapat bahawa hubungan etnik yang wujud sekarang masih lagi rapuh jika dilihat dari pelbagai sudut. Justeru itu, usaha mengekalkan hubungan antara etnik secara keseluruhan adalah sesuatu yang sangat mencabar. Idea-idea retorik dan berupa kata-kata sahaja tidak akan membuahkan hasil yang dikehendaki.
1

Sebaliknya, dampak yang akan terhasil hanya berbentuk superfisial sahaja. Oleh itu, kita akan melihat apakah usaha-usaha yang telah direncanakan dan dilaksanakan dalam mengatasi masalah dan memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia dari aspek sosial. Rajah 1 menunjukkan usaha-usaha yang dilaksanakan dalam memupuk perpaduan di antara masyarakat Malaysia.

Pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan

Penubuhan Jabatan Perpaduan Negara

USAHA-USAHA PEMUPUKAN PERPADUAN DALAM KALANGAN MASYARAKAT MALAYSIA

Program Latihan Khidmat Negara

Pelaksanaan Kawasan Rukun Tetangga

Rajah 1 : Usaha-usaha pemupukan perpaduan

2.1 Pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan Shamsul Amri Baharuddin (2010) menyatakan bahawa dasar pendidikan kebangsaan yang telah dilaksanakan selepas negara mencapai kemerdekaan jelas sekali mengarah kepada satu landasan tepat dalam mewujudkan masyarakat yang harmonis. Hal ini kerana, frasa kebangsaan yang disebut pada dasar ini dengan jelas menolak sama sekali sistem pendidikan yang telah dilaksanakan oleh penjajah British sebelum merdeka. Sistem pendidikan yang dilaksanakan oleh pihak British yang membahagi-bahagikan kaum secara berasingan menerusi dasar pecah dan perintah British telah mengakibatkan berlakunya pengasingan antara kaum yang amat ketara. Pengasingan kaum yang berlaku secara langsung telah menidakkan interaksi dan komunikasi antara kaum-kaum yang berlainan tersebut.
2

Justeru itu, pelaksanaan dasar ini penting kerana asas yang dijadikan landasan dasar dalam orientasi dan falsafah pendidikan negara adalah bercirikan atau menggunakan acuan tempatan. Acuan tempatan yang dimaksudkan di sini sebagai contoh ialah dari segi penggunaan bahasa pengantar, sukatan pelajaran dan kurikulum. Perkara ini dinyatakan dalam Penyata Rahman Talib 1960 oleh Choong Lean Keow (2009) yang mana menggariskan beberapa teras untuk mencapai perpaduan yang antara lain dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di semua peringkat persekolahan, sistem persekolahan yang sama bagi semua dan kurikulum dan peperiksaan sekolah yang sama kandungan dan bercorak kebangsaan. Teras utama yang digariskan di sini ialah melalui penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di semua peringkat persekolahan. Jika kita

melihat kepada zaman sebelum merdeka, sistem pendidikan yang mengikut kaum menggunakan bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa pengantar dalam pendidikan. Hal ini menyebabkan wujudnya rasa kekitaan terhadap kaum-masingmasing selain menyukarkan interaksi antara setiap kaum dengan kaum yang lain. Berbeza dengan suasana pendidikan selepas merdeka, bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar bertujuan untuk menggalakkan dan memudahkan interaksi antara kaum yang berbeza. Dalam kata lain, penggunaan bahasa Melayu merupakan wacana perhubungan antara satu-satu kaum dengan kaum yang lain. Apabila wujudnya interaksi dan komunikasi antara setiap kaum ini, maka sudah pasti perpaduan dan persefahaman antara kaum dan masyarakat secara umumnya akan dapat dipupuk dan dijalin. Teras kedua pula menyatakan bahawa sistem pendidikan negara selepas mencapai kemerdekaan adalah menggunakan sistem persekolahan yang sama bagi semua. Sistem persekolahan yang disebutkan di sini adalah merujuk kepada tahap persekolahan dan proses pelaksanaan persekolahan terhadap semua kaum. Jika melihat kepada sistem persekolahan sebelum merdeka di bawah pemerintahan British, sistem persekolahan di Tanah Melayu adalah berbeza dan tidak sama mengikut kaum. Sebagai contoh, bagi kaum Melayu sistem persekolahan adalah berasaskan pertanian dan kemahiran sara diri. Hal ini mengakibatkan tahap persekolahan bagi kaum Melayu tidak meningkat dan berkembang. Berbeza dengan sistem persekolahan kaum-kaum lain seperti Cina, sistem persekolahan yang
3

mereka

lalui

memberikan

mereka

peluang

untuk

meningkatkan

dan

mengembangkan tahap pendidikan mereka. Implikasinya, tahap pendidikan yang berbeza menyukarkan berlakunya interaksi antara kaum. Teras ketiga pula ialah menggunakan kandungan kurikulum dan peperiksaan sekolah yang sama dan bercorak kebangsaan. Seperti yang telah banyak dibincangkan dan dinyatakan sebelum ini, sistem pendidikan sebelum merdeka memisahkan pendidikan berasaskan kaum masing-masing. Dalam hal ini, kurikulum, bahan pengajaran dan pembelajaran dan guru-guru adalah berasaskan kaum dan diperoleh daripada negeri asal kaum masing-masing. Sebagai contoh, kurikulum dan guru bagi sekolah Cina diperoleh daripada negara China. Hal ini menyebabkan ketidakseragaman dan hanya bersifat setempat terhadap kaum masing-masing sahaja. Secara langsung, perkara ini menghalang daripada berlakunya interaksi dan komunikasi antara kaum. Justeru itu, langkah penyeragaman sistem pendidikan adalah bersesuaian dan amat berkesan dalam memupuk perpaduan masyarakat Malaysia dewasa ini.

2.2 Penubuhan Jabatan Perpaduan Negara Titik hitam 13 Mei sesungguhnya telah memberi gambaran yang sangat jelas bahawasanya perpaduan kaum yang kita nikmati sekarang belum benar-benar utuh lagi. Rentetan daripada peristiwa hitam ini, Majlis Gerakan Negara atau MAGERAN telah ditubuhkan (Shamsul Amri Baharuddin (2010). Melalui Majlis Gerakan Negara ini, sebuah badan yang dikenali sebagai Jabatan Perpaduan Negara telah diwujudkan bagi menangani isu-isu berhubung pembinaan semula perpaduan masyarakat di negara kita pada waktu tersebut. Langkah-langkah pembinaan semula perpaduan ini dilakukan dengan cara mengadakan kempen-kempen perpaduan dan juga mewujudkan kerjasama dalam kalangan kaum bagi membentuk kesefahaman selain menjernihkan hubungan antara kaum yang telah tercalar. Melalui pelaksanaan langkah-langkah seperti ini, kita dapat melihat bahawa usahausaha memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama dapat dilakukan. Hal ini kerana, pemahaman yang diterapkan dan diberikan kepada setiap warga Malaysia akan membenihkan rasa saling hormatmenghormati dan bekerjasama selain memelihara sensitiviti kaum masing-masing.
4

Walau bagaimanapun, Majlis Gerakan Negara ini tidak bertahan lama yang mana kemudiannya digantikan dengan Majlis Penasihat Perpaduan Negara dua tahun selepas itu. Sungguhpun pembubaran terhadap Majlis Gerakan Negara berlaku, tanggungjawab yang dilaksanakan adalah sama iaitu memupuk dan memelihara perpaduan antara kaum di negara ini. Pembaharuan dan penjenamaan terus dilakukan terhadap Jabatan Perpaduan Negara ini yang mana akhirnya pada hari ini dikenali sebagai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional atau JPNIN. Melalui penubuhan JPNIN ini, peranan memupuk perpaduan dalam kalangan kaum menjadi semakin besar dan lebih kepada mengintegrasikan perbezaan untuk membentuk kesefahaman. Kamus Dewan Edisi Ketiga (1966) mentakrifkan bahawa integrasi merupakan satu usaha penggabungan dua atau beberapa unsur atau bahagian menjadi satu kesatuan. Dalam konteks JPNIN, peranan utama yang dilaksanakan di sini ialah menyatupadukan masyarakat berbilang kaum menjadi sebuah masyarakat Malaysia yang saling memahami, menerima dan menghormati antara satu sama lain. International Law Book Services (2007) menyokong pandangan ini berkaitan konsep integrasi itu sendiri yang mana menyebut bahawa integrasi merupakan proses menyatupadukan berbagai-bagai kumpulan yang mempunyai perbezaan kebudayaan dan sosial ke dalam satu sistem wilayah bagi mewujudkan identiti nasional. Berdasarkan definisi yang diberikan, sangat jelas bahawa konsep integrasi yang dilakukan oleh JPNIN ini merupakan satu langkah bertepatan dan bersesuaian dalam memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara kita. Melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) ini juga, pelbagai strategi dirancang yang mana antara lain untuk memupuk dan mempertingkatkan perpaduan dan integrasi nasional. Strategi-strategi yang dirancang terutamanya dalam mengatasi masalah kaum dari aspek sosial termasuklah strategi pendidikan, penggunaan bahasa kebangsaan, agama, kebudayaan dan strategi kesukanan yang mana menjurus ke arah perpaduan.

2.3 Program Latihan Khidmat Negara Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang mula dilaksanakan pada tahun 2004 merupakan kursus latihan wajib selama tiga bulan secara berhemah dan berasrama
5

bagi remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia. Menurut Shamsul Amri Baharuddin (2010), PLKN dilaksanakan berteraskan Rukun Negara dan mempunyai kurikulum multidisiplin yang merangkumi empat modul iaitu modul disiplin yang merangkumi aktiviti kawad kaki, merempuh halangan, merentas desa dan kembara hutan, kedua ialah modul kenegaraan yang merangkumi aspek pengetahuan tentang pembinaan negara. Ketiga, modul pembinaan karakter yang merangkumi aspek penerokaan diri sendiri dan hubungan interpersonal, manakala yang keempat ialah modul khidmat komuniti iaitu yang merangkumi aktiviti seperti gotong royong. Jabatan latihan khidmat negara menyatakan bahawa program latihan khidmat negara ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda tetapi juga sebagai medium untuk memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional, ia juga bertujuan untuk membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni yang diterapkan oleh jurulatih serta menyemarakkan semangat kesukarelaan. Selain itu, ia juga adalah tempat yang baik untuk melahirkan generasi muda yang lebih cergas, cerdas dan penuh keyakinan. Pelatih program ini yang dipilih secara rawak dari pelbagai negeri, bangsa dan agama akan bersama-sama berganding bahu dalam mencapai serta merealisasikan konsep perpaduan yang cuba dicapai melalui program ini. Sesungguhnya, Program Latihan Khidmat Negara ini benar-benar

menyumbang kepada usaha memupuk perpaduan kaum terutamanya dalam kalangan golongan remaja kerana semua aktiviti yang dijalankan menekankan semangat muhibah dan saling bertolak ansur antara peserta tidak mengira kaum atau agama. Modul kenegaraan yang merupakan salah satu aspek yang ditekankan dalam program ini dapat menyemai semangat cinta akan tanah air di samping membolehkan para peserta mempelajari adat dan budaya pelbagai kaum. Kewujudan perasaan cintakan negara dalam diri pelatih program menyumbang kepada pencapaian perpaduan kaum yang tinggi serta integrasi nasional yang mantap disebabkan adanya semangat kerjasama antara kaum di Malaysia. Hal ini berlaku kerana adanya satu matlamat yang sama di dalam diri mereka iaitu untuk melihat Malaysia sebagai negara yang aman dan harmonis. Semangat inilah yang ingin disemai dalam diri remaja bagi melahirkan remaja yang sanggup berkorban demi perpaduan bangsa.

2.4 Pelaksanaan Kawasan Rukun Tetangga Shamsul Amri Baharuddin (2010) menyatakan bahawa skim rukun tetangga telah diperkenalkan pada tahun1975 berikutan dengan kuat kuasanya PeraturanPeraturan Perlu (Rukun Tetangga 1975). Pada peringkat awal, Rukun tetangga membolehkan rakyat mengawal keselamatan di kawasan kediaman masing-masing. Dengan tumpuan diberi kepada tugas rondaan yang diwajibkan kepada masyarakat setempat yang berumur antara 18 hingga 55 tahun. Mulai 1 Januari 1983 kerajaan telah memperkenalkan satu pembaharuan dengan memberi penekanan kepada konsep kejiranan yang bertujuan untuk memupuk serta mengukuhkan lagi semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat setempat. Berikutan dengan ini, peraturan perlu (rukun tetangga) 1975 telah dipinda bagi tujuan tersebut. Dalam tahun 2000, pendekatan Rukun Tetangga telah dipinda sekali lagi dengan memberi mandat yang lebih luas iaitu pembangunan masyarakat secara menyeluruh ke arah mewujudkan perpaduan nasional. Mohd. Kamal Kamaruddin (2011) berkata, Rukun Tetangga sememangnya satu langkah pemupukan perpaduan sesuai dengan visinya iaitu membantu dalam pembentukan satu bangsa Malaysia yang bersatu padu dalam konteks pencapaian wawasan 2020. Manakala misinya ialah memupuk kesefahaman dan bertolak ansur ke arah pembangunan bangsa Malaysia yang bersatu padu serta beridentiti sendiri dan motonya pula ialah Bersatu Terus Maju. Sebagai medium perpaduan negara, Rukun Tetangga memainkan peranannya dengan objektif untuk memelihara, meningkat dan mengukuhkan perpaduan rakyat dan integrasi nasional selaras dengan dasar dasar pembangunan negara berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Bagi memastikan matlamat ini tercapai, beberapa aktiviti telah dilakukan oleh komuniti Rukun Tetangga seperti berikut: i. ii. iii. Sosial amalan kunjung mengunjung semasa musim perayaan. Pendidikan pendidikan tidak formal, kursus, tuisyen serta ceramah. Sukan sukaneka, sukan air, sukan tradisional, sukan rakyat dan lainlain. iv. v. Rekreasi tai chi, ekspedisi, kembara, khemah kerja dan lain-lain. Kesihatan dan alam sekitar ceramah kesihatan, kempen kebersihan, anti nyamuk dan menjaga harta awam.
7

vi.

Kebajikan melawat rumah warga tua, sumbangan kepada orang miskin, kerja amal, membantu mangsa bencana alam. Agama ceramah dan forum keagamaan.

vii.

Melihat kepada matlamat Skim Rukun Tetangga dengan terperinci, ternyata ianya benar-benar condong ke arah membentuk perpaduan kaum di Malaysia yang mana berdasarkan statistik yang telah dicatatkan, sebanyak 3, 228 kawasan rukun tetangga telah ditubuhkan di seluruh negara sehingga Mei 2006 sahaja. Aktivitiaktiviti yang dilakukan oleh Jawatankuasa Rukun Tetangga di seluruh negara membolehkan penduduk setempat berkenalan, bantu-membantu dalam menghadapi masalah bersama, berinteraksi dan merapatkan hubungan pada peringkat akar umbi antara pemimpin dengan rakyat dan antara rakyat pelbagai keturunan, adat dan budaya seterusnya merapatkan lagi hubungan perpaduan antara kaum.

3.0 RUMUSAN Kesimpulannya, pemupukan perpaduan dalam kalangan kaum bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan. Perbezaan agama, budaya dan adat resam sering menjadi kekangan dan mengundang sensitiviti jika disentuh. Tambahan pula, pelbagai isu semasa berkaitan masyarakat berbilang kaum dapat kita lihat dewasa ini yang mana memberi gambaran yang cukup jelas kepada kita untuk lebih peka dan matang dalam menangani masalah ini. Sebagai bakal pendidik, kita juga tidak terlepas dengan tanggungjawab menyemai nilai-nilai perpaduan dan saling memahami antara satu sama lain kepada anak-anak didik kita kelak. Justeru itu, perbincangan berkaitan usaha-usaha pemupukan perpaduan telah membekalkan kita dengan pelbagai maklumat yang bermanfaat dan harus dihayati dan ditanamkan dalam jiwa masing-masing. Paling tidak, kita haruslah menguasai kesemua pengetahuan yang telah dibincangkan tersebut bagi mengelakkan berulangnya peristiwa hitam 13 Mei yang telah terbuku pada lipatan sejarah negara. Akhirnya, penguasaan terhadap pengetahuan-pengetahuan yang telah kita perolehi darpada perbincangan di atas akan menjadikan kita benar-benar mantap dan bersedia untuk menghadapi cabarancabaran mendatang.
8

REFLEKSI Syukur ke hadrat ALLAH S.W.T kerana dengan izin-Nya kami telah diberikan ruang dan peluang untuk menyiapkan tugasan kerja kursus ini. Tajuk bagi tugasan kerja kursus ini ialah usaha-usaha pemupukan perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Selepas menjalankan tugasan kerja kursus ini, pelbagai cabaran dan halangan telah kami perolehi. Pertama sekali, kami sebagai bakal pendidik anak bangsa pada masa hadapan telah mempelajari bahawa tugas memupuk perpaduan merupakan salah satu tanggungjawab yang terletak di bahu kami. Dalam hal ini, kami menyedari bahawa pemupukan perpaduan haruslah bermula dari individu yang kecil iaitu para pelajar di sekolah. Kata pujangga mengatakan bahawa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Pemupukan perpaduan yang bermula daripada kanak -kanak khususnya pelajar adalah salah satu cara yang terbaik kerana para pelajar lebih mudah untuk diterapkan dengan usaha-usaha perpaduan. Hal ini bersandarkan kepada faktor mental pelajar yang lebih cekap untuk menanggap dan menerima sesuatu pengetahuan. Justeru itu, pemupukan usaha-usaha perpaduan sedari kecil lagi kepada para pelajar adalah lebih cepat dan mudah untuk dikembangkan. Selain itu, sebagai bakal pendidik anak bangsa, kami menyedari bahawa kami perlu menunjukkan contoh-contoh yang baik dalam usaha memupuk perpaduan. Seperti yang kita tahu, golongan pendidik seperti kita merupakan golongan yang sentiasa mendapat perhatian daripada warga pelajar dan khalayak umum. Hal ini menyebabkan segala tingkah laku dan perbuatan kita akan diperhatikan dan menjadi ikutan kepada mereka. Sebagai contoh, jika kita menjalinkan hubungan yang baik dengan pelbagai kaum, perkara ini akan menjadi contoh dan teladan yang baik kepada masyarakat dan pelajar untuk diikuti. Jika mereka mengikuti tingkah laku tersebut, sebenarnya, secara tidak langsung mereka sudah dipupuk dengan usaha-usaha ke arah perpaduan masyarakat pelbagai kaum. Sebaliknya, jika kita sebagai bakal guru menunjukkan contoh teladan yang kurang baik seperti tidak bertegur sapa sesama guru atau dengan masyarakat, hal ini boleh mengundang pandangan kurang baik terhadap sikap golongan pendidik. Di samping itu, sebagai bakal pendidik anak bangsa pada masa akan datang, adalah menjadi tanggungjawab kepada kita untuk mengamalkan usaha pemupukan perpaduan ini terlebih dahulu sebelum menyampaikan kepada orang lain. Dalam hal
9

ini, sebuah hadis menyatakan yang kira-kira maksudnya berbunyi apabila kamu menyuruh berbuat kebaikan, lakukan kebaikan tersebut terlebih dahulu sebelum menyuruh orang lain melakukannya. Dalam konteks pemupukan perpaduan di sini, kita sebagai bakal guru haruslah mengamalkan terlebih dahulu usaha-usaha pemupukan perpaduan ini sebelum menyampaikan kepada pelajar dan diikuti serta diteladani oleh golongan lain. Sebagai contoh, kita sebagai bakal guru dan pendidik anak bangsa haruslah mengamalkan sikap saling hormat-menghormati antara satu sama lain terutamanya apabila melibatkan hal-hal yang berkaitan dengan identiti sesebuah kaum tersebut. Jika kita sebagai bakal guru dapat mengamalkan perkara ini, masyarakat umum akan lebih percaya kepada kita dan lebih mudah menerima pengaruh yang disampaikan oleh kita sebagai bakal pendidik anak bangsa. Manakala, dari segi nilai-nilai murni pula, kami telah mempelajari untuk saling hormat-menghormati antara satu kaum dengan kaum yang lain. Kepelbagaian kaum yang terdapat di negara kita menyebabkan kita untuk lebih berhati-hati dan bijak menyusun kata supaya tidak menyinggung perasaan dan sensitiviti mana-mana kaum yang lain. Selain itu, nilai murni yang telah kami pelajari juga ialah nilai kerjasama antara satu dengan yang lain. Bagi nilai ini pula, kita haruslah menunjukkan sikap saling bekerjasama antara satu dengan yang lain tanpa mengira perbezaan kaum yang terdapat dalam kalangan kita. Dalam hal lain, kami mempelajari untuk lebih menghargai masa yang ada dalam melaksanakan penulisan tugasan ini. Apabila sudah menerima tugasan daripada pensyarah, kami haruslah bertindak lebih proaktif dengan melaksanakan penulisan tugasan seberapa langsung. Hal ini untuk mengelakkan pelaksanaan tugasan pada saat-saat akhir bagi memastikan tugasan yang dihasilkan adalah benar-benar berkualiti dan menepati standard atau piawai yang telah ditetapkan. Pada masa yang sama, kami dapat menguruskan masa dengan baik dan berkesan seterusnya mengelakkan budaya kurang sihat seperti tidur lambat hanya sematamata untuk menyiapkan tugasan ini. Justeru, kami haruslah bersikap proaktif dan cekap dalam aspek pengurusan masa ini sebagai penambahbaikan. Akhir sekali, kami bersyukur kerana dapat menyiapkan tugasan ini dengan sempurnanya dan berharap hasil yang kami berikan menepati kehendak yang diperlukan.

10

RUJUKAN 2007. Malaysia Kita ; Panduan Dan Rujukan Untuk Peperiksaan Am Kerajaan. Selangor Darul Ehsan ; International Law Book Services. Choong Lean Keow Phd, 2009. Falsafah dan Pendidikan di Malaysia. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd, Kuala Lumpur. Kamus Dewan Edisi Ketiga, 1966. Kuala Lumpur ; Dewan Bahasa dan Pustaka. Mohd. Kamal Kamaruddin, 2011. Pengajian Malaysia dan Kenegaraan. Kuala Lumpur ; Global Mediastreet Sdn. Bhd. Shamsul Amri Baharuddin, 2010. Modul Hubungan Etnik. Selangor ; Straits Digital Sdn. Bhd.

11

LAMPIRAN

12

You might also like